Cara Ambil Wudhu (Niat, Rukun & Doa Selepas Wudhu)

Ini adalah panduan cara ambil wudhu yang betul & sempurna.

Dalam artikel ini, anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan lengkap.

Apa yang menarik:

Setiap langkah wudhu akan disertakan dengan gambar untuk rujukan anda.

Pengertian & Maksud Wudhu

Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan. Manakala dari sudut istilahnya, wudhu ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.

Setiap individu yang mahu berwuduk, wajib mengetahui cara berwuduk iaitu tahu basuhan yang wajib dan sunat.

Begitu juga wajib untuknya mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah wuduk supaya wuduknya sah dan solatnya diterima Allah SWT.

Syarat Sah Wudhu

Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wudhu itu sah.

Antaranya adalah:

  • Islam
  • Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
  • Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
  • Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
  • Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.

Rukun Wudhu

rukun wuduk

Rukun wudhu bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk. Jika tidak dibuat perkara rukun ini, maka wudhu tidak sah. Rukun wudhu mempunyai enam perkara; iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib. Sekiranya tertinggal salah satu, maka wudhu itu tidak sah.

Rukun wudhu dalam Islam melibatkan langkah-langkah berikut:

  1. Berniat dalam hati untuk melakukan wudhu.
  2. Membasuh Muka. Membasuh keseluruhan muka dari dahi hingga ke bawah dagu dan dari telinga ke telinga.
  3. Membasuh Tangan hingga Siku: Membasuh kedua-dua tangan dari hujung jari hingga ke siku.
  4. Menyapu sebahagian daripada depan kepala.
  5. Membasuh Kaki hingga Mata Kaki: Membasuh kedua-dua kaki dari hujung jari kaki hingga ke buku lali.
  6. Tertib. Iaitu mengikut urutan-urutan yang telah ditetapkan semasa mengambil wudhu.

Menunaikan rukun-rukun ini adalah wajib untuk sahnya wudhu dalam Islam. Di bawah ini adalah penerangannya.

Rukun Wudhu Pertama:

Niat Wudhu

Lafaz niat wudhu adalah:

niat wuduk

 Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala 

Niat dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala

Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.

Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.

Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.


Rukun Wudhu Kedua:

Membasuh Muka

Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.

Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.


Rukun Wudhu Ketiga:

Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku

Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.

Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.


Rukun Wudhu Keempat:

Menyapu Sebahagian Kepala

Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.

Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.

Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.


Rukun Wudhu Kelima:

Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali

Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.

Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.

Info

Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.

Tidak perlu mengulang basuhan dari awal


Rukun Wudhu Keenam:

Tertib

Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan.

Ini sebagaimana kata Nu’aim bin Abdullah al-Mujmir:

Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka. Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku. Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis. Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: “Begini aku lihat Rasulullah SAW berwuduk”

– Riwayat Muslim

Cara Ambil Wudhu Yang Sempurna


Berikut adalah ringkasan cara-cara mengambil wudhu yang sempurna:

  • Mengadap Kiblat: Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
  • Membaca Basmallah: Mulakan wudhu dengan membaca “Bismillahir-rahmanir-rahim”.
  • Membasuh Kedua-dua Tangan: Basuh tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari. Disunatkan membaca doa khusus ketika melakukan ini.
  • Berkumur-kumur: Lakukan ini sebanyak tiga kali. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika berkumur.
  • Istinsyaq (Membersihkan Lubang Hidung): Dilakukan sebanyak tiga kali dengan menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika melakukan istinsyaq.
  • Membasuh Muka: Dilakukan sebanyak tiga kali. Ada lafaz niat dan doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh muka.
  • Membasuh Kedua-dua Tangan hingga Melebihi Siku: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap tangan. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh tangan.
  • Mengapu Sebahagian Kepala: Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika mengapu kepala.
  • Membasuh Kedua-dua Telinga: Dilakukan sebanyak tiga kali, termasuk membasuh luar dan dalam telinga. Ada doa sunat yang boleh dibaca.
  • Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap kaki. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh kaki.
  • Doa Selepas Wudhu: Setelah selesai mengambil wudhu, disunatkan membaca doa selepas wudhu.

Pada bahagian di bawah ini, saya akan menunjukkan langkah-demi-langkah cara mengambil wudhu yang sempurna dan digalakkan.

Anda boleh rujuk gambar dan bacaan yang disediakan.

Langkah-langkah yang ditunjukkan adalah termasuk doa yang sunat dibaca.

*Doa-doa tersebut tidak wajib dibaca dan boleh ditinggalkan.

1. Mengadap Kiblat

Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.


2. Membaca Basmallah.

Mulakan wudhu dengan membaca basmallah seperti di bawah:

 Bismillahir-rahmanir-rahim 


3. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari sambil berdoa.

cara ambil wudhu
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Doa yang disunatkan untuk dibaca ketika ini adalah:

 Allahumma Inni AsAlukal-Yumna Walbarakata Wa A’uzubika Minal Syu’mi Wal Halakati 

Maksudnya:

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebahagiaan dan keberkatan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kemalangan dan kebinasaan.


4. Kemudian, berkumur-kumur sebanyak tiga kali sambil berdoa di dalam hati (sunat).

berkumur wuduk
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Doanya adalah seperti berikut:

 Allahumma Inni ‘Alaa TilaaWati KitaaBika Wakasratiz Zikri Laka Wa Tsabbitni Bilqaulis TsaaBiti Fil Hayatid-Dunyaa Wa Fil Akhirati. 

Maksudnya:

Ya Allah, bantulah aku dalam usaha membaca kitab-Mu dan banyak berzikir mengingati-Mu. Kukuhkanlah aku dengan kata-kata yang kukuh di dunia dan di akhirat.


5. Lakukan Istinsyaq

Istinsyaq membersihkan lubang hidung dengan cara menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya.

cara beristinsyaq
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Perbuatan ini dilakukan sebanyak tiga kali sambil berdoa:

 Allahumma Arihnii Raa-Ihatu-Jannati Wa anta RaaDhin ‘Anni 

Maksudnya:

Ya Allah, ciumkanlah aku dengan bauan syurga dan Engkau redha kepadaku.

Sesudah itu. ketika mengeluarkan air berdoa pula dengan doa ini:

 Allahumma Inni A’uzubika Min Rawaa-Ihin-narr Wamin Su’id-darr 

Maksudnya:

Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menghidu bauan neraka dan seburuk-buruk tempat tinggal.


6. Seterusnya, membasuh muka sebanyak tiga kali dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.

basuh muka wuduk

Basuhan dimulakan pada bahagian dahi dan turun perlahan-lahan ke anak telinga, hidung dan dagu.

Lafaz niat sebelum air mengenai muka:

 Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala 

Niat dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku mengambil wudhu fardu atasku kerana Allah Taala.

Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Apabila air mengenai muka, mulakan berniat dalam hati dan membaca doa:

 Allahumma Bayyid Wajhi BinuuRika Yauma Tabyaddu Wujuuhu Auliyaa-ika Wala Taswaddu Wajhi Bizulumaatika Yauma Taswaddu Wujuuhu ‘Adaa-Ika 

Maksudnya:

Ya Allah, putihkan mukaku dengan nurMu pada hari putihnya muka para waliMu dan jangan hitamkan mukaku sepertimana Engkau gelapkan muka musuh-musuhMu.


7. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga melebihi had siku sebanyak tiga kali.

cara ambil wudhu
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Mulakan dengan tangan kanan, dari jari hingga ke siku sambil berdoa:

 Allahumma A’tini Kitabi Biyamini Wahaasibni Hisaaban Yasiira 

Maksudnya:

Ya Allah, berilah catatan amalan dari sebelah kananku dan hisablah aku dengan mudah.

Perkara yang sama dilakukan pada tangan kiri sambil berdoa:

 Allahumma Inni A’uzubika An Tu’tiyani Kitaabi Bisamaali Au Min Waraa’i Zohri 

Maksudnya:

Ya Allah aku berlindung kepadaMu supaya janganlah Engkau berikan catatan amalanku dari sebelah kiriku atau dari sebelah belakangku.


8. Langkah seterusnya. mengapu sebahagian ubun-ubun atau keseluruhan kepala sambil berdoa:

cara ambil wudhu
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Doa yang sunat dibacakan adalah:

 Allahumma Ghosyini Birahmatika Wa Anzil ‘Alayya Min Birakatika Wa Azillani Tahta Zilli ‘Arsyika Yauma Laa Zilla Illa Zilluka. Allahumma Harrim Sya’ri Wabasyari ‘Alan-nar 

Maksudnya:

Ya Allah lindungi daku dengan rahmatMu dan limpahi daku keberkatanMu. Dan masukkan daku di bawah naungan ArasyMu pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganMu sahaja. Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku daripada api neraka.


9. Selepas itu, membasuh pula kedua-dua telinga luar dan dalam sebanyak tiga kali.

Cara membasuh dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan ibu jari diletakkan di belakang telinga, kemudian ditolak ke atas.

cara ambil wudhu
Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Doa yang elok dibaca ketika ini:

 Allahummaj-‘alni minallazina Yastami’uNal Qaula Fayattabi’uNa Ahsanahu, Allahumma Asmi’ni Munaadiyal-jannata Fil Jannati Ma’al Abrar. 

Maksudnya:

Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang mendengar peringatan lalu mengikutinya. Ya Allah dengarkanlah kepadaku seruan syurga bersama-sama orang yang baik.


10. Akhir sekali, membasuh kaki hingga ke buku lali atau lebih, sebanyak tiga kali.

cara ambil wudhu

Basuhan dimulakan dengan kaki kanan sambil menyelati jari-jari kaki.

Bacaan Sunat
  • Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?

Ketika membasuh kaki kanan bacalah doa:

 Allahumma Tsab-bit Qadami ‘Alas-sirotil Mustaqim Yauma Tazillal Aqdam Fin-Narr 

Maksudnya:

Ya Allah, tetaplah dua kakiku di atas Titian Mustaqim pada hari tergelincir kaki-kaki lalu jatuh ke dalam Neraka.

Lakukan pula pada kaki kiri dan baca doa:

 Wa A’uzubika An Tazilla Qadami ‘Anis-siroti Yauma Tazilla Fiihi Aqdam 

Maksudnya:

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tergelincir kakiku di atas Titian Mustaqim ke dalam neraka pada hari tergelincir kaki orang munafik.


11. Setelah selesai mengambil wudhu, maka bacalah pula doa selepas wudhu.

Doa selepas wudhu boleh dibaca sebagaimana di bahagian bawah.

Doa Selepas Wudhu

Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:

 Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah 

 Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh. 

 Allahummaj’aini Minat Tauwabin, Waj’alni Minal Mutatahhirin 

 Waj’alni Min ‘ibadikas-solihin. 


Maksudnya:

Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa.

Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya.

Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu.

Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih.

Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.

Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.

Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.

Perkara Membatalkan Wudhu

Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan wudhu. Antara perkara tersebut adalah:

  • Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
  • Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
  • Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
  • Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
  • Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.

Anggota Wajib Wudhu

Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah:

  1. Seluruh muka beserta niat.
  2. Membasuh tangan hingga ke siku.
  3. Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
  4. Membasuh kaki sehingga ke buku lali.

Perkara Sunat Ketika Berwudhu

Terdapat beberapa perkara sunat untuk dilakukan semasa mengambil wudhu.

Sunat bermaksud; jika kita lakukan perkara-perkara ini, kita akan mendapat pahala tambahan. Jika kita meninggalkannya, wudhu kita tetap juga sah.

Antara perkara tersebut adalah:

  • Mengadap kiblat
  • Membaca basmallah بسم الله الرحمن الرحيم  (Bismillahirrahmanirrahim) sewaktu hendak membasuh tapak tangan
  • Membaca taawuz
  • Membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan.
  • Bersugi atau berkumur-kumur untuk membuang kotoran dan bau mulut.
  • Istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung.
  • Membaca lafaz niat sebelum menghadirkan niat di dalam hati.
  • Membasuh setiap anggota wudhu sebanyak tiga kali.
  • Mendahulukan membasuh anggota yang kanan daripada kiri.
  • Menyapu telinga dengan air
  • Menyelat janggut dengan air. Sunat menyelat janggut yang tebal dan lebat sekiranya tidak nampak kulit di bawahnya. Selat janggut itu dengan jari tangan yang menampung air wudhu. Untuk janggut yang nipis wajib dibasahkan keseluruhan janggut dan bahagian dagu dengan air.
  • Menyapu seluruh kepala.
  • Menyelati jari-jari tangan dan kaki. Gunakan tangan kiri untuk menyelati jari kaki kanan dan kiri. Dengan cara ini daki dan kotoran yang terdapat di celah-celah jari dapat dibersihkan untuk menyampaikan air ke situ.
  • Melebihkan basuhan melebihi had yang wajib. Contohnya, membasuh muka hingga sampai ke pangkal leher.
  • Berturut-turut (muwalat) iaitu tidak lama selang masa antara membasuh satu anggota dengan anggota berikutnya, sekira-kira belum kering air basuhan pada anggota sebelumnya.
  • Membaca doa selepas wudhu.

Perkara Makruh Ketika Wudhu

Terdapat beberapa perkara makruh ketika berwuduk.

Perkara tersebut adalah:

  • Menggunakan air yang telalu sejuk atau terlalu panas
  • Menggunakan  air yang terjemur di dalam bekas yang mudah berkarat atau bekas yang sudah berkarat kerana dibimbangi menyebabkan penyakit sopak
  • Berlebih-lebihan menggunakan air seperti membasuh anggota wudhu lebih daripada tiga kali.
  • Menggelap anggota wuduk tanpa sebarang keuzuran. Tidak makruh sekiranya ada keuzuran seperti dalam keadaan terlalu sejuk.
  • Berwudhu di dalam tandas.
  • Meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjirus air ke anggota wudhu tanpa  sebarang keuzuran kerana hal ini dikhuatiri membawa kepada sifat sombong.
  • Mendahulukan anggota kiri daripada anggota kanan.
  • Berlebih-lebihan berkumur ketika berpuasa kerana dibimbangi air akan masuk ke dalam kerongkong dan membatalkan puasa.
  • Menepuk air ke muka atau mengambil wudhu secara tergopoh-gapah.
  • Berbual-bual ketika berwuduk.

Penutup: Kepentingan Wudhu Sempurna

Firman Allah bermaksud:

Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”

— Surah al-Ma’idah, ayat 6

Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).

Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.

Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya.

Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

228 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
FAZ
FAZ
2 hari yang lalu

Assalammualaikum ustaz. Saya nak tanya, mana satu niat wudhu yang sebenarnya digunakan dalam wudhu “Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala” atau “Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala” ? Dan lagi satu niat sebelum air mengena pada muka atau semasa air mengena pada muka?

Mun
Mun
7 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika bercakap seorang diri, sdgkan fikiran dia fokuskan solat adakah itu dikira gila? Adakah batal wuduk jika dia bercakap seorang diri?

Mun
Mun
25 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Saya dah basuh dgn air celah jari kaki tanpa gosok sblm ambik wuduk. Ketika ambik wuduk, basuhan pertama rasa macam licin, tapi tak tau apa yg menyebabkan celah jari kaki tu licin sebab xde kotoran. Bila basuhan kedua rasa bersih. Wuduk saya sah tak ustaz?

Mun
Mun
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika ada kotoran di kuku spt serbuk kunyit dan debu tanah, dh cuci tiga kali pki air dan sabun, tp x tanggal kotoran, blh ke ambil wuduk dalam keadaan kuku yg kotor? Wuduk tetap sah ke ustaz?

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
26 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika kita ambil wuduk dgn kotoran kuku yang lama dan x tanggal kotoran tu, wuduk sah x ustaz? Lps solat sy kerat kuku yg ada kotoran tu sbb dh pnjg, dan ternyata kuku yg ada kotoran tu hilang. Adakah sah solat sy ustaz? Sbb x tau pulak kotoran boleh hilang bila dh dikerat.

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
25 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah amik kuku yg sy kerat tu, sy basuh dgn air dan sabun. Tp ttp x tanggal kotoran tu ustaz. Maknanya wuduk dan solat saya sebelum ni sah kan ustaz?

Mun
Mun
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika ada bunyi dari punggung, tapi tak rasa keluar kentut, wuduk dan solat tetap sah kan ustaz?

Mun
Mun
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Sebelum wuduk saya dah basuh kaki saya 3 kali dgn air, tp sy x check di bahagian tapak kaki. Ketika berwuduk, sy yakin kaki saya dah rata kena air, termasuk tapak kaki. Selepas solat, sy baru perasan ada debu atau habuk di tapak kaki sy yg merekah. Adakah sah wuduk saya? Adakah solat yg sy kerjakan sah atau tidak?

Mun
Mun
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika selepas wuduk ada lintasan hati menyatakan niat wuduk tanpa sengaja, sdgkan sdh berniat ketika wuduk, adakah wuduk sah atau batal?

Hamba Allah
Hamba Allah
5 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanya. Ketika nak ambil wuduk, kalau tak bersihkan lubang hidung tak apa ke? Wuduk masih sah ke ustaz?

Pertanyaan kedua saya, setiap kali lepas berwuduk je selalu nak terkentut. Sebelum wuduk ok. Lepas ambil wuduk nak solat je rasa nak buang angin. Macam mana ya ustaz? Sampai ambil wuduk 2-3 kali sebab terbatal yang susah nk tahan. Ada masa boleh tahan. Ada masa tu asyik rasa terbuang angin.

Saya berharap pertanyaan saya di balas. Terima kasih.

Acu
Acu
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum wbt, wuduk tak ikut urutan contohnya basuh sebahgian kepala dahulu sebelum basuh tangan sampai siku, adakah masih sah wuduk??

Terima kasih.

Nur
Nur
10 bulan yang lalu

Assalamualaikum Ustaz,

1) Jika terlupa cuci telinga dan rambut masa berwudhu dan rasa ragu2 semasa solat, dan teruskan juga solat, adakah solat saya sah?

2) Jika mengambil wudhu disinki dapur dan bila nak cuci kaki, disambung di bilik air, adakah sah wudhunya?

Jazakallah.