
Bagaimana cara melakukan Solat Sunat Wuduk?
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat sunat wuduk secara lengkap, mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.
Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.
Jika anda memerlukan panduan ini, mari kita mulakan..
Pengenalan
Solat sunat wuduk dilakukan selepas mengambil wuduk.
Ia juga dikenali sebagai solat syukur wuduk.
Solat Sunat Wuduk merupakan solat sunat sebanyak dua rakaat yang dilakukan setiap kali seseorang itu selesai mengambil wuduk.
Tidak ada waktu yang ditetapkan, samaada pagi, petang, siang ataupun malam.
Sembahyang sunat ini juga tergolong kepada sembahyang sunat muqayyad iaitu sembahyang yang dikaitkan waktunya dengan wuduk.
Dengan itu solat sunat ini boleh dilakukan walaupun dalam waktu terlarang untuk melakukan sembahyang sunat.
Rasulullah SAW menyebut tentang solat ini dengan sabdanya:
Sesiapa daripada kalangan Muslim yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian melakukan solat dua rakaat dengan mengadap kiblat dengan sepenuh hati pasti mendapat syurga
— Riwayat Muslim, Abu Dawud dan an-Nasa’i
Hukum Solat Sunat Wuduk
Solat sunat yang dilakukan selepas mengambil wuduk adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang begitu digalakkan.
Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada waktu siang ataupun malam, malah pada waktu-waktu yang diharamkan.
Solat ini dilakukan selepas seseorang itu berwuduk.
Waktu Mengerjakan Solat Sunat Wuduk

Diriwayatkan oleh Abu Buraidah yang menceritakan bahawa:
Suatu hari selepas Rasulullah mengerjakan solat subuh, baginda memanggil Bilal dan berkata, ‘Wahai Bilal bagaimana kamu mendahului saya masuk syurga? Setiap kali saya memasuki syurga, pasti saya mendengar hentakan sandalmu di hadapanku. Saya masuk ke dalam syurga semalam dan saya mendengar hentakan sandalmu di hadapanku…”
Bilal menjawab, ‘Ya Rasulullah, setiap kali azan saya pasti menunaikan solat dua rakaat. Apabila berhadas, saya segera berwuduk. Dan apabila saya berasakan perlu mengerjakan dua rakaat (sebagai tanda syukur) kepada Allah (yang menghilangkan kekotoran dan memberikan kebersihan)”
Rasulullah SAW menyatakan, ‘Jadi dengan kedua-dua amalan ini kamu masuk syurga’
Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan setiap hadas hendaklah disusuli dengan wuduk dan setiap wuduk hendaklah diikuti dengan solat sunat.
Oleh itu, solat sunat wuduk dapat dilakukan pada bila-bila masa sahaja selepas berwuduk. (Rujuk Fathul Bari, Ibnu Hajar)
Ibnu Taimiyyah juga berpendapat solat sunat wuduk ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja termasuk pada waktu-waktu yang diharamkan solat sunat lain.
Saya tidak melakukan apa-apa amalan yang berharga, cuma setiap kali saya bersuci (berwuduk) sama ada pada waktu malam ataupun siang, pasti saya akan bersolat dengan wuduk itu solat yang ditetapkan kepadaku — Bilal bin Rabah
(Hadis direkodkan oleh al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)
Niat Solat Sunat Wuduk
Niat solat sunat wuduk adalah seperti berikut:

Usolli Sunnatal Wudu’i Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Niat dalam bahasa melayu:
Sahaja aku solat sunat wuduk dua rakaat kerana Allah Taala.
Doa Selepas Wuduk
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:

Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah
Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.
Allahummaj’aini Minat Tauwabin, Waj’alni Minal Mutatahhirin
Waj’alni Min ‘ibadikas-solihin.
Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa.
Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya.
Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu.
Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih.
Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.
Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.
Cara Solat Sunat Wuduk
Cara mengerjakan solat sunat wuduk dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Cara mengerjakan Solat Sunat Wuduk adalah seperti berikut:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan dengan takbiratul ihram.Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati.

2. Kemudian, bacalah doa Iftitah.
Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah. Solat tetap sah jika doa ini ditinggalkan.

Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.
Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.
Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin
3. Seterusnya bacalah surah al-Fatihah.
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam solat.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
4. Kemudian, baca Surah al-Kafirun
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada surah al-Quran seperti surah al-kafirun (atau surah yang lain).
Qul yaa ayyuhal-kafirun. La a’budu maa ta’buduun. Wa la antum ‘Abiduna maa a’bud. Wa laa ana ‘Aabidum maa ‘abattum. Wa laa antum ‘abiduuna maa a’bud. Lakum diinukum wa liya diin.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.
Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.
5. Selesai membaca surah, teruskan dengan rukuk dan sujud sehingga selesai rakaat pertama.


Rakaat Kedua
6. Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat(takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).
7. Baca surah al-Fatihah.
Seperti rakaat pertama, pada rakaat kedua juga dibacakan surah al-Fatihah.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
8. Membaca Surah al-Ikhlas
Pada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas:
Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad
Maksudnya:
Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.
9. Solat diteruskan dengan rukuk, sujud dan tahiyyat akhir sehinggalah selesai rakaat kedua.

10. Solat diakhiri dengan memberi salam.

Kelebihan Solat Sunat Wuduk
Ternyata solat sunat setelah wuduk itu memiliki kelebihan yang sangat besar sebagaimana yang termaktub di dalam hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
1. Diampunkan Dosa-Dosa LampauBarangsiapa yang berwuduk menurut sunnah Nabi SAW lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
Menurut Humran pembantu ‘Uthman, ‘Uthman pernah menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini lalu mengerjakan solat dua rakaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (yakni mengerjakannya dengan khusyuk) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Wudhu’, no: 159
2. Mengerjakannya akan dimasukkan ke syurga
Bagi mereka yang telah menyempurnakan wuduknya lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk kerana Allah SWT, maka dia akan dimasukkan ke syurga.
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata Baginda bersabda:
Tidaklah salah seorang di antara kalian berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian mengucapkan: Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, melainkan akan dibukakan baginya lapan pintu-pintu syurga. Dia boleh masuk mengikuti mana-mana sahaja (pintu) yang dikehendakinya.
– Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 234.
Oleh itu marilah kita semua merebut mengerjakan solat sunat ini.
Semoga panduan ini dapat membantu anda!
Tinggalkan Komen Anda..
Terbaik…In Sha Allah Kita semua sentiasa d berkati Dan d rahmati..Aamiin..
Assalamualaikum.
Kalau saya berwuduk lalu saya berzikir amalan dan selepas berzikir adakah saya boleh buat solat sunat wuduk? Saya kebiasaan lepas wuduk saya berzikir kerana nak bersama solat wuduk tggu masing2 habis dan selepas berzikir dan solat wuduk berjemaah . adakah boleh..
salam ustaz.. saya mengambil wuduk sebelum masuk masjid.
Boleh ke saya solat sunat tahyatul masjid dulu kemudian solat sunat wuduk..Atau sebaliknya ustaz.
Assalamulaikum.. Bagai mana selepas solat sunat wuduk ada tak doa nya
Assalamualaikum ustaz,
-solat sunat wuduk ini perlu di lakukan apabila telah masuk waktu solat fardhu atau kita boleh laksanakan sebelum masuk waktu solat (azan).
Wassalam.
Tiada batasan waktu untuk waktu solat ini.
Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Tiada batasan waktu? walaupun selepas asar sebelum masuk waktu maghrib ke ustaz…
Solat yang diharamkan ini ialah solat yang tidak bersebab iaitu solat sunat mutlak dan solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat sunat istikharah, solat sunat musafir dan solat sunat Ihram.
Manakala solat yang bersebab seperti solat qada, solat sunat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat sunat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur tidak diharamkan.
Begitu juga apabila berada di Tanah Haram, tidak diharamkan melakukan apa jua solat dalam waktu ini.