
Ini adalah panduan cara ambil wudhu yang betul & sempurna.
Dalam artikel ini, anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan lengkap.
Apa yang menarik:
Setiap langkah wudhu akan disertakan dengan gambar untuk rujukan anda.
Pengertian Wuduk
Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan.
Manakala dari sudut istilahnya, wudhu ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.
Setiap individu yang mahu berwuduk, wajib mengetahui cara berwuduk iaitu tahu basuhan yang wajib dan sunat.
Begitu juga wajib untuknya mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah wuduk supaya wuduknya sah dan solatnya diterima Allah SWT.
Syarat Sah Wudhu
Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wudhu itu sah.
Antaranya adalah:
- Islam
- Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
- Suci daripada haid dan nifas
- Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
- Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
- Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
- Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.
Rukun Wudhu

Apakah maksud rukun wudhu?
Rukun wudhu bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk.
Jika tidak dibuat perkara rukun ini, maka wudhu tidak sah.
Rukun wudhu mempunyai enam perkara; iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib.
Sekiranya tertinggal salah satu, maka wudhu itu tidak sah.
Rukun wudhu mengikut tertib adalah seperti berikut:
Rukun Wudhu Pertama:
Niat Wudhu
Lafaz niat wudhu adalah:
Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala
Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.
Rukun Wudhu Kedua:
Membasuh Muka
Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.
Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.
Rukun Wudhu Ketiga:
Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku
Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.
Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.
Rukun Wudhu Keempat:
Menyapu Sebahagian Kepala
Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.
Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.
Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
Rukun Wudhu Kelima:
Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali
Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.
Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.
Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.
Tidak perlu mengulang basuhan dari awal
Rukun Wudhu Keenam:
Tertib
Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan.
Ini sebagaimana kata Nu’aim bin Abdullah al-Mujmir:
Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka. Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku. Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis. Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: “Begini aku lihat Rasulullah SAW berwuduk”
– Riwayat Muslim

Cara Ambil Wudhu Yang Sempurna
Pada bahagian ini, saya akan menunjukkan langkah-demi-langkah cara mengambil wudhu yang sempurna dan digalakkan.
Anda boleh rujuk gambar dan bacaan yang disediakan.
Langkah-langkah yang ditunjukkan adalah termasuk doa yang sunat dibaca.
*Doa-doa tersebut tidak wajib dibaca dan boleh ditinggalkan.
Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
2. Membaca Basmallah.
Mulakan wudhu dengan membaca basmallah seperti di bawah:

Bismillahir-rahmanir-rahim
3. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari sambil berdoa.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang disunatkan untuk dibaca ketika ini adalah:

Allahumma Inni AsAlukal-Yumna Walbarakata Wa A’uzubika Minal Syu’mi Wal Halakati
Maksudnya:
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebahagiaan dan keberkatan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kemalangan dan kebinasaan.
4. Kemudian, berkumur-kumur sebanyak tiga kali sambil berdoa di dalam hati (sunat).
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma Inni ‘Alaa TilaaWati KitaaBika Wakasratiz Zikri Laka Wa Tsabbitni Bilqaulis TsaaBiti Fil Hayatid-Dunyaa Wa Fil Akhirati.
Maksudnya:
Ya Allah, bantulah aku dalam usaha membaca kitab-Mu dan banyak berzikir mengingati-Mu. Kukuhkanlah aku dengan kata-kata yang kukuh di dunia dan di akhirat.
5. Lakukan Istinsyaq
Istinsyaq membersihkan lubang hidung dengan cara menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Perbuatan ini dilakukan sebanyak tiga kali sambil berdoa:

Allahumma Arihnii Raa-Ihatu-Jannati Wa anta RaaDhin ‘Anni
Maksudnya:
Ya Allah, ciumkanlah aku dengan bauan syurga dan Engkau redha kepadaku.
Sesudah itu. ketika mengeluarkan air berdoa pula dengan doa ini:

Allahumma Inni A’uzubika Min Rawaa-Ihin-narr Wamin Su’id-darr
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menghidu bauan neraka dan seburuk-buruk tempat tinggal.
6. Seterusnya, membasuh muka sebanyak tiga kali dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Basuhan dimulakan pada bahagian dahi dan turun perlahan-lahan ke anak telinga, hidung dan dagu.
Lafaz niat sebelum air mengenai muka:

Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengambil wudhu fardu atasku kerana Allah Taala.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Apabila air mengenai muka, mulakan berniat dalam hati dan membaca doa:

Allahumma Bayyid Wajhi BinuuRika Yauma Tabyaddu Wujuuhu Auliyaa-ika Wala Taswaddu Wajhi Bizulumaatika Yauma Taswaddu Wujuuhu ‘Adaa-Ika
Maksudnya:
Ya Allah, putihkan mukaku dengan nurMu pada hari putihnya muka para waliMu dan jangan hitamkan mukaku sepertimana Engkau gelapkan muka musuh-musuhMu.
7. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga melebihi had siku sebanyak tiga kali.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Mulakan dengan tangan kanan, dari jari hingga ke siku sambil berdoa:

Allahumma A’tini Kitabi Biyamini Wahaasibni Hisaaban Yasiira
Maksudnya:
Ya Allah, berilah catatan amalan dari sebelah kananku dan hisablah aku dengan mudah.
Perkara yang sama dilakukan pada tangan kiri sambil berdoa:

Allahumma Inni A’uzubika An Tu’tiyani Kitaabi Bisamaali Au Min Waraa’i Zohri
Maksudnya:
Ya Allah aku berlindung kepadaMu supaya janganlah Engkau berikan catatan amalanku dari sebelah kiriku atau dari sebelah belakangku.
8. Langkah seterusnya. mengapu sebahagian ubun-ubun atau keseluruhan kepala sambil berdoa:
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang sunat dibacakan adalah:

Allahumma Ghosyini Birahmatika Wa Anzil ‘Alayya Min Birakatika Wa Azillani Tahta Zilli ‘Arsyika Yauma Laa Zilla Illa Zilluka. Allahumma Harrim Sya’ri Wabasyari ‘Alan-nar
Maksudnya:
Ya Allah lindungi daku dengan rahmatMu dan limpahi daku keberkatanMu. Dan masukkan daku di bawah naungan ArasyMu pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganMu sahaja. Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku daripada api neraka.
9. Selepas itu, membasuh pula kedua-dua telinga luar dan dalam sebanyak tiga kali.
Cara membasuh dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan ibu jari diletakkan di belakang telinga, kemudian ditolak ke atas.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang elok dibaca ketika ini:

Allahummaj-‘alni minallazina Yastami’uNal Qaula Fayattabi’uNa Ahsanahu, Allahumma Asmi’ni Munaadiyal-jannata Fil Jannati Ma’al Abrar.
Maksudnya:
Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang mendengar peringatan lalu mengikutinya. Ya Allah dengarkanlah kepadaku seruan syurga bersama-sama orang yang baik.
10. Akhir sekali, membasuh kaki hingga ke buku lali atau lebih, sebanyak tiga kali.
Basuhan dimulakan dengan kaki kanan sambil menyelati jari-jari kaki.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Ketika membasuh kaki kanan bacalah doa:

Allahumma Tsab-bit Qadami ‘Alas-sirotil Mustaqim Yauma Tazillal Aqdam Fin-Narr
Maksudnya:
Ya Allah, tetaplah dua kakiku di atas Titian Mustaqim pada hari tergelincir kaki-kaki lalu jatuh ke dalam Neraka.
Lakukan pula pada kaki kiri dan baca doa:

Wa A’uzubika An Tazilla Qadami ‘Anis-siroti Yauma Tazilla Fiihi Aqdam
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tergelincir kakiku di atas Titian Mustaqim ke dalam neraka pada hari tergelincir kaki orang munafik.
11. Setelah selesai mengambil wudhu, maka bacalah pula doa selepas wudhu.
Doa selepas wudhu boleh dibaca sebagaimana di bahagian bawah. ?

Doa Selepas Wudhu
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:

Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah
Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.
Allahummaj’aini Minat Tauwabin, Waj’alni Minal Mutatahhirin
Waj’alni Min ‘ibadikas-solihin.
Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa.
Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya.
Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu.
Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih.
Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.
Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.
Perkara Membatalkan Wudhu
Bagaimanakah wudhu boleh terbatal?
Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan wudhu.
Antara perkara tersebut adalah:
- Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
- Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
- Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
- Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
- Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.
Anggota Wajib Wudhu
Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah:
- Seluruh muka beserta niat.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
Perkara Sunat Ketika Berwudhu
Terdapat beberapa perkara sunat untuk dilakukan semasa mengambil wudhu.
Sunat bermaksud; jika kita lakukan perkara-perkara ini, kita akan mendapat pahala tambahan. Jika kita meninggalkannya, wudhu kita tetap juga sah.
Antara perkara tersebut adalah:
- Mengadap kiblat
- Membaca basmallah بسم الله الرحمن الرحيم (Bismillahirrahmanirrahim) sewaktu hendak membasuh tapak tangan
- Membaca taawuz
- Membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan.
- Bersugi atau berkumur-kumur untuk membuang kotoran dan bau mulut.
- Istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung.
- Membaca lafaz niat sebelum menghadirkan niat di dalam hati.
- Membasuh setiap anggota wudhu sebanyak tiga kali.
- Mendahulukan membasuh anggota yang kanan daripada kiri.
- Menyapu telinga dengan air
- Menyelat janggut dengan air. Sunat menyelat janggut yang tebal dan lebat sekiranya tidak nampak kulit di bawahnya. Selat janggut itu dengan jari tangan yang menampung air wudhu. Untuk janggut yang nipis wajib dibasahkan keseluruhan janggut dan bahagian dagu dengan air.
- Menyapu seluruh kepala.
- Menyelati jari-jari tangan dan kaki. Gunakan tangan kiri untuk menyelati jari kaki kanan dan kiri. Dengan cara ini daki dan kotoran yang terdapat di celah-celah jari dapat dibersihkan untuk menyampaikan air ke situ.
- Melebihkan basuhan melebihi had yang wajib. Contohnya, membasuh muka hingga sampai ke pangkal leher.
- Berturut-turut (muwalat) iaitu tidak lama selang masa antara membasuh satu anggota dengan anggota berikutnya, sekira-kira belum kering air basuhan pada anggota sebelumnya.
- Membaca doa selepas wudhu.
Perkara Makruh Ketika Wudhu
Terdapat beberapa perkara makruh ketika berwuduk.
Perkara tersebut adalah:
- Menggunakan air yang telalu sejuk atau terlalu panas
- Menggunakan air yang terjemur di dalam bekas yang mudah berkarat atau bekas yang sudah berkarat kerana dibimbangi menyebabkan penyakit sopak
- Berlebih-lebihan menggunakan air seperti membasuh anggota wudhu lebih daripada tiga kali.
- Menggelap anggota wuduk tanpa sebarang keuzuran. Tidak makruh sekiranya ada keuzuran seperti dalam keadaan terlalu sejuk.
- Berwudhu di dalam tandas.
- Meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjirus air ke anggota wudhu tanpa sebarang keuzuran kerana hal ini dikhuatiri membawa kepada sifat sombong.
- Mendahulukan anggota kiri daripada anggota kanan.
- Berlebih-lebihan berkumur ketika berpuasa kerana dibimbangi air akan masuk ke dalam kerongkong dan membatalkan puasa.
- Menepuk air ke muka atau mengambil wudhu secara tergopoh-gapah.
- Berbual-bual ketika berwuduk.
Penutup: Kepentingan Wudhu Sempurna
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”
— Surah al-Ma’idah, ayat 6
Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).
Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.
Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya.
Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum Ustaz ,
orang yang sama , ketika nak ambil wudhu guna shower , saya terpicit jerawat di dahi dan boleh kata banyak kadarnya , lalu saya bongkokkan diri dan tarik kolar baju ke bawah untuk elakkan terkena air yang diguna untuk cuci darah jerawat,
setelah cuci dengan lap darah tu dengan air guna tangan sampai hilang , saya mula basuh rambut saya yang kemungkinan kena air bekas cuci darah tu ,
dan saya terbawa ke belakang rambut semasa basuh hingga terkena kolar belakang sedikit , dan saya tengok kolar bawah leher saya juga basah , mungkin sebab shower tapi saya tak pasti dan saya tak basuh sangat area muka yang lain sebab darah tu hanya bertempat di area dahi dan tak mengalir bawah muka , hanya ketika berwudu saya basuh
1. Apa hukum air yang dah guna untuk basuh darah tu , kalau terkena pakaian , saya rasa tak kena baju tapi mungkin kena sebab masa saya basuh rambut yang mungkin terkena air bekas basuh darah tu , saya terbawa ke belakang kepala air tu dan mungkin kena leher dan kolar , tapi saya tak basuh , dan juga , air tu lepas basuh darah tu pun takda kesan darah , maksudnya darah tu hilang sebaik saja kena air , dua kali sahaja saya bersihkan darah tu sebab tak banyak mana , tapi dalam kadar yang banyak .
2. Saya yakin yang hanya di dahi saja dan sedikit hujung rambut( hanya khuatir) kena darah dan tak jatuh mengalir ke bawah sebab saya bongkokkan badan so saya basuh area situ sahaja , kalau keyakinan saya salah , adakah dimaafkan ?
tapi memang saya pasti hanya area situ sahaja darah ada kerana ianya sederhana banyaknya.
3. Saya lepas insiden ini terus solat zohor , adakah kena Qada solat tu ?
4. Kalau Saya guna keyakinan saya yang saya memang dah suci dan takda najis langsung walaupun air bekas guna darah tu kena baju dan malas nak layan was was dan terus lakukan ibadah , adakah boleh dan sah?
Untuk Rujukan Saiz darah tersebut sebesar Duit 50 sen dan 20 sen yang baru dan ketebalan darah , nipis sahaja
Waalaikumussalam.
1) Menurut Mazhab Syafie, air yang telah digunakan untuk mencuci darah (atau najis lain) menjadi najis. Jadi jika air tersebut terkena pakaian anda, maka pakaian tersebut perlu dicuci sebelum digunakan untuk solat. Tetapi jika anda tidak yakin air tersebut terkena pakaian anda, maka anda boleh menganggap pakaian tersebut masih suci.
2) Prinsip dalam Islam ialah ‘al-yaqin la yazulu bi al-shakk’ iaitu kepastian tidak boleh digugurkan oleh keraguan. Jadi jika anda yakin hanya area dahi dan hujung rambut yang terkena darah, maka keyakinan anda itu sah dan anda hanya perlu membersihkan area tersebut.
3) Jika anda yakin bahawa anda telah membersihkan semua darah dan wuduk anda sempurna, maka solat Zohor anda sah dan tidak perlu diqada’.
4) Jika anda yakin bahawa anda telah suci dan tidak ada najis, maka boleh anda teruskan ibadah anda. Tetapi jika ada keraguan, maka lebih baik untuk membersihkan diri atau pakaian tersebut sebelum solat.
Wallahu a’lam
Ouh begitu , bagaimana jika air itu tak berubah ustaz? Means masa saya basuh rambut tu , saya hanya khuatir darah kena rambut tapi tak pasti sebab dekatnya jarak dahi dan rambut , so saya basuh sekali , sebab saya hanya cuci darah yang keluar dua kali sahaja , dan masa basuh rambut pun takda darah
Waalaikumussalam.
Menurut Mazhab Syafie, air yang telah digunakan untuk mencuci najis atau darah dan tidak berubah warna, bau, dan rasa, ia tetap dianggap sebagai air musta’mal, atau air yang telah digunakan, dan tidak boleh digunakan untuk ibadah seperti wuduk atau mandi wajib. Ini berdasarkan pada asas bahawa air musta’mal tidak boleh digunakan untuk mencuci najis atau untuk ibadah.
Walau bagaimanapun, jika anda hanya merasa was-was atau ragu-ragu sahaja, dan tidak yakin bahawa rambut atau pakaian anda telah terkena darah, maka anda boleh bersikap zuhud (menyantai) dalam hal ini. Dalam Islam, keadaan yang yakin tidak boleh dinafikan oleh keraguan. Jadi jika anda yakin bahawa anda telah bersih dan tidak ada darah, dan hanya ragu-ragu sahaja, maka anda boleh meneruskan ibadah anda.
Namun, jika anda merasa was-was dan ragu-ragu, dan ini mengganggu ibadah dan fikiran anda, maka disarankan untuk mencuci bahagian yang mungkin terkena atau pakaian tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk menenangkan hati dan fikiran anda.
Wallahu a’lam.
Ouh ya dan juga saya ingin bertanya , saya bangun tidur dan buang air kecil dan mandi selama 40 minit , saya dah beristinjak sebersihnya , sampai air pakai hos saya banyak kali curah ke kemaluan saya di hujung , agak banyak sampai saya rasa ada banyak air masuk ke dalam hujung kemaluan tapi takla sampai kedalam dan juga semasa mandi 40 minit tu memang saya ada banyak curahkan juga air ke kemaluan saya , sebelum istinja saya dah pastikan takda air kencing , dan warna air kencing itu kuning sebelum istinja, ok selepas itu , saya berwudu , lalu solat subuh , selepas solat Subuh , dalam 15 minit camtu rasanya , saya duduk duduk sahaja santai , tapi saya rasa ada air keluar , bila check memang takda, tapi bila tekan sikit ada air jernih keluar , ok saya memang takda rasa teransang ke apa apa atau penat so keyakinan saya memang itu bukan Air mazi atau air wadi , sebab ianya seperti cecair dan tidak likat , kalau mazi dia lambat keluar kalau saya tekan , ini seperti air yang keluar , ok kalau nak kata kencing pula , kencing saya sebelum ni kuning , dan yang keluar seperti air yang jernih , sangkaan saya kuat mengatakan ini memang air , tapi datang was was kata ni mazi dan sebagainya, tiba tiba terlintas lepas kencing ada orang kadang keluar mazi , tapi tak logik sebab saya dah istinjak bersih bersih dan 40 Minit kot mandi, memang takda mazi , walaupun hujung kemaluan saya kadang gatal , tapi saya ni jenis sangat jarang keluar mazi saja saja , hanya bila teransang sahaja , kalau saya biarkan was was ini , dan menggunakan keyakinan ini ialah air sahaja yang maybe masuk ke dalam kemaluan disebabkan saya berlebihan selalunya dalam Istinja dan ketika mandi pun saya basuh , adakah boleh?
Dari keterangan anda, anda yakin bahawa cecair yang keluar adalah air biasa yang mungkin tertinggal semasa proses istinja atau mandi.
Dalam kes ini, anda boleh mengabaikan was-was tersebut dan boleh melanjutkan solat atau ibadah lainnya. Ini kerana dalam Islam, kita diajar untuk berpegang kepada keyakinan dan tidak boleh mudah dipengaruhi oleh was-was.
Jika anda masih ragu, anda boleh berwudu semula sebelum melanjutkan ibadah anda.
Pada masa yang sama, cuba untuk tidak terlalu berlebihan dalam istinja atau mandi agar tidak menimbulkan keraguan ini pada masa akan datang. Adalah penting untuk bersih, tetapi juga penting untuk menjaga keseimbangan dan tidak berlebihan dalam sesuatu.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum. Nak tanya, kalau orang yg kerja mengecat, dimaafkan kalau ada cat yg sedikit semasa ambil wudhu. Kalau saya bukan orang yg bekerja nengecat, tetapi melekat gambar plastik yg dah reput, pada tangan. Tangan saya basah atas plastik, dibiarkan lama, jdi ada gambar pada plastik tu melekat pada tangan. Saya dh basuk betul² tpi, lepas solat ada nampak kecik sangat lgi kesan mcm ‘cat’ tu, kecil sangat², saya perlu ulang je kr, solat saya.
Waalaikumsalam.
Dalam masalah ini, prinsip yang digunakan adalah “keberatan”. Jika bahan yang melekat pada kulit berjumlah sedikit dan tidak mengganggu air wudhu’ untuk sampai ke kulit, solat anda masih sah.
Secara umumnya, jika benda yang melekat pada kulit adalah sangat kecil dan tipis, ia tidak dianggap menghalang air daripada sampai ke kulit. Tetapi jika bahan yang melekat itu tebal dan besar, ia perlu dikeluarkan sebelum mengambil wudhu’.
Jadi, berdasarkan situasi yang anda jelaskan, jika kesan cat atau gambar tersebut sangat kecil dan tidak menghalang air dari mencapai kulit anda, maka wudhu’ dan solat anda dianggap sah.
Namun, agar tidak berlaku keraguan dalam ibadah, lebih baik membersihkan segala bahan yang melekat pada kulit sebelum mengambil wudhu’ dan solat.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz ,
saya ada seluar jeans yang dia dah start luntur , lalu warna dekat seluar saya tu mula melekat dekat hujung kuku , bukan bawah kuku tapi memang betul betul hujung kuku , walaupun guna sabun , hanya sedikit warna tu hilang dan susah nak tanggal , kalau tersentuh seluar ni , warna tu pula akan beralih ke hujung kuku sahaja kalau tersentuh, biasanya sedikit sahaja tapi memang akan nampak dari jauh ,
Adakah warna dari seluar ni akan menghalang sahnya wudu bila melekat dekat hujung kuku saya? Adakah pewarna pakaian yang digunakan dekat seluar jeans halang wudu?
Saya juga telah meneruskan 3 solat dengan keadaan kuku begini ,adakah sah atau saya perlu qada solat solat itu?
Waalaikumussalam.
1) Menurut pandangan mazhab Syafie, jika sesuatu melekat pada kulit yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit semasa berwudu’ atau mandi wajib, maka wudu’ atau mandi tersebut tidak sah sehingga benda tersebut dibuang. Contohnya seperti cat kuku, cat dan sebagainya.
2) Jika warna dari seluar jeans yang melekat pada hujung kuku anda adalah tipis dan tidak menghalang air sampai ke kulit di bawahnya, maka tidak menghalang sahnya wudu’. Pewarna pakaian pada seluar jeans itu sendiri tidak najis, jadi tidak mempengaruhi kebersihan wudu’.
3) Oleh itu, jika warna yang melekat di kuku anda itu tipis dan anda yakin air dapat sampai ke kulit di bawahnya semasa berwudu’, maka wudu’ dan solat anda sah dan anda tidak perlu qada’ solat tersebut. Jika tidak, maka anda perlu qada’ solat yang telah dilakukan dengan wudu’ yang tidak sah.
Semoga penjelasan ini membantu. Wallahu a’lam
Terima Kasih Ustaz 👍👍
Assalamualaikum, saya bila berwuduk masa basuh muka tu, akan sentiasa terbasahkan sekali rambut sampai belakang dan sampai telinga, basah yang memang basah la , tapi sebab saya nak reach kan air menyeluruh ke seluruh muka, adakah ia akan melanggar rukun wudu dan membuatkan solat saya tak sah dan kena qada ke nanti?
Wassalam
Ia tidak melanggar rukun wuduk dan solat itu sah.
aslm,saya nak tanya,kalau ambil wuduk menggunakan paip air yang berkarat tapi air tu tak karat ,sah kan ?
Wassalam
Sah
Assalamualaikum ustaz. Betul ke kalau ambik wudhu tapi tidak berkumur dan beristinsyaq, masih dikira sah wudhunya?
Wassalam. Ya selagi dibasuh anggota wajib wuduk maka wuduk itu sah
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?