Cara Wuduk Orang Sakit: Anggota Badan Yang Berbalut & Cedera

Cara Wuduk Orang Sakit

Bagaimana cara wuduk orang sakit?

Ini adalah panduan lengkap cara wuduk orang sakit untuk pesakit yang mempunyai anggota badan yang berbalut, luka dan cedera.

Panduan ini akan menerangkan cara dan menjawab soalan yang berkaitan dengan topik ini.

Pengenalan

Wuduk ialah meratakan air yang bersih (mutlak) pada anggota badan yang tertentu dengan cara-cara tertentu.

Tujuannya adalah untuk mengangkat hadas kecil supaya seseorang itu dapat melaksanakan ibadah seperti solat.

Kewajipan berwuduk untuk melakukan solat berdasarkan firman Allah SWT:

Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (pada hal kamu berhadas kecil) maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali…

(Al-Maidah 5:6)

Oleh itu, orang yang sakit juga tidak terkecuali kerana solat itu tetap difardukan terhadap orang yang sakit.

Namun Islam memberi kelonggaran atau rukhsah terhadap mereka yang sakit, bersesuaian dengan kemampuannya.

Cara Wuduk Pada Anggota Badan Yang Ada Jabirah

Jika Ada Balutan atau Benda Yang Melekat Pada Anggota Wuduk, Bagaimana Cara Hendak Berwuduk?

Apakah maksud jabirah?

Dalam istilah fekah, sebarang benda yang berada di atas anggota wuduk atau anggota tayamum dinamakan jabirah.

Jabirah ialah bermaksud ikatan, balutan atau ubat yang diletakkan (dilekatkan) di atas anggota yang sakit dan anggota yang sakit itu adalah anggota wuduk atau anggota tayamum.

Plaster, kain pembalut yang mengandungi ubat dan simen yang dilekatkan di tangan atau kaki juga termasuk dalam pengertian jabirah.

Seseorang yang berjabirah wajib wuduk pada anggota yang tidak berjabirah dan bertayamum pada anggota yang ada jabirah.

Cara wuduk orang sakit dan tayamum adalah seperti berikut:

  • Mengambil wuduk dengan membasuh anggota yang tidak sakit dengan air.
  • Menyapu air ke atas jabirah yang melekat pada anggota yang sakit. Ia bertujuan menggantikan basuhan biasa ke atas anggota yang sakit itu.
  • Bertayamum bagi menggantikan basuhan pada anggota yang sakit.

Bagaimana Jika Terdapat Banyak Balutan atau Jabirah?

Jika terdapat banyak jabirah pada satu anggota wuduk sahaja, maka cara berwuduk dan tayamum adalah sama seperti yang telah dijelaskan.

Sekiranya terdapat jabirah lebih daripada satu anggota wuduk, maka kekerapan tayamum mengikut bilangan anggota wuduk yang dilekatkan jabirah.

Jika kesemua anggota wuduk yang empat itu terdapat jabirah, maka bilangan tayamum sebanyak tiga kali.

Kali pertama untuk muka, kali kedua untuk kedua-dua tangan dan ketiga untuk kedua-dua kaki.

Walau bagaimanapun, untuk kepala tidak wajib untuk bertayamum bahkan memadai menyapu sedikit air pada sebahagiannya yang tidak melekat jabirah.

Jika keseluruhan kepada terdapat jabirah, maka wajib bertayamum sebanyak empat kali.

Dalam keadaan ini, tayamum kali ketiga untuk kepala dan kali keempat untuk kedua-dua kaki.

Pesakit Berhadas Besar Dan Berjabirah

Seorang yang berhadas besar dan terdapat jabirah di atas badannya, bagaimana cara dia mandi wajib dan bertayamum?

Oleh kerana dia berhadas besar, maka dia perlu mandi wajib bagi menghilangkan hadasnya.

Dan disebabkan kerana terdapat jabirah di atas badannya, dia wajib bertayamum bagi menggantikan basuhan di atas bahagian badan yang tidak boleh terkena air.

Selepas mandi wajib, adalah dia wajib bertayamum banyak kali jika terdapat banyak jabirah di atas badannya?

Walaupun terdapat banyak jabirah di atas badannya, dia hanya bertayamum sekali sahaja kerana keseluruhan badannya itu diumpamakan seperti satu anggota.

Tempat Sakit Tidak Boleh Kena Air Tetapi Juga Tidak Mempunyai Jabirah

Jika ada anggota yang sakit tidak boleh terkena air, tetapi tidak ada jabirah di atasnya dan sebahagian lagi boleh terkena air, bagaimanakah cara berwuduk dalam masalah ini?

Dalam masalah ini, wajib berwuduk pada anggota yang boleh terkena air dan bertayamum bagi menggantikan wuduk pada anggota yang tidak boleh terkena air.

Menyapu air atas anggota yang sakit tidak wajib kerana sapuan hanya disyaratkan ke atas atau kain pembalut yang menutup anggota yang sakit.

Masalah Anggota Tayamum Tidak Boleh Kena Debu Tanah

Anggota tayamum dua sahaja iaitu muka dan kedua-dua belah tangan. Bagaimanakah hendak bertayamum sedangkan anggota tersebut tidak boleh terkena debu tanah?

Jika kesakitan berlaku pada anggota tayamum dan tidak mungkin disapukan debu tanah di atasnya kerana akan menimbulkan mudarat atau menambah kesakitan, maka tidak wajib bertayamum.

Dia hendaklah solat tanpa bersuci dan wajib baginya mengulangi solat selepas sembuh nanti iaitu mengqada solat jika waktu solat telah berakhir dan sekadar ulangan solat jika waktu solat masih ada.

Solat yang dilakukan itu sebagai solat menghormati waktu.

Adakah Perlu Mengulang Solat?

Adakah seseorang yang ada jabirah di atas anggota wuduk wajib mengulang solatnya?

Ya, dia wajib mengulang solatnya jika:

  1. Jabirah itu pada anggota tayamum iaitu muka dan kedua-dua tangan sama ada ketika suci atau berhadas.
  2. Jabirah itu diletakkan dalam keadaan tidak suci (berhadas) sama ada pada anggota tayamum atau bukan.
  3. Jabirah itu diletakkan melampaui keperluan atau melebihi anggota yang sakit sama ada dalam keadaan suci ataupun berhadas.

Tetapi tidak wajib mengulangi solat jika:

  1. Jabirah itu pada bukan anggota tayamum.
  2. Jabirah pada bukan anggota tayamum diletakkan dalam keadaan suci walaupun melebihi keperluan.

Syarat-Syarat Menyapu Air Di Atas Jabirah

Terdapat dua syarat sebelum menyapu air di atas jabirah.

Syarat-syarat tersebut adalah:

  1. Jabirah yang melekat pada anggota yang sakit tidak boleh ditanggalkan sendiri kecuali orang yang tertentu sahaja seperti doktor atau jika boleh ditanggalkan ia akan memudaratkan apabila terkena air.
  2. Keseluruhan jabirah hendaklah disapu dengan air.

Perkara Yang Membatalkan Sapuan Di Atas Jabirah

Ada dua perkara yang membatalkan sapuan di atas jabirah iaitu:

1. Menanggalkan jabirah atau tertanggal sendiri.

Jika ditanggalkan jabirah dan terus solat, maka tidak sah solat.

Demikian juga jika jabirah itu tertanggal ketika sedang solat, maka batal solat sama ada anggota yang sakit itu telah sembuh atau belum.

Selain batal solat, wuduk atau tayamum turut batal sekiranya semasa jabirah tertanggal didapati anggota yang sakit telah sembuh.


2. Berhadas sama ada kecil atau besar

Apabila seseorang yang berjabirah itu berhadas, maka wajib baginya mengulangi tiga perkara iaitu membasuh anggota yang tidak sakit, menyapu air ke atas jabirah dan bertayamum.

Sekiranya dia tidak berhadas dan ingin mendirikan solat fardu yang berikutnya, maka memadai baginya bertayamum tanpa perlu diulangi basuhan (berwuduk atau mandi) dan sapuan di atas jabirah kerana yang wajib diulangi hanyalah tayamum sahaja setiap kali hendak mendirikan solat fardu.

Adakah Wajib Dilakukan Secara Tertib?

Adakah perbuatan berwuduk, menyapu air ke atas jabirah dan bertayamum, wajib dilakukan secara tertib?

Ada dua jawapan bagi persoalan ini, iaitu:

  1. Jika dalam keadaan berhadas kecil, ia wajib dilakukan secara tertib iaitu berwuduk, menyapu air ke atas jabirah dan bertayamum.
  2. Jika dalam keadaan berhadas besar, tiga perbuatan tersebut tidak wajib dilakukan secara tertib, tetapi melakukannya secara tertib adalah lebih baik dan afdal.

Hukum Minta Bantuan Orang Lain Untuk Wuduk

Ada dua jawapan bagi soalan ini:

  1. Orang sakit atau orang uzur yang tidak boleh melakukan sendiri perbuatan wuduk dan mandi adalah harus meminta pertolongan orang lain untuk tujuan tersebut. Dia tidak mungkin berwuduk atau mandi atau bertayamum tanpa pertolongan orang lain disebabkan keadaannya yang uzur.
  2. Orang yang mampu melakukan sendiri perbuatan wuduk atau mandi atau tayamum, adalah makruh meminta pertolongan orang lain untuk menyempurnakan perbuatan tersebut. Meminta pertolongan orang lain dalam keadaan dia mampu melakukan sendiri dihukum makruh kerana yang demikian menunjukkan kesombongan disamping menafikan hakikat pengabdian yang sebenar.

Penutup

Semoga panduan ini dapat membantu mereka yang sedang berada dalam keadaan uzur melakukan ibadat.

Solat itu tiang agama dan wajib dilakukan walaupun kita sakit.

Walaupun begitu, Islam memberikan keringanan kepada pesakit mengikut tahap kemampuannya.

Semoga dengan berkat kesabaran dan ketabahan kita melaksanakan sakit akan diberi kesembuhan dan keberkatan oleh Allah SWT.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nani
Nani
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum wbt. Adakah sah wuduk jika luka masih ada mengeluarkan sedikit darah walaupun telah dibersihkan banyak kali tetapi tidak memudaratkan untuk mengambil wuduk dengan mengalirkan air atas luka? Terima kasih, ustaz.

RADUAN ABD RAHMAN
RADUAN ABD RAHMAN
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah perkongsian ini dapat membantu …

Akhnatun
Akhnatun
2 tahun yang lalu

Alhamdulillah…terima kasih atas penerangan yang cukup jelas ni…

Alif
Alif
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum, kalau di anggota tayammum itu dalam keadaan bersimen seperti tangan bersimen, bolehkah kita tidak bertayammum dan hanya menyapukan air sahaja diatas simen sahaja sebab pada hakikatnya, kita perlu menqadakan juga solat itu apabila sudah sembuh?