Adab Menziarah Orang Sakit Dalam Islam

adab menziarah orang sakit

Apakah adab menziarah orang sakit?

Dalam artikel ini, anda akan belajar beberapa perkara berkaitan orang sakit seperti:

  • Adab menziarah
  • Doa untuk mereka
  • Adab melawat orang sakit tenat

… dan sebagainya.

Jika anda berminat dengan panduan ini, mari kita mulakan.

Pengenalan

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam.

Sebenarnya ziarah-menziarahi digalakkan bukan sekadar pada masa sakit sahaja.

Bahkan melengkapi semua keadaan, baik semasa sihat mahupun berdukacita sama ada terhadap sahabat handai, saudara-mara, kaum keluarga, yang muda, lebih-lebih lagi yang tua, bujang ataupun sudah berkahwin.

Semua ini telah pun dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Amalan seumpama ini akan mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, yang bermaksud:

Sesiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah SWT maka suatu (suara) akan menyerunya: ‘Bahawa kamu telah melakukan kebaikan, langkahmu adalah baik dan engkau telah menyediakan sebuah tempat tinggal di dalam Syurga’”

– Hadis riwayat at-Tirmizi (2008)

Sabda lagi daripada Abu Musa r.a.:

Berilah makanan kepada orang yang lapar, ziarahlah orang yang sakit dan lepaskanlah orang tawanan”

– Hadis riwayat al-Bukhari (5373)

ADAB MENZIARAH ORANG SAKIT

  1. Jangan duduk terlalu lama di sisinya kerana duduk terlalu lama itu membawa kepada jemu si pesakit itu.
  2. Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga berasa sebagaimana dia merasakannya.
  3. Doakan untuknya seperti dikatakan, “Ya Tuhanku, afiatkanlah/sihatkanlah sahabatku ini”, atau dikatakan baginya, “Semoga Allah menyembuhkan saudara dengan segera.”
  4. Nasihatkan supaya bersabar kerana dengan sakit itu mendapat pahala yang banyak dan ini sebagai dugaan semata-mata.
  5. Jangan makan makanan yang dihadiahkan orang kepadanya atau makanan yang disediakan untuknya kerana apabila dimakan maka hilanglah pahala ziarah itu.

 

DOA UNTUK ORANG SAKIT

 

doa untuk orang sakit

Maksudnya:

Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakitnya, sembuhkanlah dia dalam keadaan Engkau Penyembuh, tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan daripada-Mu jua, iaitu penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.

Dengan nama Allah yang memiliki tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kalangan kami, disembuhkan orang yang sakit daripada kalangan kami dengan izin Tuhan kami.

Dengan nama Allah, aku menjampi kamu dan Allahlah yang menyembuhkan kamu daripada segala penyakit yang ada pada kamu, daripada kejahatan wanita-wanita (ahli sihir) yang menghembus pada simpulan-simpulan tali, serta daripada kejahatan-kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.

Ya Allah, sembuhkanlah akannya dan sihatkanlah dia.

 

TUJUAN MENZIARAH ORANG SAKIT

  1. Dapat menghiburkan hati orang yang sakit itu, kerana dengan adanya penziarah orang sakit itu berasa ada orang yang bersimpati terhadapnya.
  2. Mengurangkan bebanan sakitnya dan memberikan harapan kepadanya.
  3. Mendoakan semoga segera sembuh.
  4. Membawa makanan/minuman yang sesuai.
  5. Membantu meringankan penderitaan batinya dan kalau boleh bantu menanggung perbelanjaan keluarganya.

 

ADAB MENZIARAHI ORANG YANG SAKIT TENAT

Apabila pesakit itu sudah tenat dan harapan untuk sembuh adalah tipis, beberapa tanda kematian boleh dilihat padanya.
Antara tanda kematian sudah terlalu hampir:

  1. Bulu kening sudah jatuh ke bawah tidak terletak di atas tulang dahi.
  2. Hidung sudah lembik.
  3. Tapak kaki sudah tidak tegak.
  4. Telinga sudah layu.

Maka patutlah beberapa perkara dilakukan, umpamanya hendaklah diberi pengharapan yang Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.

Pengharapan yang terakhir ialah sangka baik terhadap Allah.

Jangan biarkan pesakit itu bercakap yang bukan-bukan sehingga menimbulkan perasaan putus asa terhadap rahmat Allah SWT.

Maka si penziarah hendaklah:

1. Memperkatakan hanya perka-perkara yang baik sahaja kerana Malaikat a.s. mengaminkan apa yang kita ucapkan.


2. Memendekkan masa duduk dan jangan membuat bising.


3. Sunat diajarkan mereka kalimah syahadah:

لآ إِلَهَ إِلَّا الله

Maksudnya:

Tiada Tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah.

Mengajar kalimah itu memadailah sekali sehinggalah dia menuturkan perkara lain.

Setelah bertutur perkara-perkara yang lain maka ajarkan semula kalimah itu.


4. Orang yang sakit itu pula sunat membaca:

tasbih untuk orang sakit

Maksudnya:

Tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar.

Tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah semata-mata, tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya.

Tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah, bagiNya kerajaan dan segala pujian.

Tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah”

Nabi menjelaskan sesiapa yang membacanya ketika dia sakit lalu dia meninggal dunia, maka dia tidak akan dimakan oleh Api Neraka.


5. Selain itu dia sunat juga membaca:

tasbih nabi yunus

Maksudnya:

Tiada tuhan melainkan Engkau ya Allah, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan orang-orang yang zalim.

Sekiranya dia membacanya sebanyak 40 kali ketika sakit lalu meninggal dunia, maka dia akan diberi pahala seorang mati syahid.

Jika dia sembuh, semua dosanya akan diampunkan.

(Riwayat al-Munziri, daripada Saad bin Malik).


6. Ketika sakaratulmaut sunat dibaca:

Maksudnya:

Tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah. Sesungguhnya bagi kematian itu terdapat pelbagai kesukaran. Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, dan sampaikanlah aku ke tempat yang paling tinggi bersama kumpulan para nabi. Ya Allah, bantulah aku menghadapi segala kesukaran dan kepayahan mati.


7. Sunat dibaca surah Yasin kerana Baginda pernah bersabda, maksudnya:

Bacalah terhadap orang yang hampir mati itu surah Yaasin”

– Hadis riwayat Abu Daud (3121) dan Ibnu Hibban (720)

Diriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW, maksudnya:

“… dan Yasin ialah jantung al-Quran, tidaklah seorang hamba yang membacanya kerana menginginkan (keredhaan) Allah serta (kebahagiaan) negeri Akhirat melainkan diampunkan baginya. Maka bacalah terhadap orang yang akan mati antara kamu.

– Hadis riwayat Ahmad (26) dan an-Nasa’I (10913).

 

PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KEPADA JENAZAH

  1. Sunat menutup matanya.
  2. Melembutkan sendi-sendinya yang keras kaku.
  3. Mengikat dagunya ke kepala supaya mulutnya tertutup.
  4. Mendoakan si mati dan keluarganya supaya mereka beroleh kebaikan di dunia dan juga Akhirat.
  5. Menghadapkan jenazah itu ke arah kiblat.
  6. Letakkan sesuatu yang berat seperti besi di atas perutnya. Bukan meletakkan surah Yasin di atas perut sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah pihak.
  7. Menutup keseluruhan tubuhnya.
  8. Menanggalkan pakaian yang asal dan memakaikan pakaian yang lain.

 

Rujukan & Penutup

Rujukan bagi panduan ini adalah Modul Fardu Ain, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus.

Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca yang ingin belajar tentang adab bermasyarakat.

Jika ada sebarang persoalan, bolehlah dinyatakan pada ruangan komen di bawah.

Terima kasih.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

3 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Alya
Alya
4 tahun yang lalu

All of your recommended is are the best
And we can reading and everything.

Siti Khatijah
Siti Khatijah
4 tahun yang lalu

Terima kasih banyak kerana mengirim ilmu yang sangat penting dan bagus ini. In Syaa Allah sama-samalah kita amalkan.