CARA QIAMULLAIL: Panduan Lengkap Solat Malam

qiamullail

Ini adalah panduan mengerjakan Qiamullail.

Panduan ini disediakan secara lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda mengikutinya secara langkah-demi-langkah.

Apa yang menarik:

Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam panduan ini bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.

Semoga panduan ini dapat membantu anda.

Apakah Maksud Qiamullail?

bacaan zikir solat taubat

Apakah yang dimaksudkan dengan Qiamullai?

Sebenarnya qiamulail bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT.

Orang yang berqiamullail akan meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk mengerjakan solat, bertakbir membesarkan Allah SWT, bertasbih mensucikanNya dan berdoa pada waktu malam.

Sabda Rasulullah SAW:

Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.

—  Riwayat Tirmizi

Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dari dahulu lagi.

Waktu Untuk Melakukan Qiamullail

Malam dibahagikan kepada tiga bahagian.

Dua pertiga digunakan bagi tidur dan satu bahagian diperuntukkan untuk qiamullail.

Terdapat dua kaedah membahagikan masa ini, iaitu:

Kaedah A

  • Tidur terlebih dahulu pada dua pertiga malam.
  • Bangun bagi beribadah pada bahagian akhir malam sehingga masuk waktu pada solat subuh.

Kaedah B

  • Tidur pada awal malam selama sepertiga malam.
  • Bangun pada pertengahan malam bagi mengerjakan ibadah.
  • Tidur semula pada suku ketiga malam sehingga waktu solat subuh.

Cara kedua (kaedah B), iaitu bangun pada pertengahan malam lebih baik diamalkan.

Ini kerana, pada masa itu sebahagian besar penghuni sudah nyenyak tidur dan tiada gangguan daripada manusia.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

Allah, Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam ketika masih tinggal sepertiga malam yang terakhir sambil berkata, “Sesiapa yang berdoa (pada waktu ini), maka Aku akan perkenankannya, siapa yang ingin meminta sesuatu (pada waktu ini) maka Aku akan kurniakannya, sesiapa yang ingin memohon ampun (pada waktu ini) maka Aku akan ampunkannya”

— Hadis direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim

Separuh Malam Yang Terakhir

Waktu malam dibahagikan kepada dua bahagian.

Satu bahagian untuk tidur dan bakinya adalah untuk beribadah.

Sekiranya malam dibahagikan seperti ini, bahagian kedua malam lebih baik dijadikan masa untuk beribadah.

Pada waktu ini, keadaan sekeliling lebih tenang daripada kesibukan manusia bekerja. Ia juga memberikan kesegaran kerana mendapat tidur yang mencukupi sebelum bangun.

Dengan menggunakan kaedah ini, seseorang digalakkan tidur pada awal waktu dan bangun semula pada akhir malam sebelum masuk waktu subuh.

Selepas selesai qiamullail, dianjurkan bersiap menunaikan solat subuh di masjid atau surau.

Tidur sebentar sebelum subuh juga dibenarkan sekiranya diyakini dapat bangun.

Abdullah Bin Amru meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

Puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Nabi Daud, dan solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat Nabi Daud. Beliau tidur separuh malam dan berjaga sepertiga malam, dan tidur pula seper-enam malam. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari

— Hadis direkodkan oleh al-Jama’ah melainkan at-Tirmizi

Malam juga dapat dibahagikan kepada empat ataupun lima bahagian.

Waktu terbaik bagi melaksanakan qiamullail adalah pada waktu terakhir malam.

Memperbanyakkan amalan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan sangat diutamakan, semoga-moga insyaAllah bertemu dengan Malam Lailatul Qadar.

Persediaan Sebelum Qiamullail

Apakah amalan yang membantu kita mudah bangun malam?

Kemampuan bangun malam daripada tidur yang selesa dan meninggalkan dakapan orang tersayang semata-mata kerana Allah SWT, bukanlah perkara yang mudah dilakukan.

Di bawah ini adalah beberapa amalan yang boleh dilakukan bagi membantu anda bangun qiam:

Amalan Sebelum Tidur

1. Berniat Dan Berazam Untuk Berqiamullail

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah.

Tidak memadai sekadar angan-angan kosong ataupun tidur dalam keadaan tidak bercadang mahu bangun.

Apabila bertekad mahu bangun, seseorang itu pasti melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia bangun seperti menggunakan jam loceng, meminta orang lain mengejutkan, ataupun tidur dalam keadaan kurang selesa.

Allah SWT mengiktiraf niat dan azam hambaNya yang mahu bangun menyembahNya pada waktu malam.

Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bangun sehingga subuh, Allah SWT tetap memberikan ganjaran lumayan atas keinginannya itu.

Saidatina Aisyah r.a menyatakan perkara ini berdasarkan penjelasan yang didengari daripada suaminya, Rasulullah SAW:

Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam, tetapi tertidur, pasti Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya adalah sedekah untuknya.

— Hadis direkodkan oleh An-Nasaie dan Abu Daud

2. Meninggalkan Dosa & Maksiat Terutama Pada Waktu Siang

Qiamullail adalah ibadah istimewa yang dianugerahkan kepada mereka yang beriman dan menjauhi maksiat.

Apabila seseorang melakukan maksiat, ia menjadi penghalang besar untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT.

Kenyataan ini dapat dilihat pada jawapan Ibrahim bin Adham apabila diajukan persoalan berkenaan kesukaran bangun malam.

Beliau menasihatkan:

Janganlah kamu melakukan maksiat pada waktu siang, pasti Allah membangkitkan kamu dihadapanNya pada waktu malam. Sesungguhnya berdirinya kamu dihadapanNya pada waktu malam adalah antara kemuliaan yang besar dan orang yang melakukan maksiat tidak berhak atas kemuliaan itu.

Oleh itu, sesiapa yang berazam bangun malam perlu meninggalkan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat malam ini.

Elakkan menonton perkara kotor dan lucah. Jauhkan diri daripada mendengar lagu-lagu yang merangsang syahwat dan lirik yang kesat serta jijik.

Usah sesekali melangkah ke tempat yang mengheret ke lembah maksiat seperti kelab malam, karoeke, konsert dan pesta.


3. Menghadkan Pengambilan Makanan dan Minuman Terutama Makan Malam

Bagi mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam.

Elakkan makan terlalu banyak terutamanya makanan yang berat seperti nasi, mee, pizza, burger dan sebagainya.

Makanan yang diambil pada waktu malam terutamanya selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam bagi memproses semua makanan ini.

Dalam proses ini, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Kesannya, orang yang banyak makan pasti berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak.

Sekiranya dia dapat bangun pada pertengahan malam, dia juga berasa malas bagi melaksanakan solat.

Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dalam perihal makan dan tidak berlebihan.

Sabda baginda:

Tidaklah seseorang anak Adam itu memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap bagi menguatkan tulang belakangnya. Sekiranya tiada jalan lain, maka jadikanlah (perutnya) sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.

— Hadis direkodkan oleh At-Tirmizi, Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ 5674

4. Mengamalkan Tidur Qailullah Pada Waktu Siang

tidur qailullah

Qailullah ialah tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas zohor.

Ia bertujuan merehatkan diri dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur ataupun keletihan.

Rehat yang baik seperti ini membantu seseorang itu bangun pada malam hari.

Anas Bin Malik melaporkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:

Mohon pertolongan bagi berpuasa pada siang hari dengan sahur, dan berqiamullail dengan qailullah.


5. Berwuduk Sebelum Tidur

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya supaya tidur dalam keadaan suci dari segi pakaian dan badan.

Malah, dianjurkan berwuduk sebelum masuk tidur.

Dalam hadis al-Bara’ Bin A’zib, Rasulullah SAW berkata, “Apabila kamu ingin masuk tidur, maka ambillah wuduk dengan cara berwuduk untuk solat”.

Sehubungan dengan itu, Muaz bin Jabal meriwayatkan Rasulullah SAW menyatakan:

Setiap Muslim yang tidur dengan membaca zikir dan dalam keadaan suci (berwuduk), lalu dia terjaga pada waktu malam, lantas berdoa kepada Allah memohon kebaikan urusan dunia dan akhirat, pasti Allah akan mengurniakan kebaikan itu kepadanya

— Hadis direkodkan oleh Ahmad dan Abu Daud, Sahih al-Jami’ (5754)

Amalan Selepas Bangun Tidur

Membangunkan Orang Tidur

1. Menyapu Muka Selepas Bangun Daripada Tidur dan Berzikir

Setiap hari kita diizinkan Allah untuk hidup kembali setelah beberapa jam dimatikan oleh Allah, atau dengan kata lain, menikmati nikmat tidur yang nyenyak.

Islam telah menganjurkan sunnah yang sangat baik iaitu membaca doa bangun tidur.

 Alhamdulillahil-ladzii AhYaaNaa Ba’daMaa Amaa TaNaa Wa ilaihin NuSyuuRu 

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”


2. Menyucikan Diri & Tubuh Badan

Biasanya jika kita bangun tidur, pasti kita tidak sedar apa yang berlaku sepanjang kita tidur.

Mungkin najis keluar dari mulut seperti air liur basi, ataupun keluar dari kemaluan.

Sama ada bermimpi ataupun yang seumpama dengannya.

Jika bermimpi yang menyebabkan hadas besar, wajiblah kita mandi junub.

Jika yakin tidak bermimpi, adalah baik untuk tetap membersihkan juga badan.

Kemudian, bersugi dan mengambil wudhu untuk persediaan solat sunat (qiamullail)


3. Membangunkan Isteri Dan Anak-Anak

Selain bangun sendirian, Allah SWT menjanjikan rahmatNya kepada mereka yang membangunkan ahli keluarganya bagi qiamullail.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam dan bersolat. Kemudian, dia membangunkan isterinya bagi bersolat. Sekiranya isteri itu enggan, dia merenjiskan air ke mukanya. Allah merahmati seorang perempuan yang bangun pada waktu malam dan bersolat. Kemudian, dia membangunkan suaminya. Apabila suami itu enggan, renjis air ke mukanya.

— Hadis direkodkan oleh An-Nasaie, Ibnu Majah dan Abu Daud

Bangun pada waktu malam ketika orang lain nyenyak diulit mimpi dan meninggalkan tilam yang empuk bukan perkara yang mampu dilakukan oleh semua orang.

Justeru, qiamullail adalah solat istimewa bagi hamba Allah yang benar-benar dekat denganNya.

Solat-Solat Sunat Dalam Qiamullail


Terdapat beberapa jenis solat sunat dikerjakan dalam Qiamullail.

Antara solat yang biasanya dikerjakan semasa Qiamullail mengikut tertib adalah:

  • Solat Tahajjud
  • Solat Taubat
  • Solat Hajat
  • Solat Tasbih
  • … dan diakhiri dengan Solat Witir.

Mari kita perhalusi satu per satu cara mengerjakan solat-solat tersebut:

Solat Tahajjud

Solat Tahajjud adalah solat untuk menolak daripada tidur kerana ia adalah solat pada akhir malam.

Fadilat solat ini sangat besar.

Allah SWT berfirman:

Dan daripada sebahagian malam bertahajjudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkan di tempat yang terpuji.

— Al-Isra’ 17:79

Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajjud walau satu malam pun sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu banyak berdiri.

Baginda bersabda yang ertinya;

Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajjud)”

— H.R Muslim
Niat Tahajjud

Niat Solat Tahajjud adalah seperti berikut:

niat solat sunat tahajjud

 Usolli Sunnatal Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala

Jumlah Rakaat

Tidak ada keterangan khusus berkenaan solat sunat tahajjud secara terperinci.

Bilangan rakaatnya tidak terbatas, tetapi sekurang-kurangnya dilakukan dua rakaat dengan satu salam.

Bacaan Surah

Bacaan surah selepas al-Fatihah tidak ditetapkan.

Boleh sahaja dibaca sebarang surah yang diingini.

Selepas solat tahajjud, hendaklah memperbanyakkan doa dan beristigfar kerana waktu ini merupakan salah satu waktu mustajab Allah SWT menerima segala doa hambaNya.

Doa Tahajjud

Selesai solat, baca doa berikut:

doa tahajjud

Maksudnya:

Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya.

BagiMulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. BagiMulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.

BagiMulah segala puji, Engkaulah yang benar, Engkaulah yang benar, janjiMu adalah benar, perjumpaanMu itu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.

Ya Allah, kepadaMulah aku berserah diri, kepadaMulah aku kembali, kepadaMulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.

Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.

NOTA

Seboleh-bolehnya setiap hari kita bangun berqiamullail sekadar melakukan solat tahajjud 2 rakaat.

Jika ada kekuatan bolehlah tambah dengan solat-solat sunat berikutnya.

Solat Taubat

Solat sunat taubat adalah salah satu solat yang sangat dituntut mengerjakannya.

Daripada Abdullah bin Buraidah daripada bapanya:

Pada pagi satu hari, Rasulullah SAW memanggil Bilal, sabdanya: “Wahai Bilal! Dengan apa engkau mendahului aku masuk syurga? Semalam aku masuk syurga dan aku mendengar suaramu di hadapanku”.

Maka jawab Bilal: “Wahai Rasulullah! Setiap kali aku berdosa aku solat dua rakaat, dan setiap kali aku berhadas aku berwuduk dan aku solat dua rakaat.”

Mari kita lihat kaedah perlaksanaan solat sunat taubat:

Niat Solat Taubat

Niat solat taubat adalah seperti berikut:

cara solat taubat

 Usolli Sunnatal Taubati Rak’ataini Lillahi Taala 

Maksudnya: 

Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala

Cara Mengerjakan

Solat Taubat adalah sebanyak 2 rakaat dan bacaannya seperti solat biasa.

Bacaan surah tidak ditentukan.

Selepas solat, hendaklah mengucapkanlah istigfar berulang kali:

cara solat taubat

 Astagfirullah hal ‘azim allazi laa ilaaha illa huwalhayyu-qoyyum wa atu bu ilaih 

Doa Taubat

Akhir sekali adalah berdoa.

Doa memohon keampunan Allah adalah seperti berikut:

doa solat taubat

 Allahumma inni zholamtu nafsi zull-man kasiran walaa yagh-firu zunuuba illa anta, fagh-firli min indika magfirotan innaka antal rgho-fuu rur-rahim. 

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

Solat Hajat

Dianjurkan untuk melakukan Solat Hajat dua rakaat.

Bacaannya seperti solat biasa. Bacaan surah adalah bebas dan tidak ditentukan.

Niat Solat Hajat

Lafaz niat solat hajat seperti berikut:

niat solat sunat hajat

 Usolli Sunnatal Hajati Rak’ataini Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.

Semasa dalam sujud terakhir:

Pohonlah sebarang hajat di dalam hati sewaktu masih dalam keadaan sujud sebelum memberi salam.

Doa Solat Hajat

Kemudian selepas memberi salam terus berdoa:

doa solat sunat hajat

Allahumma inna nas aluka maujibati rahmatika wa ‘azaa ‘ima magfiratika wal ghonimata min kulli birrin wassalamat min kulli ismin wal fauza bil jannati wannajati minannar.

Allahumma innaka tasma’u kalami, watara makani wataq lamu sirri wa’ala niyati walaa yahfa alaika syai-unn min amri wa analba’isulfakir wal mustaghi sul mustajir wal wajilul mushfiqul muqirrul ma’tarifu ilaika bizanbihi as aluka mas alatal miskin wa abtahilu ilaika ibtihal

Ilmuznibil zalili wa ad auka dua alkhoifil dhorir dua ‘aman khodhoatt laka raqabatuhu wazalla laka jismuhu wara ghima laka anfuhu


Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.

Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.

Solat Tasbih

Solat sunat tasbih sangat dituntut untuk dikerjakan bagi mereka yang ingin mencari keredhaan Allah SWT.

Solat ini pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a.

Solat sunat tasbih diberikan nama sedemikian kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 tasbih semasa mengerjakannya.

Jumlah Rakaat

Oleh kerana solat ini akan dilakukan pada waktu malam (qiamullail), kaedah perlaksanaannya adalah sebanyak empat rakaat dengan setiap dua rakaat satu salam.

Niat Solat Tasbih

Lafaz niat solat sunat tasbih dua rakaat adalah seperti berikut:

niat solat sunat tasbih 2 salam

 Usolli Sunnatal Tasbihi Rak’ataini Lillahi Taala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.

Surah-Surah Yang Boleh Dibaca

Surah-surah yang baik untuk dibaca pada tiap-tiap rakaat sesudah bacaan al-Fatihah adalah sebagaimana berikut:

  1. Surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-Adiyat pada rakaat kedua, surah An-Nasr pada rakaat ketiga, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat keempat.
  2. Surah Ad-Dhuha pada rakaat pertama, surah al-Insyirah pada rakaat kedua, surah al-Kauthar pada rakaat ketiga, dan surah an-Nasr pada rakaat keempat.

Jika tidak menghafal surah-surah tersebut tersebut bolehlah membaca surah yang mudah baginya.

Lafaz Bacaan Tasbih

Lafaz bacaan tasbih yang dibaca di dalam solat sunat ini adalah:

bacaan tasbih dalam solat sunat tasbih

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Tempat Perlu Dibaca Tasbih

Bacaan tasbih ini dibaca selepas bacaan yang biasa dalam solat.

Contohnya, membaca tasbih tiga kali yang biasa dibaca dalam rukuk dan sujud kemudian barulah membaca tasbih tersebut sebanyak 10 kali.

Bacaan tasbih adalah pada tempat-tempat berikut pada rakaat pertama:

  • Dibaca selepas membaca al-Fatihah dan surah (seeloknya az-Zalzalah) 15 kali.
  • Dibaca dalam rukuk 10 kali.
  • Dibaca dalam iktidal 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud 10 kali.
  • Dibaca di antara dua sujud 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud kedua 10 kali.
  • Dibaca ketika duduk istirahah 10 kali.

Jumlah tasbih pada rakaat pertama adalah 75 kali.

Kemudian dibaca pula tasbih pada tempat-tempat seperti berikut pada rakaat kedua:

  • Dibaca selepas membaca al-Fatihah dan surah (seelok-eloknya surah al-‘Adiyat) 15 kali.
  • Dibaca dalam rukuk 10 kali.
  • Dibaca dalam iktidal 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud 10 kali.
  • Dibaca di antara dua sujud 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud kedua 10 kali.
  • Dibaca selepas tahiyat 10 kali.

Jumlah tasbih pada rakaat kedua juga adalah 75.

Semua tasbih dibaca dalam kedua-dua rakaat adalah 150 kali. Jumlah bacaan tasbih bagi keempat-empat rakaat adalah 300 kali.

Doa Solat Tasbih

Doa solat tasbih boleh dibaca di hujung tasyahud akhir ataupun setelah memberi salam.

doa solat sunat tasbih

Maksudnya:

Ya Allah, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikan amalan ini seperti mana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazamanku seperti mana orang-orang yang takut.

Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak.

Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakkal kepadaMu dalam setiap perkara.

Dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran.

Ya Tuhan kami, sempurnakanlah kepada kami cahaya kebenaran, dan ampunilah kami.

Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa

Solat Witir

Nota

Di Bulan Ramadan, jika anda sudah mengerjakan Solat Witir selepas Tarawih, maka anda tidak perlu lagi melakukan witir pada akhir malam semasa Qiamullail.

Apakah maksud witir?

Witir bermakna ganjil.

Solat Witir hukumnya sunat muakkad (sunat yang amat dituntut) untuk kita melakukannya.

Jumlah Rakaat

Jumlah rakaat sekurang-kurangnya satu rakaat tetapi lebih akmal (sempurna) ialah tiga rakaat.

Selepas itu, yang lebih akmal ialah lima, selepas itu tujuh dan selepas itu sembilan dan yang paling banyak ialah 11 rakaat.

Lafaz Niat Witir

Niat Solat Witir tiga rakaat (dua rakaat satu salam dan satu rakaat satu salam) adalah seperti berikut:

witir 2 rakaat

 Usolli Sunnatal witri rak’ataini lillahi taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala.

witir 1 rakaat

 Usolli sunnatal witri rak’atan lillahi taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.

Bacaan Surah

Bacaan surah selepas al-Fatihah, dianjurkan membaca surah ini:

RakaatBacaan Surah
Pertamaal-A’la
Keduaal-Kafirun
Ketigaal-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas

Solat Witir Pada Awal Malam Atau Akhir Malam?

Solat Witir itu sebaik-baiknya dikerjakan akhir sekali daripada solat-solat pada malam hari.

Jika dikerjakan Solat Witir selepas Isyak, maka tidak perlu diulang jika hendak bertahajjud (qiam) selepas bangun daripada tidur pada waktu sahur.

Diterangkan dalam sebuah hadis:

Daripada Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan solat dua rakaat sesudah witir dalam keadaan duduk

(Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Tirmizi)

Boleh juga dilakukan sebelum tidur ataupun selepas bangun daripada tidur pada akhir malam.

Melakukan Witir pada akhir malam adalah afdal jika yakin boleh terjaga untuk bertahajjud.

Jika melakukan witir sebelum tidur, dibolehkan juga melakukan Solat Tahajjud apabila bangun daripada tidur dan tidak perlu mengulangi Witir sekali lagi.

Diterangkan dalam sebuah hadis:

Tiada dua witir (dikerjakan) dalam satu malam.

(Riwayat Abu Dawud, Nasa’i dan Tirmizi dan beliau mengatakan ia hadis hasan)

Turutan Dalam Membaca Doa

doa ramadan

Ada turutan (keutamaan) dalam membaca doa, iaitu:

  1. Mulakan dengan memuji Allah SWT.
  2. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para Sahabat.
  3. Memohon keampunan untuk diri sendiri, kedua ibu bapa, isteri serta anak-anak dan seluruh kaum muslimin.
  4. Memohon dicukupkan keperluan di dunia; rezeki halal, dipanjangkan umur, dijauhkan daripada bala, direzekikan rasa kemanisan dalam beribadah.
  5. Memohon dikurniakan husnul khatimah, mati dalam keadaan beribadah kepada Allah dan dijauhkan fitnah ketika sakaratul maut.
  6. Memohon diberikan nikmat kubur yang indah seperti dijauhkan daripada seksa kubur yang dahsyat dan diluaskan kubur sejauh mata memandang.
  7. Memohon agar dipermudahkan di Padang Mahsyar, mendapat syafaat Rasulullah, berpeluang minum air di Telaga Nabi, dipermudahkan hisab, menerima kitab amal suratan dengan tangan kanan, termasuk dalam kalangan orang yang mendapat maqam yang terpuji, dipermudahkan melalui Titian Sirat, dijauhkan daripada seksa api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.
  8. Yang terakhir moga mendapat darjat yang tinggi di dalam syurga dan berdamping dengan Rasulullah di dalam syurga.
  9. Akhiri doa dengan selawat dan puji-pujian kepada Allah SWT.

Amalan Lain Yang Disunatkan Semasa Qiamullail

Antara amalan-amalan lain yang disunatkan semasa qiamullail ialah:

Membaca al-Quran

Membaca al-Quran adalah satu ibadat yang mempunyai pahala yang besar kerana setiap huruf yang dibaca itu akan digandakan sepuluh kebajikan.

Dalam perkara tersebut Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud:

Bacalah olehmu al-Quran kerana pada hari kiamat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.”

(Riwayat Muslim)

Antara surah-surah yang sangat baik untuk dibaca ialah:

  1. Surah Yasin, ia merupakan surah jantung al-Quran (Hadith riwayat Ahmad).
  2. Surah al-Rahman, ia diibaratkan gadis pengantin (Hadith riwayat Ahmad).
  3. Surah al- ‘Ala, ia adalah surah yang sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Bukhari).
  4. Surah al-Fatihah, ia adalah pokok al-Quran (Hadith riwayat al-Bukhari).
  5. Surah al-Kahfi, ia adalah tempat naungan pada hari akhirat (Hadith riwayat al-Bukhari)
  6. Surah al-Kahfi, ia merupakan tempat naungan para malaikat (Hadith riwayat Muslim)
  7. Surah al-Sajadah, ia sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Tarmizi)
  8. Surah al-Mulk, ia adalah surah yang memberi syafaat pada hari akhirat nanti (Hadith riwayat Ibn Majah).
  9. Surah al-Nas dan al-Falaq, ia adalah surah yang memberi perlindungan pada hari akhirat nanti (Hadith Abu Daud)

Memperbanyakkan Zikir

Berzikir ialah sama ada menyebut kalimah لا إلهَ إِلاَّ اللهُ (Laa Illahaillah) atau سُبْحَانَ الله (Subhanallah)

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman ingatlah kepada Allah melalui zikir yang banyak.”

(Surah al-Ahzab: 41)

Antara Fadilat Zikir Adalah:

  1. Mengubati hati yang lalai dan leka.
  2. Untuk mendapatkan darjat dan kurniaan yang melimpah pada hari akhirat nanti.
  3. Bagi sesiapa yang bertasbih seratus kali dan tahlil seratus kali selepas sembahyang Subuh maka Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan sekalipun.

Kelebihan Qiamullail

Islam memberi galakan kepada umatnya melakukan ibadah tambahan bagi melengkapkan dan menyempurnakan lagi ibadah mereka.

Qiamullail adalah ibadah yang begitu dituntut?

Sebagai manusia yang hidup di tengah-tengah masyarakat, setiap hari kita bergaul dengan manusia daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kekalutan mengejar tanggungjawab begitu membatasi kita beribadah secara khusus untuk Allah SWT. Justeru, waktu malam adalah nikmat terbesar bagi seorang hamba yang mahu berhubung dengan penciptaNya.

Antara kelebihan-kelebihan qiamullail adalah:

1. Ibadah Yang Eksklusif

Qiamullail adalah ibadah sunat yang eksklusif antara seorang hamba bersama Tuhannya.

Besar peranannya kepada manusia sehingga Allah SWT pernah mewajibkan solat malam ini sebagaimana kalamNya dalam sural al-Muzammil ayat 2:

Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak adalah bagi berehat)

Kewajipan ini kemudian dimansuhkan berdasarkan surah al-Israk, ayat 79.


2. Meningkat Darjat

Qiamullail juga adalah jalan mudah bagi meningkatkan kedudukan manusia di sisi Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan:

Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta laksanakan solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.


3. Pengiktirafan Sebagai Hamba Bertaqwa

Mereka yang bangun beribadah pada waktu malam juga mendapat pengiktirafan sebagai orang yang bertakwa.

Allah menggambarkan orang bertakwa itu seperti dalam surah Az-Zariyat ayat 17 dan 18:

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa daripada waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)

Kata ganti nama diri ‘mereka’ yang digunakan dalam ayat di atas merujuk kepada orang yang bertakwa sebagaimana yang disebutkan pada ayat kelima dalam surah yang sama.


4. Gambaran Sifat Orang Beriman

Orang yang sedikit tidurnya dan membahagikan waktu malamnya bagi beribadah kepada Allah SWT adalah orang yang memiliki sifat orang yang beriman.

Gambaran ini Allah SWT ceritakan dalam ayat 16 dan 17 dalam surah As-Sajadah:

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sangat sedikit tidur, kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh). Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (pada kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperoleh lagi (keredhaanNya), dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan. Maka, tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan.


5. Kaedah Merawat Tubuh Yang Sakit

Menariknya ibadah ini juga merawat tubuh yang sakit sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

Hendaklah kamu berqiamullail kerana sesungguhnya ialah adalah cara orang soleh sebelum kamu, ia juga mendekatkan kamu kepada Allah SWT, dan menghalang kamu daripada dosa. Dan ia juga menghilangkan penyakit daripada tubuh.

— Hadis riwayat at-Tirmizi

Penutup

Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa qiamullail merupakan amalan sunat yang sangat tinggi ganjarannya dari Allah SWT.

Amalan ini boleh dikerjakan secara persendirian atau bersama anak isteri di rumah ataupun secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada semua pembaca.

InsyaaAllah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

134 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Abdullah Khair
Abdullah Khair
2 bulan yang lalu

terima kasih ustaz , harap sy dpt smbuh sepenuh nya, qobiltu ijazah .. dan harap ustaz pom dpt sy tumpang berdoa untuk sembuh

eikaa
eikaa
7 bulan yang lalu

Salam, saya nak bertanya bagaimana dengan orang yang kerja shif malam yang tidak tidur sepanjang malam dan mahu mendirikan qiammulai?

Meaa
Meaa
8 bulan yang lalu

Assalamualaikum,
Jika selepas Solat Tarawih, Solat Witir dilakukan dan selepas Qiamulail juga Solat Witir dilakukan. Tidak menjadi satu kesalahankan?

Terima kasih

Ahmad Faizh
Ahmad Faizh
8 bulan yang lalu

Salam Ustaz… Bolehkah Kita mengimamkan isteri Dan anak2 semasa melakukan solat2 Sunday sewaktu qiamullail. Terima kasih ustaz

Azlan
Azlan
Reply to  Muhamad Naim
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum, Ustaz.

Petikan Ustaz di atas:

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Apabila seseorang lelaki mengerjakan solat di rumahnya lalu dia mengimamkan ahli rumahnya, maka itu lebih baik daripada dia solat (berjemaah) di masjidku ini.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kalau begitu, menjadi imam di rumah lebih diutamakan daripada menjadi makmum di masjid/surau.

Betul apa yang saya faham berhubung petikan Ustaz tersebut?

Mohon pencerahan. Terima kasih ya, Ustaz

Azlan
Azlan
Reply to  Muhamad Naim
21 hari yang lalu

Alhamdulillah. Terima kasih di atas pencerahan ustaz tersebut.

Noorhazmin Mat Noor
Noorhazmin Mat Noor
8 bulan yang lalu

Alhamdulillah, terbaik. Terima Kasih

Dea
Dea
9 bulan yang lalu

Assalamualaikum dan Alhamdulillah . Moga pahala sentiasa mengalir utk empunya website & teman sekerja asbab adanya website yg sgt2 membantu utk menambah ilmu,memperbaiki pengetahuan dan lebih mendalami mengenai Islam serta amal ibadat didalam nya. Semoga kita semua dapat sama2 berusaha ke arah yang lebih baik dan dekat dgn pencipta kita. Amin

ab majid bin aziz
ab majid bin aziz
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum Ustaz:

Boleh tak kita gabongkan solat fardu isyak dengan solat2 sunat yang lain selepas kita tidor terlebih dahulu.

Terima kasih

ab majid bin aziz
ab majid bin aziz
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Maksud saya , saya tidor terlebih dahulu kemudian baru saya solat isyak dan lain2 solat sunat. Boleh ke begitu ?

Terima kasih

Aizat
Aizat
1 tahun yang lalu

Terima kasih kerana membuat panduan ini Ustaz. Dh lama saya lalai didunia ini, alhamdulillah Allah memberi hidayah kepada sy. Dngn adanya panduan ini, telah memudahkan sy untuk melakukan qiamullah.

Julia
Julia
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah terima kasih utk panduan Ustaz. Syukur saya dah mula tahajud sejak ramadan baru ini. Saya rujuk nota ustaz.. semoga Allah merahmati ustaz dan keluarga dunia akhirat. Amin.

Diah Osman
Diah Osman
1 tahun yang lalu

Salam ustaz ..nak tanya ~ berkenaan membaca Al Quran, boleh tak kita baca rumi quran sambil dengar audio qari sebab takut salah sebutan? Atau patut sya dengar audio sambil membaca terjemahannya?