Adakah benar musibah akan menghapuskan dosa?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANSaya ada satu soalan hendak ditanyakan iaitu adakah betul kalau orang Islam kena musibah maka dosa mereka dihapuskan?
Kalau benar adakah orang Islam yang baik sahaja atau semua orang Islam termasuk yang melakukan dosa?
JAWAPAN
Sesungguhnya setiap musibah yang menimpa orang yang beriman akan menjadi penghapus segala dosa dan kesalahannya.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. sungguhnya Nabi saw bersabda:
Tiada suatu yang menimpa orang Islam daripada kepenatan dan penyakit dan kebimbangan dan kesedihan dan kesulitan dan kebuntuan sehingga duri kecil yang mencucuknya melainkan Allah akan menghapuskan dengan musibah itu segala kesalahannya.”
(Hadith Imam Bukhari)
Jelas dari hadith ini bahawa segala macam benda yang menyusahkan orang Islam di dalam dunia menjadi penghapus dosa dan kesalahannya walau pun musibah yang sangat kecil seperti duri kecil terkena jari.
Berkata ulamak bahawa musibah menghapuskan dosa dan kesalahan ini adalah untuk sekelian orang Islam samada orang itu soleh atau fasiq.
Mereka berdalil dengan sebuah hadith riwayat daripada Ibnu Mas’ud r.a. Rasulullah saw bersabda:
Tidak ada dari seorang Islam pun yang mengenainya suatu yang menyakitinya atau suatu yang lainnya melainkan Allah akan menggugurkan segala kesalahannya seperti pohon menggugurkan akan daunnya.”
(Hadith Imam Bukhari)
Jelas pada hadith ini menjanjikan kafarah dosa sebab musibah itu untuk semua orang Islam tanpa kait dengan solih atau tidak.
Kesimpulannya tiap musibah yang menimpa orang beriman menjadi kafarah yang menggugurkan dosa dan kesalahannya samada orang tersebut orang soleh atau fasiq.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..