Apakah hukum minum air ketika khutbah sedang berlangsung?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANApakah hukumnya jemaah solat jumaat minum air ketika sedang mendengar khutbah kerana pernah saya nampak perkara ini?
JAWAPAN
Ketika khutbah sedang disampaikan hendaklah sekelian hadirin memberikan tumpuan supaya dengar ia akan khutbah tersebut dan memahaminya dan mengambil pengajaran dengannya.
Oleh kerana itu ulamak fiqah memakruhkan sambil mendengar khutbah itu meminum akan air.
Akan tetapi jika seorang itu haus lalu diminum akan air maka hukumnya adalah harus tidak lagi makruh sekalipun dia adalah khatib yang membaca khutbah.
Telah berkata oleh Imam Nawawi:
يستحب للقوم ان يقبلوا على الخطيب مستمعين ولا يشتغلوا بغيره حتى قال اصحابنا يكره لهم شرب الماء للتلذذ ولا بأس يشربه للعطش للقوم والخطيب هذا مذهبنا قال ابن المنذر رخص في الشرب طاوس ومجاهد والشافعي ونهي عنه مالك والاوزاعي واحمد
Disunatkan bagi hadirin supaya menumpukan perhatian kepada khatib untuk mendengarnya dan tiadalah dia sibuk dengan perkara lain sehingga berkata ashab kami dimakruhkan bagi mereka meminum air kerana bersedap.
Dan tidak mengapa kalau hadirin minum air itu kerana haus sekali pun khatib sendiri.
Inilah pendapat mazhab kami Syafie.Telah berkata oleh Imam Ibnu Al-Munzhir adalah Thawus dan Mujahid dan Imam Syafie memberi kelonggaran pada meminum air dan telah melarangnya oleh Imam Malik dan Al-Auza’ie dan Imam Ahmad.”
(Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Kesimpulannya seorang yang sedang mendengar khutbah harus meminum seteguk air kerana haus dan begitu juga khatib yang membaca khutbah.
Ada pun bukan kerana haus tetapi sengaja meminum air ketika khutbah itu hukumnya adalah makruh.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..