Adakah Wajib Membela Orang Yang Dicela?

Membela Orang Yang Dicela

Adakah wajib membela orang yang dicela dan diumpat?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Saya ada satu kemusykilan yaitu kalau ada orang memburukkan seseorang sedangkan kita tahu yang orang itu tidak seperti yang diburukkan itu adakah wajib atas kita membelanya dan apakah hukumnya kalau kita berdiam diri?


JAWAPAN

Sebagai seorang mukmin apabila saudaranya difitnah atau diumpat atau diburuk-burukkan hendaklah dia membelanya.

Bandingannya apabila diri kita diburukkan orang dibelakang kita adakah kita suka bahawa ada seorang yang membela kita?

Sudah tentu semua orang yang waras fikirannya kasih bahawa dirinya dibela oleh saudaranya.

Telah diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a. Rasulullah saw bersabda:

مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ رَدَّ اللهُ عَنْ وَجْهِهِ النَّارَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Barang siapa yang menolak dari dicemari kehurmatan saudaranya nescaya Allah akan menolak dari wajahnya akan api neraka pada hari kiamat.”

(Hadith riwayat Tirmizi)

Maksud menolak dari dicemari kehurmatan itu ialah apabila ada seorang Islam dituduh dengan suatu perkara keji atau dijatuhkan maruahnya lalu orang yang ada di situ membelanya dengan menolak tuduhan dan perkataan keji itu maka terselamatlah maruah orang Islam tersebut.

Berkata Ibnu ‘Allan:

شَخْصٌ أَرَادَ أَنْ يَطْعَنَ فِي شَخْصٍ مُسْلِمٍ بِغَيْرِ حَقٍّ فَدَافَعَ عَنْهُ وَمَا أَشْبَهَ ذَلِكَ، كَذَلِكَ لَوْ أَرَادَ أَنْ يَرْمِيَ مُسْلِمًا بِالزِّنَى أَوِ اللِّواط بِغَيْرِ حَقٍّ فَدَافَعَ عَنْهُ.

Seseorang hendak memburukkan peribadi seorang Islam tanpa sebenar maka dia menolak daripadanya dan umpama yang demikian itu. Begitu juga jika orang tersebut hendak melontarkan atas seorang Islam satu tuduhan zina atau liwat tanpa sebenar lalu ditolaknya tuduhan itu.”

(Kitab Dalilul Falihin Syarah Riadhus Solihin)

WAJIB ATAS SUNAT MEMBUAT PEMBELAAN?

Adakah hukum membela seorang yang dijatuhkan maruahnya itu wajib atau sunat sahaja?

Hukumnya jika ramai yang hadir di situ maka fardu kifayah yakni salah seorang dari yang ada hendaklah membuat kenyataan membelanya atau menginkarinya dan terangkatlah kewajipan membelanya dari sekelian yang ada.

Jika semua orang diam tidak membelanya maka semua yang ada berdosa kerana diam dari menegur satu kemungkaran itu adalah satu dosa.

Ada pun jika ada di situ seorang sahaja atau seorang sahaja yang tahu perbuatan menuduhnya dan memburukannya itu maka wajib hukumnya yang tahu itu membelanya.

Tersebut pada Kitab Al-Fadhail Wa Al-Aadab :

في الحديث فضيلة من دافع عن عرض أخيه المسلم، فإذا أغتابه أحد الحاضرين في مجلس، فإنه يجب عليك الدفاع عن أخيك المسلم، وإسكات المغتاب، وإنكار المنكر، أما إذا تركته فإن هذا يعتبر من الخذلان لأخيك المسلم

Dan pada hadith ini menerangkan fadhilat seorang yang menolak dari dicemari kehurmatan saudaranya yang Islam.

Maka apabila ada seorang menyebut keburukkannya di dalam satu majlis maka sungguhnya wajib atas kamu menolaknya dari tercemar maruah saudaramu yang Islam dan mendiamkan akan orang yang memburukkannya itu dan menginkari kemungkaran tersebut.

Ada pun jika dia tidak lakukan perbuatan membelanya maka perbuatan ini dinamakan khizlan yakni meninggalkan memberi pertolongan bagi saudaramu yang seagama.”


Kesimpulannya wajib atas kita semua membela orang Islam yang diburukkan tanpa sebenar dan haram hukumnya dan berdosa jika tidak ada seorang pun yang membela apabila ada orang Islam yang diburuk-burukkan.

Orang yang membela saudara seagamanya dari tuduhan keji dijanjikan Allah kelepasan dari api neraka di hari akhirat.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments