Maksud Jahil Murakkab & Basith

Maksud Jahil Murakkab & Basith

Apakah maksud jahil Murakkan & Jahil Basith?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Saya selalu dengar penceramah menyebut perkataan jahil murakab tetapi saya kurang faham dengan ertinya yang sebenar. Minta pihak ustaz terangkan apakah maksud sebenarnya jahil murakab ini dan kalau boleh sebutkan contohnya sekali. Terima kasih.

Makna JAHIL

Perkataan jahil yang selalu digunakan dalam bahasa melayu berasal dari perkataan arab الجَهْلُ (kejahilan).

Erti jahil daripada kamus-kamus bahasa arab ialah:

1. Kamus Mukhtar As-Sihah:

الجَهْلُ ضد العلم

Ertinya : “Al-Jahlu (tidak tahu) artinya lawan bagi tahu.”

2. Kamus Lisan Al-Arab:

الجَهْل: نقيض العِلْم

Ertinya : “Al-Jahlu lawan bagi tahu.”

Maka dapat difahami erti jahil ialah tidak tahu atau pengetahuannya tidak betul.

Dalam bahasa arab orang yang tidak tahu atau pengetahuannya tidak betul disebut sebagai جاهل .

Sungguhnya jahil ini adalah keji dan dicela oleh syarak kerana ada padanya berbagai kebinasaan.

Dan cukuplah jahil ini suatu yang keji sehingga orang yang jahil pun tidak mahu mengaku jahil dan orang yang jahil pun marah dikatakan sebagai jahil pada hal dia sungguhnya seorang yang jahil.

Adalah jahil ini dua jenis iaitu jahil basith dan jahil murakkab.

MAKSUD JAHIL BASITH & JAHIL MURAKKAB

Perkataan basith maksudnya terhampar atau selapis

Maksud murakkab pula ialah bersusun atau berlapis.

Tersebut pada Kamus Mu’jam Al-Wasith:

Jahil basith ialah perkataan yang digunakan atas orang yang menerima akan kejahilan dirinya. Dan jahil murakkab ialah perkataan yang digunakan atas orang yang tidak menerima akan kejahilan dirinya dan mendakwa akan perkara yang dia tidak tahu.”

Jadi makna jahil basith ialah jahil selapis iaitu seorang orang yang jahil itu sedar bahawa dia seorang yang jahil.

Dan makna jahil murakkab pula ialah jahil yang berlapis-lapis iaitu orang yang jahil itu tidak sedar bahawa dia seorang yang jahil.

Berkata Imam Al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini:

Bermula jahil basith itu ialah mendapatkan sesuatu atas menyalahi yang sebenarnya dan jahil murakkab itu ialah mendapatkan suatu atas yang tidak sebenarnya serta dia yakin apa yang dia dapat itu ialah yang benar.”

(Kitab Al-Waraqat)

Dan takrif jahil murakkab yang selalu digunakan ialah:

جَهْلٌ مُرَكَّبٌ: اِدِّعَاءُ الْمَرْءِ بِمَعْرِفَةِ الشَّيْءِ وَهُوَ يَجْهَلُ أَنَّهُ يَجْهَلُهُ

Ertinya:

Jahil murakkab itu ialah seorang yang mendakwa dia tahu akan suatu padahal dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu tentangnya.”

Dan sebab dinamakan jahil murakkab yaitu jahil yang berlapis yakni dua kali jahil kerana sungguhnya orang ini ada baginya dua kejahilan.

Pertama dia seorang yang jahil dan kedua dia jahil bahwa dia adalah orang yang jahil.

CONTOH JAHIL BASITH & MURAKKAB

Orang yang jahil basith apabila dia ditanya dengan suatu hukum maka dia akan menjawab ‘Aku tidak tahu’ kerana dia sedar yang dirinya itu jahil tentang perkara yang ditanya dan orang yang jahil basith ini apabila berhadapan dengan ulamak atau orang yang lebih tahu daripadanya maka dia akan menghormatinya kerana dia sedar bahawa dirinya ialah orang jahil dan meyakini ulamak dan orang tersebut lebih tahu daripada dirinya.

Dan orang yang jahil basith ini tidak marah bila dikatakan sebagai jahil kerana dia sedar itulah hakikat dirinya.

Berkata Ulamak:

سهل ان تتعامل مع صاحب جهل بسيط فتغير جهله الى علم

Ertinya:

Adalah mudah berurusan dengan orang jahil basith ini berubah ia dari jahil kepada tahu.”

Manakala orang yang jahil murakkab apabila ditanya akan suatu hukum dia akan menjawabnya dengan yakin pada hal dia tidak ada ilmu tentangnya kerana dia tidak sedar bahawa dirinya itu ialah orang jahil dan bercakapnya adalah seperti para ulamak menjelaskan hukum dan ketika bercakap dengan perkara yang dia jahilkan itu adalah dengan penuh yakin.

Jahil murakkab yang paling keji ialah yang menentang hukum yang disampaikan oleh para ulamak dengan sangkanya ulamak tidak faham seperti dirinya.

Dan adalah orang yang jahil murakkab ini marah dan tidak suka dikatakan jahil kerana baginya dia adalah seorang yang tahu dan lebih parah lagi ialah orang jahil yang merasakan dirinya lebih tahu daripada para ulamak.

Tersebut pada Kitab Majalah Al-Farqu Baina Al-Jahli Wal Ilmi:

جهل بسيط: وهو عدم العلم مطلقا، أي انتقاء إدراك الشيء المعلوم كلية كأن يُسأل عن حكم المرأة الحائض هل تصلي وتصوم أم لا مثلا؟ فيقول: لا أعلم، فهذا جاهل وجهله بسيط. جهل مركب: وهو عبارة عن اعتقاد جازم غير مطابق للواقع، أي يتصور الشيء المعلوم ويعتقده على غير هيئته ، فلو سئل عن المرأة الحائض مثلا؟ فيقول تصلي وتصوم وعليها القضاء، فهو لا يعلم ومع ذلك يعتقد الشيء على خلاف الواقع

Ertinya:

Jahil basith ialah tidak ada ilmu sama sekali artinya tiada dapat suatu yang diketahui secara keseluruhan seperti ditanya akan dia dari hukum perempuan yang haidh adakah wajib solat dan puasa atau tidak wajib? Maka dia menjawab: Aku tidak tahu.

Maka orang ini ialah orang yang jahil dan jahilnya ialah jahil basith.

Dan jahil murakkab ialah ibarat dari pengetahuan yang diyakini tetapi tidak sebenar maksudnya pegangannya atas suatu perkara yang menyalahi keadaan yang sebenar.

Maka jika ditanyakan dia tentang hukum perempuan yang haidh misalnya dia akan menjawab: Perempuan itu wajib solat dan puasa dan wajib pula atasnya qadha.

Dia sebenarnya tidak tahu tetapi dia yakin pada sautu yang jelas menyalahi kebenaran.”

Antara penyakit yang paling merbahaya dan membinasakan manusia ialah jahil.

UBAT PENYAKIT JAHIL

Setiap orang yang ditimpa penyakit hendaklah dia mendapatkan rawatan dan rawatan bagi penyakit jahil ini hanyalah dengan menuntut ilmu tiada lainnya akan tetapi jika orang yang sakit itu tidak sedar bahawa dia sedang sakit maka pada kebiasaannya dia tidak akan mendapatkan rawatan.

Oleh kerana itu orang yang sedar bahawa dirinya jahil baiasanya mudah untuk dia menghadirkan diri di majlis ilmu untuk keluar dari kegelapan jahilnya itu.

Ada pun orang yang jahil murakkab sukar baginya untuk menuntut ilmu kerana bagi dirinya dia adalah seorang yang sudah tahu kerana itu orang yang jahil murakkab ini kekal jahil ia sampai menemui ajalnya.

Menyebut oleh Syeikh Abi Abdirrahman:

فصاحب الجهل البسيط أقرب إلى الرّجوع للحقّ ، لأنّ اعترافه بالجهل أدعى أن يؤول به إلى الحرص على التّعلّم ، وأمّا صاحب الجهل المركّب : فإنه لا يتعلّم ، لأنّه لا يرى في نفسه جهلا ولا عجزا

Ertinya:

Maka orang yang jahil basith itu lebih mudah untuk kembali kepada kebenaran kerana sungguhnya kesedarannya bahawa dia itu seorang yang jahil boleh memimpinnya kepada gemar atas menuntut ilmu.

Dan adapun orang yang jahil murakkab maka sungguhnya dia tidak akan menuntut ilmu kerana sungguhnya dia tidak nampak apa-apa kekurangan dan kelemahan pada dirnya.”

KESIMPULAN

Erti jahil ialah tidak tahu. Oleh itu, orang jahil ialah bermaksud orang yang tidak tahu.

Jahil basith ertinya orang yang jahil dan dia sedar dia seorang yang jahil.

Tanda orang yang jahil basith ialah dia tidak berkata dengan perkara dan hukum yang dia tidak tahu dan dia tidak berani berhujah dengan para ulamak kerana dia sedar para ulamak lebih tahu dari dirinya.

Orang yang jahil basith mudah kembali ke jalan yang benar dengan menuntut ilmu kerana apabila dia tahu dia jahil maka akan hadir pada hatinya untuk membetulkan kekurangan dirinya itu.

Jahil murakkab ialah orang yang jahil tapi dia tidak sedar bahawa dia seorang yang jahil.

Jahil murakkab ialah jahil yang paling keji dari segala jenis kejahilan yang ada.

Tanda jahil murakkab itu ialah suka bercakap dengan perkara dan hukum yang dia tidak tahu dan suka membangkang para ulamak dan orang yang lebih tahu dan lagi dia tidak suka disebut sebagai jahil kerana dia sangka dia adalah orang yang tahu dan sangat suka jika dia dikatakan sebagai sebaris dengan para ulamak kalau tidak lebih tinggi dari ulamak.

Banyak contoh jahil murakkab di zaman sekarang misalnya di media sosial dimana orang jahil menjawab persoalan agama dan memberi pandangan peribadi tentang halal dan haram atau sah dan batal dan sebagainya.

Orang yang jahil murakkab sukar untuk kembali ke pangkal jalan kerana dia merasakan tidak ada apa-apa kekurangan pada dirinya padahal dia adalah orang jahil yang penuh dengan kebodohan.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments