Aurat Antara Suami Dan Isteri

aurat suami isteri

Apakah batasan aurat suami isteri?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Saya ada satu kemusykilan tentang aurat suami isteri.

Saya dengar ustaz sebut tiada aurat lagi antara suami isteri iaitu tidak haram lagi suami melihat sekelian badan isterinya termasuk faraj.

Dan beberapa orang ustaz yang lain juga berkata seperti itu.

Tapi saya ada dengar pula orang kata walau pun suami isteri dilarang melihat farajnya kerana boleh merosakkan mata.

Mohon penjelasan terima kasih.


JAWAPAN

Ulamak sepakat bahawa suami isteri tiada aurat antara keduanya dengan makna suami tidak haram melihat semua anggota badan isterinya dan isteri pula tidak haram melihat semua anggota badan suaminya.

Ada pun melihat kepada faraj maka ulamak telah berselisih pada hukumnya iaitu pendapat yang sahih adalah harus dan pendapat yang lain mengatakan makruh.

Telah diriwayatkan daripada Muawiyah bin Haidah r.a. berkata ia :

Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! Aurat kami apa yang kami datangi daripadanya dan apa yang kami tinggalkan?

Jawab Rasulullah : Peliharalah auratmu kecuali dari isterimu atau hambamu.”

(Hadith riwayat Tirmizi)

Maksudnya Muawiyah bertanyakan Rasulullah saw anggota manakah yang boleh dizahirkan dan anggota mana pula yang tidak harus dizahirkan.

Lalu Rasulullah saw menyuruh supaya menutup aurat dari dilihat oleh manusia melainkan isteri dan hambanya sahaja.

Berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar :

Dan yang difahami perkataannya ‘melainkan dari isteri’ itu menunjukkan atas bahawasanya harus bagi isteri itu melihat yang demikian itu daripada suaminya.

Dan qiasnya ialah harus bagi suaminya oleh melihat (kepada isterinya).”

(Kitab Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Telah berkata oleh Imam Ibnu Quddamah :

Dan diharuskan bagi setiap seorang dari suami isteri melihat kepada sekelian badan masing-masing dan menyentuhnya sehinggalah kemaluannya.

Dan dari kerana sungguhnya faraj itu halal bersedap-sedap dengannya maka haruslah melihat kepadanya dan menyentuhnya seperti bahagian badan yang lain.”

(Kitab Al-Mughni)

Berkata Imam Nawawi:

Ini satu fasal. Dan siapa yang berkahwin akan seorang perempuan atau memiliki hamba perempuan yang halal watinya maka harus baginya melihat daripadanya kepada selain faraj.

Dan adakah harus dia melihat kepada farajnya?

Maka padanya ada dua pendapat : Salah satunya tidak harus kerana satu riwayat bahawa Nabi saw bersabda : Melihat kepada faraj itu mewarisi buta.

Dan pendapat yang kedua harus dan ialah pendapat yang sahih kerana sungguhnya suami memiliki bersedap-sedap dengannya maka harus bagi suami melihat kepadanya sebagaimana paha.”

(Kitab Al-Majmu’)

Dan riwayat yang mengatakan melihat faraj itu merosakkan mata itu sanadnya dhaif.

Tersebut pada Kitab Al-Iqna’ ala Abi Syuja’ :

Dan ada pun riwayat bahawa melihat kepada faraj itu mewarisi buta sebagaimana datang seperti demikian itu telah meriwayatkannya oleh Ibnu Hibban dan lainnya dalam kumpulan hadith dhaif bahkan Ibnu Al-Jauzi menyebutnya dalam kumpulan hadith maudhu.”

Dan sebahagian ulamak mengatakan hadith tersebut sanadnya hasan dan menanggung mereka itu atas larangan yang bermaksud makruh.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:

Dan riwayat bahawa melihat kepada faraj itu merosakkan mata sebagaimana datang seperti demikian yang telah meriwayatkannya oleh Ibnu Hibban dan lainnya dalam hadith-hadith dhaif. Dan telah menyalahi oleh Ibnu Solah berkata ia sanadnya elok dan serta yang demikain itu ia ditanggung atas makna makruh sebagaimnana berkata oleh Ar-Rafie.”

(Kitab Asnal Matalib)

KESIMPULAN

Suami isteri tidak ada batas aurat yang mesti ditutup dari dilihat oleh keduanya.

Sekalipun pendapat yang sahih harus melihat kepada faraj sebaiknya lihat itu pada ketika perlu sahaja yaitu ketika bersama kerana meraikan pendapat yang memakruhkannya.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments