
Ini adalah panduan lengkap Solat Sunat Rawatib merangkumi niat, tatacara dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat rawatib secara mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.
Apa yang menarik:
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai. Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan transliterasi rumi.
Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..
- Apakah Maksud Solat Rawatib?
- Waktu Solat Sunat Rawatib
- Dua Jenis Solat Sunat Rawatib (Muakkad Dan Tidak Muakkad)
- Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib
- Niat Solat Sunat Rawatib
- Qadha Solat Sunat Rawatib Yang Tertinggal
- Bolehkah Solat Sunat Rawatib Dalam Keadaan Duduk?
- Bolehkah Solat Sunat Rawatib Di Rumah?
- Apakah Hikmah Dan Kelebihan Solat Rawatib?
Apakah Maksud Solat Rawatib?
Solat sunat rawatib merujuk kepada solat tambahan yang diiringi solat fardu lima waktu, sama ada sebelum (Qabliyyah) atau selepas (Ba’diyyah). Ia bertujuan memperbaiki kekurangan dalam solat fardu. Solat sunat ini dilakukan secara bersendirian dan amat digalakkan dalam Islam.
Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, solat sunat rawatib disebut juga sebagai solat yang mempunyai waktu.
Ini kerana waktu perlaksanaan bagi solat sunat rawatib merupakan waktu bagi melakukan solat fardu.
Sebaik sahaja masuknya waktu solat fardu, maka solat sunat rawatib boleh dilaksanakan dan berterusan waktunya sehingga habis waktu solat fardu.
Pembahagian Solat Rawatib adalah seperti berikut:
- Solat sunat Qabliyyah (solat sunat sebelum solat fardu)
- Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat selepas solat fardu)
Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar.
Sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah.
Sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian, dan tidak didirikan secara berjemaah.
Waktu Solat Sunat Rawatib
Waktu mengerjakan Solat Sunat Rawatib (Qabliyyah) dikerjakan selepas azan (masuk waktu) solat fardu dan dilakukan sebelum iqamah jika bersolat di masjid. Jika ia dilakukan di rumah, ia tidak terikat dengan waktu antara azan dan iqamah.
Solat Sunat Rawatib (Ba’diyyah) dilakukan setelah kita selesai mengerjakan solat fardu.

Dua Jenis Solat Sunat Rawatib (Muakkad Dan Tidak Muakkad)

Pelaksanaan solat sunat rawatib boleh dikelaskan kepada dua bentuk yang berbeza hukum sunatnya, iaitu:
1. Solat Sunat Rawatib Muakkad (Amat Dituntut)
Solat sunat rawatib ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW secara istiqamah, konsisten dan berterusan yang mana Baginda sama sekali tidak pernah meninggalkannya.
2. Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad (Baik Jika Dilakukan)
Solat sunat rawatib ini menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW yang mana kadangkala Baginda melakukannya dan kadangkala Baginda meninggalkannya.
Dalam kitab Radd al-Mukhtar, Ibn Abidin berkata sunnah merupakan sesuatu yang menjadi konsistensi dan kebiasaan Rasulullah SAW.
Jika sunnah itu tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda, maka ia adalah sunnah muakkad. Sebaliknya jika sunnah itu adakalanya ditinggalkan oleh Baginda, maka ia adalah sunnah bukan muakkad.
Solat Sunat Rawatib Yang Dituntut (Muakkad)
Solat Sunat Rawatib yang berbentuk muakkad (amat dituntut) terdiri daripada solat sunat yang berjumlah sepuluh rakaat, iaitu:
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu subuh
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu maghrib.
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu isyak.
Sepuluh rakaat solat sunat rawatib ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa katanya:
Aku pernah melaksanakan solat sunat bersama Rasulullah SAW iaitu dua rakaat sebelum solat zuhur, dua rakaat selepas solat zuhur, dua rakaat selepas solat jumaat, dua rakaat selepas solat maghrib dan dua rakaat selepas solat isyak.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kelebihan dan ganjaran solat sunat rawatib muakkad ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah binti Abu Sufyan katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Tidaklah seorang hamba yang muslim itu melaksanakan solat kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam sehari sebanyak dua belas rakaat sebagai tawattu’ (solat sunat) dan bukan fardu melainkan Allah SWT akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga”
(Hadis riwayat Muslim)
Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarah Riyadh al-Solihin, dua belas rakaat solat sunat rawatib yang terdapat dalam hadis berkenaan adalah solat sunat empat rakaat sebelum zuhur, solat sunat dua rakaat selepas solat zuhur, solat dua rakaat selepas solat maghrib, solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak dan solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.
Oleh yang demikian, sesiapa yang melaksanakan dua belas rakaat solat sunat rawatib tersebut siang dan malam dengan ikhlas, maka Allah SWT akan membina sebuah rumah yang khusus untuknya di dalam syurga.
Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad
Solat sunat rawatib bukan muakkad (ghairu muakkad) terdiri daripada solat-solat sunat yang berjumlah dua belas rakaat iaitu:
- Solat sunat tambahan dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat tambahan dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat empat rakaat sebelum solat fardu asar.
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu maghrib.
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu Isyak.
Asas kepada dua belas rakaat solat sunat rawatib bukan muakkad ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat sunat, antara dua azan ada solat sunat. Kemudian pada kali ketiga, Baginda pun bersabda: Bagi sesiapa yang mahu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib
Ringkasan cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib
- Niat Solat Sunat Rawatib: Mulakan solat dengan Takbiratul Ihram sambil niat dalam hati: “Sahaja aku solat sunat [waktu tertentu] dua rakaat kerana Allah Taala”. Gantikan [waktu tertentu] dengan waktu solat fardu yang sesuai (contoh: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, atau Isyak).
- Bacaan dalam Solat: Bacalah Surah al-Fatihah diikuti dengan surah atau ayat pilihan.
- Rukuk dan Sujud: Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali dengan menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
- Rakaat Kedua: Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca Takbir. Ulangi bacaan Surah al-Fatihah dan surah pilihan. Kemudian, lakukan lagi rukuk dan sujud.
- Tahiyyat Akhir dan Salam: Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk Tahiyyat Akhir dan akhiri solat dengan memberi salam.
- Solat Sunat Tambahan: Jika ingin mengerjakan solat sunat lebih dari dua rakaat, bangun untuk menambah rakaat dengan niat yang sama.
- Doa Selepas Solat Sunat Rawatib: Setelah menunaikan solat, berdoalah dengan hati yang ikhlas, memohon kepada Allah SWT agar diberkati dalam segala aspek kehidupan.
Niat Solat Sunat Rawatib
Di bawah ini adalah langkah demi langkah untuk mengerjakan solat ini untuk setiap waktu solat fardu:
Solat Sunat SUBUH
Niat Solat Sunat Qabliyah Subuh
Solat rawatib di waktu fardu subuh dikerjakan sesudah azan subuh (sebelum iqamat) sebanyak dua rakaat.
Caranya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya:

Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.
Tidak ada solat rawatib selepas fardu Subuh.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Subuh boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Subuh
Solat Sunat ZOHOR
Niat Solat Sunat Qabliyah Zohor
Cara melakukan solat sunat rawatib Qabliyyah di waktu fardu Zohor ialah sesudah azan Zohor dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Zohor yang sunat muakkad dahulu.
Lafaz niatnya adalah:

Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakannya dua rakaat sunat rawatib sebelum zohor yang bukan muakkad.
Niat dan cara mengerjakannya adalah sama sebagaimana solat rawatib sebelum Zohor yang muakkad.
Selesai solat sunat, barulah dikerjakan solat fardu Zohor.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Zohor
Sesudah selesai solat fardu Zohor dan sesudah bacaan wirid dan doa, kita berdiri lagi untuk mengerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Zohor yang sunat muakkad.
Lafaz niatnya:

Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Cara mengerjakannya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selepas salam, sekiranya kita mahu menambah amal, bolehlah dikerjakan solat sunat rawatib selepas Zohor yang sunat bukan muakkad.
Niat dan caranya sama seperti solat rawatib selepas Zohor yang sunat muakkad.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Zuhur boleh dilihat pada pautan ini: Solat Sunat Rawatib Zuhur
Solat Sunat ASAR
Niat Solat Sunat Qabliyah Asar
Cara melakukan sunat rawatib di waktu asar fardu asar ialah sesudah azan asar dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Asar sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:

Usolli Sunnatal ‘Asri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakan sekali lagi sunat rawatib sebelum Asar.
Lafaz niat dan caranya sama sebagaimana sebelumnya.
Tidak ada solat rawatib selepas solat fardu Asar.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Asar boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Asar
Solat Sunat MAGHRIB
Niat Solat Sunat Qabliyah Maghrib
Cara melakukan sunat rawatib di waktu fardu Maghrib ialah sesudah azan Maghrib dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Maghrib sebanyak dua rakaat.
Lafaz niat:

Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Maghrib
Selepas solat fardu Maghrib dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakan solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Maghrib.
Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya ialah:

Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Maghrib boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Maghrib
Solat Sunat ISYAK
Niat Solat Sunat Qabliyah Isyak
Cara melakukan solat sunat rawatib di waktu fardu Isyak ialah sesudah azan Isyak dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Isyak sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:

Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Isyak
Selepas solat fardu Isyak dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Isyak.
Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.
Lafaznya adalah:

Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Maghrib boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Isyak
Solat Sunat JUMAAT
Niat Solat Sunat Qabliyah Jumaat
Solat sunat Qabliyah Jumaat boleh dilakukan diantara dua azan, iaitu belum khatib naik ke mimbar untuk memberi khutbah:

Usolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.
Apabila khatib berkhutbah di atas mimbar, maka ditegah untuk solat kecuali solat sunat tahiyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Jumaat
Disunatkan untuk melakukan solat Sunat Ba’diyah selepas selesai Solat Jumaat.

Usolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat selepas Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.
Tatacara lengkap langkah-demi-langkah mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Jumaat boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Solat Sunat Rawatib Jumaat
Qadha Solat Sunat Rawatib Yang Tertinggal

Bolehkah melakukan qadha solat sunat yang tertinggal?
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’, solat sunat itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Solat sunat yang tidak terikat dengan waktu yang mana ianya dilakukan dengan sebab atau sesuatu peristiwa seperti solat sunat kusuf (solat gerhana), solat sunat istisqa’ dan solat sunat tahiyyatul masjid, maka solat sunat ini tidak perlu diqadakan jika tertinggal.
Kedua: Solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat hari raya, solat sunat dhuha dan solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, maka pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi’e adalah sunat mengqadhakan solat sunat ini jika tertinggal.
Contohnya:
Jika seseorang itu tertinggal untuk melakukan solat sunat qabliyyah zuhur kerana solat berjemaah sudah bermula, maka dia boleh mengqadakan solat sunat qabliyyah itu selepas solat berjemaah tersebut.
Hukum sunat mengqadakan solat sunat yang terikat dengan waktu ini berdasarkan hadis-hadis berikut:
1. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesiapa yang tertidur sehingga meninggalkan solat atau terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mendirikan solat apabila sudah menyedarinya”
— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
2. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesiapa yang belum melakukan solat sunat dua rakaat sebelum subuh sehinggalah matahari terbit, maka hendaklah dia melakukan solat tersebut (qada)”
— Hadis riwayat al-Baihaqi
Dalam sahih Muslim disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengqadhakan solat sunat ba’diyyah zuhur selepas solat asar.
Oleh itu, sunat hukumnya untuk qadha solat-solat sunat yang terikat dengan waktu jika tertinggal atau terlepas untuk melakukannya.

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Dalam Keadaan Duduk?
Disebutkan dalam kitab al-Mu’tamad bahawa solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Itulah hukum yang disepakati secara ijmak ulama.
Tetapi yang paling afdal adalah solat sunat dalam keadaan berdiri.
Ini kerana, menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin al-Husain RA, bahawa Nabi SAW bersabda tentang orang yang solat secara duduk:
Sesiapa yang solat secara berdiri, maka itulah yang paling afdal. Sesiapa yang solat secara duduk, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang yang solat secara berdiri. Sesiapa yang solat secara baring, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang solat secara duduk.
— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Di Rumah?
Solat Sunat Rawatib yang tidak disunatkan dilakukan secara berjemaah. Maka tempat yang paling baik untuk melaksanakannya adalah di rumah masing-masing berbanding di masjid atau surau; sama ada solat sunat pada waktu siang ataupun malam, sama ada yang muakkad atau ghairu muakkad.
Sandaran hukum ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya solat yang paling baik adalah solat seseorang di rumahnya kecuali solat fardu
— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai tempat solat kamu dan janganlah kamu jadikannya sebagai kawasan perkuburan.
— Hadis riwayat al-Bukhari
Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam digalakkan agar menghidupkan dan menerangi rumah-rumah mereka dengan amalan-amalan soleh, terutamanya solat-solat sunat.

Apakah Hikmah Dan Kelebihan Solat Rawatib?
Solat sunat ini tersingkap banyak keistimewaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Analogi solat sunat ini seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.
Menurut Imam Khatib al-Syarbini, hikmah disebalik pensyariatan solat sunat rawatib adalah bertujuan menyempurnakan, melengkapi dan menampung segala kekurangan dan kelalaian yang berlaku dalam pelaksanaan solat fardu.
Adakalanya kekurangan ini tidak disedari oleh orang yang bersolat sehinggalah solat fardunya kelihatan tidak sempurna.
Sebagai contoh, kurangnya rasa khusyu’ ketika solat, kurangnya menghayati bacaan di dalam solat, terlena atau terlalai seketika, bacaannya kurang tartil dan sebagainya.
Jadi disinilah peranan solat sunat rawatib dalam menampung segala kekurangan tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sebelum ini bahawa Allah SWT akan menjadikan solat-solat sunat sunat seorang hamba itu sebagai pelengkap kepada kekurangan yang ada pada solat fardunya.
1. Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
— Hadis riwayat Tirmizi
2. Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka”
— H.R. Abu Daud & Tirmidzi
3. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.”
— Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi
4. Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka”
— H.R. At-Tabrani
Inilah keajaiban sunat rawatib dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya.
Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.
Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai sunat rawatib.
Semoga memberi manfaat kepada anda semua.
Nota Rujukan:
- Misykah al-Mashabih — Imam At-Tabrizi, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah Jilid 1
- Nihayah az-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in — Syaikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani
- Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
- Anugerah Allah Dalam Solat Rawatib — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
- Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
- Ensiklopedia Solat: Solat Rawatib — TV3 Official [Pautan]
- Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
- Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
- 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]

In sha allah bersama kita amalkan
InsyaaAllah
Ahmad Daud
AssaSalammuilaikum Tuan boleh kah kita mengerjakan solat Sunat Quabliyah n Ba’diyyah padu setiap fardu totsl jumlah rakaat semuanya 18 rakaat sedangkan dlm artikel hanya 12 rakaat kalau kita mengerjakan 18 rakaat adakah ianya melanggar sunnah Nabi
Tolong jelaskan tuan Terimah Kaseh
Wassalam,
Tiada solat sunat selepas fardu subuh dan fardu asar.
Dan pada waktu zohor, terdapat 4 rakaat ba’diyyah dan 4 rakaat qabliyyah.
Assalamualaikum ustaz, mohon pencerahan tentang ada yg mengatakan solat sunat slps waktu asar atau yg dlm kul 6pm keatas tk di galakkan dan bleh jadi haram. Ini kira applicable jgk ke utk solat sunat tahiyyatul masjid.
Wassalam.
Ya, waktu selepas asar kita panggil waktu tahrim.
Solat yang diharamkan ini ialah solat yang tidak bersebab iaitu solat sunat mutlak dan solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat sunat istikharah, solat sunat musafir dan solat sunat Ihram.
Manakala solat yang bersebab seperti solat qada, solat sunat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat sunat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur tidak diharamkan.
Puan boleh rujuk mengenai pembahagian waktu solat disini: https://akuislam.com/blog/ibadah/waktu-haram-solat/
jazakallahukhairan ustaz di atas pencerahan
Assalamualaikum ustaz, solat sunat zohor qobliah 4 rakaat bleh buat dlm satu salam atau mesti dua salam?mohon pencerahan.
Wassalam,
Menurut Ustaz Abdul Somad, solat sunat zuhur perlu dilakukan dua rakaat – dua rakaat. Puan boleh rujuk di sini: https://www.youtube.com/watch?v=QSzfXhG5jnM
Tetapi sesetengah Ulama’ berpendapat solat sunat rawatib zohor dan asar boleh juga dilakukan dengan cara satu salam (solat empat rakaat sekali gus, seperti solat fardu).
Jadi terpulang kepada puan untuk melakukan solat rawatib mengikut kaedah yang mana.
Ustaz klau buat solat sunnah muakkad seperti sebelum asar 4 rakaat satu salam atau qabliyah zohor 4 rakaat satu salam .. adakah kita disunnahkan membaca surah untuk rakaat 3 dan 4? Atau cukup dgn Alfatihah saja? Sama mcm solat fardhu 4 rakaat? Mohon penjelasan ustaz..
Assalamualaikum tuan..sy keliru antara waktu solat sunat subuh tu dilakukan sebelum azan atau selepas azan subuh ? Doa qunut perlu baca n angkat tangan tak utk solat sunat subuh ? Mohon pencerahan utk 2 soalan sy tuan.
Wassalam,
1. Solat rawatib subuh dikerjakan sesudah azan subuh
2. Tidak perlu baca doa qunut untuk solat sunat. Doa qunut adalah untuk solat FARDU subuh sahaja :-)
Salam. Bolehkah solat ba’diyah dilakukan selepas solat lain contohnya solat jenazah. Biasanya di masjidil haram solat jenazah dilakukan selepas solat fardhu.
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Waktu solat sunat ba’diyyah hanya tamat bila tamatnya waktu solat fardu.
Terima kasih atas respon tuan.
Sama-sama.
Semoga dapat membantu.
Assalamualaikum…
Adakah kita kene melakukan solat sunat sebelum dan selepas ?boleh x jika kite buat solat sunat sebelum fardu sahaja ..selepas fardu xbuat
Wassalam,
Boleh tuan.
Tiada masalah.
Assalamualaikum..
Apa hukum kalau kita hanya solat sunat sebelum masuk fardu sahaja ?selepas fardu tidak buat ..boleh ke ?
Kalau solat sunat qabliyah dan ba’diyyah, dibuat selepas azan.
Kalau solat sunat lain contohnya solat tahiyyatul masjid, boleh dibuat sebelum azan
Salam.
Doa iftitah tu sunat, Surah Al-fatihah tu wajib, jadi 2 surah selepas bacaan Al-fatihah tu hukumnya apa pula?
Kalau tak dibaca 2 surah tu ketika solat sunat ni takpa ke?
Wassalam,
Hukumnya sunat. Ia tidak termasuk di dalam rukun solat.
Tuan boleh baca mengenai rukun solat pada pautan ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/rukun-solat/
Lagi satu. Kalau kita solat ni berniat dalam bahasa melayu je boleh ke?
Wassalam.
Boleh, sah solat tersebut.
Kerana yang menjadi syarat adalah niat, bukan lafaz tersebut.
Ok. Terima kasih
sama-sama.
Assalamualaikum Tuan, ada link untuk cara solat sunat? Pada rakaat pertama perlu tak kita baca Doa Iftitah? Ataupun cuma baca Surah Alfatifah dan 1 surah?
Wassalam,
Ini link untuk solat taubat: https://akuislam.com/blog/ibadah/solat-sunat-taubat/
Digalakkan untuk membaca doa iftitah dalam rakaat pertama. Tapi jika tidak buat tidak mengapa kerana doa iftitah hukumnya adalah sunat sahaja.
Yang penting adalah Surah Al-Fatihah adalah wajib dibaca.
Terima Kasih.
Sama-sama
Alhamdulillah syukur..terima Kasih atas penerangan yg jelas dan mudah difahami .
Alhamdulillah jika ini dapat membantu tuan :-)
Assalamualaikum tuan… Saya ingin bertanya… Sekiranya saya melakukan solat zohor pukul 2 pm… Adakah saya masih lagi berpeluang melakukan solat rawatib…qabliyah dan baqdiah..
Sekian terimakasih
Wassalam,
Ya masih berpeluang. Tiada masalah tu :-)
Tkasih tuan… Kerna sudi mengrongkai kekeliruan saya ini… ?
Sama-sama.
Semoga kita semua mendapat kebaikan :-)
In shaa Allah… Aamiin
Assalamualaikum.
“Dua rakaat sebelum fardu Zohor dan dua rakaat sesudahnya (selain daripada yang sunat muakkad di atas)”
Saya keliru dengan penjelasan solat sunat muakkad & ghairu muakkad pada waktu zohor. Boleh terangkan dengan lebih lanjut?
Wassalam tuan,
Begini maksudnya, solat fardu Zohor mempunyai sunat rawatib qabliyah dan ba’diyah.
Untuk solat zohor kita boleh solat 4 rakaat qabliyah dan 4 rakaat ba’diyah.
Qabliyah Zuhur terbagi 2 iaitu:
1) Qabliyah Muakkad – 2 rakaat
2) Qabliyah Ghairu Muakkad – 2 rakaat
Ba’diyah Zuhur terbagi 2 iaitu:
1) Ba’diyah Muakkad – 2 rakaat
2) Ba’diyah Ghairu Muakkad – 2 rakaat.
Jadi, solat sunat rawatib yang ghairu muakkad adalah jatuh kepada:
– Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
– Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
Saya harap penjelasan ini dapat difahami oleh tuan.
Assalammualaikum tuan, maknanya solat fardhu zohor ni ada 8 rakaat solat sunat rawatib la? sebelum fardhu zohor 4 (qabliyah muakkad, qabliyah ghairu muakkad)
selepas fardhu zohor pun 4 (qabliyah muakkad, qabliyah ghairu muakkad)?
Wassalam,
Ya betul tuan.
oh okay okay. terima kasih :)
Sama-sama :-)
Assalammualaikum Tuan,nak tanya jika hari jumaat bagaimana ye niat solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu jumaat?adakah solat sunat tersebut sama dgn solat sunat rawatib?
Wassalam, niatnya adalah begini:
Solat Sunat Qabliyyah:
– Usalli sunnatal Jum’ati raka’ataini qabliyatan lillahi ta’ala.
Sahaja aku sembahyang sunat Jumaat dua rakaat dahulunya kerana Allah Ta’ala.
Solat Qabliyyah:
Usalli sunnatal Jum’ati raka’ataini baqdiatan lillahi ta’ala.
Sahaja aku sembahyang sunat jumaat dua rakaat kemudiannya kerana Allah Ta’ala.
Nota:
Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar, maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.
Terima kasih atas ilmu yang bermanfaat ?
Sama-sama :-)
Ustad sholat sunnah apa yang harus di kerjakan pertama kali masuk mesjid
Solat sunat tahiyyatul masjid.
Tuan boleh rujuk pada panduan ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/tahiyatul-masjid/
Assalamualaikum, nak tanya.. kalau nak buat solat sunat ni kena sebelum iqamat kan ? Tapi kalau buat dirumah sendiri macam mana ye ? Mesti kena solat betul betul selepas azan atau macam mana ?
Wassalam. Solat sunat ni bukan sebelum iqamat, tapi sebelum solat.
Jadi kalau di rumah (solat seorang diri) tak jadi masalah, awak boleh solat rawatib dulu kemudian solat fardu seperti biasa.
Bole sy tnye,bole ke klu kite bce alfatihah je dlm solat sunat rawatib?
Boleh
Terima ksih info sangat bermanfaat :)
Alhamdulillah. Sama-sama :-)
Assalamualaikum..boleh bertanya? perlu baca doa iftitah tak dalam solat sunat? yg kedua, solat sunat subuh perlu baca doa qunut?
Wassalam
1. Doa iftitah adalah sunat, tidak mengapa kalau tidak baca.
2. Solat ‘sunat’ subuh tu maksud awak solat sunat qabbliyah kan? Kalau begitu, tidak perlu dibuat doa qunut. Hanya solat fardu subuh sahaja dibuat doa qunut.
ye tuan…tqvm atas penjelasan….
Sama-sama tuan ?
boleh terangkan secara terperinci apakah tatacara yang lengkap untuk melakukan setiap sembahyang sunat rawatib…apakah surah2 yang boleh dibaca…terima kasih
Tatacara atau rukun solat sunat rawatib adalah sama seperti solat sunat lain.
Surah yang dicadangkan untuk dibaca adalah surah al-ikhlas dan al-kafirun
Terima Kasih… Alhamdulillah.. Semoga ALLAH merahmati usaha penulisan Dan susunan yang lengkap..
Alhamdulillah.
Terima kasih. Semoga dapat memudahkan semua orang :-)