
Ini adalah panduan lengkap cara melakukan Qiamullail. Panduan ini akan membimbing anda menghidupkan malam dengan ibadah secara betul dan tersusun, bermula daripada persediaan sebelum tidur, solat-solat sunat yang boleh dilakukan, sehinggalah kepada doa, zikir dan amalan-amalan lain yang disunatkan.
Apa yang penting:
Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai. Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam transliterasi rumi dan audio bagi membantu anda yang menghadapi kesukaran membaca tulisan arab.
Tanpa buang masa, mari kita ikuti panduan ini..
Apakah Maksud Qiamullail?

Qiamullail bermaksud menghidupkan malam dengan ibadah kepada Allah SWT.
Dari sudut bahasa, Qiamullail (قِيَامُ اللَّيْلِ) terdiri daripada dua perkataan, iaitu qiyam yang bermaksud bangun atau berdiri, dan al-lail yang bermaksud malam.
Oleh itu, secara ringkasnya qiamullail membawa maksud bangun pada waktu malam.
Dari sudut istilah pula, qiamullail ialah menghidupkan sebahagian waktu malam dengan ibadah seperti solat sunat, doa, zikir, istighfar dan membaca al-Quran.
Dalam erti kata yang mudah, sesiapa yang bangun pada waktu malam untuk beribadah kepada Allah, maka dia sedang melaksanakan qiamullail.
Tahajjud pula ialah salah satu amalan utama dalam qiamullail. Namun, qiamullail tidak terhad kepada Solat Tahajjud sahaja.
Ia juga merangkumi ibadah-ibadah lain yang dilakukan pada waktu malam untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Allah SWT memuji orang yang bangun malam untuk beribadah dalam firman-Nya:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Maksudnya: “Lambung mereka jauh dari tempat tidur, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harap, dan mereka mendermakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.” (Surah As-Sajdah ayat 16)
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Solat yang paling utama selepas solat fardu ialah solat malam.” (Riwayat Muslim, no. 1163)
Bagi orang yang baru belajar, qiamullail tidak semestinya dimulakan dengan amalan yang banyak. Memadai dimulakan dengan dua rakaat solat sunat, kemudian diikuti sedikit doa atau zikir.
Yang paling penting ialah istiqamah dan keikhlasan dalam beribadah.

Waktu Untuk Melakukan Qiamullail

Qiamullail boleh dilakukan selepas Solat Isyak sehingga sebelum masuk waktu Subuh.
Dalam tempoh inilah seseorang boleh menghidupkan malam dengan ibadah seperti solat sunat, doa, zikir, istighfar dan membaca al-Quran.
Maknanya, qiamullail tidak terhad kepada satu waktu yang sempit sahaja, bahkan boleh dilakukan pada awal malam, pertengahan malam atau akhir malam mengikut kemampuan masing-masing.
Namun, waktu yang paling afdal untuk melaksanakan qiamullail ialah pada sepertiga malam yang terakhir.
Inilah waktu yang sangat tenang dan paling sesuai untuk bermunajat, berdoa dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah turun ke langit dunia pada setiap malam ketika masih berbaki sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman:
“Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan memperkenankannya. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya. Sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun, jika seseorang sukar bangun pada akhir malam, dia tetap boleh melakukan qiamullail lebih awal mengikut kemampuannya.
Yang paling penting ialah berusaha menghidupkan malam dengan ibadah dan melakukannya secara istiqamah.
Bagi orang yang baru belajar, memadai dimulakan dengan dua rakaat solat sunat, kemudian diikuti sedikit doa, zikir atau istighfar. Tidak perlu terlalu membebankan diri pada permulaan.
Bilakah Satu Pertiga Malam Terakhir?

Jika mahu mengetahui bilakah bermulanya sepertiga malam terakhir, caranya ialah dengan mengira tempoh dari waktu Maghrib hingga waktu Subuh, kemudian membahagikannya kepada tiga bahagian.
Bahagian yang terakhir itulah yang dinamakan sepertiga malam terakhir.
Ringkasnya, qiamullail boleh dilakukan sepanjang malam selepas Isyak, tetapi waktu yang paling utama ialah pada akhir malam, khususnya pada sepertiga malam yang terakhir.
Memperbanyakkan amalan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan sangat diutamakan, semoga-moga insyaAllah bertemu dengan Malam Lailatul Qadar.
Persediaan Untuk Qiamullail

Qiamullail bukan sekadar bergantung pada semangat untuk bangun malam. Ia juga memerlukan persediaan yang baik supaya badan lebih bersedia, hati lebih ringan, dan ibadah lebih mudah dilakukan.
Bagi orang yang baru belajar, tidak perlu terlalu membebankan diri. Mulakan dengan beberapa persiapan yang sederhana tetapi konsisten.
Sedikit persediaan yang dibuat dengan ikhlas sering kali lebih membantu daripada azam yang besar tetapi tidak teratur.
Amalan Sebelum Tidur
1. Berniat dan berazam untuk bangun malam
Perkara pertama yang sangat penting ialah berniat dan berazam untuk bangun beribadah pada waktu malam. Jangan tidur dalam keadaan sambil lewa tanpa sebarang persiapan hati.
Apabila seseorang benar-benar mahu bangun qiamullail, dia biasanya akan berusaha lebih awal seperti tidur lebih teratur, memasang penggera, atau meminta pasangan mengejutkannya. Niat yang baik ini sendiri sudah mempunyai nilai yang besar di sisi Allah.
Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang tidur dengan niat untuk bangun qiamullail, kemudian dia terlelap sehingga pagi, maka ditulis baginya pahala berdasarkan niatnya, dan tidurnya itu menjadi sedekah daripada Tuhannya.[1]
2. Menjaga diri daripada dosa dan perkara yang melalaikan
Antara penghalang terbesar untuk bangun malam ialah hati yang berat kerana maksiat, kelalaian, dan dosa yang dilakukan pada siang hari. Sebab itu, jika seseorang ingin dimudahkan qiamullail, dia perlu menjaga hati dan tingkah lakunya pada waktu siang.
Para ulama salaf juga banyak mengingatkan perkara ini. Mufti Wilayah menukilkan nasihat Ibrahim bin Adham bahawa maksiat pada siang hari boleh menjadi sebab seseorang terhalang daripada berdiri di hadapan Allah pada waktu malam. Maka, jauhilah perkara yang melalaikan hati, membiasakan mata dengan perkara haram, atau membiarkan diri tenggelam dalam hiburan yang merosakkan jiwa.[2]
3. Ringankan makan malam
Makan berlebihan pada waktu malam boleh menyebabkan badan menjadi berat, cepat mengantuk, dan sukar bangun untuk beribadah. Lebih-lebih lagi jika makan terlalu lewat atau terlalu kenyang sebelum tidur.
Oleh itu, sesiapa yang ingin bangun qiamullail elok menjaga makan malamnya. Makan sekadar perlu, tidak berlebihan, dan elakkan membebankan tubuh dengan makanan yang terlalu berat.
Rasulullah SAW juga mengajar supaya seseorang tidak memenuhi perutnya secara berlebihan, bahkan memadai dengan kadar yang membantu tubuhnya berfungsi dengan baik.
Ini selari dengan adab hidup sederhana yang membantu seseorang lebih cergas untuk beribadah.
4. Berehat seketika pada waktu siang jika perlu
Jika badan terlalu letih, berehat sebentar pada waktu siang boleh membantu seseorang bangun malam dengan lebih mudah. Amalan ini dikenali sebagai qailulah.

Mufti Wilayah menjelaskan bahawa qailulah ialah tidur seketika pada waktu tengah hari, dan dalam mazhab Syafie ia disebut sebagai satu persediaan yang baik bagi orang yang ingin melazimi tahajjud dan qiamullail.
Jadi, jika keadaan harian anda mengizinkan, rehat seketika pada siang hari boleh menjadi antara sebab tubuh lebih bersedia untuk bangun malam.[3]
5. Berwuduk sebelum tidur
Antara sunnah yang sangat baik sebelum tidur ialah berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.
Ini bukan sahaja membersihkan diri, tetapi juga membantu seseorang tidur dalam keadaan lebih terpelihara dan dekat dengan adab-adab ibadah.
Rasulullah SAW mengajarkan al-Bara’ bin ‘Azib agar berwuduk sebelum tidur sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaring di sebelah kanan dan membaca doa sebelum tidur. Ini menunjukkan bahawa tidur seorang Muslim juga boleh dimulakan dengan adab yang baik dan suasana ibadah. [4]
Amalan Selepas Bangun Tidur
1. Bangun dengan zikir dan doa
Apabila terjaga daripada tidur, mulakan malam itu dengan mengingati Allah. Antara amalan yang sangat baik ialah membaca doa bangun tidur:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Alhamdulillahil-ladzi ahyana ba‘da ma amatana wa ilaihin-nusyur
Maksudnya:
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami, dan kepada-Nya tempat kembali.
Doa ini sahih daripada Nabi SAW dan sangat sesuai dibaca ketika bangun daripada tidur.
Dalam satu riwayat lain, Ibn ‘Abbas juga menceritakan bahawa Nabi SAW apabila bangun malam, baginda mengusap kesan tidur pada wajahnya sebelum meneruskan ibadah.[5]
Maka, menyapu muka selepas bangun boleh dianggap sebagai salah satu adab yang baik, walaupun fokus utamanya tetap pada zikir dan kesiapsiagaan untuk solat.
2. Bersihkan diri dan ambil wuduk
Selepas bangun, bersihkan diri terlebih dahulu. Jika perlu ke tandas, tunaikan dahulu hajat. Jika berada dalam keadaan hadas besar, maka wajib mandi wajib sebelum solat.
Jika tidak, memadai membersihkan diri, membasuh muka, bersiwak jika ada, dan kemudian mengambil wuduk untuk qiamullail.[6]
Persediaan yang ringkas ini membantu badan segar dan hati lebih bersedia untuk berdiri menghadap Allah.
3. Mulakan dengan dua rakaat yang ringkas
Bagi orang yang baru bangun dari tidur, elok memulakan qiamullail dengan dua rakaat yang ringan.
Ini membantu tubuh dan fikiran menyesuaikan diri secara perlahan sebelum meneruskan solat-solat sunat yang lain.
Rasulullah SAW mengajarkan bahawa apabila seseorang bangun malam untuk solat, dia hendaklah memulakan dengan dua rakaat yang ringkas. Ini sangat sesuai diamalkan, terutama bagi orang yang baru belajar istiqamah dalam qiamullail.[7]
4. Bangunkan pasangan dengan cara yang baik
Jika sesuai, bangunkan juga pasangan untuk sama-sama beribadah.
Ini termasuk antara sunnah yang sangat indah kerana qiamullail bukan sahaja menghidupkan hati, tetapi juga boleh menghidupkan suasana ibadah dalam rumah tangga.
Rasulullah SAW mendoakan rahmat bagi suami yang bangun malam lalu solat dan membangunkan isterinya, serta bagi isteri yang bangun malam lalu solat dan membangunkan suaminya.
Hadis ini menunjukkan bahawa saling membantu dalam ibadah malam ialah satu amalan yang sangat mulia.[8]
—— ❈ ——
Qiamullail menjadi lebih mudah apabila ia dimulakan dengan persediaan yang baik.
Niat yang kuat, tidur yang teratur, makan yang sederhana, dan adab bangun malam yang dijaga akan banyak membantu seseorang untuk istiqamah.
Tidak perlu bermula dengan sesuatu yang terlalu besar.
Kadang-kadang, persediaan yang baik pada malam ini menjadi sebab seseorang mampu bangun malam pada esok hari dengan hati yang lebih ringan dan jiwa yang lebih dekat kepada Allah.
Solat-Solat Sunat Dalam Qiamullail
Qiamullail boleh dihidupkan dengan beberapa jenis solat sunat, bergantung kepada kemampuan, masa, dan kekuatan seseorang.
Antara solat yang lazim dikerjakan dalam qiamullail ialah Solat Tahajjud, Solat Taubat, Solat Hajat, Solat Tasbih, dan ditutup dengan Solat Witir sebagai penutup solat malam.
Tidak semestinya semua solat ini dilakukan pada setiap malam. Memadai bagi seseorang memulakan qiamullail dengan amalan yang mampu dilakukan secara istiqamah, kemudian menambahnya sedikit demi sedikit.
Berikut ialah panduan ringkas bagi setiap solat tersebut untuk memudahkan anda mengamalkannya langkah demi langkah.
Solat Sunat Tahajjud
Solat Tahajjud ialah salah satu amalan utama dalam qiamullail. Ia merupakan solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, dan lazimnya dilakukan selepas bangun daripada tidur.
Dalam erti kata yang mudah, setiap Tahajjud termasuk dalam qiamullail, tetapi qiamullail tidak terhad kepada Tahajjud sahaja kerana ia juga merangkumi bacaan al-Quran, zikir, doa dan istighfar pada waktu malam.
Amalan ini sangat besar kelebihannya. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat malam. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin menghidupkan malam dengan ibadah, Tahajjud ialah antara amalan yang paling utama untuk dijadikan kelaziman.
Niat Solat Tahajjud
Niat Solat Tahajjud adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatat-Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala
Anda juga boleh melafazkan niat Tahajjud dalam Bahasa Melayu seperti ini:
Sahaja aku Solat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
Niat solat tempatnya di dalam hati. Lafaz niat tidak wajib, namun dalam Mazhab Syafie melafazkannya diharuskan malah disunatkan bagi membantu hati menghadirkan niat.
Cara Mengerjakan
Solat Tahajjud dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat, dan solat malam dikerjakan dua rakaat demi dua rakaat mengikut kemampuan.
Selepas selesai, bolehlah diteruskan dengan doa, zikir, istighfar, membaca al-Quran, dan ditutup dengan solat Witir jika belum dilakukan.
Bacaan Surah
Selepas membaca Surah al-Fatihah, tidak ditetapkan surah tertentu untuk Tahajjud. Anda boleh membaca mana-mana ayat atau surah yang mudah dan dihafal.
Yang lebih penting ialah solat itu dilakukan dengan khusyuk, tenang dan penuh pengharapan kepada Allah.
Ini selari dengan semangat qiamullail yang menekankan ibadah malam yang hidup dengan munajat dan tadabbur.
Doa Solat Tahajjud
Antara doa yang masyhur daripada Nabi SAW ketika bangun malam untuk bertahajjud ialah doa yang dimulakan dengan “Allahumma lakal-hamd, anta qayyimus-samawati wal-ard…”.
Doa ini sangat baik dibaca sebagai munajat pada waktu malam kerana kandungannya penuh dengan pujian, pengabdian, pengharapan dan permohonan keampunan kepada Allah:
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ
وَلَكَ الْحَمْدُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ.
اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ
أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَوْ لَا إِلَهَ غَيْرُكَ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللّٰهِ
Allahumma lakal-hamdu anta qayyimus-samawati wal-ardhi wa man fihinna, wa lakal-hamdu laka mulkus-samawati wal-ardhi wa man fihinna.
Wa lakal-hamdu nurus-samawati wal-ardhi, wa lakal-hamdu antal-haqqu wa wa‘dukal-haqqu wa liqa’uka haqq, wa qawluka haqq, wal-jannatu haqq, wan-naru haqq, wan-nabiyyuna haqq, wa Muhammadun sallallahu ‘alaihi wasallam haqq, was-sa‘atu haqq.
Allahumma laka aslamtu, wa bika amantu, wa ‘alaika tawakkaltu, wa ilaika anabtu, wa bika khasamtu, wa ilaika hakamtu, faghfir li ma qaddamtu wa ma akhkhartu wa ma asrartu wa ma a‘lantu.
Antal-muqaddimu wa antal-mu’akhkhiru, la ilaha illa anta, wa la hawla wa la quwwata illa billah.
Maksudnya
Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah Penegak langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya.
Bagi-Mu segala puji. Milik-Mu kerajaan langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya.
Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Cahaya langit dan bumi. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Yang Benar. Janji-Mu benar. Pertemuan dengan-Mu benar. Firman-Mu benar. Syurga itu benar. Neraka itu benar. Para nabi itu benar. Nabi Muhammad SAW itu benar. Hari Kiamat itu benar.
Ya Allah, kepada-Mu aku berserah diri, aku beriman kepada-Mu, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali, dengan pertolongan-Mu aku berhujah, dan kepada-Mu aku memohon keputusan. Maka ampunilah aku atas dosa-dosaku yang terdahulu dan yang terkemudian, yang aku sembunyikan dan yang aku nyatakan.
Engkaulah Yang Mendahulukan dan Engkaulah Yang Mengakhirkan. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Solat Sunat Taubat
Solat Sunat Taubat ialah antara solat sunat yang sangat baik dikerjakan ketika qiamullail, khususnya bagi seseorang yang ingin kembali kepada Allah dengan hati yang penuh penyesalan dan pengharapan.
Solat ini dilakukan sebagai tanda taubat, memohon keampunan, dan membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan.
Rasulullah SAW mengajarkan bahawa sesiapa yang melakukan dosa, kemudian dia berwuduk dengan sempurna, solat dua rakaat, lalu memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampuninya.
Niat Solat Taubat
Niat Solat Taubat adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatat-taubati Rak‘ataini Lillahi Ta‘ala
Jika mahu dilafazkan dalam Bahasa Melayu sebagai bantuan, bolehlah dengan maksud seperti ini:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Niat solat tempatnya di dalam hati. Dalam Mazhab Syafie, melafazkan niat diharuskan malah disunatkan bagi membantu hati menghadirkannya, tetapi yang wajib ialah niat di dalam hati ketika takbiratul ihram.
Cara Mengerjakan
Solat Sunat Taubat dilakukan sebanyak dua rakaat. Sebelum mendirikannya, eloklah seseorang mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dengan hati yang hadir dan penuh pengharapan.
Selepas selesai solat, hendaklah diteruskan dengan istighfar dan taubat yang sebenar-benarnya kepada Allah.
Bacaan Surah
Selepas membaca Surah al-Fatihah, tidak diwajibkan surah tertentu dalam Solat Taubat. Seseorang boleh membaca mana-mana surah yang mudah.
Namun, Mufti Wilayah menyebut adanya riwayat tentang bacaan Surah al-Kafirun dan al-Ikhlas, dan juga ayat-ayat yang berkaitan dengan taubat seperti Ali ‘Imran ayat 135 atau al-Nisa’ ayat 110.
Walau bagaimanapun, bacaan tidak terhad kepada itu sahaja. Yang lebih penting ialah kekhusyukan dan kesedaran hati ketika bermunajat kepada Allah.
Istighfar dan Munajat Selepas Solat Taubat
Selepas selesai Solat Taubat, hendaklah seseorang memperbanyakkan istighfar dan berdoa kepada Allah dengan penuh penyesalan.
Dalam konteks Solat Taubat, tidak perlu terlalu ditekankan satu doa panjang yang khusus. Yang lebih utama ialah seseorang benar-benar menyesali dosanya, berhenti daripada maksiat tersebut, dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Inilah makna taubat yang sebenar.
Antara lafaz istighfar yang boleh dibaca ialah:
أَسْتَغْفِرُ اللّٰهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Astaghfirullahal-‘azim alladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum wa atubu ilaih
Maksudnya
Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat kepada-Nya.
Selain lafaz istighfar ringkas, pembaca juga boleh membaca Sayyidul Istighfar, iaitu penghulu segala istighfar yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Doa ini sangat baik dibaca ketika qiamullail atau selepas Solat Taubat kerana kandungannya menghimpunkan pengakuan ubudiyyah, pengakuan dosa, dan permohonan keampunan kepada Allah.
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Allahumma anta rabbī, Lā ilāha illā anta, Khalaqtanī wa anā ‘abduka, Wa anā ‘alā ‘ahdika wa wa‘dika mā istaṭa‘tu, A‘ūzu bika min sharri mā ṣana‘tu, Abū’u laka bini‘matika ‘alayya, Wa abū’u bidzanbī, Faghfir lī, Fa innahu lā yaghfirudz-dzunūba illā Anta.
Maksudnya
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu. Aku tetap berada di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sekadar yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku, dan aku juga mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau.
Solat Sunat Hajat
Solat Sunat Hajat ialah antara solat sunat yang biasa dilakukan apabila seseorang mempunyai keperluan, kesusahan, atau hajat yang ingin dipohon kepada Allah.
Para ulama berbeza pendapat tentang kedudukan khusus solat ini kerana hadis berkaitannya diperselisihkan statusnya.
Namun sebahagian ulama menerima amalan ini dalam bab fadha’il al-a‘mal, dan kerana itu ia terus diamalkan sebagai salah satu bentuk munajat dan pergantungan hati kepada Allah.
Niat Solat Hajat
Niat Solat Hajat adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal-hajati Rak‘ataini Lillahi Ta‘ala
Jika mahu dilafazkan dalam Bahasa Melayu sebagai bantuan, bolehlah dengan maksud seperti ini:
Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala
Niat solat tempatnya di dalam hati. Dalam Mazhab Syafie, melafazkan niat diharuskan malah disunatkan bagi membantu hati menghadirkannya, tetapi yang wajib ialah niat di dalam hati ketika takbiratul ihram.
Cara Mengerjakan
Solat Sunat Hajat lazimnya dilakukan sebanyak dua rakaat.
Sebelum mendirikannya, eloklah seseorang mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dengan hati yang tenang dan penuh pengharapan.
Selepas selesai solat, pujilah Allah, berselawat ke atas Nabi SAW, kemudian berdoalah memohon hajat kepada Allah.
Bacaan Surah
Selepas membaca Surah al-Fatihah, tidak ditetapkan surah tertentu untuk Solat Hajat. Seseorang boleh membaca mana-mana surah yang mudah dan dihafal.
Yang lebih penting ialah solat itu dilakukan dengan khusyuk, rendah hati, dan benar-benar menghadapkan hati kepada Allah ketika memohon pertolongan-Nya.
Antara Doa Selepas Solat Hajat
Terdapat satu doa yang masyhur dibaca selepas Solat Hajat berdasarkan riwayat Abdullah bin Abi Awfa RA.
Namun, oleh kerana status hadis ini diperselisihkan, lebih baik ia difahami sebagai antara munajat yang baik dibaca ketika memohon hajat, bukan sebagai bacaan wajib yang mesti terikat dengan Solat Hajat.
Antara doa yang boleh dibaca ialah:
لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا لِي، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
La ilaha illallahul-Halimul-Karim, Subhanallahi Rabbil-‘Arsyil-‘Azim, Alhamdulillahi Rabbil-‘Alamin. As’aluka Mujibati Rahmatik, Wa ‘aza’ima maghfiratik, wal-ghanimata min kulli birr, was-salamata min kulli ithm. La tada‘ li dzanban illa ghafartah, wa la hamman illa farrajtah, wa la hajatan hiya laka ridan illa qadaitaha li, ya arhamar-rahimin.
Maksudnya
Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Pemurah. Maha Suci Allah, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, perkara-perkara yang mewajibkan keampunan-Mu, bahagian daripada setiap kebaikan, dan keselamatan daripada setiap dosa. Janganlah Engkau biarkan satu pun dosaku melainkan Engkau ampunkan, dan jangan Engkau biarkan satu pun kegusaranku melainkan Engkau lapangkan, serta jangan Engkau biarkan satu pun hajat yang Engkau redai melainkan Engkau tunaikan untukku, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala yang mengasihani.
Selepas membaca doa ini, nyatakanlah hajat anda kepada Allah dengan bahasa sendiri.
Mohonlah dengan penuh rendah hati, keyakinan, dan pengharapan.
Inilah antara adab paling penting dalam Solat Hajat: bukan sekadar membaca lafaz, tetapi benar-benar menghadapkan hati kepada Allah dan bergantung kepada-Nya.
Solat Sunat Tasbih
Solat Sunat Tasbih ialah antara solat sunat yang boleh dikerjakan ketika qiamullail bagi mereka yang ingin memperbanyakkan pujian, tasbih dan pengagungan kepada Allah.
Solat ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana di dalamnya terdapat bacaan tasbih yang diulang berkali-kali dalam setiap rakaat.
Walaupun terdapat khilaf ulama tentang status hadis berkaitannya, jumhur ulama menerima kesunatannya.
Oleh itu, solat ini boleh diamalkan sebagai salah satu ibadah tambahan dalam qiamullail bagi sesiapa yang ingin melaziminya.
Niat Solat Tasbih
Niat Solat Tasbih adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّسْبِيحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatat-tasbihi Rak‘ataini Lillahi Ta‘ala
Jika mahu dilafazkan dalam Bahasa Melayu sebagai bantuan, bolehlah dengan maksud seperti ini:
Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala
Niat solat tempatnya di dalam hati. Dalam Mazhab Syafie, melafazkan niat diharuskan malah disunatkan bagi membantu hati menghadirkannya, tetapi yang wajib ialah niat di dalam hati ketika takbiratul ihram.
Bacaan Tasbih Dalam Solat
Bacaan tasbih yang dibaca dalam Solat Tasbih ialah:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illallah wallahu akbar
Tasbih ini dibaca berulang kali pada beberapa tempat dalam setiap rakaat sehingga jumlahnya menjadi 75 kali bagi satu rakaat, dan 300 kali bagi empat rakaat.
Cara Mengerjakan
Solat Sunat Tasbih boleh dilakukan empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu malam, lebih afdal dilakukan dua rakaat satu salam, kemudian diulang sekali lagi dua rakaat satu salam. Selepas membaca doa iftitah, Surah al-Fatihah dan surah pilihan, bacalah tasbih di atas sebanyak 15 kali ketika masih berdiri.
Selepas itu, bacalah tasbih tersebut sebanyak 10 kali pada setiap tempat berikut: ketika rukuk, ketika iktidal, ketika sujud pertama, ketika duduk antara dua sujud, ketika sujud kedua, dan ketika duduk istirahah sebelum bangun ke rakaat seterusnya. Dengan itu, jumlah tasbih dalam satu rakaat ialah 75 kali.
Cara yang sama diulangi pada rakaat kedua, dan jika ingin menyempurnakan empat rakaat, diteruskan lagi dua rakaat berikutnya dengan susunan yang sama. Jika ada tasbih yang tertinggal pada satu tempat, para ulama menyebut bahawa ia boleh diganti pada tempat berikutnya supaya jumlah keseluruhannya tetap mencukupi.
Bacaan Surah
Selepas membaca Surah al-Fatihah, tidak diwajibkan surah tertentu dalam Solat Tasbih. Kita boleh membaca mana-mana surah yang mudah dan dihafal.
Yang lebih penting ialah menjaga ketenangan bacaan dan tertib pergerakan, kerana Solat Tasbih memerlukan sedikit kesabaran dan kekhusyukan untuk menyempurnakan semua bilangan tasbih dengan baik.
Doa dan Munajat Selepas Solat Tasbih
Selepas selesai Solat Tasbih, bolehlah diteruskan dengan istighfar, doa dan munajat kepada Allah.
Dalam konteks qiamullail, Solat Tasbih sangat sesuai dijadikan medan untuk memperbanyakkan pengharapan, merendahkan hati, dan memohon keampunan serta rahmat Allah pada waktu malam yang tenang.
Jika kita mahu, selepas solat ini boleh juga dibaca doa-doa munajat yang ringkas dan mudah, atau terus berdoa dengan bahasa sendiri mengikut hajat dan keperluan hati.
Yang penting, jangan terlalu memberatkan diri sehingga hilang kekhusyukan.
Solat Sunat Witir
Solat Sunat Witir ialah penutup bagi solat-solat sunat pada waktu malam. Ia sangat dituntut dan menjadi amalan yang baik untuk menutup qiamullail dengan ibadah yang ringkas tetapi penuh makna.
Rasulullah SAW menganjurkan agar solat yang terakhir pada waktu malam dijadikan solat witir.
Oleh itu, selepas selesai Tahajjud, Taubat, Hajat atau Tasbih, bolehlah qiamullail ditutup dengan Solat Witir.
Niat Solat Witir
Niat solat tempatnya di dalam hati. Dalam Mazhab Syafie, melafazkan niat diharuskan malah disunatkan bagi membantu hati menghadirkannya.
Jika Solat Witir dilakukan dua rakaat, bolehlah dilafazkan seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal-witri rak‘ataini lillahi ta‘ala
Jika mahu dilafazkan dalam Bahasa Melayu sebagai bantuan, bolehlah dengan maksud seperti ini:
Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala
Jika Solat Witir dilakukan satu rakaat sebagai penutup, bolehlah dilafazkan seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal-witri Rak‘atan Lillahi Ta‘ala
Jika mahu dilafazkan dalam Bahasa Melayu sebagai bantuan, bolehlah dengan maksud seperti ini:
Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala
Cara Mengerjakan
Solat Witir boleh dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat. Namun, bentuk yang lebih sempurna ialah tiga rakaat.
Jika ingin melakukannya tiga rakaat, yang lebih afdal ialah dikerjakan dua rakaat satu salam, kemudian diikuti satu rakaat lagi sebagai penutup. Dalam konteks qiamullail, bentuk ini sangat sesuai kerana ia selari dengan kaedah solat malam yang dilakukan dua rakaat demi dua rakaat, kemudian diakhiri dengan satu rakaat witir.
Bacaan Surah
Selepas membaca Surah al-Fatihah, tidak diwajibkan surah tertentu dalam Solat Witir. Tuan boleh membaca mana-mana surah yang mudah dan dihafal.
Namun, jika dilakukan tiga rakaat, antara bacaan yang masyhur daripada Nabi SAW ialah Surah al-A‘la pada rakaat pertama, Surah al-Kafirun pada rakaat kedua, dan Surah al-Ikhlas pada rakaat ketiga.
Qunut Dalam Solat Witir
Dalam Mazhab Syafie, doa qunut disunatkan dalam Solat Witir pada rakaat terakhir dalam separuh akhir bulan Ramadan.
Jika solat witir dilakukan di luar Ramadan, atau pada separuh awal Ramadan, maka solat itu tetap sah tanpa qunut.
Zikir Selepas Solat Witir
Selepas selesai Solat Witir, antara zikir yang masyhur dibaca ialah:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subhanal-Malikil-Quddus
Maksudnya
Maha Suci Allah, Raja Yang Maha Suci.
Zikir ini dibaca sebanyak tiga kali. Pada bacaan yang ketiga, disunatkan meninggikan atau memanjangkan sedikit suara.
Solat Sunat Witir ialah penutup yang sangat indah bagi qiamullail. Ia menutup seluruh ibadah malam dengan satu amalan yang ringan, tetapi sangat besar nilainya di sisi Allah.
Jika seseorang telah melakukan witir pada awal malam, dia masih boleh mengerjakan solat-solat sunat lain selepas itu jika terbangun kemudian. Namun, dia tidak perlu mengulangi witir kali kedua pada malam yang sama.
Adab Berdoa Dalam Qiamullail

Ketika qiamullail, doa ialah antara ibadah yang sangat besar nilainya. Pada waktu malam yang tenang, seorang hamba boleh bermunajat kepada Allah dengan hati yang lebih khusyuk, lebih jujur, dan lebih dekat.
Dalam berdoa, terdapat beberapa adab yang baik untuk dijaga supaya doa itu lebih tersusun dan lebih hadir dari hati.
1. Mulakan dengan memuji Allah SWT
Sebelum menyatakan hajat, mulakanlah doa dengan memuji dan membesarkan Allah SWT. Ini termasuk antara adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW agar doa dimulakan dengan pengagungan kepada Tuhan terlebih dahulu.
2. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Selepas itu, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW. Selawat ialah antara adab yang sangat baik ketika berdoa, dan ia menjadi tanda kecintaan seorang hamba kepada Rasulullah SAW.
3. Mulakan dengan istighfar dan memohon keampunan
Sebelum meminta pelbagai hajat, eloklah seseorang memohon ampun kepada Allah terlebih dahulu.
Mohonlah keampunan untuk diri sendiri, kedua ibu bapa, pasangan, anak-anak, dan seluruh kaum Muslimin.
Ini kerana hati yang dibersihkan dengan istighfar lebih mudah hadir ketika berdoa dan lebih dekat kepada rahmat Allah.
4. Berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat
Selepas itu, berdoalah dengan apa sahaja hajat yang baik.
Antaranya ialah memohon rezeki yang halal, kesihatan yang baik, ketenangan hati, kemudahan dalam ibadah, perlindungan daripada bala, serta kebaikan untuk kehidupan di dunia dan akhirat.
Seseorang juga boleh memohon husnul khatimah, dijauhkan daripada fitnah ketika sakaratul maut, dipermudahkan urusan di alam kubur, di Padang Mahsyar, ketika hisab, ketika melalui Titian Sirat, serta memohon agar dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah.
5. Berdoa dengan hati yang hadir dan penuh pengharapan
Ketika berdoa, jangan hanya mengulang lafaz di bibir. Hadirkan hati, rasakan kehambaan diri, dan mohonlah dengan penuh harap, takut, rendah diri, dan keyakinan kepada Allah.
Doa yang baik bukan semestinya panjang. Kadang-kadang doa yang ringkas tetapi lahir daripada hati yang ikhlas lebih dekat kepada penerimaan.
6. Akhiri doa dengan selawat dan puji-pujian kepada Allah
Setelah selesai berdoa, eloklah ditutup semula dengan selawat ke atas Nabi SAW dan puji-pujian kepada Allah SWT. Ini termasuk antara adab yang memperindahkan munajat seorang hamba.
Ringkasnya, adab doa dalam qiamullail bermula dengan memuji Allah, berselawat ke atas Nabi, memohon keampunan, kemudian berdoa dengan segala hajat yang baik, dan ditutup semula dengan selawat serta puji-pujian kepada Allah.
Inilah antara cara yang paling indah untuk bermunajat kepada-Nya pada waktu malam.
Amalan Lain Yang Disunatkan Semasa Qiamullail

Qiamullail tidak terhad kepada solat sunat sahaja. Selain solat, malam juga boleh dihidupkan dengan amalan-amalan lain seperti membaca al-Quran, berzikir, dan memperbanyakkan istighfar.
Inilah antara cara seorang hamba mendekatkan diri kepada Allah pada waktu malam yang tenang dan penuh keberkatan.
Membaca al-Quran
Antara amalan yang sangat baik ketika qiamullail ialah membaca al-Quran.
Waktu malam ialah saat yang sangat sesuai untuk membaca al-Quran dengan lebih tenang, lebih tartil, dan lebih hadir hati.
Allah SWT menyebut bahawa ibadah pada waktu malam lebih memberi kesan dan lebih sesuai untuk bacaan yang khusyuk.
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar al-Quran dibaca kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat.
Selain itu, setiap huruf yang dibaca daripada al-Quran diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Dalam qiamullail, seseorang boleh membaca mana-mana ayat atau surah yang mudah baginya. Tidak perlu membebankan diri untuk membaca terlalu panjang jika belum mampu. Yang lebih penting ialah istiqamah, tartil, dan tadabbur.
Jika mahu membiasakan amalan malam dengan surah tertentu, antara surah yang masyhur dibaca pada waktu malam ialah Surah as-Sajdah dan Surah al-Mulk, berdasarkan riwayat bahawa Nabi SAW tidak tidur sehingga membaca kedua-duanya.
Namun, ini bukanlah syarat; membaca mana-mana bahagian al-Quran juga sudah termasuk dalam amalan yang sangat baik ketika qiamullail.
Memperbanyakkan Zikir
Selain membaca al-Quran, qiamullail juga sangat sesuai dihidupkan dengan zikir. Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mengingati-Nya dengan zikir yang banyak.
Zikir tidak terhad kepada satu lafaz sahaja, bahkan merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, istighfar dan selawat.
Oleh itu, seseorang boleh memperbanyakkan zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, La ilaha illallah, dan selawat ke atas Nabi SAW mengikut kemampuan masing-masing.
Zikir pada waktu malam sangat membantu melembutkan hati dan menambah rasa kehambaan.
Ia juga sesuai diamalkan oleh orang yang mungkin belum mampu berdiri lama dalam solat atau belum dapat membaca al-Quran dengan panjang.
Kadang-kadang, zikir yang sedikit tetapi dilakukan dengan hati yang hadir lebih memberi kesan daripada amalan yang banyak tetapi tergesa-gesa.
Memperbanyakkan Istighfar
Antara amalan yang sangat dianjurkan pada akhir malam ialah memperbanyakkan istighfar.
Allah SWT memuji golongan yang beristighfar pada waktu sahur, iaitu saat-saat sebelum masuk Subuh.
Oleh itu, jika seseorang bangun qiamullail, jangan lepaskan peluang untuk memohon ampun kepada Allah sebanyak-banyaknya, sama ada dengan lafaz istighfar yang ringkas atau dengan munajat yang datang daripada hati yang benar-benar menyesal dan berharap.
Bagi orang yang baru belajar, memadai dimulakan dengan amalan yang ringkas. Selepas selesai solat, bacalah beberapa ayat al-Quran, kemudian teruskan dengan zikir dan istighfar.
Tidak perlu terlalu banyak pada permulaan. Yang lebih penting ialah menghidupkan malam dengan ibadah secara istiqamah dan tidak memberatkan diri.
Kelebihan Qiamullail

Qiamullail ialah antara ibadah sunat yang sangat besar kelebihannya di sisi Allah SWT. Ia bukan sahaja mendidik jiwa untuk lebih dekat kepada Allah, tetapi juga membentuk hati yang lebih lembut, lebih ikhlas, dan lebih istiqamah dalam beribadah.
Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa solat malam ialah solat yang paling utama selepas solat fardu.
Ini menunjukkan bahawa qiamullail mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam kehidupan seorang Muslim.
1. Qiamullail ialah ibadah yang sangat mulia
Qiamullail ialah ibadah yang dilakukan ketika kebanyakan manusia sedang lena berehat.
Justeru, orang yang sanggup bangun malam untuk beribadah menunjukkan kesungguhan, keikhlasan, dan kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT.
Kerana itu, ibadah ini termasuk antara amalan sunat yang sangat dituntut dan sangat besar nilainya.
2. Qiamullail ialah sifat orang beriman dan bertakwa
Allah SWT memuji golongan yang meninggalkan tempat tidur mereka semata-mata untuk bermunajat kepada-Nya dengan penuh rasa takut dan harap.
Allah juga memuji orang-orang yang tidur sedikit pada waktu malam dan beristighfar pada waktu akhir malam.
Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa qiamullail ialah antara tanda keimanan dan ketakwaan seorang hamba.
3. Qiamullail mendekatkan hamba kepada Allah
Antara kelebihan besar qiamullail ialah ia menjadi sebab seseorang semakin dekat kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bahawa qiamullail ialah amalan orang soleh sebelum kita, ia mendekatkan diri kepada Allah, menghapuskan dosa, dan mencegah seseorang daripada melakukan maksiat.
Ini menunjukkan bahawa qiamullail bukan sekadar ibadah tambahan, tetapi juga latihan rohani yang sangat kuat untuk membersihkan jiwa.
4. Qiamullail membuka ruang munajat yang sangat istimewa
Waktu malam, khususnya pada sepertiga malam terakhir, ialah saat yang sangat tenang untuk berdoa, beristighfar, dan meluahkan segala hajat kepada Allah.
Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pada waktu inilah Allah membuka ruang bagi hamba-Nya yang berdoa, meminta, dan memohon keampunan.
Oleh itu, qiamullail memberi peluang yang sangat besar untuk seorang hamba memperbanyakkan munajat dengan hati yang lebih hadir dan lebih khusyuk.
5. Qiamullail membentuk jiwa yang lebih kuat dan lebih istiqamah
Seseorang yang melazimi qiamullail biasanya akan lebih terdidik untuk menjaga hubungan dengan Allah, lebih mudah bermuhasabah, dan lebih kuat melawan hawa nafsu.
Ibadah ini mengajar seseorang untuk meninggalkan keselesaan tidur demi mencari keredaan Allah.
Sedikit demi sedikit, ia membentuk jiwa yang sabar, disiplin, dan lebih teguh dalam ibadah.
Ini selari dengan sabda Nabi SAW bahawa qiamullail mencegah dosa dan menjadi jalan orang-orang soleh.
Qiamullail ialah ibadah yang sangat mulia, sangat besar ganjarannya, dan sangat kuat kesannya kepada hati seorang mukmin.
Ia bukan hanya memberi pahala, tetapi juga membentuk peribadi yang lebih dekat kepada Allah, lebih bersih daripada dosa, dan lebih kuat dalam menghadapi kehidupan.
Soalan Lazim (FAQ)
Berikut disenaraikan beberapa soal jawab dan masalah lazim yang sering berlaku mengenai perlaksanaan Qiamullail:
Qiamullail ialah istilah umum bagi ibadah pada waktu malam seperti solat sunat, doa, zikir, istighfar dan membaca al-Quran. Tahajjud pula ialah salah satu amalan dalam qiamullail, dan lazimnya merujuk kepada solat malam yang dilakukan selepas bangun daripada tidur.[9]
Ya, boleh. Qiamullail boleh dilakukan selepas solat Isyak sehingga sebelum masuk waktu Subuh. Namun, jika seseorang mahu melakukan Tahajjud dalam makna yang lebih khusus, maka ia biasanya dilakukan selepas tidur.[10]
Ya, boleh. Seseorang yang tidak tidur tetap boleh menghidupkan malam dengan solat sunat, doa, zikir, istighfar dan membaca al-Quran. Itu semua termasuk dalam qiamullail. Cuma, istilah Tahajjud secara lebih khusus biasanya digunakan bagi solat malam yang dilakukan selepas tidur
Tidak semestinya. Qiamullail tidak menuntut seseorang melakukan semua solat sunat pada setiap malam. Memadai dimulakan dengan amalan yang mampu dilakukan secara istiqamah, seperti dua rakaat solat sunat, sedikit doa, zikir dan istighfar. Yang lebih penting ialah konsisten, bukan terlalu banyak tetapi sukar dikekalkan.
Bagi orang yang baru belajar, memadai dimulakan dengan dua rakaat. Solat malam dilakukan dua rakaat demi dua rakaat, dan jika mahu menutupnya dengan witir, bolehlah diakhiri dengan satu rakaat witir atau tiga rakaat mengikut kemampuan.
Ya, boleh. Solat sunat boleh dilakukan secara berjemaah atau secara bersendirian. Malah, saling membangunkan pasangan untuk beribadah malam termasuk antara amalan yang sangat baik dan dianjurkan.[11]
Ya, boleh. Seseorang masih boleh bangun pada akhir malam untuk melakukan solat-solat sunat lain walaupun dia sudah berwitir lebih awal. Namun, witir tidak diulang kali kedua pada malam yang sama
Jika mengantuk itu ringan, bolehlah teruskan ibadah. Tetapi jika terlalu mengantuk sehingga tidak sedar apa yang dibaca atau disebut, maka lebih baik berhenti seketika, tidur sebentar atau hilangkan rasa mengantuk terlebih dahulu. Ini supaya ibadah dilakukan dengan sedar dan khusyuk.
Ya, insya-Allah. Sesiapa yang tidur dengan niat untuk bangun beribadah malam, kemudian tertidur hingga pagi, maka ditulis baginya pahala berdasarkan niatnya, dan tidurnya itu menjadi sedekah daripada Allah kepadanya.[12]
Tidak perlu. Solat Isyak hendaklah ditunaikan terlebih dahulu pada waktunya. Qiamullail pula dilakukan selepas Isyak sehingga sebelum Subuh. Bahkan, sebahagian ulama menyebut makruh melewatkan Isyak melepasi separuh malam semata-mata kerana mahu berqiamullail.
Jika masa tinggal sedikit dan anda bimbang masuk waktu Subuh, maka ringkaskan qiamullail dan tutuplah dengan Witir jika belum berwitir. Ini berdasarkan hadis bahawa solat malam dilakukan dua rakaat demi dua rakaat, dan apabila seseorang khuatir masuk Subuh, maka dia menutupnya dengan satu rakaat Witir.
Ya, boleh. Jika membaca al-Quran di luar solat ketika qiamullail, membaca daripada aplikasi telefon adalah harus, dan berwuduk ketika membacanya adalah sunat. Jika di dalam solat sunat pula, melihat mushaf dan membaca daripadanya juga dibolehkan dalam mazhab Syafie, selagi tidak melakukan pergerakan berlebihan yang menjejaskan khusyuk.
Ya, boleh. Dalam mazhab Syafie, Witir termasuk solat sunat yang digalakkan untuk diqada jika tertinggal. Terdapat juga hadis bahawa sesiapa yang tertidur hingga terlepas Witir atau terlupa menunaikannya, maka hendaklah dia melakukannya apabila dia teringat atau setelah bangun.
Jika ada keuzuran, maka boleh solat secara duduk. Jika tiada keuzuran pun, solat sunat secara duduk tetap sah, cuma berdiri adalah lebih afdhal dan solat sunat yang dilakukan secara duduk tanpa uzur mendapat ganjaran yang kurang berbanding solat secara berdiri. Jika rasa terlalu mengantuk atau penat hingga tidak sedar apa yang dibaca, lebih baik berhenti seketika dan berehat dahulu.
Tidak mesti. Dalam qiamullail, seseorang boleh membaca mana-mana ayat atau surah yang mudah baginya. Jika mahu mengulang surah yang sama atau membaca ayat tertentu berulang kali untuk lebih menghayati maknanya, itu juga dibolehkan. Yang lebih penting ialah kekhusyukan, tartil, dan kehadiran hati ketika beribadah.
Ya, boleh. Jika seseorang bimbang tidak dapat bangun pada akhir malam, dia boleh berwitir lebih awal sebelum tidur. Namun, bagi orang yang yakin boleh bangun, Witir pada akhir malam adalah lebih afdhal.
Penutup: Moga Menjadi Permulaan Yang Baik
Qiamullail ialah antara ibadah yang sangat istimewa dalam kehidupan seorang Muslim. Ia membuka ruang untuk seorang hamba mendekatkan diri kepada Allah pada waktu yang sunyi, tenang, dan penuh keberkatan.
Melalui qiamullail, seseorang bukan sahaja menambah amalan solat, tetapi juga melatih hati supaya lebih ikhlas, lebih lembut, dan lebih bergantung kepada Allah.
Inilah saat seorang hamba meninggalkan rehatnya demi mencari rahmat, keampunan dan keredaan Tuhannya.
Namun, qiamullail tidak semestinya dimulakan dengan amalan yang banyak. Bagi yang baru belajar, memadai dimulakan dengan dua rakaat solat sunat, sedikit doa, zikir, atau istighfar.
Yang lebih penting ialah keikhlasan dan istiqamah, walaupun amalan itu ringkas.
Semoga panduan ini membantu anda untuk memahami, memulakan, dan melazimi qiamullail dengan lebih mudah.
Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita hati yang gemar bermunajat, tubuh yang ringan untuk bangun malam, dan istiqamah dalam menghidupkan malam dengan ibadah.
Nota Rujukan
- Sunan al-Nasa’i, Kitab Qiyam al-Lail wa Tatawwu‘ al-Nahar, hadis no. 1787 — sesiapa yang tidur dengan niat untuk bangun qiamullail, kemudian tertidur hingga pagi, tetap ditulis baginya pahala berdasarkan niatnya, dan tidurnya itu menjadi sedekah daripada Tuhannya. [pautan] ↩︎
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri ke-286: Tidak Qiyamullail Adalah Petanda Allah Tidak Mahu Berjumpa? — qiamullail ialah ibadah malam yang sangat mulia, dan dosa serta kelalaian boleh menjadi antara sebab seseorang terhalang daripada menikmatinya. [pautan] ↩︎
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1032: Qailulah dan Waktunya — qailulah ialah rehat atau tidur seketika pada waktu tengah hari, dan ia termasuk antara amalan yang membantu seseorang bangun malam untuk beribadah. [pautan] ↩︎
- Sahih al-Bukhari, Kitab al-Da‘awat, hadis no. 6311 — antara sunnah sebelum tidur ialah berwuduk seperti wuduk untuk solat, kemudian berbaring dan membaca doa sebelum tidur. [pautan] ↩︎
- Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudu’, hadis no. 183 — Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila bangun malam, baginda mengusap kesan tidur pada wajahnya sebelum meneruskan ibadah[pautan] ↩︎
- Sahih al-Bukhari, hadis no. 1136; Sahih Muslim, hadis no. 255c; dan Sahih al-Bukhari, hadis no. 4569 — antara adab bangun malam ialah membersihkan mulut dengan siwak, bersuci, dan memulakan ibadah dalam keadaan bersih dan segar. [Pautan] ↩︎
- Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin wa Qasriha, hadis no. 768 — apabila seseorang bangun malam untuk solat, dia dianjurkan memulakannya dengan dua rakaat yang ringkas. [pautan] ↩︎
- Sunan al-Nasa’i, Kitab Qiyam al-Lail wa Tatawwu‘ al-Nahar, hadis no. 1610 — suami isteri digalakkan saling membangunkan antara satu sama lain untuk beribadah malam, dan amalan ini termasuk sunnah yang sangat baik [pautan] ↩︎
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #251: Pembahagian Malam dan Qiamullail; dan Al-Kafi #793: Maksud Tahajjud dan Cara Melakukannya — qiamullail ialah ibadah malam secara umum, manakala Tahajjud secara lebih khusus dilakukan selepas tidur.. [pautan] ↩︎
- JJabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan Siri ke-680 — qiamullail meliputi ibadah malam selepas Isyak hingga sebelum Subuh, dan solat Tarawih juga termasuk dalam qiamullail. [pautan] ↩︎
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #624: Hukum Menunaikan Solat Sunat Secara Berjemaah; dan Irsyad al-Hadith Siri ke-546 — solat sunat boleh dilakukan secara berjemaah, dan pasangan suami isteri digalakkan saling membantu untuk menghidupkan malam dengan ibadah. [pautan] ↩︎
- Sunan al-Nasa’i, Kitab Qiyam al-Lail wa Tatawwu‘ al-Nahar, hadis no. 1787 — sesiapa yang tidur dengan niat untuk bangun qiamullail, kemudian tertidur hingga pagi, tetap ditulis baginya pahala berdasarkan niatnya, dan tidurnya itu menjadi sedekah daripada Tuhannya. [pautan] ↩︎
الـْـحـَـمـْـدُ لـِـلَّـهِ
Saya minta kebenaran
Silakan
I want say a very big thank you to the people who made this blog subahanallah may allah bless you its really help me .
Alhamdulillah, glad to hear that
alhamdulillah,jazakumullah khairan
Alhamdulillah.
As salam ust.. Maaf.. Bantulah saya.. Saya terlalu banyak meninggalkan sholat fardhu.. Saya ingin melakukan quimulai.. Adakah saya mesti utamakan sholat qada fardu atau sholat aktiviti quimulai.. Atau saya lakukan sholat qada fardhu dan diselangselikan dgn sholat sunat2.. Kini, saya lakukan sholat sunat2 quimulai.. Bantu saya.. JzAkk Tuan.. Wassalam.
Assalamualaikum saudara,
Maaf menyampuk…. ? Solat Fardhu wajib dan mengqada solat solat fardhu yg tertinggal adalah yg sebaik baiknya. Di dalam blog ini ada panduan Qada solat.
Cuba amalkan mengqada solat solat yg tertinggal setiap kali selepas solat fardhu. Insya Allah, bila amalan ini dilakukan selalu, tabiat Qiamullail akan menjadi lebih senang. Insya-Allah…
Saya hanya berkongsi pengalaman sendiri… Saya pun byk kekurangan saya tetapi Alhamdullillah , DIA mendengar rintihan kita dan sentiasa menghantar pertolongan dgn apa cara sekali pun… Insya Allah.
Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki sentiasa.
Waalaikumsalam.
Assalamualaikum ustaz.. saya nak tanya kalau saya buat turutan macam ni boleh ke?
Mula² buat solat taubat 2 rakaat
Lepas tu solat hajat 2 rakaat
Last tahajud 2 rakaat
Boleh. Tapi lebih afdal dahulukan solat tahajjud.
Assalamualaikum Ustaz.. Alhamdulillah intipati kandungan Ustaz ini sgt bermanfaat.. Semoga mendapat pahala kurniaan ALLAH swt berpanjangan ya Ustaz. Saya baru berpeluang selama dua hari beramal dgn ilmu yg ustaz kongsi kan ini. Doakan supaya istiqamah, Ustaz. Terima kasih.
Wassalam.
Alhamdulillah, semoga sentiasa istiqamah ya ?
assalamualaikum ustaz, bolehkah saya tidur semula selepas saya melakukan qiam ni? contohnya saya start pukul 3 pagi dan dapat diselesaikan pada pukul 4 pagi, lepas tu saya tak dapat nak menahan ngantuk untuk tunggu waktu subuh, lalu saya tidur. apa hukumnya?
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Hukumnya harus.
salam.. kalau tidak boleh tidur diwaktu mlm tpi ingin solat tahajud? tahajud boleh dilakukan sebelum tidur atau wajib tidur dahulu?
Wassalam,
Antara syarat tahajjud adalah mesti tidur terlebih dahulu, walaupun tidur sekejap (sekitar 5 minit) dan tidur-tidur ayam sahaja.
Assalamualaikum ustaz . Macam mana kalau saya buat solat tasbih hanya 2 rakaat dan bacaan tasbih 150 shaja . .
Wassalam,
Tidak boleh. Solat tasbih mesti dilakukan sebanyak 4 rakaat dan tasbih mestilah cukup 300 kali.
Ok terima kasih atas ulasannya ustaz . .
Sama-sama
Assalammualaikum Ustaz Muhammad Naim, saya nak ucapkan terima kasih atas ilmu yang dikongsikan. In Shaa Allah saya mohon dihalalkan dan mohon share untuk beramal dan mengajar anak cucu. Didoakan ustaz sihat terus berkongsi ilmu dengan kami. Wassalam.
Wassalam Puan.
Alhamdulillah, silakan puan. Semoga ada kebaikannya untuk kita semua. ?
Terima kasih untuk pengisian dan penerangan yang amat jelas sekali. Sudah lama saya tercari-cari dan hari ni Allah telah ketemukan aaya dgn akuislam.com Alhamdulillah
Alhamdulillah.
Semoga membantu puan.
Assalamualaiku stz.. Boleh tak klw solat tasbih dan solat witir tak di buat??
Wassalam,
Ya tidak apa.
Ia terpulang kepada kekuatan awak nak buat berapa solat, tiada kewajipan untuk buat semua solat.
Terima kasih ustaz. Jumpa juga akhirnyA aturan qiam. Teringat zaman sekolah buat ni… ramai2 di masjid.
ustaz aturannya tahajud, taubat, hajat, tasbih ya? Or boleh tahajud taubat tasbih hajat?
Samasa-sama.
Ya boleh sahaja mana-mana urutan solat. Cuma lebih afdal dimulakan dengan Tahajjud terlebih dahulu.
Alhamdulillah Ustaz, banyak yang telah saya pelajari dari laman ini. Terima kasih banyak-banyak dan semoga diberkati Allah S.W.T.
Ustaz memudahkan kami belajar agama In Shaa Allah, Allah memudahkan urusan Ustaz.
Alhamdulillah.
InsyaaAllah, semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua.
terima kasih atas ilmu ilmu diatas,sangat tersusun dan jelas
mudah untuk diikut
Alhamdulillah, gembira saya mengetahuinya.
Assalamualaikum ustaz. Bacaan tasbih sebanyak 300 kali perlu dilafaz didalam bacaan solat shj. Adakah bole dihimpun 300 kali selawat dan dibaca slp 4 rakkat dan sblm mrmbaca doa? Terima kasih
Wassalam.
Ya betul
Alhamdulillah… Terima kasih. Semoga kita diberi kesempatan oleh Allah utk melaksanakannya. Mohon share ye..
Sama-sama.
InsyaaAllah.
Alhamdulillah…t.kasih
Sama-sama tuan.
Alhamdulillah. Terima kasih. Penerangan terperinci dan jelas. Mudah untuk saya sampaikan kepada anak2 saya. Saya juga mendapat pencerahan tentang cara solat2 yg saya jarang praktikkan. Semoga amalan kita diterima Allah SWT.
InsyaaAllah.
Sama-sama puan.
Salam ustaz, ada soalan. kalau kita tak bersihkan diri boleh ke?
Wassalam,
Kalau awak tidak berjunub atau tiada najis pada badan awak, tiada masalah.