Ibu Segala Doa Dan Penawar Segala Masalah

ibu segala doa

Apakah ibu segala doa dan penawar segala masalah?

Jawapannya adalah surah al-Fatihah. Surah ini dikenali sebagai penghulu segala Surah.

Dalam tulisan ini saya akan berkongsi kelebihan dan cara beramal dengan surah ini.

Bacaan Al Fatihah (Dengan Transliterasi Rumi)

ibu segala doa dan penawar segala masalah (al fatihah)

Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm

Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn

Ar-Raḥmānir-Raḥīm

Māliki Yaumid-Dīn

Iyyāka Na‘Budu Wa Iyyāka Nasta‘Īn

Ihdinaṣ-Ṣirāṭal-Mustaqīm

Ṣirāṭallażīna An‘Amta ‘Alaihim, Gairil-Magḍūbi ‘Alaihim Wa Laḍ-Ḍāllīn

Maksudnya

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Keterangan Ayat

Surah al-Fatihah merupakan surah yang istimewa diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ yang tidak pernah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya. (Riwayat Muslim)

Surah ini mempunyai beberapa nama.

Antara yang masyhur ialah al-Fatihah yang bermaksud pembukaan kerana merupakan surah yang pertama dalam susunan surah-surah al-Quran dan yang pertama dibaca dalam solat. (Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Mawardi & Tafsir Surah al-Fatihah)

Surah al-Fatihah juga dipanggil ummul kitab yang bermaksud induk al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan maqasid al-Quran iaitu pujian kepada Allah yang menegaskan rububiyyahNya, menjelaskan kaedah beribadat kepada-Nya dan memohon hidayah-Nya.

Selain itu, kisah-kisah umat yang terdahulu, gambaran kedudukan hamba-hamba-Nya yang bahagia, menderita dan sebagainya juga terkandung dalamnya.

la menduduki tempat sebagai ibu kepada semua surah yang lain.

Orang-orang Arab menamakan semua perkara yang menghimpunkan perkara yang lain sebagai ummun. Makkah dipanggil Ummul Qura kerana semua bandar lain bergantung padanya. (at-Tafsir al-Qayyim, Tafsir Surah al-Fatihah, Rawai’ al-Bayan: Bab al-Fatihah)

Selain itu, surah ini juga dipanggil oleh Allah dalam Surah al-Hijr ayat ke-87 sebagai ‘al-Sab’ul Mathani’ yang bermaksud tujuh yang berulang kerana terdiri daripada tujuh ayat dan dibaca secara berulang-ulang dalam solat. (Tafsir as-Samarqandi, Tafsir Surah al-Fatihah, Lisan al-Arab, lihat al-Mathani)

Al-Qurtubi menyenaraikan 12 nama bagi surah ini iaitu antaranya asy-Syifa’ (penyembuh), al-Wafiah (yang menyempurnakan), al-Kafiah (yang mencukupkan), al-Asas (asas), al-Hamd (pujian) dan lain-lain.

Beliau mengambil nama-nama itu secara taugifi daripada Nabi & atau melalui ijtihad para sahabat. (Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Surah al-Fatihah)

Al-Alusi pula menyebut surah ini memiliki lebih daripada 20 nama. (Ruh al-Ma’ani, Tafsir Surah al-Fatihah) 

Khasiat Dan Cara Beramal

Thabit dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari mengatakan bahawa surah ini mampu menjadi penawar bagi mengubat bisa sengatan.

Seorang sahabat telah diminta mengubati ketua penduduk yang disengat binatang berbisa.

Lalu seorang sahabat telah pun menjampi dengan menggunakan Surah al-Fatihah Dengan izin Allah dia telah sembuh.

Cara yang dilakukannya adalah dengan membaca Surah al-Fatihah dengan mengumpulkan sedikit ludahan. Kemudian ditiupkan dan disertai sedikit ludahan pada bahagian badan yang sakit itu.

Malahan disebut dalam Fath al-Bari, semua jenis penyakit boleh disembuhkan dengan membaca surah ini.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Emilya
Emilya
1 tahun yang lalu

assalammualaikum tuan… boleh request x tuan masukkan surah al fath. smoga dipermudah sgla urusan dunia akhirat tuan