Apakah hukum ambil wuduk bermula sebelah kiri dahulu?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANKetika ambil wuduk sunat kita basuh sebelah kanan dulu.
Apakah sah wuduk kalau kita basuh sebelah kiri dulu?
JAWAPAN
Membasuh anggota tangan dan kaki yang sebelah kanan dahulu ketika mengambil wuduk hukumnya adalah sunat.
Tetapi jika terbalik yakni dibasuhnya sebelah kiri dulu maka hukumnya adalah makruh.
Jika tanpa uzur tetapi membasuh anggota sebelah kiri dulu tidak menafikan sahnya wuduk iaitu wuduknya tetap sah.
Berkata Imam Al-Mawardi:
Telah berkata Imam Syafie r.a. : Dan jika didahulukan akan yang sebelah kiri atas yang kanan nescaya sah wuduknya.
Berkata Imam Mawardi : Ada pun mendahulukan yang kanan atas yang kiri maka sunat ia pada dua tangan dan dua kaki kerana hadith yang diriwayatkan sungguhnya Nabi saw mendulukan yang demikian itu pada wuduknya dan diriwayatkan daripada Nabi saw baginda bersabda : Apabila kamu mengambil wuduk dan apabila kamu memakai pakaian maka mulailah yang sebelah kanan kamu. Yang sebelah kanan kamu.”
(Kitab Al-Hawi Al-Kabir)
KESIMPULAN
Ketika mengambil wuduk disunatkan membasuh tangan dan kaki yang sebelah kanan dahulu.
Jika dibasuh akan tangan dan kaki sebelah yang kiri dahulu maka hukumnya adalah makruh tetapi sah wuduknya.
Ada pun anggota yang boleh dilakukan kedua belah sekali basuh maka tidak disunatkan basuh yang sebelah kanan dahulu jika dapat dibasuh kedua belah sekali tetapi sunat dibasuh kedua belah sekali.
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..