Bolehkah melakukan solat jamak kerana hujan?
Apakah syarat-syaratnya?
Artikel ini akan menerangkan bab berkaitan menjamakkan solat kerana hujan secara lengkap.
Mari kita mulakan..
Apakah Yang Maksud Diharuskan Solat Jamak Kerana Hujan?
Jumhur ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Maliki membenarkan solat jamak disebabkan hujan.
Namun hujan yang turun mestilah lebat, bukan renyai-renyai.
Jamak dengan sebab hujan diharuskan kepada seseorang yang bermukim dan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja.
(Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan)
Tujuannya adalah untuk menjaga kemashalatan para kariah masjid seperti tidak perlu mengharung air banjir atau kebasahan pakaian berulang kali.
Ia harus dilakukan secara jamak takdim sahaja.
Maksud Jamak Takdim
Jamak Takdim bermaksud melakukan solat jamak dalam waktu solat pertama.
Contohnya:
- Apabila solat zuhur dijamakkan dengan asar dalam waktu zohor
- Solat Maghrib dan Isyak dalam waktu Maghrib
… maka ia dinamakan Jamak Takdim
Solat jamak dengan sebab hujan diharuskan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Hujan yang turun mestilah lebat, bukan sedikit atau renyai-renyai.Yang dibenarkan solat jamak adalah menyebabkan pakaian kita basah kuyup.
2. Tiada pelindung hujan.
Jika kita ada pelindung, maka tidak diharuskan jamak solat.
Contohnya jika anda datang ke masjid dengan kereta atau berpayung, maka tidak dibenarkan jamak.
3. Ada hujan semasa melakukan solat yang pertama dan hujan itu berterusan turun sehingga selesai solat yang pertama itu.
Disyaratkan kewujudan hujan sepanjang solat yang pertama supaya tercapai keuzuran yang mengharuskan jamak.
4. Solat dilakukan secara berjemaah di dalam masjid yang jauh dari rumah sekira-kira hujan yang lebat itu menimbulkan kesulitan semasa dalam perjalanan ke sana.
Hujan Baru Turun Selepas Takbiratul Ihram
Kelihatan Langit Mendung Dan Akan Turun Hujan, Lalu Seorang Itu Terus Melakukan Solat Jamak Takdim.
Selepas Takbiratul Ihram, Barulah Hujan Turun.
Adakah Sah Solat Jamak Takdim Yang Dilakukan?
Tidak sah solatnya kerana tidak memenuhi syarat.
Ini kerana rukhsah untuk solat jamak dengan sebab hujan adalah selepas turunnya hujan.
Dan hujan itu berkekalan sehingga selesai solat yang pertama.
Jika Rumah Berhampiran Masjid, Bolehkah Solat Jamak Disebabkan Hujan?
Solat jamak takdimnya adalah tidak sah kerana rumahnya berdekatan masjid.
Rukhsah jamak solat kerana hujan adalah khusus kepada sesiapa yang rumahnya berjauhan dari masjid kerana keadaan itu menyukarkan pemergiannya ke masjid dalam keadaan hujan.
Bolehkah Solat Jamak Disebabkan Hujan Ini Dilakukan Secara Jamak Takhir?
Jamak Solat Dengan Sebab Hujan Hanya Diharuskan Secara Jamak Takdim Sahaja.
Kenapa Tidak Diharuskan Secara Jamak Takhir Juga?
Jamak kerana hujan diharuskan secara jamak takdim kerana hujan masih ada semasa solat yang pertama.
Ia tidak diharuskan secara jamak takhir kerana kemungkinan atau ada ketikannya hujan telah berhenti semasa hendak melakukan solat yang pertama sedangkan antara syarat jamak kerana hujan adalah adanya hujan pada keseluruhan solat yang pertama.
Penutup
Semoga penjelasan ringkas ini memberi input dan pemahaman kepada para pembaca.
InsyaAllah.
Tinggalkan Komen Anda..
Test bahagian komen