Hukum Tegur Salah Laku Pemimpin

Tegur Salah Laku Pemimpin

Apakah hukum tegur salah laku pemimpin?

Adakah perlu diam atau tegur salah laku pemimpin tersebut?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Minta maaf sebab soalan saya agak sensitif tapi perlukan jawapan dari ustaz.

Ketika berlaku salahlaku pemimpin seperti rasuah dan salah guna kuasa atau pemimpin terlibat sama-sama dalam perebutan projek-projek kerajaan apakah wajib orang-orang yang tahu menegur salahlaku tersebut?

Apakah hukumnya orang yang tahu dari kalangan penyokong yang berdiam diri tidak mahu menegur atau bertindak atas alasan tidak mahu merosakkan jemaah dan atas alasan mereka mungkin dibuang kerja atau diambil tindakan?


JAWAPAN

WAJIB TEGUR SALAH LAKU PEMIMPIN

Siapa yang mengetahui berlaku salah laku pemimpin samada pemimpin itu terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa atau berbuat zalim atau menipu atau seumpamanya maka wajib atasnya menasihat dan mencegah kemungkaran tersebut.

Diriwayatkan daripada Tamim Ad-Dari r.a. bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Ertinya:

Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Jawab Rasulullah: Bagi Allah dan bagi kitab-Nya dan bagi Rasul-Nya dan bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan bagi sekelian orang awam.”

(Hadith riwayat Muslim)

Jika orang yang mengetahui kemungkaran yang berlaku itu adalah pemimpin yang lebih besar kuasanya maka wajib dia kenakan tindakan ke atas pemimpin yang terlibat dengan salah laku tersebut seperti memanggilnya dan memintanya berhenti segera dari perbuatan salahlaku tersebut atau menggantung jawatannya atau memecatnya sekira-kira maslahat.

Dan jika yang mengetahui salahlaku itu adalah orang yang diberikan kuasa oleh rakyat untuk mencegah rasuah dan salahlaku seperti anggota keselamatan misalnya maka wajib atasnya bertindak menyoalnya atau menangkapnya dan dibuat dakwaan ke atasnya apabila mempunyai bukti.

Dan jika yang mengetahui salahlaku itu adalah orang awam atau penyokong maka wajib dia laporkan salahlaku itu kepada lembaga disiplin atau pihak atasan yang amanah yang boleh dipercayai dari kerana melaporkan perkara seumpama ini kepada pihak atasan yang tidak amanah yang berperangai sama dengan yang melakukan salah laku adalah perbuatan yang sia-sia.

Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. berkata:

Aku telah mendengar akan Rasulullah saw bersabda: مَن رأى منكم منكرًا فليغَيِّرْهُ بيده فإنْ لم يستطِعْ فبقلبهِ وذلك أضعف الإيمانِ.

Ertinya:

Siapa sahaja yang telah melihat akan satu kemunkaran maka hendaklah dia ubah kemungkaran itu dengan tangannya. Maka jika dia tidak mampu dengan tangannya maka ubahlah dengan lidahnya. Maka jika dia tidak mampu dengan lidahnya maka (bencilah) dengan hatinya. Dan bermula benci dengan hati itu adalah selemah-lemah iman.”

(Hadith riwayat Muslim)

Orang yang tidak mencegah kemungkaran itu adalah orang yang akan binasa.

Berkata Abdullah bin Mas’ud r.a.:

هَلَكَ مَنْ لَـمْ يَعْرِفْ قَلْبُهُ الْـمَعْرُوْفَ وَيُنْكِرُ قَلْبُهُ الْـمُنْكَرَ

Ertinya:

Telah binasalah mereka yang hatinya tidak nampak kebaikkan dan hatinya tidak mencegah akan kemungkaran.”

Apabila mencegah kemungkaran itu adalah perkara yang wajib maka tidak melakukannya adalah haram dan berdosa.

HARAM DIAMKAN KEMUNGKARAN YANG DILAKUKAN PEMIMPIN

Hukum orang yang tahu dan mendiamkan diri dari bertindak mencegah kemungkaran seperti rasuah dan seumpamanya yang dilakukan oleh pemimpin adalah haram.

Salahlaku seperti ini adalah sangat keji lagi kotor dan maksiat yang sangat besar kebinasaannya pada diri sendiri dan keluarga dan masyarakat dan negara dan ia lebih merosakkan dari dosa minum arak dan berjudi dan seumpamanya.

Perbuatan mendiamkan diri dari melarang dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin sendiri dan kaum keluarga sendiri adalah perbuatan yang dilaknat oleh dan ialah perangai orang-orang Yahudi Bani Israel.

Allah Taala telah berfirman:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertinya:

Telah dilaknat akan orang-orang kafir dari Bani Israel atas lisan Nabi Daud dan Isa anak Maryam. Yang demikian itu dengan sebab mereka telah derhaka dan menceroboh dan tidak saling melarang dari kemungkaran yang mereka lakukan. Sungguh amat keji apa yang telah mereka lakukan.”

(Al-Maidah : 78 & 79)

MENEGUR PEMIMPIN MENYELAMATKAN JEMAAH

Dakwaan menegur salahlaku pemimpin akan merosakkan Jemaah adalah tidak benar dan hanyalah satu alasan bagi menghalalkan kemungkaran tersebut kerana sungguhnya siapa yang menegur pemimpin yang salah adalah orang yang sayangkan jemaah dan masyarakat dan negara.

Sungguhnya mendiamkan diri tidak menegur dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpinlah sebenarnya meruntuhkan jemaah.

Rasulullah saw bersabda:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُوْدِ اللهِ وَالْوَاقِعِ فِيْهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اِسْتَهَمُوْا عَلَى سَفِيْنَةٍ ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، فَكَانَ الَّذِيْنَ فِـيْ أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْـمَـاءِ مَرُّوْا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ ، فَقَالُوْا : لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِـيْ نَصِيْبِنَا خَرْقًا وَلَـمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا ، فَإِنْ يَتْرُكُوْهُمْ وَمَا أَرَادُوْا هَلَكُوْا جَمِيْعًا ، وَإِنْ أَخَذُوْا عَلَى أَيْدِيْهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيْعًا.

Ertinya:

Bandingan orang-orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang melanggar hukum Allah adalah seperti satu kaum yang mengundi tempat duduk di atas sebuah kapal.

Sebahagian mereka mendapat tempat duduk di atas dan sebahagain mereka mendapat tempat duduk di bawah.

Maka orang-orang yang duduk di bawah kapal itu jika hendak mendapatkan air terpaksa naik melalui orang yang di atas.

Lalu berkata yang dibawah andainya kita tebuk satu lubang di bawah kapal pasti kita tidak mengganggu orang yang di atas kita.

Maka jika orang-orang yang berada di atas kapal membiarkan mereka membuat lubang di bawah kapal itu maka pasti akan tenggelam kapal tersebut.

Dan andainya orang yang di atas itu melarang orang di bawah melakukan yang demikian itu nescaya akan selamat orang yang di atas kapal dan yang di bawah kapal semuanya.”

(Hadith riwayat Bukhari)

Maka wajiblah bersegera siapa yang mengetahui salahlaku pemimpin tersebut menasihatinya dan menghentikan kemungkaran yang dilakukannya dan jangan sekali-kali takut kehilangan pekerjaan atau atau takut kepada kematian atau atau dicerca atau seumpamanya kerana Allah yang menjamin rezeki hamba-Nya dan ditangan Allah sahaja ajal seorang hamba dan setiap manusia akan disoal dari apa yang telah diketahuinya pada hari akhirat nanti.

Rasulullah saw telah berpesan:

ألَا لا يَمنَعَنَّ أحَدَكم رَهْبةُ النَّاسِ أنْ يقولَ بحَقٍّ إذا رَآهُ أو شَهِدَه؛ فإنَّه لا يُقرِّبُ من أجَلٍ، ولا يُباعِدُ من رِزْقٍ؛ أنْ يقولَ بحَقٍّ أو يُذكِّرَ بعَظيمٍ

Ertinya:

Jangan sekali-kali seorang kamu takut kepada manusia hendak berkata yang benar apabila dia melihatnya atau menyaksikannya. Maka sungguhnya tidak mendekatkan kepada kematian dan tidak menjauhkan daripada rezeki jika berkata yang benar dan mengingatkan perkara yang penting.”

(Riwayat Ahmad & Tirmizi)

Dan sabda Nabi saw:

أَلَا لَا يَمْنَعَنَّ رُجُلًا هَيْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ إِذَا عَلِمَهُ

Ertinya:

Hati-hati jangan sampai kerana takutkan manusia seorang lelaki itu terhalang dari berkata yang benar apabila dia sudah mengetahuinya.”

(Riwayat Al-Munziri dalam Kitab Ar-Targhib Wa At-Tarhib)

Dan pemimpin yang terlibat dengan salahlaku itu wajib berhenti dari kemungkaran dengan segera dan bertaubat kepada Allah.

Kata pepatah:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

Ertinya :

Kembali kepada kebenaran lebih baik dari berterusan di dalam kebatilan.”

Walahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments