Taubat Daripada Zina & Terlanjur (Panduan Lengkap)

taubat zina

Bagaimana cara bertaubat dari dosa zina?

Dalam panduan ini, kita akan membicarakan tentang taubat dari perbuatan zina, rogol dan pelacuran.

Jika anda mencari panduan taubat untuk zina, mari kita mulakan..

Pengenalan

Panduan taubat daripada dosa zina ini adalah pecahan daripada artikel utama, iaitu Panduan Taubat Nasuha.

Panduan ini adalah berdasarkan sebuah risalah yang dikarang Fadhilah al-Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid dan diterjemahkan oleh al-Fadhil Syeikh Daud al-Tetouani.

Saudara saudari sekalian,

Semua manusia yang mati akan menghadap Allah dalam keadaan sangat takut dan mengharap keampunanNya.

Oleh itu, marilah kita menyelesaikan apa jua dosa kita sebelum nyawa kita diambil.

Dan sebaik-sebaik orang yang berbuat salah dan pendosa adalah mereka yang bersegera bertaubat.

Langkah Pertama: Bertaubat Kepada Allah

Maksud taubat ialah kembali.

Taubat yang seikhlas adalah kita menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan, meminta ampun kepada Allah dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut.

Bila kita ingin bertaubat, maka ucapkanlah istighfar.

أَسْتَغْفِرُٱللَّٰهَ‎

astaghfirullah

Bermaksud:

Aku meminta keampunan Allah

Kemudian, lakukan solat taubat dan berdoa memohon ampun dari Allah dengan sesungguhnya.

Perbuatan zina ini adalah dosa yang melibatkan pihak lain dan wujud implikasinya.

Maka di bawah ini dinyatakan beberapa hukum fiqh berkaitan dengannya:

Cara Menyelesaikan Dosa Zina

Saya pernah melakukan perbuatan terkutuk dengan seorang perempuan dan sekarang sangat menyesal.

Bagaimanakah cara saya perlu bertaubat?

Adakah saya perlu berkahwin dengan perempuan itu sebagai tanda taubat?

Jika perempuan itu hamil, adakah saya wajib memberikan nafkah terhadap anak hasil perbuatan zina tersebut?

Dalam kes zina, terdapat dua keadaan, iaitu:

Pertama: Zina Secara Paksa (Rogol)

Jika dia berzina dengan perempuan tersebut secara paksaan, maka hendaklah dia membayar kepada perempuan tersebut mahar mitsil[1] sebagai ganti rugi kemudaratan yang ditanggung.

Selain itu, hendaklah dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Jika perkara ini sampai ke pengetahuan pihak penguasa, maka perlulah dijatuhkan hukuman yang setimpal ke atasnya.


Kedua: Zina Suka Sama Suka

Jika dia berzina dengan perempuan tersebut dengan kerelaan masing-masing, maka tiadalah apa-apa pun padanya melainkan hanyalah perlu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-sebenar taubat.

Anak tersebut tidak boleh di’bin’ (dinisbahkan) kepadanya secara mutlak.

Oleh itu, dinisbahkan anak itu kepada ibunya.

Dia juga tidak wajib memberi nafkah kepada anak tersebut kerana anak tersebut merupakan anak zina.

Selain itu, orang yang bertaubat ini tidak diwajibkan berkahwin dengan perempuan tersebut untuk menutup kesalahan tersebut.

Lelaki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman.

— Surah An-Nur: 3

Dan tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang terdapat janin hasil dari zina dalam perutnya, walaupun dari benih sendiri.

Dan juga tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang tidak pasti apakah dia hamil atau tidak — walaupun lelaki dan perempuan itu telah bertaubat.

Jika telah nampak tanda rahim wanita itu bebas[2] dari air mani lelaki itu, maka ketika itu adalah haruslah untuk mereka berdua berkahwin dan memulakan kehidupan baru bersama-sama.

Nota:

1 Mahar Mitsil: iaitu mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak dan ibu saudara.

Disamping itu, mas kahwin juga dinilaikan berdasarkan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

2 Istibra’ rahim (pembebasan rahim) ialah untuk memastikan perempuan tersebut tidak hamil hasil penzinaan tersebut, iaitu dengan menunggu haid sebanyak sekali.

Maka selepas tempoh itu, dapatlah diketahui yang perempuan itu hamil atau tidak.

Jika hamil, maka hendaklah dia menunggu sehingga melahirkan anak.

Iddah dan istibra’ rahim adalah perkara yang berbeza.

Ini kerana iddah adalah hak pasangan suami isteri yang sah dan bukannya zina. Manakala dalam kes zina, ia adalah istibra’ rahim.

Kata Syeikh Saleh Utsaimeen:

“Iddah adalah hak seorang suami yang menceraikan isterinya. Sedangkan lelaki yang berzina dengannya statusnya bukan suami melainkan fajir/penzina.” (Syarh al-Mumti’ [5/215, cetakan Darul Atsar])

Maka selepas perempuan yang berzina itu bertaubat dan selesai melakukan Istibra’ rahim, maka adalah sah untuk dikahwini.

Jikalau penzina lelaki itu ingin mengahwini perempuan tersebut, syaratnya adalah lelaki tersebut sudah bertaubat terlebih dahulu.

Adakah Wajib Mengakui Dosa Silam Kepada Suami?

Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang baik.

Tetapi malangnya, pada waktu silam saya pernah melakukan perbuatan terkutuk.

Apakah saya harus menceritakan dosa silam kepada suami saya?

Tidak wajib kepada mana-mana pihak untuk menceritakan dosa silamnya kepada pasangannya.

Selagi mana Allah menutup keaiban diri kita, maka cukuplah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepadaNya.

Dan sesiapa yang telah mengahwini seorang anak dara dan apabila tiba malam perkahwinannya dia mengetahui bahawa perempuan tersebut tidak suci lagi disebabkan dosa silam yang dilakukannya, maka lelaki itu berhak mengambil semula mahar yang telah diberikan serta menceraikannya.

Jika perempuan tersebut sudah bertaubat, maka rahsiakanlah hal tersebut dan kekallah bersama perempuan itu.

Dengan izin Allah, InsyaaAllah suami yang bersabar akan dikurniakan pahala oleh Allah.

Bertaubat Dari Kerja Haram Seperti Pelacuran

Saya telah bekerja dalam bidang yang haram dan telah mendapat gaji hasil dari kerja tersebut.

Sekarang saya sudah bertaubat.

Apakah saya perlu memulangkan kembali gaji ini kepada majikan saya?

Menurut pendapat Ibnu Taimiyah:

Seseorang yang bekerja dalam bidang yang haram, atau memberikan perkhidmatan yang haram dan telah bertaubat kepada Allah serta masih mempunyai saki-baki gaji dari kerja tersebut:

– maka hendaklah dia membelanjakan wang tersebut tanpa perlu dia memulangkan semula wang tersebut kepada majikannya.

Seorang pelacur yang telah bertaubat tidaklah perlu dia memulangkan kembali wang yang diperolehinya kepada bekas pelanggannya.

Seorang penyanyi yang membuat persembahan yang diharamkan (tidak mengikut syarak) tidak perlu memulangkan kembali duitnya kepada penganjur konsert tersebut.

Kerana jika dia memulangkan kembali wang haram tersebut kepada penganjur itu, maka dia telah menghimpunkan kembali duit haram itu dan seterusnya menolong penganjur itu meneruskan kerja haramnya.

Maka cukuplah untuk membelanjakan wang tersebut untuk kegunaan lain.

Adakah Saya Perlu Mengaku & Minta Dijatuhkah Hukuman Dari Pihak Berkuasa?

Adakah disyaratkan untuk mengakui segala jenayah silam di mahkamah dan meminta dijalankan hukuman?

Tidak wajib seseorang itu untuk mengaku segala jenayah silamnya dihadapan seorang hakim supaya dijalankan hukuman ke atasnya.

Sesiapa yang telah Allah tutup segala rahsianya, maka tidak mengapalah untuk dia menutupi rahsia dirinya sendiri.

Cukuplah dengan taubat kepadaNya dengan sebenar-benar taubat nasuha dan mengakui segala dosa-dosa silam itu dihadapanNya.


Penutup: Allah Itu Maha Menerima Taubat

Allah berfirman:

Maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha pengampun, nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai

(Surah Nuh:10-11)

Ibn Kathir berkata hendaklah kamu kembali kepada Tuhan daripada perlakuan yang tidak baik dengan bertaubat kerana sesiapa bertaubat pasti Allah menerima taubatnya [sekalipun besar dosanya].

Bahkan jika kamu beristighfar nescaya Allah mengurniakan hujan yang lebat daripada langit.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments