
Apakah maksud Najis Mughallazah?
Bagaimanakah cara samak atau kaedah menyucikan Najis Mughallazah?
Panduan ini akan menerangkan secara langkah demi langkah cara menyucikan najis mughallazah secara lengkap.
Semoga memberi manfaat..
Maksud Najis Mughallazah
Apakah yang dimaksudkan dengan najis mughallazah?
Dalam bahasa Arab, Mughallazah bermaksud najis yang berat untuk disucikan.
Najis ini tidak memadai membasuhnya dengan air seperti najis-najis lain. Ia perlu dibersihkan dengan cara samak1.
Samak ialah kaedah basuhan menggunakan enam kali basuhan air mutlak dan satu kali basuhan air tanah.
Samak Atau Sertu?
Sebenarnya berlaku kekeliruan dalam masyarakat kita diantara samak dan sertu.
Oleh kerana pengertian samak dan sertu ini adalah sangat hampir dari segi bahasa, sering terjadi kekeliruan terhadap samak dan sertu.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sertu ialah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak.
1 Samak pula mempunyai beberapa makna.
Antaranya ialah bahan zat yg digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang, membersihkan najis mughallazah dengan air tanah sekali dan air mutlak enam kali, sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menyamak kulit.
Maka, kekeliruan yang timbul berkemungkinan datang daripada takrifan sudut bahasa kerana menyamak juga mengandungi makna yang sama seperti sertu iaitu membersihkan najis mughalazah dengan air dan tanah.
Boleh rujuk penerangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan: AL-KAFI #1316: BEZA SERTU DENGAN SAMAK
Tajuk panduan ini saya menggunakan perkataan “samak” kerana memudahkan carian pengguna berkaitan tajuk penyucian ini.
Ini disebabkan kata kunci “samak” digunakan secara meluas dalam enjin carian.
Oleh itu, diharapkan sisipan nota ini diharapkan akan memperbetulkan kefahaman yang silap sebelum ini

Jenis & Contoh Najis Mughallazah
Apakah jenis dan contoh Najis Mughallazah?
Najis mughallazah atau najis berat ini terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Anjing
Anjing dan keturunannya serta semua yang berasal daripadanya adalah najis, termasuk air liur, peluh dan darah.
Jika bekas, pakaian atau anggota badan terkena najis ini, ia hendaklah dibersihkan sebanyak tujuh kali dan salah satunya hendaklah menggunakan air yang dicampurkan dengan tanah.
Hukum ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
Bekas air sesiapa diantara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuhnya tujuh kali dan pertamanya dengan tanah.
(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Taharah, Bab Hukum jilatan anjing)
Boleh difahami disini, jika mulut anjing yang lebih bersih adalah najis, bahagian-bahagian lain sudah tentu lebih najis.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah dijemput ke rumah satu keluarga Ansar dan dia menerimanya.
Kemudian, dia sekali lagi dijemput ke sebuah rumah lain, tetapi dia tidak pergi.
Apabila mereka bertanya, Baginda menjawab:
“Kerana di rumah kamu ada anjing.” Mereka membalas. “Tapi di rumah mereka ada kucing”. Baginda menjawab: “Kucing adalah haiwan pemangsa”
(Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)
2. Babi
Babi dan keturunannya sama ada disembelih mengikut syarak atau tidak, haiwan ini adalah najis berat.
Oleh itu, air liur darah, darah, najis, daging, bulu, tulang atau kulit sama ada yang telah disamak atau tidak, adalah najis.
Ini adalah berdasarkan firmah Allah SWT:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.
— Surah al-An’am 6: 145)
Cara Samak (Kaedah Menyucikan Najis Mughallazah)
Bagaimana cara menyucikan Najis Mughallazah?
Najis ini apabila terkena pada pakaian, badan atau tempat, hendaklah dibersihkan dengan tujuh basuhan.
Salah satu daripada tujuh basuhan itu hendaklah menggunakan air bercampur tanah.
(1 air tanah + 6 kali air mutlak = 7 basuhan)
Cara samak (sertu) ini terpakai tidak kira sama ada najis itu nampak zahir najisnya (aini) atau tidak meninggalkan kesan (hukmi)
Kaedah penyuciannya adalah seperti berikut:
Time needed: 10 minutes
Berikut dinyatakan kaedah menyucikan Najis Mughallazah secara langkah demi langkah.
- Kenalpasti Jenis Dan Kedudukan Najis Mughallazah Tersebut
Contohnya najis anjing yang terkena karpet atau tikar. Najis biasanya mempunyai warna, bentuk dan bau.

- Singkirkan Najis Sehingga Hilang Ainnya
Gunakan alat yang sesuai untuk mengalihkan najis tersebut seperti penyapu dan surat khabar.

- Siram Air Ditempat Bekas Najis Tersebut
Siram dengan air mutlak ke atas tapak najis tadi sehingga hilang warna dan baunya.

- Basuh Dan Siram Dengan Air Tanah
Dalam salah satu basuhan air, gunakan air bercampur tanah. Air tanah boleh disiram pada awal, ditengah atau pada akhir basuhan.

- Seterusnya Dibasuh Dengan Enam Basuhan Air Mutlak
Basuh tapak najis tadi dengan enam basuhan air mutlak sehingga bersih

Penutup
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita sebagai seorang Muslim di dalam hal-hal agama.
Marilah kita membiasakan diri untuk membuat perkara yang betul dan memperbetulkan perkara yang biasa kita lakukan.
Semoga panduan ini membantu saudara saudari sekalian.





Assalamualaikum ustaz,saya nak Tanya,perkara ni dah lama,sewaktu saya main hola saya terpijak najis anjing tapi najis TU kering Dan saya take ingat kaki saya ketika itu basah again tidak,jadi perlukah saya samak,Dan kalau saya samak apakah ibadah saya sebelum ini perlu diganti
Sertu*
Bukan samak
Waalaikumsalam,
Menurut mazhab Syafie, najis anjing memerlukan proses samak (sertu) jika terkena. Namun, jika najis tersebut sudah kering dan tangan atau kaki awak kering pada masa itu, kemungkinan besar najis tidak akan berpindah. Oleh itu, dalam hal ini, awak tidak perlu melakukan proses samak.
Namun, jika awak ragu-ragu, melakukan proses samak adalah langkah yang baik untuk menenangkan hati. Untuk melakukan samak, basuh kaki awak dengan air dan tanah sebanyak satu kali, dan kemudian basuh lagi kaki awak dengan air bersih sebanyak enam kali. Pastikan setiap basuhan merangkumi seluruh permukaan kaki yang mungkin telah terkena najis.
Berkenaan dengan ibadah awak sebelum ini, jika awak telah melakukan solat tanpa menyedari adanya najis, solat awak dianggap sah dan tidak perlu diganti. Ini kerana dalam Islam, prinsip asasnya adalah suci kecuali ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
Assalamu’alaikum Ustaz,
Beranda rumah kampung saya dinaiki anjing dan anjing tidur di situ. Saya mengetahui perkara ini daripada orang cakap pada saya. Sebelum itu mohon maaf atas soalan saya. Saya tak pasti, dia ada berak atau kencing atau ada air liurnya di situ. Saya tengok tiada sebarang ‘aini najis. Cuma ada bekas tanah dan pasir sahaja.
Semasa saya ingin sertu, sebelum saya menjirus air tanah, saya sembur lantai beranda dengan air paip, kemudian ada percikan air yang saya sembur di lantai masuk ke dalam baldi yang ada air tanah.
Macam mana dengan air tanah saya ustaz, boleh digunakan untuk sertu atau tidak ?
Terima kasih Ustaz❤
Waalaikumsalam,
Menurut mazhab Syafie, air yang digunakan dalam proses samak (sertu) perlu bersih dan tidak tercampur dengan najis. Dalam kes ini, jika awak yakin percikan air yang masuk ke dalam baldi tidak mengandungi najis anjing, maka air tersebut masih boleh digunakan untuk proses samak.
Walau bagaimanapun, jika awak ragu-ragu, adalah lebih baik untuk membuang air tersebut dan menggunakan air baru untuk memastikan proses samak dilakukan dengan betul.
Jika tidak terdapat ‘ain najis (bahan najis yang boleh dilihat, dirasa atau dibau), maka proses samak mungkin tidak perlu.
Namun, jika awak masih ragu-ragu, melakukan proses samak adalah langkah yang baik untuk menenangkan hati.
Niat samak macamana ustaz
salamualaikum ustaz, saya ingin bertanya.saya berkerja sebagai wayerman, dan sya telah membuat wiring disebuah kedai babi/khinzir yang banyak daging babi/khinzir di kedai tersebut. secara tidak langsung saya terpaksa memegang tombol pintu serta icebox yang ada daging babi/khinzir didalam kedai tersebut. bagaimana sertu yang saya perlu buat ustaz? semestinya tangan dan anggota badan saya yg lain terkena najis tersebut termasuk laa rambut muka.
Waalaikumsalam,
Dalam mazhab Syafie, daging babi termasuk dalam kategori najis mughallazah, yang memerlukan proses samak (sertu) jika terkena.
1) Untuk tangan atau anggota badan yang lain yang mungkin telah terkena najis: Pertama, bersihkan najis yang boleh dilihat (jika ada) dengan air. Kemudian, lakukan proses samak dengan membasuh tangan dan anggota badan tersebut sebanyak 7 kali, di mana salah satu pembasuhan perlu menggunakan air dan tanah. Boleh juga menggunakan sabun yang mengandung tanah seperti sabun tanah liat.
2) Untuk rambut dan muka: Prosesnya sama seperti di atas. Jika awak yakin bahawa rambut atau muka awak telah terkena najis, basuhlah dengan air dan lakukan proses samak seperti yang dijelaskan di atas.
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya . Di tempat kerja saya banyak anjing dan anjing selalu kencing tayar kereta saya . Kemarin saya menyentuh skru pada bumper kereta saya , telah menjadi ragu2 kepada saya bahawa adakah kencing anjing ada terpercik atau tidak . Disebabkan keraguan tersebut saya telah samak tangan saya , tetapi ustaz bilasan air mutlak yg saya buat telah terlebih dimana saya membuat ( 1 kali air tanah 7 kali air mutlak ) . Adakah ia sah atau tidak ?
Wassalam. Tidak mengapa terlebih, tidak menjadi masalah.
Salam ustaz,mohon bertanya,adakah sah sertu dilakukan oleh non muslim?
Penyucian najis melalui sertu ini hanya boleh dilaksanakan oleh orang Islam sahaja kerana kaedah penyucian ini merupakan satu bentuk ibadah.
Pelaksanaan sertu hanya bagi orang Islam ini juga merupakan satu langkah ihtiyat (berhati-hati) supaya perkara ini tidak diambil mudah dan bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketidakpatuhan dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur ini.
Orang beragama Islam tentunya lebih menjaga proses sertu ini sebagaimana yang dituntut dalam agama.
Assalamualaikum ustaz, saya hendak bertanya. Pada tahun 2013 saya pernah menyentuh beg baharu rakan saya. Selepas beberapa hari kami baru tau itu adalah dari kulit babi. Saya tidak sertu tangan saya kerana masa saya pegang tu saya tidak tahu.
Selepas beberapa tahun iaitu pada tahun 2018, saya tiba-tiba teringat dan berasa waswas. Lalu saya sertu tangan saya sahaja kerana seingat saya, tangan saya sahaja yang menyentuh beg tersebut.
Sekarang, saya teringat kembali. Saya tidak ingat jika tangan saya basah atau kering pada masa kejadian itu. Saya terfikir, kerana saya lambat bertahun untuk menyertu, adakah kesemua barang dirumah saya menjadi najis kerana sudah tentu sudah banyak barang saya sentuh samada dengan tangan basah atau kering. Saya macam nak gila memikirkannya. Saya takut satu rumah bernajis. Bagaimana lantai, perabot, pakaian, barangan semua? Adakah masih suci? Kerana yang menyentuh beg tersebut secara direct hanya tangan saya tidak silap. Saya juga tiba-tiba menjadi waswas jika sertu saya sah atau tidak.
Waalaikumsalam,
Pertama sekali, saya memahami perasaan awak dan was-was yang awak alami. Untuk menangani situasi ini, mari kita lihat dari perspektif hukum Islam.
Dalam Islam, prinsip asasnya adalah suci kecuali ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Menurut mazhab Syafie, kulit babi memang dianggap najis. Namun, jika awak tidak pasti sama ada tangan awak basah atau kering ketika menyentuh beg kulit babi itu, maka hukumnya adalah suci kerana tidak ada bukti yang pasti bahawa najis telah berpindah ke tangan awak.
Begitu juga dengan barang-barang di rumah awak. Jika awak tidak pasti sama ada barang-barang tersebut telah terkena najis, maka asalnya adalah suci. Ini bermakna awak tidak perlu risau tentang proses sertu untuk kesemua barang di rumah awak.
Selain itu, sertu yang awak lakukan pada tahun 2018 adalah sah jika awak telah mengikut prosedur yang betul, iaitu membasuh sebanyak 7 kali dengan salah satu basuhan menggunakan air dan tanah.
Assalamualaikum Ustaz, tangan saya dulu pernah digigit anjing, lepas tu saya samak tangan saya, sepatutnya saya perlu sertu kan ustaz? Kalau kes macam ni sah ke solat saya selama ni sebab masa tu saya tak tahu tentang sertu.
Wassalam. InsyaaAllah sah solat awak. Awak cuma keliru tentang terma samak/sertu, tapi perbuatan awak sudah betul iaitu sertu dengan air tanah dan air mutlak.
Kiranya tangan saya sudah suci?
Kiranya, tangan saya sudah suci?
Assalamualaikum Ustaz, saya melakukan proses samak kasut di balkoni luar rumah, air basuhan tadi mengalir ke sebahagian balkoni, adakah lantai balkoni tadi perlu juga disamak ?
Waalaikumsalam,
Jika awak yakin bahawa air yang mengalir ke balkoni tersebut mengandungi najis, maka balkoni tersebut perlu disamak.
Namun, jika awak tidak pasti atau tidak ada bukti yang jelas menunjukkan adanya najis, maka balkoni tersebut dianggap suci dan tidak perlu disamak.
Ini kerana dalam Islam, prinsip asasnya adalah suci kecuali ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
asamualaikum, tadi saya pergi masjid. Lepastu saya terpijak najis kat karpet masjid tu. tapi saya confuse tu najis anjing ke kucing. Namun masa saya pulang dari masjid, ada 3-4 ekor anjing di simpang empat. Jadi apa yg perlu saya lakukan. adakah perlu samak ???
Saya risau mungkin itu najis daripada anjing tersebut. Lalu apabila pulang ke rumah saya samak dengan 1 air tanah dan 6 air mutlak. Adakah perlu ditonyoh tempat terkena najis itu. Selain itu, tanah yg saya gunakan juga mempunyai sedikit ranting kayu kecil dan daun2 kecil. Apakah sah samak saya itu. Pertanyaan ini adalah sambungan pertanyaan di atas dari raffieqen juga. Najis yang terkena adalah pada kaki saya dan bukan pada selipar. Adakah perlu saya samak selipar saya jugak.
Waalaikumsalam,
Mengenai samak, jika awak tidak pasti samada najis yang awak pijak itu adalah najis anjing atau bukan, maka prinsip asas dalam Islam adalah suci kecuali jika ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Jika awak tidak pasti, maka kaki dan selipar awak dianggap suci dan tidak perlu disamak.
Namun, jika awak rasa was-was dan ingin berhati-hati, melakukan samak adalah pilihan yang baik. Untuk samak, awak perlu basuh tempat yang terkena najis dengan air dan tanah sebanyak satu kali, dan kemudian basuh lagi dengan air bersih sebanyak enam kali. Pastikan setiap basuhan merangkumi seluruh permukaan yang mungkin telah terkena najis.
Mengenai tanah yang digunakan, ia tidak perlu 100% tanah semata-mata, asalkan ada tanah dalam campuran tersebut. Ranting dan daun kecil dalam tanah tidak akan membatalkan proses samak.
Berkenaan dengan selipar, jika awak yakin yang najis tidak terkena selipar, maka selipar awak dianggap suci dan tidak perlu disamak.
Assalamualaikum ustaz.. sy dh cuci najis yg tidak ketahui selepas itu sy was2 dan sy samak.sy nk tnya semasa sy samak selipar & kaki sy..sy guna bekas makanan utk ltak air tanah (saiz kecik). Sy xhbiskn air tanah dlm 1 bekas tersebut, sy ambil tanah dlm air tu lumur kn dkt kaki sy. Lpstu sy guna air paip cuci sehingga kiraan 6 kali. Lepas tu sy guna bekas air tanah yg itu basuh lg sebelah kaki sy. Adakah itu dikira suci sbb sy tidak guna air tanah 1 bekas? Dan xd dalil mengatakan saiz bekas air tanah yg digunakn. Tlg sy sbb sy mengalami pnyakit was2
Wassalam. Sudah betul cara awak iaitu 1 basuhan air tanah dan 6 basuhan air mutlak. Tiada dalil berkenaan berapa amaun tanah yang perlu digunakan. Jadi jangan risau lagi ya.
Assalamualaikum, saya nak bertanya. Saya pergi main badminton di luar rumah saya, shuttlecock saya jatuh ke dalam longkang. Saya pun pergi mengambilnya. Perlu ke saya samak tangan saya? Tapi saya dah pereksa tiada najis anjing mahupun kucing disitu.
Wassalam. Tidak perlu samak.
Assalamualaikum saya nak bertanya, saya pergi main badminton di luar rumah saya. Shuttlecock saya terjatuh dalam longkang, saya pun pergi mengambilnya. Perlu ke saya samak tangan saya ? Tapi saya dah pereksa tiada najis anjing mahupun kucing disitu.
Wassalam. Tidak perlu samak jika begitu.
Walaupun longkang tersebut ada air? Selepas itu saya terus cuci tangan saya dengan sabun.
Iya, tidak perlu samak.
Samak hanya perlu jika shuttle itu didapati jelas terkena anjing/babi atau najisnya.
Baiklah kalau begitu. Terima kasih kerana menjawab soalan saya.
Salam ustaz,parkir kerera rumah saya telah ditidur anjing² liar dan bulunya berselerakan,adakah kita di semua tempat pakir dengan barang² yang berada di situ?
Wassalam. Tidak perlu jika anjing itu kering.
Cuma jika barang yang kita pakai (akan bersentuh kulit kita), contohnya kasut jika terkena bulu yang basah atau liur anjing, maka barulah kena basuh dengan air tanah sekali dan air mutlak 6 kali.
Salam ustaz. Kucing sy kena kejar dgn anjing dan anjing gigit/ cakar kucing sy sampai luka. Sy mandikan kucing guna sabun sahaja, dan samak tangan sy dgn tanah 1x dan air biasa 6x. Pertanyaan sy adalah kucing sy perlu samak sekali ke? Dan macamana pula dgn barang2 yg sy pegang sebelum sy samak? Adakah semua nya kena samak? Mtk tlg ustaz, kejadian baru tadi. Tq in advance ustaz moga ustaz diberkati Allah selalu
Wassalam.
1) Berkaitan masalah kucing digigit anjing ini, boleh rujuk jawapan yang pernah dijawab oleh Ust Azhar Idrus: https://www.youtube.com/watch?v=bzzExF8AATE
2) Jika tangan awak kering, maka tidak perlu sertu barang-barang tersebut. Jika tangan basah bekas air liur anjing yang ada pada kucing, maka kena sertu barang-barang yang dipegang itu.
Salam,
Saya pergi ke vet bawak kucing saya dan Dr tersebut beri makan mknn kucing ada campuran babi dlm mknn tersebut. Bila balik rumah, kucing jilat tangan saya tetapi di mulutnya sudah bersih, adakah saya perlu samak tangan saya? Saya risau sbb tangan saya yg telah dijilat, saya pegang cawan, rambut saya, Dan benda2 lain. Macam mana ye kalau kes mcm ni?
Wassalam. Ya kena cuci dengan air tanah jika tangan awak dijilat oleh kucing dan ada perpindahan cecair (air liur) ke tangan awak.
salam anjing tu tdur d karpet lap kaki najis ka kasut kita pijak d karpet tu?dia tdur d karpet tu lpas kna hujan tpi skrng sy pijak karpet tu kering la sdh. perlu ka samak kasut yg d pkai tu?
Wassalam. Tidak perlu kerana kering.
tapi anjing tu tdur d karpet tu masa basah lepas kna hujan.. sy pijak karpet tu masa kering
Kalau begitu tidak perlu sebab kasut awak kering dan karpet masa awak pijak pun kering.
assalammualaikum ustaz, saya terpegang kasut berkulit babi. adakah saya sertu cara yang sama ustaz ?
Wassalam,
Para fuqaha telah menetapkan jika menyetuh suatu yang najis yang kering dengan tangan yang kering maka tangan yang kering itu tidak dikira ternajis.
Ada pun jika menyentuh suatu yang najis dengan tangan yang basah maka tangan tersebut dikira telah ternajis ia samada najis itu kering atau basah.
Oleh itu, jika tersentuh atau terpakai kasut yang diperbuat dari kulit babi sebagaimana dalam soalan dan tangan atau kakinya kering, maka tidaklah ternajis tangan dan kakinya yakni tidak wajib atasnya membasuh dengan air tanah.
Kalau tangan basah, barulah kena sertu tangan.
kalau anjing langgar pagar lepastu tu pegang pagar tu haram ke tidak?
Kalau pagar itu kering dan tiada kesan badan anjing itu, maka tiada masalah pegang pagar itu.
Kalau ada kesan seperti ada bulu atau najisnya, maka kena sertu tempat itu.
salam ustaz nak tanya, kalau saya main bola di padang, lalu saya tidak tau sama ada di padang berikut ada anjing ke tidak yang hulur hilir dan keesokan petang saya bermain bola tanpa memakai selipar, hanya berkaki ayam lalu kalau saya buat ibadah sah ke tak ustaz?
Wassalam. Kalau awak tak nampak anjing lalu disitu maka tidak dikira memijak najis. Sebab belum terbukti anjing lalu disitu.
alhamdulilah, saya takut saya memijak najis anjing, sebb saya tak tahu kalau waktu malam dia hulur hilir disitu, kalau begitu, baiklah ustaz, terima kasih ?
Sama-sama.