
Bagaimana cara Solat Taubat dan Doa Taubat?
Ini adalah panduan lengkap untuk melakukan Solat Sunat Taubat dan doa taubat nasuha.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang penting:
Panduan cara Solat Taubat ini juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi dan juga audio untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca tulisan arab.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pengenalan

Apakah sifat orang beriman?
Salah satu sifat orang yang beriman adalah segera bertaubat kepada Allah SWT apabila mereka terlanjur melakukan kesalahan atau dosa.
Apabila kita melakukan kesalahan, kita seharusnya memperbanyakkan istighfar, yakni memohon keampunan kepada Allah SWT dan bertaubat dengan taubat nasuha.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu.
— At-Tahrim ayat 8
Dalam Tafsir al-Qurtubi, taubat nasuha merujuk kepada perbuatan bertaubat dengan rasa tulus, menyesali kesalahannya dari lubuk hatinya, beristighfar dengan lidahnya, meninggalkan kesalahan tersebut dan menenangkan hati agar tidak kembali mengulangi kesalahan yang sama.[1]
Dan di antara rahmat Allah SWT kepada hambaNya yang berdosa adalah dengan membuka pintu taubat untuknya agar dia kembali kepada khaliqNya dalam keadaan penuh pengharapan hanya kepadaNya sahaja tempat kembali.
Maksud Solat Taubat

Dari sudut bahasa, taubat bermaksud kembali, iaitu kembali kepada Allah (rujuk: tāba ilallāh). Maksudnya, seorang hamba kembali mentaati perintah Allah dengan sebenar-benarnya serta meninggalkan segala bentuk maksiat dan dosa.[2]
Oleh itu, Solat Sunat Taubat boleh difahami sebagai solat sunat yang dilakukan apabila seseorang menyedari kesalahannya, menyesali dosa perbuatannya, dan berazam untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah.
Selain memperbanyakkan istighfar dan menzahirkan penyesalan, taubat yang sebenar (taubat nasuha) boleh disempurnakan dengan mendirikan solat sunat ini sebanyak dua rakaat.
Sebagai contoh, seseorang yang telah lama meninggalkan solat, terlibat dalam perbuatan maksiat, atau telah menyakiti orang lain – lalu hatinya merasa menyesal dan ingin berubah – maka Solat Sunat Taubat adalah titik mula yang sangat disarankan.
Ia menjadi simbol keinsafan dan kesungguhan untuk kembali kepada jalan Allah SWT dengan hati yang bersih dan jiwa yang merendah diri.
Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa dan kelalaian. Namun, sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang segera kembali kepada Allah dan memohon keampunan.
Maka, perlaksanaan solat sunat ini menjadi manifestasi kesungguhan seorang hamba yang benar-benar ingin kembali ke jalan Allah melalui taubat yang ikhlas dan bersih. Ini kerana solat adalah antara bentuk ibadah yang paling agung dan wasilah terbaik untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Para ulama telah bersepakat bahawa solat sunat taubat merupakan amalan yang disyariatkan dalam Islam. Ia termasuk dalam kategori ibadah sunat yang digalakkan (mustahab), bukan satu kewajipan (fardu).[3]
Malah, menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat taubat bukanlah rukun taubat yang wajib, sebaliknya ia adalah ibadah tambahan yang menyempurnakan taubat seseorang, sebagai tanda kesungguhan dan keikhlasan memohon keampunan Allah SWT.[4]
“Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera mengingati Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka – dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Kemudian mereka tidak meneruskan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran ayat 135)
Justeru, sebaik-baik jalan untuk kembali kepada Allah SWT adalah melalui solat yang disertai dengan istighfar dan doa taubat, memohon keampunan dengan hati yang tulus.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah ﷺ bersabda bahawa apabila seseorang melakukan dosa lalu dia berwuduk dengan sempurna, kemudian mendirikan solat dua rakaat dengan penuh khusyuk dan memohon ampun, maka Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah dan sentiasa terbukanya pintu taubat bagi hamba-hambaNya.[5]
Solat Taubat adalah lambang kehambaan dan kerendahan hati, ibarat seorang hamba berdiri di hadapan Tuhannya, memohon ampun dan berharap agar taubatnya diterima serta dosanya dihapuskan.

Syarat-Syarat Taubat

Solat sunat taubat hanya akan bermakna sekiranya dilakukan atas dasar taubat yang sah dan diterima oleh Allah SWT. Taubat yang diterima bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi berpunca daripada hati yang ikhlas dan menyesal, serta diiringi dengan perubahan nyata dalam diri.
Para ulama menyatakan bahawa taubat yang sah mestilah memenuhi tiga syarat asas, seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dan ulama lain dari kalangan mazhab Syafie.[6]
Tiga Syarat Taubat daripada Dosa kepada Allah
- Menyesal atas perbuatan dosa yang telah dilakukan
Penyesalan ini adalah tanda bahawa hati masih hidup. Nabi SAW bersabda:“Penyesalan itu adalah taubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani) - Berhenti daripada melakukan dosa tersebut
Tidak cukup sekadar menyesal, seseorang mesti segera menghentikan perbuatan maksiat tanpa berlengah-lengah. - Berazam untuk tidak mengulangi dosa itu lagi
Mesti ada tekad yang jujur dalam diri untuk tidak kembali kepada perbuatan maksiat tersebut walaupun ada peluang, keinginan, atau dorongan nafsu.
Jika Dosa Melibatkan Hak Manusia Lain
Sekiranya dosa itu melibatkan hak manusia, maka perlu ditambah satu lagi syarat penting iaitu mengembalikan hak dan memohon maaf. Ini termasuk:
- Mengembalikan harta yang dicuri.
- Meminta maaf atas kata-kata yang menyakitkan atau fitnah.
- Mengganti semula kerosakan yang dilakukan.
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadus-Solihin:
“Jika maksiat itu antara hamba dengan hamba (manusia), maka syaratnya ada empat: tiga yang disebutkan tadi, dan yang keempat ialah mengembalikan hak atau meminta keampunan daripadanya.”
Kenapa Perlu Ambil Berat tentang Syarat Ini?
Ramai yang melakukan taubat hanya dengan lafaz istighfar, tetapi tidak memenuhi syarat-syaratnya. Tanpa memenuhi keempat-empat syarat ini, taubat mungkin tidak diterima, dan dosa masih kekal membelenggu jiwa.
Solat sunat taubat adalah manifestasi luaran bagi taubat yang dalaman. Maka pastikan hati kita benar-benar bertaubat, bukan sekadar mengikut rutin atau formaliti.
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Terlanjur silap? Kembalilah dengan taubat nasuha, iaitu taubat yang benar-benar ikhlas. Panduan ini membimbing langkahnya secara praktikal.
Ikuti Langkahnya Di SiniWaktu Solat Taubat
Asasnya, taubat wajib disegerakan. Solat sunat taubat pula sangat digalakkan sebagai pelengkap taubat, tetapi bukan rukun taubat itu sendiri. Apabila seseorang tersedar daripada dosa, mulakan dengan istighfar segera dan tekad meninggalkannya. Jika ada ruang masa, tunaikan dua rakaat solat taubat.
Tentang waktu tahrim (waktu larangan solat sunat), ulama berbeza pandangan.
Dalam mazhab Syafi‘e dan Hanbali, sebahagian ulama mengharuskan solat yang mempunyai sebab tertentu dilakukan walaupun pada waktu larangan. Ada sebahagian ulama yang mengqiaskan solat taubat dalam kategori ini apabila rasa penyesalan itu mendesak.
Dalam mazhab Hanafi dan sebahagian Maliki pula, solat sunat tidak dilakukan pada waktu tahrim. Apa yang dianjurkan ialah beristighfar dahulu, kemudian solat taubat selepas waktu larangan tamat.
Justeru, dari sudut amali: jika tidak mendesak, pilihlah waktu yang tidak terlarang seperti waktu malam (qiyamullail) yang lazimnya lebih tenang dan membantu kita khusyuk.
Jika sangat mendesak, jangan tangguh taubat. Lakukan istighfar serta-merta. Untuk solatnya, sama ada dilakukan serta-merta menurut pandangan yang mengharuskan, atau ditangguhkan hingga masuk waktu yang dibenarkan. Boleh pilih jalan yang paling menenteramkan hati dan selamat daripada khilaf.
Waktu larangan solat yang dimaksudkan ialah:
- Selepas Subuh hingga terbit matahari,
- Ketika matahari terbit hingga naik sedikit
- Ketika matahari tepat di atas kepala sebelum Zuhur
- Selepas Asar hingga hampir terbenam
- Ketika matahari terbenam sehingga tenggelam seluruhnya.
Contohnya: jika dosa itu berlaku selepas Asar, teruslah bertaubat dan beristighfar. Solat taubat boleh ditunaikan serta-merta menurut sebahagian ulama, atau ditunggu hingga selepas Maghrib bagi keluar daripada khilaf.
Apa yang penting adalah taubatnya jangan ditunda.
Niat Solat Taubat
Melafazkan niat solat taubat secara lisan bukanlah suatu kewajipan tetapi disunatkan jika membantu memudahkan seseorang untuk menghadirkan niat secara jelas dalam hati.
Niat Solat Sunat Taubat adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Bahasa Melayu
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Penjelasan Tambahan
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, niat itu tempatnya di dalam hati. Sekiranya seseorang melafazkan niat dengan lidah secara perlahan bagi membantu menghadirkan hati, maka perbuatan itu dibolehkan dan dianggap sunat.[7]
Namun begitu, sekiranya ia mengganggu kekhusyukan, lebih baik meninggalkannya dan mencukupkan dengan niat di dalam hati sahaja.
- Pastikan niat dilakukan berserta keikhlasan dan kesungguhan untuk bertaubat kepada Allah SWT.
- Niat tidak perlu dilafazkan secara kuat; cukup sekadar didengar oleh diri sendiri untuk membantu menumpukan hati.
Semoga Allah menerima taubat kita dan mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan, insyaAllah.
Bilangan Rakaat
Menurut Mazhab Syafie, solat sunat taubat dilakukan sebanyak dua rakaat.
Inilah jumlah rakaat yang paling sahih dan paling banyak disebut oleh para ulama berdasarkan dalil hadis sahih daripada Rasulullah SAW.[8]
Sabda Nabi SAW:
“Tidaklah seseorang melakukan dosa, lalu dia berwuduk dengan sempurna, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah akan mengampuninya.”
— Sunan Abi Dawud 1521 dan Jami‘ al-Tirmizi 406. Dinilai sahih/hasan oleh al-Albani.[9][10]
Berdasarkan hadis ini, para ulama bersepakat bahawa solat taubat dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat, dan itulah yang dituntut secara khusus.
Bolehkah Lebih Daripada Dua Rakaat?
Solat sunat taubat pada asalnya dilakukan dua rakaat sebagaimana dalam hadis, namun tidak menjadi kesalahan untuk menambah rakaat jika dilakukan secara sunat mutlak dengan niat terus bertaubat dan berdoa kepada Allah.[11]
Menurut Imam al-Nawawi dan ulama Syafieyyah:
“Jika seseorang ingin menambah rakaat selepas dua rakaat solat taubat sebagai bentuk tambahan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah, maka itu dibolehkan, tetapi tidak dinamakan secara khusus sebagai solat taubat.”
Solat sunat taubat yang paling utama dan disepakati para ulama ialah dua rakaat. Ia mencukupi untuk menzahirkan keikhlasan dan permohonan ampun seorang hamba kepada Allah SWT.
Walaupun seseorang ingin menambah rakaat sebagai tanda penyesalan yang lebih mendalam, dua rakaat tetap menjadi bentuk pelaksanaan yang paling tepat dan dianjurkan menurut sunnah.
Nasihat
Laksanakan dua rakaat dengan penuh keinsafan, kekhusyukan dan keikhlasan. Jangan terburu-buru, kerana Allah tidak melihat banyaknya rakaat, tetapi hati yang kembali kepadaNya.
Cara Mengerjakan Solat Taubat
Ringkasan Cara Melakukan Solat Taubat
- Solat Taubat dimulakan dengan takbiratul ihram sambil niat dalam hati “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”.
- Bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim dalam setiap rakaat. Untuk surah lazim, anda boleh memilih mana-mana surah seperti al-Ikhlas, al-Falaq, atau an-Nas.
- Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali. Pastikan anda menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
- Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca takbir. Bacalah al-Fatihah dan surah lazim yang lain. Kemudian lakukan lagi rukuk dan sujud.
- Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk tahiyyat akhir. Akhiri solat dengan memberi salam.
- Beristighfar & doa selepas solat.
Penting untuk diingat, solat taubat dilakukan dengan rasa penyesalan yang mendalam atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan niat untuk tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut di masa depan.
Di bawah ini panduan melakukan solat sunat taubat secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
Solat Sunat Taubat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram dan Niat

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat Solat Sunat Taubat dalam hati seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Atau anda boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja, “Sahaja aku Solat Sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Taala“
Nota
Jika anda tidak dapat berniat dalam hati serentak dengan takbiratul ihram, maka boleh lakukan takbiratul ihram dahulu kemudian diikuti oleh niat dalam hati beberapa detik kemudian.
Ucapkan takbir “Allahuakbar” dengan jelas (dapat didengari oleh telinga sendiri) sambil mengangkat tangan dan berniat di dalam hati.
اَللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar!
Maksud Bacaan
Allah Maha Besar!
Kemudian, Bacalah Doa Iftitah
Hukum membaca Doa Iftitah adalah sunat hai’ah. Tidak mengapa jika bacaan doa ini ditinggalkan.
اَللّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالحَمْدُ لِلّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Allāhu Akbaru Kabīrāw Wal-Ḥamdu Lillāhi Kathīrāw Wa Subḥānal-Lāhi Bukrataw Wa Aṣīlā. Wajjahtu Wajhiya Lilladhī Faṭaras-Samāwāti Wal-Arḍa Ḥanīfan Muslimāw Wa Mā Anā Minal-Mushrikīn. Inna Ṣalātī Wa Nusukī Wa Maḥyāya Wa Mamātī Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Lā Sharīka Lahū Wa Bidzālika Umirtu Wa Anā Minal-Muslimīn.
Maksud Bacaan
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
Bacalah Surah al-Fatihah.
Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al Fatihah tanpa Doa Iftitah terlebih dahulu. Tetapi jika ingin membaca Doa Iftitah juga, maka ia adalah perbuatan sunat (dapat pahala membaca)
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
Maksud Bacaan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Kemudian, Bacalah Surah Lazim
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah pendek daripada mana-mana surah dalam al-Quran.
Antaranya surah pendek yang boleh dibaca adalah al-Kafirun:
Surah Al Kafirun
قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦
Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn
Maksud Bacaan
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.
Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Bacaan dalam rukuk adalah sama seperti bacaan rukuk solat fardu iaitu:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ
SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)
Maksud Bacaan
“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”
Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal). Kemudian bacalah bacaan iktidal seperti ini:
سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Sami Allahu Liman Hamidah
Maksud Bacaan
“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”
Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Turun Melakukan Sujud

Semasa dahi menyentuh lantai dalam sujud, maka bacakan bacaan sujud seperti ini:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)
Maksud Bacaan
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya
Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Setelah selesai bacaan sujud sebanyak 3 kali, maka bangkit dari sujud dan duduklah dalam posisi di atas (antara dua sujud atau istirahah).
Kemudian bacalah bacaan tasbih antara dua sujud seperti ini:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي
Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
Maksud Bacaan
“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”
Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Selesai bacaan tasbih antara dua sujud, turunlah bersujud sekali lagi. Seperti sujud sebelumnya, bacalah bacaan dalam sujud.
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)
Maksud Bacaan
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya
Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.
Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.
Dalam kedudukan ini tidak perlu dibaca apa-apa. Hanya perlu diam menghayati solat.
—— ❈ ——
Rakaat Kedua
Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat
Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah sekali lagi untuk rakaat kedua. Takbir ini dikenali sebagai takbir intiqalat.
(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

اَللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar!
Baca Surah al-Fatihah
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
Maksud Bacaan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Seterusnya Sekali Lagi Membaca Surah Lazim
Setelah selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah seterusnya. Antara surah yang boleh dibacakan adalah surah al-ikhlas
Surah Al Ikhlas
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤
Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita sukai atau ingat.
Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Asas dalam melakukan rukuk adalah keadaan belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ
SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)
Maksud Bacaan
“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”
Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:
سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Sami Allahu Liman Hamidah
Maksud Bacaan
“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”
Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)
Maksud Bacaan
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya
Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي
Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
Maksud Bacaan
“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”
Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
Maksud Bacaan
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya
Bacaan Dalam Sujud Akhir
Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:
لَا إِلٰـهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Laa ilaaha illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzolimin
Maksudnya:
Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim
Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir

Seperti bacaan tahiyat akhir solat-solat fardu, bacaan tahiyat adalah seperti berikut:
التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
At-taḥiyyātu al-mubārakātu aṣ-ṣalawātu aṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhi aṣ-ṣāliḥīn. Ash-hadu alla ilāha illallāh, wa ash-hadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣolli ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣollaita ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm. Wa bārik ‘alā Muḥammad wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīn, innaka ḥamīdun majīd.
Maksud Bacaan
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia
Setelah Selesai Membaca Tahiyat, Akhiri Solat Taubat Ini Dengan Memberi Salam.
Akhiri solat taubat dengan memberi salam sebanyak dua kali, iaitu bermula dengan memberi salam ke sebelah kanan dan kemudian memberi salam kedua sambil memalingkan muka ke sebelah kiri.

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ
Assalamualaikum Warahmatullah
Maksud Bacaan
Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya
… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ
Assalamualaikum Warahmatullah
Selepas salam, bacalah surah Al-Fatihah dan wirid-wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.
Seterusnya, lakukan Doa Taubat seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah
Istighfar & Doa Taubat

Selesai solat, dianjurkan memperbanyakkan istighfar dan memanjatkan doa taubat dengan sungguh-sungguh. Inilah intipati utama solat taubat, iaitu memohon ampun kepada Allah dan berazam tidak mengulangi dosa.
Menurut Syeikh Ibn Bāz, “selepas solat taubat disunatkan memperbanyak istighfar dengan apa jua lafaz, walau sekadar mengucap Astaghfirullah”. Tiada batasan jumlah, mohonlah ampun sebanyak mungkin hingga hati merasa lega.[12]
Allah berfirman tentang orang beriman yang segera mengingati-Nya lalu memohon ampun apabila tersilap (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)
1) Istighfar Pembuka
Sebaiknya, ucapkanlah lafaz istighfar yang lengkap ini berulang-ulang kali dengan ikhlas:
أَسْتَغْفِرُ ٱللَّهَ ٱلْعَظِيمَ ٱلَّذِي لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَيُّ ٱلْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Astagfirullah Hal ‘Azim Allazi Laa ilaaHa illa Hu alHayyul-Qoyyum Wa AtuuBu ilaih
Maksudnya
“Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat kepada-Nya.”
Istighfar bermakna memohon ampun berserta penyesalan dan tekad meninggalkan dosa. Inilah saat terbaik untuk bermunajat dengan hati yang sangat tunduk.
2) Doa Taubat (Riwayat Sahih)
Tiada doa khusus yang diwajibkan untuk solat taubat; berdoalah dengan lafaz yang mencerminkan taubat.
Namun berikut doa ma’thūr yang ringkas dan kuat maknanya (riwayat al-Bukhārī & Muslim[13]):
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْلِي مِنْ عِندِكَ مَغْفِرَةً، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.
Allahumma innī ẓalamtu nafsī ẓulman kathīran, wa lā yaghfiru dh-dzunūba illā Anta, faghfir lī min ‘indika maghfirah; innaka Anta al-Ghafūru ar-Raḥīm.
Maksudnya
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Nota: Doa selepas salam boleh dibaca dalam bahasa Melayu mengikut keperluan dan keadaan diri.
3) Sayyidul Istighfar
Selepas berdoa, sempurnakan dengan Sayyidul Istighfar. Ia merupakan zikir istighfar paling utama, yang dibaca dengan penuh keyakinan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَىٰ عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Allahumma anta rabbī, Lā ilāha illā anta, Khalaqtanī wa anā ‘abduka, Wa anā ‘alā ‘ahdika wa wa‘dika mā istaṭa‘tu, A‘ūzu bika min sharri mā ṣana‘tu, Abū’u laka bini‘matika ‘alayya, Wa abū’u bidzanbī, Faghfir lī, Fa innahu lā yaghfirudz-dzunūba illā Anta.
Maksudnya
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.
—— ❈ ——
Rasulullah ﷺ mengkhabarkan bahawa Allah amat suka kepada hamba yang bertaubat sehingga diumpamakan “lebih gembira daripada seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir”. Ini menunjukkan betapa berharganya taubat seorang hamba di sisi Allah.[14]
Doa yang dipanjatkan dengan tangisan penyesalan sangat dicintai Allah. Semoga dengan doa setelah solat taubat itu, Allah menghapuskan dosa-dosa kita dan mengurniakan ketenangan ke dalam hati.
Melengkapkan Taubat

Taubat yang lahir dari hati perlu dijaga dengan amal yang mendekatkan diri kepada Allah agar penyesalan tidak padam, dan langkah baru terus mekar.
“Sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi siapa yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian dia mendapat petunjuk.” — Surah Ṭāhā ayat 82
Bagaimana mahu mengukuhkan taubat?
- Kembalikan hak orang lain. Kembalikan amanah, minta maaf, hentikan mudarat. Tanpa ini, taubat kita tidak sempurna.
- Sedekah & melakukan kebajikan. Jadikan sedekah tanda syukur atas taufik bertaubat. Dan ringankan beban orang lain, kerana kebaikan memadam jejak keburukan.
- Puasa & solat sunat. Amalkan Puasa Isnin–Khamis atau Puasa Ayyāmul Bīḍh, Solat Rawatib dan Solat Witir. InsyaAllah ia mendidik nafsu dan memutus momentum maksiat.
- Zikir, tilawah & ilmu. Tetapkan wirid harian, baca al-Quran, hadir majlis ilmu. Anda juga boleh ubah persekitaran seperti menapis media atau pilih sahabat yang menguatkan istiqamah.
Para ulama menyebut bahawa sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api. Maka, jika mampu, keluarkanlah sedekah sebagai tanda syukur kerana diberi taufik untuk bertaubat.[15]
Jika langkah terasa berat, mulakan dengan satu amalan mudah yang boleh diulang setiap hari. Dari sedikit yang berterusan, Allah memberi kekuatan untuk menambah.
Intinya, jadikan taubat itu sebagai titik perubahan kepada kehidupan yang lebih taat sebagaimana kata para salaf: “Taubat nasuha adalah apabila selepas taubat, keadaanmu lebih baik daripada sebelumnya.”
Hikmah Solat Taubat

Apakah maksud hikmah? Hikmah ertinya adalah kebaikan yang tersembunyi.
Solat taubat bukan rukun taubat, tetapi ia menjadi jambatan antara penyesalan dan tindakan.
Wuduk membersihkan zahir, dua rakaat menundukkan batin; di dalam sujud berhimpun khauf (takut melanggar perintah) dan raja’ (harap keampunan). Inilah ruang hati untuk berkata, “Ya Allah, aku kembali.”
Atas hikmah itulah solat taubat sangat digalakkan. Ia menguatkan tekad, menenteramkan jiwa, dan memutus momentum maksiat.
Berikut beberapa hikmah utamanya:
- Menzahirkan kesungguhan taubat
Dua rakaat selepas wuduk menjadi tanda tunduk dan serius pada tiga rukun taubat: meninggalkan dosa, menyesal, dan berazam tidak mengulangi. Ia mengubah penyesalan dari sekadar lafaz kepada amal. - Menenteramkan jiwa & melatih muhasabah
Wuduk, berdiri dan sujud menghadirkan khauf (takut melanggar perintah) dan raja’ (harap keampunan). Fokus ketika sujud membantu menilai punca dosa dan langkah mencegahnya. - Memutus momentum maksiat & mengalihkan kepada taat
Ritual segera selepas tersilap bertindak sebagai “brek”: ia memadam kecenderungan mengulangi dosa dan menggantinya dengan ibadah, doa dan istighfar.
Pintu kembali kepada Allah sentiasa terbuka. Dua rakaat solat taubat menjadi jambatan antara penyesalan dan tindakan. Selepas salam, beristighfar dan berdoalah dengan ikhlas.
Jika melibatkan hak manusia, pulangkan dan mohon maaf; kemudian susun langkah kecil dengan menutup jalan yang membawa kepada dosa, gantikan dengan amal baik, dan bermuhasabah.
Andai tersasar lagi, kembalilah segera. Allah mencintai hamba yang kembali berulang-ulang.
Semoga dua rakaat ini menjadi permulaan hati yang lebih tenang dan hidup yang semakin hampir kepada reda-Nya.
Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Taubat

Berikut adalah beberapa soal jawab lazim yang sering timbul berkaitan dengan Solat Sunat Taubat:
Sunat yang sangat digalakkan (mustahabb). Taubat tetap sah tanpa solat jika cukup rukun: tinggalkan dosa, menyesal, dan berazam tidak mengulang; jika melibatkan hak manusia, wajib dipulangkan.
Dua rakaat. Inilah bentuk paling tepat berdasarkan hadis. Jika lebih, ia dikira solat sunat mutlak. Memadai dua rakaat untuk solat taubat.
Terbaik pada waktu yang tidak terlarang (contoh: malam). Isu waktu tahrim merupakan perkara khilaf. Ada ulama’ yang mengharuskan kerana ia solat bersebab, dan ada yang menangguhkan hingga larangan tamat. Apa yang terbaik keluar daripada khilaf iaitu pilih waktu yang dibenarkan. Jika mendesak, maka beristighfar segera.
Jika berhadas besar (junub/haid/nifas), wajib mandi wajib dahulu. Jika tidak, memadai wuduk.
Tidak boleh solat ketika haid/nifas. Lakukan taubat dan istighfar sekarang, dan tunaikan solat taubat selepas suci.
Elok dipisahkan kerana semuanya solat yang “maqsudah” (ada tujuan sendiri). Jika digabung, sebahagian mengharuskan tetapi yang lebih selamat adalah dilakukan berasingan.
Asal amalan ini bersendirian. Jika dilakukan bersama (misalnya memimpin keluarga) tidak mengapa sekali-sekala, tetapi jangan dijadikan kebiasaan.
Tiada surah khusus yang ditetapkan. Boleh membaca mana-mana surah. Selepas salam, digalakkan istighfar dan doa (contoh Sayyidul Istighfar).
Dalam solat utamakan doa Arab. Selepas salam boleh berdoa dalam apa-apa bahasa.
Tidak. Yang dituntut ialah penyesalan yang benar dan azam meninggalkan dosa. Menangis hanyalah kesan kelembutan hati.
Bila-bila masa diperlukan. Setiap kali tersilap atau ingin memperbaharui taubat. Namun jangan dijadikan alasan untuk mengulangi dosa.
Taubat tidak sempurna sehingga hak dipulangkan. Segera minta maaf, ganti rugi, hentikan mudarat, dan kembalikan amanah.
Boleh tayammum dan solat. Taubat tidak menunggu, lakukan istighfar boleh dilakukan segera pada bila-bila masa.
Penutup: Allah Itu Maha Penerima Taubat
Sesungguhnya, pintu taubat sentiasa terbuka seluas langit dan bumi untuk setiap hamba yang mahu kembali kepadaNya. Tidak kira sebesar mana dosa yang telah dilakukan, rahmat Allah tetap lebih luas daripada kemurkaanNya.
“Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah al-Zumar ayat 53)
Solat sunat taubat bukan sekadar gerakan jasad. Ia adalah ratapan hati yang ingin pulang. Ia adalah langkah kecil yang membuka ruang untuk perubahan besar. Bahkan, satu sujud dalam taubat, jika dilakukan dengan ikhlas dan sepenuh hati, boleh menjadi titik tolak kepada hidup yang lebih bersih dan diberkati.
Jangan tangguh taubat. Jangan menunda rasa ingin kembali kepada Allah.
Kerana kita tidak tahu, sujud yang mana yang terakhir, dan dosa mana yang sedang menghalang turunnya rahmat.
Semoga panduan ini menjadi sebab untuk kita semua bertaubat dengan sebenar-benarnya, dan semoga Allah SWT menerima taubat kita, mengampuni dosa-dosa kita, serta memimpin kita ke jalan hidayah hingga akhir hayat.
Amin ya Rabbal ‘alamin.
Nota Kaki:
- Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat “tūbū ilallāhi taubatan nasūḥa” (al-Tahrīm: 8) menyatakan bahawa taubat nasuha adalah taubat yang tulus dan ikhlas — iaitu seseorang yang menyesali dosa dengan hatinya, memohon ampun dengan lidahnya, meninggalkan maksiat dengan tubuhnya, dan berazam tidak mengulangi dosa itu lagi. Beliau turut menyebut lebih 20 pandangan ulama tentang maksud taubat nasuha dalam tafsir ayat ini. (Lihat: Tafsīr al-Qurṭubī, Jil. 18, hlm. 198–199) ↩︎
- Makna taubat dari sudut bahasa boleh dirujuk dalam karya Imam al-Rāghib al-Asfahāni yang menyebut: “Taubat (التوبة) dari segi bahasa bermaksud kembali (رجوع) dari sesuatu perbuatan yang tidak wajar kepada yang wajar.” Beliau menjelaskan bahawa dalam konteks syariat, taubat bermaksud kembali daripada maksiat kepada ketaatan. (Lihat al-Mufradāt fī Gharīb al-Qur’ān, Rāghib al-Asfahāni, Beirut: Dār al-Qalam, hlm. 88) ↩︎
- Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa solat taubat termasuk dalam salawāt al-nafilah yang sangat dianjurkan, dan tidak ada khilaf besar dalam kalangan fuqaha tentang pensyariatannya. (Rujuk: al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhazzab, Imam al-Nawawi, Jil. 3, hlm. 55) ↩︎
- Menurut Irsyad al-Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat sunat taubat bukanlah sebahagian daripada rukun wajib taubat, namun ia termasuk dalam amalan sunat yang sangat dituntut sebagai pelengkap taubat dan tanda keikhlasan seorang hamba yang benar-benar ingin kembali kepada Allah SWT. (Rujuk: Irsyad al-Fatwa Siri ke-374: Solat Sunat Taubat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) ↩︎
- Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang berwuduk, lalu menyempurnakan wuduknya, kemudian solat dua rakaat dengan sepenuh hati dan tidak bercakap dalam hatinya tentang urusan dunia, maka Allah ampunkan dosanya yang telah lalu.” Dalam riwayat lain disebut bahawa sesiapa yang melakukan dosa, lalu berwuduk dan solat dua rakaat serta memohon ampun, maka Allah akan mengampuninya. (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 1521; al-Tirmizi, no. 406; dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi, 1/131) ↩︎
- Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa taubat yang sah hendaklah memenuhi tiga syarat asas: (1) meninggalkan dosa, (2) menyesali perbuatan dosa, dan (3) berazam untuk tidak mengulanginya. Jika dosa itu melibatkan hak manusia, maka ditambah dengan syarat keempat iaitu memulangkan hak tersebut. Penjelasan ini turut dinyatakan oleh ramai ulama mazhab Syafi‘e. (Lihat: al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhazzab, Imam al-Nawawi, Jil. 1, hlm. 288) ↩︎
- Imam al-Nawawi menulis: “Tidak disyaratkan melafazkan niat dengan lidah. Sekiranya dilafazkan, maka tidak mengapa dan tiada mudarat.” (Lihat: al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhazzab, Imam al-Nawawi, Jil. 3, hlm. 295) ↩︎
- Dalil utama yang menunjukkan bahawa solat taubat dilakukan sebanyak dua rakaat ialah hadis daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu dia berwuduk dengan sempurna, kemudian solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah akan mengampuninya.” (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 1521; al-Tirmizi, no. 406; dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi, 1/131) ↩︎
- Hadis Abu Bakr r.a.: “Apabila seorang hamba melakukan dosa, lalu dia berwuduk dengan sempurna, kemudian berdiri menunaikan dua rakaat, lalu memohon ampun kepada Allah, nescaya Allah mengampunkannya.” Perawi menyebut Baginda membaca Āli ‘Imrān 3:135 selepasnya. Rujukan: Sunan Abī Dāwūd, no. 1521 (Kitāb al-Ṣalāh) ↩︎
- Riwayat yang sama dalam Jāmi‘ al-Tirmiẓī, no. 406 (Kitāb al-Ṣalāh): “Tidak ada seorang pun yang melakukan dosa, kemudian berwuduk, lalu solat dan beristighfar, melainkan Allah mengampunkannya,” kemudian dibacakan Āli ‘Imrān 3:135. Darussalam menilainya ḥasan. ↩︎
- Imam al-Nawawi menyatakan bahawa solat sunat taubat yang khusus adalah dua rakaat berdasarkan hadis sahih, namun jika seseorang ingin menambah rakaat selepasnya dengan niat umum mendekatkan diri kepada Allah (qiyamullail atau solat sunat mutlak), maka ia dibolehkan. Namun, tambahan tersebut tidak dinamakan secara khusus sebagai solat taubat. (Rujuk: al-Adzkar, Imam al-Nawawi, hlm. 214; juga al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhazzab, Jil. 3, hlm. 55) ↩︎
- Syeikh Abdul Aziz Ibn Bāz menjelaskan bahawa selepas solat taubat, seseorang disunatkan memperbanyak istighfar dengan apa jua lafaz yang sahih, termasuk ucapan ringkas seperti “Astaghfirullah”, dan tidak ada batasan tertentu bagi jumlahnya. Beliau menekankan bahawa yang penting adalah keikhlasan dan penghayatan hati, bukan bilangan tertentu. (Rujuk: Fatāwā Nūr ‘ala al-Darb, Syeikh Ibn Bāz, Jil. 11, hlm. 398) ↩︎
- Doa ini diriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Dan tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 834) dan Muslim (no. 2705), dan ia adalah antara doa yang sangat dianjurkan untuk dibaca selepas solat sunat taubat sebagai pengakuan dosa dan harapan keampunan. ↩︎
- Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada kegembiraan salah seorang daripada kamu yang menemui semula untanya yang hilang di padang pasir.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6309; Muslim, no. 2747) ↩︎
- Diriwayatkan daripada Mu‘āz bin Jabal RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2616; dinilai hasan sahih oleh al-Tirmizi dan al-Albani). Ulama seperti Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa sedekah adalah antara amalan yang sangat berkesan dalam menyucikan jiwa dan menghapus dosa, terutama apabila dilakukan setelah taubat sebagai tanda kesyukuran dan keikhlasan. (Rujuk: al-Wābil al-Ṣayyib, Ibn al-Qayyim, hlm. 24) ↩︎
Tinggalkan Komen Anda..
Saya hanya tahu mencari akuislam..saya hanya tahu merujuk kpd akuislam..dalam segala hal yg berkaitan dgn ibadah juga urusan yg lain…
Oleh itu saya mohon semoga akuislam , menyampaikan segala isi kandungan berkaitan agama islam ini , dgn tepat dn betul dn mudah d fahami…
Buat masa ini , saya sgt bangga dgn apa yg saydara buat dn teruskn sekrg..saya merujuk segala urusan ibadah dgn akuislam dgn penuh kesyukuran ..
Doa sata semoga akuislam terus bersama dlm menyampaikn syiar islam dn membantu org2 islam dlm membaiji diri ke arah yg lbh baik demi akhirat …
Trm kasih byk2 akuislam..saya g sgt dgn akuislam…
Jump lagi
Terima kasih banyak atas sokongan dan doa yang Anda berikan! Kami sangat gembira mendengar bahwa akuislam telah menjadi rujukan utama Anda dalam ibadah dan kehidupan sehari-hari. InsyaAllah, kami akan terus berusaha menyediakan informasi yang mudah difahami dan akurat untuk membantu kita semua memperbaiki amalan dan kefahaman tentang Islam.
Doa Anda sangat berharga, dan semoga Allah menerima segala amalan kita. Jangan segan untuk bertanya atau berdiskusi tentang apa saja yang berkaitan dengan Islam. Terima kasih sekali lagi dan sampai jumpa lagi!
Saya Nak Tanya …Klau sedang period MCM mne NK taubat ye
Wanita yang sedang mengalami haid atau period boleh melakukan taubat seperti biasa, kerana taubat adalah proses bermunajat dan memohon keampunan dari Allah SWT, yang tidak terbatas kepada keadaan fizikal seseorang.
Meskipun wanita yang sedang haid tidak boleh melaksanakan solat atau berpuasa, mereka masih boleh berdoa, membaca doa taubat, dan memohon ampunan dari Allah dengan ikhlas. Anda boleh berzikir, dan memperbanyakkan doa serta istighfar.
Asas taubat adalah penyesalan atas dosa yang telah dilakukan, berhenti dari perbuatan dosa tersebut, dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi di masa depan.
Seorang Muslim boleh bertaubat pada bila-bila masa, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, sentiasa menerima taubat hamba-Nya yang ikhlas.
..
Ada kah solat sunat taubat sekali saja di buat..
Digalakkan untuk sentiasa mengerjakan solat sunat taubat ツ
Assalamualaikum ustaz,
saya pernah melalukan dosa namimah. Selain solat taubat, apa yang perlu sy lakukan?
Waalaikumussalam,
Namimah, atau mengadu domba, memang dianggap sebagai salah satu dosa besar dalam Islam. Langkah pertama yang sudah anda lakukan, iaitu solat taubat, adalah langkah yang sangat baik.
Selain itu, ada beberapa langkah lain yang dapat anda pertimbangkan untuk menebus kesalahan ini:
1. Jika ia telah menyebabkan kesulitan atau masalah bagi orang lain, penting untuk meminta maaf kepada mereka. Ini merupakan langkah penting dalam proses taubat.
2. Niat yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut adalah kunci. Berusaha untuk menjauhi gosip atau percakapan yang dapat menimbulkan namimah.
3. Jika namimah itu telah merosak hubungan antara orang-orang lain, berusaha untuk memperbaiki hubungan tersebut sebaik mungkin.
4. Terus memohon ampun kepada Allah dan berdoa agar Dia memberikan kekuatan untuk menjauhi perbuatan tersebut di masa depan.
5. Berusaha untuk melakukan lebih banyak kebaikan dan amalan soleh untuk menyeimbangkan kesalahan yang telah dilakukan.
Ingatlah, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Jika seseorang benar-benar bertaubat dengan niat yang tulus, InsyaAllah, Allah akan menerima taubat tersebut.
Wallahu a’lam ツ
Perbuatan saya telah menyebabkan hubungan persahabatan terputus. Sy ada cuba usaha utk memperbaiki hubungan tersebut, tetapi tidak berjaya. Apa boleh sy lakukan bagi memastikan dosa sy diampunkan?
Saya memahami situasi yang anda hadapi.
Ketika usaha untuk memperbaiki hubungan yang terputus tidak berhasil, ada beberapa perkara boleh anda pertimbangkan:
1. Teruskan berdoa: Memohon kepada Allah agar memperbaiki situasi dan membuka hati orang yang terlibat agar mereka menerima maaf anda.
2. Niat dan Tawakkal: Teruskan niat baik anda dan serahkan kepada Allah. Kadang-kadang, meskipun kita telah berusaha, hasil akhirnya tetap berada di tangan Allah.
3. Sabar dan istiqamah: Kesabaran dalam menghadapi keadaan ini penting. Teruskan berbuat baik dan jangan berputus asa. Allah Maha Mengetahui usaha kita.
4. Konsisten dalam amalan Baik: Teruskan melakukan amalan baik dan kebajikan lainnya. Ini bukan sahaja sebagai penebus dosa namun juga sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah.
5. Berikan Masa: Kadang-kadang memerlukan masa untuk seseorang menerima maaf. Jangan terburu-buru dan berikan ruang kepada mereka untuk memproses perasaan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui niat dan usaha kita. Dengan berdoa, bersabar, dan terus beramal soleh, InsyaAllah, usaha anda akan mendapat keberkatan dari-Nya.
Wallahu a’lam
Perlukah sy berterus terang kepada pihak pertama yang telah saya adu dombakn bahawa saya telah menyampaikan sesuatu perkara kepada pihak kedua yang menyebabkan pihak kedua membenci pihak pertama?
Dalam situasi yang rumit ini, pada pandangan saya janganlah terburu-buru.
Bertenang sebentar, dan ambil masa untuk berfikir dengan mendalam mengenai kesan dan akibat.
Pertimbangkan apakah dengan berterus terang, ia akan membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan bagi semua pihak?
Jika dengan berterus terang situasi menjadi lebih baik dan hubungan dapat dipulihkan, maka itu adalah langkah yang baik.
Awak juga kena bersedia untuk menerima apa jua reaksi dari pihak pertama. Ini mungkin termasuk kemarahan, kekecewaan, atau kesedihan.
Dan adakah ia akan membawa kesan yang sebaliknya? Dalam sesetengah situasi, ia mungkin hanya akan menambah luka dan kebencian.
Dalam Islam, masalah sebegini sebenarnya terletak pada perkara berkaitan masalih (perkara yang boleh mendatangkan kebaikan) dan juga mafasid (perkara yang boleh mendatangkan keburukan dan kemudaratan) jika kamu memberitahu mereka tentang umpatan kamu dan tuduhan kamu kepada mereka itu.
Jika perkara tersebut tidak menambahkan kemarahan dan kesedihan mereka, maka berterus-teranglah kepada mereka tentang hal tersebut secara umum sahaja (tanpa perlu memperincikan tentang perkara tersebut) berserta meminta maaf dengan penuh penyesalan.
Manakala, jika anda risau atau takut apabila diberitahu mereka tentang perkara tersebut akan mengakibatkan permusuhan dan pergaduhan yang besar (bakal berlaku kemudharatan yang besar), oleh itu cukuplah kita bertaubat dengan memenuhi beberapa perkara berikut:
Terima kasih ustaz atas panduan. Semoga dosa sy diampuni dan Semoga ustaz dan semua dirahmati Allah swt.
Amin, semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua dan memberkati kita dengan rahmat-Nya.
Saya juga berdoa agar Allah memberikan kekuatan, kesabaran, dan petunjuk kepada anda dalam menghadapi ini, InsyaAllah.
Terima kasih Tuan atas jawapan. Bagaimana jika sy tidak berjaya melaksanakan perkara di no. 3?
Lakukanlah apa yang termampu ツ
Assalamualaikum.. saya dalam proses qada’ solat.. boleh kah saya solat taubat.. atau kena selesaikan qada’ solat dulu..
Waalaikumsalam.
Pertanyaan Saudara mengenai pelaksanaan solat taubat dan qada’ solat adalah penting dalam amalan keagamaan kita. Pada dasarnya, kedua-dua solat ini mempunyai tujuan dan keutamaan yang berbeza.
Solat qada’ adalah solat yang dilakukan untuk menggantikan solat fardu yang terlepas. Ini merupakan kewajipan yang perlu diselesaikan oleh setiap Muslim yang terlepas solat fardunya. Menunaikan qada’ solat adalah penting kerana ia menunjukkan tanggungjawab kita terhadap kewajipan-kewajipan fardu yang telah Allah SWT tetapkan.
Di sisi lain, solat taubat adalah solat sunat yang dilakukan dengan niat memohon keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Solat ini adalah amalan sunnah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa, terutama apabila seseorang merasa perlu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan-Nya.
Dalam konteks qada’ solat, tidak ada halangan bagi Anda untuk melaksanakan solat taubat. Anda boleh melakukan solat taubat pada bila-bila masa, walaupun Anda sedang dalam proses menunaikan qada’ solat. Ini kerana solat taubat adalah amalan yang dianggap sebagai cara untuk meningkatkan ketakwaan dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT.
Namun, penting untuk diingat bahwa menunaikan qada’ solat yang terlepas adalah lebih utama dan kewajipan yang harus diselesaikan. Jadi, sambil anda melaksanakan solat taubat, usahakan juga untuk secara konsisten menunaikan qada’ solat anda.
Semoga Allah SWT memudahkan jalan Saudara dalam menunaikan kewajipan dan menerima amalan taubat kita semua. Amin.