
Bagaimana cara Solat Taubat dan Doa Taubat?
Ini adalah panduan lengkap untuk melakukan Solat Sunat Taubat dan doa taubat nasuha.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang penting:
Panduan cara Solat Taubat ini juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi dan juga audio untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca tulisan arab.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pengenalan

Apakah sifat orang beriman?
Salah satu sifat orang yang beriman adalah segera bertaubat kepada Allah SWT apabila mereka terlanjur melakukan kesalahan atau dosa.
Apabila kita melakukan kesalahan, kita seharusnya memperbanyakkan istighfar, yakni memohon keampunan kepada Allah SWT dan bertaubat dengan taubat nasuha.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu.
— Surah Ghafir ayat 60
Dalam Tafsir al-Qurtubi, taubat nasuha merujuk kepada perbuatan bertaubat dengan rasa tulus, menyesali kesalahannya dari lubuk hatinya, beristighfar dengan lidahnya, meninggalkan kesalahan tersebut dan menenangkan hati agar tidak kembali mengulangi kesalahan yang sama.
Dan di antara rahmat Allah SWT kepada hambaNya yang berdosa adalah dengan membuka pintu taubat untuknya agar dia kembali kepada khaliq-Nya dalam keadaan penuh pengharapan hanya kepadaNya sahaja tempat kembali.
Maksud Solat Taubat

Solat sunat taubat adalah solat yang disunatkan dilakukan apabila seseorang melakukan dosa atau merasakan diri telah berbuat dosa dan ingin bertaubat kepada Allah. Selain dari istighfar dan menyesali segala kesalahannya, taubat nasuha juga boleh disempurnakan dengan melakukan Solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat.
Kita sebagai manusia biasa, tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf dan dosa. Dan sebaik-sebaik orang yang berbuat salah dan pendosa adalah mereka yang bersegera bertaubat.
Oleh itu, perlaksanaan Solat Sunat Taubat ini menzahirkan kesungguhan seorang hamba untuk benar-benar bertaubat yakni taubatan nasuha kepada penciptanya lantaran ibadah solat merupakan sebaik-baik ibadat dan wasilah yang dapat menghubungkan diri seseorang kepada Allah SWT.
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menzalimi dirinya sendiri, mereka bersegera ingat kepada Allah lantas memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah
— Surah Ali Imran ayat 135
Maka, cara yang terbaik untuk kembali taat kepada Allah SWT adalah melalui solat yang disertai dengan zikir istighfar dan doa taubat selepas solat tersebut.

Syarat-Syarat Taubat

Solat sunat taubat ini dilakukan sesudah seseorang itu menginsafi kesalahan dirinya sendiri lantas memohon keampunan daripada Allah.
Antara syarat-syarat taubat adalah:
- Benar-benar menyesal terhadap perbuatan atau dosa yang lalu
- Meninggalkan perbuatan yang membawa dosa tersebut
- Bercita-cita tidak akan melakukan perbuatan dosa itu lagi
Tetapi apabila kita melakukan perbuatan dosa terhadap manusia seperti mencuri, mengumpat, memukul dan sebagainya..
… maka hendaklah ditambah lagi satu syarat, iaitu memulangkan semula barang yang dicuri dan memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan.
Bacaan Cadangan

Panduan Melakukan Taubat Nasuha
Ingin melakukan taubat nasuha?
Jika anda buntu dan tidak tahu caranya, panduan ini akan membimbing anda melakukan taubat nasuha secara lengkap.
Waktu Solat Taubat

Solat sunat taubat boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja. Tidak ada waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan Solat Sunat Taubat ini. Ia boleh dilakukan sekalipun dalam waktu tahrim (waktu yang diharamkan solat sunat) kerana solat ini mempunyai sebab, iaitu segera bertaubat kepada Allah SWT.
Namun, solat ini lebih baik dilakukan selepas tengah malam sewaktu Qiamullai (bangun pada 2/3 malam untuk beribadat kepada Allah) kerana suasana pada waktu ini sunyi dan kurang gangguan agar solat lebih khusyuk.
Cuma, apabila kita berasa bersalah dan mahu kembali kepada Allah, maka lebih baik kembali yang dimulai dengan amalan serta-merta.
Dan amal yang paling baik bagi umat manusia tidak lain tidak bukan adalah solat.
Niat Solat Taubat
Niat Solat Sunat Taubat adalah seperti berikut:

Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Bilangan Rakaat

Tidak ada keterangan khusus berkenaan rakaat solat sunat taubat secara terperinci.
Mengikut pandangan kebanyakkan ulamak, solat sunat taubat boleh dikerjakan sebanyak dua, empat dan enam rakaat
Perlaksanaan cara solat taubat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Cara Solat Taubat
Ringkasan Cara Melakukan Solat Taubat
- Solat Taubat dimulakan dengan takbiratul ihram sambil niat dalam hati “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”.
- Bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim dalam setiap rakaat. Untuk surah lazim, anda boleh memilih mana-mana surah seperti al-Ikhlas, al-Falaq, atau an-Nas.
- Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali. Pastikan anda menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
- Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca takbir. Bacalah al-Fatihah dan surah lazim yang lain. Kemudian lakukan lagi rukuk dan sujud.
- Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk tahiyyat akhir. Akhiri solat dengan memberi salam.
- Setelah selesai solat, berdoalah dengan khusyuk memohon keampunan dari Allah SWT atas segala dosa.
Penting untuk diingat, solat taubat dilakukan dengan rasa penyesalan yang mendalam atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan niat untuk tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut di masa depan.
Di bawah ini panduan melakukan solat sunat taubat secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.
Niat Solat Taubat
Semasa mengangkat takbir, bacakan niat Solat Sunat Taubat dalam hati:

Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Atau boleh juga berniat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala

2. Kemudian, Bacalah Doa Iftitah.
Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah.
Solat Sunat Taubat ini tetap sah jika doa ini tidak dilakukan. Namun, jika dibaca akan mendapat pahala.

Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.
Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.
Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin
3. Seterusnya Bacalah Surah al-Fatihah.
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam solat.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
4. Kemudian, Baca Surah al-Kafirun
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada mana-mana surah al-Quran seperti surah al-Kafirun.

Qul yaa ayyuhal-kafirun. La a’budu maa ta’buduun. Wa la antum ‘Abiduna maa a’bud. Wa laa ana ‘Aabidum maa ‘abattum. Wa laa antum ‘abiduuna maa a’bud. Lakum diinukum wa liya diin.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.
Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.
5. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
6. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:


Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
7. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud
Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
8. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
9. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
10. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.
Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

Rakaat Kedua
11. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat
Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah untuk rakaat kedua.
(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

12. Baca Surah al-Fatihah
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
13. Membaca Surah al-Ikhlas
Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas.
Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad.
Maksudnya:
Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
- Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.
14. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
15. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:


Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
16. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
17 Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
18 Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
Bacaan Dalam Sujud Akhir
Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:

Laa ilaaha illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzolimin
Maksudnya:
Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim
19 Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir

20 Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.
Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

Assalamualaikum Warahmatullah
Maksudnya:
Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya
… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

Assalamualaikum Warahmatullah
21 Maka Selesailah Solat Taubat Tersebut.
Selepas salam, bacalah surah Al-Fatihah dan wirid-wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.
Seterusnya, lakukan Doa Taubat seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah
Bacaan Zikir Dan Istighfar Selepas Solat Taubat

Sesudah salam, perbanyakkan istigfar dan memohon keampunan kepada Allah (sambil menyesali dosa-dosa yang dilakukan)
Maka ucapkanlah istighfar berulang kali:
Bacaan Istighfar Solat Taubat

Astagfirullah Hal ‘Azim Allazi Laa ilaaHa illa Hu alHayyul-Qoyyum Wa AtuuBu ilaih
Maksudnya:
Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.
Amalan ini sesuai dengan firman Allah:
Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui.
— Surah Ali Imraan: 135
Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah SWT
Iaitu seseorang itu benar-benar menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.
Bacaan Zikir Taubat
Sebagai tambahan:
Boleh juga diamalkan zikir taubat ini selepas solat atau bila-bila masa sahaja.
Doa Taubat
Akhir sekali adalah doa taubat. Bagaimana untuk doa solat taubat?
Berdoalah mengikut luahan hati mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah.
Namun jika anda buntu, anda boleh membaca doa khusus di bawah ini untuk memohon keampunan Allah.
Doa ini juga boleh dibaca terus jika anda tidak dapat melakukan solat, seperti sedang haid atau lain-lain keuzuran.
1. Membaca Doa Taubat
Antara doa taubat ringkas yang boleh dibaca adalah seperti berikut:
Doa Taubat

Allahumma inni Zholamtu Nafsi Zull-man Katsiran Walaa Yagh-Firu ZunuuBa illa Anta, Fagh-firli Min indika Magfirotan innaka Antal Rgho-fuu Rur-rahim.
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
2. Sujud Dan Membaca Sayyidul Istighfar

Selepas selesai berdoa, maka lakukan sujud dengan membaca Sayyidul Istighfar:
Sayyidul Istighfar

Allaahumma Annta Rabbii Laa iLaaHa ilLaa AnnTa Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Maas-Tatha-Tu ‘A-Uudzu-Bika Min Syarrimaa Sona’-tu, Abuu-U-Laka Bini’matika Alayya, Wa Abuu-U BiDzanmmBi, Fagh-Fir-Lii Fa-innahu Laa Yagh-Firudz-DzunuuBa ilLaa Annta.
Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.
Rujuk juga doa-doa lain selepas solat pada pautan ini: WIRID & DOA SELEPAS SOLAT
Hikmah Solat Taubat

Apakah maksud hikmah?
Hikmah ertinya adalah kebaikan yang tersembunyi.
Semua peraturan yang digariskan Allah SWT mempunyai hikmah atau kebaikannya. Kebaikan yang dimaksudkan bukan untuk Allah SWT, tetapi bagi manusia.
Namun banyak diantara yang ditetapkan Allah SWT itu tidak disebutkan hikmahnya didalam al-Quran atau hadis. Dalam keadaan sedemikian, maka para ulama’ lah yang menerangkan apa hikmahnya.
Begitu juga dengan Solat Taubat, disuruh kita mengerjakannya kerana ada hikmah yang tersembunyi.
Hikmah Solat Taubat ialah untuk membersihkan dosa-dosa kita.
Memang dengan mengucap istighfar sahaja pun (kalau kita betul-betul bertaubat), Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa kita.
Namun supaya kita nampak lebih sungguh-sungguh bertaubat, perlulah kita mengerjakan Solat Sunat Taubat.
Ada orang yang mengucap istighfar (minta ampun), setiap selesai mengerjakan solat fardu tetapi dosa yang selalu dia kerjakan belum dia tinggalkan dan tidak ada perasaan menyesal.
Pernyataan minta ampunnya itu hanya di bibir belaka.
Orang seperti itu sudah pasti lebih baik mengerjakan Solat Taubat supaya nampak lebih serius taubatnya.
Cara yang lebih baik ialah mengerjakan Solat Taubat dirumah tengah malam atau menjelang sahur.
Ketika sujud yang terakhir, sujudnya dipanjangkan dan direnungkan segala dosa yang terlanjur dikerjakan dan direnungkan pula bagaimana dahsyatnya seksa Allah SWT.
Begitu juga setelah memberi salam tangan diangkat sambil memohon keampunan daripada Allah SWT.
Hendaklah diingat-ingat segala kesalahan yang dilakukan, hendaklah direnungkan bagaimana beraninya kita melanggar perintah Allah SWT dan kita bayangkan betapa hebatnya seksa Allah SWT.
Di samping itu hendaklah kita yakin bahawa Allah SWT sebenarnya redha memaafkan kesalahan kita asalkan kita betul-betul bertaubat. Bererti perlu ada khauf (rasa takut) dan raja’ (rasa harap).
Maksudnya, perlu takut terhadap seksa Allah SWT dan perlu pula yakin bahawa Allah SWT yang Maha Pengampun akan mengampuni segala dosa dosa kita.
Kesungguhan bertaubat dengan taubat nasuha diikuti dengan Solat Sunat Taubat merupakan satu-satunya jalan untuk mendapatkan keampunan Allah SWT.
InsyaaAllah, dengan izin Allah segala dosa kita akan diampuni.
Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Taubat

Berikut adalah beberapa soal jawab lazim yang sering timbul berkaitan dengan Solat Sunat Taubat:
Solat Sunat Taubat adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan dalam Islam. Menurut para ulama Mazhab Syafie, taubat wajib dilakukan setiap kali seseorang melakukan dosa, tetapi mendirikan solat sunat sebagai tanda kesungguhan bertaubat adalah sangat digalakkan, bukan diwajibkan.
Ya, boleh. Walaupun solat sunat umumnya dilarang dalam waktu tertentu (selepas Subuh hingga terbit matahari dan selepas Asar hingga terbenam matahari), solat taubat termasuk solat sunat bersebab yang dibenarkan dilakukan bila-bila masa kerana mempunyai sebab khusus iaitu permohonan ampun atas dosa.
Tidak wajib mandi kecuali jika seseorang berada dalam keadaan hadas besar (contohnya junub). Melakukan dosa besar sahaja tidak mewajibkan mandi, kecuali jika dosa itu menyebabkan hadas besar seperti zina.
Boleh tetapi lebih utama dilakukan secara sendirian, kerana solat taubat merupakan hubungan peribadi antara seseorang hamba dengan Allah SWT, melibatkan penyesalan terhadap dosa yang dilakukan.
Menangis bukanlah syarat penerimaan taubat, tetapi jika ia berlaku secara semula jadi kerana keikhlasan, ia merupakan petanda baik tentang kesungguhan seseorang itu dalam bertaubat.
Mandi wajib hanya diperlukan jika seseorang dalam keadaan hadas besar (contohnya selepas berzina atau keluarnya mani). Jika sekadar melakukan dosa besar yang tidak melibatkan hadas besar, mandi wajib tidak diwajibkan.
Ya, sangat digalakkan untuk mengulangi solat sunat taubat setiap kali berdosa. Perbuatan ini menunjukkan kesungguhan seseorang dalam bertaubat. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.” (Riwayat at-Tirmizi)
Dibenarkan membaca mana-mana surah mengikut kemampuan masing-masing kerana tiada kewajipan khusus dalam hal ini.
Menangis bukan syarat wajib diterima taubat, tetapi tangisan disebabkan keikhlasan dan penyesalan adalah satu tanda yang sangat baik. Yang utama ialah rasa menyesal yang tulus dalam hati terhadap dosa-dosa lalu.
Dibolehkan bahkan digalakkan, kerana ia tanda kesungguhan seseorang yang sentiasa merendahkan dirinya kepada Allah. Setiap kali timbul rasa berdosa, dianjurkan segera melaksanakan solat taubat dan memohon ampun.
Solat ini boleh didirikan di mana-mana tempat yang suci lagi bersih, tetapi tempat paling afdal adalah yang paling menenangkan hati seseorang seperti di masjid atau ruang solat khas di rumah sendiri, yang boleh meningkatkan rasa khusyuk dan ketenangan dalam memohon keampunan daripada Allah SWT.
Penutup: Allah Itu Maha Penerima Taubat
Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
InsyaAllah, setiap dosa-dosa kita, kecil atau besar, pasti akan diampunkan oleh Allah.
Semoga panduan ini dapat membantu kita dalam melakukan solat sunat taubat dengan sebaik mungkin.
Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan dosa dan maksiat.
InsyaaAllah.
Nota Rujukan:
- Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
- Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
- Ensiklopedia Solat: Solat Taubat — TV3 Official [Pautan]
- Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
- Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
- 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum. Ada beberapa soalan yang saya terfikir. Setiap rakaat selepas naik TN. Menyertakan gambar orang mengangkat takbir dengan tangan sekali. Adakah tak bermasalah sebab beberapa video dari ustaz yang tengok mengatakan batal sembahyang fardhu kalau angkat tangan semasa masuk rakaat yang baru ataupun takbir solat fardhu dan sunat berlainan. Mohon penjelasan. Terima kasih
Waalaikumussalam warahmatullah,
Mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat kedua, ketiga, atau keempat (selepas tahiyat awal) dipanggil sebagai “mengangkat tangan semasa Takbir Intiqalat” (peralihan dari satu rukun ke rukun yang lain).
Dalam Mazhab Syafie, hukum mengangkat tangan pada setiap kali bangkit ke rakaat berikutnya (selepas tahiyat awal) adalah sunat dan tidak membatalkan solat, sama ada solat fardhu atau solat sunat.
Kekeliruan timbul mungkin kerana terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ustaz mengenai perkara ini. Namun, menurut pandangan majoriti ulama Mazhab Syafie, perbuatan ini jelas tidak membatalkan solat.
Semoga penjelasan ini dapat memberi keyakinan kepada tuan dalam ibadah.
Wallahu a’lam.
Boleh ke di sujud terakhir..tukar doa nabi Yunus kepada istighfar.. astaghfirullah 40× dalam sujud kedua terakhir atau memang telah ditetapkan doa nabi Yunus dalam sujud terakhir tu
Waalaikumussalam warahmatullah,
Boleh, tidak menjadi masalah jika ingin menggantikan bacaan Doa Nabi Yunus dengan lafaz istighfar seperti “Astaghfirullah” sebanyak 40 kali dalam sujud terakhir solat sunat taubat tersebut.
Dalam solat sunat taubat, tiada bacaan khusus yang wajib dalam sujud terakhir. Doa Nabi Yunus memang digalakkan, namun ia bukan kewajipan atau syarat sah solat tersebut. Tujuan utama adalah memohon keampunan kepada Allah.
Yang penting, doa atau zikir dalam sujud hendaklah dalam Bahasa Arab dan sesuai dengan tujuan solat taubat itu sendiri.
Semoga Allah menerima taubat tuan dan mengampunkan segala dosa kita semua.
Wallahu a’lam.
Assalammualaikum ustaz, saya nak tanya, wajib ke untuk baca doa nabi yunus tu masa sujud terakhir
Waalaikumussalam warahmatullah,
Membaca doa Nabi Yunus dalam sujud terakhir solat taubat bukanlah wajib, tetapi sangat digalakkan sebagai amalan tambahan yang baik.
Ia merupakan sunnah yang dianjurkan kerana doa tersebut mengandungi pengakuan dosa dan permohonan ampun kepada Allah, bersesuaian dengan tujuan solat taubat.
Namun, solat taubat tetap sah walaupun tidak membaca doa Nabi Yunus ini.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum, saya lakukan solat taubat seperti yg diajarkan… tapi doa2 sy baca dalam rumi sbb sy tak tahu mengaji… 😓, semoga Allah mengampunkan dosa2 saya 😔
Waalaikumussalam warahmatullah,
Alhamdulillah, semoga Allah menerima taubat puan dan mengampunkan segala dosa. Jangan risau, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia melihat usaha dan keikhlasan puan, bukan hanya pada bacaan semata-mata.
Teruskan amalan puan, dan usahakan sedikit demi sedikit belajar membaca doa dalam bahasa Arab. Insya-Allah, Allah pasti mempermudahkan segala urusan puan.
Semoga puan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Assalamualaikum, ada satu doa semasa kita melakukan iktidal, kalau boleh mohon admin tambahkan doa tersebut.
terima kasih
Wa’alaikumussalam.
InsyaAllah, saya akan usahakan untuk menambah doa iktidal dalam panduan yang berkaitan. Terima kasih 😊
assalamualaikum, nak bertanya, jika kita pernah mencuri banyak kali di waktu umur yang mempunyai fikiran matang, adakah akan diterima solat taubat kita jika tidak memulangkan barang yang dicuri dan tidak berjumpa dengan orang yang kita melakukan kecurian itu kerana takut untuk berhadapan dengan orang tersebut malahan tidak dapat menjumpa dengan orang itu lagi? ada alternatif untuk allah mengampunkan dosa jika tidak mampu memulangkan barang yang pernah dicuri
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Bertaubat daripada dosa mencuri adalah satu langkah yang sangat baik dan mulia. Allah Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-Nya yang benar-benar ingin kembali kepada-Nya.
Namun, dalam kes kecurian, taubat yang sempurna melibatkan dua aspek penting:
—-
1. Adakah Taubat Diterima Jika Tidak Memulangkan Barang yang Dicuri?
Taubat seseorang tetap diterima jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan, tetapi taubat yang sempurna memerlukan usaha untuk mengembalikan hak yang diambil. Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa yang pernah melakukan kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah dia meminta halal daripadanya hari ini sebelum datangnya hari di mana dinar dan dirham tidak berguna.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2449)
Jika barang yang dicuri tidak dipulangkan, dosa tersebut masih berkaitan dengan hak manusia. Walaupun seseorang telah bertaubat, tanggungjawab terhadap hak manusia perlu diselesaikan.
—-
2. Apa yang Boleh Dilakukan Jika Tidak Dapat Menjumpai Pemilik?
Jika pemilik barang yang dicuri tidak dapat ditemui atau tidak berani untuk berdepan dengannya, Islam memberi beberapa alternatif untuk menyelesaikan hak tersebut:
✔ Menggantikannya dengan nilai yang setara dan bersedekah atas nama pemilik asal
✔ Mendoakan pemilik asal
✔ Beristighfar dengan bersungguh-sungguh
—-
3. Kesimpulan
➡ Solat taubat tetap diterima, tetapi perlu berusaha menyelesaikan hak manusia.
➡ Jika tidak dapat mengembalikan barang yang dicuri, gantikan dengan nilai setara dan bersedekah atas nama pemilik asal.
➡ Jika masih tidak mampu, banyakkan istighfar dan berdoa agar Allah mengampuni dosa tersebut serta mengurniakan pahala kepada pemilik asal di akhirat.
Allah Maha Pengampun dan Maha Mengetahui keikhlasan hati hamba-Nya. Teruskan bertaubat dan jangan putus asa daripada rahmat Allah. Semoga Allah menerima taubat dan mengampunkan segala dosa. 🤲💙
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum Ustaz,
Bagaimana pula sekiranya kita tidak tahu/ingat nama pemilik asal, tetapi mungkin ada sedikit memory bayangan beliau. Hal ini kerna tika waktu tersebut pada zaman-zaman remaja antara belasan hingga dua puluhan.
Mohon pencerahan ustaz.
Terima kasih
Waalaikumussalam warahmatullah,
Jika seseorang tidak dapat mengingat atau mengenali pemilik asal barang yang pernah diambil, Islam masih menyediakan jalan untuk menebus kesalahan ini.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan:
1. Menggantikan dengan Nilai yang Setara dan Bersedekah atas Nama Pemilik Asal
Jika pemilik asal tidak dapat dikenalpasti, jumlah nilai barang yang diambil boleh dianggarkan dan disedekahkan kepada orang yang memerlukan dengan niat bahawa pahala itu diberikan kepada pemilik asal.
Dalilnya: Imam Nawawi dalam Al-Majmu’ menyebut bahawa jika seseorang tidak dapat mengembalikan hak orang lain, maka digalakkan untuk menggantikan dengan bentuk yang setara melalui sedekah.
2. Berdoa dan Memohon Keampunan untuk Pemilik Asal
Mohon kepada Allah agar pemilik asal barang tersebut diberikan keampunan dan pahala sebagai ganti kerugian yang pernah dialaminya. Ini menunjukkan keikhlasan dan usaha untuk menebus kesalahan walaupun pemilik asal tidak diketahui.
3. Bertaubat dengan Sungguh-Sungguh
Bertaubat kepada Allah dengan penuh keikhlasan, menyesali perbuatan yang lalu, dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Banyakkan istighfar dan amal soleh sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Semoga Allah menerima taubat dan mengampunkan segala dosa.
Wallahu a’lam.
Alhamdulillah …syukur ke hadrat illahi..perkongsian ilmu yg bermanfaat..semoga sentiasa mendapat rahman dr illahi… Amin
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Terima kasih atas kata-kata dan doa yang indah. Semoga tuan/puan juga sentiasa dirahmati dan diberkati Allah dalam setiap urusan. Amin ya Rabbal ‘alamin.
Website adalah salah satu laman web yg terbaik dalam membicarakan hal² solat sunat, tahniah kepada admin semoga mendapat pahala jariah berpanjangan, insyaallah
Terima kasih atas kata-kata semangat dan doa yang diberikan!
Alhamdulillah, segala usaha ini adalah untuk membantu semua pembaca mendekatkan diri kepada Allah.
Semoga pahala kebaikan juga mengalir kepada tuan/puan atas sokongan dan doa yang tidak putus-putus. 😊
Assalammualaikum…maaf nak bertanya…ada yang bagi tahu,selagi kita tak qada habis hutang solat fardhu yang tertinggal,kita diharamkan solat taubat dan hajat..ada masa lalu saya tertinggal solat🥺jadi saya qada dan buat solat taubat juga,tapi ada yang cakap diharamkan solat sunat taubat kalau belum habis qada solat..sedih rasa🥺sebab saya usaha qada setiap waktu yang tertinggal dan dalam masa yang sama saya usaha solat sunat taubat setiap hari selepas tahajud..jadi adakah solat sunat taubat saya tidak diterima kerana saya belum selesai qada solat fardu saya…mohon pencerahan…terima kasih…
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan dan keprihatinan puan terhadap ibadah. Allah pasti mengetahui usaha dan keikhlasan puan untuk memperbaiki diri. Berikut adalah penjelasan berdasarkan pandangan Mazhab Syafie:
1. Hukum Qada’ Solat dan Solat Sunat
Qada’ solat fardu yang tertinggal adalah wajib dilakukan secepat mungkin. Ia mesti diutamakan kerana solat fardu adalah ibadah asas dan rukun Islam.
Solat sunat, termasuk solat taubat, tidak haram dilakukan walaupun seseorang belum menghabiskan qada’ solatnya, kerana kedua-dua ibadah tersebut boleh berjalan seiring. Dalam Mazhab Syafie, tidak ada larangan yang jelas untuk melaksanakan solat sunat taubat atau hajat meskipun hutang solat fardu belum selesai.
2. Kelebihan Solat Taubat
Solat taubat adalah lambang keikhlasan dan penyesalan kepada Allah. Melaksanakannya adalah tanda bahawa puan benar-benar ingin kembali kepada Allah dan meninggalkan dosa. Puan boleh terus melakukan solat taubat, di samping meneruskan qada’ solat fardu yang tertinggal.
3. Usaha Puan Dipandang Tinggi
Puan sudah menunjukkan usaha yang luar biasa dengan:
Ini adalah tanda hati puan dekat dengan Allah. Jangan bersedih atau berputus asa, kerana Allah melihat usaha puan dengan penuh kasih sayang.
4. Kesimpulan
Solat sunat taubat puan adalah sah dan diterima, selagi dilakukan dengan ikhlas. Teruskan qada’ solat fardu dengan bersungguh-sungguh, tetapi jangan tinggalkan solat taubat kerana ia membantu meningkatkan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah.
Semoga Allah menerima taubat dan usaha puan serta memberikan kekuatan untuk terus memperbaiki diri. Jangan ragu untuk bertanya lagi jika ada perkara yang memerlukan pencerahan.
Terima kasih sebab bina website ni, sejak form 5/6 saya jadikan akuislam ni sebagai rujukan solat-solat sunat saya.
Alhamdulillah, terima kasih kerana terus mempercayai web ini sebagai rujukan. Sangat menggembirakan mengetahui usaha ini bermanfaat untuk membantu ibadah awak.
Semoga Allah terus memberkati usaha dan amalan Diyana. Jangan segan untuk terus berkongsi pandangan, ya! 😊