9 Amalan Bulan Ramadan Yang Digalakkan

Amalan bulan Ramadan

Apakah amalan Bulan Ramadan yang dituntut dan digalakkan?

Panduan ini akan menjelaskan beberapa amalan sunat yang sangat digalakkan untuk diamalkan pada Bulan Ramadan ini.

Apa yang penting:

Setiap amalan-amalan tersebut diterangkan secara terperinci, dan dinyatakan secara langkah demi langkah untuk memudahkan anda beramal dengannya dengan mudah.

Semoga memberi manfaat..

Pengenalan Mengenai Amalan Bulan Ramadan

Ramadhan terkenal dengan gelaran: “Musim Bunga Orang Beriman”.

Kenapa musim bunga?

Ini kerana orang – orang beriman bergembira menyambut Ramadhan dengan melipat kali gandakan amalan mereka.

Kedatangan bulan Ramadhan setiap tahun tidak henti menjadi penghibur hati orang mukmin.

Bagaimana tidak, beribu kebaikan dan pahala ditawarkan didalam bulan ini

Daripada Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: 

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah SWT berfirman yang tafsirnya: Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu, Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu ketika dia berbuka dan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi.

{Riwayat Imam Muslim}.

Bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri kita ke arah kebaikan kerana pada bulan ini.

kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

Amalan-amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan sepanjang bulan adalah seperti berikut:

Bersahur

Ulamak sepakat mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat.

Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari malah ia juga mengandungi keberkatan.

Bersahur merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.

Sabda Rasulullah SAW:

Daripada Amru bin Asd berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur.

Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum puasa di siang hari dimulakan.

Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur?

Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh.

Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa.

Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan (HR: al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam.

Sedekah

sedekah bulan ramadan

Sungguh banyak yang Allah SWT tawarkan kepada hambaNya yang melakukan ibadah pada Bulan Ramadan ini.

Tetapi bagaimana mereka yang tidak dapat berpuasa dan beribadah (Wanita yang datang haid dan uzur yang lain) di bulan yang penuh berkat ini, untuk sama-sama dapat meraih pahala?

Jawapannya adalah dengan bersedekah.

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah.

Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan apabila tiba Bulan Ramadhan, amalan ini lebih digalakkan lagi.

Sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah SWT di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’.

Solat Sunat Tarawih

solat tarawih

Solat Sunat Tarawih adalah salah satu ibadah yang sangat istimewa dan sangat dituntut untuk mengerjakannya.

Mengapa solat ini dikatakan istimewa?

Ini kerana solat sunat ini hanya dapat dikerjakan pada Bulan Ramadan sahaja. Ia sangat istimewa sehingga Allah menjanjikan ganjaran keampunan kepada mereka yang mengerjakannya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesiapa yang melakukan solat malam (Tarawih) pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu

— Hadis riwayat Muslim

Solat sunat terawih adalah satu ibadah qiamullai yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan sehingga nabi menggelarkan ia “qiam ramadan”. Solat sunat ini boleh dilakukan secara bersendirian atau secara berjemaah.

Panduan untuk mengerjakan solat sunat Tarawih ini boleh dirujuk pada pautan ini: NIAT & CARA SOLAT TARAWIH Di RUMAH (Panduan Lengkap)

Qiamullail

qiamullail

Apakah yang dimaksudkan dengan Qiamullai?

Qiamulail bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT.

Qiamullail adalah ibadah sunat yang eksklusif antara seorang hamba bersama Tuhannya.

Besar peranannya kepada manusia sehingga Allah SWT pernah mewajibkan solat malam ini sebagaimana kalamNya dalam sural al-Muzammil ayat 2:

Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak adalah bagi berehat)

Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dari dahulu lagi.

Rasulullah tidak pernah meninggalkan Qiamullail sepanjang hidupnya kecuali ketika baginda sakit.

Kaedah perlaksanaan qiamullail boleh dirujuk pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Malam (Qiamullail)

Memperbanyakkan Solat Sunat

solat sunat sebelum solat jumaat

Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat sangat cemburu dan berasa iri hati melihat baginda banyak melakukan amalan sunat.

Maka mereka turut sama berlumba-lumba melakukannya.

Solat sunat disebut juga solat Nawafil atau Tatawwu’ iaitu solat yang dilakukan secara sukarela.

Ia dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih kasih sayangNya.

Oleh itu pada Bulan Ramadan yang mulia ini, adalah elok untuk kita memperbanyakkan solat-solat sunat untuk mengisi masa kita.

Antara solat sunat yang boleh digalakkan adalah:

Anda boleh merujuk senarai-senarai panduan solat sunat yang lain pada pautan ini: Senarai Lengkap Panduan Solat-Solat Sunat

Membaca Al Quran

Amalan Bulan Ramadan Membaca al-Quran

Membaca al-Quran adalah antara amalan yang amat digalakkan untuk kita melakukannya pada Bulan Ramadan.

firman Allah SWT yang bermaksud:

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Apakah kelebihan membaca al Quran pada Bulan Ramadan?

membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana hukum membaca al-Quran bukan wajib, tetapi sunat. Namun, apabila dibaca pada bukan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Justeru katanya, sesiapa yang melakukan biarpun sekecil kebajikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan mulia ini, termasuk membaca al-Quran, dia seakan sudah melaksanakan amalan fardu.

Lebih-lebih lagi ketika mengakhiri bulan Ramadan iaitu penantian lailatul qadar. Jangan sampai tidak baca al-Quran di malam itu kerana Allah SWT menyatakan lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan atau sama dengan 354,000 kali malam biasa.

Tips membaca dan menghafal al-Quran juga boleh dilihat pada pautan ini: 9 Tips Mudah Membaca Serta Menghafal Al-Quran Secara Berkesan

Memperbanyakkan Taubat

taubat amalan bulan ramadan

Rasulullah saw mengajar umatnya agar membaca doa memohon keampunan dan diulang-ulang sepanjang Ramadan.

Lebih-lebih lagi pada saat-saat 10 malam terakhir kerana bulan Ramadan adalah bulan di mana Allah swt membuka luas pintu rahmat dan maghfirahnya.

Antara doa yang amat digalakkan untuk memohon keampunan adalah:

 Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii 

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”

Doa-Doa sepanjang Ramadan yang boleh amalkan dapat dirujuk pada pautan ini: DOA RAMADAN (Doa Sebelum Berbuka Puasa Dan Ketika Sahur)

Memperbanyakkan Zikir

Sentiasalah mengisi waktu kita dengan berzikir.

Jadikan mulut kita mulut yang sentiasa basah dengan zikir kepada Allah.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas.”

Bacaan zikir yang boleh diamalkan pada waktu pagi dan petang adalah seperti berikut: BACAAN ZIKIR PAGI & PETANG RUMI (Panduan Lengkap)

Mengerjakan Umrah Bagi Mereka Yang Mampu

Umrah atau ziarah ke tanah suci Makkah amat dituntut sepanjang Ramadhan.

Perkara ini kerana ibadat itu dikerjakan di tempat suci iaitu Makkah dan pada bulan mulia, Ramadhan. Lebih-lebih lagi jika dilakukan pada sepuluh malam terakhir pada bulan tersebut. Maka tidak hairanlah dua tanah suci itu akan dipenuhi dengan para jemaah untuk mencari kelebihan Malam Lailatul Qadar.

Bayangkan pahala yang berlipat ganda jika kita beribadat pada malam tersebut. Pahalanya menyamai seperti beribadat seribu bulan, ditambah dilaksanakan di tanah suci.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; “Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”

Jemaah yang mengerjakan umrah pada bulan ini juga memperoleh banyak ganjaran disebabkan mereka mengerjakan ibadat lain di Masjidil Haram. Masjidil Haram ialah masjid paling mulia di sisi Allah diikuti Masjid Nabawi, Masjid al-Aqsa dan Masjid Kiblatain.

Diriwayatkan, ganjaran pahala mengerjakan solat di Masjidil Haram menyamai 100,000 ganjaran.

Dalam hal ini, ulama mengkiaskan pahala solat seperti dinyatakan dalam hadis itu, bahawa ia turut meliputi ibadat lain seperti Qiamullail, membaca al-Quran dan iktikaf.

Memberi Makan Kepada Orang Berpuasa

doa berbuka puasa ramai

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat pahala kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa.

Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya 

(Tirmidzi dan Ibn Majah)

Adalah sunnah untuk mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa.

Penutup

Saya berharap panduan ini membantu anda mengisi waktu anda di Bulan Ramadan ini dengan lebih produktif dan bermakna.

Semoga usaha-usaha amal yang kita sedang usahakan ini dibalas dengan sebaik-baik balasan di Yaumal Mahsyar kelak.

InsyaAllah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments