Apakah hukum membaca yasin pada malam Nisfu Syaaban?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
Apakah hukumnya membaca Yasin pada malam nisfu sya’ban?
Apakah hukum orang yang membuat majlis di masjid atau surau atau dirumah mereka berkumpul membaca Yasin pada malam nisfu sya’ban?
Mohon jawapannya.
BACA YASIN MALAM NISFU SYA’BAN
Pertamanya hendaklah diketahui dahulu apakah hukum membaca Quran.
Telah diriwayatkan dari Abu Umamah r.a. Rasulullah sollallahu alahi wasallam telah bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Bacalah kamu sekelian akan Quran kerana Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.”
(Hadith riwayat Muslim)
Maka daripada hadith ini dapat kita ketahui barangsiapa membaca akan Al-Quran samada surah Yasin atau surah lainnya samada membaca sempurna satu surah atau membaca hanya beberapa ayat daripada Al-Quran nescaya dia akan mendapat syafaat Al-Quran di hari kiamat nanti sebagaimana dijanjikan di dalam hadith tersebut.
Hadith ini bersifat perintah yang umum iaitu Nabi sallahu alaihi wasallam menyuruh kita membaca Quran tanpa dikaitkan dengan surah atau waktu atau tempat.
Maka surah apa pun yang dibaca atau ditempat mana pun ia dibaca dan pada waktu mana pun ia dibaca maka termasuklah ia di bawah hadith ini iaitu akan mendapat syafatnya pada hari kiamat.
Oleh itu barangsiapa membaca surah Yasin samada pada malam nisfu Sya’ban atau pada malam yang lain samada dia membacanya berseorangan atau berkumpulan nescaya dia telah melakukan perintah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.
Dan barangsiapa yang membaca pada malam nisfu Sya’ban akan surah Yasin atau surah lainnya daripada Al-Quran maka dia juga telah melakukan perintah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.
Dan jika ada orang yang berkata boleh baca Yasin tetapi tidak boleh dibaca pada malam nisfu Sya’ban maka perkataannya itu adalah batil.
HUKUM BERKUMPUL BACA YASIN MALAM NISFU SYA’BAN
Bermula hukum berkumpul membaca Quran di waktu mana sahaja selain waktu yang dilarang adalah disunatkan dengan ketiadaan khilaf dikalangan ulamak.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. sungguhnya Rasulullah sallahu alaihi wasallam telah bersabda :
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُوْنَ كِتَابَ اللَّهِ ويَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Tidaklah berkumpul orang-orang pada satu masjid dari sekelian masjid mereka membaca akan Al-Quran dan saling membacakan sesama mereka itu melainkan akan turun atas mereka itu ketenangan dan akan meratai atas mereka itu rahmat dan akan mengelilingi mereka itu oleh para malaikat dan Allah akan menyebut mereka itu di sisi makhluk yang pada sisi-Nya.”
(Hadith riwayat Muslim)
Maka hadith ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang berkumpul membaca surah Yasin pada malam nisfu Sya’ban juga termasuk dalam mereka yang mendapat kebaikkan yang disebut pada hadith iaitu mereka akan mendapat ketenangan dan rahmat akan turun ke atas mereka dan malaikat akan mengelilingi mereka dan meraka akan disebut oleh Allah Taala.
Ulamak telah sepakat apabila perintah dalam hadith itu umum tidak dikaitkan dengan masa maka terpulang kepada seseorang itu memilih masa mana yang dia sukai.
Jadi samada dibuat majlis membaca Quran itu pada malam nisfu Sya’ban atau malam jumaat atau sekelian malam yang lain maka orang-orang berkumpul membaca Quran itu adalah termasuk orang yang dipuji dalam hadith ini dan akan mendapat rahmat dan ketengangan dan pahala.
Kalau ada orang yang berkata maksud hadith ini ialah membaca Quran pada malam yang lain bukan pada malam nisfu Sya’ban maka jadilah perkataannya itu karut tiada ia reti akan bahasa.
Sungguhnya membaca Quran pada waktu malam itu adalah amalan salafusoleh dan mereka sangat mengalakkan dibacakan Quran pada waktu malam walau pun sekejap.
Telah diriwayatkan daripada Ibrahim An-Nakhaie beliau telah berkata :
اقرؤوا من الليل ولو حلب شاة
Bacalah kamu semua akan Quran pada waktu malam walau pun sekadar masa memerah susu kambing.”
Kesimpulannya apa yang diamalkan seperti di dalam soalan tuan iaitu berkumpul di masjid dan surau membaca surah Yaasin pada malam nisfu Syaaban itu adalah termasuk melakukan amalan yang disuruh dan dipuji oleh Rasulullah saw dan mereka akan mendapat kelebihan yang disebut dalam hadith di atas iaitu akan mendapat syafaat pada hari kiamat dan malaikat mengelilingi membawa rahmat dan ketenangan pada tempat mereka membaca Yasin itu dan Allah akan menyebut dihadapan makhluk yang berada disisi-Nya dan memberikan mereka keampunan-Nya.
Kesimpulannya siapa sahaja dari orang-orang Islam yang membaca surah Yasin pada malam nisfu Sya’ban akan mendapat pahala dan ketenangan dan rahmat dan dihapuskan dosanya dan berbagai kelebihan yang dijanjikan ke atas orang yang membaca Al-Quran.
Dan berkumpul di masjid dan surau dan tempat lainnya kerana membaca Yasin adalah termasuk majlis yang baik yang turun para malaikat mendatangkan segala kebaikkan kepada mereka.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..