Maksud Air Mustakmal & Jenis-Jenisnya

maksud air mustakmal

Apakah maksud air mustakmal?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Apakah arti air mustakmal yang sebenarnya dan ada berapa jenis air mustakmal itu?


JAWAPAN

Mustakmal daripada perkataan arab yang bererti yang telah digunakan.

Maka maksud air mustakmal ialah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis.

Air mustakmal tidak boleh digunakan untuk bersuci sekalipun ia adalah suci.

Oleh kerana itu ia disebut sebagai air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan yang lain.

Tersebut pada Kitab Fathul Qarib:

Dan bahagi yang ketiga ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan bagi lainnya dan iaitulah air mustakmal pada mengangkat hadas atau mengilangkan najis jika tidak berubah dan tidak bertambah timbangannya selepas bercerai air daripada barang yang adalah kemudian dari diiktibarkan barang yang menyerapnya oleh yang dibasuh daripada air.

Dan air yang berubah artinya daripada bahagi ini ialah air yang berubah salah satu dari sifat-sifatnya dengan suatu yang bercampurnya dari segala yang suci akan sebagai berubah yang menegah nama air atasnya.

Maka sungguhnya air ini suci tiada menyucikan samada secara hissi (nyata) perubahannya atau secara takdir seperti bercampur dengan air itu suatu yang serupa pada sifat-sifatnya sepereti air mawar yang hilang baunya dan air mustakmal.

Maka jika tidak menegah nama air atasnya seperti berubahnya dengan suatu yang suci yang sedikit atau dengan suatu yang serupa dengan air segala sifatnya dan ditakdirkan bersalahan dan tidak mengubahnya maka tidak menanggalkan ia akan kesuciannya maka ia boleh menyucikan yang lain.”

(Kitab Fathul Qarib)

KETERANGAN

Air mustakmal ialah air yang telah digunakan untuk bersuci iaitu mengangkat hadas seperti wuduk dan mandi dan menghilangkan najis seperti istinjak.

Sebagai contoh untuk mudah difahami seorang masuk ke dalam besen yang besar yang kosong kemudian dia mandi hadas dengan air samada dengan jirus atau dengan paip.

Selepas selesai dari mandi hadas itu maka air yang terkumpul dalam besen tersebut itulah nama air mustakmal artinya air itu telah digunakan untuk mengangkat hadasnya atau misalnya dia mengambil wuduk dan selepas selesai berwuduk air yang terkumpul dalam besen itu namanya air mustakmal.

Maksud air yang telah digunakan untuk mandi hadas dan wuduk itu ialah digunakan untuk basuhan yang wajib.

Maka jika digunakan untuk mandi yang sunat nescaya tidak dinamakan air mustakmal.

Begitu juga jika digunakan untuk membasuh yang tidak wajib seperti membasuh kali yang kedua atau ketiga pada mandi atau wuduk maka tidak dinamakan air yang telah digunakan itu mustakmal.

Dan termasuk air mustakmal ialah air bekas membersihkan najis yang tidak berubah.

Ada pun air yang berubah selepas diguna membasuh najis bukannya air mustakmal tetapi air yang mutannajis.

Dan termasuk juga dalam bahagi ini iaitu air yang bercampur dengan suatu yang suci dan berubah yang banyak misalnya jika tumpah garam ke dalam air lalu berubah seperti jadi rasanya masin maka hilang nama air mutlak tidak lagi boleh digunakan buat bersuci.

Jika berubah yang sedikit seperti jatuh setitik nila dalam air dan nampak sedikit kebiruan air itu maka hukumnya dimaaf kerana tidak banyak berubahnya dan jika banyak berubahnya seperti sampai jadi biru air itu nescaya hilang nama air mutlak.

Maksud dimaaf ialah boleh digunakan untuk bersuci.

Yang dikatakan tidak harus bersuci atau menghilangkan najis dengan air mustakmal ini ialah apabila ia sedikit yaitu tidak sampai dua kullah.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

لا تصح الطهارة بالماء المستعمل القليل في رفع الحدث وإزالة النجس

Tidak sah bersuci dengan air mustakmal yang sedikit pada mengankat hadas dan menghilangkan najis.”

(Kitab Minhajul Qawwim)

Maka jika air mustakmal itu sampai dua kullah atau lebih nescaya hilanglah nama air mustakmal iaitu jadi ia air mutlak.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments