
Bagaimana niat Puasa Sunat Syaaban?
Artikel ini akan membantu anda mengetahui niat Puasa Sunat Syaaban secara mudah dan ringkas.
Ejaan rumi dan lafaz niat dalam Bahasa Melayu juga disediakan.
Pengenalan Bulan Syaaban

Syaaban merupakan bulan ke-8 di dalam takwim Hijrah.
Syaaban juga dikenali sebagai bulan ‘penyimpangan’ atau ‘berpecah’.
Ini kerana kaum purba Arab akan berpecah untuk mencari untuk mencari sumber air di padang pasir bagi ketibaan bulan yang seterusnya (bulan Ramadan ialah bulan yang panas).
Rasulullah SAW telah banyak menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Sabda Nabi SAW:
Bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezekinya.
Antara lain sabdanya lagi:
Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat. (Al-Hadis).
Bagi memperoleh Ramadan yang cemerlang, persediaan dalam Bulan Syaaban cukup penting, ibarat pecutan terakhir dalam pertandingan lumba lari.
Insya-Allah, sekiranya amalan dalam bulan Syaaban dijalankan dengan ikhlas dan konsisten, Allah SWT tidak sekali-kali membiarkan Ramadan kita berlalu sia-sia.
Syaaban, walaupun kedudukannya begitu hampir dengan Ramadan, ramai yang tidak begitu menitikberatkan amal kebajikan dalam bulan ini.
Bukan bermaksud wajib beramal pada bulan Syaaban, tetapi bagi mereka yang mengetahui kepentingan Ramadan, sudah tentu amalan pada Bulan Syaaban diusahakan sebaik mungkin.
Maksud Puasa Sunat Syaaban

Puasa Sunat Syaaban adalah satu puasa sunat yang dilakukan pada Bulan Syaaban.
Puasa sunat ini adalah ibadat yang cukup ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW. Ini dapat dilihat menerusi kesungguhan Baginda menghidupkan siang hari dengan berpuasa sunat.
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah RHA yang menceritakan:
Nabi Muhammad SAW tidak (pernah) berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada (puasanya dalam) bulan Syaaban. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah berpuasa sepanjang bulan Syaaban.”
(Riwayat al-Bukhari)
Niat Puasa Sunat Syaaban

Nawaitu Shauma Ghadin ‘An Adaa’i Sunnati Sya’bana Lillaahi Ta’Aala
Bagi memudahkan, memadai berniat dalam hati seperti ini:
Sahaja aku berpuasa sunat Syaaban esok hari kerana Allah Taala
Nota
Tiada lafaz nat yang khusus bagi puasa pada bulan Syaaban.
Seseorang itu dikira berniat apabila terdetik hasrat melakukan satu perbuatan ataupun ibadat.
Bagi sesetengah individu, melafazkan niat membantu menghadirkan atau menegaskan niat yang ada dalam hati mereka.
Larangan Berpuasa Setelah Nisfu Syaaban

Daripada hadis Nabi yang sudah ditunjukkan, secara umumnya, kita boleh mengamalkan puasa sunat ini sepanjang Bulan Syaaban.
Namun, ada hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Apabila berbaki separuh daripada bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.”
(Riwayat at-Tirmizi)
Hadis di atas menyatakan larangan berpuasa selepas 15 Syaaban.
Namun terdapat pengecualian bagi:
- Mereka yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum 16 Syaaban dan disyaratkan berterusan hingga penghujung Syaaban.
- Mereka yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti PUASA SUNAT ISNIN KHAMIS
- Mereka yang mempunyai sebab seperti Puasa Qadha, Puasa Nazar dan Puasa Kafarah.
Antara hikmah larangan berpuasa sunat selepas pertengahan Syaaban adalah sebagai langkah berjaga-jaga.
Ini disebabkan bulan Ramadan sudah menghampiri, dan kita mahu mengelakkan berlaku penambahan ataupun berlebih-lebihan dalam ibadat Ramadan.
Malam Istimewa Nisfu Syaaban

Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu Malam Nisfu Syaaban.
Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah RA daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:
Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.”
(Riwayat Ibn Majah).
Kelebihan Puasa Sunat Bulan Syaaban

Antara kelebihan-kelebihan melakukan puasa sunat Syaaban adalah seperti berikut:
- Melihatkan kesungguhan Nabi Muhammad SAW berpuasa dalam bulan Syaaban, sebahagian ahli ilmu mengatakan Syaaban adalah bulan terbaik berbanding bulan-bulan lain.
- Puasa pada bulan Syaaban adalah sangat dituntut. Nabi Muhammad SAW sendiri banyak berpuasa sunat dalam bulan Syaaban.
- Dalam bab hikmah puasa Syaaban, Ibnu Rajab mengatakan, ramai manusia menitikberatkan bulan Rejab dan Ramadan tetapi melupakan bulan Syaaban. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “la adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya,” menunjukkan bahawa dalam bulan Syaaban juga terdapat keistimewaan dan keutamaan. Maka tidak sepatutnya dipinggirkan.
- Antara keistimewaan lain bulan Saaban adalah amalan kita diangkat kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “la adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa.”
- Ibnu Rajab menambah lagi, Syaaban adalah bulan tamrin atau latihan menuju Ramadan. Latihan dalam Syaaban bertujuan mengelakkan kita berasa sempit dan berat dalam Ramadan.
Selain itu, banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini.
Antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH yang bermaksud:
Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.”
(Riwayat al –Bukhari)
Nabi Muhammad SAW ditanya oleh Usamah bin Zaid mengapa Rasulullah SAW melebihkan berpuasa pada Syaaban.
Baginda SAW menjawab dengan sabdanya:
Bahawa Syaaban ialah bulan yang selalu diabaikan oleh manusia, sedangkan pada Syaaban semua amalan manusia diangkat ke hadrat Allah. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sewaktu aku dalam keadaan berpuasa.”
(Hadis Riwayat oleh An-Nasa’i dan Ahmad)
Soal Jawab Lazim Puasa Sunat Syaaban
Puasa Sunat Syaaban adalah merupakan antara puasa sunat yang paling banyak dilakukan oleh Nabi SAW. Allah menjanjikan keampunan kepada mereka yang berpuasa dalam bulan ini.
Terdapat larangan berpuasa sunat selepas 15 Syaaban. Namun diberi pengecualian kepada beberapa golongan, iaitu:
— Mereka yang melazimi Puasa Isnin Khamis
— Mereka yang berpuasa kerana ada sebab seperti Puasa Qadha, Puasa Nazar dan Puasa Kafarah
Persediaan Menyambut Ramadan Yang Akan Datang

Kesimpulannya ayuh kita semua rebut peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT.
Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menebus segala dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu.
Yakinlah bahawa manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa.
Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT.
Selain itu kita semua sepatutnya menjadikan Bulan Syaaban ini sebagai suatu pentas untuk menghadapi Ramadan yang bakal menjelang.
Kecemerlangan dalam Ramadan bukan sesuatu yang dapat dicapai sekelip mata.
Ibarat roda yang kuat berputar, tidak mudah menghentikan dan menukar arah gerakannya. Begitu juga nafsu kita.
Selepas setahun membiarkan ia meliar dan bermaharajalela, bukan mudah kita menukar arahnya apabila tiba Ramadan. Maka usaha dan persediaan menghadapi Ramadan perlu dijalankan sejak sebelum Ramadan.
Para salafus soleh amat menitikberatkan perkara ini.
Bagi mereka, bulan Rejab ibarat proses menanam benih, Syaaban adalah masa membaja benih, dan bulan Ramadan pula masa menuai hasil tanaman yang banyak. Itulah yang kita idamkan.
Moga Ramadan akan datang adalah Ramadan terbaik dalam hidup kita, dan ia bermula dengan Syaaban yang cemerlang!
salam ustaz maksudnya harini ke puasa nisfu syaban tu , 9hb hari khamis? dan digalakkan ke ustaz untuk berpuasa selama 3 hari berturut turut
Wassalam,
Mengikut kalendar islam, 13 14 15 syaaban yang digalakkan puasa. Dan hari ni adalah 15 syaaban (9hb)
puasa sunat sya ban eajib 3 hari saja atau berturut sampai bulan puasa ?
puasa sunat sya ban wajib 3 hari ke ? mohoj pencerahan ?
Tidak wajib.
Tetapi digalakkan sekurang-kurangnya 3 hari.
Terima kasih , jika saya ingin menyakan soalan2 agama dan sembayang boleh ?
Boleh.
Tanya sahaja.
Saya akan bantu berkaitan dengan fardu ain.
Assalamualaikum, kalau nk puasa sunat sya’ban,kena 3hari sebelum bulan syaban tiba ka?
Wassalam,
Tidak, semasa bulan syaaban
Adakah boleh sehari je puasa bln shaaban Iaitu Ari khamis shj..pencerahan ..tuan
Tidak, tuan boleh berpuasa sepanjang bulan ini.
Apa niat buka puasa sunat syaaban?
Boleh sahaja baca doa buka puasa seperti biasa.
Tuan boleh rujuk disini: https://akuislam.com/blog/ibadah/doa-buka-puasa/
Assalamualaikum ya sheikh , boleh kah jikalau saya berniat “sahaja aku puasa qada,puasa sunat hari putih,puasa sunat hari kamis dan puasa syaaban kerana ALLAH TAAALA”
(Untuk tarikh 09/april/2020)
Wassalam,
Boleh. Tiada masalah untuk menggabungkan puasa.
Bagaimana kalau kita niat pada hari tersebut
Jika tuan terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah.
Asalkan tuan sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa
Apakah ada gabungan niat puasa syaaban puasa putih dan puasa sunat isnin kamis klu berpuasa serentak
Tidak perlu gabung niat.
Berniatlah dengan mana-mana lafaz niat puasa.
Guna niat puasa syaaban boleh, guna niat ayyamal bidh (puasa hari putih) pun boleh.
Boleh kah saya buat sunat Syaaban pada hari putih kemudian baru buat qada Ramadan?
@Fiza
Boleh. Tiada masalah.
“Siapa yang berpuasa tiga hari di bulan Syaaban…” adakah bermaksud, tidak kisah berpuasa pada hari apa asalkan di bulan Syaaban??
Wassalam,
Iya, mana-mana hari dalam bulan tersebut.
Tetapi yang afdalnya pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah.
Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi cahaya bulan menerangi. Itu pasal nama ‘Hari Putih’
Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas” (Riwayat Tirmizi)
Yang lebih elok, berpuasalah sebanyak mungkin dalam bulan ini kerana Nabi SAW banyak berpuasa dalam bulan Syaaban.
Terima kasih atas penerangan
Sama-sama :-)
Artikel ini sangat membantu?
Alhamdulillah ?