Koleksi Tazkiyah · Pesanan Buat Hati

Koleksi Tazkiyah · Siri 01

مَعْرِفَةُ الْقَلْبِ

Kenapa Hidup Kadang-Kadang Terasa Kosong?

Muhamad NaimDikemas kini 19 Oktober 2026

Kita jaga badan dan telefon. Tapi satu benda ini selalu terlepas.

Oleh Muhamad Naim Abd Manaf · Asal diterbitkan melalui newsletter pada 06/07/2026. Disunting untuk bacaan web.

Assalamualaikum,

Selamat datang ke Tazkiyah — Pada setiap minggu saya akan menghantar satu emel yang dinamakan tazkiyah ini dengan tujuan untuk berkongsi ilmu dan nasihat yang bermanfaat buat kita semua.

Pernahkah anda perasan betapa banyak masa kita habiskan untuk menjaga benda yang nampak?

Kita ke gym supaya badan cergas. Kita jaga pemakanan, kira kalori, ambil suplemen. Telefon pun kita servis — bersihkan storan, update aplikasi, tukar bateri bila ia mula lemah.

Tapi cuba tanya diri sejenak: bila kali terakhir kita ‘menyapa’ dan ‘menyervis’ hati sendiri?

Hati (qalb) yang menentukan sama ada kita rasa tenang atau resah, jujur atau menipu, dekat dengan Tuhan atau jauh daripada-Nya.

Rasulullah SAW pernah menyebut tentang seketul daging ini:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Alā wa inna fil-jasadi muḍghatan, idhā ṣalaḥat ṣalaḥal-jasadu kulluh, wa idhā fasadat fasadal-jasadu kulluh. Alā wa hiyal-qalb.

“Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh tubuh. Dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, itulah hati.”

— Sebahagian daripada hadith Nu’man bin Basyir RA. Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Perhatikan susunan kata Baginda yang sangat indah.

Baginda tidak menunjuk kepada otak yang merancang, atau tangan yang rajin bekerja. Sebaliknya, Baginda terus menunjuk kepada hati sebagai ‘nakhoda’ yang menentukan baik buruknya pelayaran hidup kita.

Namun, cuba kita cerminkan diri sejenak sejurus membaca hadis ini.

Kadangkala, apabila kita berasa malas dan berat untuk beribadah, kita sangka masalahnya berpunca daripada jadual kerja yang terlalu sibuk.

Apabila kita cepat melenting, kita salahkan keadaan sekeliling. Bila kita rasa hambar membaca al-Quran, kita fikir mungkin kita penat.

Kita sibuk merawat gejala, sedangkan punca sebenarnya selalu berada di tempat yang sama, iaitu hati yang mungkin sudah lama tidak diberi perhatian.

Hadith ini datang selepas Baginda berbicara tentang perkara yang jelas halal dan haram, dan kawasan kelabu di antara keduanya.

Seolah-olah Baginda mahu beritahu kita: dalam dunia yang penuh dengan perkara samar-samar inilah, hati yang sihat menjadi pedoman. Hati yang bersih tahu bila untuk berhenti, walaupun akal mula pandai mencari alasan.

Namun, realiti kita hari ini… Dunia sekeliling seolah-olah direka untuk menyibukkan kita sehingga hati perlahan-lahan menjadi ‘kebas’.

Skrin yang tak putus-putus, kerja yang tak pernah habis, kebisingan yang kita biarkan masuk sepanjang hari.

Lama-kelamaan, hati yang sepatutnya lembut akan menjadi keras. Yang sepatutnya terganggu dengan dosa, mula rasa biasa.

Oleh itu, untuk minggu ini, kita tidak perlu meletakkan sasaran yang terlalu berat sehingga memenatkan diri. Kita tidak bercakap tentang amalan yang luar biasa hebat.

Sebaliknya, mari kita mulakan dengan tiga langkah kecil di bawah ini, sebagai usaha pertama untuk ‘mengejutkan’ semula hati kita yang sedang lena diulit kesibukan dunia:

Latihan Muhasabah

Langkah Kecil Memujuk Hati

Latihan muhasabah di bawah ialah cadangan praktikal. Tempoh dan bilangannya bukan ketetapan ibadah atau jaminan ganjaran khusus.

Luangkan Dua Minit Sebelum Tidur

Setiap malam minggu ini, tanya satu soalan ringkas: hari ini, hati aku menarik aku lebih dekat kepada Allah, atau menjauh? Jangan hukum diri, tetapi cukup sekadar perasan dan akui keadaannya. Kesedaran itu sendiri sudah satu permulaan rawatan.

Raikan Tanda Hati Yang Masih Hidup.

Bila kita tersilap melakukan sesuatu, kemudian timbul rasa tidak sedap hati — itu bukan kelemahan. Itu rahmat. Itu tanda hati kita belum mati. Jangan matikan rasa itu dengan alasan. Raikan ia, sebab itulah suara hati yang masih sihat.

Pilih Satu Amalan Kecil Dan Amalkan Minggu Ini

Pilih satu perkara mudah sahaja untuk minggu ini. Contohnya beristighfar sepuluh kali setiap kali selepas solat. Kecil tetapi berterusan, jauh lebih bermakna daripada besar tetapi sekali sahaja. Anggap ia sebagai ‘servis’ pertama buat hati yang sudah lama tertangguh.

Kita tidak mampu membetulkan segala-galanya dalam satu minggu. Tapi kita mampu mula dengan satu pengakuan yang jujur: hati ini perlukan perhatian, sama seperti tubuh dan segala yang lain yang kita jaga.

Itu sendiri sudah satu langkah pulang yang sangat bermakna.

Dalam siri seterusnya, kita akan berbincang tentang sifat hati yang paling mencabar untuk difahami — kenapa ia tidak pernah duduk diam, dan boleh berubah dalam sekelip mata.

Jika tulisan ini bermanfaat, kongsikan kepada seorang ahli keluarga atau sahabat yang anda mahu ajak sama-sama menjaga hati.

Nota Penutup

Sekian sahaja perkongsian saya dalam tazkiyah siri ini.

Semoga memberi manfaat kepada anda. Ribuan terima kasih diucapkan atas masa dan perhatian yang anda luangkan.

اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَاجْعَلْ عِلْمَنَا هُدًى وَرَحْمَةً وَاغْفِرْ لَنَا زَلَّاتِنَا وَخَطَايَانَا

Allāhumma-nfa‘nā bimā ‘allamtanā, wa ‘allimnā mā yanfa‘unā, wa zidnā ‘ilman, waj‘al ‘ilmanā hudan wa raḥmatan, waghfir lanā zallātinā wa khaṭāyānā.

“Ya Allah, manfaatkanlah kami dengan apa yang Engkau ajarkan kepada kami, ajarkanlah kami apa yang bermanfaat bagi kami, tambahkanlah kami ilmu, jadikanlah ilmu kami petunjuk dan rahmat, serta ampunilah kesalahan dan dosa-dosa kami.”

Doa penutup ini ialah doa umum yang disusun. Keseluruhan rangkaian lafaz ini tidak dinisbahkan sebagai satu hadis.

Semoga bertemu lagi,

Muhamad Naim Abd Manaf

Rujukan

Panduan bacaan Rumi: sy mewakili ش, th mewakili ث, dan dh mewakili ذ; ā, ī dan ū menandakan vokal panjang. Hentian ditunjukkan pada beberapa hujung frasa. Bacaan Rumi hanyalah bantuan; utamakan teks Arab.

Ingin menerima siri seterusnya terus ke peti emel? Langgan newsletter Tazkiyah.

KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.