Di sebalik setiap peristiwa besar dalam sirah, ada rumah sederhana tempat Rasulullah SAW pulang berehat, berbincang dan menerima wahyu. Rumah itu dihuni oleh wanita-wanita mulia yang Allah gelarkan sebagai ibu kepada orang beriman.
Mereka dikenali sebagai Ummahatul Mukminin, sebelas isteri Rasulullah SAW yang kisahnya dirakam dalam al-Quran dan hadis sahih. Setiap seorang membawa warna tersendiri, daripada kesetiaan dan ilmu hingga kesabaran dan kemurahan hati.
Panduan ini menghimpunkan nama, urutan perkahwinan, kisah ringkas dan pengajaran daripada kehidupan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Ia turut menunjukkan jejak mereka di Madinah dan Makkah, supaya nama yang sering didengar terasa lebih dekat apabila tiba di Tanah Suci, InsyaAllah.
Disemak pada 25 Oktober 2026 · Rujukan utama ialah Surah al-Ahzab, Surah al-Nur, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidzi, al-Sirah al-Nabawiyyah Ibn Hisyam dan Saudipedia.
Nota AkuIslam
Panduan ini memberi tumpuan kepada kehidupan sebelas Ummahatul Mukminin berdasarkan al-Quran dan hadis sahih. Kisah yang hanya terdapat dalam kitab sirah dinyatakan sumbernya, manakala tarikh yang diperselisihkan ditulis sebagai kiraan lazim.
Gambar dirakam oleh kru AkuIslam ketika menyertai rombongan umrah MK Haramain di Madinah. Panduan lanjut tentang tapak ziarah boleh dibaca dalam artikel khusus tapak yang dipautkan di setiap bahagian.
Rumah Rasulullah SAW kecil binaannya, tetapi besar ilmunya untuk umat.
Isteri-Isteri Nabi Muhammad SAW Dalam Sekilas Pandang
Sebelas wanita yang menjadi isteri Rasulullah SAW dan dimuliakan dengan gelaran ibu orang beriman.
Rasulullah SAW mempunyai sebelas isteri yang lazim disenaraikan dalam kitab sirah sebagai Ummahatul Mukminin. Dua daripada mereka wafat ketika Baginda masih hidup, iaitu Khadijah RA dan Zainab binti Khuzaimah RA.
Sembilan yang lain masih hidup ketika Rasulullah SAW wafat, sebagaimana riwayat Anas bin Malik RA dalam Sahih al-Bukhari, no. 5068. Mereka tidak dikahwini serentak, sebaliknya dalam tempoh yang panjang dan dalam keadaan yang berbeza.
Sepanjang 25 tahun bersama Khadijah RA, Baginda tidak berkahwin dengan wanita lain. Perkahwinan selepas itu kebanyakannya berlaku di Madinah, seiring perkembangan dakwah selepas hijrah Rasulullah SAW.
- Tarikh masyhur
- 15 tahun sebelum kenabian hingga tahun 7 Hijrah
- Tahun Masihi
- Sekitar 595 hingga 629 Masihi mengikut kiraan lazim
- Maksud gelaran
- Ibu-ibu orang beriman
- Dalil gelaran
- Surah al-Ahzab, ayat 6
- Jumlah isteri
- 11 orang dalam senarai utama sirah
- Wafat sebelum Baginda
- 2 orang, Khadijah dan Zainab binti Khuzaimah
- Ketika Baginda wafat
- 9 orang masih hidup
- Isteri pertama
- Khadijah binti Khuwailid RA
- Isteri terakhir dikahwini
- Maimunah binti al-Harith RA
- Tempat bersemadi
- Baqi 9 orang, al-Ma‘la 1 orang, Sarif 1 orang
Maksud Ummahatul Mukminin Dan Kedudukannya
Gelaran ini datang terus daripada al-Quran sebagai tanda kemuliaan dan penghormatan.
Ummahatul Mukminin bermaksud ibu-ibu orang beriman. Allah SWT menyebut gelaran ini dalam ayat yang sama yang menegaskan kedudukan Rasulullah SAW di sisi orang beriman.
النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ
“Nabi itu lebih utama bagi orang beriman berbanding diri mereka sendiri, dan isteri-isterinya ialah ibu-ibu mereka.”
Surah al-Ahzab, ayat 6.
Gelaran ini tidak menjadikan mereka ibu dari sudut nasab atau warisan. Ia berkaitan dengan kewajipan menghormati mereka serta larangan mengahwini mereka selepas kewafatan Rasulullah SAW, sebagaimana Surah al-Ahzab ayat 53.
Bersama kemuliaan itu datang tanggungjawab yang lebih berat. Ketiga-tiga sudut di bawah membantu memahami kedudukan mereka dengan seimbang.
Senarai Nama 11 Isteri Rasulullah SAW Mengikut Urutan
Susunan ini mengikut urutan perkahwinan yang lazim dalam kitab sirah, dari Makkah hingga tahun ketujuh Hijrah.
Tarikh sebahagian perkahwinan diperselisihkan dalam kalangan ahli sejarah, terutama bagi tempoh di Madinah. Oleh itu, tahun di bawah ditulis mengikut kiraan yang paling lazim tanpa menafikan pandangan lain.
- 15 tahun sebelum kenabian1. Khadijah binti Khuwailid RA, isteri pertama dan satu-satunya isteri Baginda selama 25 tahun.Sahih Muslim, no. 2436
- Selepas kewafatan Khadijah2. Saudah binti Zam‘ah RA, dinikahi di Makkah sebelum hijrah.Ibn Hisyam
- Syawal, selepas hijrah3. Aisyah binti Abu Bakar RA, mula tinggal bersama Baginda di Madinah.Sahih Muslim, no. 1423
- Tahun 3 Hijrah4. Hafsah binti Umar RA, selepas suaminya Khunais bin Huzafah RA wafat.Sahih al-Bukhari, no. 4005
- Tahun 3 atau 4 Hijrah5. Zainab binti Khuzaimah RA, Ummul Masakin, wafat tidak lama selepas itu.Ibn Hisyam
- Tahun 4 Hijrah6. Ummu Salamah Hind binti Abu Umayyah RA, selepas kewafatan Abu Salamah RA.Sahih Muslim, no. 918
- Tahun 5 Hijrah7. Zainab binti Jahsy RA, perkahwinan yang disebut dalam Surah al-Ahzab ayat 37.Sahih al-Bukhari, no. 7420
- Tahun 5 atau 6 Hijrah8. Juwairiyah binti al-Harith RA, selepas peristiwa Bani Mustaliq.Sunan Abu Dawud, no. 3931
- Tahun 6 atau 7 Hijrah9. Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan RA, dinikahkan ketika beliau di Habsyah.Sunan Abu Dawud, no. 2107
- Tahun 7 Hijrah10. Safiyyah binti Huyayy RA, selepas Perang Khaibar.Sahih al-Bukhari, no. 371
- Tahun 7 Hijrah11. Maimunah binti al-Harith RA, isteri terakhir yang dikahwini Baginda, di Sarif.Sahih Muslim, no. 1411 dan Sunan al-Tirmidzi, no. 845
Nota Sirah
Mariyah al-Qibtiyyah RA ialah ibu kepada Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Dalam pengelasan ulama sirah, beliau tidak dimasukkan dalam senarai sebelas Ummahatul Mukminin.
Raihanah binti Zaid pula disebut dalam sebahagian kitab sirah dengan riwayat yang berbeza tentang statusnya. Kerana itu, panduan ini tidak memasukkannya dalam senarai utama.
Saidatina Khadijah RA, Isteri Pertama Dan Penenang Baginda
Insan pertama yang menenangkan Baginda ketika wahyu turun, dan yang pertama beriman kepadanya.
Khadijah binti Khuwailid RA ialah wanita Quraisy yang terhormat dan berjaya menguruskan perniagaan. Rasulullah SAW berkahwin dengannya kira-kira 15 tahun sebelum kenabian, dan beliau menjadi ibu kepada semua anak Baginda kecuali Ibrahim.
Apabila Baginda pulang dari Gua Hira dalam keadaan gementar selepas wahyu pertama, Khadijah RA menyelimuti dan menenangkannya. Kata-kata beliau dirakam dalam hadis pertama Sahih al-Bukhari tentang permulaan wahyu.
كَلاَّ وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ
“Tidak sekali-kali. Demi Allah, Allah tidak akan menghinakanmu selama-lamanya. Sesungguhnya engkau menyambung silaturahim, menanggung orang yang lemah, membantu orang yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang ditimpa musibah.”
Kata-kata Khadijah RA. Riwayat al-Bukhari, no. 3.
Beliau kemudian membawa Baginda bertemu sepupunya, Waraqah bin Naufal. Sokongan ini hadir pada saat paling awal dan paling sukar dalam perjalanan kenabian.
Salam Daripada Allah Dan Jibril
Abu Hurairah RA meriwayatkan Jibril AS datang memberitahu bahawa Khadijah RA sedang membawa makanan untuk Baginda. Jibril meminta Baginda menyampaikan salam daripada Allah dan daripadanya, serta khabar gembira sebuah rumah di syurga, seperti dalam Sahih al-Bukhari, no. 3820.
Khadijah RA wafat di Makkah tiga tahun sebelum hijrah, menurut riwayat dalam Sahih al-Bukhari, no. 3896. Kehilangan ini, bersama kewafatan Abu Talib, dikenang sebagai Tahun Kesedihan.
Kisah penuh tempoh itu boleh dibaca dalam Tahun Kesedihan. Khadijah RA disemadikan di Makam Ma‘la, di lereng Bukit al-Hajun, Makkah.
Saidatina Saudah Dan Aisyah RA, Dari Makkah Ke Madinah
Dua isteri yang menemani Baginda ketika rumah tangga berpindah dari Makkah ke Madinah.
Saudah Binti Zam‘ah RA, Hati Yang Lapang
Saudah RA antara wanita terawal memeluk Islam dan pernah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Selepas suaminya wafat dan Khadijah RA meninggal dunia, Rasulullah SAW menikahinya di Makkah.
Beliau dikenang kerana hatinya yang lapang dan mengutamakan keharmonian rumah tangga. Aisyah RA meriwayatkan Saudah RA menghadiahkan giliran harinya kepada Aisyah, seperti dalam Sahih al-Bukhari, no. 5212.
Aisyah Binti Abu Bakar RA, Guru Kepada Umat
Aisyah RA ialah puteri Abu Bakar al-Siddiq RA, sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW. Menurut riwayat beliau sendiri dalam Sahih Muslim, no. 1423, perkahwinannya dengan Baginda berlangsung dalam bulan Syawal.
فَضْلُ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ
“Kelebihan Aisyah berbanding wanita lain seperti kelebihan tharid berbanding makanan yang lain.”
Sabda Rasulullah SAW. Riwayat al-Bukhari, no. 3770.
Beliau pernah diuji dengan fitnah yang tersebar dalam masyarakat, lalu Allah menurunkan Surah al-Nur ayat 11 hingga 20 untuk membersihkan namanya. Kisah ini diperincikan dalam Peristiwa Bani Mustaliq.
Rasulullah SAW wafat di rumah Aisyah RA, pada hari gilirannya dan di pangkuannya, seperti riwayat Sahih al-Bukhari, no. 4450. Bilik itu kini berada di bawah Kubah Hijau dalam kawasan Masjid Nabawi.

Aisyah RA sendiri disemadikan di Perkuburan Baqi selepas wafat pada zaman Muawiyah RA. Senarai tokoh lain yang bersemadi di situ boleh dibaca dalam Perkuburan Baqi Madinah.
Hafsah, Zainab Binti Khuzaimah Dan Ummu Salamah RA
Tiga isteri yang hadir selepas Badar dan Uhud, ketika ramai keluarga Muslim kehilangan ketua rumah.
Hafsah Binti Umar RA, Penjaga Suhuf Al-Quran
Hafsah RA ialah puteri Umar bin al-Khattab RA dan balu kepada Khunais bin Huzafah RA, ahli Badar yang wafat di Madinah. Sahih al-Bukhari, no. 4005, merakamkan bagaimana Umar RA mencarikan suami untuknya sebelum Rasulullah SAW sendiri meminangnya.
Suhuf al-Quran yang dihimpunkan pada zaman Abu Bakar RA kemudian disimpan oleh Hafsah RA. Pada zaman Uthman RA, suhuf inilah yang dirujuk untuk menyalin mushaf, seperti dalam Sahih al-Bukhari, no. 4986.
Zainab Binti Khuzaimah RA, Ibu Orang Miskin
Zainab binti Khuzaimah RA dikenali dengan gelaran Ummul Masakin kerana kasihnya kepada orang miskin. Gelaran ini dicatat oleh Ibn Hisyam dalam bab isteri-isteri Rasulullah SAW.
Beliau berkahwin dengan Baginda sekitar tahun 3 atau 4 Hijrah, namun wafat hanya beberapa bulan kemudian. Beliau ialah isteri kedua yang meninggal dunia ketika Rasulullah SAW masih hidup, dan disemadikan di Baqi.
Ummu Salamah RA, Doa Yang Dimakbulkan
Nama sebenar Ummu Salamah RA ialah Hind binti Abu Umayyah. Beliau dan suaminya Abu Salamah RA antara yang berhijrah ke Habsyah dan kemudian ke Madinah.
Ketika Abu Salamah RA wafat, beliau membaca doa yang diajar Rasulullah SAW walaupun hatinya bertanya siapakah yang lebih baik daripada suaminya. Allah menggantikannya dengan Rasulullah SAW sendiri.
اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
“Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya.”
Doa yang dibaca Ummu Salamah RA. Riwayat Muslim, no. 918.
Kebijaksanaannya terserlah selepas Perjanjian Hudaibiyah, apabila para sahabat berat untuk bertahallul. Beliau mencadangkan Baginda keluar menyembelih dan bercukur tanpa berkata apa-apa, lalu para sahabat segera mengikutinya, seperti dalam Sahih al-Bukhari, no. 2731 dan 2732.
Zainab Binti Jahsy, Juwairiyah Dan Ummu Habibah RA
Tiga isteri yang kisahnya membawa hukum baharu, membuka hati sebuah kabilah dan menguji keteguhan iman.
Zainab Binti Jahsy RA, Dinikahkan Dari Atas Langit
Zainab binti Jahsy RA ialah sepupu Rasulullah SAW dan pernah berkahwin dengan Zaid bin Harithah RA, bekas anak angkat Baginda. Selepas perkahwinan itu berakhir, Allah sendiri menikahkannya dengan Rasulullah SAW untuk menghapuskan adat yang menyamakan anak angkat dengan anak kandung.
فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا
“Maka apabila Zaid telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya, Kami kahwinkan engkau dengannya.”
Surah al-Ahzab, ayat 37.
Kerana itu, beliau berbangga bahawa dirinya dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh langit, seperti riwayat Sahih al-Bukhari, no. 7420. Beliau juga isteri yang paling banyak bersedekah dengan hasil tangannya sendiri, dan yang pertama menyusul Baginda selepas wafat, menurut Sahih Muslim, no. 2452.
Juwairiyah Binti Al-Harith RA, Rahmat Untuk Kaumnya
Juwairiyah RA ialah puteri al-Harith bin Abi Dirar, pemimpin Bani Mustaliq. Selepas peristiwa Bani Mustaliq, Rasulullah SAW melunaskan urusan kebebasannya lalu menikahinya.
Apabila para sahabat mendengar berita itu, mereka membebaskan tawanan Bani Mustaliq kerana kini mereka keluarga mertua Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata beliau tidak mengetahui wanita yang lebih besar keberkatannya kepada kaumnya, seperti dalam Sunan Abu Dawud, no. 3931.
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
“Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, sebanyak bilangan makhluk-Nya, seredha diri-Nya, seberat Arasy-Nya dan sebanyak tinta kalimah-Nya.”
Zikir yang diajar Rasulullah SAW kepada Juwairiyah RA. Riwayat Muslim, no. 2726.
Ummu Habibah RA, Teguh Di Negeri Asing
Ummu Habibah Ramlah RA ialah puteri Abu Sufyan, pemimpin Quraisy yang lama menentang Islam sebelum memeluknya ketika pembukaan Makkah. Beliau berhijrah ke Habsyah dan kekal teguh dengan Islam walaupun berada jauh dari keluarga.
Rasulullah SAW menikahinya ketika beliau masih di Habsyah, dan Raja al-Najasyi menguruskan akad serta membayar maharnya bagi pihak Baginda. Kisah ini diriwayatkan dalam Sunan Abu Dawud, no. 2107.
Safiyyah Dan Maimunah RA, Dua Isteri Terakhir
Dua isteri terakhir, seorang dari Khaibar dan seorang dinikahi dalam perjalanan umrah.
Safiyyah Binti Huyayy RA, Keturunan Nabi Harun
Safiyyah RA ialah puteri Huyayy bin Akhtab, pemimpin Bani Nadhir. Selepas Perang Khaibar, Rasulullah SAW memerdekakannya dan menjadikan kemerdekaan itu sebagai maharnya, seperti dalam Sahih al-Bukhari, no. 371.
Apabila beliau bersedih kerana disindir tentang keturunannya, Baginda memujuknya dengan kata-kata yang memuliakan. Engkau puteri seorang nabi, bapa saudaramu seorang nabi dan engkau isteri seorang nabi, sabda Baginda dalam Sunan al-Tirmidzi, no. 3894.
Maimunah Binti Al-Harith RA, Bermula Dan Berakhir Di Sarif
Maimunah RA ialah isteri terakhir yang dinikahi Rasulullah SAW, ketika Baginda menunaikan Umrah al-Qada pada tahun 7 Hijrah. Beliau juga ibu saudara kepada Abdullah bin Abbas RA dan Khalid bin al-Walid RA.
Perkahwinan itu berlangsung di Sarif, dan di tempat yang sama beliau wafat bertahun-tahun kemudian, seperti dalam Sunan al-Tirmidzi, no. 845. Ibn Abbas RA mengiringi jenazahnya di Sarif dan berpesan supaya ia diangkat dengan lembut, seperti riwayat Sahih al-Bukhari, no. 5067.
Hubungan Ummahatul Mukminin Dengan Para Sahabat
Perkahwinan Baginda mengikat hubungan dengan sahabat terdekat, kabilah besar dan bekas musuh.
Sebahagian Ummahatul Mukminin ialah puteri kepada tokoh yang sangat berpengaruh dalam sejarah Islam. Hubungan ini memperlihatkan bagaimana rumah tangga Rasulullah SAW berkait rapat dengan masyarakat di sekeliling Baginda.
Kisah para bapa dan kerabat mereka boleh dibaca dalam Khulafa al-Rasyidin dan Sahabat Rasulullah SAW. Garis masa kehidupan Baginda pula dihimpunkan dalam Kronologi Hidup Rasulullah SAW.
Warisan Ilmu Ummahatul Mukminin Untuk Umat
Banyak sunnah di dalam rumah Baginda sampai kepada kita melalui riwayat isteri-isterinya.
Para sahabat menyaksikan Rasulullah SAW di masjid, di medan dan di pasar. Namun cara Baginda beribadah di malam hari, bersuci dan melayan keluarga banyak diketahui melalui Ummahatul Mukminin.
Selepas kewafatan Baginda, rumah mereka di sisi Masjid Nabawi menjadi tempat sahabat dan tabiin bertanya. Aisyah RA dan Ummu Salamah RA antara yang paling banyak menyampaikan riwayat.
Enam Pengajaran Daripada Kehidupan Ummahatul Mukminin
Kehidupan mereka bukan sekadar sejarah keluarga, tetapi sekolah akhlak untuk setiap rumah.
Setiap pengajaran di bawah berpaut pada peristiwa yang dirakam al-Quran dan hadis sahih. Ia boleh dibawa pulang oleh suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak.
Pengajaran ini terasa lebih dekat apabila berdiri di hadapan Kubah Hijau atau di tepi pagar Baqi. Di situlah rumah dan tempat bersemadi mereka, hanya beberapa langkah dari tempat kita solat.
Jejak Ummahatul Mukminin Di Madinah Dan Makkah
Empat tapak utama menyimpan jejak Ummahatul Mukminin, tiga di Madinah dan Makkah serta satu di luar kota Makkah.
Bilik-bilik kediaman isteri Nabi dahulu terletak di sisi timur masjid dan kini termasuk dalam bangunan Masjid Nabawi selepas beberapa fasa perluasan. Tempat bersemadi mereka pula tersebar di tiga lokasi berbeza.

Sembilan isteri Baginda bersemadi di Baqi, iaitu Saudah, Aisyah, Hafsah, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah, Zainab binti Jahsy, Juwairiyah, Ummu Habibah dan Safiyyah RA. Panduan lengkap tapak ini ada dalam Makam Baqi Madinah.

Khadijah RA pula bersemadi di Makkah. Tokoh lain di tanah perkuburan yang sama dihimpunkan dalam Perkuburan Al-Ma‘la Mekah.
Renungan Di Tapak
Selepas melihat tapak-tapak ini, luangkan sedikit masa untuk berdoa dan merenung. Tiga renungan ringkas di bawah boleh menemani ziarah anda.
Merancang Ziarah Jejak Ummahatul Mukminin
Dua tapak di Madinah boleh dicapai dengan berjalan kaki, manakala tapak di Makkah memerlukan sedikit perancangan.
Kawasan Kubah Hijau dan Baqi terletak bersebelahan dengan dataran Masjid Nabawi. Al-Ma‘la boleh dicapai dari Masjidil Haram, manakala Sarif berada di luar kota dan biasanya memerlukan kenderaan.
- 1Solat SubuhDi Masjid Nabawi bersama jemaahAwal pagi
- 2Perkuburan BaqiSalam dan doa untuk ahli Baqi20 minit
- 3Dataran timurMerenung Kubah Hijau dari luar10 minit
- 4Salam kepada BagindaIkut laluan dan arahan petugasIkut giliran
- 5RaudhahJika ada slot tempahan NusukIkut slot
Waktu lawatan Baqi bagi lelaki biasanya selepas Subuh atau selepas Asar, namun pelaksanaannya boleh berubah. Tempahan Raudhah pula dibuat melalui aplikasi Nusuk, seperti dalam panduan Masuk Raudhah.

Jemaah Wanita
Jemaah wanita lazimnya tidak masuk ke dalam kawasan Baqi dan al-Ma‘la. Salam dan doa boleh dibaca dari luar pagar, dan pahalanya tidak berkurang kerana jarak.
Kisah Ummahatul Mukminin sangat sesuai dibaca sebelum berangkat, terutama oleh jemaah wanita. Mengenali ibu orang beriman menjadikan setiap langkah di Madinah lebih bermakna.
Warga Emas Dan Pengguna Kerusi Roda
Laluan dari Masjid Nabawi ke Baqi rata tetapi panjang, dan pintu yang dibuka berbeza mengikut hari. Bawa air, pilih waktu pagi dan berehat di dataran masjid jika perlu.
Jika laluan terlalu sesak, doa dari luar tembok sudah memadai. Panduan menjaga warga emas sepanjang umrah ada dalam Umrah Bersama Keluarga.
Nota AkuIslam
Pin lokasi dan nama kubur yang tersebar di media sosial tidak semestinya tepat. Kubur di Baqi dan al-Ma‘la tidak bertanda nama, jadi berpeganglah pada penerangan pembimbing yang dipercayai.
Tujuan ziarah ialah memberi salam, mendoakan dan mengambil ibrah. Ia tidak memerlukan kita mencari pusara tertentu untuk mendapat pahala ziarah.
Adab Ziarah Dan Fakta Yang Perlu Diluruskan
Menghormati ibu orang beriman bermula dengan adab ketika menziarahi tempat bersemadi mereka.
Ketika di Baqi, berilah salam kepada ahli kubur dengan doa yang diajar Rasulullah SAW. Kemudian doakan keampunan untuk mereka dan untuk diri sendiri.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur daripada kalangan orang beriman dan orang Islam. Kami, dengan izin Allah, akan menyusul kamu. Aku memohon kepada Allah keselamatan untuk kami dan kamu.”
Doa ziarah kubur. Riwayat Muslim, no. 975.
- Memberi salam dan mendoakan Ummahatul Mukminin
- Membaca kisah mereka sebelum ziarah
- Mendengar penerangan sirah daripada mutawwif
- Berpakaian sopan dan merendahkan suara
- Mengikut laluan dan arahan petugas
- Mengambil tanah atau batu sebagai tabarruk
- Meminta hajat kepada penghuni kubur
- Memijak atau duduk di atas kubur
- Menetapkan pusara tertentu tanpa sandaran
- Menghalang laluan semata-mata untuk bergambar
Rasulullah SAW mempunyai sebelas isteri pada satu masa.
Mereka dikahwini dalam tempoh berbeza. Ketika Baginda wafat, sembilan isteri masih hidup, menurut al-Bukhari, no. 5068.
Mariyah al-Qibtiyyah termasuk dalam sebelas Ummahatul Mukminin.
Beliau ibu kepada Ibrahim, tetapi tidak dimasukkan dalam senarai sebelas isteri oleh ulama sirah.
Semua isteri Nabi dikebumikan di Baqi.
Sembilan di Baqi, Khadijah RA di al-Ma‘la dan Maimunah RA di Sarif.
Rumah asal isteri-isteri Nabi masih boleh dilawati.
Kawasannya kini termasuk dalam bangunan Masjid Nabawi selepas beberapa fasa perluasan.
Kubur setiap isteri Nabi boleh dikenal pasti dengan tepat.
Kubur di Baqi tidak bertanda nama. Dakwaan tentang pusara tertentu perlu disandarkan kepada sumber yang dipercayai.
Ziarah makam isteri Nabi wajib ketika umrah.
Ia bukan rukun atau wajib umrah. Ziarah ini pilihan untuk menambah ilmu dan penghayatan.
Ketelitian terhadap fakta tidak mengurangkan kecintaan kepada Ummahatul Mukminin. Sebaliknya, ia menjaga kemuliaan mereka daripada cerita yang tidak bersandar.
Soalan Lazim Isteri-Isteri Nabi Muhammad SAW
Berapakah jumlah isteri Nabi Muhammad SAW?
Sebelas orang menurut senarai utama kitab sirah. Dua wafat ketika Baginda masih hidup dan sembilan lagi masih hidup ketika Baginda wafat.
Siapakah nama isteri-isteri Nabi Muhammad SAW?
Khadijah, Saudah, Aisyah, Hafsah, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah, Zainab binti Jahsy, Juwairiyah, Ummu Habibah, Safiyyah dan Maimunah RA.
Siapakah isteri pertama Rasulullah SAW?
Khadijah binti Khuwailid RA. Baginda tidak berkahwin dengan wanita lain sepanjang hayat beliau, seperti dalam Sahih Muslim, no. 2436.
Siapakah isteri terakhir yang dikahwini Rasulullah SAW?
Maimunah binti al-Harith RA, ketika Umrah al-Qada pada tahun 7 Hijrah di Sarif.
Apakah maksud Ummahatul Mukminin?
Ibu-ibu orang beriman. Gelaran ini disebut dalam Surah al-Ahzab ayat 6 sebagai tanda kemuliaan isteri-isteri Rasulullah SAW.
Isteri Nabi manakah yang wafat ketika Baginda masih hidup?
Khadijah RA yang wafat di Makkah sebelum hijrah, dan Zainab binti Khuzaimah RA yang wafat di Madinah beberapa bulan selepas perkahwinannya.
Siapakah isteri Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis?
Aisyah RA. Al-Dhahabi menyebut musnad beliau mengandungi 2,210 riwayat termasuk yang berulang.
Siapakah isteri Nabi yang digelar Ummul Masakin?
Zainab binti Khuzaimah RA, kerana kasih dan kemurahannya kepada orang miskin.
Adakah Mariyah al-Qibtiyyah termasuk isteri Nabi?
Mariyah RA ialah ibu kepada Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ulama sirah tidak memasukkannya dalam senarai sebelas Ummahatul Mukminin.
Di manakah makam isteri-isteri Nabi Muhammad SAW?
Sembilan di Perkuburan Baqi, Madinah. Khadijah RA di Perkuburan al-Ma‘la, Makkah dan Maimunah RA di Sarif, di luar kota Makkah.
Bolehkah jemaah wanita menziarahi Baqi?
Jemaah wanita lazimnya tidak masuk ke dalam kawasan perkuburan. Salam dan doa boleh dibaca dari luar pagar.
Adakah ziarah makam isteri Nabi wajib ketika umrah?
Tidak. Ia bukan rukun atau wajib umrah, tetapi ziarah sirah untuk mendoakan mereka dan mengambil ibrah.
Adakah pakej umrah yang sesuai untuk jemaah wanita?
Bersama MK Haramain, pakej Umrah4Ladies disusun untuk kumpulan wanita sekitar 25 hingga 30 orang. Semak butirannya di halaman pakej Umrah4Ladies AkuIslam.
Penutup, Rumah Yang Mendidik Umat
Kisah isteri-isteri Nabi Muhammad SAW bukan sekadar senarai sebelas nama. Ia kisah rumah yang menjadi sekolah pertama umat, tempat wahyu turun dan sunnah dipelajari dari dekat.
Apabila berdiri di hadapan Kubah Hijau atau di tepi pagar Baqi, mungkin tiada lagi bilik kecil yang dapat dilihat. Namun kesetiaan Khadijah, ilmu Aisyah, amanah Hafsah dan kesabaran Ummu Salamah RA masih boleh dibawa pulang ke rumah kita.
Kisah mereka bersambung dengan banyak peristiwa lain dalam sirah. Antaranya Tahun Kesedihan, Peristiwa Bani Mustaliq dan Perang Khaibar, yang memberi latar kepada beberapa perkahwinan Baginda.
Merancang umrah?
Jejak Ummahatul Mukminin Bersama MK Haramain
Pakej Umrah4Ladies disusun untuk kumpulan wanita dengan dua pilihan hotel, Maryam dan Khadeeja. Bagi keluarga, bandingkan pakej Saver Eco, Saver Plus dan Saver Safwah yang turut merangkumi ziarah di Madinah.
Sumber Rujukan
- Al-Quran, Surah al-Ahzab dan al-NurAl-Ahzab ayat 6, 28 hingga 34, 37 dan 53, serta al-Nur ayat 11 hingga 20
- Sahih al-Bukhari, no. 3, 3820 dan 3896Wahyu pertama, salam kepada Khadijah RA dan tahun kewafatannya
- Sahih Muslim, no. 2436 dan 1423Tiada isteri lain sepanjang hayat Khadijah RA, dan perkahwinan Aisyah RA dalam bulan Syawal
- Sahih al-Bukhari, no. 5212, 3770 dan 4450Saudah RA, kelebihan Aisyah RA dan kewafatan Rasulullah SAW di rumahnya
- Sahih al-Bukhari, no. 4005 dan 4986Pinangan Hafsah RA dan penyimpanan suhuf al-Quran
- Sahih Muslim, no. 918Doa musibah Ummu Salamah RA
- Sahih al-Bukhari, no. 2731 dan 2732Nasihat Ummu Salamah RA di Hudaibiyah
- Sahih al-Bukhari, no. 7420 dan Sahih Muslim, no. 2452Zainab binti Jahsy RA dinikahkan oleh Allah dan kemurahannya bersedekah
- Sunan Abu Dawud, no. 3931 dan 2107Juwairiyah RA dan pembebasan Bani Mustaliq, serta perkahwinan Ummu Habibah RA di Habsyah
- Sahih Muslim, no. 2726 dan 975Zikir Juwairiyah RA dan doa ziarah kubur
- Sahih al-Bukhari, no. 371 dan Sunan al-Tirmidzi, no. 3894Kemerdekaan Safiyyah RA sebagai mahar dan pujukan Rasulullah SAW
- Sahih al-Bukhari, no. 5067 dan 5068Jenazah Maimunah RA di Sarif dan sembilan isteri ketika Baginda wafat
- Sahih Muslim, no. 1411 dan Sunan al-Tirmidzi, no. 845Perkahwinan dan kewafatan Maimunah RA di Sarif
- Sahih al-Bukhari, no. 103Aisyah RA bertanya semula sehingga faham
- Ibn Hisyam, al-Sirah al-NabawiyyahBab isteri-isteri Rasulullah SAW, urutan perkahwinan dan gelaran Ummul Masakin
- Al-Dhahabi, Siyar A‘lam al-Nubala’Bilangan riwayat dalam musnad Aisyah dan Ummu Salamah RA
- SaudipediaPerkuburan Baqi dan tokoh yang disemadikan
- SaudipediaPerkuburan al-Ma‘la dan makam Maimunah RA di Sarif
Bacaan Lanjut Di AkuIslam
- Makam Baqi MadinahTempat bersemadi sembilan Ummahatul Mukminin
- Perkuburan Baqi MadinahTokoh yang dikebumikan dan kedudukannya
- Makam Ma‘la MekahSejarah Saidatina Khadijah RA dan panduan ziarah
- Perkuburan Al-Ma‘la MekahTokoh yang disemadikan di Bukit al-Hajun
- Masjid Nabawi MadinahSejarah masjid dan bilik isteri-isteri Nabi
- Gua Hira Jabal NurTempat wahyu pertama turun
- Tahun KesedihanKewafatan Abu Talib dan Khadijah RA
- Peristiwa Bani MustaliqKisah Juwairiyah RA dan peristiwa al-Ifk
- Perjanjian HudaibiyahNasihat Ummu Salamah RA
- Perang KhaibarLatar kisah Safiyyah RA
- Khulafa Al-RasyidinAbu Bakar dan Umar RA, bapa kepada Aisyah dan Hafsah RA
- Kronologi Hidup Rasulullah SAWGaris masa sirah dari kelahiran hingga wafat
- Panduan Ibadah Dan Ziarah MadinahSalam kepada Rasulullah SAW dan tapak ziarah
- Masuk RaudhahCara tempah slot melalui Nusuk
- Umrah Bersama KeluargaPanduan warga emas dan kanak-kanak
