
Ini adalah panduan bacaan Surah Al-Mulk dengan transliterasi Rumi, audio bacaan dan terjemahan Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih.
Anda juga akan dibimbing memahami kandungannya melalui penjelasan ringkas, latar belakang, riwayat berkaitan dan pengajaran yang boleh dihayati.
Semoga panduan ini membantu anda membaca dan memahami Surah Al-Mulk dengan lebih mudah.
Terus ke bacaanKENALI SURAH
Pengenalan Surah Al-Mulk
Surah Al-Mulk ialah surah ke-67 dalam susunan mushaf al-Quran. Surah ini mengajak manusia mengenal kekuasaan Allah melalui kehidupan, kematian dan alam ciptaan-Nya. Ia juga mengingatkan bahawa nikmat yang dinikmati manusia datang bersama tanggungjawab untuk beriman dan beramal.[1]
Maklumat Asas Surah Ini
| Maklumat | Keterangan |
|---|---|
| Bilangan ayat | 30 ayat |
| Maksud nama | Pemerintahan atau kekuasaan; merujuk kepada kekuasaan Allah atas segala sesuatu |
| Tempat penurunan | Makkiyyah |
| Nama lain | Tabaraka |
| Tema utama | Kekuasaan Allah, ujian kehidupan dan pertanggungjawaban manusia |
Dinamakan Al-Mulk kerana surah ini memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Allah atas seluruh makhluk.[1]
ARAB · RUMI · TERJEMAHAN
Bacaan Surah Al-Mulk
سُورَةُ الْمُلْكِ
Tiga puluh ayat, disusun satu demi satu.
Rumi membantu anda mengikuti bacaan. Pelajari sebutan dan tajwid dengan bimbingan guru.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm
Basmalah pembukaan; tidak dinomborkan sebagai ayat Al-Mulk.
تَبَـٰرَكَ ٱلَّذِى بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٖ قَدِيرٌ ١
Tabārakallażī biyadihil-mulku wa huwa ‘alā kulli syai’in qadīr
TERJEMAHAN AYAT
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗا ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
Allażī khalaqal-mauta wal-ḥayāta liyabluwakum ayyukum aḥsanu ‘amalā, wa huwal-‘azīzul-ghafūr
TERJEMAHAN AYAT
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
ٱلَّذِى خَلَقَ سَبۡعَ سَمَـٰوَٰتٖ طِبَاقٗا ۖ مَّا تَرَىٰ فِى خَلۡقِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتٖ ۖ فَٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ هَلۡ تَرَىٰ مِن فُطُورٖ ٣
Allażī khalaqa sab‘a samāwātin ṭibāqā, mā tarā fī khalqir-raḥmāni min tafāwut, farji‘il-baṣara hal tarā min fuṭūr
TERJEMAHAN AYAT
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
ثُمَّ ٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ كَرَّتَيۡنِ يَنقَلِبۡ إِلَيۡكَ ٱلۡبَصَرُ خَاسِئٗا وَهُوَ حَسِيرٞ ٤
Ṡummarji‘il-baṣara karrataini yanqalib ilaikal-baṣaru khāsi’aw wa huwa ḥasīr
TERJEMAHAN AYAT
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).
وَلَقَدۡ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنۡيَا بِمَصَـٰبِيحَ وَجَعَلۡنَـٰهَا رُجُومٗا لِّلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَأَعۡتَدۡنَا لَهُمۡ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ ٥
Wa laqad zayyannas-samā’ad-dun-yā bimaṣābīḥa wa ja‘alnāhā rujūmal lisy-syayāṭīni wa a‘tadnā lahum ‘ażābas-sa‘īr
TERJEMAHAN AYAT
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
وَلِلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ٦
Wa lillażīna kafarū birabbihim ‘ażābu jahannam, wa bi’sal-maṣīr
TERJEMAHAN AYAT
Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
إِذَآ أُلۡقُواْ فِيهَا سَمِعُواْ لَهَا شَهِيقٗا وَهِىَ تَفُورُ ٧
Iżā ulqū fīhā sami‘ū lahā syahīqaw wa hiya tafūr
TERJEMAHAN AYAT
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ ٱلۡغَيۡظِ ۖ كُلَّمَآ أُلۡقِىَ فِيهَا فَوۡجٞ سَأَلَهُمۡ خَزَنَتُهَآ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ نَذِيرٞ ٨
Takādu tamayyazu minal-ghaiẓ, kullamā ulqiya fīhā faujun sa’alahum khazanatuhā alam ya’tikum nażīr
TERJEMAHAN AYAT
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”
قَالُواْ بَلَىٰ قَدۡ جَآءَنَا نَذِيرٞ فَكَذَّبۡنَا وَقُلۡنَا مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٖ كَبِيرٖ ٩
Qālū balā qad jā’anā nażīrun fa każżabnā wa qulnā mā nazzalallāhu min syai’in in antum illā fī ḍalālin kabīr
TERJEMAHAN AYAT
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! “
وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ ١٠
Wa qālū lau kunnā nasma‘u au na‘qilu mā kunnā fī aṣḥābis-sa‘īr
TERJEMAHAN AYAT
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.
فَٱعۡتَرَفُواْ بِذَنۢبِهِمۡ فَسُحۡقٗا لِّأَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ ١١
Fa‘tarafū biżambihim, fa suḥqal li’aṣḥābis-sa‘īr
TERJEMAHAN AYAT
Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka.
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَيۡبِ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَأَجۡرٞ كَبِيرٞ ١٢
Innallażīna yakhsyauna rabbahum bil-ghaibi lahum maghfiratuw wa ajrun kabīr
TERJEMAHAN AYAT
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
وَأَسِرُّواْ قَوۡلَكُمۡ أَوِ ٱجۡهَرُواْ بِهِۦٓ ۖ إِنَّهُۥ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١٣
Wa asirrū qaulakum awijharū bih, innahū ‘alīmum biżātiṣ-ṣudūr
TERJEMAHAN AYAT
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
أَلَا يَعۡلَمُ مَنۡ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ ١٤
Alā ya‘lamu man khalaq, wa huwal-laṭīful-khabīr
TERJEMAHAN AYAT
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِى مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦ ۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ ١٥
Huwallażī ja‘ala lakumul-arḍa żalūlan famsyū fī manākibihā wa kulū mir rizqih, wa ilaihin-nusyūr
TERJEMAHAN AYAT
Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
ءَأَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يَخۡسِفَ بِكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فَإِذَا هِىَ تَمُورُ ١٦
A’amintum man fis-samā’i ay yakhsifa bikumul-arḍa fa iżā hiya tamūr
TERJEMAHAN AYAT
Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?
أَمۡ أَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يُرۡسِلَ عَلَيۡكُمۡ حَاصِبٗا ۖ فَسَتَعۡلَمُونَ كَيۡفَ نَذِيرِ ١٧
Am amintum man fis-samā’i ay yursila ‘alaikum ḥāṣibā, fa sata‘lamūna kaifa nażīr
TERJEMAHAN AYAT
Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?
وَلَقَدۡ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ فَكَيۡفَ كَانَ نَكِيرِ ١٨
Wa laqad każżaballażīna min qablihim fa kaifa kāna nakīr
TERJEMAHAN AYAT
Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ إِلَى ٱلطَّيۡرِ فَوۡقَهُمۡ صَـٰٓفَّـٰتٖ وَيَقۡبِضۡنَ ۚ مَا يُمۡسِكُهُنَّ إِلَّا ٱلرَّحۡمَـٰنُ ۚ إِنَّهُۥ بِكُلِّ شَىۡءِۭ بَصِيرٌ ١٩
Awalam yarau ilaṭ-ṭairi fauqahum ṣāffātiw wa yaqbiḍn, mā yumsikuhunna illar-raḥmān, innahū bikulli syai’im baṣīr
TERJEMAHAN AYAT
Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
أَمَّنۡ هَـٰذَا ٱلَّذِى هُوَ جُندٞ لَّكُمۡ يَنصُرُكُم مِّن دُونِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ۚ إِنِ ٱلۡكَـٰفِرُونَ إِلَّا فِى غُرُورٍ ٢٠
Am man hāżallażī huwa jundul lakum yanṣurukum min dūnir-raḥmān, inil-kāfirūna illā fī ghurūr
TERJEMAHAN AYAT
Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya.
أَمَّنۡ هَـٰذَا ٱلَّذِى يَرۡزُقُكُمۡ إِنۡ أَمۡسَكَ رِزۡقَهُۥ ۚ بَل لَّجُّواْ فِى عُتُوّٖ وَنُفُورٍ ٢١
Am man hāżallażī yarzuqukum in amsaka rizqah, bal lajjū fī ‘utuwwiw wa nufūr
TERJEMAHAN AYAT
Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).
أَفَمَن يَمۡشِى مُكِبًّا عَلَىٰ وَجۡهِهِۦٓ أَهۡدَىٰٓ أَمَّن يَمۡشِى سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ ٢٢
Afamay yamsyī mukibban ‘alā wajhihī ahdā am may yamsyī sawiyyan ‘alā ṣirāṭim mustaqīm
TERJEMAHAN AYAT
Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?
قُلۡ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُمۡ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ ۖ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ ٢٣
Qul huwallażī ansya’akum wa ja‘ala lakumus-sam‘a wal-abṣāra wal-af’idah, qalīlam mā tasykurūn
TERJEMAHAN AYAT
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
قُلۡ هُوَ ٱلَّذِى ذَرَأَكُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَإِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ ٢٤
Qul huwallażī żara’akum fil-arḍi wa ilaihi tuḥsyarūn
TERJEMAHAN AYAT
Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”.
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ ٢٥
Wa yaqūlūna matā hāżal-wa‘du in kuntum ṣādiqīn
TERJEMAHAN AYAT
Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
قُلۡ إِنَّمَا ٱلۡعِلۡمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٞ مُّبِينٞ ٢٦
Qul innamal-‘ilmu ‘indallāhi wa innamā ana nażīrum mubīn
TERJEMAHAN AYAT
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.
فَلَمَّا رَأَوۡهُ زُلۡفَةٗ سِيٓـَٔتۡ وُجُوهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقِيلَ هَـٰذَا ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تَدَّعُونَ ٢٧
Fa lammā ra’auhu zulfatan sī’at wujūhullażīna kafarū wa qīla hāżallażī kuntum bihī tadda‘ūn
TERJEMAHAN AYAT
Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!”.
قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِنۡ أَهۡلَكَنِىَ ٱللَّهُ وَمَن مَّعِىَ أَوۡ رَحِمَنَا فَمَن يُجِيرُ ٱلۡكَـٰفِرِينَ مِنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ٢٨
Qul ara’aitum in ahlakaniyallāhu wa mam ma‘iya au raḥimanā fa may yujīrul-kāfirīna min ‘ażābin alīm
TERJEMAHAN AYAT
Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), – maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”.
قُلۡ هُوَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ ءَامَنَّا بِهِۦ وَعَلَيۡهِ تَوَكَّلۡنَا ۖ فَسَتَعۡلَمُونَ مَنۡ هُوَ فِى ضَلَـٰلٖ مُّبِينٖ ٢٩
Qul huwar-raḥmānu āmannā bihī wa ‘alaihi tawakkalnā, fa sata‘lamūna man huwa fī ḍalālim mubīn
TERJEMAHAN AYAT
Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): “Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata”.
قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِنۡ أَصۡبَحَ مَآؤُكُمۡ غَوۡرٗا فَمَن يَأۡتِيكُم بِمَآءٖ مَّعِينِۭ ٣٠
Qul ara’aitum in aṣbaḥa mā’ukum ghauran fa may ya’tīkum bimā’im ma‘īn
TERJEMAHAN AYAT
Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”.
Terjemahan yang dipaparkan bagi setiap ayat di atas bersumberkan terjemahan Bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Terjemahan ini disertakan untuk membantu pembaca memahami maksud ayat, manakala huraian lanjut dihimpunkan dalam bahagian penjelasan selepas ini.
MEMAHAMI BACAAN
Maksud Dan Penjelasan Ringkas
Kehidupan Sebagai Ujian
Allah menguasai segala sesuatu. Kematian dan kehidupan dijadikan sebagai ujian untuk menzahirkan siapa yang paling baik amalannya. Penekanannya ialah mutu amalan, bukan sekadar banyaknya. Manusia kemudian diajak memerhatikan keteraturan langit dan menyedari kelemahan pandangan sendiri di hadapan kesempurnaan ciptaan Allah.[2]
Mendengar Peringatan Sebelum Terlambat
Ayat-ayat ini menggambarkan penyesalan orang yang menolak para pemberi peringatan. Mereka mengakui bahawa pendengaran dan akal tidak digunakan untuk menerima kebenaran. Gambaran ini mengingatkan pembaca supaya tidak menangguhkan penerimaan petunjuk sehingga datang saat yang tidak lagi memberi ruang untuk kembali.[3]
Taat Dalam Sunyi, Berusaha Mencari Rezeki
Allah menjanjikan keampunan dan pahala yang besar kepada orang yang takut kepada-Nya sekalipun tidak dilihat manusia. Pengetahuan-Nya meliputi ucapan yang dirahsiakan dan isi hati. Bumi pula dimudahkan untuk manusia bergerak dan mencari rezeki. Usaha itu tetap disertai kesedaran bahawa rezeki datang daripada Allah dan kepada-Nya manusia akan dibangkitkan.[4]
Jangan Terpedaya Dengan Rasa Aman
Kehidupan yang terasa aman tidak menjadikan manusia terlepas daripada kekuasaan Allah. Ancaman dalam ayat ini dan nasib umat terdahulu mengingatkan manusia agar tidak mendustakan peringatan. Burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayap pula menjadi tanda pemeliharaan Allah terhadap makhluk-Nya.[5]
Ungkapan berkaitan langit pada ayat 16–17 tidak bermaksud menyamakan Allah dengan makhluk atau membataskan-Nya dalam tempat. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah tidak memerlukan tempat dan arah yang diciptakan-Nya.[6]
Pertolongan Dan Petunjuk Daripada Allah
Tiada kekuatan yang dapat melindungi manusia daripada Allah, dan tiada sesiapa mampu menggantikan rezeki apabila Dia menahannya. Perumpamaan orang yang berjalan tertunduk berbanding orang yang berjalan tegak di jalan lurus memperlihatkan perbezaan keadaan orang yang tersesat dengan orang yang mendapat petunjuk.[7]
Nikmat Yang Akan Dipertanggungjawabkan
Pendengaran, penglihatan dan hati ialah nikmat yang sepatutnya membawa manusia kepada syukur. Manusia akan dihimpunkan semula kepada Allah. Pengetahuan tentang waktu berlakunya janji azab itu berada di sisi-Nya; tugas Rasul ialah menyampaikan peringatan. Apabila azab yang dahulu dicabar itu dilihat dekat, wajah orang yang ingkar berubah menjadi muram.[8]
Tawakal Dan Kebergantungan Kepada Allah
Nasib Rasul dan orang beriman tidak menghapuskan pertanggungjawaban orang yang ingkar. Orang beriman tetap mengakui Allah Yang Maha Pemurah dan bertawakal kepada-Nya. Surah ini diakhiri dengan pertanyaan tentang air: jika air hilang ke dalam bumi, siapakah yang dapat mendatangkan air yang mengalir? Nikmat yang dekat dengan kehidupan kita menjadi peringatan tentang keperluan manusia kepada Allah.[9]
Latar Belakang Dan Riwayat Berkaitan
Surah Al-Mulk tergolong dalam surah Makkiyyah. Syeikh Yasir Ismail Radhi menyatakan bahawa tidak terdapat riwayat sahih tentang sebab khusus penurunan surah ini atau bahagiannya dalam rujukan yang beliau gunakan. Panduan ini tidak menetapkan sesuatu peristiwa sebagai sebab penurunannya.[1]
Al-Wahidi merekodkan riwayat yang dinisbahkan kepada Ibn ‘Abbas bagi ayat 13. Kesahihan riwayat ini belum dapat dipastikan, maka ia tidak dijadikan sandaran untuk menetapkan sebab khusus penurunan ayat tersebut.[10]
KELEBIHAN SURAH
Syafaat Sehingga Diampunkan
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ menyebut sebuah surah yang mempunyai tiga puluh ayat dan memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampunkan. Surah yang dimaksudkan ialah Al-Mulk.
Riwayat al-Tirmizi · Hadis 2891 · Hasan [11]
KELEBIHAN SURAH
Riwayat Perlindungan Daripada Azab Kubur
Dalam athar Ibn Mas‘ud, bacaan Surah Al-Mulk pada setiap malam dikaitkan dengan perlindungan Allah daripada azab kubur. Ini ialah athar yang dinisbahkan kepada sahabat; ia tidak dipersembahkan di sini sebagai petikan sabda Nabi secara langsung.
Athar Ibn Mas‘ud · al-Nasa’i, ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah · Dinilai hasan oleh al-Albani [12]
Riwayat Membaca Sebelum Tidur
Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ membaca Surah As-Sajdah dan Al-Mulk sebelum tidur. Penilaian riwayat ini berbeza: al-Albani mensahihkannya, manakala penilaian Darussalam pada paparan Jami‘ al-Tirmizi menandakannya sebagai daif. Oleh itu, riwayat ini tidak dinyatakan sebagai sahih tanpa menyebut perbezaan tersebut.[13]
Hubungan Dengan Surah Sebelumnya
Dalam susunan mushaf, Al-Mulk hadir selepas At-Tahrim. Pada penghujung At-Tahrim, contoh orang beriman dan orang ingkar memperlihatkan tanggungjawab setiap individu terhadap keimanannya. Al-Mulk kemudian membuka perbincangan tentang kehidupan dan kematian sebagai ujian untuk melihat siapa yang paling baik amalannya.[1]
Dalam surah ini sendiri, ujian kehidupan pada awal surah dihubungkan dengan renungan tentang air pada penghujungnya. Kedua-duanya mengingatkan bahawa kehidupan manusia berada di bawah kekuasaan Allah.[1]
Pengajaran Dan Hikmah
Pengajaran Surah Al-Mulk boleh dibawa ke dalam sikap dan amalan harian. Berdasarkan penjelasan ayat di atas, berikut ialah beberapa perkara yang boleh kita hayati:
- Utamakan mutu amalan. Periksa niat dan cara beramal, bukan sekadar menghitung jumlahnya.
- Terima nasihat dengan hati terbuka. Gunakan pendengaran dan akal untuk menilai peringatan sebelum penyesalan tidak lagi berguna.
- Jaga diri ketika bersendirian. Allah mengetahui isi hati dan perbuatan yang tersembunyi.
- Satukan usaha dengan tawakal. Bergerak mencari rezeki sambil mengakui bahawa hasil dan pertolongan datang daripada Allah.
- Syukuri nikmat yang dekat. Pendengaran, penglihatan dan air yang digunakan setiap hari sepatutnya menambah rasa syukur.
Rumusan pengajaran berdasarkan penjelasan ayat 1–30 di atas.
Soalan Lazim
Tidak. Ayat pertama Al-Mulk bermula dengan “Tabārakallażī biyadihil-mulk”. Basmalah yang dipaparkan sebelum ayat pertama ialah pembukaan bacaan.
Tidak. Riwayat syafaat tiga puluh ayat datang daripada Abu Hurairah, manakala riwayat bacaan sebelum tidur datang daripada Jabir. Kedua-duanya perlu dibezakan, termasuk penilaian masing-masing.[11][13]
Surah ini sendiri menekankan amalan yang baik, penerimaan peringatan dan rasa takut kepada Allah. Fadilat bacaan sepatutnya mendorong kita membaca serta menghayati tuntutannya.[2][3][4]
Rumi ialah bantuan mengikuti bacaan, tetapi tidak mewakili semua sifat huruf dan hukum tajwid dengan sempurna. Gunakan teks Arab serta bimbingan guru untuk memperbaiki bacaan.
Penutup
Surah Al-Mulk mengajak kita melihat kehidupan sebagai amanah, menerima peringatan dan bergantung kepada Allah. Semoga bacaan yang diulang membawa kita kepada amalan yang lebih baik serta syukur yang lebih mendalam.
Wallahu a‘lam.
Nota Rujukan
- Yasir Ismail Radi dalam Al-Bitâqât: 114 Qur’anic Introductory Card, QIC 67, hlm. 158–159, menerangkan bilangan ayat, penamaan, klasifikasi Makkiyyah, tema dan hubungan Surah Al-Mulk. Pernyataan tentang sebab penurunan dihadkan kepada hasil semakan yang dinyatakan penulis. Fadilat disemak berasingan dalam nota 11–13. ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 1–5, menjadi rujukan huraian “Kehidupan Sebagai Ujian”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:1] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 6–11, menjadi rujukan huraian “Mendengar Peringatan Sebelum Terlambat”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:6] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 12–15, menjadi rujukan huraian “Taat Dalam Sunyi, Berusaha Mencari Rezeki”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:12] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 16–19, menjadi rujukan huraian “Jangan Terpedaya Dengan Rasa Aman”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:16] ↩︎
- Al-Qurtubi dalam al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān, tafsir Al-Mulk 67:16, menerangkan bahawa Allah tidak memerlukan tempat atau arah yang diciptakan-Nya. Nota ini menjelaskan batas pemahaman ungkapan ayat tanpa mengubah teks terjemahan Basmeih. [Pautan] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 20–22, menjadi rujukan huraian “Pertolongan Dan Petunjuk Daripada Allah”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:20] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 23–27, menjadi rujukan huraian “Nikmat Yang Akan Dipertanggungjawabkan”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:23] ↩︎
- Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl, tafsir Surah Al-Mulk ayat 28–30, menjadi rujukan huraian “Tawakal Dan Kebergantungan Kepada Allah”. [Pautan Ibn Kathir] [Pautan al-Baghawi 67:28] ↩︎
- Al-Wahidi dalam Asbāb al-Nuzūl, bahagian Al-Mulk 67:13, no. 835 pada paparan Islamweb, menisbahkan riwayat kepada Ibn ‘Abbas tentang percakapan orang musyrik. Al-Baghawi dan al-Qurtubi turut menyebutnya pada tafsir ayat yang sama. Penyebutan ini mengesahkan kewujudan riwayat dalam kitab, bukan kesahihan sanadnya. [Pautan al-Wahidi] [Pautan al-Qurtubi] ↩︎
- Al-Tirmizi meriwayatkan hadis Abu Hurairah tentang syafaat surah tiga puluh ayat dalam Jāmi‘ al-Tirmizi, hadis 2891. Al-Tirmizi menyebutnya hasan; penilaian Darussalam pada paparan yang disemak juga hasan. [Pautan] ↩︎
- Al-Nasa’i meriwayatkan athar Ibn Mas‘ud mengenai bacaan Al-Mulk setiap malam dan perlindungan daripada azab kubur dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah, no. 711. Al-Albani menilainya hasan dalam Ṣaḥīḥ al-Targhīb wa al-Tarhīb, sebagaimana takhrij yang dipaparkan al-Durar al-Saniyyah. [Pautan] ↩︎
- Al-Tirmizi meriwayatkan hadis Jabir tentang bacaan As-Sajdah dan Al-Mulk sebelum tidur dalam Jāmi‘ al-Tirmizi, hadis 2892, serta merekodkan perbincangan jalur periwayatannya. Al-Albani mensahihkannya dalam Ṣaḥīḥ al-Tirmizi; paparan Darussalam menilainya daif. Perbezaan ini dikekalkan dalam artikel. [Pautan riwayat] [Pautan takhrij al-Albani] ↩︎



Asallamualaikum Ustaz saya minta izin copy paste tulisan yg rumi tu untuk betulkan bacaan saya ya…
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, silakan. Tiada masalah untuk copy & paste bacaan rumi ini bagi tujuan belajar dan membetulkan bacaan.
Semoga Allah permudahkan urusan puan, tambah kefahaman, dan beri istiqamah dalam membaca Al-Quran. Aamiin.
Waalaikumussalam warahmatullah.
Alhamdulillah, terima kasih atas niat baik tuan untuk mencetak dan berkongsi bahan bacaan ini. InsyaAllah, semoga ia menjadi amal jariah yang berterusan buat kita semua, dan semoga setiap orang yang membaca serta mengamalkannya mendapat manfaat dan keberkatan.
Moga Allah menerima usaha tuan dan melipatgandakan ganjarannya. Aamiin.
Wallahu a‘lam.
Inshaallah amiin
Terima kasih kerana singgah dan berkongsi di AkuIslam. Semoga perkongsian di sini membawa manfaat.
Assalamualaikum ustaz,,minta izin untuk print beberapa nafkah surah moga² ustaz dan team memperoleh pahala jariah dan dikongsikan maanfaat kepada sesiapa yang membaca serta mengamalkannya ..
Assalamualaikum ustaz,,minta izin untuk print beberapa nafkah surah moga² ustaz dan team memperoleh pahala jariah dan dikongsikan maanfaat kepada sesiapa yang membaca serta mengamalkannya ..
Waalaikumussalam warahmatullah.
Alhamdulillah, terima kasih atas niat baik tuan untuk mencetak dan berkongsi bahan bacaan ini. InsyaAllah, semoga ia menjadi amal jariah yang berterusan buat kita semua, dan semoga setiap orang yang membaca serta mengamalkannya mendapat manfaat dan keberkatan.
Moga Allah menerima usaha tuan dan melipatgandakan ganjarannya. Aamiin.
Wallahu a‘lam.
Alhamdulillah 🤲 aamiin ya rabbal 🤲
Waalaikumussalam, Nazli.
Alhamdulillah, terima kasih atas doanya. Moga Allah memberkati dan merahmati kita semua setiap kali membaca dan mengamalkan surah ini.
Inshaallah amiin
Asalamualaikum,ustaz saya ada dengar bacaan al mulk di dalam youtube dri dua thun lpas awalnya tu sya cuma dengar and ikut slow2 ja lps tu saya stat tiru bacaan and buat semakan surah dlm quran slepas 3 4 mnggu mcm tu alhamdulinllah sya dh lancar bacaan smpai ke hri ni .sya nk tnya stu prkara. Klau org x reti baca dlm jawi dia baca dlm trjemahan rumi mcm dlm ni xapa kn ustaz?
Waalaikumussalam.
Membaca transliterasi Rumi seperti di halaman ini harus sebagai alat belajar di luar solat terutama bagi yang belum mahir Jawi/Arab. Tetapi ia bukan mushaf dan tidak menggantikan tilawah al-Quran dalam bahasa Arab.
Dalam solat, bacaan wajib (terutama al-Fatihah) mesti dalam bahasa Arab. Membaca Rumi tidak sah untuk mengganti bacaan Arab.
Jika belum mampu, ambil rukhsah sementara (baca apa yang mampu dan terus belajar) hingga boleh menyebut huruf dan hukum tajwid dengan betul.
Semoga Allah memudahkan dan menerima usaha tuan/puan.
Assalamualaikum wbt ustaz saya ingin bertanya betul kh klau solat subuh surah yang perlu d baca surah yang panjang sahaja selepas surah Al-Fatihah dan boleh kh klau saya baca surah yang saya suka seperti al iqra atau surah al falaq..tolong saya ustaz betul kekeliruan saya…saya dari Sabah dn trima kasih ustaz semoga ALLAH membalas kebaikan ustaz sbb ilmu manafaat ni
Waalaikumussalam wbt.
Tidak ada surah khusus yang wajib dibaca dalam Subuh selepas al-Fatihah. Membaca mana-mana surah atau beberapa ayat adalah sunat, dan solat tetap sah walaupun yang dibaca itu pendek.
Bukan wajib surah panjang. Baca apa yang tuan lancar. Jika mampu, panjangkan bacaan sebagai amalan yang lebih afdal.
Semoga Allah memudahkan dan menerima ibadah tuan.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi. Usaha ustaz sangat bermanfaat kepada saya utk belajar membaca surah2 yang terpapar. Terima kasih banyak Ustaz.Hanya Allah s.w.t saja yang dapat membalas kebaikan ustaz yang telah memanfaatkan kelebihan ustaz buat semua.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Terima kasih atas kata-kata yang sangat bermakna ini. Saya doakan semoga tuan/puan terus diberi kekuatan dan kemudahan oleh Allah SWT dalam mempelajari dan mengamalkan surah ini.
Semoga usaha ini menjadi asbab kebaikan buat kita semua, dan moga Allah SWT membalas segala doa serta kebaikan tuan/puan dengan rahmat dan keberkatan yang melimpah. 😊
Terima kasih setinggi tinggi penghargaan buat saudara Muhamad Naim kerana memudahkan untuk membaca, menghayati dan mengamalkan surah Al Mulk ini dgn cara lebih senang.. disertai dgn rumi memudahkan untuk membacanya.. Allah sajalah yg mampu membalas segalanya utk saudara Naim, insyaAllah 🤲
Alhamdulillah, terima kasih atas kata-kata dan penghargaan yang sangat baik ini. Saya bersyukur jika usaha ini dapat membantu tuan dalam membaca, menghayati, dan mengamalkan surah Al-Mulk.
Semoga tuan terus istiqamah dalam membaca Al-Quran, dan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang besar kepada kita semua serta melimpahkan rahmat-Nya dalam kehidupan tuan.
Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 😊
alhamdulillah..terima kasih..semoga Allah membalasmu dengan kebaikan..byk sgt membantu sy dlm pelajari surah dgn lebih mendalam..byk yg sy belajar..utk org yg x reti baca jawi mmg sy suggestkan blog tuan ni..terima kasih sgt 🤲🤲
Alhamdulillah, terima kasih banyak atas kata-kata yang baik dan dorongan yang sangat bermakna. Saya bersyukur jika perkongsian ini dapat membantu dalam mempelajari surah-surah dengan lebih mendalam. Semoga Allah SWT memberi keberkatan kepada usaha kita semua dan membuka pintu ilmu serta kefahaman. Doakan agar saya dapat terus berkongsi ilmu untuk manfaat semua. Terima kasih sekali lagi!
Assalamualaikum wbt ustaz
Boleh kh serta kan
Surah Al Alaq
Surah Al Iqra
Surah Al syamsi tapi dlm tulisan rumi sbb saya tdk boleh membaca klau tulisan jawi dan ustaz
Trima kasih saya boleh sudah membaca surah Al mulk dn surah
Al Ad duha..semoga Allah membalas nya sbb saya hnya dapat mengucap trima kasih ustaz saya dari sabah
Walaikumsalam. InsyaAllah saya akan cuba usahakan ya.
Dan sama-sama. Terima kasih juga atas maklumbalas yang diberikan.
Terimakasih atas perkongsian surah2 ini
Sama-sama ツ
Ade ke di playstore?
Ekin, buat masa ini AkuIslam belum mempunyai aplikasi rasmi di Google Play. Panduan Surah al-Mulk ini boleh dibuka terus melalui pelayar telefon. Ekin juga boleh menyimpan halaman ini sebagai penanda buku atau menambah pintasan pada skrin utama supaya mudah dibuka semula.
Assalamualaikum wbt ustaz saya ingin bertanya tdk berdosa kh saya membaca surah-surah dalam telefon saja
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Membaca surah-surah dari Al-Quran menggunakan telefon pintar adalah dibenarkan dan tidak berdosa. Berikut adalah beberapa poin penting yang boleh dijadikan panduan:
Hukum Membaca Al-Quran dari Telefon:
1. Membaca Al-Quran dari telefon adalah dibenarkan dan tidak berdosa. Al-Quran dalam bentuk digital di telefon atau peranti lain masih dianggap sebagai Al-Quran dan boleh dibaca dalam keadaan yang sesuai.
2. Sama seperti membaca dari mushaf (kitab Al-Quran), adalah lebih baik jika seseorang itu berada dalam keadaan berwuduk ketika membaca Al-Quran dari telefon. Namun, menurut beberapa pandangan ulama, jika tidak menyentuh teks langsung, maka tidak mengapa membaca tanpa wuduk.
3. Membaca Al-Quran dari telefon mempunyai banyak kelebihan, terutama dalam memudahkan akses kepada Al-Quran di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Ini membantu dalam memperbanyakkan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian.
4. Walaupun membaca dari telefon, adab-adab membaca Al-Quran masih perlu dijaga. Ini termasuk membaca dengan tartil (bacaan yang betul dan teratur), dalam keadaan yang tenang dan bersih, serta dengan niat yang ikhlas kerana Allah.
Pandangan Ulama:
1. Syeikh Ibn Baaz. Menurut Syeikh Ibn Baaz, tidak ada masalah membaca Al-Quran dari telefon atau peranti elektronik lain. Yang penting adalah menjaga adab dan membaca dengan niat yang betul.
2. Syeikh Ibn ‘Uthaymeen. Syeikh Ibn ‘Uthaymeen juga menyatakan bahawa membaca Al-Quran dari telefon adalah dibenarkan. Beliau menekankan pentingnya menjaga adab ketika membaca, seperti tidak membaca di tempat yang tidak sesuai.
Kesimpulan
Membaca surah-surah dalam telefon tidak berdosa dan dibenarkan dalam Islam. Ini memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk sentiasa dekat dengan Al-Quran di mana sahaja mereka berada. Adalah penting untuk menjaga adab-adab membaca Al-Quran dan berada dalam keadaan berwuduk jika boleh.
Wallahu a’lam.
Trima kasih ustaz atas pencerahan nya..
Jazakallahu khayrn jazilan tuan.Barakallahu fik.
Terima kasih atas perkongsian. Selamat hari raya ✨ (15/4/2024)
Allhamdullilah saya dpt belajar membaca Al Quran dan saya berterima kasih pdNya dan pada Tuan..Takbir 7x Allahuakbar
Alhamdulillah, gembira saya mengetahui panduan ini telah memberikan kemudahan kepada tuan.
Terimakasih atas perkongsian surah2 ini
Alhamdulillah sama-sama ツ
alhamdulinllah.. saya brjaya khatam surah ini dngn baik.. semoga kita brjmpa di syurga nnty
Alhamdulillah, tahniah atas kejayaan cik puan dalam menyelesaikan khatam surah tersebut. Ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam perjalanan keimanan dan ketakwaan kita. Semoga Allah SWT menerima usaha kita dalam mengamalkan Al-Quran dan menjadikannya sebagai cahaya untuk kita di dunia dan di akhirat.
Semoga kita semua diberkati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT sehingga bertemu dalam keadaan yang berbahagia di syurga. Aamiin. ツ