Ini adalah panduan lengkap tata cara mengerjakan Umrah secara langkah-demi-langkah.
Dalam panduan ini, anda akan dibimbing dengan semua perkara berkaitan dengan ibadah umrah, bacaan-bacaan, hukum dan pantang larangnya.
Panduan ini akan meliputi:
- Niat Umrah
- Ihram & Larangannya
- Lafaz Talbiah
- Cara Mengerjakan Tawaf
- Bacaan Dalam Saie
- Tahallul
… dan sebagainya.
Setiap dari rukun umrah saya sediakan secara bermodul agar dapat membantu anda fokus dengan lebih baik dan tidak mudah keliru. Setiap bacaan juga disertakan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda yang kurang mahir membaca teks arab.
Mari kita mulakan..
Maksud Umrah
Umrah menurut bahasa ialah ziarah atau berkunjung. Menurut istilah syarak ialah mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan ibadat umrah dengan niat dan syarat-syarat tertentu. Umrah meliputi tawaf mengelilingi Kaabah, Saie antara Safa dan Marwah dan Tahallul (bercukur).
Hukum Umrah
Hukum umrah dalam Islam adalah sunnah muakkad, yang bermaksud sangat dianjurkan tetapi bukan wajib. Umrah boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang tahun, berbeza dengan haji yang memiliki waktu tertentu. Ia merupakan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah dan dianggap sebagai cara untuk mendapatkan keberkatan dan pahala.
Umrah wajib dilakukan sekali seumur hidup berdasarkan firman Allah:
“Dan sempurnakan ibadat haji serta umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah 2: 196)
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ:
“Wahai Rasulullah, adakah diwajibkan jihad ke atas wanita?” Jawab Baginda ﷺ, “Ya, (diwajibkan jihad ke atas wanita tetapi) jhad yang tidak ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah.”
(Riwayat Ibn Majah)
Waktu Mengerjakan Umrah
Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun selain daripada masa seseorang itu dalam ihram haji sehinggalah dia selesai melakukan kerja-kerja haji tersebut.
Syarat Sah Umrah
Syarat-syarat sah Umrah merujuk kepada keperluan asas yang mesti dipatuhi oleh setiap jemaah untuk memastikan ibadah Umrah yang dilakukan adalah sah dan diterima di sisi agama.
Berikut adalah beberapa syarat sah Umrah:
- ISLAM — Ibadat umrah merupakan salah satu ibadat dalam agama Islam. Berumrah sememangnya bagi orang Islam yang mampu, manakala bagi orang bukan Islam sudah tentu ibadat ini tidak disyariatkan kepada mereka.
- BERAKAL — Umrah disyariatkan bagi Muslim yang berakal. Umrah tidak sah dan tidak diperintahkan ke atas orang gila.
- ISTITA’AH — Mempunyai kemampuan dari segi tubuh badan, kewangan mahupun keamanan.
- BALIGH — Maksudnya mencapai usia baligh adalah salah satu rukun umrah. Oleh sebab itu, kanak-kanak yang belum baligh tidak disyariatkan melaksanakan umrah.
- MERDEKA — Bukan hamba kerana ibadat umrah memerlukan waktu yang panjang. Justeru, dibimbangi kepentingan tuannya akan
Rukun Umrah
Rukun umrah bermaksud perkara yang MESTI dilakukan oleh seseorang semasa mengerjakan Umrah. Jika tidak dilakukan, maka Umrah seseorang TIDAK SAH. Rukun Umrah juga tertakluk dengan larangan ihram.
Rukun umrah adalah seperti berikut:
- Berniat Ihram: Niat ihram adalah niat untuk memasuki keadaan suci khusus yang diperlukan untuk melaksanakan ibadah Umrah. Ini dilakukan di miqat, tempat yang ditentukan untuk memulai ihram. Niat ihram diikuti dengan talbiyah, yang merupakan seruan kepada Allah. Pakaian ihram yang sederhana dan khusus juga dikenakan pada saat ini.
- Tawaf: Tawaf adalah perbuatan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali di Masjidil Haram di Mekah. Tawaf diawali dengan menghadap atau menyentuh Hajarul Aswad jika mampu, dan mengucapkan “Bismillah, Allahu Akbar” atau setidaknya menunjukkan isyarat tangan ke arahnya sebagai isyarat permulaan.
- Saie: Saie adalah berjalan di antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Ini mengenang perjuangan Siti Hajar, iaitu isteri Nabi Ibrahim AS, ketika mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail AS. Saie dimulai dari bukit Safa dan diakhiri di bukit Marwah.
- Bergunting atau Bercukur (Tahallul): Setelah menyelesaikan Saie, orang lelaki diwajibkan untuk memotong sedikit rambut mereka atau mencukur kepala sebagai tanda keluar dari keadaan ihram. Wanita biasanya memotong sedikit hujung rambut mereka.
- Tertib: Tertib bermaksud melakukan semua rukun Umrah mengikut urutan yang betul. Bermula dengan niat ihram, kemudian tawaf, saie, dan diakhiri dengan bergunting atau bercukur. Tertib ini menekankan pelaksanaan ibadah Umrah secara berurutan dan tidak boleh dibolak-balik.
Setiap rukun ini harus dilakukan dengan niat yang ikhlas dan memenuhi semua syarat dan larangan ihram, seperti tidak memotong kuku, tidak memakai wangi-wangian, dan lain-lain larangan yang telah ditetapkan.
Bagi mereka yang mengerjakan Umrah, memahami dan mengikuti rukun-rukun ini dengan betul adalah penting untuk memastikan ibadah mereka diterima dan sah.
Perbezaan Rukun Haji & Umrah
Walaupun kedua-dua ibadah ini dilaksanakan di Mekah dan mempunyai beberapa perbuatan yang sama, terdapat perbezaan penting antara rukun-rukun dalam kedua-dua ibadah ini.
Rukun Haji:
- Niat: Meniatkan diri untuk menjalankan ibadah Haji.
- Ihram: Memasuki keadaan Ihram dari salah satu Miqat.
- Tawaf Qudum: Nama lain bagi Tawaf Qudum adalah Tawaf ketibaan, yang dilakukan oleh jemaah yang bukan penduduk Mekah.
- Wukuf di Arafah: Berdiri di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah dari terbitnya matahari hingga terbenamnya matahari.
- Mabit di Muzdalifah: Menginap di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah dan mengumpulkan batu untuk melakukan Jamrah.
- Jamrah: Melempar batu ke dinding yang simboliknya mewakili syaitan.
- Tawaf Ifadah: Tawaf Ifadah adalah tawaf wajib yang dilakukan pada 10 Zulhijjah atau hari-hari Tasyriq.
- Saie Haji: Saie ialah berbuatan berlajan atau berlari antara Safa dan Marwah.
- Tahallul: Mencukur atau memendekkan rambut.
- Tawaf Wada’: Tawaf Wada’ adalah tawaf perpisahan sebelum meninggalkan Mekah.
Rukun Umrah:
- Niat: Meniatkan diri untuk menjalankan ibadah Umrah.
- Ihram: Memasuki keadaan Ihram dari salah satu Mīqāt.
- Tawaf: Melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
- Saie: Berlari antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.
- Tahallul: Mencukur atau memendekkan rambut.
Perbezaan utama antara rukun Haji dan Umrah adalah terletak pada kehadiran beberapa ibadah tambahan dalam Haji seperti wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, dan jumrah, yang tidak ada dalam Umrah.
Haji juga dianggap sebagai ibadah yang lebih berat dan kompleks berbanding Umrah, dan mempunyai tarikh-tarikh tertentu untuk dilaksanakan.
Umrah pula boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Wajib Umrah
Wajib Umrah ialah perkara yang wajib dilakukan ketika mengerjakan Umrah. Jika tidak dilakukan salah satu daripada perkara wajib umrah ini, ibadah umrah tetap sah tetapi dikenakan Dam menurut syaratnya dan berdosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja.
Perkara wajib umrah adalah seperti berikut:
- Berniat ihram di miqat.
- Meninggalkan pantang larang ihram.
Lafaz Niat Umrah
Niat umrah ketika di miqat adalah seperti berikut:
Nawaitul ‘Umrata Wa Ahramtu Bihaa Lillahi Ta’ala.
Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala
Tatacara Perlaksanaan Umrah
Saya telah menyediakan tatacara melaksanakan umrah secara bermodul mengikut tertibnya. Anda boleh merujuk setiap tahap melaksanakan umrah di bawah ini:
PANDUAN IHRAM: Pemakaian, Miqat & Pantang Larang Ihram
Ini adalah rukun atau tahap pertama dalam perlaksanaan Umrah.
Ihram adalah keadaan khusus dimana seorang Muslim berniat untuk menjalankan ibadah umrah atau haji dan mematuhi beberapa pantang larang selama berada dalam keadaan tersebut.
Modul ini akan menjelaskan secara lengkap berkaitan ihram, bermula dari waktu dan tempat (Miqat), perkara sunat, Solat Sunat Ihram, Niat Ihram Umrah, pantang larang semasa dalam ihram dan sebagainya.
PANDUAN TAWAF: Niat, Cara & Bacaan Doa Serta Zikir Semasa Tawaf
Tawaf adalah tahap atau rukun kedua dalam Umrah.
Tawaf adalah perbuatan mengelilingi Kaabah dalam arah lawan jam sebanyak tujuh kali, bermula dan berakhir di Hajarul Aswad dengan menjadikan Kaabah di sebelah kiri kita. Amalan ini hanya boleh dilakukan di Baitullah, di Masjidil Haram.
Modul ini akan membimbing anda secara langkah-demi-langkah mengenai:
- Syarat Tawaf
- Niat & cara melakukan tawaf
- Bacaan zikir & doa dalam setiap pusingan tawaf
- Solat sunat tawaf & Doa
… serta sebagainya.
PANDUAN SAIE: Niat, Cara & Bacaan Doa Serta Zikir Semasa Saie
Selesai mengerjakan Tawaf, seterusnya kita akan melakukan rukun ketiga Umrah iaitu Saie.
Saie ialah perbuatan berjalan berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan syarat-syaratnya. Ia merupakan salah satu rukun dalam ibadah Umrah atau Haji. Seseorang tidak boleh membuka ihramnya selagi belum menyelesaikan Saie.
Modul saie ini akan membimbing perkara-perkara berkaitan dengan saie merangkumi:
- Niat Saie
- Bacaan-bacaan dalam Saie
- Syarat sah
- Perkara sunat
… dan berapa perkara lain yang berkaitan.
PANDUAN TAHALUL: Cara, Doa & Syarat-Syarat Semasa Bercukur Rambut
Tahalul adalah perbuatan menggunting rambut atau bercukur selepas selesainya Saie. Ia adalah rukun keempat dalam Umrah.
Tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam ihram. Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saie.
Dalam modul Tahalul ini, saya akan menjelaskan:
- Maksud & hukum Tahalul
- Perkara sunat
- Syarat sah
- Perbezaan antara Tahalul Umrah & Haji
Modul ini juga menyertakan doa-doa semasa Tahalul dan perkara lain yang perlu anda tahu.
TERTIB
Maksud tertib adalah melaksanakan setiap ibadah Umrah dalam urutan yang betul seperti yang ditetapkan dalam hukum syara’. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa ibadah Umrah dilaksanakan dengan betul dan sah.
Berikut adalah urutan tertib Umrah:
- Niat dan Ihram
- Sebelum memulakan Umrah, seseorang perlu meniatkan diri untuk melakukan Umrah dan memasuki keadaan ihram. Ini biasanya dilakukan di salah satu daripada miqat yang telah ditetapkan.
- Pakaian Ihram adalah pakaian khas yang terdiri daripada dua helai kain putih yang tidak dijahit (bagi lelaki) dan ini mesti dipakai sebelum memasuki kawasan tanah haram Makkah.
- Tawaf
- Setelah sampai di Masjid al-Haram, lakukan tawaf, iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, bermula dari Hajar Aswad (Batu Hitam) dan berakhir di situ juga.
- Semasa tawaf, jemaah disarankan untuk membaca doa dan zikir
- Melakukan “Ramal”, iaitu berlari anak dalam tiga pusingan awal tawaf bagi lelaki, manakala Ibtiba’ adalah membuka bahu kanan semasa tawaf. Ini adalah sunnah bagi lelaki.
- Saie
- Selepas solat sunat Tawaf, jemaah melakukan Saie, iaitu berjalan antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, bermula dari Safa dan berakhir di Marwah.
- Tahallul
- Tahallul adalah ibadah terakhir dalam Umrah, di mana jemaah lelaki mencukur kepala mereka, manakala wanita memendekkan rambut mereka sekurang-kurangnya 3 helai, sebagai tanda penamat ibadah Umrah.
Urutan di atas mesti diikuti dengan betul untuk mematuhi rukun tertib dalam Umrah. Setiap langkah dalam urutan ini adalah penting untuk memastikan ibadah Umrah tersebut sah.
Jika anda mempunyai sebarang soalan mengenai tatacara perlaksanaan Umrah, anda boleh terus bertanya pada ruangan komen yang disediakan dalam modul-modul di atas.
Persedian & Persiapan Umrah
Perjalanan menuju Baitullah, rumah suci bagi umat Islam di seluruh dunia, bukanlah sekadar perjalanan fizikal tetapi lebih merupakan perjalanan rohani yang mendalam.
Umrah, sebagai salah satu ritual ibadah yang penuh barakah, memerlukan persediaan yang komprehensif – tidak hanya dari aspek logistik dan fizikal, tetapi lebih penting lagi dari aspek rohani dan jiwa.
Sebelum menjejaki tanah suci Makkah, sebelum kita melingkar Tawaf mengelilingi Kaabah, kita harus memastikan hati dan jiwa kita bersih, suci dan dipenuhi dengan niat yang murni.
Berikut adalah beberapa langkah penting dalam mempersiapkan diri dari segi spiritual sebelum mengerjakan umrah.
Persediaan Barangan Sebelum Berangkat
Sebelum memulakan perjalanan ibadah umrah, persediaan barang-barangan adalah penting untuk memastikan perjalanan anda berjalan lancar. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:
- Dokumen dan Jadual Perjalanan
Pastikan semua dokumen penting disediakan. Ikuti semua prosedur di lapangan terbang. Sediakan borang yang diperlukan dan simpan dengan baik. Konsultasi dengan agensi perjalanan anda mengenai jadual perjalanan. - Mahram
Bagi wanita yang berhasrat untuk berumrah sendirian, pastikan anda mempunyai mahram. Ini kerana terdapat pemeriksaan ketat semasa berangkat dan pulang. - Beg yang Praktikal
Pilih beg yang sederhana saiznya dan senang untuk dibawa. Walaupun ada pihak yang akan menguruskan bagasi, terdapat situasi di mana anda perlu membawa sendiri beg tersebut. - Tukar Wang
Sebelum berangkat, tukarkan wang Ringgit Malaysia anda kepada Riyal. Sediakan juga wang dengan nilai yang lebih kecil seperti 1 riyal, 5 riyal dan 10 riyal untuk kemudahan membeli belah. - Kelengkapan Mandi
Bawalah perlengkapan mandi seperti berus gigi, ubat gigi, sabun, dan syampu. Letakkan di tempat yang mudah dicapai. - Ubat-ubatan
Sediakan ubat-ubatan ringan seperti ubat sakit perut, luka, mabuk, selesema, batuk, dan titis mata. Jika ada ubat peribadi, jangan lupa bawanya. Bagi wanita, jangan lupa bawa ubat penahan haid setelah mendapat nasihat daripada doktor. - Sabun Basuh
Membawa sabun cuci dalam bentuk cecair atau serbuk kerana kos dobi di Saudi agak mahal. - Pakaian yang Sesuai
Bawalah pakaian yang nipis. Namun bagi wanita, pastikan pakaian tidak tembus pandang. Pakaian nipis lebih cepat kering bila dicuci. - Baju Umrah dan Kelengkapan Solat
Sediakan baju umrah, sarung tangan, beg selipar, dan telekung. Kebanyakan agensi pelancongan akan menyediakan satu set. - Sarung Kaki
Bawa beberapa pasang sarung kaki yang nipis. Ia mudah untuk dicuci dan cepat kering. - Beg Pinggang
Gunakan beg pinggang kerana lebih selesa daripada beg sandang. - Perlindungan dari Matahari
Sediakan payung lipat dan cermin mata hitam untuk perlindungan dari cahaya matahari. - Perlindungan Muka dan Kulit
Bawa topeng penutup hidung, penahan debu, Sun Block dalam bentuk spray, dan losyen tangan atau kaki. - Pakaian Dalam dan Tidur
Sediakan pakaian tidur dan pakaian dalam yang mencukupi. - Makanan Ringan
Bawa makanan ringan untuk mengatasi rasa bosan. - Penyembur Air
Untuk memudahkan wuduk tanpa keluar dari masjid dan menyegarkan wajah ketika panas. - Telefon Bimbit
Bawa dan gunakan telefon peribadi yang ada. Anda boleh roaming atau gunakan simkad tempatan. - Pengetahuan Sejarah
Baca mengenai kisah para Nabi untuk memperdalam makna ketika berada di tempat-tempat bersejarah. - Penanda Bagasi
Gunakan penanda yang mudah dikenali untuk beg anda, seperti pita warna-warni dengan nama dan alamat di Malaysia.
Checklist Barang Umrah
Sila rujuk panduan lengkap checklist barangan yang dicadangkan untuk dibawa semasa Umrah. PDF juga turut disediakan.
Persediaan Fizikal Dan Kesihatan
Salah satu aspek penting sebelum melaksanakan ibadah umrah adalah memastikan kemampuan diri dari segi kesihatan dan keupayaan fizikal. Kemampuan di sini bukan merujuk semata-mata kepada keadaan kewangan, tetapi juga kesediaan fizikal.
Pelaksanaan umrah memerlukan tenaga, terutamanya ketika melaksanakan tawaf, sa’i yang melibatkan tujuh kali ulang-alik, dan lain-lain aktiviti di Tanah Suci.
Untuk itu, persiapan fizikal adalah amat penting untuk memastikan ibadah umrah dapat dilaksanakan dengan lancar dan maksimum. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil bagi mempersiapkan diri dari segi fizikal:
- Bersenam Secara Teratur Disyorkan bagi calon-calon jemaah umrah untuk bersenam secara rutin. Mulakan dengan aktiviti ringan seperti joging, berjalan kaki, berbasikal atau berenang selama 20 – 30 minit setiap hari.
- Pemakanan yang Seimbang Pemakanan yang baik mempengaruhi metabolisme dan tenaga tubuh. Oleh itu, penting untuk menjaga pemakanan dan memastikan tubuh mendapat nutrisi yang seimbang.
- Rehat Yang Cukup Sentiasa mendengar isyarat tubuh. Apabila berasa letih, rehatkan diri. Memaksakan diri terus beraktiviti tanpa rehat yang cukup boleh membahayakan kesihatan dan mengganggu perjalanan ibadah anda.
- Pemeriksaan Kesihatan Secara Menyeluruh Sebelum berangkat ke Tanah Suci, disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lengkap. Dengan itu, anda dapat memastikan kesihatan anda berada dalam keadaan terbaik dan mendapatkan nasihat perubatan yang sesuai.
Persediaan Secara Rohani
- Memahami Makna Syahadah:
- Syahadah merupakan asas keimanan setiap Muslim. Sebelum berlepas, perkuat pemahaman anda mengenai maknanya supaya ibadah yang dilakukan diberkati dengan keyakinan.
- Mengikhlaskan Niat:
- Umrah perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Pastikan niat anda suci daripada niat lain seperti ingin mendapat pujian.
- Meningkatkan Amalan:
- Bertambah amalan soleh seperti zikir, solat tahajjud, dan membaca Al-Quran. Ini akan mendekatkan anda dengan Allah sebelum memasuki tanah suci.
- Muhasabah Diri:
- Merenungkan tindakan dan tingkah laku diri, dan memperbetulkan apa yang perlu diperbaiki.
- Penghayatan Taubat Nasuha:
- Bertaubat dengan sepenuh hati dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan. Taubat adalah pintu agar doa dan ibadah kita diterima Allah.
- Meningkatkan Kualiti Solat:
- Usahakan solat anda lebih khusyuk. Cuba untuk memahami setiap bacaan dan pergerakan dalam solat.
- Membanyakkan Berpuasa:
- Puasa sunat, seperti puasa Isnin-Khamis, dapat membersihkan jiwa dan menyediakan fizikal anda untuk umrah.
- Belajar Bersabar:
- Semasa umrah, mungkin ada dugaan seperti keramaian atau kepanasan. Sabar adalah kunci untuk menempuhi semua ini.
- Mengawal Perasaan:
- Tanah suci adalah tempat yang suci. Elakkan perasaan marah atau negatif. Jaga hati dan fikiran anda supaya sentiasa tenang.
- Bantu Membantu:
- Tolonglah jemaah yang lain, terutama mereka yang menghadapi kesulitan. Ini memupuk semangat persaudaraan.
- Berinfaq Dan Bersedekah:
- Berinfaq di tanah suci memiliki kelebihan tersendiri. Ambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan yang memerlukan.
- Mengelak Sifat Riak:
- Lakukan semua ibadah dengan ikhlas dan elakkan sifat riak yang boleh mengurangkan ganjaran.
- Mengamalkan Sifat-Sifat Terpuji:
- Latih diri untuk selalu berkelakuan baik dan elakkan sifat tercela. Misalnya, bercakap dengan lembut, mengelakkan fitnah, dan sebagainya.
- Bersangka Baik Kepada Allah:
- Percayalah bahawa setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah. Walaupun ada rintangan, yakinlah Allah memberi yang terbaik untuk hamba-Nya.
- Istiqamah:
- Selepas umrah, kekalkan amalan baik anda. Jangan biarkan pengalaman rohani anda berakhir setelah kembali dari tanah suci.
- Membekalkan Taqwa:
- Taqwa adalah kesedaran untuk sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Pastikan hati anda sentiasa dalam keadaan taqwa.
- Tawakal:
- Walaupun anda bersedia sebaik mungkin, serahkan segalanya kepada Allah. Dia-lah yang memberi kemudahan dan kejayaan.
Dam Umrah
Dam dalam konteks umrah merujuk kepada tebusan yang dikenakan ke atas jemaah umrah apabila mereka melanggar sebarang pantang larang ihram. Dam berbentuk penyembelihan haiwan (seperti kambing) sebagai bentuk penebusan dosa dan dagingnya biasanya diagihkan kepada golongan miskin di Mekah. Dam juga boleh ditebus dalam bentuk wang.
Berikut beberapa contoh dam dilakukan:
- Pelanggaran dalam keadaan ihram: Contohnya, jika seseorang mencukur rambut, memotong kuku, atau terlibat dalam hubungan suami isteri ketika dalam keadaan ihram, beliau perlu menunaikan dam sebagai penebusan.
- Tidak dapat menamatkan umrah: Sekiranya seseorang tidak dapat menyelesaikan ibadah umrah kerana sebab tertentu, beliau mungkin perlu membayar dam.
- Pelanggaran dalam tawaf atau saie: Sebagai contoh, jika seseorang terlepas beberapa pusingan dalam tawaf atau sai’e tanpa alasan yang dibenarkan syara’.
Dalam melaksanakannya, jemaah yang perlu menunaikan dam akan menyembelih haiwan seperti kambing dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan miskin di Mekah. Bagi mereka yang menghadapi kesukaran untuk menyembelih haiwan, mereka boleh memberikan sumbangan wang yang setara dengan nilai daging tersebut sebagai sedekah.
RUJUKAN LANJUT
Tuan dan puan boleh merujuk panduan lengkap mengenai Dam dan Cara Bayarannya pada pautan ini: DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam & Bayarannya (Tatacara Lengkap)
Panduan Ibadah & Ziarah Madinah
Seluruh umat Islam dari mana-mana penjuru dunia ketika menunaikan ibadah haji ataupun umrah di Makkah hampir tidak ada satu pun yang ketinggalan untuk menziarahi tempat suci satu lagi iaitu Madinah Al-Munawarah.
Setiap solat fardu di Masjid Nabawi pahalanya akan dilipat-gandakan 1000 kali berbanding solat fardu di masjid lain.
Jika dapat melakukan sehingga 40 kali solat fardu insyaAllah akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang akan dibebaskan dari api neraka.
Dalam panduan ini, saya akan membimbing anda melakukan ibadah-ibadah di Madinah (Masjid Nabawi) dan melakukan ziarah di kawasan-kawasan sekitarnya.
Lihat: IBADAH & ZIARAH MADINAH (Panduan Lengkap)
Penutup
Saya berharap panduan ini memberi rujukan yang berguna kepada anda dalam mengerjakan ibadah Umrah.
InsyaaAllah saya akan mengemaskini panduan ini dari masa ke semasa agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa di Tanah Suci Mekah.
Jika terdapat apa-apa persoalan, anda boleh nyatakan pada ruangan komen di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
Halalkan Ilmu ye. Izinkan saya menggunakan ilmu ini. Terima Kasih
Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.
Alhamdulillah, ilmu yang dikongsikan di sini adalah untuk manfaat bersama. Dengan penuh keikhlasan, saya halalkan penggunaannya.
Semoga ia memberi kebaikan dan manfaat kepada puan serta menjadi asbab pahala yang berterusan. Terima kasih atas sokongan dan doa. 😊
Terima kasih tuan. Sangat membantu dengan penerangan yang mudah faham. Semoga Allah balas jasa baik tuan mudahkan urusan kami
Waalaikumussalam,
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana penerangan yang diberikan dapat membantu tuan. Terima kasih atas doa dan kata-kata yang baik. Semoga Allah membalas kebaikan tuan dengan rahmat dan kemudahan dalam segala urusan. Aamiin.
terima kasih kerana menyediakan nota yang lengkap ini. sangat berguna sebagai panduan terutama kepada yang pertama kali melakukan ibadah umrah atau haji. semoga allah membalas semua kebaikan saudara
Alhamdulillah, terima kasih atas kata-kata yang baik itu tuan. Saya bersyukur jika panduan yang disediakan dapat membantu tuan dan jemaah lain dalam melaksanakan ibadah umrah atau haji dengan lebih lancar. Semoga Allah SWT menerima ibadah tuan dan membalas kebaikan serta usaha tuan dengan ganjaran yang berlipat ganda. Amin.
Jika ada sebarang persoalan lain, jangan segan untuk bertanya.
Alhamdulillah byk ilmu tuan kongsikan tuk dijadikan panduan beribadah di tanah suci boleh kongsikan panduan & amalan sebelum solat jumaat di Mekah Madinah cth slps azan pertama apa yg boleh kita lakukan dulu kena solat sunat dulu ker
Alhamdulillah, terima kasih atas soalan tuan. Untuk amalan sebelum solat Jumaat di Mekah atau Madinah, berikut adalah panduan yang boleh tuan ikuti:
1. Solat Tahiyyatul Masjid: Sebaik sahaja masuk ke masjid, terutama di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, disarankan untuk menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid (solat sunat dua rakaat sebagai penghormatan kepada masjid).
2. Mendengar Azan Pertama: Selepas azan pertama berkumandang, umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti berzikir, membaca al-Quran, atau memperbanyakkan doa. Tuan juga boleh melakukan solat sunat yang lain, seperti solat sunat mutlak, sebagai tambahan sebelum khutbah bermula.
3. Solat Sunat Qabliyah Jumaat: Menurut mazhab Syafi’e, solat sunat Qabliyah (sebelum solat Jumaat) tidak mempunyai ketetapan khusus. Namun, tuan boleh melakukan solat sunat sebanyak dua atau empat rakaat sebelum khutbah dimulakan sebagai amalan sunat.
4. Mendengar Khutbah: Apabila khutbah Jumaat bermula, wajib untuk mendengarkan khutbah dengan khusyuk dan tidak bercakap. Khutbah Jumaat adalah sebahagian daripada rukun solat Jumaat.
Selain itu, memperbanyakkan doa dan berzikir pada hari Jumaat amatlah digalakkan kerana hari Jumaat adalah penghulu segala hari, dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa.
Semoga amalan tuan di tanah suci diberkati dan diterima Allah SWT.
Wallahu a’lam.
Terima kasih di atas perkongsian . Blog ini sangat-sangat membantu. Saya akan gunakan ilmu ini untuk perjalanan umrah saya. Semoga Allah SWT dapat membalas kebaikan tuan.
Alhamdulillah, saya berharap maklumat yang disediakan di blog dapat memberi manfaat dan memudahkan perjalanan umrah puan. Semoga umrah anda diberkati dan menjadi ibadah yang mabrur.
Jangan segan untuk bertanya jika ada soalan tambahan atau perlukan panduan lanjut.
Semoga Allah SWT membalas amalan kita semua. Amin. ツ
Terima kasih tuan. Blog ini amat membantu saya dalam memahami “UMRAH”.
Saya bersyukur dapat membantu dan menyediakan informasi yang berguna untuk pemahaman umrah tuan.
Jika ada pertanyaan atau topik tertentu mengenai umrah yang tuan ingin ketahui lebih lanjut, sila beritahu. Saya sedia untuk membantu dan memberikan maklumat yang tepat dan mudah.
Semoga perjalanan umrah anda dipermudahkan dan mendapat keberkatan.
Sangat bagus. TQVM
Sama-sama, saya gembira dapat membantu. ツ