IHRAM: Niat, Miqat Serta Pantang Larang Haji & Umrah

ihram

Ini adalah panduan lengkap ihram haji dan umrah, niat serta pantang larang.

Dalam panduan ini, saya akan membimbing anda secara langkah-demi-langkah berkaitan dengan ihram untuk Haji dan Umrah. Anda akan diterangkan mengenai:

  • Miqat
  • Perkasa sunat dalam ihram
  • Lafaz niat
  • Pantang larang

.. dan sebagainya.

Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan transliterasi Rumi bagi membantu anda yang sukar membaca tulisan arab. Jika anda sebarang soalan, anda boleh ajukan pada ruangan komen di bawah panduan ini.

Semoga memberi kemudahan kepada anda tetamu-tetamu rumah Allah..

Maksud Ihram

Ihram adalah keadaan khusus dimana seorang Muslim berniat untuk menjalankan ibadah umrah atau haji dan mematuhi beberapa pantang larang selama berada dalam keadaan tersebut.

Selain itu, ihram juga merujuk pada pakaian khusus yang dikenakan saat memasuki keadaan tersebut. Ihram untuk lelaki adalah dua helai kain tanpa jahitan. Bagi perempuan pula, pakaian sederhana yang menutupi tubuh namun meninggalkan wajah dan telapak tangan terbuka.

Secara umumnya, ihram memiliki dua definisi utama, iaitu dalam konteks keadaan dan dalam konteks pakaian.

  1. Ihram Sebagai Keadaan:
    • Ihram adalah keadaan khusus dimana seorang Muslim memasuki niat untuk melakukan ibadah haji atau umrah.
    • Dalam keadaan ini, orang tersebut wajib patuh kepada pantang larang khusus yang ditetapkan dalam syariat Islam.
    • Keadaan ihram dimulai dengan niat di tempat yang disebut miqat dan berakhir setelah seseorang menyelesaikan perbuatan tertentu dari ibadah haji atau umrah.
  2. Ihram Sebagai Pakaian:
    • Ihram juga merujuk pada pakaian khusus yang dikenakan oleh seorang Muslim saat memasuki keadaan ihram.
    • Untuk lelaki, pakaian ihram terdiri dari dua helai kain tanpa jahitan: satu yang dikenakan di bagian bawah tubuh (seperti sarung) dan satu lagi yang dikenakan di bagian atas tubuh.
    • Ihram bagi perempuan biasanya pakaian sederhana yang menutupi seluruh tubuh mereka, namun wajah dan telapak tangan tetap tidak tertutup. Pakaian ini tidak boleh memiliki jahitan, wangian, atau hiasan.

Waktu Dan Tempat Ihram (Miqat)

Nabi ο·Ί telah menentukan lima tempat untuk memulai ihram yang dinamakan sebagai miqat. Maka wajib orang yang mahu mengerjakan haji dan umrah berihram di tempat-tempat ini, iaitu:

  1. Dzulhulaifah ― Merupakan miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang melaluinya. la dikenali sebagai Bir Ali. Kedudukannya lebih kurang 450 km dari Makkah.
  2. Al-Juhfah ― Merupakan miqat penduduk Syam, Maghribi, Mesir dan orang yang melaluinya. Tempat ini berada dekat dengan Kota Rabig. Jauhnya lebih kurang 187 km dari Makkah.
  3. Qarnul Manazil ― Merupakan miqat penduduk Najed dan orang yang melaluinya. la dikenali sebagai Sail al-Kabir. Jauhnya lebih kurang 95 km dari Makkah.
  4. Yalamlam ― Merupakan miqat penduduk Yaman dan orang yang melaluinya. Kedudukannya 54 km dari Makkah.
  5. Dzat ‘Irqin ― Merupakan miqat penduduk Iraq dan orang yang melaluinya. Kedudukannya 95 km dari Makkah.

Wajib berihram di tempat-tempat yang ditetapkan di atas. Jika tidak dilaksanakan, dam seekor kambing dikenakan dan akan disembelih di Makkah.

Perkara Sunat Sebelum Memakai Ihram

Perkara wajib dan sunat dalam ihram

Sebelum memakai pakaian ihram, anda hendaklah bersiap-siap melakukan perkara-perkara sunat berikut:

  • Memotong kuku.
  • Menanggalkan bulu (bulu ketiak dan bulu ari-ari).
  • Mengandam misai, janggut dan rambut.
  • Mandi sunat ihram.
  • Memakai minyak rambut.
  • Memakai bau-bauan pada tubuh badan sahaja, bukan pada pakaian ihram. Bagi perempuan hendaklah menggunakan wangian yang kurang kuat baunya atau sekurang-kurangnya sebagai penghilang bau ketiak.

Cara Mandi Sunat Ihram

Cara-cara mandi sunat ihram sama seperti mandi sunat Jumaat, mandi wajib (junub) dan mandi hari raya tetapi niat yang berlainan.

  1. Rasulullah dalam beberapa riwayat daripada isteri Baginda ο·Ί iaitu Aisyah dan Maimunah menyebut bahawa Rasulullah ο·Ί memulakan mandi dengan membasuh kedua-dua tangan setelah Baginda membersihkan tubuh daripada najis dan kekotoran.
  2. Kemudian, Baginda berkumur-kumur (madhmadoh), seterusya memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq), lalu mengeluarkannya (istinsar).
  3. Seterusnya, Baginda membasuh seluruh muka, dikuti tangan sehingga ke siku di sebelah kanan dan kiri sebanyak tiga kali.
  4. Kemudian, Baginda ο·Ί membasahkan tangan dan menyapu kepala, seterusnya Baginda ο·Ί membasahkan jari telunjuk dan ibu jari serta menyapu telinga (jari telunjuk di sebelah cuping dalam manakala ibu jari di sebelah cuping luar).
  5. Seterusnya, jangan dibasuh kaki dahulu tetapi hendaklah dijadikan penutup bagi upacara mandi.
  6. Kemudian, Baginda membasahi tubuh badan sebelah kanan (bahu sebelah kanan hingga seluruh tubuh sebelah kanan) dengan tiga cebuk air, kemudian Baginda membasahi tubuh badan sebelah kiri (bahu sebelah kiri hingga seluruh tubuh sebelah kiri) sebagaimana sebelah kanan.
  7. Sesudah itu, Baginda ο·Ί membasahi seluruh tubuh Baginda dengan meratakan air ke seluruh kulit tubuh.
  8. Selepas itu, bolehlah menggunakan sabun atau syampu dan seterusnya membilas tubuh badan.
  9. Akhir sekali, hendaklah membasuh kedua-dua kaki dan menyelat-nyelat jari-jari pada kedua-dua kaki tersebut.
  10. Disunatkan untuk kita tidak mengeringkan badan dengan mana-mana kain.

Begitulah cara mandi yang ditunjukkan oleh Baginda ο·Ί untuk kita jadikan panduan.

Ketika ini, bolehlah kita memakai harum-haruman pada tubuh badan dan setelah itu barulah memakai pakaian ihram.

Setelah sempurna, bolehlah kita memulakan niat Ihram di miqat.

Wallahua’lam.

Cara Memakai Ihram Lelaki Dan Perempuan

Pakaian ihram lelaki perempuan

Sesudah melakukan perkara sunat, anda seterusnya akan memakai pakaian ihram. Disunatkan memakai pakaian ihram yang berwarna putih.

  • Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain lepas. Sehelai dipakai untuk menutup auratnya di antara pusat dengan lutut, manakala sehelai lagi dipakai sebagai selendang untuk menutup bahagian di atas badan.
  • Pakaian ihram bagi wanita ialah pakaian yang menutup seluruh tubuhnya melainkan muka dan tapak tangan. Pastikan jemaah wanita memakai sarung lengan, stoking yang tebal dan kain tudung yang mempunyai alas dagu.

Tatacara Memakai Kain Ihram Lelaki

YouTube video
YouTube video

Solat Sunat Ihram

Solat sunat ihram

Solat ihram merujuk kepada solat sunat yang dilakukan sebelum berniat ihram di miqat. Solat ini dikerjakan dua rakaat dan sebagai salah satu cara untuk memulakan ibadah haji atau umrah.

Selepas memakai pakaian ihram dengan sempurna, anda disunatkan mendirikan solat sunat ihram. Lafaz niatnya:

Lafaz niat solat sunat ihram

 Usolli Sunnatal Ihrami Rak’ataini Ada’an Lillahi Ta’ala 

“Sahaja aku solat sunat ihram dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah al-Kafirun. Semasa rakaat kedua, sesudah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas.

Anda juga boleh merujuk tatacara mengerjakan Solat Sunat Ihram secara langkah demi langkah pada pautan ini: NIAT & CARA SOLAT SUNAT IHRAM

Waktu Larangan Solat Sunat Ihram

Solat sunat ihram ini tidak boleh dilakukan pada waktu tahrim. Sebenarnya ada lima waktu tahrim yang tidak dibenarkan iaitu:

  • Selepas solat subuh hingga matahari terbit.
  • Semasa matahari naik hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.
  • Waktu matahari tegak sehinggalah matahari tergelincir (masuk waktu zuhur).
  • Selepas solat asar sehingga matahari terbenam.
  • Waktu matahari kekuningan sehingga matahari terbenam.

Bagi jemaah yang masuk ke Makkah melalui Malaysia, wajib berniat ihram sebelum kapal terbang melepasi miqat Qarn Manazil.

la akan dimaklumkan di dalam pesawat oleh pihak yang bertanggungjawab.

Niat Ihram Umrah & Haji

Niat Ihram Umrah & Haji

Niat ihram adalah niat yang diucapkan oleh seseorang yang ingin memulai ibadah umrah atau haji. Niat adalah salah satu rukun dalam ibadah, dan tanpa niat, amalan tidak akan diterima.

Jemaah umrah dari Malaysia masuk akan ke Tanah Haram melalui dua jalan iaitu:

  • Malaysia ke Madinah ke Makkah. Maka miqatnya ialah Zulhulaifah (Bir Ali).
  • Malaysia ke Makkah. Maka miqatnya ialah di Qarnul Manazil (berniat di atas pesawat)

Selepas seseorang telah berniat, maka bermulalah pantang larang ihram ke atas dirinya.

Niat Umrah

Niat umrah ketika di miqat adalah seperti berikut:

Niat umrah di miqat

Nawaitul ‘Umrata Wa Ahramtu Bihaa Lillahi Ta’ala.

Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala

Niat Haji

Niat mengerjakan haji adalah seperti berikut:

Niat Haji di miqat

Nawaitul Hajja Wa Ahramtu Bihi Lillahi Ta’aalaa.

Sahaja aku mengerjakan Haji dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala

Lafaz Niat Bersyarat

Bagaimana sekiranya seorang wanita yang suci menjangkakan bahawa dirinya akan didatangi haid selepas berniat ihram?

Dalam keadaan ini wanita tersebut digalakkan berniat secara bersyarat untuk mengelakkan timbulnya masalah, terutamanya jika dia tidak dapat menyempurnakan kerja-kerja umrah atau haji sedangkan waktu pulang ke tanah air sudah hampir dan haidnya masih belum kering.

Lafaz niat umrah bersyarat adalah:

“Sahaja aku bemiat umrah / Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala, sekiranya aku didatangi haid, maka aku menjadi halal.”

Apabila didatangi haid, maka terlepaslah dirinya daripada pantang larang ihram dan dia tidak terikat dengan kerja-kerja umrah lagi.

RUJUKAN LANJUT

Sila rujuk panduan ini untuk mengetahui secara lengkap berkaitan niat bersyarat: PANDUAN LENGKAP NIAT BERSYARAT HAJI & UMRAH UNTUK WANITA

Talbiah Selepas Niat Ihram

Talbiah merupakan doa atau zikir yang diucapkan oleh jemaah haji atau umrah setelah mereka mengucapkan niat ihram dan terus diulang-ulang hingga mereka melakukan tawaf di Masjidil Haram. Talbiah adalah salah satu ciri khas dari ibadah haji dan umrah dan merupakan manifestasi dari kerinduan dan panggilan kepada Allah SWT.

Selepas berihram dan disepanjang perjalanan menuju ke Makkah, anda disunatkan membanyakkan talbiah.

Lafaz talbiah adalah:

Lafaz talbiah

“Labbaika Allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik, innal hamda wan-ni’mata laka wal-mulk, laa syarika lak.”

Maksudnya:

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan ialah kepunyaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.”

Ucapan talbiah ini mencerminkan ketundukan, kesucian, dan keikhlasan hati jemaah dalam menjalankan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Bilakah talbiah dimulakan dan tamat?

Talbiah bagi umrah sunat dilafazkan bermula selepas niat ihram dan tamat apabila jemaah mula hendak melakukan tawaf.

Pantang Larang Ihram

Pantang larang ihram

Pantang larang ihram merujuk kepada sekumpulan larangan atau perbuatan yang tidak boleh dilakukan oleh jemaah haji atau umrah selama mereka berada dalam keadaan ihram. Tujuannya adalah untuk memurnikan niat, meningkatkan ketaatan, dan memfokuskan perhatian pada ibadah.

Selepas berihram, anda hendaklah menjaga pantang larang ihram, iaitu bermula ketika anda berniat shinggalah anda selesai melakukan kerja-kerja umrah atau haji.

Secara umumnya, pantang larang umrah atau ihram boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

Larangan yang dikhususkan untuk lelaki sahaja

  • Memakai pakaian bersarung, berjahit, bercantum seperti seluar, baju kemeja, stoking, kasut yang menutup jari-jari kaki dan tumit, kain pelikat dan sebagainya.
  • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya seperti songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya.

Larangan yang dikhususkan untuk wanita sahaja

  • Menutup muka.

Larangan umum

  • ο»Ώο»ΏMemakai sarung tangan.
  • ο»Ώο»ΏMemakai bau-bauan atau wangian sama ada pada badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung.
  • ο»Ώο»ΏMemakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain yang tumbuh di pipi dan dahi.
  • ο»Ώο»ΏMenanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan.
  • ο»Ώο»ΏMengerat atau memotong kuku.
  • ο»Ώο»ΏMemotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Makkah.
  • ο»Ώο»ΏMemburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Halal atau Haram.
  • ο»Ώο»ΏMelakukan mukadimah persetubuhan.
  • ο»Ώο»ΏBersetubuh.
  • Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.

Bagaimana Jika Terlanggar Pantang Larang Ihram?

Jika seseorang terlanggar pantang larang ihram semasa menjalani haji atau umrah, dia perlu membuat penebusan atau denda (Dam), bergantung pada jenis kesalahannya.

Dam terbahagi kepada 4 iaitu:

  1. Dam Tertib dan Taqdir
  2. Dam Tertib dan Ta’dil
  3. Dam Takhyir dan Ta’dir
  4. Dam Takhyir dan Taqdir

Penerangan lanjut mengenai Dam boleh dirujuk pada panduan ini: DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam & Bayarannya

Soalan Lazim Berkaitan Ihram (FAQ)

Berikut adalah soalan-soalan lazim berkaitan ihram yang sering ditanyakan:

Adakah Wanita Haid Disunatkan Melakukan Perkara Sunat Ihram?

Perkara-perkara itu juga disunatkan kepada wanita yang dalam keadaan haid.

Bila Dan Dimana Perkara Sunat Ihram tersebut Dilakukan?

Perkara-perkara ini sunat dilakukan di miqat. Bagi jemaah yang masuk ke Makkah melalui Madinah, sunat dilakukan perkara-perkara ini di miqat Bir Ali. Namun demikian, lebih mudah jika persiapan ini dilakukan sebelum berangkat dari Madinah ke Makkah sejak di hotel. Jadi kita hanya singgah di Bir Ali ini untuk menunaikan solat sunat ihram dan berniat. Bagi jemaah yang masuk terus dari Malaysia, sunat dilakukan di mana-mana tempat sebelum menaiki kapal terbang.

Bolehkah Memakai Sandal Semasa Dalam Ihram?

Boleh dengan syarat sandal tersebut hendaklah menampakkan tumit dan hujung jari-jari kaki.

Bolehkah wanita haid berniat ihram?

Wanita dalam keadaan haid tidak dihalang untuk berihram.

Seorang Isteri Secara Tidak Sengaja Tergunting Rambut Suaminya Ketika Dalam Ihram. Siapakah Yang Perlu Membayar Dam?

Kedua-dua pihak harus membayar dam atas kecuaian tersebut.

Rukun Seterusnya: TAWAF (Panduan Lengkap)

tawaf

Apabila anda telah sampai ke Kota Mekah, rukun atau perkara seterusnya adalah mengerjakan Tawaf.

Antara boleh rujuk panduan mengerjakan Tawaf pada pautan ini: TATACARA MENGERJAKAN TAWAF (Panduan Lengkap)

Dalam panduan ini, saya telah menyediakan secara lengkap segala perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan tawaf yang perlu anda tahu, bermula dari niat dan bacaan tawaf untuk setiap pusingan.

Penutup

Saya berharap panduan telah membantu anda dalam melaksanakan rukun pertama iaitu Ihram.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berhubung Ihram, silakan tinggalkan pertanyaan anda pada ruangan komen di bawah.

InsyaaAllah saya akan menjawab secepat yang mungkin.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

4 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Kim
Kim
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum. Untuk niat di Miqat bagi jemaah yg datang dari Madinah ke Mekah menaiki speedtrain, bolehkah berniat di hotel sebelum bertolak ke stesen keretapi/di stesen keretapi/semasa keretapi memulakan perjalanan? Sah atau tidak jika kita berniat di salah satu dari ketiga tempat di atas? Terima kasih.

Mariam
Mariam
4 bulan yang lalu

Boleh kah jemaah wanita memakai celak sewaktu dalam ihram