NIAT BERSYARAT UMRAH & HAJI (Masalah Haid Wanita)

Bagaimana cara niat bersyarat semasa mengerjakan umrah dan haji?

Dalam panduan ini, saya akan menerangkan secara lengkap mengenai topik niat bersyarat semasa umrah dan haji bagi masalah haid wanita.

Saya juga menyertakan beberapa contoh dan situasi yang boleh dijadikan rujukan bagi anda semasa berada di Tanah Suci Makkah.

Semoga membantu. InsyaAllah..

Maksud Niat Bersyarat

Niat bersyarat ialah meletakkan syarat semasa berniat ihram haji atau ihram umrah.

Niat ini dilakukan apabila seseorang berasa bimbang atau khuatir akan ada halangan beliau meneruskan niat haji atau umrahnya, seperti akan menghadapi halangan musuh, sakit atau kedatangan haid bagi wanita.

Tanpa ada halangan ini niat bersyarat adalah tidak digalakkan.

Cara atau kaifiat melakukan niat bersyarat ialah menyertakan syarat dalam hati semasa berniat, bukan meletakkan syarat selepas berlalu satu tempoh selepas berniat.

Berikut adalah contoh niat bersyarat berdasarkan situasinya

1 SEBELUM HAID

Wanita itu berniat di miqat:

“Sahaja aku mengerjakan umrah / haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala. Sekiranya aku haid maka aku akan jadi halal.”

SEMASA SEDANG HAID

Wanita itu berniat di miqat:

“Sahaja aku mengerjakan umrah / haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala. Sekiranya haidku berterusan sehingga hari aku pulang ke tanah air (Malaysia) maka aku jadi halal.”

2

Ini mengakibatkan niat haji atau umrahnya sah, tetapi syaratnya tidak diterima.

SEBELUM HAID

Wanita itu berniat di miqat:

“Sahaja aku mengerjakan umrah / haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”

Kemudian selepas satu tempoh, seperti setelah sampai di Makkah dan berasa bimbang haidnya tidak akan berhenti atau sengaja dibuat sebagai satu strategi mengelak keadaan tidak boleh melakukan tawaf rukun dan terpaksa pulang baru meletakkan syarat:

“Sekiranya aku haid maka aku akan jadi halal.”

SEMASA SEDANG HAID

Wanita itu berniat di miqat:

“Sahaja aku mengerjakan umrah / haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”

Kemudian selepas satu tempoh, seperti setelah sampai di Makkah dan berasa bimbang haidnya tidak akan berhenti atau sengaja dibuat sebagai satu strategi mengelak keadaan tidak boleh melakukan tawaf rukun dan terpaksa pulang, baru dia meletakkan syarat:

“Sekiranya haidku berterusan sehingga hari aku pulang ke tanah air (Malaysia) maka aku jadi halal.”

Kesimpulan

Terdapat tiga keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:

Yang dibolehkan:

  • Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.
  • Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.

Yang tidak dibolehkan:

Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram biasa (tanpa syarat), kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

tawaf sunat

Wanita yang mengalami kedatangan haid dan diyakini bahawa haidnya akan berakhir / berhenti sebelum dia meninggalkan Makkah, maka dia tidak boleh bertahallul dan perlu menunggu sehingga haidnya itu berhenti. Kemudian, barulah melaksanakan rukun yang berbaki itu.

Kami menasihati wanita yang mengalami haid ketika menjalankan ibadah umrah untuk tidak terburu-buru bertahallul, tetapi sebaliknya menunggu hingga ke satu tempoh di mana ia jelas bahawa mereka tidak akan dapat menyelesaikan ibadah umrah.

Penting untuk diingatkan bahawa sepanjang tempoh menunggu ini, sebelum bertahallul, mereka masih terikat dengan semua pantang larang ihram.

Ini bermakna, sepanjang menunggu haid berakhir, mereka harus tetap mematuhi semua larangan yang berkaitan dengan ihram, termasuk larangan-larangan berkaitan dengan penampilan dan tingkah laku.

Dalam Resolusi Muzakarah Haji yang ke-34, ada dinyatakan bahawa niat bersyarat adalah satu pengecualian untuk keadaan tertentu yang amat mendesak, yang mungkin menghalang seseorang daripada menyempurnakan ibadat haji atau umrah mereka.

Khusus untuk jemaah wanita, niat bersyarat ini lebih dititikberatkan ketika melakukan umrah dan tidak dibolehkan semasa menjalankan ibadat haji.

Ini menunjukkan kelonggaran dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah, terutamanya dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Nota

Adalah lebih baik dan sesuai bagi mereka yang berdepan dengan kesukaran untuk bersabar pada mulanya, dengan harapan kesukaran itu akan hilang sebelum mereka menamatkan masa tinggal di Makkah.

Jika mereka percaya bahawa halangan itu akan berakhir sebelum tamatnya waktu haji atau sebelum 3 hari tamat bagi umrah, maka mereka tidak sepatutnya bertahallul. Mereka perlu melengkapkan rukun-rukun yang masih belum dilakukan setelah halangan itu berakhir[1]

doa melihat kaabah

Fatrah al-Naqa’ secara ringkasnya boleh difahami darah haid terhenti ditengah-tengah tempoh haid (15 hari).

Oleh itu apakah hukum mengerjakan tawaf dalam tempoh ini?

Berikut adalah ringkasan yang saya perolehi daripada Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri:

Dalam hal ini, terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Pertamanya, pendapat al-Sahb — dan ini merupakan pendapat yang muktamad — iaitu fatrah al-Naqa’ (tempoh faraj bersih daripada darah) yang berada pada waktu selang antara keluarnya darah haid, yang di dalam tempoh 15 hari, juga dianggap sebagai haid kerana kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Manakala darah yang keluar melebihi 15 hari dianggap sebagai darah istihadhah.

Manakala pendapat kedua pula, yakni pendapat al-Laqt, iaitu menganggap fatrah al-Naqa’ itu sebagai waktu suci.[2]

Oleh itu, pendapat kedua ini menatijahkan bahawa amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut adalah sah.

Inilah juga pendapat yang banyak difatwakan oleh ramai ulama kontemporari, apabila melibatkan perlaksanaan ibadah haji dan umrah yang terikat dengan kemampuan ekonomi dari segi bebanan kewangan kerana tambahan perbelanjaan, peningkatan kos hotel, kos pengangkutan seperti tambang tiket kapal terbang atau bas, visa dan kebersamaan dengan rombongan.

Kesimpulan

Mengikut perbahasan ini, pendapat yang diutamakan adalah bahawa masa suci (fatrah al-Naqa’) bagi wanita yang melakukan umrah dianggap sebagai waktu suci.

Oleh itu, solat, tawaf, dan ibadah lain yang dilakukan dalam tempoh ini adalah sah.

Namun, wanita tersebut perlu mandi wajib sebelum menyelesaikan tawaf. Dia tidak perlu menunggu 24 jam selepas berhenti haid untuk memulakan tawaf.[3]

Jika haid datang semula setelah tawaf selesai, ini tidak mempengaruhi kesahan tawafnya.

Dalil Mengenai Niat Bersyarat

Niat bersyarat adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

Rasulullah SAW menemui Dhuba‘ah binti al-Zubair. Baginda bertanya: ‘Adakah engkau hendak mengerjakan haji?’

Dhuba‘ah menjawab: ‘Demi Allah, aku tiada masalah kecuali berasa sakit.’

Baginda bersabda: ‘Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah: Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendak-Mu.’”

— Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan Dhuba’ah diarahkan meletakkan syarat seiringan dengan niat hajinya: Berniat hajilah dan syaratkanlah, “… sekiranya ada halangan …”

Orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul.

Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul.

Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan TIDAK dikenakan dam (kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam dalam niatnya).

Maka, telah tergugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

“Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”

— Surah al-Baqarah: 196

Ayat tersebut turun di Hudaibiyah ketika orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Nabi SAW bersabda kepada para sahabat: “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.[4]

Isu-Isu Haid Semasa Mengerjakan Haji

Berikut adalah masalah-masalah berkaitan haid yang sering berlaku semasa mengerjakan umrah atau haji.

Boleh melakukan perkara sunat sebelum ihram seperti memotong kuku, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, boleh mandi sunat ihram dan boleh berniat untuk ihram sekalipun dalam keadaan tidak suci.

Melakukan semua kerja haji: Wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar kesemua jamarat dan membaca doa-doa berkaitan, berzikir dan bertalbiah, kecuali tawaf.

Wanita yang datang haid semasa di Makkah dibolehkan berzikir, tahmid, tahlil, takbir dan talbiah.

Sekiranya wanita memilih melakukan haji tamatuk kemudian datang haid sebelum tawaf umrah dan dibimbangi luput haji, dia boleh berniat ihram haji berserta umrah (qiran).

Dengan itu, dia bertukar daripada haji tamatuk kepada haji qiran. Ini ialah pandangan majoriti fuqaha dan wajib bayar dam.

Jemaah haji wanita yang mengalami kedatangan haid semasa melakukan tawaf, sama ada berlaku selepas langkah pertama pada pusingan pertama, atau pada pusingan kedua dan pusingan-pusingan seterusnya.

Dalam keadaan seperti ini wanita yang telah berniat untuk melakukan haji tamatuk atau umrah sunat, maka tawafnya tidak sah.

Beliau dikehendaki menunggu sehingga suci daripada haid, kemudian melakukan tawaf semula. Selepas itu barulah boleh melakukan saie dan bergunting. Dengan itu, umrahnya dianggap telah selesai.

Walau bagaimanapun, sekiranya haid wanita itu tidak suci sehingga masa hendak berangkat melakukan wuquf di Arafah bererti ibadat umrahnya belum selesai.

Dalam keadaan seperti ini terdapat dua pendapat mazhab yang berbeza:

Pertama

Mazhab Syafi i berpendapat, wanita terbabit tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya dalam umrah tamatuk yang belum selesai itu kerana telah memulakan tawaf.

Hal ini demikian bermakna wanita terbabit tidak dapat melakukan ibadat haji pada tahun tersebut.

Kedua

Bagi mazhab Imam Malik, wanita terbabit masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu selagi dia belum mengakhiri tawafnya dengan melakukan solat sunat tawaf dua rakaat.

Dengan memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu, hajinya telah bertukar menjadi haji qiran.

Beliau juga dikenakan dam haji qiran. Oleh itu, bagi wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihatkan supaya bertaklid dengan mazhab Maliki.

Sekiranya dam tamatuk telah dibayar dam itu akan bertukar menjadi dam qiran.

Sekiranya wanita datang haid selepas wuquf di Arafah dan selepas tawaf rukun sedangkan haidnya tidak suci sehingga hampir hendak pulang ke tanah air, dia tidak perlu tawaf wada dan tidak dikenakan dam.

Sekiranya haid datang sebelum tawaf rukun sedangkan tarikh penerbangan pulang ke tanah air telah hampir dan tidak memungkinkannya menunggu suci, ada tiga kaedah penyelesaian yang boleh dipilih oleh wanita terbabit.

Pilihan-pilihan tersebut adalah seperti berikut:

i) Tangguh Penerbangan

Memohon penangguhan tarikh pulang daripada pihak pengurusan Tabung Haji ke tarikh dia selesai melakukan tawaf rukun.

Sebaiknya urusan memohon penangguhan tarikh pulang ini dibuat seminggu sebelum bertolak ke Arafah, khususnya bagi mereka yang dijadualkan pulang dengan penerbangan awal.

ii) Pulang ke tanah air dengan membayar dam ihsar

Wanita terbabit boleh pulang ke tanah air tanpa tawaf rukun, namun beliau dikehendaki melakukan dam ihsar untuk membebaskannya (tahalul) daripada keadaan ihram.

Cara ini adalah mengikut pendapat mazhab Syafie. Dam ihsar hendaklah dilakukan setelah keluar dari Makkah sekadar dua marhalah atau setelah sampai di tanah air (Malaysia).

Selagi dam ihsar belum dilakukan, wanita terbabit masih berada dalam tahalul thani dan masih terikat dengan tiga lagi perkara larangan semasa dalam ihram iaitu berkahwin, bersetubuh dan melakukan mukadimah persetubuhan.

Cara melakukan dam ihsar ialah dengan:

  • Menyembelih seekor kambing yang cukup syarat dijadikan korban atau akikah dengan niat melakukan dam ihsar, kemudian bercukur atau bergunting. Oleh itu, beliau sudah terlepas daripada semua larangan tersebut di atas.
  • Sekiranya tidak mampu menyembelih seekor kambing, beliau hendaklah membeli makanan asasi dengan nilai seekor kambing dan dibahagikan kepada fakir miskin tempatan.
  • Sekiranya tidak mampu juga beliau hendaklah berpuasa beberapa hari, sebanyak bilangan cupak makanan asasi yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing.

Perlu dingat, sekalipun telah melakukan dam ihsar haji wanita terbabit belum dianggap selesai selagi dia belum melakukan tawaf dan saie.

Rukun haji yang belum selesai ini bolehlah dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan bulan-bulan haji.

Namun demikian, wanita terbabit dinasihatkan supaya segera melakukannya apabila dia mampu.

iii) Tawaf dalam keadaan haid

Wanita terbabit boleh melakukan tawaf rukun dalam keadaan haid dan beristighfar kepada Allah kerana melakukan dosa memasuki masjid dalam keadaan haid.

Beliau dikehendaki membayar dam dengan menyembelih seekor unta. Dengan proses ini hajinya dianggap telah sempurna.

Cara ini adalah menurut mazhab Hanafi. Oleh itu, wanita terbabit bertaklid dengan Mazhab Hanafi.

Seorang Wanita Kedatangan Haid Sebelum Tahallul Umrah, Bolehkah Dia Mengupah Orang Lain Melakukan Tawaf Untuk Dirinya?

Tidak boleh mengupah orang lain dalam masalah ini kerana Tawaf termasuk di dalam rukun-rukun umrah dan ia hendaklah melaksanakan Tawaf itu sendiri setelah suci dari haidnya.

Ketika Tawaf pusingan ketiga datang haid lalu berhenti Tawaf. Ketika hendak berangkat ke Arafah haidnya masih belum suci lagi. Bagaimanakah caranya wanita itu hendak mengerjakan Haji?

Mengikut mazhab Syafi’e tidak dibolehkan memasukkan Haji kepada Umrah sekiranya telah melakukan Tawaf Umrah walaupun selangkah. Tetapi mengikut Mazhab Maliki dibolehkan serta makruh selagi belum solat dua raka’at sunat Tawaf maka jadilah Haji Qiran dan dikenakan Dam Qiran. Sebelum bertolak ke Arafah walaupun masih dalam keadaan haid, dia hendaklah berniat Haji dan jadilah Haji Qiran.

Jemaah haji didatangi haid selama 5 hari 5 malam dan setelah bersuci dia telah melaksanakan umrah dan semasa mengerjakan saie selepas tiga pusingan terdapat sedikit darah. Bagaimana hukum umrahnya?

Jika Jemaah itu kesuntukan masa kerana keperluan yang terdesak (al-hajah) maka bolehlah dianggap tawaf rukun itu telah sah walaupun dilakukan dalam waktu darah haid yang tidak keluar di dalam dan di luar faraj dalam tempoh kebiasaan haid (naqa’) dan dia boleh menyempurnakan umrahnya beserta tahallul.

Jika sekiranya Jemaah itu mash mempunyai masa yang lama di Makkah maka hendaklah dia menunggu hingga tempoh kebiasaan haidnya suci. Ini adalah pendapat al-azhar dalam pandangan Mazhab Shafie.

Seorang jemaah Haji perempuan mengerjakan Umrah. Semasa Tawaf pusingan ketiga terasa keluar sesuatu dari farajnya, ia terus Tawaf sehingga selesai. Setelah selesai ia telah mengenal pasti yang keluar itu adalah darah haid, kemudian ia Saie dan Bergunting. Apakah hukum Umrahnya?

Umrahnya tidak sah kerana Tawanya tidak sah. la dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana Bergunting sebelum sempurna rukun-rukun Umrah (belum sampai masanya). Oleh itu apabila ia telah suci daripada haid dan mandi hadas besar, ia dikehendaki menyempurnakan Tawafnya diikuti dengan Sa’ie dan Bergunting untuk Tahallul Umrahnya.

Pada kebiasaannya perempuan yang mengandung tidak turun darah, tetapi turun juga darah dan mengikut pemeriksaan doktor, darah itu turun bukan dari rahimnya, tetapi dari tembuni yang terkoyak sedikit atau bocor, apakah jenis darah yang keluar itu?

Menurut pendapat al-Syafieyah bahawa darah itu adalah Istihadhah menurut syarat dan kaedah haid. Ini adalah Qaul Jadid manakala Qaul Qadim itu bukanlah darah haid.

Jemaah Haji wanita keguguran selepas 4 bulan mengandung bersifat manusia yang tidak menentu, tetapi pihak doktor dapat menentukan bentuk sifat itu seperti mata dan sebagainya iait bentuk yang tidak sempurna. Apakah jenis darah yang keluar selepas keguguran itu?

Darah yang keluar selepas keguguran itu dikira sebagai darah nifas.

Apakah hukum darah yang kelar dari kemaluan perempuan selama 12 hari dan berhenti pula 2 hari, kemudian datang semula sedikit-sedikit selama beberapa hari?

Hukum darah yang keluar dalam tempoh 15 hari adalah darah haid dan darah yang keluar selepas 15 hari darah istihadah. Adapun kedatangan darah selama 12 hari adalah darah haid dan berhenti selama 2 hari itu dikatakan Fatrah An Naqa’ (detik berhenti darah).

Seorang jemaah Haji wanita berumur 62 tahun dan telah berhenti (putus) haid selama 12 tahun. Semasa di Makkah darah keluar dari kemaluannya selama lima hari. Mengikut sifat darah dan cara keluarnya dari pengalamannya yang dilalui darah itu darah haid. Masalahnya adakah perempuan yang sebaya dengannya masih kedatangan haid lagi?

Menurut penjelasan yang diberikan adalah darah yang keluar itu ialah darah haid, kerana mengikut Mazhab Syafi’e seseorang perempuan yang masih hidup boleh pada bila-bila masa didatangi haid. Sungguh pun umur ghalib perempuan putus haid semasa berumur 62 tahun.

Penutup

Sebagai penutup, niat bersyarat dalam umrah dan haji merupakan solusi bagi wanita yang menghadapi masalah haid. Melalui pemahaman yang mendalam dan pelaksanaan yang tepat, ibadah umrah dan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna walaupun dalam keadaan uzur

Semoga artikel ini memberikan manfaat dan membantu jemaah wanita dalam menghadapi situasi ini dengan lebih tenang dan teratur.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan topik ini, sila tinggalkan persoalan anda pada ruangan komen di bawah

Nota Kaki

  1. Lihat al-Taqirat al-Sadidah, hlm. 511-512 ↩︎
  2. Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 166 ↩︎
  3. Dalam Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke-35 yang diadakan pada 9-11 November 2018 memutuskan bahawa tempoh al-Naqa’ ditentukan berdasarkan pengalaman, realiti dan kebiasaan fatrah al-Naqa’ yang dialami oleh seseorang individu jemaah haji wanita terbabit sebelumnya, dengan tidak menentukan tempoh masa tertentu dan syarat-syarat darah tidak keluar semasa melakukan tawaf. Dalam erti kata lain, wanita tersebut tidak perlu tidak perlu menunggu sehingga 24 jam fatrah al-Naqa’ untuk menyelesaikan ibadah tawaf, sebaliknya boleh terus dilaksanakan tawaf apabila wanita tersebut yakin dia boleh melaksanakan ibadat tawaf dalam tempoh al-Naqa’ tersebut. Jika wanita tersebut tidak mendapati darah setelah selesai melaksanakan tawaf, maka ibadah tawaf itu dianggap sah, meskipun jika beberapa ketika selepas itu darah kembali keluar berdasarkan pendapat al-Laqt tadi.
    ↩︎
  4. Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175 ↩︎

Rujukan

  1. Darah Wanita, Pandangan Ulama dan Pakar Perubatan, Dr. Anisah Ab Ghani
  2. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji
  3. #3166: Niat Bersyarat Ketika Mengerjakan Umrah, Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, laman web Maktabah Al Bakri [Pautan]
  4. #171 Kesan Darah Selepas Umrah, Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, laman web Maktabah Al Bakri [Pautan]
  5. Al-Kafi #1839 : Status Naqa’ Dan Fatrah Dalam Tempoh Haid, laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [Pautan]
  6. Al-Kafi #894 : Tompokan Darah Kurang Daripada 24 Jam Sewaktu Umrah, laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [Pautan]
  7. Irsyad Al-Fatwa Haji Dan Korban Siri Ke-32 : Niat Bersyarat Ketika Mengerjakan Ibadah Umrah [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nura
Nura
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum… Sekiranya seorang wanita datang haid hari pertama sebelum berniat di miqat, kemudian dia niat bersyarat kerana yakin haid tidak akan berhenti sehingga pulang ketanah air,.. Apakah perlu bertahlul atau tidak perlu.. Terima kasih