NIAT & CARA SOLAT SUNAT RAWATIB (Ba’diyyah & Qabliyyah)

solat sunat rawatib

Ini adalah panduan lengkap Solat Sunat Rawatib merangkumi niat, tatacara dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.

Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat rawatib secara mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.

Apa yang menarik:

Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai. Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan transliterasi rumi.

Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..

Apakah Maksud Solat Rawatib?

Solat sunat rawatib merujuk kepada solat tambahan yang diiringi solat fardu lima waktu, sama ada sebelum (Qabliyyah) atau selepas (Ba’diyyah). Ia bertujuan memperbaiki kekurangan dalam solat fardu. Solat sunat ini dilakukan secara bersendirian dan amat digalakkan dalam Islam.

YouTube video

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, solat sunat rawatib disebut juga sebagai solat yang mempunyai waktu.

Ini kerana waktu perlaksanaan bagi solat sunat rawatib merupakan waktu bagi melakukan solat fardu.

Sebaik sahaja masuknya waktu solat fardu, maka solat sunat rawatib boleh dilaksanakan dan berterusan waktunya sehingga habis waktu solat fardu.

Pembahagian Solat Rawatib adalah seperti berikut:

  1. Solat sunat Qabliyyah (solat sunat sebelum solat fardu)
  2. Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat selepas solat fardu)

Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar.

Sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah.

Sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian, dan tidak didirikan secara berjemaah.

Waktu Solat Sunat Rawatib

Waktu mengerjakan Solat Sunat Rawatib (Qabliyyah) dikerjakan selepas azan (masuk waktu) solat fardu dan dilakukan sebelum iqamah jika bersolat di masjid. Jika ia dilakukan di rumah, ia tidak terikat dengan waktu antara azan dan iqamah.

Solat Sunat Rawatib (Ba’diyyah) dilakukan setelah kita selesai mengerjakan solat fardu.

solat sunat isyraq

Dua Jenis Solat Sunat Rawatib (Muakkad Dan Tidak Muakkad)

solat sunat sebelum solat jumaat

Pelaksanaan solat sunat rawatib boleh dikelaskan kepada dua bentuk yang berbeza hukum sunatnya, iaitu:

1. Solat Sunat Rawatib Muakkad (Amat Dituntut)

Solat sunat rawatib ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW secara istiqamah, konsisten dan berterusan yang mana Baginda sama sekali tidak pernah meninggalkannya.

2. Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad (Baik Jika Dilakukan)

Solat sunat rawatib ini menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW yang mana kadangkala Baginda melakukannya dan kadangkala Baginda meninggalkannya.

Dalam kitab Radd al-Mukhtar, Ibn Abidin berkata sunnah merupakan sesuatu yang menjadi konsistensi dan kebiasaan Rasulullah SAW.

Jika sunnah itu tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda, maka ia adalah sunnah muakkad. Sebaliknya jika sunnah itu adakalanya ditinggalkan oleh Baginda, maka ia adalah sunnah bukan muakkad.

Solat Sunat Rawatib Yang Dituntut (Muakkad)

Solat Sunat Rawatib yang berbentuk muakkad (amat dituntut) terdiri daripada solat sunat yang berjumlah sepuluh rakaat, iaitu:

  1. Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu subuh
  2. Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat
  3. Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
  4. Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu maghrib.
  5. Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu isyak.

Sepuluh rakaat solat sunat rawatib ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa katanya:

Aku pernah melaksanakan solat sunat bersama Rasulullah SAW iaitu dua rakaat sebelum solat zuhur, dua rakaat selepas solat zuhur, dua rakaat selepas solat jumaat, dua rakaat selepas solat maghrib dan dua rakaat selepas solat isyak.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelebihan dan ganjaran solat sunat rawatib muakkad ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah binti Abu Sufyan katanya:

Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Tidaklah seorang hamba yang muslim itu melaksanakan solat kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam sehari sebanyak dua belas rakaat sebagai tawattu’ (solat sunat) dan bukan fardu melainkan Allah SWT akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga”

(Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarah Riyadh al-Solihin, dua belas rakaat solat sunat rawatib yang terdapat dalam hadis berkenaan adalah solat sunat empat rakaat sebelum zuhur, solat sunat dua rakaat selepas solat zuhur, solat dua rakaat selepas solat maghrib, solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak dan solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.

Oleh yang demikian, sesiapa yang melaksanakan dua belas rakaat solat sunat rawatib tersebut siang dan malam dengan ikhlas, maka Allah SWT akan membina sebuah rumah yang khusus untuknya di dalam syurga.

Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad

Solat sunat rawatib bukan muakkad (ghairu muakkad) terdiri daripada solat-solat sunat yang berjumlah dua belas rakaat iaitu:

  1. Solat sunat tambahan dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
  2. Solat sunat tambahan dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
  3. Solat sunat empat rakaat sebelum solat fardu asar.
  4. Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu maghrib.
  5. Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu Isyak.

Asas kepada dua belas rakaat solat sunat rawatib bukan muakkad ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat sunat, antara dua azan ada solat sunat. Kemudian pada kali ketiga, Baginda pun bersabda: Bagi sesiapa yang mahu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ringkasan cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib

  1. Niat Solat Sunat Rawatib: Mulakan solat dengan Takbiratul Ihram sambil niat dalam hati: “Sahaja aku solat sunat [waktu tertentu] dua rakaat kerana Allah Taala”. Gantikan [waktu tertentu] dengan waktu solat fardu yang sesuai (contoh: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, atau Isyak).
  2. Bacaan dalam Solat: Bacalah Surah al-Fatihah diikuti dengan surah atau ayat pilihan.
  3. Rukuk dan Sujud: Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali dengan menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
  4. Rakaat Kedua: Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca Takbir. Ulangi bacaan Surah al-Fatihah dan surah pilihan. Kemudian, lakukan lagi rukuk dan sujud.
  5. Tahiyyat Akhir dan Salam: Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk Tahiyyat Akhir dan akhiri solat dengan memberi salam.
  6. Solat Sunat Tambahan: Jika ingin mengerjakan solat sunat lebih dari dua rakaat, bangun untuk menambah rakaat dengan niat yang sama.
  7. Doa Selepas Solat Sunat Rawatib: Setelah menunaikan solat, berdoalah dengan hati yang ikhlas, memohon kepada Allah SWT agar diberkati dalam segala aspek kehidupan.

Niat Solat Sunat Rawatib

Di bawah ini adalah langkah demi langkah untuk mengerjakan solat ini untuk setiap waktu solat fardu:

Solat Sunat SUBUH

Niat Solat Sunat Qabliyah Subuh

Solat rawatib di waktu fardu subuh dikerjakan sesudah azan subuh (sebelum iqamat) sebanyak dua rakaat.

Caranya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Lafaz niatnya:

qabliyyah subuh

  Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.

Tidak ada solat rawatib selepas fardu Subuh.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Subuh boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Subuh

Solat Sunat ZOHOR

Niat Solat Sunat Qabliyah Zohor

Cara melakukan solat sunat rawatib Qabliyyah di waktu fardu Zohor ialah sesudah azan Zohor dan sebelum iqamat.

Kerjakan sunat rawatib Zohor yang sunat muakkad dahulu.

Lafaz niatnya adalah:

qabliyyah zohor

  Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala

Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakannya dua rakaat sunat rawatib sebelum zohor yang bukan muakkad.

Niat dan cara mengerjakannya adalah sama sebagaimana solat rawatib sebelum Zohor yang muakkad.

Selesai solat sunat, barulah dikerjakan solat fardu Zohor.

Niat Solat Sunat Ba’diyah Zohor

Sesudah selesai solat fardu Zohor dan sesudah bacaan wirid dan doa, kita berdiri lagi untuk mengerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Zohor yang sunat muakkad.

Lafaz niatnya:

ba'diyyah zohor

  Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala

Cara mengerjakannya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Selepas salam, sekiranya kita mahu menambah amal, bolehlah dikerjakan solat sunat rawatib selepas Zohor yang sunat bukan muakkad.

Niat dan caranya sama seperti solat rawatib selepas Zohor yang sunat muakkad.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Zuhur boleh dilihat pada pautan ini: Solat Sunat Rawatib Zuhur

Solat Sunat ASAR

Niat Solat Sunat Qabliyah Asar

Cara melakukan sunat rawatib di waktu asar fardu asar ialah sesudah azan asar dan sebelum iqamat.

Kerjakan sunat rawatib Asar sebanyak dua rakaat.

Lafaz niatnya:

qabliyah Asar

  Usolli Sunnatal ‘Asri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala

Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakan sekali lagi sunat rawatib sebelum Asar.

Lafaz niat dan caranya sama sebagaimana sebelumnya.

Tidak ada solat rawatib selepas solat fardu Asar.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Asar boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Asar

Solat Sunat MAGHRIB

Niat Solat Sunat Qabliyah Maghrib

Cara melakukan sunat rawatib di waktu fardu Maghrib ialah sesudah azan Maghrib dan sebelum iqamat.

Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Maghrib sebanyak dua rakaat.

Lafaz niat:

qabliyyah maghrib

  Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.

Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Niat Solat Sunat Ba’diyah Maghrib

Selepas solat fardu Maghrib dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakan solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Maghrib.

Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.

Lafaz niatnya ialah:

ba'diyyah maghrib

  Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Maghrib boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Maghrib

Solat Sunat ISYAK

Niat Solat Sunat Qabliyah Isyak

Cara melakukan solat sunat rawatib di waktu fardu Isyak ialah sesudah azan Isyak dan sebelum iqamat.

Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Isyak sebanyak dua rakaat.

Lafaz niatnya:

Qobliyyah Isyak

  Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.

Niat Solat Sunat Ba’diyah Isyak

Selepas solat fardu Isyak dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Isyak.

Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.

Lafaznya adalah:

ba'diyyah isyak

  Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib Maghrib boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Isyak

Solat Sunat JUMAAT

Niat Solat Sunat Qabliyah Jumaat

Solat sunat Qabliyah Jumaat boleh dilakukan diantara dua azan, iaitu belum khatib naik ke mimbar untuk memberi khutbah:

 Usolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala 

Sahaja aku solat sunat sebelum Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.

Apabila khatib berkhutbah di atas mimbar, maka ditegah untuk solat kecuali solat sunat tahiyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.

Niat Solat Sunat Ba’diyah Jumaat

Disunatkan untuk melakukan solat Sunat Ba’diyah selepas selesai Solat Jumaat.

 Usolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala 

Sahaja aku solat sunat selepas Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.

Rujukan

Tatacara lengkap langkah-demi-langkah mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Jumaat boleh dilihat pada pautan ini: Panduan Solat Sunat Rawatib Jumaat

Qadha Solat Sunat Rawatib Yang Tertinggal

solat sunar rawatib

Bolehkah melakukan qadha solat sunat yang tertinggal?

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’, solat sunat itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Solat sunat yang tidak terikat dengan waktu yang mana ianya dilakukan dengan sebab atau sesuatu peristiwa seperti solat sunat kusuf (solat gerhana), solat sunat istisqa’ dan solat sunat tahiyyatul masjid, maka solat sunat ini tidak perlu diqadakan jika tertinggal.

Kedua: Solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat hari raya, solat sunat dhuha dan solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, maka pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi’e adalah sunat mengqadhakan solat sunat ini jika tertinggal.

Contohnya:

Jika seseorang itu tertinggal untuk melakukan solat sunat qabliyyah zuhur kerana solat berjemaah sudah bermula, maka dia boleh mengqadakan solat sunat qabliyyah itu selepas solat berjemaah tersebut.

Hukum sunat mengqadakan solat sunat yang terikat dengan waktu ini berdasarkan hadis-hadis berikut:

1. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesiapa yang tertidur sehingga meninggalkan solat atau terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mendirikan solat apabila sudah menyedarinya”

— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

2. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesiapa yang belum melakukan solat sunat dua rakaat sebelum subuh sehinggalah matahari terbit, maka hendaklah dia melakukan solat tersebut (qada)”

— Hadis riwayat al-Baihaqi

Dalam sahih Muslim disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengqadhakan solat sunat ba’diyyah zuhur selepas solat asar.

Oleh itu, sunat hukumnya untuk qadha solat-solat sunat yang terikat dengan waktu jika tertinggal atau terlepas untuk melakukannya.

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Dalam Keadaan Duduk?

Disebutkan dalam kitab al-Mu’tamad bahawa solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Itulah hukum yang disepakati secara ijmak ulama.

Tetapi yang paling afdal adalah solat sunat dalam keadaan berdiri.

Ini kerana, menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin al-Husain RA, bahawa Nabi SAW bersabda tentang orang yang solat secara duduk:

Sesiapa yang solat secara berdiri, maka itulah yang paling afdal. Sesiapa yang solat secara duduk, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang yang solat secara berdiri. Sesiapa yang solat secara baring, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang solat secara duduk.

— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Di Rumah?

Solat Sunat Rawatib yang tidak disunatkan dilakukan secara berjemaah. Maka tempat yang paling baik untuk melaksanakannya adalah di rumah masing-masing berbanding di masjid atau surau; sama ada solat sunat pada waktu siang ataupun malam, sama ada yang muakkad atau ghairu muakkad.

Sandaran hukum ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya solat yang paling baik adalah solat seseorang di rumahnya kecuali solat fardu

— Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai tempat solat kamu dan janganlah kamu jadikannya sebagai kawasan perkuburan.

— Hadis riwayat al-Bukhari

Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam digalakkan agar menghidupkan dan menerangi rumah-rumah mereka dengan amalan-amalan soleh, terutamanya solat-solat sunat.

Apakah Hikmah Dan Kelebihan Solat Rawatib?

Solat sunat ini tersingkap banyak keistimewaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Analogi solat sunat ini seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.

Menurut Imam Khatib al-Syarbini, hikmah disebalik pensyariatan solat sunat rawatib adalah bertujuan menyempurnakan, melengkapi dan menampung segala kekurangan dan kelalaian yang berlaku dalam pelaksanaan solat fardu.

Adakalanya kekurangan ini tidak disedari oleh orang yang bersolat sehinggalah solat fardunya kelihatan tidak sempurna.

Sebagai contoh, kurangnya rasa khusyu’ ketika solat, kurangnya menghayati bacaan di dalam solat, terlena atau terlalai seketika, bacaannya kurang tartil dan sebagainya.

Jadi disinilah peranan solat sunat rawatib dalam menampung segala kekurangan tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sebelum ini bahawa Allah SWT akan menjadikan solat-solat sunat sunat seorang hamba itu sebagai pelengkap kepada kekurangan yang ada pada solat fardunya.

1. Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” 

— Hadis riwayat Tirmizi

2. Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka”

— H.R. Abu Daud & Tirmidzi

3. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; 

Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” 

— Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi

4. Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” 

— H.R. At-Tabrani

Inilah keajaiban sunat rawatib dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya.

Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.

Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai sunat rawatib.

Semoga memberi manfaat kepada anda semua.

Nota Rujukan:

  1. Misykah al-Mashabih — Imam At-Tabrizi, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah Jilid 1
  2. Nihayah az-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in — Syaikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani
  3. Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
  4. Anugerah Allah Dalam Solat Rawatib — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
  5. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
  6. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
  7. Ensiklopedia Solat: Solat Rawatib — TV3 Official [Pautan]
  8. Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
  9. Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
  10. 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

726 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nana
Nana
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz nak tanya kalau kita niat tanpa menyebut solat fardunya boleh ke. Contoh “ussolli sunatan ba’diah rak’ataini lillahi taala” sahaja?

Arie
Arie
5 bulan yang lalu

Mudah di fahami terima kasih

nursyafinah
nursyafinah
9 bulan yang lalu

assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, perlukah kita baca doa selepas sembahyang selepas solat sunat rawatib?

nursyafinah
nursyafinah
Reply to  Muhamad Naim
9 bulan yang lalu

Terima kasih.

Anonymous
Anonymous
9 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz , contoh kalau saya nak buat badiyah maghrib je tanpa buat qabliyahnya boleh ke?

Sahruddin
Sahruddin
1 tahun yang lalu

Assalamualikum wbt Ustaz,
Slps Solat Fardu berjemaah di Masjid dan kita ke belakang utk solat Baqdiyah … sedang rakaat pertama Ada makmum yg dtg terus jemaah dgn kita… Ada kan pada ketika itu perlu kita laksanakan spt menjadi imam dgn membaca surah tu kuat terutama Baqdiyyah Maghrib n Isyak atau kita solat shj spt biasa anggap kita masih bersendirian

Last edited 1 tahun yang lalu by Sahruddin
Zaiful
Zaiful
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum wbt… Sampai d masjid,sesudah wudhu solat tahiyyatul masjid & solat sunat wudhuk… Slps Adzan, solat sunat Qabliyah… Slps solat fardhu,solat sunat badiyah… Ok ke mcm tu ustaz?

zai
zai
1 tahun yang lalu

Jika seseorang itu tertinggal untuk melakukan solat sunat qabliyyah zuhur kerana solat berjemaah sudah bermula, maka dia boleh mengqadakan solat sunat qabliyyah itu selepas solat berjemaah tersebut. soalan saya macam mana dengan niat nya adakah qadaan ,memandangkan waktu zuhur masih balum luput.

Lina
Lina
1 tahun yang lalu

Assalamualaikom Utz…maaf bertanya penerangan tentang solat selepas asar ba’diyyah xde ehh..

Asri
Asri
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah saya solat Qabliyah sebelum masuk waktu solat fardhu?
Terima kasih.

Athirah
Athirah
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz… Kalau Sy terlupa melakukan solat sunat sebelum.. kemudian Sy melakukan solat sunat selepas boleh ke… Kerana Sy baru hendak belajar