Apakah syarat sah solat?
Ini adalah nota ringkas mengenai syarat sah solat untuk membantu anda secara cepat dan tepat.
Selain daripada syarat wajib solat, kita juga wajib menjaga semua syarat sah solat bagi memastikan solat yang kita kerjakan itu menjadi sah.
Maksud Syarat Sah Solat
Syarat sah solat ialah syarat yang menentukan sama ada sah atau tidak solat itu.
Sah dalam erti kata mudah ialah apabila sesuatu ibadah itu dilakukan dengan dengan memenuhi rukun dan syarat yang membolehkannya menjadi suatu ibadah yang diterima oleh Allah.
Justeru, untuk menjadikan suatu ibadah itu diterima oleh Allah, selain memenuhi segala rukunnya, semua syarat sah juga perlu dipenuhi.
9 Syarat Sah Solat
Syarat sah solat merangkumi 9 perkara seperti berikut:
1. ISLAM
Maksudnya tidak sah solat bagi bukan Islam atau orang yang murtad.
Bagi orang kafir asli, mereka hendaklah mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Jika tidak, solat mereka tidak sah.
Bagi orang yang sudah Islam, kemudian menjadi murtad, mereka hendaklah kembali kepada Islam dengan bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah.
Jika tidak, solat mereka juga menjadi sia-sia dan tidak sah. Wajib bagi mereka mengqada semula solat selama tempoh murtad itu.
Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan seseorang ke lembah murtad.
Haji Osman Jantan menyenaraikan enam perkara yang menyebabkan seseorang boleh murtad, iaitu:
- Melakukan suatu perbuatan seperti sujud kepada berhala-berhala, kepada bulan, matahari, kubur, pohon-pohon dan lain-lain, dengan keinginan sendiri dan bukan kerana terpaksa.
- Mengucapkan perkataan-perkataan: “Allah tidak ada”, “Nabi Muhammad adalah nabi palsu dan dusta.”
- Menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan Allah, yang dengan tegas dan jelas disebutkan dalam Al-Quran, seperti membolehkan makan daging babi, minum khamar (minuman yang memabukkan) dan lain-lain, atau mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan Allah, yang tegas dan jelas disebutkan dalam Al-Quran, seperti mengharamkan solat fardu, puasa, zakat dan lain-lain.
- Mengingkari kewajipan yang terang telah menjadi kewajipan bagi umat Islam, seperti keingkaran seseorang terhadap kewajiban solat fardu lima waktu, puasa pada Bulan Ramadan dan lain-lain.
- Menghina sesuatu yang dimuliakan oleh agama Islam seperti nama-nama atau sifat-sifat Allah Yang Maha Mulia, Al-Quran, hadis Nabi, hukum syarak dan sebagainya.
- Melakukan sumpah tidak dengan nama Allah dengan maksud membenarkan dirinya atau memuliakannya seperti “Demi Kaabah!”, “Demi kehormatan orang tuaku” dan sebagainya.
Kita berlindung dengan Allah SWT agar Dia sentiasa menyelamatkan iman kita daripada rosak dan terbatal dengan sebab-sebab di atas.
2. BERAKAL
Maksudnya tidak sah solat bagi orang gila dan yang tidak berakal.
Bagi orang gila dan orang yang pengsan kerana uzur, mereka tidak wajib mengqada solat apabila sedar.
Namun mereka yang hilang akal dengan sengaja seperti mengambil benda-benda yang memabukkan, wajib menggada semula solat itu.[1]
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Talib r.a:
Diangkatkan Al-Qalam (taklif) darpada tiga golongan manusia raitu daripada orang yang tidur sehingga bangun, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.
(Sahih: Riwayat Imam Abu Dawud: 4403; Imam At- Tirmizi: 1423)
3. SUCI DARIPADA HADAS BESAR DAN KECIL
Kedatangan hadas boleh berlaku apabila terjadi perkara-perkara yang membatalkan wuduk seperti keluar sesuatu daripada dua jalan, menyentuh perempuan yang bukan mahram dan lain-lain.
Kedatangan hadas besar pula adalah apabila berlaku perkara-perkara yang mewajibkan mandi wajib seperti keluar mani, bersetubuh walaupun tidak terpancut air mani, suci dari haid dan nifas dan lain-lain.[2]
Jika kedatangan hadas dalam solat, solat itu terbatal dan perlu diulangi taharah untuk meneruskan ibadah solat itu.
Ini adalah perintah Allah SWT dalam firman-Nya:
… Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah
(AI-Ma’idah 5: 6)
Sabda Rasullah ﷺ dalam hadis riwayat Abu Hurairah r.a.:
Allah tidak menerima solat seseorang kamu apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk.
(Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 6954)
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang lain daripada Fatimah binti Abu Hubaisy r.a.:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku ini tidak suci. Bolehkah aku meninggalkan solat?” Rasulullah ﷺ bersabda: “Itu adalah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu didatangi haid maka hendaklah kamu tinggalkan solat. Jika ia telah suci, maka bersihkan darah itu daripada diri anda dan solatlah.”
(Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 306 dan Imam Muslim: 333)
Bab bersuci dari hadas kecil atau hadas besar perlu diberi perhatian.
Bersuci dalam keadaan biasa, tidak menjadi masalah tetapi ketika berhadapan dengan suasana kritikal seperti sakit, cedera dan sebagainya, ramai yang gagal memahami pelaksanaan istinjak, berwuduk dalam keadaan bukan biasa begitu, bertayamum dan sebagainya.
Hasilnya, ramai yang meninggalkan solat dalam keadaan begitu.
4. SUCI BADAN, PAKAIAN DAN TEMPAT SOLAT DARIPADA NAJIS
Hendaklah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
- Suci pada badan iaitu suci seluruh badan daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.
- Suci pada pakaian iaitu suci pakaian daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.
Firman Allah SWT:
(AI-Muddatstsir 74: 1-4)
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu maka hendaklah Engkau bersihkan.
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis riwayat daripada Abdullah bin Abbas:
Bersucilah daripada kencing kerana sesungguhnya kebanyakan azab kubur adalah daripadanya (tidak benar-benar bersuci daripada kencing).
(Hasan: Riwayat Imam Ath-Thabrani: 84)
Suci pada tempat solat. Maksud tempat solat ialah tempat yang diletakkan anggota sujud, iaitu tempat diletakkan dahi, dua tangan, dua lutut dan dua kaki sahaja.
Jika terdapat najis di bawah dada ketika sujud dan najis itu tidak menyentuh dada orang yang melakukan sujud, solat dikira sah kerana najis itu bukan terletak di tempat yang dikira ‘tempat solat’.[3]
5. MENUTUP AURAT
Syarat sah yang seterusnya ialah menutup aurat.
Maksudnya, tanpa menutup aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak, solat adalah dikira tidak sah.
Aurat ialah sesuatu yang wajib ditutup dan haram ditilik.
Aurat wajib ditutup dalam solat atau luar solat sekalipun dalam keadaan bersendirian kecuali kerana ada hajat tertentu seperti istinjak, mandi, qada’ hajat dan lain-lain.
A. Sempadan Aurat Dalam Solat
Sempadan aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dan lutut. Manakala bagi wanita pula ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.[4]
B. Sempadan Aurat Di Luar Solat
Menurut Imam Asy-Syirazi, sempadan aurat di luar solat melibatkan beberapa perkara mengikut keadaan iaitu:
- Aurat lelaki dalam solat adalah di antara pusat dan lutut. Maksudnya, inilah aurat lelaki yang wajib ditutup sepanjang masa dan keadaan, sama ada di dalam solat atau di luar solat, dengan kehadiran wanita yang ajnabi (bukan mahram) atau tidak.
- Aurat wanita dalam solat adalah seluruh badan kecuali wajah dan dua tangan.
- Aurat wanita dengan lelaki ajnabi yang bukan mahram melalui nasab, susuan atau persemendaan (perkahwinan) ialah seluruh badan.
- Aurat wanita ketika bersama dengan mahramnya dan sesama wanita ialah antara pusat dan lutut.[5]
6. MASUK WAKTU DENGAN YAKIN
Sebelum mendirikan solat, seseorang itu hendaklah mengetahui telah masuk waktu solat dengan yakin atau sekurang-kurang zan (sangkaan kuat masuk waktu).
Firman Allah SWT:
Maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(An-Nisa’ 4: 103)
Kaedah penentuan waktu solat telah disebutkan oleh para ulama dalam penulisan kitab-kitab mereka berdasarkan firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah.
Contohnya, Allah menerangkan masuk waktu subuh dalam surah Al-Isra’:
Dirikanlah olehmu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) solat Subuh (Al-Isra’ 17: 78)
Masuk waktu solat boleh diketahui melalui tiga cara berikut:
- Ilmu yang yakin, iaitu berdasarkan dalil yang dapat dilihat dengan nyata seperti melihat matahari yang sedang terbenam di laut.
- Ijtihad, iaitu berdasarkan kepada dalil yang yakin atau zan (berat kepada yakin) yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa kebiasaan.
- Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh.[6]
Begitulah seterusnya bagi waktu-waktu solat yang lain.
Sekarang ini penentuan masuk waktu solat sudah tidak menjadi masalah, apabila pihak Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti di negeri-negeri telah menyediakan Takwim Waktu Solat bagi kegunaan umat Islam di negeri masing-masing mengikut tahun yang berkenaan.
Radio dan TV pula sentiasa menyiarkan azan apabila tiba masanya mengikut masa setempat.
Demikian juga dengan aplikasi dalam telefon pintar yang menyediakan jadual waktu solat mengikut masa setempat.
7. MENGHADAP KIBLAT DENGAN YAKIN
Para ulama bersepakat, menghadap kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan (solat Al-khauf) dan solat sunat dalam keadaan bermusafir.
Firman Allah :
Dan dari mana sahaja kamu keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya ..
(AI-Baqarah 2: 150)
Menurut Imam An-Nawawi:
Dan (menghadap kiblat) itu adalah syarat bagi sahnya solat fardu kecuali ketika berada dalam situasi yang sangat takut atau peperangan dan sekalian jenis keadaan menakutkan. Dan menghadap kiblat juga dissaratkan bagi solat sunat melainkan pada situasi yang menakutkan, musafir, lemah seperti orang sakit yang tidak ada orang yang menolongnya menghadap kiblat, atau orang yang terikat di atas kayu, maka dia solat mengadap ke mana saja.
(An-Nawawi, 2003: 1: 318)
Kita tidak boleh mengambil mudah tentang menghadap dan menentukan arah kiblat kerana ia merupakan salah satu daripada syarat sah solat.
Tuntutan mempelajari penentuan arah kiblat adalah sama seperti belajar cara-cara berwuduk dan syarat-syarat yang lain.
Bagi mereka yang ingin bermusafir, menjadi fardu ain mengetahui penentuan arah kiblat terlebih dahulu manakala bagi orang yang bermukim, hukumnya adalah fardu kifayah.[7]
8. MENGETAHUI CARA SOLAT
Mengetahui cara solat membawa kepada pemahaman tentang pengertian dan skopnya yang sangat luas.
Dalam bentuk yang sangat mudah, ia diterjemahkan kepada mengetahui, dapat membezakan dan dapat mengamalkan enam perkara berikut:
- Syarat wajib.
- Syarat sah.
- Rukun solat dan syarat setiap rukun.
- Perkara sunat.
- Perkara makruh.
- Perkara yang membatalkan solat.
Tiada beza antara orang alim dan orang awam dalam membezakan perkara sunat dan perkara wajib mengikut pandangan Imam Ar-Ramli.
Inilah juga pendapat yang dinukilkan oleh Imam Al-Ghazali dan disahkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Majmu’, Imam Asnawi dan Imam Ibn Hajar dalam kitab At-Tuhfah.
Jika diragui kedudukan perbuatan solat sama ada wajib atau sunat, tidak sah solat itu, kecuali diktikadkan semua perbuatan solat itu adalah fardu belaka. Ketika itu sah solatnya.[8]
9. MENINGGALKAN PERKARA MEMBATALKAN SOLAT
Wajib meninggalkan perkara membatalkan solat untuk mengelakkan solat itu tidak sah mengikut hukum syarak.
Manakala Muhammad Az-Zuhaili menyebutkan perkara yang membatalkan solat dapat dibahagikan kepada 3 jenis:
1. Meninggalkan syarat-syarat solat, iaitu:
- Meninggalkan bersuci daripada hadas.
- Meninggalkan bersuci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
- Meninggalkan menghadap kiblat.
- Meninggalkan menutup aurat.
- Meninggalkan masuk waktu.
2. Meninggalkan rukun solat yang 13 perkara.
3. Melakukan perkara yang dilarang dalam solat, iaitu seperti:
- Bercakap-cakap walaupun dengan satu patah perkataan sahaja tetapi difahami.
- Bergerak-gerak dengan bukan pergerakan solat yang melebihi dua pergerakan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala dan lain-lain. (Anggota kecil tidak dikira seperti pergerakan jari-jari walaupun melebihi dua pergerakan.)
- Makan dan minum walaupun sedikit.
- Melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti mengorek hidung atau mana-mana rongga hingga ke batinnya.[9]
Kesimpulan
Jika mencukupi sembilan syarat sah di atas, solat dikira sah sekalipun dalam keadaan uzur dan penunaian solat itu menggunakan rukhsah.
Demikian syarat wajib dan syarat sah solat yang menjadi asas kepada penentuan gugur atau tidak kewajipan solat dan sah solat atau tidak.
Kesimpulan daripada perbahasan dan kupasan di atas dapat dinyatakan:
- Syarat wajib sangat penting untuk difahami dan dihayati kerana realiti yang berlaku hari ini, ramai yang tidak memahaminya.
Akibatnya ramai yang meninggalkan solat walaupun sudah mencukupi syarat wajib solat itu sendiri.
- Syarat sah solat juga sangat perlu difahami kerana ia merupakan pintu masuk dan kunci kepada sah batalnya solat.
Kekurangan pada sarat sah solat ini, akan menyebabkan kesan yang besar iaitu tidak sah solat yang ditunaikan, seolah-olah kita tidak mendirikan sebarang solat untuk dipersembahkan kepada Allah di akhirat nanti.
Nota
- Abu Qatibah Al-Fatani 2013: 89
- Abu Qatibah Al-Fatani, 2013: 90-91
- Abu Qatibah Al-Fatani, 2013: 93
- Mustafa Al-Khin dan rakan-rakan 2011: 1: 150
- Abu Ishak Asy-Syirazi 1992: 1: 219-220; Asy-Syatiri, 1972:71
- Mustafa Al-Khin dan rakan-rakan 2011: 1: 149
- Syeikh Daud Al-Fatani, t.th: 1:106
- Asy-Syatiri 1972: 69; Syeikh Daud Al-Fatani, t.th: 1:98
- Abu Qatibah Al-Fatani (2013: 104; Asy-Syatiri, 1972: 70; Al-Kurdi, 1991: 188-189
Sumber Rujukan
- 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali & Hajjah Faridah Abu Bakar
- Ensiklopedia Solat: A -Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
Tinggalkan Komen Anda..