Perkara Yang Membatalkan Puasa

Perkara Yang Membatalkan Puasa

Apakah perkara yang membatalkan puasa?

Dalam panduan ini, saya akan menerangkan secara ringkas dan padat mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Semoga memberi manfaat..

Enam Perkara Yang Membatalkan Puasa

Berikut adalah enam perkara yang akan membatalkan puasa jika dilakukan:

Pertama

Makan Dan Minum

Makan dan minum walaupun sedikit seperti biji-bijian, cairan gula dan makanan yang berada dicelah-celah giri.


Kedua

Berjimak

Melakukan persetubuhan (hubungan seks) walaupun tidak keluar air mani. Erti jimak ialah memasukkan hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj.


Ketiga

Keluar Air Mani Dengan Sebab Bersentuhan

Puasa dikira terbatal jika keluar air mani dengan sebab sentuhan yang bersyahwat pada tabiat fitrah yang normal tanpa berlapik seperti bercium, bersentuh-sentuhan betis dan berpelukan.

Tetapi jika keluar air mani dengan berfikir atau melihat dengan syahwat, maka tidak batal puasa.

Namun jika seseorang itu tahu bahawa jika dia melihat atau berfikir akan menyebabkan keluar mani, lalu diulang-ulang perbuatan tersebut sehingga keluar air mani, maka hukumnya adalah haram dan membatalkan puasa.


Keempat

Mengeluarkan Air Mani Dengan Sengaja (Onani)

Maksudnya disini adalah mengeluar air mani dengan sengaja tanpa jimak, sama ada secara haram atau tidak haram seperti tangan isteri, sekalipun dengan berlapik.

Akan tetapi, jika air mani itu keluar disebabkan oleh mimpi, maka tidak batal puasa.


Kelima

Memasukkan ‘Ain (Zat) Sesuatu Ke Dalam Rongga

Maksudnya perbuatan memasukkan sesuatu meskipun sedikit ke dalam rongga melalui saluran terbuka walaupun rongga tersebut tidak mampu menyerap makanan atau ubat-ubatan.

Rongga yang dimaksudkan ialah dalam perut, dalam kepala dan pundi kencing.

Akan tetapi, kesan-kesan daripada sesuatu seperti bau-bauan, panas dan sejuk daripada air, ubat gigi dan sabun tidak dikira sebagai ‘ain.

Saluran yang terbuka adalah seperti berikut:

  1. Tengkuk
  2. Dalam Telinga
  3. Dalam Hidung
  4. Saluran Susu
  5. Qubul
  6. Dubur

Makruh berlebih-lebihan dalam berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk atau mandi.

Jika seseorang itu berlebih-lebihan padanya seperti basuhan kali keempat, maka batal puasanya jika tertelan air.

Akan tetapi, jika tujuan berlebihan tersebut untuk menghilangkan najis di dalam mulutnya, maka ia tidak mengapa dan diharuskan syarak.

Bagi orang yang mandi secara menyelam pada siang hari, puasanya dihukum terbatal sekiranya masuk air ke dalam rongga jika masih terdapat cara lain untuk mandi.

Tidak batal puasa jika termasuk sesuatu ke dalam rongga disebabkan perkara yang diperintahkan syarak seperti mandi wajib, mandi sunat dan wuduk.

Namun jika termasuk sesuatu ke dalam rongga kerana perkara yang tidak diperintah syarak, maka batal puasanya.

Nota

Memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang tidak terbuka tidak membatalkan puasa, seperti:

  1. Mengubati luka pada tangan, betis atau peha sekalipun dengan menggunakan jarum sehingga sampai ubat tersebut ke dalam daging atau tulang.
  2. Bercelak di mata sehingga sampai kesannya ke dalam tengkuk.
  3. Melumurkan minyak pada badan walaupun kesannya dapat dirasai pada bahagian dalam badan (melalui liang roma). Hal ini kerana ia tidak dianggap sebagai saluran terbuka pada istilah syarak.
  4. Ubat yang diletakkan di bawah lidah dan meresap terus ke dalam mulut tidak membatalkan puasa kerana ia tidak melalui halkum.
Perhatian
  1. Merokok membatalkan puasa kerana masuk sesuatu zat selain udara ke dalam rongga.
  2. Penggunaan Inhaler (ubat penyebut asma) dikira membatalkan puasa disisi Mazhab Shafi’e kerana terdapat zat selain udara dalam ubat tersebut.

    Jika seseorang itu menggunakannya, maka diwajibkan ke atasnya untuk qada puasa hari tersebut.

    Namun jika menjadi kesukaran ke atasnya untuk tidak menggunakan inhaler, maka dibolehkan baginya berpegang dengan fatwa yang mengatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa.
  3. Prof. Dr. Sheikh Abdul Malik al-Sa’ady1 berpandangan bahawa orang yang menggunakan inhaler pada siang hari Ramadhan boleh meneruskan puasanya. Namun, dia hendaklah membayar fidyah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang digunakan ubat tersebut.

Keenam

Muntah Dengan Sengaja

Maksudnya sengaja mengeluarkan muntah walaupun dia yakin tidak kembali sesuatu ke bahagian dalam rongganya.

Akan tetapi jika dia muntah tanpa diusahakan, maka tidak batal puasanya.

Begitu juga jika menyedut kahak daripada bahagian dalam rongga sehingga ke had zahir (makhraj huruf ح), maka ia hendaklah dikeluarkan jika mampu.

Jika tidak mengeluarkannya dalam keadaan dia mampu, maka puasanya dikira terbatal.

Syarat Terbatalnya Puasa

Enam perkara di atas membatalkan puasa dengan tiga syarat berikut:

  1. Mengetahui Pengharamannya

    Tidak batal jika seseorang yang baru memeluk Islam tidak tahu bahawa jimak membatalkan puasa.

    Akan tetapi orang yang telah lama bergelar Muslim dan tinggal dalam masyarakat yang terdapat para alim ulama, maka tidak dimaafkan kejahilannya.
  2. Berada Dalam Keadaan Sedar Bahawa Dia Sedang Berpuasa

    Jika dia melakukan perkara tersebut dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, maka tidak batal puasanya walaupun banyak.
  3. Tidak Dipaksa Melakukannya

    Jika dia dipaksa untuk makan oleh pembunuh sebagai contoh, maka tidak batal puasanya kerana perbuatan itu berlaku dengan paksaan yang boleh menyebabkan hilang nyawa atau anggota badan.

Bagaimana Jika Berniat Membatalkan Puasa?

Adakah puasa akan terbatal apabila kita berniat membatalkan puasa?

Niat membatalkan puasa pada siang hari tidak menyebabkan puasa batal sehingga dia melakukan perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan.

1 Penyarah The World Islamic Sciences & Education University (WISE, Jordan) dan merupakan pakar rujuk fatwa ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah, Iraq.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nur
Nur
9 bulan yang lalu

Aslm penulis, saya kurang bersetuju tentang saluran susu adalah termsuk dgn rongga terbuka. Dalam website mufti wilayah, UAI juga tidak pernh menyebut saluran susu termsuk dalam rongga terbuka. Jika benar, bagaimana ibu ingin meyusu anknya ketika brpuasa?Atau apa maksud saluran susu sbgai rongga terbuka yang anda sampaikn disini? Mohon ubah supaya rmai tidak slh ambil info.