11 PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT (Panduan Lengkap)

perkara membatalkan solat

Apakah perkara yang membatalkan solat?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap dan jelas kepada anda mengenai perkara-perkara yang membatalkan solat dalam Mazhab Syafi’e.

Sekiranya anda terbuat perkara-perkara ini semasa solat, maka solat itu batal dan wajib diulangi semula solat tersebut.

Semoga panduan ini memberi manfaat.

Perkara yang membatalkan solat adalah tindakan atau keadaan yang menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah atau batal. Ini bermakna, jika seseorang itu melakukan salah satu daripada perkara ini ketika solat, maka solatnya tidak lagi diterima dan perlu diulang semula.

Solat adalah ibadat yang merangkumi perbuatan dan bacaan yang khusus. Ia wajib dilakukan dengan memenuhi semua syarat dan rukunnya untuk menjadikannya sebagai ibadat yang sah dan diterima Allah SWT.

Apabila seseorang itu melakukan perkara yang bercanggah atau tidak mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan diajarkan Rasulullah SAW, solatnya akan dikira rosak atau batal.

Fuqaha sepakat menyatakan bahawa rosak dan batal solat itu adalah perkara yang sama. Rosak atau batal ibadat adalah disebabkan kekurangan mana-mana perkara yang wajib dilakukan.

Apabila rosak atau batal mana-mana ibadat, ia tidak lagi dinamakan ibadat. Solat yang terbatal hendaklah dilakukan semula.

Ringkasan perkara-perkara yang membatalkan solat adalah

  1. Berhadas
  2. Terkena najis yang tidak dapat dimaafkan
  3. Berkata-kata dengan sengaja
  4. Terbuka aurat
  5. Mengubah niat solat
  6. Makan dan minum walaupun sedikit
  7. Bergerak tiga kali berturut-turut
  8. Berpaling dari arah kiblat
  9. Menambah rukun solat dengan sengaja
  10. Ketawa terbahak-bahak
  11. Mendahului imam melebihi dua rukun dalam solat berjemaah

Fuqaha berbeza pendapat dalam menetapkan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Mazhab Hanafi menetapkan 68 perkara yang membatalkankan solat. Maliki menetapkan 30 perkara dan Hanbali menggariskan 36 perkara.

Bagaimana pun, Mazhab Syafi’e memperincikan 27 perkara yang membatalkan solat.

Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar

Hadas kecil adalah perkara yang menyebabkan batalnya wuduk. Contoh hadas kecil adalah seperti keluar sesuatu daripada qubul atau dubur, seperti:

  • Kentut
  • Air kencing
  • Tahi
  • Mazi
  • Keputihan
  • Wadi

Hadas besar adalah berlakunya perkara yang menyebabkan perlu mandi wajib. Antara contoh hadas besar adalah:

Batal solat seseorang yang berhadas sama ada hadas kecil seperti terkentut, atau hadas besar, seperti haid. Sekiranya dia berhadas selepas memberikan salam yang pertama, sah solatnya kerana telah selesai solatnya dengan salam itu.

Begitu juga jika seorang yang sentiasa berhadas, seperti wanita istihadah atau seorang lelaki yang tidak boleh mengawal kencingnya, berhadas dengan hadas yang lain, seperti keluar angin, batal solatnya.

Disunatkan orang yang batal solatnya kerana berhadas ketika solat jemaah agar menutup hidungnya seolah-olah terdapat darah yang mengalir, ketika dia meninggalkan jemaah tersebut.

Was-Was Dalam Solat

Batal solat orang yang berasa waswas sama ada dia telah berniat pada permulaan solat atau dia sedang bersolat Asar tetapi tidak pasti sama ada dia telah berniat Asar atau Zuhur.

Begitu juga sekiranya dia tidak pasti sama ada telah melakukan takbiratulihram atau tidak.

Jarak Masa Waswas

Sekiranya perasaan waswas ini berlanjutan ketika dia sedang bersolat dalam tempoh kira-kira tamakninah, batal solatnya.

Tetapi sekiranya dia keliru sebentar tetapi kemudian teringat semula yang dia memang telah berniat dengan betul atau telah bertakbiratulihram, solatnya tidak batal.

Jika selepas selesai solat, seseorang itu waswas sama ada dia telah berniat atau telah takbiratulihram dan dia tidak dapat mengingat melakukannya, wajib dia mengulangi solatnya semula.

Makan Dan Minum Dalam Solat

Orang yang makan atau minum dengan sengaja dalam solat, maka solatnya dianggap batal sama ada kadarnya banyak atau sedikit.

Jika dia termakan dengan tidak sengaja atau tidak tahu bahawa tidak boleh makan ketika solat, tidak batal solat nya kalau makanan itu sedikit.

Ulama fiqh menyatakan kadar banyak itu ialah jika dikumpulkan semuanya ia menjadi sebesar kacang.

Jika dalam mulutnya ada gula atau coklat yang cair di dalam mulutnya dan dia menelannya bersama dengan air liur, batal solatnya.

Oleh itu, sebelum solat disunatkan bersugi, berus gigi atau sekurang kurangnya berkumur.

Bercakap-Cakap Dengan Sengaja

Percakapan yang dianggap membatalkan solat ialah percakapan yang mengeluarkan perkataan yang lebih dua huruf walaupun tidak mempunyai makna atau perkataan satu huruf yang mempunyai makna.

Jika perkataan itu diucapkan secara tidak sengaja atau terlupa bahawa dia sedang solat, ia dimaafkan sekiranya percakapannya itu sedikit, tidak melebihi enam perkataan dan tidak lama.

Sekiranya seseorang itu membaca ayat al-Quran dengan niat memberikan arahan kepada orang lain, batal solatnya walaupun apa yang diucapkan nya adalah ayat al-Quran.

Misalnya, jika seorang itu membaca ayat 12 surah Maryam untuk menyuruh seseorang bernama Yahya mengambil kitab, batal solatnya.

Surah maryam ayat 12

Maksudnya:

Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!

(Surah Maryam 19: 12)

Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat

Jika perbuatan ini dilakukan dengan sengaja, maka batal solat.

Ini berdasarkan dalil yang mengharamkan bercakap dalam solat. Berdehem mengeluarkan bunyi dengan 3 huruf membatalkan solat.

Bergerak-gerak Dalam Solat

Pergerakan lain daripada perbuatan solat boleh membatalkan solat jika dilakukan dengan anggota utama dan dilakukan banyak kali serta berturut turut.

Tidak batal jika sekadar menggerakkan jari-jemari, lidah atau kening, walaupun dilakukan berulang ulang kali.

Ini kerana perbuatan yang sedikit seperti ini tidak mengganggu kekhusyukan solat.

Menurut Dr. Wahbah Al Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, sebab mengapa pertuturan yang sedikit membatalkan solat sedangkan pergerakan yang sedikit tidak pula membatalkannya, adalah kerana pergerakan yang sedikit tidak mungkin boleh dikawal, sedangkan pertuturan boleh.

Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan

Baju Atau Badan Atau Tempat Solat Yang Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan

TIDAK SEGERA MEMBUANG NAJIS

Jika tubuh, pakaian atau tempat solat seseorang terkena atau ditimpa najis yang tidak dimaafkan dan dia tidak segera membuangnya, maka batal solatnya.

Ini adalah kerana kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat solat merupakan syarat sah solat.

SEGERA MEMBUANG NAJIS

Jika najis haiwan yang kering terjatuh di atas bahu orang yang sedang solat, dan dia segera membuangnya, solatnya tidak batal.

Tetapi jika dibiarkan atau najis itu basah hingga meninggalkan kesan pada tubuh, pakaian atau tempat, batal solatnya.

Terbuka Aurat Dalam Solat

Aurat dalam solat

Batal solat sesiapa yang membuka auratnya dengan sengaja ketika dalam solat.

Tetapi jika auratnya ternampak secara tidak sengaja seperti kainnya ditiup angin, solatnya tidak batal jika dia menutupnya dengan segera. Jika dibiarkan auratnya terbuka, solatnya batal.

Jumhur ulama berpendapat bahawa wajib orang yang bersolat itu menutup aurat sama ada dia bersolat di tengah khalayak ramai atau seorang diri di dalam bilik atau di tempat yang gelap.

Tidak sah seorang itu bersolat seorang diri di dalam tempat yang tertutup dalam keadaan tanpa pakaian atau tidak menutup aurat, sedangkan dia mempunyai pakaian yang bersih.

Berazam Untuk Menamatkan Solat

Jika seorang bersolat dengan azam untuk berhenti solat atau mengaitkan jika suatu peristiwa berlaku dia akan menghentikan solatnya.

  • Seorang yang sedang solat, tiba-tiba ada panggi lan telefon, lalu dia berniat untuk membatalkan solatnya untuk menjawab telefon, batal solatnya.
  • Sekiranya seseorang yang menanti kedatangan seorang rakan bersolat terlebih dahulu kerana terlalu lama menunggu dan berniat jika rakannya tiba, dia akan membatalkan solatnya.

Dalam keadaan ini solatnya telah rosak sejak awal lagi. Solat seperti ini tidak sah kerana niat solatnya tidak jazim iaitu tidak putus dan muktamad.

Mengubah Niat Dalam Solat

Batal solat orang yang mengubah niat asal solatnya ketika berada dalam solat.

Sama ada dia mengubah daripada fardu kepada sunat, atau tunai kepada qada. Begitu juga jika dia mengubah satu solat ke solat yang lain.

Misalnya, seorang bersolat Maghrib, tiba-tiba mengubah niatnya untuk solat Isyak.

Atau, seorang yang sedang menunaikan solat Subuh mengubah niat nya untuk bersolat sunat Subuh.

Melainkan sekiranya seorang itu sedang menunai kan solat fardu sendirian, mengubah solat fardu ini kepada solat sunat mutlak apabila ada sekumpu lan jemaah melakukan solat berjemaah.

Dengan tujuan untuk mendapatkan kelebihan berjemaah, dia mengubah solat fardu kepada solat sunat su paya dia dapat mengerjakan solat fardu berjemaah.

Berpaling Dari Arah Kiblat

Berpaling daripada arah kiblat mem batalkan solat kerana ia adalah syarat sah solat.

Tidak kira sama ada dia dipalingkan oleh orang lain atau dengan perbuatannya sendiri, solat tetap batal..

Tetapi dalam keadaan dia dipalingkan dengan paksaan, jika tempoh berpaling itu lama mengikut uruf, batal solatnya.

Apa yang dimaksudkan dengan berpaling dari arah kiblat ialah memalingkan dada ke arah lain daripada kiblat.

Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat

Apabila seorang yang bersolat tidak sedar apa yang dilakukan kerana tertidur atau pitam misalnya, solatnya batal.

Ini kerana sedar adalah syarat harusnya melakukan solat.

Demikian juga tidak sah solat orang yang mabuk, walaupun dia melakukannya dengan betul dan tertib.

Murtad Ketika Solat

Dalam konteks solat, seorang yang telah berniat atau berikrar untuk keluar daripada Islam atau melakukan perbuatan yang menunjukkan bahawa dia telah keluar agama, solatnya tidak sah.

Seseorang boleh murtad sama ada dengan niat, pengakuan lisan atau perbuatan.

Contohnya jika seorang itu berniat akan keluar daripada Islam jika gagal dalam temuduga yang dihadirinya, dia telah pun murtad serta-merta tanpa menunggu keputusan temu duga tersebut.

Sekiranya dia murtad ketika bersolat, batal solatnya.

Syarat-Syarat Seseorang Itu Dihukum Murtad

  • Baligh dan berakal.
  • Tidak dipaksa, sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri.
  • Mengetahui hal dan hukum murtad serta membuatkan dirinya menjadi murtad.
  • Apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya, maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa seseorang itu telah pun menjadi murtad daripada Islam.

Penutup

Saya berharap panduan ini memberi pencerahan mengenai perkara yang membatalkan solat. Semoga ia dapat memberi kemudahan kepada anda dalam mempelajari fardu ain solat.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila nyatakan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaAllah saya akan menjawab secepat yang mungkin.

Rujukan

  • Al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dar al-Fikr, Damsyiq, 1418H/ 1997M, hal. 1047-1050
  • 1157 Persoalan Solat, Ustaz Muhadir Haji Joll, ms. 361
  • Hasyiah al-Jamal, 1/425
  • Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/307
  • Formula Solat Sempurna, Dr Zaharuddin Abd Rahman
  • Bimbingan Solat, Dr Rohaily Al-Jawhary
  • 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali
Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

303 thoughts on “11 PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT (Panduan Lengkap)”

  1. Assalamualaikum ustaz. Sebelum solat isyak, sy dah berniat nak teruskan solat sampai selesai baru pergi makan. Ketika solat isyak, sy ada terfikir dan muncul lintasan hati 2 kali nak batalkan solat dan pergi makan. Tapi saya tetap teruskan solat sampai selesai solat. Sebab saya nak teruskan solat sampai selesai. Kalau ada terfikir atau terniat nak batalkan solat atas sebab2 tertentu solat blh jd batal ke? Ke solat saya dh sah ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      InsyaAllah, solat puan sah.

      Dalam mazhab Syafi‘e, solat tidak batal jika hanya sekadar ada lintasan hati atau terfikir nak batalkan solat, selagi tidak ada niat yang putus dan yakin untuk keluar daripada solat.

      Dalam kes puan, walaupun terlintas dua kali nak batalkan solat dan pergi makan, tapi puan tetap teruskan solat sampai selesai dengan niat nak sempurnakan solat maka itu tidak menjejaskan sah solat.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  2. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat fardu zohor, pada rakaat kedua, saya dah membaca surah al fatihah, ketika baca surah lazim, dia dtg ragu tak lengkap surah al fatihah, sy dh yakin sy dh baca 7 ayat surah al fatihah, ketika rukuk pun dtg blk keraguan, tp sy dh yakin dh baca 7 ayat, bila iktidal dia dtg ragu ayat yg terakhir tu dh baca lengkap ke belum, dan sy dh yakin sy dh baca lengkap 7 ayat. Solat saya masih sah kan ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      InsyaAllah, solat puan adalah sah.

      Rasa ragu selepas membaca al-Fatihah tidak membatalkan solat, selagi puan yakin akhirnya bahawa 7 ayat al-Fatihah telah dibaca dengan lengkap, termasuk ayat terakhir.

      Dalam mazhab Syafi‘e, ragu yang datang selepas selesai satu rukun boleh diabaikan jika kita kembali kepada keyakinan. Jadi dalam kes puan, walaupun ragu itu datang beberapa kali, tetapi puan sudah pastikan dan yakin bacaan tadi lengkap, maka solat tetap sah dan tidak perlu diulang.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  3. Assalamualaikum ustaz. Jika kita dah lafazkan salam yg pertama, pastu lintasan hati kata lafaz salam salah, pastu sy abaikan dan sy teruskan salam yg kedua, pastu sy ingat balik lafaz salam yg pertama, sy yakin sy dh lafaz salam dgn betul, solat sy sah kan ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Ya, solat puan adalah sah.

      Dalam keadaan ini, walaupun selepas lafaz salam pertama datang lintasan rasa ragu, tetapi puan tidak yakin ada kesalahan, dan akhirnya yakin bahawa lafaz salam tadi sebenarnya betul maka solat itu dikira sempurna dan sah.

      Islam tidak membebankan dengan was-was atau lintasan hati yang tidak pasti. Apa yang diambil kira ialah keyakinan, bukan sangkaan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  4. Assalamualaikum ustaz. Selepas takbiratul ihram, jika kita ragu perkataan “Allah” ketika takbiratul ihram samada dah disebut dengan betul atau tak, lalu saya menyebut Allah dalam hati berulang kali utk nk pastikan sebutan Allah itu betul, dan saya yakin dah betul, itu dikira yakin segera kan ustaz? Solat saya masih sah kan ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Ya, dalam situasi puan, solat masih sah.

      Ragu selepas takbiratul ihram tentang sebutan “Allahu Akbar” (contohnya pada lafaz “Allah”), tidak membatalkan solat jika:

      1. Segera betulkan dalam hati, seperti yang puan lakukan.
      2. Belum berpindah ke rukun lain, contohnya belum mula baca doa iftitah atau al-Fatihah.

      Tindakan puan mengulang dalam hati dan pastikan sebutan itu betul sebelum meneruskan adalah dianggap sebagai “yakin segera”, dan ini dibolehkan dalam mazhab Syafi‘e selagi belum terlalu lama atau berpindah ke rukun lain.

      Jadi, puan tidak perlu ulang semula solat. Solat itu sah.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  5. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat zohor, selepas takbiratul ihram, saya dah yakin niat dan lafaz takbiratul ihram betul. Selepas doa iftitah, ada muncul ragu, tp sy yakin terus yg niat dan takbiratul ihram dah betul, pastu muncul blk ragu, tp sy abaikan, ada jgk lintasan hati kata takbiratul ihram salah, tp sy yakin dah lafaz betul, pastu lintasan hati kata niat asar, tp sy abaikan sbb sy yakin sy niat zohor, solat zohor sy sah kan ustaz, walaupun sy abaikan keraguan itu?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Berdasarkan apa yang dijelaskan, solat Zohor itu sah, insya-Allah.

      Ini kerana:

      1. Awak telah yakin semasa takbiratul ihram dan niat bahawa solat itu adalah Zohor, dan lafaz pun dilakukan dengan betul.
      2. Keraguan yang datang selepas itu hanyalah lintasan hati, yang tidak memberi kesan kepada kesahan solat kerana ia datang selepas niat dan takbiratul ihram disempurnakan.

      Lintasan-lintasan seperti ini adalah sejenis waswas, dan awak telah bertindak betul dengan mengabaikannya. Teruskan solat dengan tenang dan mohon perlindungan daripada Allah agar dilindungi daripada gangguan hati seperti ini.

      Semoga Allah menerima solat dan terus menetapkan hati awak dalam ibadah.

      Aamiin.

      Reply
  6. Assalamualaikum ustaz. Jika kiblat arah ke kanan sikit, mula2 solat dah hadap kiblat. Selepas solat baru perasan dia tersasar sikit jadi straight. Sah ke solat sy?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Solat tuan adalah sah, insya-Allah. Jika pada awal solat tuan telah berusaha menghadap kiblat dan yakin pada arah tersebut, tetapi selepas solat baru disedari arah itu tersasar sedikit, maka solat tetap sah.

      Dalam Mazhab Syafie, jika seseorang sudah berijtihad atau ikut panduan yang diyakini dan kemudian tersasar sedikit dari kiblat, ia dimaafkan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  7. Assalamualaikum ustaz. Jika kita tgh baca surah al fatihah, tiba2 ragu rakaat dan yakin segera dh brp rakaat, surah al fatihah tetap sah kan ustaz? Sbb sy baca al fatihah secara muwalat, xde diam or berhenti yg lama

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Ya, bacaan surah al-Fatihah tetap sah. Jika ketika membaca al-Fatihah tuan ragu jumlah rakaat, kemudian segera kembali yakin dan bacaan al-Fatihah itu berterusan tanpa berhenti lama, maka bacaan tersebut dikira sah kerana masih memenuhi syarat muwalat (berterusan antara ayat).

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  8. Assalamualaikum ustaz. Jika kita dah selesai solat subuh, selepas itu ragu sama ada dah niat ke belum. Tp ms tu dh nak abis subuh. Sy pun abaikan. Dan sy yakin sy dah niat dan takbiratul ihram dgn betul ketika waktu dhuha. Sy x perlu qada blk kan solat subuh sy?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Tuan tidak perlu qada solat Subuh. Jika selepas solat timbul keraguan tentang niat, tetapi kemudian tuan yakin bahawa telah berniat dan solat dengan betul, maka solat itu sah dan tidak perlu diulang.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  9. Assalamualaikum ustaz , ketika saya mandi wajib , saya sudah basuh tangan dengan air paip , dan saya lap air pada muka dengan tangan kemudian saya basuh lagi sekali tangan saya dengan mencelup tangan ke dalam gayung yg berisi air . Kemudian air di dalam gayung yang saya celup tadi saya buang ke atas kaki serta kena pada tangan . Adakah sah ustaz ? Adakah air itu masih mutlak ataupun sudah bertukar menjadi air mustakmal ? Mohon penjelasan ustaz terima kasih

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Mandi wajib tersebut sah kerana air dalam gayung yang tuan gunakan itu masih dikira sebagai air mutlak dan bukan air mustakmal.

      Dalam Mazhab Syafie, air hanya menjadi mustakmal (telah digunakan) apabila air tersebut digunakan pada basuhan wajib yang pertama kali mengalir ke atas anggota badan, dan air itu terpisah (menitik atau mengalir keluar) daripada anggota tersebut.

      Dalam kes tuan ini, apabila tangan dicelup ke dalam gayung, air di dalam gayung masih kekal suci dan mutlak kerana tangan tersebut telah dibasuh sebelum itu. Maka, air itu belum berubah menjadi mustakmal semata-mata kerana sentuhan tangan tersebut.

      Jadi, mandi wajib yang dilakukan adalah sah, dan tidak perlu diulang semula.

      Wallahu a’lam.

      Reply
      • Ouhhh kiranya air itu akan jadi mustakmal apabila saya membasuh mana-mana anggota badan saya yg belum kena air dengan air basuhan yang pertama mandi wajib ya ustaz ? Jadi tidak ada masalah kalau saya mengusap air yang ada di wajah dengan tangan lalu saya mencelup tangan dalam gayung dan saya membasuh kaki dengan air yang dicelup tadi kan ? Jadi air kekal mutlak kan kerana saya telah basuh tangan dan muka sebelum itu . Kalau dalam kes di pertengahan mandi saya mencebok air di dalam kulah menggunakan gayung , dan ibu jari sedikit terendam ke dalam gayung . Jadi air itu kekal mutlak juga kan ustaz ? Kerana sebelum itu saya telah membasuh tangan dengan paip air . Terima kasih atas jawapan ustaz .

        Reply
        • Contohnya….saya belum start mandi wajib , belum basuh mana ii bahagian tubuh . Di permulaan mandi wajib saya mencebok air dalam kulah menggunakan gayung lalu ibu jari terendam dalam gayung , dan saya membasuh kepala buat pertama kali dengan air itu . Jadi itu yang akan menjadi air mustakmal kan ustaz ? Maaf kalau salah tolong betulkan 😊

          Reply
          • “air hanya menjadi mustakmal (telah digunakan) apabila air tersebut digunakan pada basuhan wajib yang pertama kali mengalir ke atas anggota badan, dan air itu terpisah (menitik atau mengalir keluar) daripada anggota tersebut.”
            Jadi maknanya , disebabkan celup tangan dalam gayung , air tidak jadi mustakmal kerana sudah banyak kali air mengalir pada tangan ? “Basuhan wajib yang pertama kali mengalir ke atas anggota badan” Maksudnya , basuhan wajib tu…semua anggota badan la kan ? Bagaimana pula Kalau basuh kepala dengan paip air dan selepas itu saya tadah tangan pada paip air , dan saya basuh kepala dengan air yg saya tadah dalam tangan tadi . Adakah air yang ditadah dalam tangan itu menjadi mustakmal ? kerana sudah kena pada tangan ? dan saya ambil air di tangan basuh atas kepala . Terima kasih semoga ustaz jawab soalan ini 😇

            Reply
            • kalau anggota badan sudah berkali-kali kena air , jadi air yang banyak kali disiram pada anggota badan tak jadi mustakmal la kan? yang menjadi mustakmal adalah air yang mula-mula disiram pada anggota badan . Begitu kaa ? cntoh,kita sudah basuh tangan awal ii mandi kemudian kita pegang wayar@gayung….tangan kita boleh jadi kotor juga ke ? dan kalau masukkan tangan dalam gayung yg berisi air mutlak , adakah air itu menjadi mustakmal sbb dukmain pegang wayar gayung untuk menyiram ?

              Reply
              • “Air digunakan untuk membasuh bagian tubuh, misalnya muka, kemudian kedua tangan dan lain sebagainya yang termasuk basuhan wajib maka akan menjadi air musta’mal.
                Namun, apabila digunakan untuk hal yang sudah, maka tidak akan berpengaruh pada air.”
                Assalamualaikum ustaz , boleh ustaz terangkan maksud ayat ini Namun, apabila digunakan untuk hal yang sudah, maka tidak akan berpengaruh pada air”.

                Reply
                • Waalaikumussalam warahmatullah,

                  1/ Air menjadi mustakmal hanya apabila digunakan untuk basuhan wajib yang pertama kali, lalu air itu terpisah (menitik atau mengalir keluar) daripada anggota badan tersebut. Basuhan kedua atau seterusnya tidak menyebabkan air menjadi mustakmal kerana anggota badan sudah bersih daripada hadas besar selepas basuhan pertama.

                  2/ Mengenai situasi awak mencelup tangan ke dalam gayung:

                  • Jika tangan awak sudah dibasuh sebelum mencelupnya ke dalam gayung, maka tangan awak sudah dianggap bersih daripada najis atau hadas besar. Oleh itu, celupan tangan ke dalam gayung tersebut tidak menjadikan air tersebut mustakmal.
                  • Begitu juga apabila tangan yang bersih digunakan untuk menyiram atau mengambil air, air tersebut masih dianggap air mutlak, bukan mustakmal.

                  3/ Maksud frasa:

                  “Namun, apabila digunakan untuk hal yang sudah, maka tidak akan berpengaruh pada air”

                  Bermaksud, sekiranya air digunakan untuk anggota badan yang sudah disucikan sebelumnya, air itu kekal mutlak kerana anggota badan tersebut tidak lagi berada dalam keadaan hadas.

                  Jadi, mandi wajib awak tetap sah, dan air yang digunakan masih mutlak (suci dan menyucikan).

                  Semoga jelas dan membantu awak.

                  Wallahu a’lam.

                  Reply
  10. Assalamualaikum ustaz saya ada soalan . Macam mana nak tahu kita mengalami darah istihadhah dalam tempoh haid seperti yang saya dengar darah haid bercampur dengan darah istihadhah .
    Sejak 2 bulan lepas saya mengalami darah haid mencecah 11 hari dan 14 hari . Kebiasaannya pun tidak menentu kadang 8 , 9 hari . Oleh kerana saya tidak cakna dalam meneliti sifat sifat darah yang keluar ketika haid . Dan sekarang juga saya masih mengalami .

    1) Hari pertama – hari ke- 7 keluar darah merah

    2) Hari kelapan : Darah keruh+koko keluar pada jam 12:30 tengah hari
    -Seterusnya jam 3:15 ptg keluar darah merah dan berubah warna coklat apabila kering
    -Pada jam 8:50 pm , keluar lagi darah warna coklat
    -Ketika waktu tidur malam tiada langsung darah yang keluar .

    Sekiranya keesokan hari berlaku situasi sebegini , adakah saya perlu menganggap haid atau ini istihadhah ? Sebab terputus putus .
    Kebiasaannya pada hari ke-8 tempoh haid saya akan keluar darah kuning / keruh dan koko sahaja Tapi kali ini keluar wrna merah . Adakah ini masih haid ? Kerana masih dalam tempoh haid .

    Minta penjelasan ustaz tentang sifat untuk kenali darah istihadhah atau haid

    HAID BULAN LEPAS :
    Kalau bulan lepas , haid saya yang kelapan keluar darah warna kuning keruh sahaja
    Hari ke-8 hingga hari ke-14 keluar darah kuning

    Hari ke-8 : darah kuning ( 8:00 malam )
    Hari ke-9 : darah kuning ( 9:30 malam )
    Hari ke-10 : darah kuning ( 8:48 malam )
    Hari ke-11 : darah kuning pekat ( 4:15 petang )
    Hari ke-12 : darah kuning ( 5:17 petang )
    Hari ke-13 : darah kuning ( 6:38 ptg ) dan darah kuning bercampur warna darah merah sedikit ( 6:44 ptg )
    Hari ke-14 : suci keluar putih bening

    Adakah ini dikira haid atau darah haid yang bercampur istihadhah ustaz ? Saya keliru
    Minta penjelasan dari ustaz Terima Kasih
    Semoga ustz dapat jwb soalan ini secepatnya terima kasih

    Reply
    • Wa’alaikumussalam puan,

      Dalam Mazhab Syafie, haid mempunyai beberapa garis panduan penting untuk membezakannya dengan istihadhah. Berdasarkan situasi puan, berikut adalah perkara utama yang perlu diperhatikan:

      1/ Tempoh Maksimum Haid

      Haid berlaku antara 1 hingga 15 hari. Jika darah masih keluar selepas hari ke-15, ia dikira istihadhah dan bukan lagi haid.

      2/ Sifat & Warna Darah

      Selagi darah keluar dalam tempoh 1 hingga 15 hari, ia tetap dianggap haid walaupun berubah warna (merah, coklat, kuning atau keruh). Warna darah tidak menentukan haid atau istihadhah, tetapi tempoh keluar darah yang menjadi asas utama.

      3/ Tanda Suci (Bersih Sepenuhnya)

      Jika darah berhenti sepenuhnya selama 24 jam atau lebih sebelum 15 hari, itu menandakan puan telah suci.

      Jika darah hanya berhenti sekejap (kurang 24 jam) dan keluar semula, ia masih dikira sambungan haid.

      4/ Kes Puan Secara Spesifik

      Darah yang keluar sehingga hari ke-14 (termasuk kuning dan keruh) masih dikira haid kerana belum mencapai 15 hari. Oleh itu, situasi puan tidak dikategorikan sebagai istihadhah, sebaliknya ia masih dalam tempoh normal haid.

      Berdasarkan keterangan di atas, puan boleh terus menganggap darah yang keluar dalam tempoh 15 hari pertama sebagai haid, tanpa perlu bimbang mengenai istihadhah. Jika masih ragu atau darah keluar secara tidak menentu melebihi tempoh ini, puan boleh merujuk kepada ustaz atau pakar fiqh wanita untuk panduan lebih lanjut.

      Semoga penjelasan ini membantu.
      Wallahu a’lam.

      Reply
      • Baik ustaz terima kasih 😊 mksud ayat ustaz yang ni (Jika masih ragu atau darah keluar secara tidak menentu melebihi tempoh ini, puan boleh merujuk kepada ustaz atau pakar fiqh wanita untuk panduan lebih lanjut. ) ” Melebihi tempoh ini ” maksudnya melebihi tempoh 15 hari kan ?

        Reply
        • Ya, maksud “melebihi tempoh ini” merujuk kepada darah yang keluar lebih daripada 15 hari. Jika darah masih berterusan selepas hari ke-15, maka darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai istihadhah, bukan lagi haid.

          Dalam situasi puan, selagi darah keluar dalam tempoh 1 hingga 15 hari, ia masih dianggap haid, walaupun warnanya berubah.

          Reply
  11. Assalamualaikum , adakah mandi wajib tidak memerlukan sabun dan syampu ? tidak sah jika mandi wajib pakai sabun dan syampu ? biasanya mandi wajib dahulu cuci semua anggota dan lepastu mandi biasa ( syampu dan sabun ) . Adakah selepas selesai mandi wajib dan saya start menyabun anggota badan dikira sudah mandi biasa ? mohon penjelasan terima kasih ;)
    ~ perkara membatalkan mandi wajib
    • niat nak berhenti mandi wajib . kalau datang lintasan “nak berhenti” saja bukan “nak berhenti mandi wajib” adakah boleh batal ? tanpa menyebut mandi wajib

    Reply
    • Tambahan soalan di atas ^
      ~ apabila saya start sabun selepas selesai mandi wajib , adakah ketika itu ( start sabun ) dikira mandi wajib saya sudah selesai ? Terima kasih

      Reply
      • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

        1. Adakah mandi wajib tidak sah jika menggunakan sabun dan syampu?

        Mandi wajib tetap sah sama ada seseorang menggunakan sabun dan syampu atau tidak, asalkan air suci mengenai dan meratakan seluruh tubuh dengan niat mandi wajib.

        Cara terbaik:

        1. Niat mandi wajib sebelum atau ketika air pertama mengenai tubuh.
        2. Ratakan air ke seluruh badan – pastikan setiap bahagian terkena air termasuk kulit kepala, lipatan badan, dan bahagian sulit.
        • Jika mahu guna sabun & syampu:Boleh dilakukan selepas mandi wajib.
        • Juga boleh dilakukan sebelum mandi wajib, tetapi selepas bersabun, pastikan air suci meratakan semula seluruh tubuh tanpa halangan.

        Jadi, selepas mandi wajib dan kemudian bersabun, mandi wajib tetap sah dan tidak perlu diulang.

        2. Adakah mandi wajib terbatal jika ada lintasan hati “nak berhenti” tetapi bukan “nak berhenti mandi wajib”?

        Tidak membatalkan mandi wajib kerana sekadar lintasan hati tidak memberi kesan terhadap ibadah.

        🔹 Jika hanya terlintas “nak berhenti” tanpa menyebut atau berniat jelas “nak berhenti mandi wajib”, maka mandi masih sah.

        🔹 Jika seseorang benar-benar berniat untuk berhenti mandi wajib sebelum selesai meratakan air ke seluruh badan, maka mandi tidak sah dan perlu diulang.

        Prinsip: Islam tidak membebankan seseorang dengan lintasan hati yang tidak disengajakan, seperti dalam hadis:

        “Sesungguhnya Allah telah mengampunkan bagi umatku apa yang terlintas di dalam hati mereka, selagi mana mereka tidak berkata-kata atau melakukannya.”

        — (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

        —-

        3. Bila mandi wajib dianggap selesai?

        Mandi wajib dianggap selesai setelah seluruh tubuh diratakan dengan air suci dan bersih dengan niat mandi wajib.

        🔹 Jika selepas itu mula bersabun, mandi wajib sudah pun selesai dan tidak perlu diulang.

        🔹 Sabun selepas mandi wajib hanya untuk kebersihan, bukan sebahagian daripada mandi wajib.

        Semoga jawapan ini membantu.
        Wallahu a‘lam. 😊

        Reply
  12. Assalamualaikum ustaz . saya ada penyakit was-was sehinggakan takut kadang kadang nak mandi wajib . Ketika saya mandi saya sering datangkan dalam fikiran dengn mengatakan dalam hati “aku nak teruskan mandi wajib” berulang kali . Dan tanpa disedari dalam mngatakan “aku nak teruskan mandi wajib” di dalam hati , tiba tiba datang dalam fikiran “aku nak berhenti” . Tapi selepas itu saya terus datangkan dalam hati “aku nak teruskan mandi wajib” sehingga selesai mandi . Saya tidak tahu bagaimana mahu membezakan bahawa itu adalah lintasan hati daripada syaitan ataupun benar-benar datang dari diri sendiri . Bagaimana dengan mandi wajib saya . Mohon maaf kerana masih lagi bertanya dalam hal ini harap ustaz dapat jawab Terima kasih

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Mandi wajib awak sah kerana air telah diratakan ke seluruh badan.

      Lintasan hati seperti “aku nak berhenti” tidak membatalkan mandi selagi tidak benar-benar niat berhenti.

      Jangan ulang niat berkali-kali, cukup sekali dan teruskan mandi.

      Abaikan gangguan was-was, ia datang dari syaitan untuk meragukan ibadah.

      🔹 Sebelum mandi, baca A‘udzu billahi minasy-syaitanir rajim.
      🔹 Jangan fikir terlalu banyak—mandi wajib itu mudah.

      Jangan layan was-was, mandi tetap sah. Yakinlah dan teruskan ibadah.
      Wallahu a‘lam.

      Reply
  13. Assalamualaikum ustaz saya ada satu soalan .
    Saya ada dengar ceramah sesetengah ustaz mengatakan boleh sambung mandi wajib sekiranya kita baru perasan ada benda menghalang air di bahagian tubuh badan kita ketika mandi wajib . Tapi terdapat dua cara@jawapan dari lain lain ustaz yang mengatakan boleh sambung mandi wajib iaitu hanya meratakan air di tempat yang tak kena air :

    1) Boleh sambung mandi wajib dengan hanya meratakan air pada bahagian yang tak kena air sahaja dan niat untuk sempurnakan mandi wajib sekiranya belum solat lagi . Tapi sekiranya sudah solat dan baru perasan air tak rata , kena mandi wajib seluruh tubuh semula .

    2) Boleh sambung mandi wajib dengan ratakan air di tempat yang tidak kena air sahaja walaupun sudah solat subuh , zohor , asar , maghrib dan isyak . Tidak perlu mandi satu badan kembali .

    Adakah kedua-dua cara boleh digunakan ustaz ? Mohon penjelasan dari ustaz , Terima Kasih Ustaz .

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Dalam Mazhab Syafie, wajib meratakan air ke seluruh anggota badan dalam mandi wajib. Jika selepas mandi baru menyedari ada bahagian yang tidak terkena air kerana ada sesuatu yang menghalang (seperti cat, gam, atau kotoran tebal), mandi wajib belum sah sehingga bahagian itu terkena air.

      Berkenaan dua pandangan yang disebut:

      1/ Jika belum solat, boleh sambung mandi wajib dengan hanya meratakan air ke bahagian yang tertinggal sambil berniat menyempurnakan mandi wajib. Tidak perlu ulang seluruh mandi.

      2️/ Jika sudah solat, pandangan yang lebih kuat dalam Mazhab Syafi‘i, solat tersebut tidak sah kerana mandi wajib belum sempurna. Maka, perlu ulang mandi wajib seluruh badan dan menggantikan solat yang telah dilakukan.

      Wallahu a‘lam. 😊

      Reply
  14. Assalamualaikum ustaz saya ada soalan .
    Sekiranya kita mandi wajib , dan seseorang bertanya kepada kita “mandi wajib ke” , lalu kita tidak mengaku dengan mengatakan “tidak” . Adakah ianya dapat juga membatalkan mandi wajib kita yang sudah kita siap lakukan ? Nampak macam kelakar tapi saya cuma nak kepastian sahaja 😊 Harap ustaz dapat jawab pertanyaan saya . Terima Kasih Ustaz .

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Mandi wajib tetap sah dan tidak terbatal walaupun seseorang menafikannya selepas selesai mandi. Ini kerana sah mandi wajib bergantung kepada niat yang sah dan perbuatan meratakan air ke seluruh tubuh, bukan kepada apa yang dikatakan selepasnya.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  15. Assalamualaikum ustaz …
    Saya ada satu soalan
    Adakah sah mandi wajib jikalau ada kesan jarum kecil yang dah jadi darah beku selepas vaksin ? Kalau nak hilangkan darah beku tu takboleh sbb sangat kecil . Bila nak tanggalkan tu rasa sakit krna baru vaksin satu hari . Minta penjelasan ustaz Terima Kasih ustaz

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Dalam Islam, salah satu syarat sah mandi wajib adalah air mesti meratai seluruh anggota badan tanpa sebarang halangan yang menghalang air daripada sampai ke kulit.

      Berkenaan dengan kesan darah beku kecil di tempat suntikan vaksin, mandi wajib tetap sah selagi air dapat sampai ke kawasan kulit di sekelilingnya. Sekiranya darah beku tersebut melekat dan tidak menghalang air secara keseluruhan, maka ia tidak menjejaskan sahnya mandi wajib.

      Namun, jika darah beku tersebut benar-benar membentuk lapisan tebal yang menghalang air daripada mengenai kulit, maka sebaiknya ia dibersihkan dengan cara yang tidak mendatangkan kesakitan. Jika menghilangkannya menyebabkan kesakitan atau mudarat, maka ia dimaafkan berdasarkan prinsip Islam yang tidak membebankan sesuatu di luar kemampuan seseorang.

      Kesimpulan:

      1. Mandi wajib sah jika air dapat sampai ke kawasan kulit sekeliling kesan suntikan.
      2. Jika terdapat penghalang yang menghalang air secara keseluruhan, cuba bersihkan dengan berhati-hati.
      3. Jika menghilangkannya menyebabkan kesakitan atau mudarat, ia dimaafkan, dan mandi wajib tetap sah.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  16. Assalamualaikum ustaz saya ada soalan tntng haid . Sekiranya penghujung haid keluar cecair kekuningan / keruh yang masih lagi dalam tempoh haid iaitu 15 hari , Adakah dikira sebagai haid ? Keluar darah segar 8 hari dan keluar cecair kekuningan 7 hari .
    Selepas habis tempoh haid 15 hari iaitu hari ke-16 17 18….. iaitu hari hari biasa bukan haid tapi masih keluar cecair kekuningan . Apabila keluar cecair kekuningan dalam tempoh haid , adakah boleh dianggap sebagai haid ataupun saya boleh sudah mandi wajib ? kerana hari hari biasa dapat dilihat cecair kekuningan itu keluar .
    Jikalau saya menganggap cecair kuning itu haid sehingga 15 hari , dan hari ke-16 17 18 19…. masih keluar cecair itu , Adakah saya perlu qadha solat pada hari hari cecair kekuningan itu keluar ketika dalam tempoh haid tadi ? kerana hari hari biasa saya dapat melihat cecair kuning tersebut .
    Mohon penjelasan ustaz , TERIMA KASIH 😊

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Dalam fiqh haid, tempoh maksimum haid ialah 15 hari. Oleh itu, jika cecair kekuningan atau keruh keluar dalam tempoh 15 hari, ia masih dikira sebagai haid dan wanita tidak perlu solat serta tidak boleh melakukan ibadah yang terhalang ketika haid.

      Namun, jika cecair kekuningan atau keruh masih keluar selepas hari ke-15, maka ia bukan lagi haid, tetapi dianggap sebagai istihadhah (darah penyakit). Dalam keadaan ini, wanita perlu mandi wajib dan kembali menunaikan solat seperti biasa.

      Jawapan Berdasarkan Situasi yang Diberikan:

      1️⃣ Cecair kekuningan dalam tempoh haid (hari 1-15)

      ✔ Jika cecair kekuningan keluar dalam tempoh 15 hari, ia masih dikira sebagai haid.

      ✔ Dalam keadaan ini, tidak perlu mandi wajib sehingga haid benar-benar berhenti atau mencapai hari ke-15.

      2️⃣ Cecair kekuningan selepas tempoh maksimum haid (hari ke-16 dan seterusnya)

      ✔ Jika selepas hari ke-15 cecair kekuningan masih keluar, maka ia bukan lagi haid, tetapi istihadhah.

      ✔ Perlu mandi wajib pada hari ke-16 dan kembali menunaikan solat serta ibadah lain seperti biasa.

      ✔ Wanita dalam keadaan istihadhah perlu mengambil wuduk bagi setiap kali solat fardu dan boleh terus menunaikan ibadah seperti biasa.

      3️⃣ Adakah perlu qadha solat bagi hari 16, 17, 18, dan seterusnya jika cecair kekuningan masih keluar?

      ✔ Tidak perlu qadha solat untuk hari 1-15 kerana masih dalam tempoh haid yang sah.

      ✔ Perlu solat seperti biasa mulai hari ke-16 kerana cecair kekuningan itu bukan lagi haid.

      ✔ Jika pada hari ke-16 dan seterusnya puan tidak solat kerana menyangka masih haid, maka wajib mengqadha solat untuk hari-hari tersebut kerana ia sebenarnya bukan lagi haid.

      —-

      Kesimpulan:

      • Cecair kekuningan dalam tempoh 15 hari dikira sebagai haid.
      • Selepas 15 hari, ia dianggap istihadhah, maka wanita perlu mandi wajib dan kembali solat.
      • Solat tidak perlu diqadha jika masih dalam tempoh haid, tetapi wajib qadha jika ditinggalkan selepas hari ke-15.
      • Wanita yang mengalami istihadhah perlu berwuduk bagi setiap solat fardu.

      Semoga penjelasan ini membantu.
      Wallahu a‘lam. 😊

      Reply
  17. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat fardu asar, ada ragu2 niat ketika solat. Tapi saya yakin dengan hati sy niat asar. Tapi teringatkan perkataan zohor di fikiran. Saya yakinkan blk sy niat asar, tp dtg blk fikiran perkataan zohor berulang kali. Adakah itu mainan syaitan? Adakah solat saya sah ustaz kerana asyik terfikirkan perkataan zohor, sedangkan hati saya yakin saya niat asar?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Solat puan adalah sah kerana niat terletak di dalam hati, bukan pada lintasan fikiran.

      ✔ Jika hati yakin berniat solat Asar, maka waswas yang mengganggu tidak membatalkan solat.

      Lintasan fikiran tentang Zohor adalah waswas syaitan, bukan niat sebenar.

      Cara mengatasi: Abaikan waswas, baca Ta’awwuz sebelum solat, dan fokus pada keyakinan hati.

      Kesimpulan:
      Selagi hati yakin dengan niat Asar, solat tetap sah.
      Wallahu a‘lam.

      Reply
  18. Assalamualaikum ustaz , maaf saya ada soalan tentang perihal haid .
    Spotting warna coklat yang keluar ketika tarikh yang berdekatan dengan tarikh datang haid , adakah dikira sbg haid dan tidak boleh solat ? Spotting warna coklat itu keluar 2 hari sebelum keluar darah haid kehitaman . Contohnya , saya haid keluar darah kehitaman pada 26hb , dan spotting coklat itu keluar 2 hari pada 24hb dan 25hb . Adakah saya perlu menunggu keluar 24 jam dahulu baru boleh dianggap sbg haid ? Minta penjelasan dari ustaz terima kasih .

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      1. Spotting Warna Coklat Berdekatan dengan Tarikh Haid

      Dalam Mazhab Syafie, cecair berwarna kuning atau keruh yang keluar dalam tempoh haid dianggap sebagai darah haid. Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha yang menyatakan bahawa para wanita tidak tergesa-gesa untuk mandi dan bersolat sehingga mereka melihat cecair putih yang menandakan suci daripada haid.

      Oleh itu, jika spotting coklat keluar dalam tempoh kebiasaan haid puan, ia dianggap sebagai haid, dan puan tidak dibenarkan solat pada waktu tersebut.

      2. Tempoh Minimum Haid

      Menurut Mazhab Syafie, tempoh minimum haid ialah 24 jam. Namun, darah haid tidak semestinya keluar secara berterusan; ia boleh terputus-putus asalkan jumlah keseluruhan keluarnya mencapai 24 jam dalam tempoh maksimum haid, iaitu 15 hari.

      —-

      Kesimpulan:

      • Spotting coklat yang keluar pada 24hb dan 25hb dianggap sebagai permulaan haid jika ia berada dalam tempoh kebiasaan haid puan.
      • Puan tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk menganggapnya sebagai haid; sebaik sahaja spotting tersebut keluar dalam tempoh haid, ia dikira haid.
      • Dalam tempoh tersebut, puan tidak dibenarkan menunaikan solat dan ibadah lain yang dilarang semasa haid.

      Semoga penjelasan ini membantu puan memahami isu yang dibangkitkan.

      Jika ada sebarang soalan lanjut, silakan bertanya.

      Reply
  19. Assalamualaikum ustaz saya ada satu soalan 😇 . Ketika sedang mandi wajib , dalam hati ada kata “siap dah mandi” sedangkan belum selesai mandi wajib , baru separuh basuh kepala . Adakah saya harus berniat semula untuk selesaikan mandi wajib tersebut ? Terima kasih 😊

    Reply
    • saya teruskan sahaja mandi saya sehingga selesai tanpa berniat semula . Jadi adakah sah mandi wajib itu ustaz ? terima kasih

      Reply
      • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

        1. Niat Mandi Wajib

        Niat mandi wajib hanya perlu dilakukan pada permulaan mandi, iaitu ketika mula-mula mengalirkan air ke badan. Sekiranya puan telah berniat dengan betul pada permulaan mandi, niat itu sah dan memadai untuk keseluruhan mandi wajib.

        2. Bisikan Hati Semasa Mandi

        Bisikan hati seperti “siap dah mandi” atau seumpamanya tidak membatalkan niat mandi wajib, selagi puan terus menyempurnakan basuhan air ke seluruh anggota badan dengan niat yang telah dibuat sebelumnya. Bisikan seperti ini dianggap lintasan hati (was-was) dan tidak menjejaskan ibadah.

        3. Sah atau Tidak Mandi Wajib?

        Jika puan:

        • Telah berniat mandi wajib pada awal mandi,
        • Kemudian menyempurnakan seluruh anggota wajib seperti membasuh seluruh rambut, kulit, dan bahagian badan,

        Maka mandi wajib tersebut adalah sah, walaupun puan tidak berniat semula selepas lintasan hati berlaku.

        Puan tidak perlu bimbang. Mandi wajib puan tetap sah kerana niat telah dilakukan pada awal mandi, dan puan telah menyempurnakan anggota wajib. Usah terlalu khuatir dengan lintasan hati kerana ia tidak membatalkan ibadah.

        Semoga penjelasan ini membantu puan. 😊

        Reply
  20. Assalamualaikum ustaz saya ada soalan .
    Apabila saya dapat ilmu baru , contohnya saya dapat ilmu tentang “kalau kita berniat nak berhenti solat maka solat kita akan batal serta merta” & “kalau ada niat nak berhenti mandi wajib maka mandi wajib kita tidak sah dan masih berlaku hadas besar pada kita” . 
    dan start pada haritu , kalau nak solat mesti asyik datang lintasan nak berhenti solat la . kalau mandi wajib pula asyik ada lintasan nak berhenti juga dan jika saya selalu berkata “jangan berhenti” ketika sedang mandi tidak memberi kesan kan ustaz pada mndi saya ? Tapi saya selalu berkata jangan layan . lepastu asyik datang fikiran “kalau mandi wajib tadi tak sah , automatik ibadah aku tak sempurna nanti” . Adakah ini datangnya daripada syaitan ustaz ? Dan situasi ini tidak memberi kesan kepada solat dan mndi wajib saya kan ustaz ? Mohon penjelasan dari ustaz . Terima kasih ustaz .

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh,

      Apa yang puan alami ini adalah satu bentuk was-was, iaitu bisikan yang sering mengganggu hati seseorang dalam urusan ibadah. Was-was ini adalah salah satu strategi syaitan untuk melemahkan keyakinan kita dalam beribadah dan menyulitkan amalan kita.

      Penjelasan Situasi

      1/ Niat Berhenti Solat dan Mandi Wajib:
      Memang benar, jika seseorang berniat secara sengaja untuk berhenti solat atau mandi wajib di tengah-tengah pelaksanaannya, maka ia batal. Namun, lintasan fikiran semata-mata yang tidak diiringi dengan keazaman tidak membatalkan solat atau mandi wajib. Ini adalah perkara yang penting untuk puan fahami. Lintasan fikiran sahaja tidak dikira niat.
       
      2/ Mengatakan “Jangan Layan” atau Berbicara dalam Hati:
      Tidak mengapa puan berkata “jangan layan” atau seumpamanya untuk melawan was-was dalam hati. Ini tidak memberi kesan kepada sahnya mandi wajib atau solat puan. Malah, usaha melawan was-was ini adalah satu perkara yang baik kerana menunjukkan keazaman puan untuk menjaga ibadah.

      3/ Bisikan Was-Was:
      Was-was ini memang datang daripada syaitan, seperti yang disebut dalam al-Quran: “Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” (Surah an-Nas, 114:5)

      Tugas syaitan adalah untuk mengganggu ketenangan hati orang yang beriman, terutamanya dalam ibadah. Puan tidak perlu risau, kerana selama mana puan melaksanakan ibadah dengan betul dan tidak benar-benar berniat untuk berhenti, ibadah puan adalah sah.

      Cara Mengatasi Was-Was

      1/ Perkukuhkan Keyakinan:
      Fahami bahawa lintasan hati atau fikiran tidak membatalkan ibadah. Solat dan mandi wajib puan adalah sah selagi puan tidak dengan sengaja berniat untuk membatalkannya.

      2/ Baca Ta’awwudz (A’uzubillah):
      Sebelum memulakan ibadah, baca ta’awwudz dan doa perlindungan daripada syaitan. Contohnya: “A’uzubillahi minasy-syaitanir-rajim.”

      3/ Abaikan Was-Was:
      Jangan terlalu memikirkan lintasan yang datang. Fokus kepada ibadah dan yakinlah bahawa ia sah. Allah tidak membebani kita dengan perkara yang tidak mampu kita tanggung.

      4/ Berdoa kepada Allah:
      Mohon perlindungan daripada Allah agar hati puan dijauhkan daripada gangguan syaitan. Antara doa yang boleh diamalkan: “Allahumma inni a’uzubika min hamazatish syayatin wa a’uzubika rabbi an yahdurun.” (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bisikan syaitan, dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, daripada kehadiran mereka di sisiku.)

      Situasi yang puan alami tidak membatalkan solat atau mandi wajib puan. Apa yang penting ialah puan melawan was-was ini dengan keyakinan bahawa ibadah yang dilaksanakan dengan betul adalah sah. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan puan dan memberikan ketenangan hati dalam beribadah.

      Jika ada soalan lain, jangan segan untuk bertanya. 😊

      Reply

Leave a Comment