Cara Membersihkan Air Mani, Mazi, Wadi Dan Kencing

Membersihkan Air Mani, Mazi, Wadi Dan Kencing

Bagaimana kaedah membersihkan air mani, air mazi dan air wadi?

Panduan ini akan menjelaskan secara terperinci hukum dan kaedah membersihkan air dari tubuh manusia.

Semoga panduan ini memberi manfaat.

Pengenalan

Allah telah menganugerahkan kepada manusia dengan pelbagai air yang terdapat di dalam tubuh badan manusia.

Setiap mukallaf wajib mengetahui segala jenis air yang ada pada manusia.

Ini bertujuan agar manusia dapat membezakan air yang suci dan air yang tidak suci.

Ada di kalangan umat Islam sekarang yang masih kabur tentang hukum-hukum yang terdapat pada setiap air tersebut.

Antara jenis-jenis air yang terdapat pada manusia adalah seperti:

Air Mani

Maksud Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat.

Ia bukan najis tetapi dikehendaki mandi hadas untuk menyucikannya bagi membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat yang diharamkan ketika berhadas besar.

Firman Allah SWT:

(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusian memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim), yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan

at-Taariq: 5-7

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga memancut.

Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih.

Air Mani Najis Atau Tidak?

 Menurut mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis.

Hujah ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, mafhumnya:

Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara  mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat.

Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Cara Membersihkan Air Mani

Bagi air mani yang kering ataupun menempel pada pakaian, hendaklah menyucikannya dengan cara mengikis dengan kuku ataupun alat-alat yang lain. Setelah dikikis, cucikan pula dengan air sehingga bersih.

Daripada Aisyah r.a, berkata:

Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu”

(Riwayat al-Bukhari)

Cara mencuci mani yang masih basah atau belum kering, sunat dibasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi

Apakah itu air mazi?

Air mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan wanita disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan sedar ataupun tidak.

Air mazi keluar dengan cara tidak memancut dan tidak mengalami keletihan.

Daripada Ali r.a, dia berkata:

Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan baginda menjawab: Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Air mazi boleh keluar disebabkan pandangan yang memberangsangkan seperti melihat aurat wanita.

Selain dari pandangan yang menimbulkan syahwat, air mazi juga keluar ketika seseorang membuang air besar ataupun kecil.

Air mazi terhasil apabila otot lantai pelvis tercengkam apabila meneran. Kadangkala cecair dari pundi prostat juga akan terkeluar ketika membuang air besar.

Ia berlaku apabila najis yang turun melalui usus menekan pundi prostat dan cecair akan terkeluar menerusi saluran kencing.

Semua perubahan ini adalah semulajadi dan bukannya penyakit.

Seterusnya air mazi juga boleh terhasil semasa seseorang itu bermimpi semasa tidur, apabila dia terasa sesuatu cecair telah keluar, ini juga adalah sejenis air mazi.

Hukum Air Mazi

Para ulama’ telah bersepakat dengan menyatakan bahawa air mazi ini adalah najis mutawassitah.

Air mazi juga boleh membatalkan wuduk dan tidak boleh dibawa solat.

Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya mani, tetapi dia wajib menyucikannya sehingga bersih.

Cara Membersihkan Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih.

Rasulullah SAW bersabda:

Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Maksud Air Wadi

Apakah maksud air wadi?

Air wadi ialah air putih pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita selepas membuang air kencing.

Kadangkala air wadi boleh terhasil akibat letih ataupun mengangkat sesuatu yang berat selain daripada bekerja di siang hari (mungkin ketika di waktu yang panas terik).

Daripada Aisyah r.a, dia berkata:

Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerana itu, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi”

(Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulama mengatakan air wadi ini adalah sejenis najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi.

Wadi perlu dibersihkan seperti membersihkan najis mutawassitah dan tidak perlu mandi hadas bagi sesiapa yang keluar wadi.

Orang yang mengalami air wadi tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan pendapat Imam an-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Membersihkan Air Wadi

Cara membersihkan air wadi adalah dengan membasuh kemaluan sehingga bersih.

Membersihkan pakaian yang terkena air wadi pula seperti membasuh dan mengalirkan air pada tempat najis tersebut. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Hukum Air Kencing

Air kencing adalah najis mutawassitah dan dapat membatalkan wuduk seseorang, serta boleh menyebabkan solat menjadi tidak sah.

Orang yang ingin membuang air kencing perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pada pakaiannya.

Semasa membuang air kencing, hendaklah dipastikan air kencing yang keluar habis dari kemaluannya.

Air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedikit-sedikit dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar.

Hal ini boleh menyebabkan najis tersebut terkena pada pakaian yang dipakai dan pakaian tersebut tidak boleh dibawa solat.

Sebagai tindakan berjaga-jaga, bawalah kain ataupun seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat.

Perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa dalam keadaan bersih dan suci.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, mafhumnya:

Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya).

Kaedah Memastikan Air Kencing Keluar Habis Dari Kemaluan

Cara untuk memastikan air kencing itu habis ataupun tidak habis keluar dari kemaluan, antara caranya ialah seperti:

  1. Bagi wanita, untuk memastikan air kencing habis ataupun belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka dia bolehlah membersihkan kemaluannya.
  2. Bagi lelaki pula agak susah sedikit. Biasanya memerlukan waktu dan kesabaran.

    Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakar dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya.

    Pada masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya.

    Setelah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri tanpa sebab yang boleh menghalang daripada kencing secara duduk.

Perbuatan ini bercanggah dengan akhlak dan etika yang diajar oleh Islam.

Kencing secara duduk dapat mengelakkan daripada percikan air kencing terkena pada pakaian dan diri seseorang.

Namun jika diyakini air kencing itu tidak mercik dan dapat dipastikan tidak terkena pada dirinya, maka ia tidak menjadi halangan baginya untuk kencing secara berdiri.

Diriwayatkan oleh Huzaifah r.a, yang menceritakan:

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, baginda membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera menjauh, sambil baginda berkata: Dekatlah ke mari. Aku pun segera menghampirinya sehingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas ini ialah untuk menyatakan harus bagi seseorang kencing berdiri.

Hadis ini juga bukan menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing secara berdiri, tetapi pada kebiasaannya Rasulullah kencing dalam keadaan duduk.

Imam an-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap diharuskan.

Kedua-dua perbuatan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran.

Menurut mereka perbuatan Nabi kencing secara berdiri adalah kerana keuzuran, kemungkinan Rasulullah SAW susah untuk duduk pada masa itu kerana tempat itu merupakan tempat pembuangan sampah.

Mungkin juga Rasulullah SAW mengalami sakit tulang belakang.

Menurut Imam Syafie, apabila orang Arab mengalami sakit belakang, mereka akan kencing secara berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat pelbagai khilaf tentang kencing berdiri ini.

Ada riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar al-Khatab, Saidina Ali Bin Abi Talib, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a pernah kencing secara berdiri.

Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim Bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing secara berdiri ini adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk.

Makruh pula bagi orang yang kencing berdiri dengan sengaja dan dia tidak mengalami apa-apa kesukaran untuk kencing secara duduk.

Perbuatan paling baik di antara keduanya ialah kencing duduk, pandangan ini dikuatkan lagi oleh Imam Ibnu al-Munzir:

Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”

Air Nanah

Imam Syafie dan para imam lain bersepakat mengatakan bahawa air nanah adalah najis mutawassitah.

Dapat dimaafkan bagi air nanah ataupun luka yang sedikit dan tidak bercampur dengan benda lain yang cair.

Secara umumnya manusia sangat sulit untuk membersihkan air nanah yang keluar sedikit pada anggota badan.

Kadar sedikit yang dimaksudkan disini ialah tidak dipandang jijik oleh manusia dan tidak dapat membatalkan wuduk.

Imam Syafie berpendapat darah jerawat kecil, darah nyamuk, tahi lalat, air luka bakar dan cacar yang berbau mahupun banyak dan darah orang lain yang sedikit adalah dimaafkan.

Kesemua ini tidak membatalkan wuduk juga solat.

Cara membersihkan air nanah adalah dengan cara menghilangkan air nanah terlebih dahulu, kemudian dibasuh air nanah tersebut sehingga suci.

Namun setelah dibersihkan, masih keluar lagi, maka dikehendaki seseorang itu membalut bahagian nanah tersebut supaya ia tidak merebak dan keluar dengan lebih banyak lagi.

Air Liur Basi

Air liur basi adalah sejenis air yang keluar dari mulut manusia ketika tidur.

Air liur basi keluar melalui perut manusia. Kadang-kadang air tersebut berwarna kuning cair dan ada yang berwarna putih jernih.

Air liur basi lazimnya berbau dan berpeta apabila ia sudah kering.

Imam Syafie menyatakan bahawa air liur basi adalah air yang keluar secara langsung dari perut manusia dan air tersebut adalah najis.

Bagi sesiapa yang keluar air liur basi hendaklah dia membasuhnya sehingga bersih seperti membersihkan najis mutawassitah.

Berbanding dengan air liur biasa, ia bukan datang dari perut manusia dan kebiasaannya ia datang berwarna putih.

Tidak perlu membasuh air liur tersebut jika ia terpalit pada pakaian. Tidak terbatal wuduk ataupun solat orang yang terkena air liur ini.

Adakah Anda Mempunyai Sebarang Persoalan?

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan topik ini, anda bolehlah meninggalkan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.

Dan jangan lupa untuk membuat pengesahan untuk menerima notifikasi dalam emel anda.

InsyaaAllah saya akan berusaha untuk menjawab sebarang soalan anda sebeberapa cepat yang boleh.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda, terima kasih.

Rujukan:

  1. Toolkit Fardu Ain, Nor Amin Sayani Bin Zainal, disemak oleh Ustaz Abdul Mutalib Bin Maarof
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

30 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
wan
wan
7 bulan yang lalu

assalamualaikum.. saya ingin bertanya jika seluar kita terkena mazi.. adakah cukup jika kita hanya mengelap menggunakan tisu basah(tisu kering yang dibasahkan dengan air paip) pada seluar tersebut.. kesan dan bau juga hilang setelah saya berbuat demikian dan adakah sah solat saya menggunakan pakaian tersebut kerana saya sedang bekerja ketika itu… mohon pencerahan tuan

Din
Din
11 bulan yang lalu

Adakah wajib mengambil wuduk untuk membersihkan air mazi dan wadi

Ahmad
Ahmad
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum kalau dekat seluar dalam ada tompokan putih sikit sikit adakah itu air mani, air wadi atau air mazi?

Uzma
Uzma
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya. Bolehkah bersihkan seluar dalam yang terkena pada air mazi atau wadi dengan air dari paip sahaja tidak guna sabun? Sah ke dibawa solat walaupun telah bersihkan tapi bau itu ada?

Uzma
Uzma
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Terima kasih atas keterangannya. Sangat jelas dan faham.

Ana
Ana
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum mahu bertanya,
1)jika mazi sudah kering dan tiada kesan , saya tidak tahu mahu mencuci di bahagain mana. Adakah memadai untuk saya membilasnya dan memsatikan dikenakan air sebelum memasukkan ke dalam mesin basuh?
Atau perlukah saya membasuh menggunakan sabun juga sebelum masuk mesin basuh?
2) bolehlah umat islam mebuang pakaian yang terkena najis (air mazi, mani) sebelum membersihakanya?

Mohon pencerahan. Terima kasih banyak.

Ana
Ana
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Terima kasih banyak. Bagaiman pula dengan air mani?

Adi
Adi
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya, saya sudah bersihkan pakaian yang terkena air mazi dengan air mutlak dan sabun serta dibilas dengan air mutlak. tapi masih terdapat kesan tompokan mazi tersebut, namun tidak berbau dan tidak melekit. adakah sah solat saya jika memakai pakaian tersebut?

Hisham
Hisham
1 tahun yang lalu

Kalau cadar dan bantal terkena air mani tetapi sudah kering, apakah wajib untuk membasuhnya ataupun boleh terus digunakan?

Din
Din
Reply to  Muhamad Naim
11 bulan yang lalu

Kenapa air dianggap najis maaf saya keliru bukan ke air mani bukan najis tq

Muhammad ahnaf irfan bin osman
Muhammad ahnaf irfan bin osman
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, jika saya mengikis air mani kering dengan kuku pada pakaian saya, adakah saya perlu mandi wajib semula?

Ahmad Azizi
Ahmad Azizi
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, nak tanya, air mani boleh ke diserap dalam pakaian? Mohon penjelasan, terima kasih.

Ahmad Azizi
Ahmad Azizi
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Maksud saya,boleh ke pakaian menyerap air mani macam air biasa?

Ahmad Azizi
Ahmad Azizi
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Ok,terima kasih.

Muhammad Azri
Muhammad Azri
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum.. Sekiranya keluar air wadi atau mazi ketika bekerja dan melekat pada pakaian.. Bagaimana kaedah untuk mencuci air wadi dan mazi tersebut ketika sedang berada ditempat kerja seperti kilang.. Mohon pencerahan.. Terima kasih..

Muhammad Azri
Muhammad Azri
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Terima kasih atas pencerahan yang diberikan.