
Apakah perbezaan diantara makmum masbuk dan makmum muwafiq?
Artikel ini akan menerangkan secara lengkap mengenai makmum masbuk dan muwafiq, untuk membantu anda memahami hukum dalam solat berjemaah dengan lebih baik lagi.
Semoga panduan ini dapat membantu anda melakukan ibadah solat dengan sempurna.
Makmum Masbuk
Makmum masbuk ialah makmum yang tidak sempat solat bersama imam dari awal takbiratulihram.
Ketika makmum mula mengikuti imam, sekurang-kurangnya imam sudah pun membaca al-Fatihah dan makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah apabila imam rukuk.
Sekiranya semasa makmum masuk untuk solat jemaah, imam hampir rukuk atau sedang dalam keadaan rukuk, makmum tadi sempat mendapatkan rakaat tersebut sekiranya makmum:
- Terus takbir memulakan solat dengan berniat mengikut imam.
- Setelah berdiri sebentar (sekadar bacaan “subhanallah) teruskan rukuk untuk mendapatkan imam.
- Sekiranya sempat berdiri seketika bersama imam, makmum perlu terus membaca al-Fatihah sekadar yang sempat dan terus mengikut imam rukuk apabila imam rukuk.
Kecuali apabila makmum membaca bacaan-bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawuz atau diam sahaja serta sebelum sempat dia membaca al-Fatihah imam sudah rukuk, maka makmum harus segera membaca al-Fatihah sekadar lama masa makmum membaca bacaan sunat atau diam tadi dan terus mengikut imam rukuk.
Kesimpulannya, selagi sempat rukuk bersama imam walaupun seketika, makmum dikira mendapat rakaat tersebut.
Sebaliknya, apabila makmum masuk berjemaah ketika imam sudah melepasi rukuk, maka rakaat tadi tidak dikira.
Makmum mesti menambah rakaat yang terkurang itu selepas imam memberi salam.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Makmum Masbuk
Makmum yang masbuk sunat membaca bacaan-bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawuz sebelum membaca al-Fatihah.
Tetapi apabila makmum berasakan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam rukuk, maka makmum perlu terus membaca al-Fatihah tanpa didahului oleh bacaan yang sunat.
Bahkan, jika pada waktu itu makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya sedangkan imam telah rukuk, maka makmum perlu mengikut imam walaupun tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.
Sebaliknya, apabila makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah apabila imam rukuk kerana leka membaca yang sunat, maka makmum perlu meneruskan bacaan al-Fatihah sekira-kira sama panjangnya dengan bacaan sunat yang telah dibacanya.
Sekiranya makmum sempat rukuk serta tamakninah bersama imam ketika imam masih rukuk, maka makmum mendapat rakaat itu.
Sebaliknya apabila imam sudah bangun dan hendak turun sujud dan makmum masih lagi meneruskan bacaannya, makmum perlu berniat berpisah dari imam (mufaraqah) atau solatnya terbatal.
Makmum Muwafiq
Makmum muwafiq ialah makmum yang mempunyai cukup masa bersama imam untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.
Jika makmum masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam rukuk, maka makmum perlu menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum rukuk.
Sekiranya makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihah sebelum imam melakukan sujud kedua, maka makmum perlu segera rukuk dan seterusnya sehingga sempat bersama imam semula.
Makmum dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.
Sebaliknya, apabila makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah sedangkan imam sudah duduk antara dua sujud, maka makmum perlu terus rukuk dan sebagainya untuk sempat bersama imam.
Makmum masih mendapat pahala berjemaah tetapi rakaat itu tidak dikira.
Oleh sebab itu, makmum mesti menambah rakaat yang kurang itu.
Sekiranya makmum hendak meneruskan bacaan al-Fatihah, maka makmum perlu berniat mufaraqah iaitu berpisah daripada imam dan meneruskan solat bersendirian.
Dalam hal ini, makmum tidak lagi mendapat pahala jemaah.
Perkara yang Perlu Dilakukan Oleh Makmum Muwafiq
Makmum yang muwafiq atau yang dapat mengikut imam semasa berdiri sama ada ketika baru masuk mengikut jemaah atau sedang dalam rakaat dan sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, makmum wajib menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum mengikut imam rukuk.
Apabila makmum sepatutnya sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah tetapi:
- dia sibuk membaca bacaan-bacaan yang sunat
- atau mengulangi bacaan al-Fatihah kerana ragu-ragu dengan bacaannya sebelum itu
- atau imam membaca dengan cepat sehingga dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah ketika imam rukuk
.. maka makmum muwafiq dalam kes ini diberi tempoh iaitu belum berlalu tiga rukun panjang* untuk dia menghabiskan bacaan al-Fatihahnya.
Contohnya, makmum masih boleh terus berdiri untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah sehingga imam melakukan sujud yang kedua.
Sebelum imam bangkit dari sujud kedua, makmum perlu segera rukuk apabila bacaan al-Fatihahnya telah habis dibaca.
Sebaliknya apabila makmum masih belum selesai bacaan al-Fatihah, makmum boleh berniat mufaraqah dan menunaikan solat seterusnya secara sendirian.
*Rukun yang panjang:
— Rukun yang panjang adalah rukuk dan sujud, iktidal dan duduk di antara dua sujud tidak termasuk sebagai rukun yang panjang.
Saya masih blur. Solat isyak. Saya masuk saf , jamaah dah masuk rakaat ke empat tengah baca fatihah. Saya takbir, baca fatihah terus ikut rukuk sampai tahiyat akhir. Saya baca tahiyat akhir dah tu naik buat lagi 2 rakaat. Buat tahiyat awal, dah tu buat lagi 1 rakaat. Dah tu tahiyat akhir lagi. Bagi salam. Betul ke ni?
Sorry lepas tahiyat akhir ikut imam saya continue buat satu rakaat dah tu tahiyat awal, continue dua rakaat dan buat lagi tahiyat akhir. Ni bukan kira saya keluar dari ikut imam ker? Lagi satu…kalau keluar dari ikut imam tu mcm mana? Niat dia mcm mana? Bila masa baca niat tu?
tahiyat awal dibaca bersama tahiyat akhir imam jika kita mengikuti imam di rakaat kedua atau ketiga. Jika kita mengikuti imam di rakaat terakhir kita disunatkan untuk membaca tahiyat awal ketika menggantikan rakaat. Yang penting kita dapat cukupkan rakaat kita dengan sempurna
Terima kasih Zahinizwan tolong jawabkan.
Saya baru sedar thread ini. 😷
Apa hukum dia , saya tengah solat bersendirian d surau shoppingmall , tiba tiba datang orang tepuk belakang jadi makmum (masbuk), waktu tu dah rakaat terakhir. Selepas selesai saya solat dan baca doa , saya tinggalkan sahaja makmum masbuk tersebut yang belum selesai solat. Bagaimana untuk hadapi situasi seperti ini? Terima Kasih
Tiada masalah. Hukumnya tidak berdosa.
Alhamdulilah , Terima Kasih
Assalamualaikum. saya xberapa faham tentang solat berjemaah.
Jika imam membaca Al-fatihah, makmum(isteri) perlu ikut baca bersama atau kena tunggu imam habis baca terlebih dahulu? begitu juga dgn bacaan sunat.
Kedua, jika makmum xhafal doa qunut, adakah sah solat tersebut utk mngikut imam?
Terima kasih atas respon.
Wassalam,
1) Sunat untuk dengar imam baca alFatihah terlebih dahulu
2) Sah. Yang penting dalam solat berjemaah adalah mengikut pergerakan imam
Salam ustaz, saya nak tanya, contohnya saya masuk jemaah solat isyak ketika rakaat kedua dan sempat habiskan Al-fatihah, jadi saya kena ganti satu rakaat. Misalnya, rakaat ketiga dan keempat saya tak sempat habiskan Al-fatihah imam dah rukuk. Adakah perlu saya rukuk terus atau habiskan bacaan baru rukuk?
Assalamualaikum Ustaz, saya nak bertanya jika seorang makmum sempat bertakbir mengikut imam tapi kerana membaca doa iftitah perlahan dan semasa membaca Al-Fatihah imam sudah rukuk lalu makmum tersebut tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihahnya dan ikut rukuk adakah dikira makmum masbuk? Dan adakah solatnya sah?
Wassalam. Solatnya tetap sah.
Cuma lain masa, jika dirasakan tidak sempat maka tidak perlu membaca bacaan sunat seperti iftitah. Terus baca al-Fatihah.
Alhamdulilah Terima kasih Ustaz, dan satu lagi soalan, jika seorang makmum masuk sewaktu rakaat ketiga. Ketika imam membaca tahiyat akhir makmum itu perlu atau tidak membaca tahiyat akhir atau membaca tahiyat awal.
Kena baca juga tahiyat akhir. ?
SubhanaAllah terima kasih di atas info itu Ustaz. Semoga Allah permudahkan urusan kita untuk terus menuntut ilmu Aamiin YaRabbal Alaamiin
SubhanaAllah. Alhamdulillah. Sungguh amat bermanfaat dalam penjelasan. Terima kasih.
Alhamdulillah. Sama-sama tuan.
Assalamualaikum . kalau imam dah takhiat akhir , saya baru rakaat kedua , perlu ke saya habiskan bacaan tahiat akhir. dan haritu saya sempat solat dengan imam 3 rakaat , 1 lagi saya tambah , Lepastu waktutu saya tak ingat yang saya dah duduk di antara dua sujud atau belum.
Perlu ke saya membuat sujud sahwi ketika itu . Saya tak buat sujud sahwi ketika itu , Perlu ke saya qada’ solat saya?
Wassalam.
Jika awak yakin ada tertinggal rukun solat, maka awak kena qada solat. Jika hanya perkara sunat sahaja yang tertinggal, maka tidak perlu qada solat.
Duduk antara dua sujud adalah salah satu daripada 13 rukun solat. Maka jika awak tertinggal, maka awak perlu qada solat.
Assalamualaikum.Kalau niat mufaraqah tu ketika imam sedang bangun untuk tahiyat akhir.Sah tak solat?
Wassalam, Sah.
Assalamualakum, maaf bertanya boleh saya tahu rujukan darimana? kerana saya sedang cari bab ini dalam kitab.
Alhamdulillah saya dh faham
Alhamdulillah ?
alhamdulillah saya lebih faham
Alhamdulillah, gembira mengetahuinya ?
Ketika solat empat rakaat,sekiranya imam rakaat kedua dan kita baru bermula rakaat pertama kita terus mengikuti imam or menunggu ke rakaat ketiga
Assalam sy nak tanya. Kalau kita tak sempat baca fatihah dan sunat, hanya sempat takbir kemudian terus ikut imam rukuk,adakah rakaat tu dikira?
Wassalam.
Ya dikira masih mendapat rakaat itu.
Kalau kita sengaja melambat-lambatkan membaca surah Al Fatihah ketika solat berjemaah tetapi imam sudah ruku, adakah solat kita dikira sah?Bacaan surah Al-Fatihah yang kita baca tadi tu tak sempat habis
Assalamualaikum..
Saya nak tanya,
Adakah hukum makmum ini hanya terpakai bagi solat berjemaah di masjid (tok imam azan, n makmum solat berjemaah),
Ataupun terpakai jugak bagi solat berjemaah di rumah/surau?
Solat berjemaah yg dilakukan mgkn selepas azan dilaungkan, ataupun setengah jam/sejam selepas orang azan (dalam waktu lagi)
Terima kasih..
Wassalam,
Terpakai untuk mana-mana solat jemaah. Tidak semestinya di masjid sahaja.
Tiada masalah untuk solat yang dilakukan pada waktu bila-bila masa sekali pun, hukum ini masih terpakai ?
Assalamuaikum
Saya nk tanya…ketika makmun masuk saf….imam telah mbaca alfatihah…perlu ke makmun tadi mbaca doa iftitah ketika imam mbaca alfatihah..atau perlu ke makmum diam sahaja mdgr bacaan al fatihah imam?
Wassalam,
Makmum yang masbuk sunat membaca bacaan-bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawuz sebelum membaca al-Fatihah.
Tetapi apabila makmum berasakan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam rukuk, maka makmum perlu terus membaca al-Fatihah tanpa didahului oleh bacaan yang sunat.
Assalamu’alaikum, nak tanya yang seperti soalan Sarifah.. makmum angkat tabir ketika imam mula membaca al-Fatihah, makmum perlu diam dan mendengar bacaan imam atau terus membaca doa iftitah?
Wassalam.
Kalau rasa sempat habiskan al-fatihah sebelum imam rukuk, maka disunatkan baca iftitah dahulu.
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya adakah kita dibolehkan membaca alfatihah Bersama-sama imam atau alfatihah dibaca selepas imam habis membaca alfatihah.. Saya keliru.
Wassalam,
Boleh, solat tidak batal.
Cuma disunatkan makmum membaca al-Fatihah selepas imam habis membaca al-Fatihah iaitu mendengar dan menghayati bacaan imam dahulu. (dapat pahala berganda iaitu dengar dan baca fatihah)
Alhamdulillah untuk maklumat ini, ramai yang keliru termasuk saya sebelum ini
Alhamdulillah, semoga memberi kefahaman ya.
Alhamdulillah
Lakukanlah ibadah dg mencari tau inti dasar dahulu apa yg Allah inginkan:
1. Perbedaan cara sholat tdklah menjadi dasar tidak diterimanya ibadahnya.
2. Berimanlah melakukan semua ibadah, agar kita tahu tujuannya kita beribadah/sholat & kepada siapa kita beribadah/sholat.
3. Ikhlaslah melakukan ibadah/sholat, krn sekecil keikhlasan akan membawa diri kita utk merendahkan hati kepada Allah.
4. Selanjutnya lakukan seperti dalam Hadist/sunahnya, agar kita tidak keluar jalan dari sunahnya para Utusan2 yg telah dilakukan.
Semoga Allah meridhoi segala ibadah/sholat yg kita lakukan. Amiin.