Hukum Menangis Ketika Berlaku Kematian

Menangis Ketika Berlaku Kematian

Apakah hukum menangis ketika berlaku kematian?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Mana satu menangis yang haram masa kematian dan mana satu menangis yang tidak haram?

Benarkah dikata orang syaitan masuk ke dalam rumah yang ada orang menangis kerana kematian?


JAWAPAN

Hukum menangis ketika berlaku kematian adakalanya diharamkan dan adakalanya diharuskan.

MENANGIS YANG HARAM

Menangis ketika berlaku kematian yang diharamkan oleh syarak dan dilaknat pelakunya disebut sebagai niyahah.

Erti niyahah ialah meratapi akan mayat atau meraung yakni berteriak mengangkat suara atau menangis dengan bertempik atau terlolong-lolong atau menampar-nampar pipi atau mengoyak pakaian atau berguling-guling dan sebagainya dari kelakuan menangis yang jahiliyah.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda :

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Ertinya:

Dua perbuatan pada manusia yang keduanya adalah perbuatan orang kafir iaitu menghina pada keturunan dan berteriak atas mayat.”

(Hadith riwayat Muslim)

Dan diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. Nabi saw bersabda :

لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الْخُدُودَ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

Ertinya:

Bukan dari amalan kami mereka yang menampar pipi (ketika kematian) dan mengoyakkan pakaian dan menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliyah.”

(Hadith riwayat Syeikhain)

Dan telah diriwayatkan daripada Anas r.a. :

أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَى عَلَى امْرَأَةٍ تَبْكِي عَلَى صَبِيٍّ لَهَا فَقَالَ لَهَا اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي قَالَتْ وَمَا تُبَالِي أَنْتَ بِمُصِيبَتِي فَلَمَّا ذَهَبَ قِيلَ لَهَا إِنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَهَا مِثْلُ الْمَوْتِ فَأَتَتْ بَابَهُ فَلَمْ تَجِدْ عَلَى بَابِهِ بَوَّابِينَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَعْرِفْكَ فَقَالَ إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ أَوَّلِ صَدْمَةٍ

Ertinya:

Sungguhnya Nabi saw telah lalu kepada seorang perempuan yang sedang menangis atas anaknya (yang mati).

Maka Nabi saw berkata baginya: Takutlah kamu akan Allah dan bersabarlah.

Kata perempuan itu: Dan apa engkau peduli dengan musibah yang menimpa aku.

Maka ketika Nabi saw beredar seorang telah memberitahu perempuan itu bahawasanya yang bercakap dengannya tadi ialah Rasulullah saw.

Perempuan itu telah kematian anaknya (kerana itu dia jadi bersangatan perasaannya). Lalu dia datang ke rumah Nabi saw dan didapatinya tidak ada orang yang menunggu pada pintunya.

Kemudian berkata perempuan itu: Wahai Rasulullah. Aku tidak mengenali akan engkau (meminta uzur).

Maka sabdanya : Hanyalah sabar itu ketika permulaan (datang musibah).”

(Hadith riwayat Muslim)

Berkata Imam Al-Qurtubi:

الظاهر: أنَّه كان في بكائها قدر زائد من نوحٍ، أو غيره ولهذا أمرها بالتقوى

Ertinya :

Bermula yang zahirnya bahawasanya pada tangisan perempuan itu lebih daripada meratap atau lainnya maka kerana itulah Nabi saw menyuruhnya supaya takut kepada Allah.

Dan berkata Imam Nawawi:

أَمَّا النَّدْبُ وَالنِّيَاحَةُ وَلَطْمُ الْخَدِّ وَشَقُّ الْجَيْبِ وَخَمْشُ الْوَجْهِ وَنَشْرُ الشَّعْرِ وَالدُّعَاءُ بِالْوَيْلِ وَالثُّبُورِ فَكُلُّهَا مُحَرَّمَةٌ بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ

Ertinya :

Dan adapun menangis dengan meraung yakini mengangkat suara seperti bertempik terlolong-lolong dan meratap dan menampar pipi dan mengoyakkan pakaian dan menggaruk akan muka dan menarik-narik rambut dan menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliyah seperti berkata matilah aku atau binasalah aku maka sekeliannya haram dengan sepakat Ashab.”

(Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)

Oleh kerana itu wajib atas siapa yang melihat akan meratap atau berteriak ketika berlaku kematian ini mengingkarinya dan melarangnya kerana perbuatan tersebut adalah haram dan dilaknat.

Telah diriwayatkan daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Nabi saw telah bersabda:

النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا تُقَامُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ، وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ

Ertinya:

Orang yang meratap ketika kematian jika dia tidak bertaubat sebelum matinya akan diazab pada hari kiamat nanti di atas badannya baju daripada belakin yang panas dan tudung daripada kudis.”

(Hadith riwayat Ahmad & Al-Baihaqi)

MENANGIS YANG HARUS

Menangis ketika kematian yang diharuskan ialah yang tiada padanya meratap atau meraung berteriak mengangkat suara atau menjerit-jerit atau mengoyak pakaian atau menampar pipi dan menarik-narik rambut dan seumpamanya dari perbuatan jahiliyah.

Telah berkata oleh Imam As-Syairazi:

ويجوز البكاء على الميت من غير ندب ولا نياحة

Ertinya :

Dan harus menangis atas mayat daripada ketiadaan mengangkat suara dan meratap.”

(Kitab At-Tanbih)

Berkata Imam Taqiyyudin Ad-Dimasyqi:

وَلَا بَأْس بالبكاء على الْمَيِّت من غير نوح وَلَا شقّ جيب وَلَا ضرب خد

Ertinya:

Dan tiada mengapa dengan menangis atas mayat yang ketiadaan meratap dan tiada mengoyakkan pakaian dan tiada menampar-nampar pipi.”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan ulamak berdalil tentang harus menangis tanpa meratap dan niyahah itu dengan beberapa hadith dan diantaranya:

Hadith yg diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata ketika putera Rasulullah saw yang bernama Ibrahim meninggal dunia kerana demam panas baginda telah menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf r.a. kepada baginda:

وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ

Ertinya :

Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah?

Maka sabda Rasulullah saw: Wahai anak Auf. Sungguhnya ia adalah rahmat.

Kemudian Rasulullah bersabda: Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang direhdai oleh Tuhan kami sahaja.

Dan sungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih.”

(Hadith riwayat Bukhari)

Maka menangis ketika kematian kerana hati berdukacita dengan hanya mengalirkan air mata bukan sampai meratap atau niyahah tidaklah menjadi dosa atau kesalahan kerana fitrah manusia yang bersedih apabila kehilangan sesuatu yang dia kasihi dan tidaklah syariat itu melarang perkara fitrah.

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. Nabi saw bersabda:

إِنَّ اللَّهَ جَلَّ وَعَلَا لَا يُعَذِّبِ بِدَمْعِ الْعَيْنِ، وَلَا بِحُزْنِ الْقَلْبِ، وَلَكِنْ يُعَذِّبُ بِهَذَا أَوْ يَرْحَمُ” – وَأَشَارَ إِلَى لِسَانِهِ

Ertinya :

Sungguhnya Allah tidak akan mengazab dengan sebab air mata yang mengalir dan tidak dengan sebab hati yang bersedih akan tetapi Allah Taala mengazab dengan sebab lidah (yakni meratap) atau mengasihi.”

(Hadith riwayat Ibnu Hibban)

SYAITAN MASUK RUMAH YANG ADA ORANG MENANGIS

Memang benar syaitan akan masuk ke dalam rumah yang ada orang yang meratap ketika berlaku kematian dalam rumah tersebut.

Telah diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. beliau berkata :

لَمَّا مَاتَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ غَرِيبٌ وَفِي أَرْضِ غُرْبَةٍ لَأَبْكِيَنَّهُ بُكَاءً يُتَحَدَّثُ عَنْهُ فَكُنْتُ قَدْ تَهَيَّأْتُ لِلْبُكَاءِ عَلَيْهِ إِذْ أَقَبَلَتْ امْرَأَةٌ مِنْ الصَّعِيدِ تُرِيدُ أَنْ تُسْعِدَنِي فَاسْتَقْبَلَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ أَتُرِيدِينَ أَنْ تُدْخِلِي الشَّيْطَانَ بَيْتًا أَخْرَجَهُ اللَّهُ مِنْهُ مَرَّتَيْنِ فَكَفَفْتُ عَنْ الْبُكَاءِ فَلَمْ أَبْكِ

Ertinya :

Ketika Abu Salamah meninggal dunia aku telah berkata: Dia orang asing dan mati ia di negeri yang asing. Aku akan meratap sepuas hatiku biar sampai jadi perbualan manusia atasnya. Tiba-tiba datang pula seorang perempuan dari kampung hendaklah menolong aku meratap.

Lalu datang Rasulullah saw bersabda : Adakah kamu ingin memasukkan syaitan ke dalam rumah yang Allah telah keluarkannya? Dua kali Rasulullah berkata seperti itu. Maka aku pun menahan dari menangis dan tidak akan meratapinya.”

(Hadith riwayat Muslim dan ada dikeluarkan juga olih Al-Baihaqi dan Ibnu Al-Munzhir)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Berkaitan:

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments