
Apakah perkara yang membatalkan solat?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap dan jelas kepada anda mengenai perkara-perkara yang membatalkan solat dalam Mazhab Syafi’e.
Sekiranya anda terbuat perkara-perkara ini semasa solat, maka solat itu batal dan wajib diulangi semula solat tersebut.
Semoga panduan ini memberi manfaat.
- Maksud Perkara Yang Membatalkan Solat Batal
- Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat
- Penjelasan Mengenai Setiap Perkara Yang Membatalkan Solat
- Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar
- Was-Was Dalam Solat
- Makan Dan Minum Dalam Solat
- Bercakap-Cakap Dengan Sengaja
- Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat
- Bergerak-gerak Dalam Solat
- Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
- Terbuka Aurat Dalam Solat
- Berazam Untuk Menamatkan Solat
- Mengubah Niat Dalam Solat
- Berpaling Dari Arah Kiblat
- Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat
- Murtad Ketika Solat
- Penutup
Maksud Perkara Yang Membatalkan Solat Batal
Perkara yang membatalkan solat adalah tindakan atau keadaan yang menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah atau batal. Ini bermakna, jika seseorang itu melakukan salah satu daripada perkara ini ketika solat, maka solatnya tidak lagi diterima dan perlu diulang semula.
Solat adalah ibadat yang merangkumi perbuatan dan bacaan yang khusus. Ia wajib dilakukan dengan memenuhi semua syarat dan rukunnya untuk menjadikannya sebagai ibadat yang sah dan diterima Allah SWT.
Apabila seseorang itu melakukan perkara yang bercanggah atau tidak mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan diajarkan Rasulullah SAW, solatnya akan dikira rosak atau batal.
Fuqaha sepakat menyatakan bahawa rosak dan batal solat itu adalah perkara yang sama. Rosak atau batal ibadat adalah disebabkan kekurangan mana-mana perkara yang wajib dilakukan.
Apabila rosak atau batal mana-mana ibadat, ia tidak lagi dinamakan ibadat. Solat yang terbatal hendaklah dilakukan semula.
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat
Ringkasan perkara-perkara yang membatalkan solat adalah
- Berhadas
- Terkena najis yang tidak dapat dimaafkan
- Berkata-kata dengan sengaja
- Terbuka aurat
- Mengubah niat solat
- Makan dan minum walaupun sedikit
- Bergerak tiga kali berturut-turut
- Berpaling dari arah kiblat
- Menambah rukun solat dengan sengaja
- Ketawa terbahak-bahak
- Mendahului imam melebihi dua rukun dalam solat berjemaah
Penjelasan Mengenai Setiap Perkara Yang Membatalkan Solat
Fuqaha berbeza pendapat dalam menetapkan perkara-perkara yang membatalkan solat.
Mazhab Hanafi menetapkan 68 perkara yang membatalkankan solat. Maliki menetapkan 30 perkara dan Hanbali menggariskan 36 perkara.
Bagaimana pun, Mazhab Syafi’e memperincikan 27 perkara yang membatalkan solat.
Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar
Hadas kecil adalah perkara yang menyebabkan batalnya wuduk. Contoh hadas kecil adalah seperti keluar sesuatu daripada qubul atau dubur, seperti:
- Kentut
- Air kencing
- Tahi
- Mazi
- Keputihan
- Wadi
Hadas besar adalah berlakunya perkara yang menyebabkan perlu mandi wajib. Antara contoh hadas besar adalah:
Batal solat seseorang yang berhadas sama ada hadas kecil seperti terkentut, atau hadas besar, seperti haid. Sekiranya dia berhadas selepas memberikan salam yang pertama, sah solatnya kerana telah selesai solatnya dengan salam itu.
Begitu juga jika seorang yang sentiasa berhadas, seperti wanita istihadah atau seorang lelaki yang tidak boleh mengawal kencingnya, berhadas dengan hadas yang lain, seperti keluar angin, batal solatnya.
Disunatkan orang yang batal solatnya kerana berhadas ketika solat jemaah agar menutup hidungnya seolah-olah terdapat darah yang mengalir, ketika dia meninggalkan jemaah tersebut.
Was-Was Dalam Solat
Batal solat orang yang berasa waswas sama ada dia telah berniat pada permulaan solat atau dia sedang bersolat Asar tetapi tidak pasti sama ada dia telah berniat Asar atau Zuhur.
Begitu juga sekiranya dia tidak pasti sama ada telah melakukan takbiratulihram atau tidak.
Jarak Masa Waswas
Sekiranya perasaan waswas ini berlanjutan ketika dia sedang bersolat dalam tempoh kira-kira tamakninah, batal solatnya.
Tetapi sekiranya dia keliru sebentar tetapi kemudian teringat semula yang dia memang telah berniat dengan betul atau telah bertakbiratulihram, solatnya tidak batal.
Jika selepas selesai solat, seseorang itu waswas sama ada dia telah berniat atau telah takbiratulihram dan dia tidak dapat mengingat melakukannya, wajib dia mengulangi solatnya semula.
Makan Dan Minum Dalam Solat
Orang yang makan atau minum dengan sengaja dalam solat, maka solatnya dianggap batal sama ada kadarnya banyak atau sedikit.
Jika dia termakan dengan tidak sengaja atau tidak tahu bahawa tidak boleh makan ketika solat, tidak batal solat nya kalau makanan itu sedikit.
Ulama fiqh menyatakan kadar banyak itu ialah jika dikumpulkan semuanya ia menjadi sebesar kacang.
Jika dalam mulutnya ada gula atau coklat yang cair di dalam mulutnya dan dia menelannya bersama dengan air liur, batal solatnya.
Oleh itu, sebelum solat disunatkan bersugi, berus gigi atau sekurang kurangnya berkumur.
Bercakap-Cakap Dengan Sengaja
Percakapan yang dianggap membatalkan solat ialah percakapan yang mengeluarkan perkataan yang lebih dua huruf walaupun tidak mempunyai makna atau perkataan satu huruf yang mempunyai makna.
Jika perkataan itu diucapkan secara tidak sengaja atau terlupa bahawa dia sedang solat, ia dimaafkan sekiranya percakapannya itu sedikit, tidak melebihi enam perkataan dan tidak lama.
Sekiranya seseorang itu membaca ayat al-Quran dengan niat memberikan arahan kepada orang lain, batal solatnya walaupun apa yang diucapkan nya adalah ayat al-Quran.
Misalnya, jika seorang itu membaca ayat 12 surah Maryam untuk menyuruh seseorang bernama Yahya mengambil kitab, batal solatnya.

Maksudnya:
Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!
(Surah Maryam 19: 12)
Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat
Jika perbuatan ini dilakukan dengan sengaja, maka batal solat.
Ini berdasarkan dalil yang mengharamkan bercakap dalam solat. Berdehem mengeluarkan bunyi dengan 3 huruf membatalkan solat.
Bergerak-gerak Dalam Solat
Pergerakan lain daripada perbuatan solat boleh membatalkan solat jika dilakukan dengan anggota utama dan dilakukan banyak kali serta berturut turut.
Tidak batal jika sekadar menggerakkan jari-jemari, lidah atau kening, walaupun dilakukan berulang ulang kali.
Ini kerana perbuatan yang sedikit seperti ini tidak mengganggu kekhusyukan solat.
Menurut Dr. Wahbah Al Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, sebab mengapa pertuturan yang sedikit membatalkan solat sedangkan pergerakan yang sedikit tidak pula membatalkannya, adalah kerana pergerakan yang sedikit tidak mungkin boleh dikawal, sedangkan pertuturan boleh.
Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
Baju Atau Badan Atau Tempat Solat Yang Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
TIDAK SEGERA MEMBUANG NAJIS
Jika tubuh, pakaian atau tempat solat seseorang terkena atau ditimpa najis yang tidak dimaafkan dan dia tidak segera membuangnya, maka batal solatnya.
Ini adalah kerana kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat solat merupakan syarat sah solat.
SEGERA MEMBUANG NAJIS
Jika najis haiwan yang kering terjatuh di atas bahu orang yang sedang solat, dan dia segera membuangnya, solatnya tidak batal.
Tetapi jika dibiarkan atau najis itu basah hingga meninggalkan kesan pada tubuh, pakaian atau tempat, batal solatnya.
Terbuka Aurat Dalam Solat

Batal solat sesiapa yang membuka auratnya dengan sengaja ketika dalam solat.
Tetapi jika auratnya ternampak secara tidak sengaja seperti kainnya ditiup angin, solatnya tidak batal jika dia menutupnya dengan segera. Jika dibiarkan auratnya terbuka, solatnya batal.
Jumhur ulama berpendapat bahawa wajib orang yang bersolat itu menutup aurat sama ada dia bersolat di tengah khalayak ramai atau seorang diri di dalam bilik atau di tempat yang gelap.
Tidak sah seorang itu bersolat seorang diri di dalam tempat yang tertutup dalam keadaan tanpa pakaian atau tidak menutup aurat, sedangkan dia mempunyai pakaian yang bersih.
Berazam Untuk Menamatkan Solat
Jika seorang bersolat dengan azam untuk berhenti solat atau mengaitkan jika suatu peristiwa berlaku dia akan menghentikan solatnya.
- Seorang yang sedang solat, tiba-tiba ada panggi lan telefon, lalu dia berniat untuk membatalkan solatnya untuk menjawab telefon, batal solatnya.
- Sekiranya seseorang yang menanti kedatangan seorang rakan bersolat terlebih dahulu kerana terlalu lama menunggu dan berniat jika rakannya tiba, dia akan membatalkan solatnya.
Dalam keadaan ini solatnya telah rosak sejak awal lagi. Solat seperti ini tidak sah kerana niat solatnya tidak jazim iaitu tidak putus dan muktamad.
Mengubah Niat Dalam Solat
Batal solat orang yang mengubah niat asal solatnya ketika berada dalam solat.
Sama ada dia mengubah daripada fardu kepada sunat, atau tunai kepada qada. Begitu juga jika dia mengubah satu solat ke solat yang lain.
Misalnya, seorang bersolat Maghrib, tiba-tiba mengubah niatnya untuk solat Isyak.
Atau, seorang yang sedang menunaikan solat Subuh mengubah niat nya untuk bersolat sunat Subuh.
Melainkan sekiranya seorang itu sedang menunai kan solat fardu sendirian, mengubah solat fardu ini kepada solat sunat mutlak apabila ada sekumpu lan jemaah melakukan solat berjemaah.
Dengan tujuan untuk mendapatkan kelebihan berjemaah, dia mengubah solat fardu kepada solat sunat su paya dia dapat mengerjakan solat fardu berjemaah.
Berpaling Dari Arah Kiblat
Berpaling daripada arah kiblat mem batalkan solat kerana ia adalah syarat sah solat.
Tidak kira sama ada dia dipalingkan oleh orang lain atau dengan perbuatannya sendiri, solat tetap batal..
Tetapi dalam keadaan dia dipalingkan dengan paksaan, jika tempoh berpaling itu lama mengikut uruf, batal solatnya.
Apa yang dimaksudkan dengan berpaling dari arah kiblat ialah memalingkan dada ke arah lain daripada kiblat.
Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat
Apabila seorang yang bersolat tidak sedar apa yang dilakukan kerana tertidur atau pitam misalnya, solatnya batal.
Ini kerana sedar adalah syarat harusnya melakukan solat.
Demikian juga tidak sah solat orang yang mabuk, walaupun dia melakukannya dengan betul dan tertib.
Murtad Ketika Solat
Dalam konteks solat, seorang yang telah berniat atau berikrar untuk keluar daripada Islam atau melakukan perbuatan yang menunjukkan bahawa dia telah keluar agama, solatnya tidak sah.
Seseorang boleh murtad sama ada dengan niat, pengakuan lisan atau perbuatan.
Contohnya jika seorang itu berniat akan keluar daripada Islam jika gagal dalam temuduga yang dihadirinya, dia telah pun murtad serta-merta tanpa menunggu keputusan temu duga tersebut.
Sekiranya dia murtad ketika bersolat, batal solatnya.
Syarat-Syarat Seseorang Itu Dihukum Murtad
- Baligh dan berakal.
- Tidak dipaksa, sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri.
- Mengetahui hal dan hukum murtad serta membuatkan dirinya menjadi murtad.
- Apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya, maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa seseorang itu telah pun menjadi murtad daripada Islam.
Penutup
Saya berharap panduan ini memberi pencerahan mengenai perkara yang membatalkan solat. Semoga ia dapat memberi kemudahan kepada anda dalam mempelajari fardu ain solat.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila nyatakan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.
InsyaAllah saya akan menjawab secepat yang mungkin.
Rujukan
- Al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dar al-Fikr, Damsyiq, 1418H/ 1997M, hal. 1047-1050
- 1157 Persoalan Solat, Ustaz Muhadir Haji Joll, ms. 361
- Hasyiah al-Jamal, 1/425
- Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/307
- Formula Solat Sempurna, Dr Zaharuddin Abd Rahman
- Bimbingan Solat, Dr Rohaily Al-Jawhary
- 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan perkara makan dan minum ketika solat. Saya seorang yang kuat berpeluh dan selalu berlaku di mana peluh dari atas kepala atau dahi turun mengalir ke bibir, dan kadang-kala masuk ke mulut. Adakah peluh itu dikira “diminum” jika saya menelan air liur? Adakah ia membatalkan solat? Hendak disapu dengan tangan, takut terlebih pergerakan. Kalau boleh tak mahu meludah, sebab kotor, walaupun tak batal solat. Minta penerangan ya, ustaz.
Assalamualaikum ustaz , saya ada soalan dan sekadar ingin tahu . Bagaimana kalau mandi wajib, air mandian wajib yg sudah digunakan tersebut terpercik di dinding , lalu kita menyentuh dinding yang terpercik air mandian wajib itu tadi ? Adakah situasi ini boleh menyebabkan batalnya mandi wajib ? Kerana air itu sudah digunakan utk menyuci … Terima Kasih
Waalaikumussalam puan Nurul.
Dalam mazhab Syafi‘e, air mandi wajib yang sudah digunakan (air musta‘mal) hukumnya suci, cuma tidak boleh digunakan lagi untuk mengangkat hadas (tidak menyucikan). Jadi, jika air itu terpercik ke dinding lalu puan menyentuh dinding tersebut, ia tidak membatalkan mandi wajib dan tidak menjadikan puan kembali berhadas.
Mandi wajib hanya bermasalah jika sejak awal air tidak sampai ke seluruh anggota wajib (contoh ada bahagian badan yang tidak kena air kerana ada penghalang yang jelas). Dalam situasi puan, sekadar percikan air dan sentuhan dinding bukan penghalang dan tidak menjejaskan kesahan mandi.
Kaedahnya “yakin tidak hilang dengan syak” iaitu selagi puan yakin mandi sudah sempurna, tidak perlu ulang.
Wallahu a‘lam.
Waalaikumussalam.
Dalam mazhab Syafi‘e, kaedahnya ialah “yakin tidak hilang dengan syak” (اليقين لا يزول بالشك).
1/ Ragu bilangan rakaat ketika solat
Jika semasa solat puan/saudara ragu rakaat (contoh: 1 atau 2), maka ambil bilangan yang yakin (yang sedikit) iaitu 1, kemudian sempurnakan solat seperti biasa. Pada akhir solat, disunatkan sujud sahwi (dua kali sujud) sebelum salam.
2/ Lintasan/waswas “dah 3 rakaat”
Untuk solat Subuh, “3 rakaat” itu jelas lintasan waswas. Selagi saudara tidak yakin benar-benar telah menambah atau mengurang rukun/rakaat, maka abaikan dan teruskan solat.
3/ Waswas selepas selesai solat
Jika selepas salam baru timbul syak seperti “mungkin 3 rakaat”, syak selepas selesai tidak menjejaskan solat. Tidak perlu ulang atau qada selagi tiada keyakinan (pasti) berlaku kekurangan/lebihan.
Solat saudara tidak batal, dan tidak wajib ulang/qada. Jika perkara ini kerap berlaku, jangan layan waswas. Sila pegang yang yakin, dan lakukan sujud sahwi bila ragu bilangan rakaat.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat subuh, ketika rukuk, saya ada ragu rakaat, sama ada satu atau dua rakaat, dan saya ambil bilangan yg sedikit, iaitu 1 rakaat, apabila saya bangun untuk rakaat seterusnya, sebelum nk baca surah al-fatihah, lintasan hati kata saya dah 3 rakaat, saya cuba abaikan dan teruskan bacaan al-fatihah sampai selesai, tapi lintasan hati sentiasa mengganggu. Selepas solat pun, lintasan hati kata dah 3 rakaat. Adakah perkara ini membatalkan solat? Adakah kena ulang or qada balik solat?
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat subuh, ketika rukuk, saya ada ragu rakaat, sama ada satu atau dua rakaat, dan saya ambil bilangan yg sedikit, iaitu 1 rakaat, apabila saya bangun untuk rakaat seterusnya, sebelum nk baca surah al-fatihah, lintasan hati kata saya dah 3 rakaat, saya cuba abaikan dan teruskan bacaan al-fatihah sampai selesai, tapi lintasan hati sentiasa mengganggu. Selepas solat pun, lintasan hati kata dah 3 rakaat. Adakah perkara ini membatalkan solat? Adakah kena ulang or qada balik solat?
Waalaikumussalam.
Dalam mazhab Syafi‘e, kaedahnya ialah “yakin tidak hilang dengan syak” (اليقين لا يزول بالشك).
1/ Ragu bilangan rakaat ketika solat
Jika semasa solat puan/saudara ragu rakaat (contoh: 1 atau 2), maka ambil bilangan yang yakin (yang sedikit) iaitu 1, kemudian sempurnakan solat seperti biasa. Pada akhir solat, disunatkan sujud sahwi (dua kali sujud) sebelum salam.
2/ Lintasan/waswas “dah 3 rakaat”
Untuk solat Subuh, “3 rakaat” itu jelas lintasan waswas. Selagi saudara tidak yakin benar-benar telah menambah atau mengurang rukun/rakaat, maka abaikan dan teruskan solat.
3/ Waswas selepas selesai solat
Jika selepas salam baru timbul syak seperti “mungkin 3 rakaat”, syak selepas selesai tidak menjejaskan solat. Tidak perlu ulang atau qada selagi tiada keyakinan (pasti) berlaku kekurangan/lebihan.
Solat saudara tidak batal, dan tidak wajib ulang/qada. Jika perkara ini kerap berlaku, jangan layan waswas. Sila pegang yang yakin, dan lakukan sujud sahwi bila ragu bilangan rakaat.
Wallahu a‘lam.
Waalaikumussalam Mun.
Sah, insya-Allah. Jika Mun sudah yakin ketika takbiratul ihram bahawa niatnya Zuhur, kemudian datang semula keraguan (was-was) selepas itu, maka abaikan dan teruskan solat. Ini selari dengan kaedah fiqh: yang yakin tidak hilang hanya kerana syak.
Solat hanya terjejas jika sejak awal Mun betul-betul tidak pasti (niat tidak jazim) sama ada Zuhur atau Isyak dan keraguan itu berlarutan, maka ketika itu lebih selamat batalkan dan mula semula.
Wallahu a‘lam.