11 PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT (Panduan Lengkap)

perkara membatalkan solat

Apakah perkara yang membatalkan solat?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap dan jelas kepada anda mengenai perkara-perkara yang membatalkan solat dalam Mazhab Syafi’e.

Sekiranya anda terbuat perkara-perkara ini semasa solat, maka solat itu batal dan wajib diulangi semula solat tersebut.

Semoga panduan ini memberi manfaat.

Perkara yang membatalkan solat adalah tindakan atau keadaan yang menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah atau batal. Ini bermakna, jika seseorang itu melakukan salah satu daripada perkara ini ketika solat, maka solatnya tidak lagi diterima dan perlu diulang semula.

Solat adalah ibadat yang merangkumi perbuatan dan bacaan yang khusus. Ia wajib dilakukan dengan memenuhi semua syarat dan rukunnya untuk menjadikannya sebagai ibadat yang sah dan diterima Allah SWT.

Apabila seseorang itu melakukan perkara yang bercanggah atau tidak mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan diajarkan Rasulullah SAW, solatnya akan dikira rosak atau batal.

Fuqaha sepakat menyatakan bahawa rosak dan batal solat itu adalah perkara yang sama. Rosak atau batal ibadat adalah disebabkan kekurangan mana-mana perkara yang wajib dilakukan.

Apabila rosak atau batal mana-mana ibadat, ia tidak lagi dinamakan ibadat. Solat yang terbatal hendaklah dilakukan semula.

Ringkasan perkara-perkara yang membatalkan solat adalah

  1. Berhadas
  2. Terkena najis yang tidak dapat dimaafkan
  3. Berkata-kata dengan sengaja
  4. Terbuka aurat
  5. Mengubah niat solat
  6. Makan dan minum walaupun sedikit
  7. Bergerak tiga kali berturut-turut
  8. Berpaling dari arah kiblat
  9. Menambah rukun solat dengan sengaja
  10. Ketawa terbahak-bahak
  11. Mendahului imam melebihi dua rukun dalam solat berjemaah

Fuqaha berbeza pendapat dalam menetapkan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Mazhab Hanafi menetapkan 68 perkara yang membatalkankan solat. Maliki menetapkan 30 perkara dan Hanbali menggariskan 36 perkara.

Bagaimana pun, Mazhab Syafi’e memperincikan 27 perkara yang membatalkan solat.

Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar

Hadas kecil adalah perkara yang menyebabkan batalnya wuduk. Contoh hadas kecil adalah seperti keluar sesuatu daripada qubul atau dubur, seperti:

  • Kentut
  • Air kencing
  • Tahi
  • Mazi
  • Keputihan
  • Wadi

Hadas besar adalah berlakunya perkara yang menyebabkan perlu mandi wajib. Antara contoh hadas besar adalah:

Batal solat seseorang yang berhadas sama ada hadas kecil seperti terkentut, atau hadas besar, seperti haid. Sekiranya dia berhadas selepas memberikan salam yang pertama, sah solatnya kerana telah selesai solatnya dengan salam itu.

Begitu juga jika seorang yang sentiasa berhadas, seperti wanita istihadah atau seorang lelaki yang tidak boleh mengawal kencingnya, berhadas dengan hadas yang lain, seperti keluar angin, batal solatnya.

Disunatkan orang yang batal solatnya kerana berhadas ketika solat jemaah agar menutup hidungnya seolah-olah terdapat darah yang mengalir, ketika dia meninggalkan jemaah tersebut.

Was-Was Dalam Solat

Batal solat orang yang berasa waswas sama ada dia telah berniat pada permulaan solat atau dia sedang bersolat Asar tetapi tidak pasti sama ada dia telah berniat Asar atau Zuhur.

Begitu juga sekiranya dia tidak pasti sama ada telah melakukan takbiratulihram atau tidak.

Jarak Masa Waswas

Sekiranya perasaan waswas ini berlanjutan ketika dia sedang bersolat dalam tempoh kira-kira tamakninah, batal solatnya.

Tetapi sekiranya dia keliru sebentar tetapi kemudian teringat semula yang dia memang telah berniat dengan betul atau telah bertakbiratulihram, solatnya tidak batal.

Jika selepas selesai solat, seseorang itu waswas sama ada dia telah berniat atau telah takbiratulihram dan dia tidak dapat mengingat melakukannya, wajib dia mengulangi solatnya semula.

Makan Dan Minum Dalam Solat

Orang yang makan atau minum dengan sengaja dalam solat, maka solatnya dianggap batal sama ada kadarnya banyak atau sedikit.

Jika dia termakan dengan tidak sengaja atau tidak tahu bahawa tidak boleh makan ketika solat, tidak batal solat nya kalau makanan itu sedikit.

Ulama fiqh menyatakan kadar banyak itu ialah jika dikumpulkan semuanya ia menjadi sebesar kacang.

Jika dalam mulutnya ada gula atau coklat yang cair di dalam mulutnya dan dia menelannya bersama dengan air liur, batal solatnya.

Oleh itu, sebelum solat disunatkan bersugi, berus gigi atau sekurang kurangnya berkumur.

Bercakap-Cakap Dengan Sengaja

Percakapan yang dianggap membatalkan solat ialah percakapan yang mengeluarkan perkataan yang lebih dua huruf walaupun tidak mempunyai makna atau perkataan satu huruf yang mempunyai makna.

Jika perkataan itu diucapkan secara tidak sengaja atau terlupa bahawa dia sedang solat, ia dimaafkan sekiranya percakapannya itu sedikit, tidak melebihi enam perkataan dan tidak lama.

Sekiranya seseorang itu membaca ayat al-Quran dengan niat memberikan arahan kepada orang lain, batal solatnya walaupun apa yang diucapkan nya adalah ayat al-Quran.

Misalnya, jika seorang itu membaca ayat 12 surah Maryam untuk menyuruh seseorang bernama Yahya mengambil kitab, batal solatnya.

Surah maryam ayat 12

Maksudnya:

Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!

(Surah Maryam 19: 12)

Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat

Jika perbuatan ini dilakukan dengan sengaja, maka batal solat.

Ini berdasarkan dalil yang mengharamkan bercakap dalam solat. Berdehem mengeluarkan bunyi dengan 3 huruf membatalkan solat.

Bergerak-gerak Dalam Solat

Pergerakan lain daripada perbuatan solat boleh membatalkan solat jika dilakukan dengan anggota utama dan dilakukan banyak kali serta berturut turut.

Tidak batal jika sekadar menggerakkan jari-jemari, lidah atau kening, walaupun dilakukan berulang ulang kali.

Ini kerana perbuatan yang sedikit seperti ini tidak mengganggu kekhusyukan solat.

Menurut Dr. Wahbah Al Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, sebab mengapa pertuturan yang sedikit membatalkan solat sedangkan pergerakan yang sedikit tidak pula membatalkannya, adalah kerana pergerakan yang sedikit tidak mungkin boleh dikawal, sedangkan pertuturan boleh.

Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan

Baju Atau Badan Atau Tempat Solat Yang Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan

TIDAK SEGERA MEMBUANG NAJIS

Jika tubuh, pakaian atau tempat solat seseorang terkena atau ditimpa najis yang tidak dimaafkan dan dia tidak segera membuangnya, maka batal solatnya.

Ini adalah kerana kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat solat merupakan syarat sah solat.

SEGERA MEMBUANG NAJIS

Jika najis haiwan yang kering terjatuh di atas bahu orang yang sedang solat, dan dia segera membuangnya, solatnya tidak batal.

Tetapi jika dibiarkan atau najis itu basah hingga meninggalkan kesan pada tubuh, pakaian atau tempat, batal solatnya.

Terbuka Aurat Dalam Solat

Aurat dalam solat

Batal solat sesiapa yang membuka auratnya dengan sengaja ketika dalam solat.

Tetapi jika auratnya ternampak secara tidak sengaja seperti kainnya ditiup angin, solatnya tidak batal jika dia menutupnya dengan segera. Jika dibiarkan auratnya terbuka, solatnya batal.

Jumhur ulama berpendapat bahawa wajib orang yang bersolat itu menutup aurat sama ada dia bersolat di tengah khalayak ramai atau seorang diri di dalam bilik atau di tempat yang gelap.

Tidak sah seorang itu bersolat seorang diri di dalam tempat yang tertutup dalam keadaan tanpa pakaian atau tidak menutup aurat, sedangkan dia mempunyai pakaian yang bersih.

Berazam Untuk Menamatkan Solat

Jika seorang bersolat dengan azam untuk berhenti solat atau mengaitkan jika suatu peristiwa berlaku dia akan menghentikan solatnya.

  • Seorang yang sedang solat, tiba-tiba ada panggi lan telefon, lalu dia berniat untuk membatalkan solatnya untuk menjawab telefon, batal solatnya.
  • Sekiranya seseorang yang menanti kedatangan seorang rakan bersolat terlebih dahulu kerana terlalu lama menunggu dan berniat jika rakannya tiba, dia akan membatalkan solatnya.

Dalam keadaan ini solatnya telah rosak sejak awal lagi. Solat seperti ini tidak sah kerana niat solatnya tidak jazim iaitu tidak putus dan muktamad.

Mengubah Niat Dalam Solat

Batal solat orang yang mengubah niat asal solatnya ketika berada dalam solat.

Sama ada dia mengubah daripada fardu kepada sunat, atau tunai kepada qada. Begitu juga jika dia mengubah satu solat ke solat yang lain.

Misalnya, seorang bersolat Maghrib, tiba-tiba mengubah niatnya untuk solat Isyak.

Atau, seorang yang sedang menunaikan solat Subuh mengubah niat nya untuk bersolat sunat Subuh.

Melainkan sekiranya seorang itu sedang menunai kan solat fardu sendirian, mengubah solat fardu ini kepada solat sunat mutlak apabila ada sekumpu lan jemaah melakukan solat berjemaah.

Dengan tujuan untuk mendapatkan kelebihan berjemaah, dia mengubah solat fardu kepada solat sunat su paya dia dapat mengerjakan solat fardu berjemaah.

Berpaling Dari Arah Kiblat

Berpaling daripada arah kiblat mem batalkan solat kerana ia adalah syarat sah solat.

Tidak kira sama ada dia dipalingkan oleh orang lain atau dengan perbuatannya sendiri, solat tetap batal..

Tetapi dalam keadaan dia dipalingkan dengan paksaan, jika tempoh berpaling itu lama mengikut uruf, batal solatnya.

Apa yang dimaksudkan dengan berpaling dari arah kiblat ialah memalingkan dada ke arah lain daripada kiblat.

Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat

Apabila seorang yang bersolat tidak sedar apa yang dilakukan kerana tertidur atau pitam misalnya, solatnya batal.

Ini kerana sedar adalah syarat harusnya melakukan solat.

Demikian juga tidak sah solat orang yang mabuk, walaupun dia melakukannya dengan betul dan tertib.

Murtad Ketika Solat

Dalam konteks solat, seorang yang telah berniat atau berikrar untuk keluar daripada Islam atau melakukan perbuatan yang menunjukkan bahawa dia telah keluar agama, solatnya tidak sah.

Seseorang boleh murtad sama ada dengan niat, pengakuan lisan atau perbuatan.

Contohnya jika seorang itu berniat akan keluar daripada Islam jika gagal dalam temuduga yang dihadirinya, dia telah pun murtad serta-merta tanpa menunggu keputusan temu duga tersebut.

Sekiranya dia murtad ketika bersolat, batal solatnya.

Syarat-Syarat Seseorang Itu Dihukum Murtad

  • Baligh dan berakal.
  • Tidak dipaksa, sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri.
  • Mengetahui hal dan hukum murtad serta membuatkan dirinya menjadi murtad.
  • Apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya, maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa seseorang itu telah pun menjadi murtad daripada Islam.

Penutup

Saya berharap panduan ini memberi pencerahan mengenai perkara yang membatalkan solat. Semoga ia dapat memberi kemudahan kepada anda dalam mempelajari fardu ain solat.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila nyatakan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaAllah saya akan menjawab secepat yang mungkin.

Rujukan

  • Al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dar al-Fikr, Damsyiq, 1418H/ 1997M, hal. 1047-1050
  • 1157 Persoalan Solat, Ustaz Muhadir Haji Joll, ms. 361
  • Hasyiah al-Jamal, 1/425
  • Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/307
  • Formula Solat Sempurna, Dr Zaharuddin Abd Rahman
  • Bimbingan Solat, Dr Rohaily Al-Jawhary
  • 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

301 thoughts on “11 PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT (Panduan Lengkap)”

  1. Assalamualaikum ustaz. Jika kita tengah solat, ada tersedut peluh/hingus sampai ke batang hidung batal tak solat?

    Reply
      • Wa‘alaikumussalam warahmatullāh.

        Jawapan ringkas: solat tidak batal.

        Dalam mazhab Syafie, yang membatalkan solat ialah perkara seperti hadas, najis, meninggalkan rukun, banyak bergerak, bercakap, serta makan/minum dengan sengaja. Peluh, hingus dan kahak adalah suci; jika tersedut/tertelen tanpa sengaja atau sekadar naik-turun di batang hidung/tekak, ia tidak membatalkan solat.

        Jika sampai ke mulut dan tertelan tanpa sengaja, solat tetap sah. Jika kerap mengganggu, elok gunakan tisu dan lakukan gerakan sekadar perlu. Ini dikira hajat dan tidak menjejaskan solat.

        Semoga Allah memudahkan dan menerima solat tuan.

        Reply
  2. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat isyak, saya ada lafaz takbiratul ihram dengan ada suara. Bila sedang baca surah al-fatihah di setiap rakaat, tahiyyat akhir dan salam, saya baca dalam keadaan berbisik tapi bacaan jelas. Adakah solat saya sah ustaz?

    Reply
    • Wa‘alaikumussalam warahmatullāh.

      Insya-Allah solat tuan sah. Dalam mazhab Syafie, semua rukun qauli (takbiratul ihram, al-Fatihah, tasyahhud akhir, salam) mesti dilafazkan sekurang-kurangnya hingga kedengaran pada diri sendiri. Membaca berbisik tetapi jelas sudah menepati syarat.

      Semoga Allah menerima solat tuan dan memudahkan kekhusyukan.

      Reply
  3. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat asar, mula2 sy yakin sy niat solat asar. Pastu muncul blk keraguan, sy yakin yg sy dh niat solat asar. Pastu dtg blk keraguan, sy cuma ingat perkataan asar je, tp mcm samar2. Adakah keraguan seperti ini membatalkan solat, ustaz? Sebab lepas takbir sy dh yakin dh niat asar, pastu ragu sekali, yakin dh niat asar, pastu ragu berulang kali, cuma sy ingat perkataan asar je dan teruskan solat mcm biasa walaupun mcm ada rasa ragu lg. Sebab sy fikir ni mungkin waswas syaitan.

    Reply
    • Wa‘alaikumussalam warahmatullāh.

      Insya-Allah solat puan sah. Dalam mazhab Syafi‘e, niat itu kerja hati dan mesti wujud seiring takbiratul ihram (contoh: “aku solat fardu Asar kerana Allah”). Jika pada saat takbir tuan sudah yakin berniat fardu Asar, maka ragu-ragu selepas itu tidak membatalkan.

      Lafaz di bibir bukan rukun. Yang penting hati. Jadi walaupun yang terlintas hanya perkataan “Asar”, jika hati tuan telah menghadirkan niat solat fardu Asar, solat tetap sah. Ulangan ragu yang datang kemudian adalah waswas. Sila abaikan dan jangan ulang niat atau takbir.

      Sebelum takbir, berhenti seketika untuk menetapkan niat. Selepas takbir, teruskan bacaan dan rukun dengan tenang.

      Moga Allah memudahkan dan menerima ibadah tuan.

      Reply
  4. Assalamualaikum ustaz. Semasa solat subuh, selepas takbiratul ihram sy ada ragu niat, pastu sy takbiratul ihram buat kali kedua utk betulkan niat, adakah solat saya sah ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Jika selepas takbiratul ihram puan ragu lalu bertakbir sekali lagi untuk betulkan niat:

      • Jika takbir pertama sudah disertai niat fardu Subuh di hati, solat sah; takbir kedua itu hanya zikir tambahan dan tidak membatalkan solat.
      • Jika takbir pertama belum sempat berniat atau niatnya tidak jelas, kemudian tuan segera ulang takbir dan ketika takbir kedua niat hadir jelas (sebelum mula al-Fatihah), maka solat sah bermula dari takbir kedua.

      Ringkasnya, solat tuan sah, asalkan niat fardu Subuh sempat hadir pada salah satu takbir (pertama atau ulangan segera).

      Untuk elak waswas, memadai hadir di hati: “Aku solat fardu Subuh kerana Allah Ta‘ala” saat mengangkat takbir, kemudian teruskan tanpa mengulang.

      Wallahu a’lam

      Reply
  5. Assalamualaikum ustaz. Ketika duduk tahiyyat akhir, saya rasa macam ada rambut gugur di muka. Saya dah lap, dia still ada lg rambut gugur, saya berhenti, pastu lap wat kali kedua, still ada lg rambut gugur, berhenti pastu lap kali ketiga baru dah xde. Adakah rambut gugur yang mungkin ada di telekung, anak telekung ataupun sejadah dikira aurat?jika membiarkan skjp rambut gugur di muka adakah batal solat? Sbb saya berhenti lap sbb nk jaga pergerakan dalam solat.

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Solat sah.

      • Rambut gugur (terpisah dari kepala) bukan aurat dan suci. Jika terkena muka/telekung/sejadah, ia tidak menajiskan dan tidak membatalkan solat.
      • Jika yang terdedah itu rambut yang masih melekat di kepala, cepat tutup semula. Pendedahan seketika dan tidak disengajakan dimaafkan. Solat tetap sah.
      • Lap/menyisih rambut ketika tahiyyat dikira pergerakan ringan kerana hajat, tidak membatalkan selagi tidak berlebihan (bukan gerakan besar berturut-turut hingga orang menyangka tidak sedang solat). Dalam keadaan puan, lap beberapa kali secara ringkas. Sah insya-Allah.

      Kemaskan anak tudung/telekung (guna pin atau hairnet) sebelum solat untuk elak gangguan dan waswas.

      Reply
  6. Assalamualaikum ustaz. Jika kita solat isyak,sy ada ragu rakaat, dan saya tambah satu rakaat utk cukupkan rakaat, tp lintasan hati kata solat dah rosak, sy abaikan lintasan hati dan teruskan solat. ketika memberi salam, ada muncul perkataan nk batalkan solat dalam hati, tp rasa nak teruskan solat, pastu muncul blk srh batalkan solat, sy pun teruskan yakin nk teruskan solat. Adakah solat saya sah ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Solat awak sah insya-Allah.

      • Bila ragu bilangan rakaat, kaedah betul ialah bina atas yang yakin (yang lebih sedikit). Contoh ragu 3 atau 4 maka ambil 3, lalu tambah 1 untuk genap 4. Apa yang awak buat itu tepat.
      • Lintasan seperti “solat dah rosak / batalkan solat” jika sekadar waswas dan awak tidak berazam memutuskan solat, ia tidak membatalkan. Solat hanya batal jika seseorang benar-benar berniat memutuskan solat.
      • Disunatkan sujud sahwi apabila berlaku ragu bilangan rakaat (sebelum salam untuk menutup kekurangan). Jika terlanjur tak buat, solat tetap sah.

      Andaikata hakikatnya rakaat sudah cukup lalu tertambah satu tanpa sengaja, solat tetap sah; memadai sujud sahwi (jika sedar ketika itu). Jangan layan waswas berulang.

      Reply
  7. Assalamualaikum ustaz.

    1. selepas lafaz salam “assalamualaikum” yg pertama, bila nak sebut “warahmatullah” sy berpaling muka ke kanan, ada rasa anak telekung bergerak mcm nk keluar rambut. Sy ragu dan terus beri salam yg kedua. Sblm sy berzikir, check mcm xde rambut, bila lps berdoa, baru perasan ada 2 helai rambut terkeluar. Sah x solat sy ustaz?
    2. selepas solat, saya ragu dah niat sujud sahwi ke belum, dan ragu bacaan salam sama ada betul atau tidak, sah x solat sy bila muncul keraguan lepas solat?
    Reply
    • Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.


      Ringkasnya, Solat puan sah, insyaAllah.


      1/ Dalam mazhab Syafie, solat tamat dengan salam pertama dimana salam kedua hanya sunat. Jika rambut hanya disedari selepas salam (terutamanya setelah puan semak dahulu tiada rambut terkeluar), ia tidak menjejaskan solat kerana berkemungkinan berlaku selepas solat.


      2/ Jika seseorang yakin aurat (rambut) terdedah semasa solat sebelum salam, solatnya batal dan perlu diulang. Jika hanya disedari selepas satu tempoh yang munasabah, hukum asal solat kekal sah.


      3/ Keraguan selepas selesai ibadah tidak memberi kesan: al-yaqin la yazulu bi al-shakk (keyakinan tidak hilang dengan syak). Lagi pula, sujud sahwi menurut Syafie adalah sunat, meninggalkannya tidak membatalkan solat.


      Berdasarkan butiran yang puan jelaskan (sudah salam pertama, semak dan tidak nampak rambut, kemudian hanya terlihat 2 helai selepas zikir/doa), solat puan sah.


      Hanya ulang solat jika benar-benar yakin aurat terdedah ketika solat.

      Reply
  8. Assalamualaikum ustaz. Sah ke solat jika ada ragu tentang waktu solat ketika solat? Sebab sy x dgr azan zohor, sy dh tgk jam, pukul 1.28 tengahari, masuk waktu zohor pukul 1.08 tengahari. Sy pun solat. Ketika solat tu dia muncul ragu dh msk zohor ke belum dengan kadar yg lama sbb sy abaikan. Tp sy yakin dh msk zohor sbb sy dh check jam sblm sy solat zohor td. Sah kan solat sy ustaz?

    Reply
    • Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.


      Sah, insya-Allah. Puan telah yakin waktu Zuhur sudah masuk (1:28 tgh berbanding waktu masuk 1:08 tgh) sebelum takbir.


      Keraguan yang timbul semasa solat itu dikira was-was dan tidak memberi kesan. Ini berdasarkan kaedah fiqh menyebut al-yaqin la yazulu bi al-shakk (keyakinan tidak hilang dengan syak).


      Kes puan menepati syarat iaitu puan sudah pastikan waktunya terlebih dahulu, maka solat sah.

      Reply
  9. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat zohor, ketika sedang baca al fatihah pada rakaat kedua, ada muncul keraguan bacaan surah al fatihah pada rakaat pertama sama ada betul atau tidak, tp sy abaikan sbb tgh fokus bc surah al fatihah. Lps tu br sy yakin dh baca dgn betul. Ketika solat jgk, ada keluar air liur sedikit, pastu sy rasa mcm ada sesuatu dkt tepi mulut. Lintasan hati kata ada sisa makanan campur air liur, tp sy abaikan sampai solat sy selesai. Selepas itu sy check, tepi mulut sy tu kering dan bau air liur, xde bau atau rasa sisa makanan. Solat sy masih sah kan ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Berdasarkan penjelasan awak, solat awak adalah sah, insya-Allah.

      1. Keraguan bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama itu tidak membatalkan solat, kerana awak akhirnya yakin bahawa bacaan tersebut betul. Dalam Islam, keyakinan yang datang selepas keraguan mengatasi syak yang timbul sebelum itu.
      2. Air liur adalah suci, dan sangkaan tentang sisa makanan yang tidak pasti tidak membatalkan solat. Selepas solat awak periksa dan tiada apa-apa yang najis, jadi tiada apa yang menjejaskan kesucian solat.

      Kalau perkara seperti ini berlaku lagi, cuba istighfar dan teruskan solat dengan tenang.

      Kadang-kadang itu cuma lintasan waswas yang tak perlu dilayan.

      Semoga Allah menerima solat awak dan memberi ketenangan dalam beribadah.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  10. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat asar, saya ada ragu rakaat, samada 3 atau 4 rakaat, maka sy ambil bilangan yg sedikit, iaitu 3 rakaat dan tambah satu rakaat. Ketika duduk tahiyyat akhir, dia muncul blk keraguan itu, tp sy yakin dh 4 rakaat, pastu muncul blk keraguan, tp sy abaikan, adakah solat saya sah ustaz?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Terima kasih atas soalan yang sangat baik. Dalam situasi yang awak alami, kaedah yang digunakan adalah betul dan menepati panduan syarak.

      Apabila seseorang ragu bilangan rakaat dalam solat dan tidak dapat mengatasi keraguan tersebut dengan yakin, maka disunatkan mengambil bilangan yang lebih sedikit (yakni 3 rakaat), kemudian menambah satu rakaat lagi serta melakukan sujud sahwi sebelum salam seperti yang awak telah lakukan.

      Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

      “Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya, maka hendaklah dia buang keraguan itu dan ambillah apa yang diyakini. Kemudian hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi) sebelum memberi salam.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

      Dalam kes awak, rasa ragu itu datang dan pergi selepas tahiyyat akhir, sedangkan waktu itu solat hampir selesai. Jika keyakinan sudah mengatasi keraguan, maka tidak perlu diambil kira keraguan yang datang selepas itu. Rasa was-was yang berulang seperti ini boleh diabaikan, dan solat awak adalah sah, insyaAllah.

      Namun, jika was-was ini kerap berlaku, cubalah istighfar dan tenangkan diri sebelum solat. Ia mungkin gangguan lintasan hati (waswasah) yang tidak perlu dilayan berlebihan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply

Leave a Comment