
Apakah perkara yang membatalkan solat?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap dan jelas kepada anda mengenai perkara-perkara yang membatalkan solat dalam Mazhab Syafi’e.
Sekiranya anda terbuat perkara-perkara ini semasa solat, maka solat itu batal dan wajib diulangi semula solat tersebut.
Semoga panduan ini memberi manfaat.
- Maksud Perkara Yang Membatalkan Solat Batal
- Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat
- Penjelasan Mengenai Setiap Perkara Yang Membatalkan Solat
- Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar
- Was-Was Dalam Solat
- Makan Dan Minum Dalam Solat
- Bercakap-Cakap Dengan Sengaja
- Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat
- Bergerak-gerak Dalam Solat
- Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
- Terbuka Aurat Dalam Solat
- Berazam Untuk Menamatkan Solat
- Mengubah Niat Dalam Solat
- Berpaling Dari Arah Kiblat
- Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat
- Murtad Ketika Solat
- Penutup
Maksud Perkara Yang Membatalkan Solat Batal
Perkara yang membatalkan solat adalah tindakan atau keadaan yang menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah atau batal. Ini bermakna, jika seseorang itu melakukan salah satu daripada perkara ini ketika solat, maka solatnya tidak lagi diterima dan perlu diulang semula.
Solat adalah ibadat yang merangkumi perbuatan dan bacaan yang khusus. Ia wajib dilakukan dengan memenuhi semua syarat dan rukunnya untuk menjadikannya sebagai ibadat yang sah dan diterima Allah SWT.
Apabila seseorang itu melakukan perkara yang bercanggah atau tidak mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan diajarkan Rasulullah SAW, solatnya akan dikira rosak atau batal.
Fuqaha sepakat menyatakan bahawa rosak dan batal solat itu adalah perkara yang sama. Rosak atau batal ibadat adalah disebabkan kekurangan mana-mana perkara yang wajib dilakukan.
Apabila rosak atau batal mana-mana ibadat, ia tidak lagi dinamakan ibadat. Solat yang terbatal hendaklah dilakukan semula.
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat
Ringkasan perkara-perkara yang membatalkan solat adalah
- Berhadas
- Terkena najis yang tidak dapat dimaafkan
- Berkata-kata dengan sengaja
- Terbuka aurat
- Mengubah niat solat
- Makan dan minum walaupun sedikit
- Bergerak tiga kali berturut-turut
- Berpaling dari arah kiblat
- Menambah rukun solat dengan sengaja
- Ketawa terbahak-bahak
- Mendahului imam melebihi dua rukun dalam solat berjemaah
Penjelasan Mengenai Setiap Perkara Yang Membatalkan Solat
Fuqaha berbeza pendapat dalam menetapkan perkara-perkara yang membatalkan solat.
Mazhab Hanafi menetapkan 68 perkara yang membatalkankan solat. Maliki menetapkan 30 perkara dan Hanbali menggariskan 36 perkara.
Bagaimana pun, Mazhab Syafi’e memperincikan 27 perkara yang membatalkan solat.
Berlaku Hadas Kecil Dan Hadas Besar
Hadas kecil adalah perkara yang menyebabkan batalnya wuduk. Contoh hadas kecil adalah seperti keluar sesuatu daripada qubul atau dubur, seperti:
- Kentut
- Air kencing
- Tahi
- Mazi
- Keputihan
- Wadi
Hadas besar adalah berlakunya perkara yang menyebabkan perlu mandi wajib. Antara contoh hadas besar adalah:
Batal solat seseorang yang berhadas sama ada hadas kecil seperti terkentut, atau hadas besar, seperti haid. Sekiranya dia berhadas selepas memberikan salam yang pertama, sah solatnya kerana telah selesai solatnya dengan salam itu.
Begitu juga jika seorang yang sentiasa berhadas, seperti wanita istihadah atau seorang lelaki yang tidak boleh mengawal kencingnya, berhadas dengan hadas yang lain, seperti keluar angin, batal solatnya.
Disunatkan orang yang batal solatnya kerana berhadas ketika solat jemaah agar menutup hidungnya seolah-olah terdapat darah yang mengalir, ketika dia meninggalkan jemaah tersebut.
Was-Was Dalam Solat
Batal solat orang yang berasa waswas sama ada dia telah berniat pada permulaan solat atau dia sedang bersolat Asar tetapi tidak pasti sama ada dia telah berniat Asar atau Zuhur.
Begitu juga sekiranya dia tidak pasti sama ada telah melakukan takbiratulihram atau tidak.
Jarak Masa Waswas
Sekiranya perasaan waswas ini berlanjutan ketika dia sedang bersolat dalam tempoh kira-kira tamakninah, batal solatnya.
Tetapi sekiranya dia keliru sebentar tetapi kemudian teringat semula yang dia memang telah berniat dengan betul atau telah bertakbiratulihram, solatnya tidak batal.
Jika selepas selesai solat, seseorang itu waswas sama ada dia telah berniat atau telah takbiratulihram dan dia tidak dapat mengingat melakukannya, wajib dia mengulangi solatnya semula.
Makan Dan Minum Dalam Solat
Orang yang makan atau minum dengan sengaja dalam solat, maka solatnya dianggap batal sama ada kadarnya banyak atau sedikit.
Jika dia termakan dengan tidak sengaja atau tidak tahu bahawa tidak boleh makan ketika solat, tidak batal solat nya kalau makanan itu sedikit.
Ulama fiqh menyatakan kadar banyak itu ialah jika dikumpulkan semuanya ia menjadi sebesar kacang.
Jika dalam mulutnya ada gula atau coklat yang cair di dalam mulutnya dan dia menelannya bersama dengan air liur, batal solatnya.
Oleh itu, sebelum solat disunatkan bersugi, berus gigi atau sekurang kurangnya berkumur.
Bercakap-Cakap Dengan Sengaja
Percakapan yang dianggap membatalkan solat ialah percakapan yang mengeluarkan perkataan yang lebih dua huruf walaupun tidak mempunyai makna atau perkataan satu huruf yang mempunyai makna.
Jika perkataan itu diucapkan secara tidak sengaja atau terlupa bahawa dia sedang solat, ia dimaafkan sekiranya percakapannya itu sedikit, tidak melebihi enam perkataan dan tidak lama.
Sekiranya seseorang itu membaca ayat al-Quran dengan niat memberikan arahan kepada orang lain, batal solatnya walaupun apa yang diucapkan nya adalah ayat al-Quran.
Misalnya, jika seorang itu membaca ayat 12 surah Maryam untuk menyuruh seseorang bernama Yahya mengambil kitab, batal solatnya.

Maksudnya:
Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!
(Surah Maryam 19: 12)
Ketawa, Menangis & Berdehem Dalam Solat
Jika perbuatan ini dilakukan dengan sengaja, maka batal solat.
Ini berdasarkan dalil yang mengharamkan bercakap dalam solat. Berdehem mengeluarkan bunyi dengan 3 huruf membatalkan solat.
Bergerak-gerak Dalam Solat
Pergerakan lain daripada perbuatan solat boleh membatalkan solat jika dilakukan dengan anggota utama dan dilakukan banyak kali serta berturut turut.
Tidak batal jika sekadar menggerakkan jari-jemari, lidah atau kening, walaupun dilakukan berulang ulang kali.
Ini kerana perbuatan yang sedikit seperti ini tidak mengganggu kekhusyukan solat.
Menurut Dr. Wahbah Al Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, sebab mengapa pertuturan yang sedikit membatalkan solat sedangkan pergerakan yang sedikit tidak pula membatalkannya, adalah kerana pergerakan yang sedikit tidak mungkin boleh dikawal, sedangkan pertuturan boleh.
Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
Baju Atau Badan Atau Tempat Solat Yang Terkena Najis Yang Tidak Dimaafkan
TIDAK SEGERA MEMBUANG NAJIS
Jika tubuh, pakaian atau tempat solat seseorang terkena atau ditimpa najis yang tidak dimaafkan dan dia tidak segera membuangnya, maka batal solatnya.
Ini adalah kerana kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat solat merupakan syarat sah solat.
SEGERA MEMBUANG NAJIS
Jika najis haiwan yang kering terjatuh di atas bahu orang yang sedang solat, dan dia segera membuangnya, solatnya tidak batal.
Tetapi jika dibiarkan atau najis itu basah hingga meninggalkan kesan pada tubuh, pakaian atau tempat, batal solatnya.
Terbuka Aurat Dalam Solat

Batal solat sesiapa yang membuka auratnya dengan sengaja ketika dalam solat.
Tetapi jika auratnya ternampak secara tidak sengaja seperti kainnya ditiup angin, solatnya tidak batal jika dia menutupnya dengan segera. Jika dibiarkan auratnya terbuka, solatnya batal.
Jumhur ulama berpendapat bahawa wajib orang yang bersolat itu menutup aurat sama ada dia bersolat di tengah khalayak ramai atau seorang diri di dalam bilik atau di tempat yang gelap.
Tidak sah seorang itu bersolat seorang diri di dalam tempat yang tertutup dalam keadaan tanpa pakaian atau tidak menutup aurat, sedangkan dia mempunyai pakaian yang bersih.
Berazam Untuk Menamatkan Solat
Jika seorang bersolat dengan azam untuk berhenti solat atau mengaitkan jika suatu peristiwa berlaku dia akan menghentikan solatnya.
- Seorang yang sedang solat, tiba-tiba ada panggi lan telefon, lalu dia berniat untuk membatalkan solatnya untuk menjawab telefon, batal solatnya.
- Sekiranya seseorang yang menanti kedatangan seorang rakan bersolat terlebih dahulu kerana terlalu lama menunggu dan berniat jika rakannya tiba, dia akan membatalkan solatnya.
Dalam keadaan ini solatnya telah rosak sejak awal lagi. Solat seperti ini tidak sah kerana niat solatnya tidak jazim iaitu tidak putus dan muktamad.
Mengubah Niat Dalam Solat
Batal solat orang yang mengubah niat asal solatnya ketika berada dalam solat.
Sama ada dia mengubah daripada fardu kepada sunat, atau tunai kepada qada. Begitu juga jika dia mengubah satu solat ke solat yang lain.
Misalnya, seorang bersolat Maghrib, tiba-tiba mengubah niatnya untuk solat Isyak.
Atau, seorang yang sedang menunaikan solat Subuh mengubah niat nya untuk bersolat sunat Subuh.
Melainkan sekiranya seorang itu sedang menunai kan solat fardu sendirian, mengubah solat fardu ini kepada solat sunat mutlak apabila ada sekumpu lan jemaah melakukan solat berjemaah.
Dengan tujuan untuk mendapatkan kelebihan berjemaah, dia mengubah solat fardu kepada solat sunat su paya dia dapat mengerjakan solat fardu berjemaah.
Berpaling Dari Arah Kiblat
Berpaling daripada arah kiblat mem batalkan solat kerana ia adalah syarat sah solat.
Tidak kira sama ada dia dipalingkan oleh orang lain atau dengan perbuatannya sendiri, solat tetap batal..
Tetapi dalam keadaan dia dipalingkan dengan paksaan, jika tempoh berpaling itu lama mengikut uruf, batal solatnya.
Apa yang dimaksudkan dengan berpaling dari arah kiblat ialah memalingkan dada ke arah lain daripada kiblat.
Hilang Ingatan Kerana Gila, Pitam, Tertidur Atau Mabuk Ketika Solat
Apabila seorang yang bersolat tidak sedar apa yang dilakukan kerana tertidur atau pitam mi salnya, solatnya batal.
Ini kerana sedar adalah syarat harusnya melakukan solat.
Demikian juga tidak sah solat orang yang mabuk, walaupun dia melakukannya dengan betul dan tertib.
Murtad Ketika Solat
Dalam konteks solat, seorang yang telah berniat atau berikrar untuk keluar daripada Islam atau melakukan perbuatan yang menunjukkan bahawa dia telah keluar agama, solatnya tidak sah.
Seseorang boleh murtad sama ada dengan niat, pengakuan lisan atau perbuatan.
Contohnya jika seorang itu berniat akan keluar daripada Islam jika gagal dalam temuduga yang dihadirinya, dia telah pun murtad serta-merta tanpa menunggu keputusan temu duga tersebut.
Sekiranya dia murtad ketika bersolat, batal solatnya.
Syarat-Syarat Seseorang Itu Dihukum Murtad
- Baligh dan berakal.
- Tidak dipaksa, sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri.
- Mengetahui hal dan hukum murtad serta membuatkan dirinya menjadi murtad.
- Apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya, maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa seseorang itu telah pun menjadi murtad daripada Islam.
Penutup
Saya berharap panduan ini memberi pencerahan mengenai perkara yang membatalkan solat. Semoga ia dapat memberi kemudahan kepada anda dalam mempelajari fardu ain solat.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila nyatakan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.
InsyaAllah saya akan menjawab secepat yang mungkin.
Rujukan
- Al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Dar al-Fikr, Damsyiq, 1418H/ 1997M, hal. 1047-1050
- 1157 Persoalan Solat, Ustaz Muhadir Haji Joll, ms. 361
- Hasyiah al-Jamal, 1/425
- Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/307
- Formula Solat Sempurna, Dr Zaharuddin Abd Rahman
- Bimbingan Solat, Dr Rohaily Al-Jawhary
- 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat subuh, selepas lafaz salam yg pertama, mula-mula ragu sama ada bacaan salam betul atau tidak, tp sy dh berpaling, kemudian sy niat sujud sahwi dan sujud sahwi dgn sebab bacaan salam yg ragu td (takut tersalah lafaz), dan perbetulkan bacaan salam yg pertama. Sy rasa dah betul bacaan salam yg pertama selepas berpaling, tiba2 lintasan hati kata salah, tp sy abaikan, dan terus salam yg kedua. Solat saya sah kan ustaz kalau sy abaikan lintasan hati yg mengatakan salah lafaz salam?
Waalaikumussalam.
Solat awak sah. Lintasan ragu tentang lafaz salam yang datang selepas awak berpaling/selesai salam pertama tidak diambil kira. Itu dikategorikan waswas.
Untuk mazhab Syafie, sujud sahwi tidak disyariatkan kerana ragu lafaz salam. Ia disunatkan apabila tertinggal sunat ab‘adh (contoh: qunut Subuh), dan kaifiatnya dibuat sebelum salam.
Jika ketika melafazkan salam awak yakin tersalah hingga mengubah makna, cara betul ialah betulkan lafaz salam itu serta-merta (ulang lafaz yang sah) dan teruskan penutup solat. Tetapi jika sekadar ragu tanpa kepastian, hukum asalnya pegang pada sah dan abaikan lintasan.
Untuk Subuh, jika ada kekurangan pada qunut, barulah lakukan sujud sahwi sebelum salam. Selebihnya, kekalkan tuma’ninah dan teruskan solat seperti biasa.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat zohor, ada orang panggil saya. Tapi tiba2 lintasan hati suruh hentikan solat, tapi saya cepat2 yakin yg sy nak teruskan solat. Adakah solat saya sah ustaz?
Waalaikumussalam.
Sah. Lintasan untuk berhenti yang cepat ditolak dan tuan meneruskan solat dengan yakin tidak membatalkan solat.
Dalam mazhab Syafi‘e, yang membatalkan ialah jika seseorang berazam memutuskan solat, atau ragu-ragu untuk meneruskan (tergantung niat), atau menggantung niat seperti “kalau berlaku X aku batalkan.”
Jika hanya waswas seketika lalu ditepis, solat kekal sah.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum Ustaz…
Tadi saya solat (perempuan), ketika sujud, badan tergerak-gerak lebih 3 Kali ke depan (sikit2) kerana pakaian saya licin.
Sah ke solat saya?
Waalaikumussalam puan.
Insya-Allah solat puan sah.
Pergerakan kecil ketika sujud untuk menstabilkan badan atau membetulkan kedudukan kerana pakaian licin dikira pergerakan ringan dan bersebab, bukan “pergerakan banyak” yang membatalkan.
Kaedah fiqh menyatakan solat hanya terjejas jika pergerakan luar rukun itu banyak, berturut-turut, tanpa keperluan hingga orang yang melihat menyangka kita tidak sedang solat.
Angka “tiga kali” hanyalah panduan kasar bagi pergerakan besar, bukan ukuran mutlak bagi gerakan kecil seperti mengesot sedikit ke hadapan.
Yang penting, pastikan tuma’ninah tercapai pada sujud, yakni berhenti tenang seketika (sekadar membaca “Subḥāna Rabbiyal A‘lā”). Jika ketika menggeser itu puan sempat berhenti tenang dalam sujud sebelum bangun i‘tidal, solat adalah sah dan tidak perlu diulang.
Hanya jika puan yakin tidak sempat tuma’ninah langsung, ulangi sujud pada waktu itu; jika solat sudah selesai dan puan benar-benar yakin rukun tuma’ninah tidak berlaku, barulah qada. Jika tidak yakin, hukum asalnya sah.
Untuk elak berulang, gunakan sejadah yang lebih mencengkam, longgarkan gerak turun sujud, dan kemaskan pakaian agar tidak licin.
Semoga Allah memudahkan ibadah puan.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz, maaf izin bertanya ..Kalau contoh waktu solat dan nak i’tidal datang lintasan seperti nak cek waktu i’tidal ni ternampak aurat ke tak ? Adakah dikira batal solat sbb niat i’tidal bukan sbb nak i’tidal ( terselit niat yg lain selain rukun fi’li pada i’tidal), itu dikatakan sebagai lintasan sahaja ? Atau mmg dah terbatal solat kalau begitu . Jazakumullahu Khairan Kathira
Waalaikumussalam wbt,
Tidak batal.
Lintasan untuk “cek aurat” ketika bangun i‘tidal tidak membatalkan solat. Niat solat ditetapkan pada takbiratul ihram; rukun i‘tidal tidak memerlukan niat khusus. Selagi tuan berdiri tegak dengan tuma’ninah, tidak berniat memutuskan solat, dan tidak melakukan gerakan melampau, solat sah.
Tutup segera dengan gerakan ringkas dan teruskan solat. Solat hanya terbatal jika aurat dibiarkan terdedah dalam tempoh yang jelas atau disengajakan.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika sudah melafazkan salam dan sudah berpaling ke kanan, saya rasa macam ada bacaan yg salah (tak yakin betul), saya niat sujud sahwi sebab kesilapan melafazkan salam dan sudah berpaling ke kanan, dan saya melafazkan salam yg baru dan yakin salam yg baru itu lafaz betul. Selepas itu, ragu adakah bahu sy ada bergerak atau tidak ketika x sengaja lafaz salam yg salah, saya yakin bahu masih menghadap kiblat dan ada tergerak sedikit tanpa sengaja. Solat saya sah kan ustaz?
Waalaikumussalam wbt, tuan.
Insya-Allah solat tuan sah dan tidak perlu qada.
Jika salam pertama tuan sebenarnya sah, solat telah sempurna; niat sujud sahwi selepas itu tidak memudaratkan.
Jika salam pertama tersalah lafaz (tidak sah), solat belum tamat; tuan kembali sujud sahwi lalu ulang salam dengan lafaz yang betul. Itu sudah memadai. (Dalam mazhab Syafi‘i, sujud sahwi adalah sunat, bukan rukun.)
Lintasan ragu semata tidak membatalkan; pegang kaedah: keyakinan tidak hilang dengan syak.
Gerakan kecil bahu tanpa memalingkan dada daripada kiblat tidak membatalkan solat.
Dengan tuan mengulang salam dengan lafaz yang betul, dan hanya ada keraguan serta sedikit gerakan yang tidak menyalahi syarat kiblat, solat tuan sah.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz.
Waalaikumussalam wbt
Jika terniat hendak berhenti solat, solat batal jika benar-benar berazam memutuskan solat. Jika cuma lintasan lalu tuan menolaknya dan teruskan, solat tidak batal.
Tersilap selepas al-Fatihah (terlafaz “Allahu Akbar” sebelum ruku‘):
Kesimpulannya, solat tuan sah dan tidak perlu qada. Teruskan tenang, abaikan was-was, dan jaga tartil serta tertib.
Semoga Allah memudahkan.
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat subuh, mula2 sy lafaz salam macam betul tapi saya ragu, sy ulang baca lafaz salam “assalamualaikum” sahaja, rasa betul, tp sy ulang bacaan salam “assalamualaikum warahmatullah, dan yakin betul. Solat saya sah ke ustaz jika mengulang bacaan salam untuk sy menyebut assalamualaikum warahmatullah?
Waalaikumussalam wbt, t
Solat tuan sah.
Satu salam yang sah dengan lafaz “Assalamu ‘alaikum” sudah memadai untuk keluar daripada solat. Tambahan “warahmatullah” adalah sunat. Salam kedua ke kiri juga sunat.
Mengulang salam untuk membetulkan lafaz hingga yakin (“assalamu ‘alaikum warahmatullah”) tidak menjejaskan solat.
Tidak perlu qada, dan sujud sahwi tidak wajib. Memadai pastikan sekali salam pertama dilafaz dengan betul dan terdengar oleh diri sendiri.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz. Selepas salam yg pertama, sy ada niat nk hentikan solat, tp sy terlafaz salam yg kedua, solat saya sah atau batal?
Waalaikumussalam warahmatullah.
Solat sah.
1/ Dalam mazhab Syafie, salam yang pertama adalah rukun dan itulah penamat solat. Bila seseorang sudah beri salam pertama dengan lafaz yang sah (“Assalāmu ‘alaikum warahmatullāh”), solatnya telah selesai.
2/ Salam yang kedua adalah sunat, bukan rukun. Dalam situasi ini, selepas salam pertama, ada niat untuk tamatkan solat, maka itu sendiri memang selari dengan hakikat bahawa solat memang sudah tamat dengan salam pertama.
3/ Kemudian terlafaz salam kedua: itu tidak menjejaskan apa-apa kerana solat sudah pun sempurna. Ia bukan membatalkan solat.
Solat tetap sah dan tidak perlu diulang.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz. Ketika baca tahiyyat akhir, saya ada terfikir sujud sahwi. Selepas baca tahiyyat akhir, sy pun niat sujud sahwi dan sujud sahwi. Solat sy masih sah kan ustaz jika terfikir sujud sahwi ketika sedang baca tahiyyat akhir?
Waalaikumussalam warahmatullah.
Solat masih sah.
1/ Dalam mazhab Syafie, sujud sahwi itu sunat (bukan rukun dan bukan wajib). Ia dilakukan untuk menampung kekurangan perkara sunat yang penting (seperti tertinggal tasyahhud awal, qunut Subuh, dan seumpamanya), bukan untuk mengganti rukun yang tertinggal.
2/ Cara sujud sahwi menurut mazhab Syafie: selepas tamat bacaan tahiyyat akhir, sujud dua kali, kemudian duduk semula dan membaca tahiyyat akhir sekali lagi, kemudian barulah beri salam.
3/ Sekadar terlintas fikiran “aku nak sujud sahwi lepas ini” ketika sedang baca tahiyyat akhir tidak membatalkan solat. Itu bukan bercakap, bukan niat keluar daripada solat, dan bukan niat untuk tambah rukun baru. Itu hanya lintasan hati.
4/ Jika selepas tahiyyat akhir, terus buat sujud sahwi seperti yang disunatkan, kemudian duduk balik dan sambung tahiyyat akhir semula lalu beri salam maka solat adalah sah.
Ya, solat sah. Terlintas tentang sujud sahwi ketika baca tahiyyat akhir tidak membatalkan solat.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum ustaz. Ketika solat, ketika melafazkan salam yg pertama, lintasan hati kata salah lafaz, tp sy abaikan dan teruskan bacaan salam, bila dh berpaling ke kanan, yakin dah betul, walaupun bacaan laju, selepas solat, lintasan hati kata sy salah pada perkataan assalamualaikum, tp perkataan warahmatullah tu betul, tp sy menafikan lintasan hati itu, dalam masa yg sama sy ragu, adakah solat sy sah ataupun kena qada?
Waalaikumussalam warahmatullah.
Hukum asalnya: solat masih sah, dan tidak perlu qada’.
1/ Salam pertama (“Assalāmu ‘alaikum warahmatullāh”) ialah rukun solat dalam mazhab Syafie. Ia dikira sah jika lafaz itu keluar dengan makna yang betul, dan didengar oleh diri sendiri, walaupun dibaca dengan cepat.
2/ Rasa waswas seperti “tadi aku salah sebut” tidak membatalkan solat selagi sebenarnya lafaz itu telah disebut dengan betul menurut keyakinan asal ketika solat. Dalam keadaan ini, semasa menoleh ke kanan tadi ada keyakinan bahawa bacaan sudah betul. Itu mencukupi.
3/ Bisikan selepas solat yang mengatakan “mungkin salah pada perkataan assalamualaikum” tetapi “warahmatullah betul,” sedangkan dalam masa yang sama hati menolak bisikan itu, ini adalah waswas. Kaedahnya: yakin tidak gugur dengan ragu. Solat yang telah sempurna tidak menjadi batal hanya kerana ragu selepas selesai.
Solat tadi sah dan tidak perlu diulang.
Hanya jika benar-benar pasti bahawa lafaz salam pertama rosak sampai hilang makna salam (contoh: tidak menyebut “assalāmu ‘alaikum” langsung), barulah solat tidak sempurna dan perlu diulang.
Tetapi dalam situasi yang disebut, itu tidak berlaku. Ini hanya waswas. Abaikan.
Wallahu a’lam