
Ini adalah panduan cara qada solat (menggantikan solat fardu) yang lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda melakukan qada solat yang betul.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat solat qada fardu lima waktu bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menggantikan solat dengan sempurna.
- Apa Maksud Qada Solat
- Apa Hukum Qada Solat?
- Niat Qada Solat
- Cara Qada Solat Yang Tertinggal
- Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
- Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?
- Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
- Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
- Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
- Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Apa Maksud Qada Solat
Qada solat (قضاء) bermaksud menggantikan atau melaksanakan solat fardu yang telah ditinggalkan atau terlepas. Dalam Islam, solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan.
Apabila seseorang Muslim terlepas solat fardu disebabkan sebab tertentu seperti tertidur, lupa, atau keadaan darurat, maka wajib baginya untuk menggantikan solat tersebut pada masa lain.
Ini dilakukan sebagai cara untuk memenuhi kewajipan solat yang telah ditinggalkan. Qada solat menunjukkan pentingnya menjaga kewajipan solat dalam Islam dan tanggungjawab individu untuk memastikan semua solat fardu dilaksanakan.
Menurut mazhab as-Syafi’e, seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai apabila dia sempat menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut.
Sebaliknya, mengerjakan solat secara qada adalah melakukan solat selepas waktunya.
Apabila seseorang tidak menunaikan solat pada waktunya, dia mesti menggantinya dengan menunaikan solat yang telah ditinggalkan pada waktu lain.
Orang yang tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solat.

Apa Hukum Qada Solat?
Hukum qada solat dalam Islam adalah wajib. Ia adalah kewajipan bagi mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan, sama ada disengajakan atau tidak. Menurut pandangan ulama, setiap solat fardu yang ditinggalkan mesti diganti secepat mungkin.
Ini berdasarkan pemahaman umum dalam Islam bahawa solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, apabila seseorang gagal menunaikan solat pada waktunya, dia wajib menggantikannya melalui qada untuk memastikan kewajipannya terhadap solat terpenuhi.
Bagi mereka yang meninggalkan solat fardu diwajibkan menggantikan solat tersebut.
Ibn Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Ini adalah satu maksiat besar yang tidak boleh dihilangkan kecuali dengan mengqadakan solat yang ditinggalkan.
Seseorang yang melakukannya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.
Niat Qada Solat
Niat qada solat adalah berniat di dalam hati untuk mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan. Niat ini dilakukan sebelum takbiratul ihram pada permulaan solat.
Contohnya, jika seseorang hendak mengqada solat Zohor, niatnya adalah: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala”.
Niat ini penting untuk menentukan solat tersebut sebagai ganti bagi solat fardu yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan pada waktunya.
Berikut dinyatakan niat qada solat untuk setiap solat fardu:
Niat Qada Solat Subuh

Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
Cara Qada Solat Yang Tertinggal
Qada Solat merupakan cara mengerjakan semula solat yang terlepas. Langkah pertama adalah berniat di dalam hati untuk solat qada bagi waktu solat yang terlepas. Kemudian, ikuti langkah solat seperti biasa, termasuk takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, dan salam. Qada Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum masuk waktu solat yang sama pada hari berikutnya.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Musafir: Apabila ingin diqada selepas musafir, solat mesti diqada secara sempurna (tidak boleh qasar atau jamak). Jika diqada ketika masih musafir, boleh diqada secara sempurna atau qasar.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Menetap (Bermukim): Solat yang ditinggalkan ketika menetap wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar, walaupun diqada ketika musafir.
- Bacaan dalam Solat Qada: Bacaan boleh dibaca dengan nyaring pada waktu malam (selepas terbenam matahari hingga terbit matahari), sekalipun bukan jenis solat yang biasa dibaca nyaring. Bacaan solat dibaca perlahan pada waktu siang.
- Mengerjakan Qada Solat secara Berjemaah: Dibenarkan apabila ada dua orang atau lebih yang mahu mengganti solat mereka.
- Mengerjakan Qada Solat Secara Tertib (Mengikut Urutan): Disunatkan mengerjakan qada solat mengikut urutan, seperti solat Zuhur dahulu, kemudian Asar. Namun, jika waktu solat yang sedang berlangsung (seperti Asar) hampir habis, wajib mengerjakan solat tersebut dahulu sebelum qada solat yang ditinggalkan (seperti Zuhur).
Bacaan Dalam Solat Qada
Bacaan dalam qada solat sama seperti bacaan dalam solat fardu biasa. Ini termasuk:
- Takbiratul Ihram: Membuka solat dengan takbir.
- Bacaan Al-Fatihah: Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.
- Surah Lazim: Membaca surah atau ayat-ayat Quran selepas Al-Fatihah.
- Rukuk dan Sujud: Melakukan rukuk dan sujud dengan bacaan-bacaan tertentu.
- Tahiyyat Akhir: Membaca tahiyyat pada rakaat terakhir.
- Salam: Mengakhiri solat dengan ucapan salam.
Tiada bacaan khusus atau berbeza untuk solat qada berbanding solat fardu biasa; perbezaannya hanya pada niat untuk menggantikan solat yang tertinggal.
Penjelasan Mengenai Cara Qada Solat
Wajib bagi seseorang yang telah meninggalkan solat untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan mengantikan solat sekali pun pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.
1. Apabila meninggalkan solat sewaktu musafir dan hendak diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).2. Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir. Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.
(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)
3. Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.
4. Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari.
Sekalipun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar).
Sebaliknya, bacaan solat dibaca perlahan apabila solat yang diqada tersebut dikerjakan pada waktu siang, bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari.
5. Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.
6. Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan). Misalnya, solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar.
Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.
Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
Jika seseorang lupa bilangan solat fardu yang telah tertinggal, mereka disarankan untuk membuat anggaran terbaik berdasarkan ingatan. Setelah itu, lakukan qada’ mengikut jumlah tersebut. Jika tidak ingat, lakukan qada’ sebanyak mana yang dirasa cukup untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kewajipan telah dipenuhi. Penting untuk menetapkan niat qada’ dalam hati sebelum memulai setiap solat.
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Contohnya:
Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan.
Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti.
Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.
Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu melakukan qada’ untuk solat yang terlepas. Ini kerana dalam Islam, wanita yang mengalami haid atau nifas dikecualikan daripada kewajiban solat. Setelah selesai tempoh haid atau nifas, mereka boleh meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu menggantikan solat yang terlepas selama tempoh tersebut.
Penerangan
Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu.
Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian:
- Wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu Asar perlu qada solat Zohor.
- Dan wanita yang kering darahnya dalam waktu Isyak perlu qada solat Maghrib.
Wanita berkenaan perlu mandi wajib dan mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya.
Jika dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya itu.
Penjelasan lanjut mengenai masalah ini boleh dilihat pada pautan ini: Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?
Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
Orang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, maka dianggap berdosa besar. Sekiranya dia kembali semula kepada Islam, wajib dia qada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib dia mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.
Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.
Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya..
… maka wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih.
Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.
Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
Di sini saya kumpulkan beberapa soalan lazim mengenai qada solat yang mungkin membantu anda menjawab persoalan yang sedang anda hadapi:
Solat qada tidak wajib dilakukan mengikut tertib, tetapi disunatkan supaya mengikut tertib. Jika waktu solat masa itu hampir tamat, maka utamakan solat tunai waktu itu terlebih dahulu.
Solat yang tertinggal sama ada secara sengaja ataupun terlupa, wajib diqada sebaik sahaja mengingatinya. Ataupun sekiranya tidur, sebaik sahaja terjaga daripada tidur terus diqada solat yang terlepas.
Solat wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan menggunakan rukhsah-rukhsah yang Allah berikan seperti tayamum sekiranya tidak dapat menggunakan air, solat duduk ataupun baring sekiranya tidak dapat berdiri dan sebagainya.
Tidak harus membaca dengan nada kuat untuk solat fardu yang dilakukan pada waktu siang. Sama ada solat itu dilakukan pada waktunya ataupun qada. Begitu juga, disunatkan membaca dengan kuat untuk solat fardu yang dikerjakan pada waktu malam, walaupun solat pada zuhur ataupun asar.
Boleh. Sunat mengerjakan solat qada secara tertib.
Harus mengqada solat-solat yang tertinggal sama ada mengikut tertib atau tanpa tertib.
Tiada larangan untuk anda melakukan solat sunat.
Tetapi mengapa perlu melakukan yang sunat sedangkan anda boleh melakukan yang wajib, sekaligus mendapat pahala wajib dan diampunkan dosa akibat meninggalkan yang wajib.
Untuk solat tahiyatul masjid, anda boleh melakukan melakukan solat qada subuh ataupun solat lain ketika masuk ke masjid, sebelum anda duduk. Dengan melakukan solat qada ini, anda sudah mendapat pahala solat wajib dan mendapat pahala solat sunat tahiyatul masjid.
Sekiranya anda tidak merancang bagi bermukim di destinasi ini lebih daripada tiga hari, anda masih dianggap sebagai musafir yang mendapat rukhsah jamak dan qasar solat.
Dalam keadaan ini, anda masih boleh mengqada solat zohor dan asar dengan memendekkan menjadi dua rakaat.
Tetapi anda tidak boleh menjamakkannya kerana kedua-duanya sudah keluar daripada waktunya.
Solat yang ditinggalkan ketika musafir tidak lagi boleh diqasar apabila perjalanan itu tamat. Solat itu perlu diqada secara rakaat penuh (tamam)
Terdapat khilaf (pertembungan) jawapan ulama mengenai hal ini. Anda boleh qasar solat zohor yang ditinggalkan dalam pemusafiran yang lalu walaupun telah berada dalam pemusafiran yang lain. Tetapi adalah lebih baik disegerakan qada solat tersebut.
Anda tidak boleh mengqasarkan solat-solat yang sudah anda tinggalkan ketika bermukim ketika anda sedang musafir.
Disunatkan anda membaca surah dengan kuat kerana solat itu dilakukan pada waktu malam.
Orang yang mengalami masalah mental atau gila tidak diwajibkan qada solat-solat yang ditinggalkan ketika dalam keadaan itu. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Sekiranya diwajibkan mengqada semua solat-solat ini, sudah tentu sangat membebankan.
Orang yang pitam atau pengsan wajib mengganti solat yang tertinggal ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.
Ini kerana pengsan atau pitam selalunya hanya akan berlaku dalam masa yang singkat, berbeza dengan orang gila.
Begitu juga halnya orang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat.
Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Bagi mereka yang meninggalkan kewajipan solat fardu atau ibadah lain, diwajibkan menggantikannya.
1. Ibnu Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.Lalu Baginda meminda Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, Kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.
(Riwayat Tirmizi, Nasai’e dan Ahmad)
2. Orang yang meninggalkan ibadah wajib hendaklah menggantikannya berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW, begitu juga solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan.
Sabda Nabi:
Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan (diganti)
3. Orang yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran telah melakukan dosa dan wajib menggantikannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya
— Al-Ma’un 107:4-5
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat ganti.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.



Assalamualaikum. Maksudnya ganti solat ni boleh buat bila-bila masa sahaja? contohnya solat subuh boleh buat waktu zohor?
Wassalam.
Ya, benar.
Assalamualaikum. boleh saya tahu berapa rakaat qada solat yang ditinggalkan? boleh ke kalau buat banyak kali dalam satu hari?
Waalaikumsalam.
Lakukan mengikut jumlah solat yang ditinggalkan. Qada’ solat boleh dilakukan sebanyak mana yang kita mampu.
ok. Terima Kasih
Sama-sama :-)
Ustaz waktu bila yang sesuai untuk solat qada sebab ni boleh dikatan first time saya menunaikan solat ganti
Walaikumsalam,
Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tidak kira waktu.
Jika ada sebarang soalan lagi, silakan bertanya ya. Saya sedia membantu.
assalamualaikum ustaz boleh kah solat qada dilakukan hanya pada waktu tertentu sebelah malam selepas solat tahajjud dan dibuat secara tertib bermula dengan subuh zohor asar maghrib dan Isyak dibuat setiap hari dan pada waktu waktu biasa kita hanya lakukan solat fardhu tunai dan solat sunat.
Waalaikumsalam,
Berkait dengan soalan anda tentang pelaksanaan solat qada, saya akan cuba memberikan pencerahan.
Solat qada adalah solat yang dilakukan untuk menggantikan solat fardhu yang telah ditinggalkan. Dalam Islam, pelaksanaan solat qada ini adalah wajib bagi setiap solat yang ditinggalkan. Mengenai waktu pelaksanaannya, tidak ada batasan waktu tertentu untuk melaksanakan solat qada. Anda boleh melakukannya pada bila-bila masa, termasuk selepas solat tahajjud pada waktu malam.
Mengenai urutan solat qada, ada pandangan yang menyatakan bahawa lebih afdal untuk melaksanakan solat qada mengikut tertib waktu asalnya (contohnya, memulakan dengan qada solat Subuh, kemudian Zohor, dan seterusnya). Namun, ini bukanlah syarat mutlak. Jika memungkinkan dan mudah bagi anda untuk melakukannya secara tertib, itu adalah lebih baik, tetapi jika tidak, anda masih boleh melakukan solat qada tanpa mengikut urutan tertentu.
Selain itu, anda boleh menggabungkan niat solat sunat dengan solat qada. Contohnya, jika anda melaksanakan solat tahajjud, anda boleh berniat untuk solat tahajjud sekaligus qada untuk solat yang tertinggal.
Ringkasnya, pelaksanaan solat qada adalah fleksibel dan boleh dilakukan pada waktu yang sesuai untuk anda, sama ada siang atau malam, dan tidak semestinya mengikut urutan waktu solat asalnya. Yang penting adalah niat untuk menggantikan solat yang telah tertinggal.
Semoga ini menjawab soalan anda.
Jika ada lagi yang kurang jelas, sila bertanya lagi ye.
Wallahu a’lam.
Assalammulaikum ustaz…saya nak tanyak?
sekiranya saya meninggalkn solat dgn sengaja dan mau mengganti solat”saya yg saya sengaja meninggalkannya tetapi rasa macam tidak yakin sama ada solat saya itu sah atau tdk hanya di sebabkan saya tdk yakin dengan cara saya mandi wajib dan tdk mnyempurnahkan wudhu saya?
Macam mna saya nak ganti solat sekiranya saya rasa tdk pasti sama ada mandi wajib yg saya lakukan adalah sah atau tdk dan bgitu jgk dgn wudhu saya?
Waalaikumsalam,
Soalan anda berkaitan dengan kekhuatiran tentang sahnya mandi wajib dan wudhu serta pengaruhnya terhadap solat qada yang ingin anda lakukan.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kerana anda berkeinginan untuk mengganti solat yang telah ditinggalkan. Ini adalah langkah yang baik dan penting dalam perjalanan kembali kepada agama.
Mengenai mandi wajib dan wudhu, penting untuk memahami langkah-langkah dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar kedua-duanya sah.
Mandi wajib memerlukan niat, meratakan air ke seluruh tubuh tanpa ada bahagian yang terlepas, dan termasuk juga membilas mulut dan hidung. Rujuk tatacara mandi wajib pada pautan ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-mandi-wajib/
Wudhu pula meliputi beberapa langkah seperti membasuh muka, kedua tangan hingga siku, mengusap sebahagian kepala, dan membasuh kedua kaki hingga mata kaki. Boleh rujuk caranya di sini: https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-ambil-wudhu/
Jika anda merasa ragu tentang sahnya mandi wajib dan wudhu yang telah dilakukan, ada beberapa langkah yang boleh anda ambil:
1. Pelajari Cara yang Betul: Pastikan anda memahami dan mengikuti langkah-langkah mandi wajib dan wudhu dengan tepat. Anda boleh meminta bantuan dari orang yang berilmu atau merujuk kepada buku-buku fiqh yang menerangkan tentang cara yang betul.
2. Ulangi Jika Perlu: Jika anda yakin bahawa anda telah membuat kesalahan dalam mandi wajib atau wudhu yang boleh membatalkannya, ulangi proses tersebut dengan betul.
3. Ketetapan Niat: Niat yang kuat dan jelas untuk mandi wajib dan wudhu adalah sangat penting. Pastikan niat anda jelas dalam hati sebelum memulakan.
4. Jangan Terlalu Was-was: Dalam Islam, was-was (keraguan yang berlebihan) boleh menyebabkan seseorang merasa tidak yakin dan tidak puas hati dalam ibadahnya. Lakukan ibadah anda dengan keyakinan dan jika anda telah melakukan proses mandi wajib dan wudhu dengan betul, percayalah ia telah sah.
Setelah anda yakin bahawa mandi wajib dan wudhu anda sah, anda boleh meneruskan dengan solat qada. Ingatlah, Allah Maha Mengetahui niat dan usaha kita dalam beribadah. Jadi, lakukan yang terbaik dan percayalah pada rahmat dan pengampunan Allah.
Semoga ini membantu, dan jika ada pertanyaan lanjutan, jangan ragu untuk bertanya.
Assalamualaikum ustaz…sy nk tnya bpe soalan..sy mgalami sakit mental (skitzofernia)..sejak berumur 18thun..tapi tidak truk smpi hilg igatan,sy dptkn rawatan doktor n selalu check up..alhamdulillah pyakit sy beransur baik..persoalan nye sah ke sy solat dan perlukah sy mgqadakan solat sy yg dlu pnah ttgal..umur sy skg dh 38thun dan skg masih bergantung pd ubat..
Waalaikumsalam,
1. Sah Solat: Selagi anda memiliki kesedaran dan pemahaman tentang solat, solat anda adalah sah. Skizofrenia tidak secara automatik membatalkan sahnya solat selagi anda memahami apa yang anda lakukan.
2. Qada Solat yang Tertinggal: Jika ada waktu di mana anda tidak mampu melaksanakan solat dengan benar karena kondisi sakit, maka anda tidak diharuskan mengqadakan solat tersebut. Islam memberikan keringanan bagi mereka yang mengalami kesulitan atau sakit.
3. Penggunaan Ubat: Teruskan pengambilan ubat dan ikuti nasihat doktor. Ini tidak mempengaruhi sahnya solat anda.
Ingatlah, Allah SWT Maha Pengertian terhadap kondisi dan kesulitan hamba-Nya. Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesembuhan kepada anda.
Alhamdulillah terima kaseh ustaz…
Boleh tak saya solat qada berkali-kali pada jangka masa yang sama. Contoh dah bertahun tinggalkan solat zohor. Jadi saya qada solat solat 3 atau 4 kali pada masa yang sama
Ya, anda boleh melakukan solat qada berkali-kali pada jangka masa yang sama.
Jika anda telah meninggalkan solat Zohor selama beberapa tahun dan ingin mengqadakannya, anda dibolehkan untuk melakukan beberapa solat qada Zohor dalam satu hari atau pada masa yang sama.
Tiada batasan jumlah solat qada yang boleh dilakukan dalam satu hari selagi anda mampu melakukannya. Ini adalah bentuk usaha untuk memenuhi kewajiban solat yang telah tertinggal.
Assalamualaikum Ustaz
Bolehkah saya qada solat dengan solat fardhu dahulu , lalu saya solat qada subuh,zohor,asar,maghrib,isya secara berturut dengan tertib?
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ya, anda boleh melakukan qada’ solat dengan cara tersebut.
1. Anda solat fardhu bagi waktu yang sedang berlaku terlebih dahulu. Misalnya, jika sekarang adalah waktu Zuhur, maka anda solat fardhu Zuhur dahulu.
2. Selepas itu, anda boleh qada’ solat yang telah tertinggal dengan tertib, bermula dengan solat Subuh, kemudian Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak.
Yang penting adalah niat anda ketika ingin qada’ solat tersebut. Sebagai contoh, ketika hendak solat qada’ Subuh, niatkan di dalam hati bahawa solat yang akan dilakukan adalah qada’ solat Subuh.
Namun, ada pendapat yang mengatakan lebih baik untuk mengqada’ solat yang tertinggal mengikut urutan tertinggalnya. Sebagai contoh, jika solat Asar semalam yang tertinggal, maka solatkan qada’ Asar itu dahulu sebelum solat-solat lain yang mungkin tertinggal.
Bagaimanapun, pendapat utama ialah anda dibolehkan untuk qada’ solat dalam mana-mana urutan yang anda kehendaki selagi anda mempunyai niat yang jelas untuk setiap solat tersebut.
Semoga Allah menerima solat kita dan memberikan kita kekuatan untuk istiqamah dalam ibadah.
Assalammualaikum ustaz , saya mahu bertanya beberapa soalan .
Soalan 1 . Adakah kita hanya boleh qada solat mengikut waktu solatnya ? ….. Contohnya , selesai sahaja saya solat subuh adakah saya hanya boleh qada solat subuh yang pernah saya tertinggal atau saya juga boleh qada solat saya yang lain yang pernah saya tertinggal .
Soalan 2 . Bolehkah saya qada solat saya berturut – turut ? ….. Contohnya , saya baharu saja selesai qada solat subuh selepas itu saya qada lagi solat subuh .
Soalan 3 . Bolehkah kita qada solat kita lebih dari yang sepatutnya kita qada ? ….. Contohnya , saya qada solat saya yang pernah saya tertinggal kerana saya tidak pasti berapa banyak soalt yang saya pernah tertinggal .
Assalammualaikum.
Soalan 1:
Menurut mazhab Syafi’e, tiada masa tertentu yang ditetapkan untuk solat qada’. Ia dibenarkan untuk melakukan solat qada’ pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu tertentu seperti semasa khutbah Jumaat sedang disampaikan dari saat khatib duduk di atas mimbar sehingga kedua-dua khutbah selesai. Ini bermakna, selepas anda selesai solat Subuh, anda boleh qada’ solat Subuh yang tertinggal atau solat lain yang pernah anda tinggalkan.
Soalan 2:
Solat qada’ boleh dilakukan berturut-turut. Sebagai contoh, selepas anda selesai qada’ solat Subuh, anda boleh terus qada’ solat Subuh yang lain jika perlu. Ini juga bermakna anda boleh qada’ solat-solat lain yang tertinggal berturut-turut.
Soalan 3:
Jika seseorang tidak pasti berapa banyak solat yang tertinggal, mereka harus terus melakukan solat qada’ sehingga mereka merasa yakin bahawa tiada lagi “hutang solat” yang belum diselesaikan. Menurut Ust Azhar, jika terlebih qada, solat yang terlebih itu akan mendapat pahala solat sunat.
Semoga penjelasan ini membantu dan semoga Allah memudahkan urusan anda dalam menunaikan solat qada’.
Assalamualaikum ustaz…saya solat qobliyah➡️fardu➡️badiyah➡️qada’ solat yg dulu2..boleh ke ustaz?
Waalaikumsalam.
Ya, boleh. Anda boleh mengatur urutan solat sunat dan solat qada’ mengikut keperluan dan kesesuaian anda.
Anda boleh mengerjakan solat qobliyah, kemudian solat fardu, diikuti dengan solat badiyah, dan seterusnya mengerjakan solat qada’. Urutan ini tidak masalah selagi anda mengetahui yang mana satu solat fardhu dan yang mana satu solat sunat, dan meniatkannya dengan betul.
Semoga membantu!
Wallahu A’lam.
Assalamualaikum ustaz
Soalan 1:
Saya dah sedar subuh tetapi disbbkn saya ada masaalah sakit tulang blkg(efect excident) tidak boleh nak bangun wpon kdg bantuan anak, ambil msa stgah jam atau lebih utk relax dulu smpi kdg trtidur smula, sedar tgk jam dah kdg 7:30 kdg 9 pagi, baru boleh pelan² bangun, Adakah sya yrus bersiap utk Qada subuh? atau Qada tu pada waktu Zuhor boleh x?
Soalan.2: Saya trtgal juga solat isyak pda malam sblm nya juga (siang nya ada chrk up doc, trlalu letih) boleh kah saya sekali kan Qada pada pada waktu Zuhor tersebut
Maksud waktu Zuhor sya buat Qada subuh, Qada isyak kmudian macam biasa solat Zuhor
mohon ustaz jawapan sya dah cuba cari jawapan research di internet tapi jawapan confius🙏🙏
Waalaikumussalam.
Soalan 1:
Jika anda tidak dapat menunaikan solat Subuh pada waktunya kerana keadaan kesihatan, maka anda perlu qada’ solat Subuh tersebut apabila anda mampu. Anda tidak perlu menunggu waktu Zuhur untuk qada’ solat Subuh. Sebaik sahaja anda mampu solat, anda boleh qada’ solat Subuh tersebut, walaupun ia adalah di waktu syuruk, tengah hari, atau bila-bila masa yang anda rasa mampu.
Soalan 2:
Ya, anda boleh menyusun urutan qada’ solat mengikut keperluan anda. Contohnya, jika anda terlepas solat Isyak dan Subuh, anda boleh qada’ solat Isyak terlebih dahulu, kemudian qada’ solat Subuh, dan selepas itu menunaikan solat Zuhur.
Perkara penting yang perlu diingat ialah niat. Pastikan anda berniat dalam hati bahawa solat yang anda lakukan adalah qada’ untuk solat yang tertinggal.
Saya harap penjelasan ini membantu.
Semoga Allah mempermudahkan urusan anda dan memberi kesihatan yang baik kepada anda. Aamiin.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum Ustaz. Saya nak tanya Solat qada’ kalau baca Surah Al fatihah saja untuk setiap rakaat boleh ke? Sebabnya orang tu tertinggal Solat lebih 2 tahun jadi banyak, boleh ke?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Solat, sama ada solat fardhu ataupun sunat, memerlukan Surah Al-Fatihah sebagai rukun dalam setiap rakaat. Adapun bacaan surah atau ayat lain selepas Al-Fatihah dalam solat (khususnya dalam rakaat pertama dan kedua) adalah sunnah.
Oleh itu, bagi memudahkan dan mempercepatkan solat qada’, adalah dibenarkan untuk hanya membaca Surah Al-Fatihah sahaja dalam setiap rakaat tanpa menambah surah atau ayat lain selepasnya.
Namun, penting untuk diingatkan bahawa solat harus dilakukan dengan tuma’ninah (ketenangan) dan jangan dikejar-kejar atau dikerjakan dengan tergesa-gesa. Walaupun anda hanya membaca Al-Fatihah, pastikan anda melaksanakannya dengan khusyuk dan penuh penghayatan.
Jika orang itu tertinggal solat selama dua tahun, memang banyak solat yang perlu diqada’. Anda boleh cadangkan kepada mereka untuk menetapkan bilangan tertentu setiap hari sebagai usaha mengqada’ solat yang tertinggal itu, supaya ia tidak terasa memberatkan.
Semoga Allah Ta’ala mempermudah usaha anda dan keluarga serta menerima segala ibadah kita.
Assalamualaikum ustaz, sah ke kalau kita solat qada’ tetapi tidak menggunakan niat solat qada’?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Niat adalah asas dalam semua amalan ibadah dalam Islam. Niat membedakan antara satu solat dengan solat yang lain, atau antara satu ibadah dengan ibadah yang lain. Dalam hal solat qada’, niat adalah sangat penting untuk membezakan antara solat fardhu yang dilakukan pada waktunya dengan solat fardhu yang dilakukan sebagai ganti atau qada’ bagi yang terlepas.
Jika seseorang berniat solat fardhu pada waktunya tetapi sebenarnya ia adalah solat qada’, maka solat tersebut tidak sah sebagai solat qada’. Sebagai contoh, jika seseorang melewatkan solat Zohor dan kemudian solat Asar dengan niat solat Asar (bukan niat qada’ Zohor), maka solat Zohor tersebut masih perlu dilakukan qada’.
Oleh itu, apabila seseorang ingin melakukan solat qada’, dia perlu memastikan niatnya adalah untuk solat qada’ bagi solat tertentu yang terlepas. Jika tidak, solat tersebut tidak akan diterima sebagai qada’ bagi solat yang terlepas.
Semoga Allah memudahkan urusan kita dalam menjalankan ibadah dan sentiasa memberi taufik dan hidayahNya kepada kita semua.
Jazakallah khairan terima kasih ustaz
Assalamualaikum ustaz nak tanya kalau kita terlepas solat magrib boleh ke kita ganti pada waktu pagi contohnya sebelum subuh .
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Assalamualaikum Ustaz mohon bertanya kalau tertinggal solat zohor ganti nya bole ka kalau tidak paya tnggu masuk waktu asar
Wassalam
Ya boleh. Qada solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Assalammualaikum ustaz. Saya nak tanya,
1) Maksud ustaz qada’ solat ikut tertib tu macam mana?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,
Qada’ solat ikut tertib bermaksud melaksanakan solat-solat yang tertinggal mengikut susunan waktunya.
Contoh, jika seseorang itu tertinggal solat Zuhur dan Asar pada hari itu, maka dia perlu qada’ solat Zuhur dahulu sebelum qada’ solat Asar. Ini kerana solat Zuhur adalah sebelum solat Asar menurut susunan waktu solat harian.
Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diingat mengenai qada’ solat:
1. Niat: Sebelum memulakan solat qada’, anda harus berniat dalam hati bahawa solat ini adalah untuk menggantikan solat yang telah tertinggal.
2. Solat fardhu: Hanya solat fardhu yang perlu diqada’ jika tertinggal. Solat sunat tidak perlu diqada’.
3. Secepat mungkin: Anda harus cuba untuk qada’ solat yang tertinggal secepat mungkin. Jangan menangguh-nangguhkan.
Saya harap penjelasan ini membantu.
Semoga Allah memudahkan segala urusan anda.
Assalamualaikum ustaz,kalau niat takde qada’ tapi ditukar “ganti” boleh ke?
Wassalam. Boleh
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saya ada 1 soalan sahaja, apakah niat imam dan makmum untuk qada solat?
Tambah sahaja ‘imaman’ atau ‘makmuman’ sebelum ‘Lillahi Taala’
Assalammualikum Ustaz, saya telah lama tidak solat bertahun-tahun lamanya, Allhamdulillah syukur pada Allah, saya sudah bertaubat & ingin berubah. Saya ada beberapa soalan tentang mengqadakan solat.
1. Bolehkah saya qada solat selepas selesai solat fardhu subuh secara berturut-turut misalnya solat qada subuh sebanyak 7 kali, kemudian diikuti dgn solat qada zohor sebanyak 7 kali & solat qada asar 7 kali dan seterusnya hinggalah solat qada isyak.
2. Bolehkah kita qada solat selepas sembahyang fardhu asar kerana ada yg mengatakan dilarang sembahyang selepas solat fadhu asar?.
Saya berfikiran didalam 1 tahun ada 52 minggu (kalendar biasa bukan kalendar Islam). Jikalau saya sembahyang Qada sebanyak 7 kali bagi setiap waktu solat ertinya saya sudah sembahyang Qada utk seminggu bagi setiap waktu solat.
Kalau saya teruskan sembahyang begini selama 52 hari ertinya saya sudah qadakan sembahyang yg tinggal utk tempoh 1 tahun.
Apa pndapat Ustaz?.
Mohon doa dari Ustaz agar saya terus bertaubat & dipermudahkan & diterima segala amal ibadah saya.
Waalaikumussalam.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberikan hidayah kepada anda untuk bertaubat dan kembali ke jalanNya. Saya ucapkan tahniah kerana berani untuk memulakan langkah pertama untuk berubah.
Berikut jawapan kepada soalan anda:
1. Anda boleh melakukan qada’ solat yang terlewat secara berturut-turut seperti contoh yang anda berikan. Anda boleh menentukan sendiri berapa banyak solat qada’ yang mahu dilakukan setelah setiap solat fardhu. Yang penting, anda mesti bermula dengan niat yang betul sebelum mengerjakan solat qada’.
2. Dalam mazhab Shafie, hanya solat sunat yang dilarang selepas solat Asar hingga matahari terbenam. Namun, solat qada’ bukanlah termasuk dalam larangan ini. Oleh itu, anda boleh melakukan qada’ solat selepas solat Asar.
Cara anda dalam mengira solat qada’ dengan mengambil kira bilangan minggu dalam setahun adalah cara yang baik dan sistematik. Namun, sila ingat bahawa jumlah solat yang perlu diqada’ mungkin lebih banyak daripada yang anda anggarkan kerana setiap solat fardhu setiap hari selama bertahun-tahun perlu diqada’. Oleh itu, elok jika anda mula dengan apa yang mampu dilakukan dan teruskan secara konsisten.
Akhir kata, jangan biarkan rasa bersalah atau takut menghalang anda dari beribadah. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Anda telah bertaubat dan Allah Maha Penerima Taubat. Semoga Allah terus memberikan anda kekuatan dan ketabahan dalam beribadah dan memperbaiki diri.
Saya akan berdoa agar Allah mempermudahkan dan menerima segala amal ibadah anda. Aamiin.
assalamualaikum ustaz nk pencerahan sikit tentang qada solat nih kena lafazkn niat saja ke? lepas tuh tata cara solat dia sma mcm solat wajib yg biasa? sy bru nk belajar qada solat
Wassalam,
Ya, niat sahaja yang berbeza. Tatacara solatnya adalah sama sahaja seperti solat tunai. yang ditinggalkan itu.