Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?

qada solat selepas haid

Adakah kena qada solat selepas suci dari haid?

Panduan ini menerangkan secara jelas apakah hukum berkaitan masalah ini.

Saya juga turut menyertakan dalil dan penjelasan setiap hukum yang dinyatakan bagi memudahkan kefahaman para pembaca.

Semoga bermanfaat..

Masalah Dan Jawapan

Berikut adalah contoh persoalan berkaitan isu ini:

Soalan

Saya pernah terdengar bahawa wanita yang telah kering haidnya dalam waktu asar tetap wajib qada solat zohornya walaupun pada masa tersebut darah haidnya masih lagi keluar.

Adakah ia benar?

Jawapan

Jawapannya adalah benar.

Bagi memudahkan para pembaca memahami isu ini, panduan ini akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu;  penjelasan hukum   dan  sebab-sebab dihukumkan sedemikian 

Penjelasan Hukum

Apabila seorang wanita suci daripada haid dalam waktu Asar, maka wajib ke atasnya untuk mengerjakan solat Asar dan Zohor.

Begitu juga jika dia suci dalam waktu Isyak sebelum masuk waktu Subuh, maka wajib bagi wanita itu menunaikan solat Isyak dan Maghrib untuk hari tersebut.

Di bawah ini adalah ringkasan apa yang perlu dilakukan apabila kering haid dalam masa-masa tertentu:

Waktu Berhenti HaidPerkara Yang Perlu Dilakukan
Sebelum masuk waktu subuh (masih dalam waktu isyak) Mandi wajib

Wajib solat Isyak dan qada solat Maghrib
Masih dalam waktu Subuh Mandi wajib

Wajib solat Subuh
Selepas habis waktu Subuh Tidak perlu terus mandi wajib

Tidak perlu solat Subuh

Wajib mandi untuk Solat Zohor
Dalam waktu Zohor Mandi wajib

Wajib solat Zohor
Dalam waktu Asar Mandi wajib

Wajib solat Subuh dan qada solat Zohor
Dalam waktu Maghrib Mandi wajib

Wajib solat Maghrib
Dalam waktu Isyak Mandi wajib

Wajib solat Subuh dan qada solat Zohor

Ini merupakan pandangan majoriti ulama, juga pandangan muktamad mazhab Syafi’e berdasarkan beberapa kitab seperti berikut:

1. Imam al-Nawawi menjelaskan:

Pandangan yang lebih zahir ialah wajib solat Zohor jika sempat bertakbiratul ihram pada penghujung waktu Asar, dan wajib solat Maghrib (jika sempat bertakbiratul ihram) pada penghujung Isyak.

— Kitab Minhaj al-Tolibin halaman 22

Wajib qada solat yang sebelumnya jika ia dijamak bersamanya

— Kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 54

2. Imam Ibn Taimiyyah juga menghuraikan:

Dan atas sebab tersebut, para sahabat seperti Abdul Rahman bin ‘Auf dan selainnya berkata, ‘Sesungguhnya jika seorang wanita yang haid itu suci sebelum terbitnya fajar (masuk waktu Subuh), maka wajib ke atasnya solat Maghrib dan Isyak.

Begitu juga jika dia suci sebelum terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib), maka wajib baginya solat Zuhur dan Asar.

Ini merupakan mazhab majoriti ulama fiqh seperti Imam Malik, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad.

— Kitab Majmu’ al-Fatawa juz 2 halaman 347

Sebab Kenapa Dihukumkan Sedemikian

Terdapat beberapa sebab dihukumkan sedemikian.

Antaranya adalah majoriti ulama fiqh berpandangan waktu solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak merupakan satu waktu sahaja bagi orang yang mempunyai keuzuran seperti orang yang dalam musafir.

Justeru dalam keadaan darurat, adalah lebih aula ia dijadikan satu waktu.

Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa kitab seperti berikut:

1.

Wajib solat Zohor bersama solat Asar jika sempat bertakbiratul ihram pada akhir waktu Asar. Dan wajib solat Maghrib bersama Isyak jika sempat (bertakbiratul ihram) pada penghujung waktu Isyak.

Hal ini kerana waktu Zohor dan Asar merupakan satu waktu, begitu juga waktu Maghrib dan Isyak ketika uzur.

Justeru dalam keadaan darurat, (yang demikian) adalah lebih aula.

— Kitab al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Matan Abi Syuja’ juz 1 halaman 124

2. Imam Ibn Taimiyyah pula menjelaskan:

Dan atas sebab inilah kebanyakkan ulama — seperti Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad — berpandangan jika seorang wanita itu suci daripada haid pada hujung siang hari (penghujung asar), nescaya dia (perlu) mengerjakan solat Zohor dan Asar.

Dan jika dia suci di hujung malam (sebelum masuk Subuh), nescaya dia perlu solat Maghrib dan Isyak.

Perkara ini sebagaimana yang dinaqalkan (diambil) daripada Abdul Rahman, Abu Hurairah dan Ibn Abbas.

Sebabnya, waktu tersebut ialah satu waktu yang berkongsi dua solat ketika ada keuzuran.

Justeru, apabila suci (daripada haid) pada penghujung siang hari (akhir Asar), maka waktu Zohor dianggap masih berbaki (dengan perkiraan waktu ketika uzur) dan dia wajib solat Zohor sebelum solat Asar.

Begitu juga apabila dia suci pada hujung malam (akhir Isyak), maka waktu Maghrib dianggap masih lagi berbaki.

Justeru, dia wajib solat Maghrib sebelum solat Isyak.

— Kitab Majmu’ al-Fatawa juz 2 halaman 334

Kesimpulan

Sebagaimana yang dijelaskan, wanita yang kering haid dalam waktu Asar tetap wajib mengerjakan solat Zohor yang ditinggalkannya.

Begitu juga jika kering haid dalam waktu Isyak, maka dia wajib mengerjakan solat Maghribnya.

Ini merupaakan pandangan majoriti ulama termasuklah pandangan muktamad mazhab Syafie sebagaimana penjelasan di atas.

Wallahu a’lam.

Semoga memberi manfaat.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
  2. Irsyad Fatwa Series 287: If The Haid (Menstruation) Ends At Maghrib, It Is Not Necessary To Qadha (Replace) The Asar And Zuhur Prayer [pautan]

Tinggalkan Komen Anda..

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments