Tanda-Tanda Suci Dari Haid & Nifas

Suci Dari Haid

Apakah tanda-tanda suci dari haid dan nifas bagi seorang wanita?

Panduan ini akan cuba menerangkan secara terperinci tanda-tanda suci bagi seorang wanita secara mudah.

Apa yang penting:

Contoh situasi dan hukum-hukumnya juga turut disertakan untuk memudahkan pemahaman para pembaca sekalian.

Semoga membantu..

? Artikel Ini adalah perbahasan lanjut dari panduan utama mengenai darah haid

Tanda-Tanda Telah Suci Dari Haid & Nifas

Antara tanda atau alamat seseorang wanita itu suci daripada haid atau nifas ada dua:

  1. Kering daripada darah
  2. Keluar cecair putih

Kering daripada darah itu bukanlah ditentukan dengan sekadar melihat tiada darah di permukaan faraj, tetapi dengan memasukkan kapas ke dalamnya.

Jika warnanya putih bersih setelah dikeluarkan, maka ia tanda bersih daripada darah.

Namun jika warnanya berubah dengan warna lain seperti kekuningan atau kemerahan, maka ia dikira masih haid atau nifas.

Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah juz 18 halaman 310:

Suci daripada haid itu tercapai dengan salah satu daripada dua perkara; iaitu berhenti darah dan melihat ada cecair putih. Dimaksudkan dengan berhenti darah ialah kering daripada darah, iaitu kapas yang dikeluarkan (dari faraj) tidak tercemar dengan darah, warna keruh atau kuning.

Mana Yang Lebih Utama: Kering Darah Atau Keluar Cecair Putih?

Para ulama fiqh berselisih pendapat dalam menetapkan tanda atau alamat yang perlu didahulukan (antara kering darah atau keluar cecair putih) dalam menghukum seseorang itu suci dari haid atau nifas.

Perjelasannya adalah seperti berikut:

1. Pandangan Mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali

Apabila darah telah kering dan tidak ada apa-apa kesan darah setelah memasukkan kepas ke dalam faraj, maka wanita itu dikira suci meskipun belum keluar cecair putih.

2. Pandangan Maliki

Menurut pandangan mazhab Maliki, hukumnya bergantung kepada dua keadaan:

1. Pertama Kali Haid

Tanda sucinya ialah setelah nyata satu daripada dua perkara iaitu kering daripada darah ataupun keluar cecair putih.

Jika ada salah satu daripadanya, maka dia dikira suci.

2. Pernah Haid

Jika pernah haid, maka ia bergantung kepada dua situasi:

i) Tanda suci wanita itu sebelum ini ialah kering daripada darah.

  • Jika dia melihat keluar cecair putih terlebih dahulu, maka tidak perlu menunggu sehingga kering daripada darah.
  • Begitu juga sebaliknya, jika dia melihat darah kering terlebih dahulu, maka tidak perlu menunggu sehingga keluar cecair putih.

ii) Tanda suci wanita itu sebelum ini ialah salah satu atau kedua-dua tanda (keluarnya cecair putih sahaja atau keluar cecair putih dan juga kering daripada darah).

  • Jika dia melihat darahnya terlebih dahulu kering, maka sunat baginya menunggu keluar cecair putih sehingga penghujung waktu mukhtar solat fardu.
  • Jika dia melihat cecair putih keluar terlebih dahulu, maka dia dikira suci dari haid tanpa perlu menunggu tanda selainnya.

Contoh Situasi & Hukumnya

Berikut merupakan sebilangan contoh bagi keadaan yang tertentu berserta hukum-hukumnya:

Contoh 1

Pada 1 Muharam, Sabariah datang haid buat pertama kali sehingga darahnya berhenti pada 6 Muharam.

Kemudiannya, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, ternyata darahnya telah kering dan tidak ada apa-apa kesan pada kapas tersebut.

Hukum

Sepakat empat mazhab bahawa Sabariah telah suci pada 6 Muharam walaupun belum keluar cecair putih

Contoh 2

Pada 1 Muharam, Mastura datang haid buat pertama kalinya sehinggalah darahnya berhenti pada 6 Muharam.

Kemudiannya, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, didapati ada cecair putih namun tidak ada kesan darah pada kapas tersebut.

Hukum

Sepakat empat mazhab bahawa Mastura telah suci dari haid pada 6 Muharam

Contoh 3

Nabila pernah datang haid sebelum ini.

Secara kebiasaannya, tanda sucinya ialah kering daripada darah tanpa ada cecair putih.

Pada 1 Muharam darahnya mula keluar sehinggalah berhenti pada 5 Muharam.

Kemudian pada 6 Muharam, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, ternyata darahnya telah kering dan tidak ada apa-apa kesan pada kapas tersebut

Hukum

Sepakat empat mazhab bahawa Nabila telah suci pada 6 Muharam walaupun belum keluar cecair putih.

Contoh 4

Shahira pernah datang haid sebelum ini.

Secara kebiasaannya, tanda sucinya ialah kering daripada darah tanpa ada cecair putih.

Pada 1 Muharam, darahnya mula keluar. Kemudiannya pada 6 Muharam, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, didapati ada cecair putih namun tidak ada kesan darah pada kapas tersebut.

Hukum

Sepakat empat mazhab bahawa Shahira telah suci dari haid pada 6 Muharam.

Contoh 5

Siti pernah datang haid sebelum ini.

Secara kebiasaannya, tanda sucinya ialah keluar cecair putih.

Pada 1 Muharam, darahnya mula keluar. Kemudian pada 6 Muharam, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, didapati ada cecair putih namun tidak ada kesan darah pada kapas tersebut.

Hukum

Sepakat empat mazhab bahawa Siti telah suci dari haid pada 6 Muharam.

Contoh 6

Nurul pernah datang haid sebelum ini.

Secara kebiasaannya, tanda sucinya ialah keluar cecair putih.

Pada 1 Muharam, darahnya mula keluar. Kemudian pada 6 Muharam, beliau memasukkan kapas ke dalam faraj dan setelah dikeluarkan, ternyata darahnya telah kering dan tidak ada apa-apa kesan pada kapas tersebut.

Malah cecair putih juga belum keluar.

Hukum

Hukum kepada situasi ini terbahagi kepada dua pandangan:

  1. Mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali: Dikira telah suci dari haid pada 6 Muharam.
  2. Mazhab Maliki: Sunat menunggu keluarnya cecair putih sehingga penghujung waktu mukhtar solat fardu.

* Waktu mukhtar disisi mazhab Maliki ialah waktu yang digariskan oleh syarak kepada setiap mukallaf untuk mengerjakan solat fardu sama ada awal, pertengahan atau penghujung.

Contoh situasi:

Katakan waktu Zuhur bermula pada 1.30 petang sehingga 4.30 petang. Waktu yang diperlukan Nurul untuk membersihkan diri serta menunaikan solat Zuhur ialah sekitar 15 minit.

Pada jam 2.00 petang, Nurul memasukkan kapas ke dalam faraj dan mendapati darahnya telah kering, namun cecair putih masih belum keluar.

Justeru bagi situasi ini, disunatkan padanya untuk menunggu cecair putih keluar sehingga jam 4.15 petang, iaitu 15 minit sebelum habis waktu.

Hal ini kerana 15 minit terakhir merupakan masa yang diperlukannya untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur.

Tunggu Darah Kering Sehari Semalam Sebelum Mandi Wajib

Terdapat silap faham dalam kalangan masyarakat bahawa para wanita perlu menunggu sehari semalam sebelum mandi wajib.

Sebenarnya suatu kesalahan jika seseorang wanita itu menunggu sehingga tempoh yang tertentu untuk mandi wajib, solat, puasa dan tawaf sedangkan ketika itu darahnya sudah pun berhenti, lebih-lebih lagi sehingga menyebabkan dia meninggalkan perkara yang fardu atas dirinya.

Apa yang dibenarkan untuk melewatkan mandi sehingga akhir waktu solat oleh para ulama empat mazhab adalah apabila berlaku permasalahan seperti:

  • Darah wanita itu berhenti awal sebelum tempoh adatnya
  • Tanda sucinya berbeza berbanding bulan-bulan yang sebelumnya.
  • Pernah mengalami keadaan darah keluar secara putus-putus

Oleh itu, disarankan kepada para pembaca untuk meneliti juga artikel ini: Adakah Perlu Tunggu Darah Haid Kering Sehari Semalam Sebelum Mandi Wajib?

Status Suci Bagi Wanita Pertama Kali Datang Haid (Mubtada’ah) & Bagi Wanita Yang Pernah Haid Sebelum Ini (Mu’tadah)

Wanita yang kali pertama datang haid atau nifas dinamakan sebagai mubtada’ah.

Manakala, wanita yang pernah haid atau nifas pula disebut sebagai mu’tadaah.

Sudah semestinya hukum dan perbincangan mengenai hal suci dari haid untuk kedua-dua golongan adalah berbeza, terutamanya dari sudut tanda suci dan kesahan status suci tersebut.

Penjelasannya adalah seperti berikut:

Golongan Pertama

Wanita Mubtada’ah (Pertama Kali Haid / Nifas)

Para ulama empat mazhab bersepakat bahawa wajib ke atasnya mandi, solat dan berpuasa setelah suci daripada darah tanpa perlu tempoh tertentu.

Hal ini bersandarkan pada sabda Rasulullah:

Jika datang haid, tinggalkan solat. Jika telah selesai haid, maka mandi dan solatlah

— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Perkataan “Jika telah selesai haid, maka mandi dan solatlah” menunjukkan bahawa ketika hilangnya mani’ iaitu penghalang mandi wajib dan solat, maka wajib mandi dan solat tanpa perlu menunggu tempoh yang tertentu.

Contoh

Kebiasaannya, Lisa datang haid selama tujuh hari. Pada jam 8.00 pagi 1 Ogos, darahnya mula keluar.

Namun pada jam 8.00 pagi 8 Ogos, jelas kelihatan tanda suci (sama ada kering daripada darah atau keluar cecair putih). Bermakna, tempoh haidnya tujuh hari tujuh malam.

Bagi situasi sebegini, para ulama bersepakat bahawa Lisa dikira suci bermula jam 8.00 pagi pada 8 Ogos.

Bermakna, dia perlu mandi wajib, solat, berpuasa dan melaksanakan apa-apa kewajipan seperti biasa.

Golongan Kedua

Wanita Mu’tadah (Pernah Haid / Nifas)

Para ulama membahagikan golongan ini kepada dua kelompok seperti berikut:

Kelompok Pertama: Suci pada hari yang bertepatan dengan tempoh adat kebiasaannya.

Kelompok Kedua: Darah berhenti awal berbanding tempoh kebiasaannya.

Hukum: Para ulama empat mazhab bersepakat bahawa wajib ke atasnya mandi, solat dan berpuasa setelah suci daripada darah tanpa perlu menunggu tempoh tertentu.

Contoh

Kebiasaannya, Rozita datang haid selama tujuh hari. Pada jam 8.00 pagi 1 Ogos, darahnya mula keluar.

Namun pada jam 8.00 pagi 6 Ogos, jelas kelihatan tanda suci pada farajnya iaitu kering daripada darah. Bermakna, tempoh haid Rozita pada bulan ini hanyalah lima hari sahaja.

Bagi situasi sebegini, para ulama bersepakat bahawa Rozita dikira suci bermula jam 8.00 pagi pada 6 Ogos.

Ini bermakna, dia perlu mandi wajib, solat, berpuasa dan melaksanakan apa-apa kewajipan seperti biasa.

Namun sebahagian ulama beberapa mazhab berselisih dalam beberapa perkara.

Penjelasannya seperti berikut:

  1. Mazhab Maliki: Disunatkan baginya menunggu sehingga penghujung waktu solat fardu untuk mandi dan solat jika dia melihat tanda sucinya berbeza berbanding bulan-bulan sebelumnya.

    Contohnya, pada bulan ini tanda sucinya ialah faraj kering daripada darah sedangkan tanda pada bulan-bulan sebelum ini ialah keluar cecair putih.
  2. Mazhab Hanafi: Wajib baginya melewatkan mandi asalkan sebelum penghujung waktu yang disunatkan.
  3. Mazhab Hanbali: Menurut Ibnu Qudamah, seorang wanita itu perlu menunggu selama sehari selepas berhentinya darah sekiranya ia berhenti buka pada tempoh adat kebiasaannya atau dia tidak melihat cecair putih keluar.

Berdasarkan penjelasan sebelum ini, kita dapat fahami bahawa para ulama empat mazhab mengatakan tidak boleh bagi wanita yang suci menunggu tempoh yang tertentu melainkan pada empat permasalahan sahaja seperti berikut:

MazhabPandangan
HanafiJika darah wanita itu berhenti sebelum tempoh adatnya, maka wajib baginya melewatkan mandi asalkan sebelum penghujung waktu yang disunatkan.
MalikiDisunatkan baginya menunggu sehingga penghujung waktu solat fardu untuk mandi dan solat jika dia melihat tanda sucinya berbeza berbanding bulan-bulan sebelumnya. Contohnya, pada bulan ini tanda sucinya ialah farajnya kering daripada darah sedangkan tanda pada bulan-bulan sebelum ini ialah keluar cecair putih.
Syafi’eJika pernah mengalami keadaan darah keluar secara putus-putus, maka ada satu pandangan dalam mazhab mengatakan bahawa wanita tersebut perlu menunggu sehingga cukup tempoh seperti adat kebiasaan sebelumnya.
HanbaliPandangan yang dipilih oleh Ibn Qudamah ialah seorang wanitu itu perlu menunggu selama sehari selepas berhentinya darah sekiranya ia berhenti bukan pada tempoh adat kebiasaannya atau dia tidak melihat cecair putih keluar. Namun, pandangan ini bukanlah pendirian majoriti ulama mazhab ini.

Kesimpulan

Perkara yang menghalang seorang wanita daripada mengerjakan solat, puasa dan tawaf adalah haid dan nifas.

Sebagaimana yang diketahui, haid dan nifas adalah darah. Oleh itu, jika tiada darah, maka tiadalah haid dan nifas.

Dan apabila tiada haid dan nifas, maka tiadalah perkara yang menghalang kewajipan solat, puasa dan lain-lain ibadah.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada semua pembaca.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

6 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
elyzai
elyzai
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz , saya nak tanya saya baru lepas mandi wajib lepastu saya pergi tandas dan sda keluar keputihan berwana coklat

1.adakah mandi wajib saya sah?

Natasha
Natasha
2 tahun yang lalu

ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saya ada dua soalan yang ingin ditanyakan.

  1. Tanda suci saya adalah kering dari darah. Lepas saya mandi wajib, tak lama lepas tu keluar cecair berwarna kuning keruh. Adakah itu darah haid atau bukan?
  2. Kalau saya mandi wajib pada malam hari sewaktu isyak. Esoknya saya puasa. Tapi selepas maghrib saya dapati ada keluar cairan kuning. Adakah puasa saya itu sah? Saya mandi wajib setelah kering dari darah.

Terima kasih.

Miss Altnim
Miss Altnim
2 tahun yang lalu

Alhamdulillah.. penjelasan yang sangat jelas, terima kasih ustaz. ❤