Adakah Perlu Tunggu Darah Haid Kering Sehari Semalam Sebelum Mandi Wajib?

Adakah kita perlu tunggu darah haid kering atau berhenti sehari semalam sebelum mula mandi wajib?

Timbul beberapa persoalan berkaitan waktu haid berhenti:

  • Jika hendak mandi wajib, benarkah perlu tunggu sehari semalam selepas haid berhenti?
  • Adakah boleh jika kita terus mandi sebaik sahaja darah berhenti?
  • Benarkah wanita haid dalam ihram tidak boleh mengerjakan tawaf kecuali selepas 24 jam berhenti haid.
  • Adakah solat dan ibadah lain boleh dilakukan dalam tempoh naqa’?

? Artikel Ini adalah perbahasan lanjut dari panduan utama mengenai darah haid

Tanda Darah Telah Kering / Berhenti

Secara umumnya, wanita yang keluar darah haid atau nifas dapat mengetahui darah tersebut telah berhenti apabila kapas yang dimasukkan ke dalam farajnya tidak ada apa-apa kesan darah termasuklah warna keruh.

Menurut istilah fiqh, keadaan sebegini dinamakan sebagai naqa’

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Raudah al-Talibin juz 1 halaman 163:

Naqa’: Sekiranya wanita itu memasukkan kapas ke dalam farajnya dan warnanya masih putih setelah dikeluarkan. Penetapan makna naqa’ ini adalah penetapan yang telah dibuat oleh Imam al-Syafi’e dalam kitab al-Umm, dan juga penetapan oleh syeikh-syeikh yang tiga.

Apabila terjadi naqa’ yakni bersih daripada haid dan nifas, maka wajib ke atas wanita tersebut mengerjakan solat fardu.

Ini berdasarkan kepada beberapa dalil seperti berikut:

1. Rasulullah SAW bersabda, terjemahannya:

Jika datang haid, tinggalkanlah solat. Jika telah selesai haid, maka mandi dan solatlah

— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

2. Abdullah bin Abbas berkata:

Tidak halal bagi seorang wanita apabila dia melihat (dirinya) bersih daripada darah walaupun sekejap melainkan dia (wajib) mandi.

Begitu juga wajib ke atasnya untuk mengerjakan perkara fardu seperti puasa pada bulan Ramadan, mengerjakan tawaf dan seumpamanya.

Adakah Perlu Menanti Tempoh Tertentu Ketika Darah Berhenti?

Adalah suatu kesalahan jika seseorang wanita itu menunggu sehingga tempoh yang tertentu untuk mandi wajib, solat, puasa dan tawaf sedangkan ketika itu darahnya sudah pun berhenti (naqa’), lebih-lebih lagi sehingga menyebabkan dia meninggalkan perkara yang fardu atas dirinya.

Hal ini kerana perkara yang mengharamkan mereka daripada mengerjakan solat, puasa dan tawaf hanyalah haid dan nifas.

Haid dan nifas adalah darah sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Justeru, jika tiada ada darah, maka tidak adalah haid dan nifas.

Allah SWT mensifatkan haid di dalam al-Quran dengan perkataan al-aza yakni kotor sebagaimana firmanNya:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang haid. Katakanlah, ‘Haid itu adalah kotor…”

(Surah al-Baqarah 2 : 222)

Berpandukan firman tersebut, kita dapat simpulkan bahawa jika tidak ada darah, maka wanita itu tidak kotor.

Bukankah suatu yang pelik jika wanita yang tidak kotor (tiada darah) padanya, tetapi tetap diberikan hukum kotor, iaitu perlu menanti tempoh yang tertentu dahulu untuk mandi, solat dan tawaf.

Tambahan pula, alasan takut-takut darah keluar semula bukanlah suatu alasan yang boleh diterima.

Hal ini kerana ia adalah suatu andaian dan khayalan yang menyalahi perkara yang zahir.

Dalam kaedah fiqh ada menyebut: لا عبرة بالتوهم

Maksudnya: “Tidak diambil kira suatu andaian atau suatu khayalan”

Dari suatu sudut, benar dan tidak dinafikan berkemungkinan darah akan keluar semula setelah berhenti, tetapi dalam masa yang sama juga, ada kemungkinan darah akan berhenti terus.

Antara dua kemungkinan ini, kemungkinan darah berhenti terus adalah lebih kuat berbanding kemungkinan darah akan keluar semula.

Hal ini kerana tidak ada darah itu adalah zahir yang dapat dilihat, malah ia adalah hakikat asal, sedangkan keluarnya darah itu adalah hal yang baharu.

Justeru, secara zahirnya jika darah telah berhenti, ia tidak akan kembali semula.

Sandaran Dalil

Hakikatnya, setiap yang dijelaskan sememangnya terkandung dalam kitab-kitab muktabar fiqh mazhab Syafi’e.

Antaranya:

1. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzah juz 2 halaman 502-503:

Apabila seorang wanita melihat naqa’ (tiada darah) pada hari yang kedua, maka dia perlu mengerjakan pekerjaan (kewajipan) wanita-wanita yang suci tanpa ada khilaf. Hal ini kerana kita tidak mengetahui bahawasanya dia adalah wanita talfiq kerana berkemungkinan berterusan berhenti darah tersebut. Kata ulama mazhab Syafi’e, ‘maka wajib ke atasnya mandi, puasa dan solat. Dan dia juga boleh membaca al-Quran, menyentuh mashaf, bertawaf, beriktikaf dan bersama dengan suaminya. Tiada sedikit pun khilaf dalam hal ini.

2. Ibn Hajar al-Haitami turut menjelaskan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj:

Seperti itu juga ketika berhenti darah, iaitu jika dia memasukkan kapas (ke dalam farajnya) dan keluar kapas itu putih bersih. Ketika itu, wajib ke atasnya beriltizam dengan hukum-hukum suci. Kemudian, jika dia kembali semula darah sebelum 15 hari (suci), maka (hendaklah) dia meninggalkan (hukum suci itu). Seperti inilah (keadaannya) sehingga berlalu 15 hari. Maka ketika itu, dikembalikan setiap satu kepada tempatnya yang akan disebutkan.

3. Kitab al-Najmu al-Wahhaj Syarhi Fi al-Minhaj juz 1 halaman 511:

Tidak ada khilaf bahawa wanita pada hari naqa’ itu perlu mengerjakan pekerjaan (kewajipan) sebagaimana wanita-wanita yang suci kerana darah itu mungkin tidak akan keluar semula. Namun jika darah keluar semula, maka hukumnya turut berubah.

Kitab Rujukan Berkaitan Fiqh Wanita

Terdapat beberapa kitab yang membincangkan secara khusus berkenaan fiqh darah wanita yang ditulis oleh sebahagian ulama pada masa kini.

Lebih istimewanya, karya-karya ini adalah menurut pandangan mazhab Syafi’e.

Antaranya:

1. Kitab al-Ibanah wa al-Ifadhah fi ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e karya Dr. Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah al-Saqqaf ada menjelaskan:

Tidak ada khilaf bahawa apabila seorang wanita melihat naqa’, maka wajib ke atasnya mandi, solat dan puasa. Dan harus bagi suaminya menyetubuhinya kerana setiap apa yang zahirnya ialah berkekalan suci itu dan tidak kembali semula darah.

2. Kitab Risalah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah karya al-Faqih al-Muhaqqiq al-Mufti Syeikh Muhammad bin Ali bin Abdul Rahman al-Khatib ada menyebut:

Sesungguhnya wanita yang sudah biasa datang haid, sekiranya dia melihat sehari semalam (keluarnya) darah kuat, dan sehari semalam naqa’, dan begitulah (keadaannya) sehingga sampai kepada ada kebiasaannya atau sehingga 15 hari, kemudian berterusan darah yang (sifatnya) lemah sehingga penghujung bulan. Kemudian, dia melihat pada bulan yang kedua seperti itu juga, maka dihukumkan tempoh berhenti darah pada bulan pertama itu sebagai tempoh suci. Ini kerana secara asalnya ialah tidak kembali semula darah itu.

Berdasarkan kitab-kitab tersebut, jelas sekali tidak ada khilaf dalam kalangan ulama fiqh bahawa wanita yang datang naqa’ (suci daripada haid dan nifas) wajib mengambil hukum suci dalam tempoh naqa’ tersebut walaupun ia menyalahi adat sebelumnya.

Contoh Masalah & Situasi

CONTOH 1

Seorang wanita pada kebiasaannya datang haid selama tujuh hari.

Namun pada bulan ini, tidak semena-mena haidnya berhenti pada hari ketiga. Maka, dia tidak boleh menunggu sehingga tujuh hari (tempoh kebiasaan haid) untuk mandi wajib.

Sebaik sahaja darah berhenti dan mandi wajib, diwajibkan ke atasnya untuk mengerjakan solat dan puasa fardu seperti biasa, juga boleh melakukan tawaf meskipun haidnya kering pada hari ketiga, berbeza dengan kebiasaan sebelum-sebelum ini.

Walaupun begitu, ada dua kemungkinan yang boleh berlaku pada dirinya:

1. Darah berhenti terus dan tidak datang semula sehingga berlalunya 15 hari 15 malam dari tempoh mula keluar darah.

Justeru, wanita yang mengalami kes seperti ini, tempoh haidnya telah berubah daripada tempoh kebiasaannya yang sebelum ini.

Hakikatnya, kes sebegini banyak berlaku dalam kalangan wanita.

2. Setelah kering darah beberapa hari, darah keluar semula sebelum berlakunya tempoh 15 hari 15 malam.

Sebagai contoh, kebiasaan tempoh haid Aisyah ialah tujuh hari.

Namun pada bulan ini, darahnya keluar dalam tempoh dua hari sahaja dan berhenti pada hari ketiga. Namun pada hari kelima, darahnya keluar semula sehinggalah hari yang kelapan.

Oleh itu, darah yang keluar semula pada hari kelima turut dihukumkan sebagai darah haid kerana ia keluar sebelum berlalunya tempoh maksimum haid; 15 hari 15 malam.

Tempoh suci dari darah pada hari ketiga dan keempat dinamakan sebagai tempoh naqa’ (bersih daripada darah).

Memandangkan darah yang keluar pada dua hari pertama dihukum sebagai darah haid dan hari yang kelima sehingga hari yang kelapan juga dikira sebagai tempoh haid menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’e.

Ini bermakna, haid Aisyah pada bulan ini ialah sebanyak lapan hari, bukannya tujuh seperti bulan-bulan kebiasaan.

Perkara ini juga dijelaskan dalam beberapa kitab seperti berikut:

1. Kitab Mughni al-Muhtaj juz 1 halaman 293:

Pandangan yang zahir ialah naqa’ (putus-putus) di antara sekurang-kurang tempoh haid hingga sebanyak-banyak tempoh haid adalah dikira sebagai haid.

Berasaskan pandangan ini, wajib ke atas Aisyah untuk mengqada semula puasa wajib yang telah dilakukan sepanjang tempoh naqa’ itu.

2. Kitab al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masa’il al-Mufidah halaman 166:

– Jika dia telah mengerjakan solat, maka tidak sah solatnya dalam tempoh itu. Namun tidak wajib ke atasnya qada semula. – Jika dia telah berpuasa, maka tidak sah puasanya dan diwajibkan untuk qada semula puasa tersebut.

Bagi situasi yang dialami oleh Aisyah, jika ia berlaku juga pada bulan berikutnya (darah berhenti pada hari yang ketiga), maka para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya.

Penjelasannya adalah seperti berikut:

  1. Aisyah perlu mengambil hukum haid sepanjang tempoh berhenti darah.

    Bermakna, dia tidak perlu mandi wajib, solat dan puasa sepanjang tempoh tersebut.

    Dari sudut tempoh dan kadarnya pula adalah berpandukan adat kebiasaannya bulan-bulan sebelumnya.
  2. Aisyah perlu mengambil hukum wanita yang suci sepanjang tempoh berhenti darah.

    Bermakna, hukumnya sama seperti kebiasaan bulan-bulan sebelumnya.

    Ibnu Hajar al-Haithami menukilkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj:

    “Pada bulan yang kedua dan bulan-bulan berikutnya, wanita tersebut tidak boleh mengerjakan susuatu pun daripada hukum-hukum suci kerana apa yang zahirnya ialah (keadaannya) pada bulan kedua ini sama sahaja seperti bulan pertama. Hukum ini dinilai sahih oleh Imam al-Rafi’i. Penilaian sahih ini boleh diterima, namun apa yang dinilai sahih oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Tahqiq dan kitab al-Raudhah – yang dinaqalkan – adalah sama seperti apa yang terkandung dalam kitab al-Majmu’ bahawa bulan kedua dan bulan-bulan berikutnya adalah seperti bulan pertama.”
CONTOH 2

Kebiasaannya, Zainab datang haid selama tujuh hari tanpa ada naqa’ diantara tempoh tersebut.

Namun pada bulan Syaaban, Zainab dapati darahnya keluar dari jam 8.00 pagi hari Isnin sehingga jam 8.00 pagi hari Rabu (dua hari).

Kemudian, terjadi naqa’ (berhenti darah) bermula jam 8.00 pagi hari Rabu sehingga hari Jumaat pada jam 12.00 tengah hari (dua hari empat jam)

Setelah itu, darah keluar semula jam 12.00 tengah hari Jumaat sehingga jam 2.00 petang hari Isnin (tiga hari 2 jam).

HUKUM BERKAITAN SITUASI INI

Darah yang keluar bermula jam 8.00 pagi hari Isnin sehingga pukul 8.00 pagi hari Rabu adalah darah haid.

Manakala darah yang keluar semula pada hari Jumaat jam 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang Isnin juga dikira darah haid.

Dan, tempoh naqa’ (berhenti darah) dari jam 8.00 pagi hari Rabu sehingga hari Jumaat 12.00 tengah hari juga dihukumkan sebagai tempoh haid.

Hal ini kerana ia berada diantara keluarnya darah haid.

Justeru itu, sebaik sahaja masuknya waktu zuhur pada hari Rabu (setelah darah berhenti kali pertama), Zainab wajib mandi dan mengerjakan solat Zuhur.

Ini kerana secara zahirnya darah sudah berhenti sepenuhnya dan tidak akan keluar lagi.

Namun sebaik sahaja darah keluar semula pada hari Jumaat jam 12.00 tengah hari, Zainab wajib tinggalkan solat solat dan amalan selainnya (yang terhalang kerana haid).

Hal ini kerana darah tersebut dihukumkan haid memandangkan tempohnya masih dalam tempoh 15 hari.

Hakikatnya, Zainab sendiri tidak mengetahui bahawa tempoh naqa’ itu juga haid sehinggalah keluar semula darah pada hari Jumaat jam 12.00 tengah hari.

Oleh itu, jika ditanya berkenaan tempoh haid Zainab pada bulan ini, maka jawapannya ialah tujuh hari enam jam (bermula pada jam 8.00 pagi hari Isnin hingga jam 2.00 petang hari Isnin berikutnya.)

Jika Perkara Berlaku Lagi Bulan Seterusnya

Zainab dapati ada keluar darah pada hari Sabtu jam 8.00 pagi sehingga jam 8.00 pagi hari Isnin (dua hari). Kemudian bermula jam 8.00 pagi hari tersebut (Isnin), belaku naqa’ padanya.

Berkenaan tempoh naqa’ pada bulan kedua ini, para ulama berselisih pandangan dalam menetapkan hukumannya seperti berikut:

  1. Wajib mengambil hukum suci, sama seperti bulan sebelumnya. Bermakna, sebaik sahaja darah berhenti, dia wajib mandi, solat dan seumpamanya sebagai wanita suci.
  2. Wajib mengambil hukum haid sepanjang tempoh naqa’ tersebut. Hal ini sebagaimana bulan sebelumnya iaitu tempoh naqa’ juga merupakan tempoh haid. Justeru, dia tidak perlu mandi wajib dan solat sebagaimana wanita suci.

Sekiranya Zainab mengambil pandangan kedua, iaitu dihukumkan haid sepanjang tempoh naqa’, maka dia perlu memeriksa farajnya bermula jam 2.00 petang hari Sabtu minggu hadapan.

Ini kerana tempoh tersebut telah cukup tujuh hari enam jam, bersamaan dengan tempoh haidnya pada bulan Syaaban sebelum ini.

Tetapi jika darahnya tidak keluar pada jam 2.00 petang hari Sabtu, maka wajib ke atasnya mandi wajib, solat, berpuasa dan sebagainya.

Hal ini berpandukan tempoh haid pada bulan sebelumnya dan dijadikan ukuran bagi tempoh haid pada bulan ini (Ramadan).

Ini bermakna, solat dan puasa yang ditinggalkan bermula hari Isnin itu wajib diqada semula kerana ternyata bahawa tempoh tersebut adalah tempoh suci, bukannya haid.

Pandangan Yang Mengharuskan Perlu Menunggu Sehari Semalam

Masjid Umayyad yang terletak di Damascus, Syria yang menjadi tempat Ibn Qudamah selalu mengajar dan beribadah

Pandangan ini merupakan pandangan dari salah seorang ulama mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah.

Menurut pandangan yang dipilih oleh Ibn Qudamah ialah seorang wanita itu perlu menunggu selama sehari selepas berhentinya darah sekiranya ia berhenti bukan pada tempoh adat kebiasaan atau dia tidak melihat cecair putih keluar.

Namun, pandangan ini bukanlah pendirian majoriti ulama dalam mazhab Hanbali, melainkan hanya pandangan yang dipilih oleh Ibn Qudamah sahaja.

Kesimpulan

Para ulama empat mazhab bersepakat mengatakan wanita yang telah pun suci daripada haid atau nifas tidak perlu tunggu sehari semalam untuk mandi wajib.

Namun jika darah datang semula sebelum cukup 15 hari, maka tempoh naqa’ juga dihukumkan sebagai tempoh haid menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’e.

Tetapi jika berlaku hal yang sama pada bulan berikutnya, maka ulama’ berselisih pendapat seperti berikut:

  1. Mengambil hukum bulan sebelumnya (tempoh naqa’ dikira suci)
  2. Mengambil hukum wanita haid. Bermakna, dia perlu menunggu sehingga sampai tempoh yang sama dengan tempoh haid bulan sebelumnya.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
  2. Al-Kafi #690 : Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. [Pautan]
  3. Tunggu Sampai Jernih – Ustazah Mardhziah Zakaria, Youtube Zon Kuliah [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Aminah
Aminah
1 tahun yang lalu

Pandangan Yang Mengharuskan Perlu Menunggu Sehari Semalam – hukum ini yg sy ikut hingga kini dan saya pelajari semasa berkursus haji utk musim haji 2010.Dan ustazah tsbt beritahu dah الله bagi cuti kita cuti tunggu 24jam baru mandi hadas. Mohon pencerahan.