Ini adalah panduan Surah Al Ikhlas Rumi (transliterasi)
Anda akan dibimbing secara lengkap bacaan surah ini secara ayat demi ayat. Bantuan audio juga akan disediakan.
Semoga membantu..
Pengenalan
Surah al-Ikhlas ( سورة الإخلاص ) (Yang Ikhlas) adalah surah ke-112 dalam al-Quran.
Surah Al Ikhlas terdiri daripada 4 ayat. Surah ini termasuk golongan surah-surah Makkiyyah, diturunkan sesudah Surah An-Nas.
Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini sepenuhnya menegaskan kemurnian ke-esaan Allah subhanahu wa ta’ala.
Al-Ikhlas bererti “kesucian” atau “penulenan”, yang bermaksud untuk kekal suci dan setia atau keadaan membersihkan jiwa seseorang dari kepercayaan bukan-Islam, seperti paganisme dan kemusyrikan.
Ayat-ayat berkaitan keimanan:
- Penegasan tentang kemurnian keesaan Allah, dan menolak segala macam kemusyrikan dan menerangkan bahawa tidak ada sesuatu yang menyamai-Nya.
Bacaan Surah Al Ikhlas Rumi (Transliterasi)
Qul huwallāhu aḥad
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa,
Allāhuṣ-ṣamad
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat,
Lam yalid wa lam yūlad
Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan,
Wa lam yakul lahū kufuwan aḥad
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Kelebihan Surah Al Ikhlas
Surah Ikhlas dikenali sebagai Surah Pelindung.
Dari Abu Hurairah, Nabi SAW pernah bersabda “Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas, seolah-olah dia membaca sepertiga Al-Quran”
Dalam kitab Sa’adatul Darain, Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas ketika memasuki rumah, maka hilanglah kefakiran penghuni rumah dan tetangganya”
(HR At-Tabrani dan Ibnu Mas’ud).
Asbabun Nuzul (Sebab Surah Ini Diturunkan)
Diriwayatkan oleh at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Khuzanah, dari Abul Aliyah yang bersumberkan dari Ubay bin Ka’ab.
Diriwayatkan pula ath-Thabrani dan Ibnu Jarir, yang bersumberkan dari Jabir bin Abdillah bahawa kaum musyrikin meminta penjelasan tentang sifat-sifat Allah kepada Rasulullah, dengan berkata, “Jelaskan kepada kami sifat-sifat Rabb-mu”.
Ayat al-Ikhlas 1-4 ini turun berkenaan dengan peristiwa tersebut, sebagai tuntunan untuk menjawab permintaan kaum musyrikin.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumberkan dari Ibnu Abbas, diriwayatkan pula Ibnu Jarir yang bersumber dari Qatadah, dan riwayatkan pula oleh Ibnu Munzir yang bersumber dari Sa’id bin Jubair, bahawa beberapa orang yahudi, diantaranya Ka’ab bin al-Asyraf dan Hayy bin Akhtab, mengadap Nabi SAW, mereka berkata, “Hai Muhammad, lukiskan sifat-sifat Rabb yang mengutusmu”
Ayat al-Ikhlas ini turun untuk menerangkan sifat-sifat Allah.
Menurut as-Suyuthi kata al-musyrikin (kaum musyrikin) dalam hadis yang bersumber dari Ubay bin Ka’ab adalah kaum musyrikin dari kaum Ahzab.
Dengan demikian dapat dipastikan Madaniyyah, sesuai hadis Ibnu Abbas.
Jadi tidak ada pertentangan antara dua hadis di atas.
Hal ini diperkuat pula oleh riwayat Abusy Syaikh di dalam kitab al-Azhamah dari Aban, yang bersumberkan dari Anas yang meriwayatkan bahawa Yahudi Khaibar mengadap Nabi SAW dan berkata,
“Hai Abul Qasim. Allah menjadikan malaikat dari cahaya hijab, Adam dari tanah hitam, iblis dari api yang menjulang, langit dari asap, dan bumi dari buih air. Cubalah terangkan kepada kami tentang Rabb-mu.“
Rasulullah SAW tidak menjawab, sehingga turunlah Jibril membawa wahyu, iaitu surah ini (al-Ikhlas) yang melukiskan sifat-sifat Allah.
Transliterasi Surah-Surah lain
Antara surah lain yang sudah ditambah tranliterasi untuk membantu anda:
Nota Penutup
Semoga Transliterasi Rumi ini dapat membantu anda yang sukar membaca / sedang belajar mengenal al-Quran.
Sememangnya penggunaan transliterasi rumi adalah kurang tepat dari segi sebutan, namun saya berharap panduan ini dapat membantu sedikit sebanyak saudara-saudari sekalian yang memerlukan bantuan sebegini.
Saya berdoa agar Allah memudahkan urusan kita semua belajar membaca al-Quran dan memperoleh barakah daripadanya.
Semoga Allah melapangkan hati kita dan dibukakan hati kita kepada ilmu.
Sesungguhnya Islam itu agama rahmat dan Allah jualah Maha Memberi Rahmat.
Tinggalkan Komen Anda..
assalamualaikum, saya nak tegur pada ayat terakhir surah ada typo pada baris huruf di hujung ولم يكن له . maaf mengganggu harap membantu
Wassalam. oh ya betul, nanti saya buat pembetulan segera.
Terima kasih banyak2 kerana maklumkan.