Ini adalah panduan lengkap niat puasa sunat Zulhijjah dan kelebihannya.
Dalam panduan ini, saya akan menerangkan secara lengkap dan terperinci semua perkara yang berkaitan dengan Puasa Sunat Zulhijjah — termasuk lafaz niat puasa yang dipermudahkan dengan transliterasi Rumi.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.
Pengenalan Puasa Sunat Bulan Zulhijjah
Puasa Sunat Zulhijjah merujuk kepada amalan berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam.
Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Hijrah, dan ia adalah bulan yang sangat mulia kerana mengandungi hari Arafah dan Hari Raya AidilAdha.
Dalam kitaran setahun, Allah SWT memberi kita bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Manakala 10 malam terakhir Ramadan pula adalah malam-malam yang terbaik. Selain itu, Allah SWT turut menghadiahkan 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah yang merupakan hari terbaik sepanjang tahun.
Berpuasa pada hari-hari awal Zulhijjah, terutama pada hari Arafah (9 Zulhijjah), adalah amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari-hari di mana amal soleh lebih disukai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah).”
(HR. Bukhari)
Berpuasa pada hari Arafah, khususnya, memiliki kelebihan besar. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapus dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.”
(HR. Muslim)
Adalah satu kenikmatan dan kurniaan yang sangat besar bagi seorang hamba apabila Allah SWT sentiasa memberikan kita ruang dan peluang bagi melakukan amal dan perubahan dalam diri.
Sepanjang tahun, setiap hari, Allah SWT membuka pintu taubat kepada kita. Lebih daripada itu, Allah SWT turut menganugerahkan ‘hari-hari istimewa’ kepada kita, termasuklah 10 hari pertama Zulhijjah yang merupakan peluang emas untuk meningkatkan amal soleh dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Berpuasa pada awal Zulhijjah adalah amalan sunnah yang sangat dianjurkan bagi umat Islam yang mampu melakukannya.
Niat Puasa Sunat Zulhijjah
Anda boleh berniat puasa sunat Zulhijjah seperti berikut:
Sahaja aku berpuasa sunat pada bulan Zulhijah kerana Allah Taala.”
Nawaitu Souma Syahri Dzil-Hijjati Sunnatan Lillahi Taala
NOTA
Tiada lafaz niat yang khusus bagi berpuasa awal bulan Zulhijah. Seseorang itu dikira berniat apabila terdetik hasrat melakukan satu perbuatan ataupun ibadat.
Bagi sesetengah individu, melafazkan niat membantu menghadirkan ataupun menegaskan niat yang ada dalam hati mereka.
Apakah Hari Puasa Sunat & Hari Haram Puasa Dalam Bulan Zulhijjah?
Bagaimana cara melaksanakan puasa awal Zulhijjah?
Walaupun disebut 10 hari terawal dalam Zulhijah, kita dibenarkan berpuasa dari hari pertama sampai hari kesembilan sahaja. Mengapa?
Sebabnya hari kesepuluh adalah hari raya AidilAdha, yang mana kita dilarang berpuasa.
Seperti mana yang difahami sebelum ini, 10 hari itu adalah peluang menggandakan amalan kebaikan, bukan sekadar berpuasa. Justeru perbanyakkan ibadat lain seperti tilawah, solat malam, bersedekah, bertakbir, bertahlil, dan bertahmid.
Untuk memudahkan pemahaman, ini adalah jadual puasa pada Bulan Zulhijjah:
- 1 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 2 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 3 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 4 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 5 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 6 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 7 Zulhijjah = Puasa sunat awal Zulhijjah ✅
- 8 Zulhijjah = Puasa Sunat Hari Tarwiyah ✅
- 9 Zulhijjah = Puasa Sunat Hari Arafah ✅
- 10 Zulhijjah = Hari Raya AidilAdha (Haram Berpuasa ❌)
- 11 Zulhijjah = Hari Tasyrik (Haram Berpuasa ❌)
- 12 Zulhijjah = Hari Tasyrik (Haram Berpuasa ❌)
- 13 Zulhijjah = Hari Tasyrik (Haram Berpuasa ❌)
Niat Puasa Ganti Dan Sunat Zulhijjah
Bolehkah Puasa Sunat Zulhijjah digabungkan sekali dengan puasa ganti qadha Ramadan?
Jawapannya, Ya boleh. Hukumnya adalah harus.
Maksudnya jika seorang itu berniat puasa qadha atau puasa nazar atau puasa kafarah pada hari awal Bulan Zulhijjah dan berniat sama akan Puasa Sunat Zulhijjah maka hukumnya adalah harus dan kedua-dua puasa fardu dan puasa sunat itu sah.
Berkata Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah:
Harus bagi orang Islam bahawa berniat akan puasa sunat serta niat puasa fardu. Dan berhasil orang Islam itu dengannya atas dua pahala.”
(Darul Ifta Mesir)
Tetapi dia melakukan kedua puasa sunat dan fardu itu secara berasingan maka itu terlebih afdhal.
Niat puasa Zulhijjah dan qadha puasa adalah seperti berikut:
Aku niat berpuasa esok hari sunat Zulhijjah dan qadha puasa ramadhan kerana Allah Taala.
Nawaitu Sauma Ghadin ‘An Qadha’i Ramadhana Wa Sauma Sunnatin Li Shahri Dhil-Hijjati Lillahi Ta’ala.
Dalil Mengenai Puasa Sunat Zulhijjah
Beberapa orang isteri Rasulullah SAW menceritakan:
“Rasulullah SAW berpuasa pada 9 hari (awal) pada bulan Zulhijah.”
(Riwayat Ahmad)
Kelebihan Puasa Sunat Awal Zulhijjah
Secara umumnya, bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan terdapat di dalamnya banyak keutamaan dan kelebihan-kelebihan, terutamanya 10 hari terawal daripadanya.
Kemuliaannya dimuatkan dalam surah al-Fajr:
وَٱلۡفَجۡرِ ١ وَلَيَالٍ عَشۡرٖ ٢
Maksudnya: “Demi waktu fajar (1); Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Maksud 10 malam dalam ayat di atas ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pendapat yang sahih yang dipegang oleh jumhur ahli tafsir dalam kalangan salaf dan selainnya. Ia juga merupakan pendapat yang sahih daripada Ibn Abbas, yang diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan.1
Amalan yang dilakukan pada waktu ini sangat disukai dan dilipatkali gandakan pahala
daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’”
— Riwayat al-Bukhari (969)
Hari-hari berkumpulnya ibadah utama dalam Islam
Imam Ibnu Hajar pula mengatakan di dalam kitabnya Fath al-Bari, sebab yang zahir 10 hari itu dimuliakan di sisi Allah SWT adalah kerana berkumpulnya ibadat-ibadat utama dalam hari-hari itu iaitu solat, puasa, sedekah, dan haji.
Ia tidak berlaku pada waktu yang lain.
Penutup
Saban tahun, banyak peringatan diadakan bagi menyedarkan umat Islam akan kemuliaan 10 hari pertama bulan Zulhijah.
Namun sebahagian umat Islam masih leka dan tidak bersungguh-sungguh memperbanyakkan ibadat dalam tempoh itu.
Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak mensia-siakan peluang yang Allah SWT kurniakan dan berjaya meraih sebanyak mungkin ganjaran pada bulan Zulhijah akan datang.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda!
Nota Kaki
- Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 268 ↩︎
Tinggalkan Komen Anda..