Ini adalalah panduan takbir raya.
Panduan ini disediakan secara lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda bertakbir di pagi raya di rumah masing-masing.
Bantuan audio dan ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam doa tersebut bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga bermanfaat.
Pengenalan
Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih.
Sabda Nabi SAW:
Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”.
– Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.
Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.
Lafaz Takbir Raya
Lafaz takbir raya adalah seperti di bawah ini.
(anda boleh mainkan audio sebagai bantuan)
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..!
Laa ilaaha illallahu wallahu akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allaahu akbar walillaahil hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian
*** Ulang 3 kali ***
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..!
Allah Maha Besar sebesar-besarnya
Dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya
Wasubhaanallaahi bukrataw wa asiillaa
Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang
Tidak ada Tuhan melainkan Allah
kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya
dengan ikhlas untuk agama (Islam)
walaupun dibenci oleh golongan kafir
Laa ilaaha illallallahu wahdah
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa
yang benar janji-Nya
dan yang menolong hamba-Nya
dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin)
dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya
Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allaahu akbar walillaahil hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..!
Laa ilaaha illallahu wallahu akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allaahu akbar walillaahil hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian
Dalil Disunatkan Untuk Bertakbir Pada Pagi Raya
Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?
Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan;
“Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”.
– Riwayat Imam Bukhari
Siapakah yang disunatkan bertakbir?
Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir.
Termasuklah wanita-wanita yang haid atau lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu’, 5/42).
Memahami Dua Jenis Takbir: Takbir Mursal & Takbir Muqayyad
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.
1. Takbir Mursal
Ia juga disebut Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.
Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.
Ia dilakukan terus menerus, berulang ulang tanpa batas bilangan.
Para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
2. Takbir Muqayyad
Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu).
Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu.
Ia dilakukan sebanyak SATU PUSINGAN sahaja.
Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilftri melainkan Takbir Mursal sahaja yang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri
Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW maksudnya:
Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”
— Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.
Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin.
Waktu Untuk Bertakbir
Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.
Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
Hari Raya Aidilfitri
Waktunya Takbir Mursalnya bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.
Hari Raya Aidiladha
Waktunya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga
Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah.
Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Ketika Bertakbir, Adakah Disunatkan Meninggikan Suara?
Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syi’ar agama.
Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;
Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”.
– Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi
Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan.
Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)
Penutup: Tujuan Utama Takbir
Tujuannya melaungkan takbir adalah untuk mengagungkan Allah SWT pada hari-hari yang kita digalakkan oleh Syarak untuk merayakannya.
Inilah syiar dan simbol agama kita yang hendaklah kita sungguh-sungguh meraikannya sebagai tanda komitmen dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Esa.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua.
Tinggalkan Komen Anda..
JZKK Abg Naim untuk maklumat ni. Sangat sangat membantu. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Taqoballahu minna wa minkum
Alhamdulillah, sama-sama