NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap Rumi)

solat jamak

Solat jamak qasar adalah suatu kemudahan dalam Islam yang membolehkan orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) menghimpunkan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu (jamak) serta memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat (qasar).

Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat jamak qasar secara mudah dan lengkap.

Ia merangkumi niat solat jamak qasar, cara mengerjakannya, syarat-syarat dan hukum yang berkaitannya.

Apa yang penting:

Setiap bacaan dipermudahkan dalam transliterasi rumi (jika anda menghadapi kesukaran membaca tulisan arab). Ruangan soal jawab (FAQ) juga disediakan untuk memudahkan anda membuat rujukan berdasarkan situasi.

Semoga memberi manfaat.

Pengenalan Rukhsah Solat

YouTube video

Allah Yang Maha Pemurah tidak membebankan hamba-hambaNya dengan kewajipan yang tidak dapat dipikul.

Apabila kita bermusafir lebih daripada 2 marhalah, kita diberi kelonggaran untuk menjamak (menghimpun) dan mengqasar (memendekkan) solat. Perkara ini dipanggil rukhsah (kemudahan).

Kemudahan disini bermaksud kelonggaran kepada orang yang bermusafir lebih daripada dua marhalah (92km) yang berkemungkinan mengalami masalah untuk singgah mendirikan solat berkali-kali.

Ertinya, kita boleh menjamakkan dua solat serta mengqasarkannya sekali gus.

Solat jamak qasar adalah gabungan dua rukhsah (kemudahan) yang diberikan kepada umat Islam ketika bermusafir.

  • ‘Jamak’ membolehkan penghimpunan dua waktu solat fardu (contohnya, Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak) dan dilaksanakan dalam satu waktu solat.
  • ‘Qasar’ pula adalah pengurangan bilangan rakaat dalam solat fardu dari empat rakaat kepada dua rakaat, khusus untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak.

Apabila digabungkan, seorang musafir boleh menghimpunkan dua waktu solat dan pada masa yang sama memendekkan bilangan rakaatnya.

Maksud Jamak

Jamak bermaksud menghimpunkan. Dari segi bahasa, jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak. Dalam hal solat, ia bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu.

Maksud Qasar

Qasar bermaksud memendekkan solat. Contohnya daripada empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat ialah Solat Isyak, Zohor dan Asar. Solat Qasar juga boleh digabungkan dengan Jamak, iaitu dengan memendekkan jumlah rakaat serta menghimpun solat-solat tersebut.

Maksud Solat Tamam

Solat tamam merujuk kepada melaksanakan solat dengan lengkap tanpa mengambil rukhsah (kemudahan) qasar. Ini bermakna melaksanakan solat dengan bilangan rakaat yang penuh seperti yang telah ditetapkan, contohnya empat rakaat untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak apabila seseorang itu tidak dalam keadaan musafir.

Solat tamam adalah bertentangan dengan solat qasar, di mana dalam solat qasar, bilangan rakaat akan dipendekkan menjadi dua rakaat bagi solat-solat tertentu ketika bermusafir.

Ringkasan Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar

  • Solat Jamak Qasar dimulakan dengan niat dalam hati sebelum takbiratul ihram: “Sahaja aku solat fardu (Zohor/Asar atau Maghrib/Isyak) qasar dua rakaat jamak (takdim/takhir) kerana Allah Taala”.
  • Bacaan dalam Solat. Bacalah surah al-Fatihah diikuti dengan surah lazim yang lain pada setiap rakaat.
  • Rukuk dan Sujud. Lakukan rukuk dan sujud dua kali dengan tuma’ninah.
  • Rakaat Kedua. Ulangi bacaan dan gerakan seperti rakaat pertama.
  • Tahiyyat Akhir dan Salam. Duduk untuk tahiyyat akhir setelah rakaat kedua dan akhiri solat dengan salam.
  • Jika melakukan jamak takdim, solat kedua harus segera dilakukan dengan niat jamak setelah solat pertama. Untuk jamak takhir, niatkan untuk menangguh solat waktu pertama ke dalam waktu solat kedua.

Niat Solat Jamak

Niat solat jamak adalah berniat untuk menggabungkan dua waktu solat fardu dalam satu waktu. Niat ini biasanya dilakukan di dalam hati semasa takbiratul ihram dari solat yang hendak dijamak.

Sebagai contoh, ketika seorang musafir ingin menjamak Solat Zohor dan Asar, dia akan berniat untuk Solat Zohor kemudian terus dengan Solat Asar dalam waktu Zohor atau sebaliknya, bergantung kepada sama ada dia jamak takdim atau jamak takhir.

Di bawah ini disediakan panduan niat solat Jamak & Qasar berserta cara langkah demi langkah untuk mengerjakan solat jamak & qasar (takdim dan takhir) untuk setiap jenis solat fardu:

Niat Solat Jamak Zohor dan Asar (JAMAK TAKDIM)

Cara solat Jamak Takdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1. Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.

2. Lafaz niat solat jamak takdim bagi solat Zohor adalah seperti berikut:

Niat Solat Jamak Takdim Zohor
niat solat jamak zohor

  Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.

3. Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

4. Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

5. Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk solat fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat.

Terus bangun selepas memberi salam
6. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat)

7. Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Takdim Asar

  Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.

8. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

9. Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

10. Dengan demikian, kita tidak perlu lagimengerjakan solat fardu Asar di waktu Asar nanti.

Niat Solat Jamak Asar Dan Zohor (JAMAK TAKHIR)

Cara solat Jamak Takhir Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1. Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Zohor di waktu Asar nanti.

2. Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir di waktu Asar nanti”. 

3. Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Zohor, jamak tersebut tidak sah.

4. Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Zohor dahulu.

5. Apabila masuk waktu Asar, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Asar dahulu.

6. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Asar

  Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala   

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

7. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

8. Kerjakanlah solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

9. Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardu Zohor tanpa membaca wirid, doa, atau solat sunat.

Terus bangun untuk solat kedua selepas memberi salam
10. Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.

11. Lafaz niat untuk solat fardu zohor:

Niat Solat Jamak Takhir Zohor

  Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala   

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

12. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

13. Kerjakanlah solat fardu Zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

Niat Solat Jamak Maghrib dan Isyak (JAMAK TAKDIM)

Cara solat Jamak Takdim Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1. Setelah masuk waktu maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.

2. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya (lafaz niat tidak wajib, yang wajib adalah niat semasa takbiratul ihram):

Niat Solat Jamak Takdim Maghrib

  Usolli Fardol Maghribi Salasa Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala   

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.

3. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

4. Kerjakan solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

5. Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardu Isyak tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat.

Terus bangun untuk solat kedua selepas memberi salam
6. Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.

7. Lafaz niat untuk solat fardu Isyak:

Niat Solat Jamak Takdim Isyak

  Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.

8. Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

9. Kerjakanlah solat fardu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

10. Dengan demikian, kita tidak perlu mengerjakan solat fardu Isyak di waktu Isyak nanti.

Niat Solat Jamak Isyak Dan Maghrib (JAMAK TAKHIR)

Cara solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1. Setelah masuk waktu Maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Maghrib di waktu Isyak nanti.

2. Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir di waktu Isyak nanti”.

3. Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Maghrib, jamak tersebut tidak sah.

4. Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Maghrib dahulu.

5. Apabila masuk waktu Isyak, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Isyak dahulu.

6. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Isyak

  Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jama’a Takhirin Lillahi Taala   

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

7. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

8. Kerjakanlah solat fardhu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

9. Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardu maghrib tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat.

Terus bangun untuk solat kedua selepas memberi salam
10. Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.

11. Lafaz niat untuk solat fardu Maghrib:

Niat Solat Jamak Takhir Maghrib

  Usolli Fardol Maghribi Salasa Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala

12. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

13. Kerjakanlah solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk Maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

Niat Solat Jamak Hari Jumaat

Cara solat Jamak Hari Jumaat adalah seperti berikut:

1. Orang bermusafir yang memulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh pada hari jumaat tidak diwajibkan solat Jumaat.

2. Walaupun begitu, jika kita hendak melakukan solat Jumaat dan asar secara jamak, ianya sah.

3. Menurut mazhab Syafi’e, harus dijamakkan dengan jamak takdim sahaja dan tidak harus dengan  jamak takhir kerana solat Jumaat tidak harus dilewatkan dari waktunya.

4. Imam al-Khatib asy-Syarbini di dalam al-Iqna’ berkata: “Jumaat adalah seumpama Zohor dalam jamak taqdim. Ditegah jamak takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya.

5. Lakukan solat jumaat seperti biasa. Niatnya adalah:

Niat Solat Fardu Jumaat
lafaz niat solat fardu jumaat

  Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala

6. Setelah selesai memberi salam, segera bangun semula untuk mengerjakan solat qasar asar.

7. Niat solat qasar asar adalah seperti niat-niat solat qasar lain di atas.

Niat Jamak Takdim Solat Asar

  Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.

8. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

9. Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

10. Dengan demikian, kita tidak perlu mengerjakan solat fardu Asar di waktu Asar nanti.

Bagaimana Perkiraan Sebagai Musafir?

doa menaiki kenderaan

Permulaan musafir dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melepasi sungai, parit, kota sempadan atau melalui kawasan yang tidak ada bangunan lagi.

Akhir musafir ialah apabila kita memasuki semula kawasan permulaan musafir tadi.

Jarak Solat Jamak

  • Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang daripada 60 batu atau 92 kilometer (km).
  • Antara dua sembahyang jamak tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. (Solat jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat)
  • Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna (tamam).
  • Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan dia bertolak tadi, selesailah jamak dan qasarnya. Dia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara qasar dan jamak.

Berapa Hari Boleh Solat Jamak?

  • Apabila seseorang itu bermusafir dan berminat berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih maka putuslah pemusafirannya, tapi sekiranya dia hendak berhenti di situ selama tiga hari maka bolehlah melakukan jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar.
tempoh solat jamak qasar
  • Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada disitu selama tiga hari, tetapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.
  • Apabila seseorang itu bermusafir kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan sembahyang jamak dan qasar.
  • Bagi mereka yang hendak mengerjakan jamak takhir, disunatkan untuk berniat lebih awal. Jangan sampai waktu akhir baru berniat.
  • Perjalanan seseorang musafir itu hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuan. Jika dia tidak tahu ke mana diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh melakukan jamak atau qasar.
  • Kemudian sembahyang jamak (jamak sahaja) juga diberikan kepada ahli kariah yang ingin mengerjakan solat berjamaah apabila turun hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang biasanya lecah dan becak dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat dan antara kedua-dua dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua

Syarat Solat Jamak

solat sunat zuhur

Sebelum melakukan jamak, ada beberapa syarat yang harus kita patuhi. Syarat itu adalah:

Syarat Solat Jamak Takdim

  1. Hendaklah dimulai solat pada waktunya yang terdahulu ertinya lakukan zuhur daripada asar dan maghrib daripada isyak
  2. Niat jamak pada solat yang pertama pada permulaan takbiratul ihram atau di tengah-tengah solat selama mana ia belum memberi salam.
  3. Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua. Oleh itu, antara kedua-kedua tidak boleh diselangi oleh pekerjaan atau perbuatan lain. Sekiranya diselangi pekerjaan lain yang memakan masa selama dua rakaat solat, maka hendaklah solat pada waktunya nanti. Sekiranya diselangi iqamat dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal
  4. Berkekalan musafirnya sehingga takbir solat yang kedua, tetapi tidaklah disyaratkan sehingga selesai solat.

Syarat Solat Jamak Takhir

  1. Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
  2. Berkekalan musafirnya sehingga selesai kedua-dua solat.

Syarat Solat Qasar

solat dhuha

Syarat-syarat solat qasar adalah:

  1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
  2. Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah
  3. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Sebab itu tidak dibolehkan qasar solat qada dalam musafir bagi solat yang ditinggalkan semasa dalam kawasan tempat kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan dalam musafir.
  4. Hendaklah diniatkan qasar dalam takbiratul ihram. Contoh lafaz niat bagi solat zohor: Sahaja aku solat fardu zohor dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala
  5. Tidak boleh berimam dengan orang yang bersolat tamam (sempurna).
  6. Hendaklah tempat yang dituju itu ditentukan. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
  7. Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
  8. Dia tahu bahawa orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar

Perbezaan Jamak Dan Qasar

Solat jamak dan qasar adalah dua rukhsah (kemudahan) yang berbeza dalam ibadah solat bagi orang yang bermusafir:

  1. Solat Jamak mengizinkan penggabungan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu. Contohnya, solat Zohor dan Asar boleh digabung dan dilaksanakan sama ada pada waktu Zohor atau Asar.
  2. Solat Qasar adalah memendekkan bilangan rakaat dalam solat. Ia melibatkan pengurangan bilangan rakaat dari empat kepada dua untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak bagi orang yang bermusafir.

Solat jamak sering dikaitkan dengan solat qasar bagi memudahkan pelaksanaan solat ketika bermusafir, tetapi kedua-duanya mempunyai definisi dan aplikasi yang berbeza.

Ringkasan perbezaan antara solat jamak dan qasar adalah seperti berikut:

QASARJAMAK
Qasar dibolehkan pada musafir yang panjang.Jamak terdapat dua pendapat iaitu ada pendapat yang membolehkan musafir yang tidak mencapai 2 marhalah (lebih kurang 86 km).
Melakukan qasar adalah lebih afdal.Ada qaul yang berpendapat meninggalkan jamak adalah lebih afdal.
Tidak boleh melaksanakan solat dasar di belakang orang yang bersolat tamam (sempurna).Solat jamak boleh dilakukan di belakang orang yang tidak melakukan solat jamak.
Wajib niat qasar ketika takbiratulihram.Niat jamak boleh dilakukan selepas takbiratulihram.
Solat qasar tidak boleh dilaksanakan dalam perjalanan yang tidak bermusafir.Solat jamak boleh dilaksanakan pada zaman bermukim disebabkan hujan yang membasahi baju dan sakit yang membebankan.

Perbincangan ini kesemuanya berkaitan dengan ilmu furu’ al-fiqhiyyah yang diutarakan oleh Imam al-Suyuti dalam perkara-perkara yang nampak serupa tetapi tidak sama.

Solat Jamak Yang Dibenarkan Selain Dari Musafir

Solat jamak selain dilakukan ketika musafir, ia juga boleh dilakukan ketika ada halangan atau keuzuran.

Contohnya disebabkan sakit, hujan dan kesibukan yang melampau.

Contoh orang yang dibenarkan menjamakkan solat termasuk:

  1. Doktor yang sedang membedah pesakit. Contohnya waktu pembedahan mengambil masa yang lama.
  2. Pesakit yang menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti rawatan hemodialisis dan seumpama dengannya.
  3. Perempuan yang menaiki bas dalam satu perjalanan jauh, apabila khuatir bas yang ditumpangi tidak berhenti ketika waktu solat atau dia bimbangkan keselamatan dirinya apabila turun dari bas.
  4. Wanita yang mengalami istihadah (keluar darah penyakit) sehingga menyukarkannya solat.
  5. Orang yang takut kepada musuh seperti dalam medan perang.
  6. Bidan yang bimbang kelewatannya akan menyebabkan kematian anak yang dilahirkan atau mendatangkan mudarat kepada ibu yang mahu melahirkan.

Soal Jawab Berkaitan Solat Jamak Qasar (FAQ)

Berikut dikumpulkan soalan-soalan yang sering ditanyakan oleh para pembaca. Ia amat berguna untuk anda yang memerlukan jawapan yang pantas dan lengkap.

Dimanakah Tempat Permulaan Qasar Bagi Orang Yang Hendak Musafir?

Seseorang musafir hanya boleh mengqasarkan solat apabila telah keluar dari kawasan permukimannya (keluar dari sempadan kariah tempat tinggalnya).

Jika dia mengqasarkan solat semasa hendak keluar dari rumah atau belum keluar dari sempadan kariah, maka tidak sah solat yang diqasarnya.

Bolehkah Melaksanakan Solat Qasar dan Jamak Semasa Berada di Kampung Sendiri?

Pertama

Jika kampung tersebut telah menjadi tempat mukimnya seperti terdapat rumah miliknya, bilik, atau katil miliknya, meskipun rumah pusaka yang jarang diduduki atau rumah yang telah dihibahkan kepadanya dan masih diduduki orang tuanya – maka tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar.

Ini kerana kampung tersebut adalah watan asal baginya, iaitu dia tidak dianggap sebagai seorang musafir ketika berada di kampung tersebut (seperti berada di rumah atau di kampung sendiri atau seperti tidak bermusafir ke mana-mana).

Kedua

Jika dia telah bermastautin atau bermukim di tempat lain (mencari kehidupan dan membina rumah tangga sendiri) dan hanya pulang bercuti atau berziarah sahaja, walaupun tempat yang dikunjungi itu adalah kampung asalnya, maka keharusan qasar diberikan berdasarkan tempoh keberadaan / permukiman di tempat tersebut.

Jika dia menetap selama tiga hari penuh di situ, statusnya masih seorang musafir dan diberi keharusan  melaksanakan solak secara jamak dan qasar.

Jika dia menetap lebih tiga hari atau empat hari penuh atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula), maka status musafirnya telah hilang dan dia menjadi orang yang telah bermukim (tidak boleh melakukan solat secara jamak dan qasar)

Bolehkah Melakukan Jamak Qasar Ketika Berada di Kampung Mertua?

Suami dan isteri sama dari segi hukum musafirnya.

Jika isteri berada di kampung suami (mertua) dan jika pada ketika itu suami diharuskan solat jamak dan qasar, isteri juga akan mengambil hukum yang sama, iaitu diharuskan solat jamak dan qasar walaupun dia bukan berada di kampung kedua-dua ibu bapanya.

Jika Suami Pulang Ke Tempat Isteri Bolehkah Dia Jamak Qasar Solat Jika Tidak Sampai Empat Hari?

Sekiranya suami dan isteri tinggal berjauhan kerana sebab-sebab yang diharuskan syarak, umpamanya terpisah disebabkan tempat kerja yang berlainan, sekiranya suami pulang ke tempat isteri atau sebaliknya dan jarak antara kedua-dua pihak diharuskan qasar solat ketika dalam perjalanan sahaja.

Mereka tidak dibenarkan qasar setelah sampai, kerana kedua-dua pihak telah bertukar status menjadi orang yang bermukim. Ini kerana tempat tinggal suami juga adalah dikira tempat tinggal isteri, begitu juga sebaliknya. Mereka dikira mempunyai dua watan menurut Prof. Dr. Wahbah.

Begitu juga jika suami memiliki ramai isteri dan isteri-isteri tersebut tinggal berjauhan darinya melebihi dua marhalah.

Bolehkah Orang Yang Sentiasa Dalam Keadaan Musafir Melakukan Jamak Qasar?

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar) orang yang sentiasa berada dalam musafir perlu dilihat dari dua sudut.

Sama ada mereka membawa bersama anak isteri dan keperluan hidup mereka di atas kapal sepanjang masa (seolah-olah kenderaan adalah rumah kediaman mereka) atau mereka sentiasa bermusafir tetapi tidak menjadikan kapal atau kenderaan sebagai rumah mereka.

Jika mereka membawa bersama anak dan isteri serta keperluan hidup di atas kapal tersebut (seperti makanan dan pakaian) dan menjadikan kapal atau kenderaan yang dinaiki sebagai rumah kediaman, maka mereka adalah seumpama orang yang bermukim.

Tidak harus mengqasar solat dan tidak harus berbuka puasa kerana bermusafir ketika berpuasa kecuali kerana mudarat.

Manakala jika mereka yang kerjanya sentiasa di atas kapal dan sentiasa bermusafir tetapi tidak membawa bersama di atas kapal itu anak isteri serta keperluan hidup mereka, sebaliknya mereka mempunyai watan (tanah air yang menjadi tempat tinggal), diharuskan qasar solat  setiap kali mereka memulakan perjalanan.

Pemandu bas ekspress boleh menqasarkan solat mereka setiap kali mereka bermusafir untuk memandu bas.

Bolehkah Melakukan Solat Sunat Qabliyyah & Ba’diyyah Semasa Musafir?

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah, Ijma’ para fuqaha mengenai keharusan solat sunat rawatib (qabliyyah dan ba’diyyah) dalam musafir bagi mereka yang hendak melakukakannya.

Akan tetapi yang afdal adalah melakukannya sekali sekala sahaja jika mahu, dan meninggalkan sekali sekala sahaja jika mahu.

Rasulullah SAW tidak melakukan solat sunat rawatib dalam musafir kecuali dua rakaat sebelum fajar dan solat sunat witir.

Adapun solat sunat sebelum zohor dan selepasnya atau selepas maghrib, tiada yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukannya ketika dalam musafir.

Apakah Keharusan Jamak Untuk Orang Bekerja Luar Kawasan Outstation?

Seorang pegawai yang outstation kerana sesuatu tugas tertentu, keharusan jamak dan qasar adalah mengikut tempoh lamanya dia berada di tempat tersebut.

– Jika tempoh tugas tersebut selama tiga hari, diharuskan qasar.
– Jika empat hari, tidak diharuskan qasar.

Bolehkah Solat Jamak Jika Memiliki Rumah Di Kawasan Tempat Kerja?

Seseorang yang membeli rumah di suatu tempat, tetapi belum diduduki.

Lokasi rumah tersebut adalah tempat dia bekerja dan dia sentiasa berada disitu kerana bekerja.

Setiap kali ke tempat tersebut dia hanya tinggal di hotel atau dia menumpang di rumah rakan (walaupun berada dalam kawasan rumah yang dibelinya), dia tetap dianggap bermukim.

Oleh itu tidak dibenarkan solat jamak.

Bolehkah Solat Jamak Jika Menziarahi Rumah Milik Sendiri Yang Tidak Didiami?

Seseorang yang telah membeli rumah di suatu tempat, tetapi tidak didiaminya.

Sebaliknya rumah tersebut dicadangkan sebagai rumah yang akan didudukinya pada masa akan datang (umpamanya setelah dia pencen atau apabila dia berpindah tempat kerja).

Jika setiap kali dia ke lokasi rumahnya itu bukan kerana dia bekerja di situ (contohnya hanya berziarah sahaja), maka dia dianggap musafir.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Berulang-alik Ke Tempat Kerja Yang Jauh?

Seseorang yang berulang-alik ke tempat kerja sejauh dua marhalah dari rumahnya pada setiap hari, sepanjang perjalanan ke tempat tersebut dia dianggap musafir.

Tetapi sepanjang berada di tempat kerja, dia dianggap mukim.

Keharusan solat qasar diberikan setiap kali dia berada dalam perjalanan ke tempat kerja sahaja, walaupun setiap hari.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Pulang Ke Rumah Sewa?

Seseorang tinggal di suatu tempat atau rumah (walaupun hanya menyewa, pinjam atau menumpang), jika rumah tersebut adalah dianggap tempat tinggal yang tetap baginya bersama keluarganya dan akan pulang ke situ setelah bermusafir atau keluar bekerja, dia dianggap bermukim di situ.

Bolehkah Solat Jamak Jika Pulang Ke Rumah Keluarga Sekali-Sekala?

Seseorang yang tinggal di sebuah rumah bersama keluarganya, walaupun dia hanya pulang dan tinggal di rumah itu pada setiap hujung minggu sahaja atau berada di situ pada hari cuti atau hari-hari tertentu sahaja.

Maka dia dianggap mukim ketika berada di rumah itu.

Bolehkah Solat Jamak Jika Saya Berpindah Ke Tempat Baru?

Seorang yang berpindah ke tempat lain kerana pekerjaannya, tempat baru itu menjadi tempat mukim yang baru baginya, sama ada dia memiliki rumah di situ ataupun tidak.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Untuk Menonton Perlawanan Bola Sepak?

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya dan tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya daripada batasan keharusan itu seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bola sepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat.

Terlupa Niat Jamak Takhir Sehingga Habis Waktu Solat Pertama

Sekiranya seseorang hendak melakukan jamak takhir, maka dia mestilah berniat jamak takhir semasa dalam waktu pertama.

Sekiranya seseorang tidak berniat jamak takhir disebabkan terlupa, menurut Imam al-Ghazali dia tidak berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dimaafkan oleh syarak.

Orang yang lupa tidak dihukum atas kelupaan itu. Dia tetap boleh menunaikan solat secara jamak takhir.

Sekiranya dia tidak berniat dengan sengaja, maka dia telah melakukan satu maksiat meninggalkan solat dan solat yang ditinggalkan itu menjadi tanggungan ke atasnya dan hendaklah dia mengqada semula dengan segera.

Bagaimana Jika Tidak Tahu Imam Solat Jamak Qasar atau Solat Biasa?

Kita boleh mentaklikkan niatnya dengan berkata, “Sekiranya imam ini berniat tamam, maka aku solat tamam. Sekiranya dia berniat qasar maka aku solat qasar”

Atau berniat tamam dan terus solat bersama imam. Jika didapati imam solat qasar, hendaklah ditambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam (tambah rakaat yang tidak cukup bagi melengkapkan bilangan rakaat solat seperti makmum yang masbuk)

Terlupa Sedang Solat Qasar Sehingga Bangun Ke Rakaat Ketiga

Jika dia teringat yang dia telah tertambah rakaat ketiga, dia hendaklah segera turun dan duduk semula ke rakaat kedua dan sujud sahwi pada akhir solat sebelum memberi salam kerana terlupa.

Solat Jumaat Atau Solat Zohor Yang Lebih Afdal Dilakukan Semasa Musafir?

Seseorang yang bermusafir diberi peluang untuk memilih antara kedua-duanya, tetapi yang lebih afdal baginya adalah melakukan Solat Jumaat memandangkan pahala dan ganjaran serta kelebihan yang ada padanya.

Bacaan Perlahan (sirr) Atau Kuat (jahar) Dalam Solat Jamak Qasar?

Sama seperti solat tamam, jika solat waktu malam maka dijaharkan (dibaca nyaring), jika solat waktu siang maka disirrkan (dibaca perlahan)

Adakah Dibenarkan Solat Jamak Qasar Jika Singgah Sebentar Di Rumah Tempat Bermukim Tanpa Niat Untuk Tinggal Di Situ?

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, dia tidak harus mengqasar solat dan hendaklah solat secara tamam walaupun dia sekadar berhenti sebentar untuk memenuhi keperluannya, kerana tempat tersebut adalah tempat yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk bermukim dan sebab untuk qasar (iaitu bermusafir) telah hilang ketika berada di situ.

Contohnya, Ali menetap bersama keluarganya di Kuantan tetapi bekerja di Subang. Ali juga ada menyewa sebuah rumah di Bangsar.

Dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang, Ali boleh melakukan qasar solat, tetapi jika Ali singgah sebentar di rumah sewanya di Bangsar, maka dia telah hilang kelayakan untuk melakukan qasar kerana dia telah tiba ke tempat bermukim yang kedua baginya (watan kedua)

Bolehkah Solat Jamak Takdim Dipisahkan Dengan Tempoh Waktu Yang Lama?

Syarat jamak takdim adalah muwalat (berturut-turut).

Jika jarak waktu antara dua solat itu pendek (berdasarkan adat kebiasaan atau uruf), ia tidak membatalkan jamak.

Contohnya jangka masa yang diambil untuk azan, iqamat, bersuci, mengambil wuduk, mencari air yang tidak lama dan sebagainya.

Bagaimana contoh jarak waktu yang membatalkan muwalat?

Contohnya seperti pengsan, lupa yang lama (dari segi uruf) dan sebagainya. Ada yang meletakkan tanda aras sekadar tidak lebih daripada dua rakaat solat.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Dengan Tujuan Maksiat?

Tidak boleh dan tidak sah.

Perjalanan bertujuan maksiat seperti menuju ke suatu tempat untuk merompak, mencari perempuan simpanan, bermain judi di rumah perjudian dan sebagainya.

Termasuk juga perjalanan maksiat bagi isteri nusyuz yang melarikan diri daripada suaminya.

Apakah Ciri-Ciri Sakit Yang Membolehkan Jamak Solat?

Sakit yang mengharuskan jamak solat ialah sakit yang menimbulkan kesulitan dan kepayahan untuk menunaikan solat pada setiap waktu. Contohnya sakit lumpuh, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis yang mengambil keseluruhan masa salah satu waktu solat.

Bolehkah Orang Tua Melakukan Solat Jamak Akibat Terlalu Uzur?

Mungkin orang tua seperti ini sukar untuk berwuduk atau bertayamum dengan kerap. Walau bagaimana pun, dia tidak harus menjamakkan solat.

Yang boleh dilakukan adalah mengerjakan fardu solat yang pertama pada akhir waktu dan seterusnya melakukan fardu solat yang kedua pada awal waktu. Cara solat seperti ini dinamakan jamak suuri (جمع صوري)

Bolehkah Para Doktor dan Jururawat Melakukan Solat Jamak Qasar?

Doktor dan jururawat adalah harus menjamakkan solat sekiranya keseluruhan masa bagi salah satu solat fardu itu digunakan sepenuhnya di dalam bilik bedah / merawat kecemasan yang kritikal (yakni melibatkan nyawa).

Mereka boleh melakukan solat secara jamak takdim atau jamak takhir mengikut mana satu yang sesuai.

Kelonggaran ini hanya untuk jamak sahaja tanpa qasar.

Bolehkah Qada’ Solat Secara Qasar Semasa Dalam Musafir?

Diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara qasar, dengan syarat dia masih dalam keadaan musafir.

Adapun jika dalam keadaan mukim, maka dia perlu qadha secara penuh.

Begitu juga jika dia meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan mukim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah qadha secara penuh.

Penutup: Islam Itu Agama Yang Memudahkan

Solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama.”

– HR Baihaqi

Begitulah pentingnya solat dalam Islam.

Walau di mana jua kita berada, solat mesti ditunaikan.

Disebabkan itu lah Islam memudahkannya agar kita tidak terlepas daripada menunaikan tanggungjawab kita.

Semoga panduan ini dapat membantu memudahkan anda di dalam perjalanan.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah: Bab Solat Musafir — Ustaz Abu Usamah Mohd Hanifiah Haji Hussin
  2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/289
  3. Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
  4. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
  5. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
  6. Ensiklopedia Solat: Solat Musafir — TV3 Official [Pautan]
  7. 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
  8. Panduan Solat Jamak & Qasar Untuk Para Musafir — Ust Zulkarnain Dollah
  9. Solat Ketika Keuzuran – Syeikh Ahmad Faisol Haji Omar
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

515 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Puan Ct
Puan Ct
27 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz..ada kekeliruan tentang solat jamak..
sewaktu pulang dari teambuilding untuk balik ke rumah,bolehkah solat jamak takhir(zohor/asar)jika perjalanan untuk sampai ke rumah dalam 40km
lokasi perak ke banting,bas berhenti di Shah Alam untuk solat jamak,
terdapat percanggahan diantara org2 di dalam bas..sepatutnya berhenti ditapah untuk solat jamak,tapi ada yg suruh teruskan sampai ke Shah Alam..sedangkan Shah Alam ke Banting cuma 40km

Puan Min
Puan Min
Reply to  Muhamad Naim
25 hari yang lalu

Alhamdulilah…terima kasih ustaz atas penjelasan yg diberi..baru faham,semuga Allah membalas segala kebaikan ustaz,kerana byk memberi ilmu kepada kami

Arif Hazim
Arif Hazim
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Nak tanya niat tu wajib ke cakap rakaat brp dan kerana Allah Ta’ala? Boleh ke tak niat mcm ni (contoh) : Sahaja aku solat fardhu Zuhur qasar jamak takdim.

yusrizal
yusrizal
2 bulan yang lalu

assalam.saya tingal di selangor..saya balik ke rumah mak mertua selama 6 hari di johor..soalan saya selama 6 hari saya di johor..brp hari kan saya boleh lakukan solat jamak@qasar???..terima kasih..assalam..

Ijalzan
Ijalzan
5 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz sebelum Kita memulakan perjalanan jauh adakah Kita perlu berniat utk solat qasar jamak atau Kita boleh terus berniat ketika solat setibanya sampai ke destinasi kita

Nurul Izzah
Nurul Izzah
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz..sy nak tnya sy berada diantara sempadan malaysia dan thailand..jikalau sy msuk sempadan thailand contohnya di sungai Go-lok adakah dibolehkan jamak

Nurul Izzah Abdullah
Nurul Izzah Abdullah
Reply to  Muhamad Naim
6 bulan yang lalu

Mcm mana nk kira 2 marhalah tu ustaz

Nurul Izzah Abdullah
Nurul Izzah Abdullah
Reply to  Muhamad Naim
6 bulan yang lalu

Terima kasih ustaz..semoga Allah permudahkan segala urusan

Khairuddin
Khairuddin
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum wbt, saya nak tanya ustaz berkenaan dengan solat jamak qasar:

Saya ni orang Tanjung Karang, bekerja di Kuala Selangor tapi bekerja sebagai runner ambil barang hantar barang di kawasan sekitar Kuala Lumpur. Boleh dikatakan tiap-tiap hari bekerja saya berulang-alik ke sana. Bolehkah orang macam saya mengerjakan solat jamak qasar bagi orang yang selalu berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari bekerja? Terima kasih saya ucapkan.

Jamil
Jamil
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum tuan..maaf sy ingin bertanya..sy masih tgh belajar..kalau sy dlm keadaan musafir tapi sy buat solat tamam penuh utk setiap solat waktu boleh ke?.. terima kasih

Muzzamil
Muzzamil
9 bulan yang lalu

Assalamua’laikum ustaz…terima kasih byk membantu kami terutama skali bab solat ketika kita sdg ‘bermusafir’ sgt membantu Alhamdulillah dipermudahkan Allah urusan dr Kuching Sarawak ke KL & pth balik ke Kuching tempoh hari…drpd ‘tak tahu jd ambil tahu & wajib tahu’ sentiasa belajar & perbaiki diri…doakan kami ya ustaz trus istiqomah ke jln Allah…semoga Allah redha 🤲🏼…terus kongsi ilmu yg bermanfaat ya ustaz…salam

Last edited 9 bulan yang lalu by Muzzamil
Aleysa
Aleysa
9 bulan yang lalu

Assalamulaikum ustaz,

Sekiranya saya bekerja oustation (luar negara) selama 2 minggu tapi tapi berlainan tempat (seminggu di negara Indonesia & kemudian berpindah seminggu di negara Korea pula) sebelum pulang ke Malaysia, bolehkah saya berterusan jamak qasar selama 2 minggu atau hanya boleh qasar jika memerlukan ketika saya bertugas? Apakah nasihat ustaz utk situasi saya?

Mija
Mija
10 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz,
Sekiranya sy jamak qasar tapi terlupa & terbangun utk rakaat ketiga. Sedar kesilapan pada pertengahan rakaat ketiga.

1. Wajar ke sy terus hentikan bacaan Al-Fatihah/surah lazim ketika pertengahan bacaan? (tak habis baca, terus stop bila teringat)

2. Dah teringat, boleh ke kalau sy terus angkat tangan takbir & duduk tahiyat akhir habiskan solat; atau sy perlu ikut rukun satu persatu dgn niat ini rakaat akhir? (rukuk iktidal sujud seperti biasa)

Sy mohon pencerahan, ustaz. Terima kasih. =)

Mija
Mija
Reply to  Muhamad Naim
10 bulan yang lalu

Alhamdulillah. Terima kasih banyak2 ustaz untuk penerangan yang jelas. Sy cukup suka jadikan website ustaz sebagai panduan. Banyak nota2 ringkas (untuk rujukan sendiri) sy juga berpandukan akuislam. Sebab bagi sy, perkongsian ustaz detail, straightforward & mudah difahami. Syukur Alhamdulillah ustaz. Terima kasih sangat2. Mintak halal ye. Hihi