Apa yang perlu dilakukan jika baru sedar kurang rakaat selepas beri salam?
Adakah perlu solat semula?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANJika selepas dari memberi salam baru seorang itu tersedar yang dia kurang satu rakaat maka bagaimanakah hendak dilakukan?
JAWAPAN
Kalau seorang yang solat telah memberi salam kemudian dia teringat kekurangan rakaat dalam solatnya itu maka jika tidak lama jarak antara salam dan teringatnya itu maka hendaklah dia masuk semula ke dalam solat dan melakukan rakaat yang tinggal kemudian sunat dia melakukan sujud sahwi dua kali dan memberi salam sekali lagi.
Jika sudah lama jarak masa antara salam dan teringatnya itu maka wajib diulangi solat itu dari awal.
Tersebut pada kitab Hilyatul Ulamak :
Dan jika seorang itu lupa satu rakaat dari rakat-rakaat sembahyang dan teringat selepas salam maka jika belum lama perceraiannya hendaklah dia kerjakan rakaat itu dan lakukan atas solatnya.
Dan jika sudah lama perceraiannya maka hendaklah dia mulakan semula (dari awal).
Dan pada kadar lama mana itu ada beberapa pendapat.
Salah satu pendapat itu disebut oleh Abu Ishaq bahawa jika berlalu kadar masa serakaat maka ia dikira lama.
Dan sungguhnya telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie di dalam kitab Al-Buwaithi.”
Dan setengah fuqahak mengkadarkan jarak yang dikira lama itu ialah apabila dilihat sebagai panjang perceraiaannya pada uruf.
Dan disyaratkan keharusan menyambung semula rakaat yang tertinggal itu hendaklah dia belum melakukan perkara yang membatalkan selepas salam dan belum berhadas.
Ada pun jika dia telah melakukan perkara yang membatalkan selepas salam seperti makan atau minum atau telah berhadas maka tidak harus lagi disambung rakaat tersebut tetapi wajib dimulakan solat dari awal.
KESIMPULAN
Jika selepas salam dia teringat ada tertinggal satu rakaat atau lebih maka hendaklah dia bangun dan lakukan rakaat yang tinggal itu.
Jika sudah lama selepas salam sekira-kira sampai masa yang muat satu rakaat solat maka hendaklah dia lakukan semula sembahyangnya itu dari awal.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..
Saya salam di rakaat kedua dan teringat kurang satu rakaat solat maghrib. Dan saya bangun ulang rakaat kedua Dan tahyat awal Dan saterusnya rakaat ketiga serta sujud sahwi dan Salam. Adakah sah solat saya.
Wassallam.
Waalaikumsalam.
Ya sah.
Dalam situasi di mana anda teringat bahawa anda terkurang satu rakaat dalam solat Maghrib ketika sedang duduk untuk tahiyyat awal pada rakaat kedua, tindakan yang anda ambil adalah betul menurut Mazhab Syafie.
Anda perlu bangun untuk mengulang rakaat yang terkurang itu, kemudian sambung dengan tahiyyat awal, rakaat ketiga, dan seterusnya melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam akhir. Sujud sahwi di sini bertujuan untuk memperbaiki kesalahan yang tidak sengaja terjadi dalam solat.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum, saya selalu was was sama ada ini rakaat ketiga atau keempat , kalau saya tambah rakaat sebab saya was was , ataupun kadang saya yakin dah 4 rakaat tapi risau takut kurang rakaat sebab saya cam jenis benda kejap je lupa , saya gi tambah juga lagi satu rakaat , adakah sah solat saya , sebab lepas itu selalu macam dah terbuat 5 rakaat dan sebagainya tapi saya buang was was 5 rakaat itu selepas itu , sebab saya berpegang kepada pendapat kalau tak pasti tambah je rakaat , kalau terlebih takpe , betul ke cara saya ?
Dan juga adakah cara saya seperti dah yakin 4 rakaat tapi saya risau kurang , saya abaikan was was itu , dan habiskan solat , lepas habis solat macam rasa 3 rakaat pulak tapi saya tepis was was itu , adakah sah juga solat saya itu? , saya ni tak tahu lah rasanya jenis cepat lupa benda yang sekejap sebab benda ni banyak kali gak jadi , macam mana?
Waalaikumussalam.
1. Mengenai was-was semasa solat:
Dalam hal ini, alim ulama menyarankan agar seseorang menilai dan meletakkan keyakinannya di mana dia rasa paling yakin. Jika anda yakin bahawa anda telah melakukan 4 rakaat tetapi merasa was-was yang mungkin anda telah melakukan hanya 3, maka anda perlu berpegang dengan keyakinan anda bahawa anda telah melaksanakan 4 rakaat dan mengabaikan was-was tersebut.
2. Jika anda benar-benar berasa ragu dan tidak yakin:
Dalam situasi di mana anda benar-benar tidak yakin sama ada telah melaksanakan 3 atau 4 rakaat, maka anda perlu mengambil yang lebih sedikit iaitu 3 rakaat sebagai asas, tambah 1 rakaat lagi, dan kemudian lakukan sujud sahwi (sujud kesilapan) sebelum memberi salam.
3. Mengenai menambah rakaat atas dasar was-was:
Jika anda sudah yakin telah melaksanakan 4 rakaat tetapi atas dasar was-was menambah satu rakaat lagi, ini bukanlah amalan yang betul. Ini kerana solat menjadi tidak sah jika ada penambahan rakaat yang dilakukan tanpa alasan yang sah. Anda sepatutnya berpegang kepada keyakinan anda dan menepis was-was tersebut.
4. Apabila anda rasa seperti lupa:
Jika selepas solat anda rasa anda telah melakukan kesalahan, tetapi anda yakin semasa solat bahawa anda telah melaksanakan dengan betul, maka solat anda adalah sah. Was-was yang datang selepas solat sepatutnya diabaikan.
Sebagai cadangan, cuba lebihkan zikir dan doa memohon perlindungan dari was-was dan kekal tenang semasa solat. Amalkan juga membaca Al-Fatihah dan surah-surah pendek dengan perlahan serta fahami maknanya agar dapat meningkatkan khusyuk dalam solat.